Memandangkan baru dua bab publish dah dapat view yang agak ramai, sis dengan gembiranya publish bab 2. Senang cair kan? Haha. So, sis harap korang enjoy baca cerita ni. Selamat membaca. :)
••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
AKU berusaha berjalan seperlahan yang mungkin agar derapan langkah aku tidak kedengaran oleh mak dan abah. Apa aku nak jawab kalau mereka tahu yang aku dihantar oleh cucu korporat tu? Sudahlah keluarga itu memang terkenal kerana walaupun mereka kaya, tidak seorang pun antara mereka menggunakan panggilan pangkat seperti Dato’, Dato’ Seri, Tan Sri atau sebagainya kerana mereka ingin menaikkan nama Neil itu sendiri. Unik bukan?
Sebab itulah, mereka dipanggil sebagai keluarga Neil. Dan, kalau dalam majalah, mereka dipanggil sebagai Tuan, Tuan Besar dan Nenda. Kalau Tuan tu adalah panggilan untuk cucu, Tuan Besar, untuk anak dan Nenda adalah untuk isteri kepada Allahyarham Neil Adam Kamil, datuk kepada Neil Ayden Raeqal.
Banyak benda yang aku tahu tentang keluarga mereka. Yelah, dah nama pun peminat tegar. Aku yakin, masih ramai lagi kat luar yang lebih tegar daripada aku.
Apa kau merepek ni Aisyh? Sekarang fikir apa nak jawab, bukannya fikir pasal keluarga Neil tu.
Sebaik pintu terbuka, aku melihat mak dan ayah sedang menonton televisyen. Walaupun mereka membelakangi aku, boleh buat aku sakit jantung tahu tak? Apa aku nak jawab nanti kalau mak tahu yang motor aku bermasalah, dan lepas tu Neil Raeqal yang hantar? Tambah-tambah lagi kalau mak dan ayah tahu yang motor aku bermasalah sebab aku langgar kereta mewah dan juga disebabkan oleh kecuaian aku yang tidak memberi signal semasa membelok? Walaupun umur aku dah 25 tahun nak masuk 26 ni, aku masih tak terlepas daripada dimarahi oleh mak tahu tak? Korang tengok jelah pagi tadi macam mana mak kejutkan aku bangun tidur.
“Hah, kamu dah kenapa masuk tak bagi salam ni? Dah macam perompak pulak,” suara mak kejutkan aku sampai-sampai aku tersandar di dinding sebab terlampau terkejut.
“Mak! Jangan kejutkan Aisyh boleh tak?” aku pegang dada. Rasa nak tercabut jantung aku apabila mak menyedari kehadiran aku.
“Hah, Aisyh. Bila sampai ni? Tak dengar pun bunyi motor kamu?” giliran abah pula memberi soalan yang aku rasakan maut untuk situasi sekarang.
Macam mana nak dengar, oh abahku? Aisyh pergi sini tadi tumpang kereta tuan handsome. Jawab aku dalam hati jelah. Tak berani nak suarakan.
“Baru sampai tadi. Ni ha, Aisyh ada belikan nasi dan ayam KFC untuk mak dan abah. Maaflah, Aisyh tak sempat singgah nak beli bahan basah tadi, sempat ni jelah. Makanan segera ni je yang Aisyh beli untuk abah dan mak,” aku cuba mengelak daripada soalan yang abah lemparkan. Haraplah abah mahupun mak tak tanya sekali lagi soalan yang sama.
Kedua-dua mereka mengangguk faham. Legalah sedikit aku dibuatnya.
“Aisyh tak jawab lagi soalan abah kamu tu tadi? Aisyh balik guna apa? Mak pun tak dengar bunyi motor kamu”. Ah sudah, baru sesaat tadi aku nak rasa lega dan cepat-cepat berlalu daripada ruang tamu yang bersaiz kecil ini. Mak pergi ungkit balik pulaklah soalan yang aku cuba nak elakkan sebaik mungkin tadi.
Aku garu kening, cuba mencari alasan yang aku pasti akan beserta dengan penipuan. Tapi, rasa macam tak sampai hati pulak. Nak tak nak, aku kena berlalu cepat-cepat dari sini.
“Haa, Aisyh nak pergi bersihkan diri kejap. Nak solat,” aku beralasan dan cepat-cepat berlalu dari situ walaupun aku tahu bahawa perangai aku sekarang menimbulkan syak wasangka dalam diri mak dan abah.
×××
Sedang elok aku mahu menutup mata, mahu pura-pura tidur kononnya sebab nak larikan diri daripada isu tadi, tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar beserta suara mak yang memanggil-manggil nama aku. Ah sudah, ni mesti kes tadi masih membelenggu benak fikiran kedua-dua raja dan ratuku itu.
Apakah malang nasib aku? Banyak-banyak hari, kenapa hari ini jugak aku nak pergi langgar kereta mewah tu? Tak boleh ke tunggu esok sebab esok mak dan abah balik kampung.
“Apa aku nak jawab ni?” aku sudah mulai memerah otak untuk memikirkan jawapan ke atas soalan abah tadi. Rasanya soalan ini sekarang lebih susah daripada soalan ujian yang telah aku jawab selama ini.
Dengan persediaan di tahap sifar, aku tetap menggagahkan diri menuju ke arah pintu meskipun kaki dah serupa jeli dah sebab risau sangat. Ah, nak tak nak, aku kena jujur jugak lepas ni. Biarlah aku dimarah, asalkan aku tak berdosa menipu kedua-dua orang tuaku.
Perlahan-lahan aku membuka pintu. Senyuman kelat aku berikan kepada mak yang memandang selamba ke arah aku. Kalau mak tahu tentang tadi, ada lagi tak pandangan macam ni? Silap-silap renungan maut dia berikan. Alamak, rasa menyesal pun ada sebab bukak pintu ni.
“Ada apa mak panggil Aisyh ni?” aku berbasa-basi, padahal aku tahu apa yang mak akan tanya nanti.
Mak terpandang-pandang ke arah tingkap dan kemudiannya memandang ke wajahku. “Mak rasa ada keretalah kat bawah tu. Kawan kamu ke?” fuhh, lain benar tekaan aku rupanya. Entah kenapa aku rasa lega dengan soalan itu walaupun aku tak tahu siapakah gerangan di hadapan rumahku sekarang ini.
Aku mengerutkan dahi. “Rasanya, kawan Aisyh dekat KL ni cuma Aira soranglah mak. Dia nak pergi rumah sebelah kot?” rumah sebelah yang aku maksudkan adalah rumah yang betul-betul berada di sebelah rumah aku. Aku sewa rumah kayu berkembar, sebab aku tahu tahap penakut aku ni tinggi mana.
Belum sempat mak jawab, tiba-tiba pintu rumahku diketuk. Aku dah rasa berdebar, yelah, setahu aku, aku ni takde kenalan lain selain Aira di bandar KL ni. Penjahat? Dia nak rompak apa dengan aku? TV pun TV kecik je.
Aku arahkan mak dan abah untuk berada di belakangku sambil-sambil kami melangkah ke arah tingkap. Untuk mengintai siapa yang sudi bertandang ke rumah kecil aku ni di samping berjaga-jaga.
Sebaik sahaja berada di tingkap, aku terus memandang ke beranda luar. Dengan ketinggian aku yang serupa pokok bonsai ni, aku hanya nampak bahunya sahaja. Jadinya, aku angkat wajahku untuk melihat dengan lebih jelas rupa pemilik lengan yang sebesar kepala aku sekarang ni.
Membulat mataku apabila melihat wajah itu. Dia terus mengetuk dan memberi salam tanpa perasan aku yang sedang mengintainya di tingkap. Cepat-cepat aku turunkan balik langsir dan memandang wajah mak dan ayah silih berganti. Aku yakin, muka aku sekarang jelas pucat.
Mahu tak pucat, sekali lelaki itu bukak hal tadi macam mana? Aduh!
“Siapa, Aisyh?” tanpa menunggu jawapanku, abah terus membuka pintu tanpa sempat aku halang.
“Assalamualaikum. Ini rumah Nureen Raisyha ke?” suara yang tak asing lagi. Suara yang sama menegur aku di jalan tadi. Dan suara yang serupa memujuk aku untuk masuk ke dalam keretanya.
Eh, kejap! Macam mana dia tahu nama aku? Setahu aku, aku belum beritahu nama aku kepada dia. Ada pun dia tanya, dia tarik balik soalan dia. Dalam kereta tadi pun, kami lebih banyak diam. Kalau bersuara, sekadar nak tahu kat mana rumah aku.
“Waalaikumussalam, Aisyh,” abah gamit aku. Sebelum aku menuju ke muka pintu, sempat aku berlari masuk bilik untuk mencapai tudung sarung.
Kemudian, aku pun menuju ke arah pintu serentak dengan mak sebab mak pun mengambil anak tudung bagi menutup rambutnya. Mak membuntuti langkah aku dan sebaik sahaja dia memandang lelaki itu, terus dia terbuntang biji mata dan menekup mulut tak percaya.
“Ini.. Ini bukan lelaki dalam TV tu ke?” soal mak separuh menjerit. Eh, mak dah kenapa ni? Yang aku tahu, mak tak heran pun tengok gambar lelaki ni yang bertampal dan tergantung di dalam bilik aku di kampung mahupun rumah sewa ini. Berubah pendirian ke, mak oi?
Lelaki itu hanya tersenyum. Pergh, senyuman manis tahap potong kaki dia lemparkan. Nasib baik semut tak datang menyemuti bibirnya. Menyemuti? Ah, lantaklah.
“Haah, dia nilah mak. Ya, Tuan Ayden. Ada apa nak jumpa saya?” aku yakin suaraku kedengaran bergetar sekarang. Pertama, sebab aura dia. Walaupun hanya memakai T-shirt plain berwarna kelabu dikenakan dengan seluar jeans pendek paras lutut, aura kekayaan dia masih jugak aku dapat rasa.
Sebab kedua, aku risau sangat kalau dia ceritakan pasal tadi. Aku ni dahlah belum jumpa lagi jawapan yang tepat, belum buat pertahanan diri pulak tu untuk menepis segala nasihat bernas daripada mak dan abah selepas ini.
Dia tidak terus menjawab. Sebaliknya, menghulurkan dompet aku. Dompet aku, guys! Macam mana boleh ada dekat dia?
Sebelum aku menyoal, mak terlebih dahulu mendermakan ayat dan suaranya. “Macam mana dompet Aisyh ada dekat kamu? Aisyh, kenapa dompet kamu ada dekat dia?” mak pandang wajah kami berdua. Aku telan liur. Ah sudah, memang akan pecah rahsia aku lepas ni. Confirmed!
Neil Ayden Raeqal tersenyum. “Tadi, saya tumpangkan dia balik sebab motor dia bermasalah,” jawabnya ringkas beserta senyuman di bibir. Manis memang manis, tapi, senyuman dia masa ni tak mampu mencairkan hati aku. Kenapa lemparkan senyuman di masa yang salah?!
Satu hal yang pelik. Boleh pun dia bahasakan diri sebagai ‘saya’ rupanya, ingatkan tak boleh. Yelah, masa bercakap dengan aku tadi, tak habis-habis I dan you dia tu. Sampai-sampai aku pun dah hampir terikut-ikut percakapannya.
Mak pandang muka aku, abah pun sama. Ah sudah, memang masaklah aku lepas ni.
Aku cepat-cepat menerima huluran itu sebelum dia mengeluarkan suara dengan lebih lanjut. Belum sedia aku menebalkan kulit wajah dimarahi di depan lelaki kacak ini. “Thanks”. Aku senyum satu milimeter. Nak bagitau dia bahawa dia datang pada masa yang tersangatlah tepat. Sangat!
Tapi, sayangnya wajah macho itu tampak polos. Tak faham dengan isyarat yang aku berikan. Ah, masaklah kau Aisyh.
“My pleasure. Eh, sorry. I bukak your pouch bag tadi sebab I nak tengok IC you,” kembali kepada I-you dia tu. Dan ya, aku hanya mampu memaksa bibir untuk terus tersenyum sambil menelan liur.
“It’s okay. Once again, thanks”. Aku tak tahu nak berterima kasih dekat dia atas sebab apa. Atas sebab kembalikan dompet aku atau datang pada masa yang tersangatlah tidak tepat ni.
“Welcome. Kalau macam tu, I balik dulu. By the way, pasal motor you tu, petang esok diorang akan hantar terus pergi sini. And, esok jugak, I akan hantar you pergi tempat kerja. I gerak dulu. Bye, assalamualaikum,” haa, teruskan Ayden, teruskan. Takpe, cakap semua pun takpe. Aisyh rela dipancung lepas ni.
Tanpa menunggu sebarang persetujuan daripada aku, terus dia melangkah pergi. Dia ni memang macam ni ke? Oh ya, satu lagi sifat Neil Ayden Raeqal yang tertulis di dalam majalah tersebut ialah, dia akan buat sesuatu benda ikut kepala dia. Setuju tak setuju belakang kira. Perghhh, majalah tu tak menipu!
“Waalaikumussalam,” perlahan-lahan aku jawab, seperlahan kepala aku yang memandang mak dengan abah sekarang.
×××
Aku angguk-angguk. Nak mencelah, memang tiada peluang. Berdas-das tembakan diberikan kepada aku. Nak mengelak memang tak mampu. Jadi, apa yang aku buat, tadah telinga, angguk, ketap bibir dan tunduk pandang jari kaki sendiri.
“Kalau jadi apa-apa dekat kamu, macam mana? Oh, tu rupanya kamu tak nak jawab soalan abah tadi”. Mak.
“Aisyh, kami ni bukan apa, kami risau. Ni, nasib baik kamu jumpa dengan orang yang betul, kalau jumpa orang tak betul? Siapa yang susah? Kami jugak, Aisyh,” suara abah takdelah kuat macam mak, tapi, ayat dia tu macam nak cakap yang aku ni menyusahkan pulak walaupun hakikatnya memang benar.
“Tulah pasal. Nasib baik dia tak minta ganti rugi dekat kamu. Kalau dia mintak? Kamu nak bayar guna apa? Daun? Tulah, lain kali, kemudahan dekat motor, guna elok-elok. Jangan bawak perangai rempit dekat kampung tu pergi bandar ni,” hah, aku dah cakap, ayat mak memang mampu membuatkan aku terangguk-angguk seperti burung belatuk.
Macam mana mak tahu tentang aku tak bagi signal? Hah, sebab mulut celupar aku ni. Suka betul bertindak terlebih dahulu daripada otak. Inilah masalah aku, suka tinggalkan otak kat belakang. Kan dah naya dah? Kalau aku tak cakap pasal signal tadi, tak adalah aku teruk sangat kena marah macam sekarang. Nak buat macam mana, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, memang takkan terlajak laris punya, terlajak kena marah adalah.
Setelah mak dan abah selesai dengan ceramah tentang jalan raya mereka, aku pun pandang wajah kedua-duanya silih berganti. “Okay? Aisyh minta maaf, lepas ni, Aisyh takkan buat lagi”. Jari kelingking aku angkat kedua-dua belah kanan dan kiri sambil aku tayang muka tak bersalah.
“Hmm. Mana boleh percaya sangat dengan janji kamu ni,” bebel mak dan kemudian memfokuskan kembali pandangannya pada kaca televisyen.
Kami diam. Masing-masing fokus memandang apa yang terpapar di kaca televisyen, tetapi, mata aku sahaja yang fokus, padahal, otak aku sudah menjelajah kata-kata yang diucapkan oleh Neil Raeqal sebentar tadi.
Esok, dia akan jemput aku? Wei, biar betul? Aku tak tahu nak rasa macam mana. Teruja ada, risau pun ada. Teruja sebab dia yang jemput. Risau sebab apa aku nak cakap kalau Aira dan Kak Ana tengok aku turun dari kereta mewahnya esok? Nanti, apa orang cakap tentang aku? Aku ni kekasih gelap dia ke? Alamak, tak pasal-pasal aku popular nanti.
Aku tampar perlahan pipiku. Aku ni, bab berangan, memang tak pernah tak jauh. Jarang benar anganku setakat di jarak dekat. Apeni Aisyh? Kau cakap macamlah esok Neil tu akan datang jumpa kau, jemput kau. Kau berangan pun agak-agaklah. Dah dia cakap depan mak ayah kau, mestilah dia cakap benda-benda elok je. Kalau depan kau sendiri, rasanya, takkan adanya dia nak jemput kau. Come on Aisyh, back to the reality.
Ammar Faiz orang kampung tu pun tahu nak bezakan mana berlian mana kaca. Inikan pula lelaki kaya yang kuat auranya. Takkanlah dia nak layan kau special, Aisyh? Kau tu siapa? Setakat peminat yang obsess dekat dia. Tapi, obses-obses aku, rasanya tak pernah lagi aku komen di laman sosial Instagram lelaki itu. Terpegun sangat kot.
Aih, apa ni? Benda ni pun nak kecoh. Ah, penatlah! Baik aku masuk bilik.
“Mak, abah, Aisyh masuk tidur dulu, eh? Assalamualaikum, selamat malam,” aku berlalu setelah kedua-duanya mengangguk dan menjawab salamku. Aku penat sangat hari ni. Mana taknya, motor asyik bagi badi malang je kat aku.
Masuk sahaja bilik, terus mata aku tertancap ke arah kepingan gambar Neil Raeqal yang tergantung dan tertampal di sudut bilik. Tak sangka, lelaki yang selama ini aku pandang dari jauh, yang aku kagumi dalam diam, boleh berkenalan dengan aku hanya disebabkan tak bagi signal? Kelakar, tapi, rasa bertuah jugak. Macam tak percaya yang ini realiti. Kalau ini mimpi, tolonglah jangan kejutkan aku.
×××
Aku menyalami mak dan abah. Hari ini, mereka pulang ke kampung bersama Pak Ngah. Hari itu, mereka pun tumpang Pak Ngah sebab kebetulan Pak Ngah ada urusan di KL ni. Tu yang mereka singgah di sini untuk tempoh tiga hari. Fuh, nasib baiklah jiran sebelah dah datang balik. Tak adalah aku sunyi duduk seorang diri. Yelah, orang sebelah ni berkeluarga. Ada anak-anak kecil. Rapatlah jugak kami ni walaupun baru kenal.
“Hati-hati dalam perjalanan mak, abah, Pak Ngah,” eceh, aku pulak yang memberi peringatan ini kepada mereka.
Aku dan mak berlaga pipi. “Kamu tu yang kena hati-hati pergi kerja. Jangan nak buat KL ni macam kampung. Faham?” sempat mak memberi amaran. Aku senyum senget sambil garu kepala. Kena balik.
“Hati-hati duduk seorang ni, Aisyh. Kalau ada apa-apa, call mak kamu ni. Call ayah. Tak guna ada telefon kalau tak pandai nak hubungi kami dekat kampung,” giliran abah memberi nasihat pedas. Aku pun angguk-angguk je. Tak berani nak bukak mulut sangat sejak kes semalam. Aku tahu, sekarang kata-kata aku bagaikan angin lalu. Cakaplah apa-apapun, memang takkan diterima.
Tapi, aku sedar yang mak dan abah buat macam ni sebab mereka risaukan aku. Yelah, aku ni anak dara mereka. Tinggal seorang diri pula tu di dalam rumah sewa. Mak ayah mana yang tak risau.
Nak buat macam mana, inilah pengorbanan kehidupan yang sebenar. Nak tak nak, kena lalui jugak walau apapun yang jadi.
Setelah kereta yang dipandu oleh Pak Ngah hilang dari pandangan, aku pun terus menutup pintu. Baru beberapa langkah aku berjalan di ruang tamu yang agak kecil itu, tiba-tiba telefon bimbit yang sentiasa aku bawa bersama bergetar. Err, aku ni memang jenis silentkan phone. Sebab tu kalau orang call, kadang-kadang aku tak sedar.
Aku pandang pada skrin telefon bimbit Vivo ku, tertera nombor yang tidak kukenali. Tanpa berfikir panjang, aku pun jawab dengan sangkaan bahawa itu adalah Aira. Mungkin Aira tukar nombor, sangkaku ketika itu.
Sebaik sahaja panggilan itu kusambut, kedengaran suara garau menjengah gegendang telingaku. Nak cakap Aira, takkanlah garau macam ni sangat walaupun dia baru bangun tidur. Garaunya suara si pemanggil tidak dapat dikategorikan sebagai garau yang menggelikan, tetapi lebih kepada suara seorang lelaki yang suaranya seakan-akan berbisik, tetapi setiap katanya sangat jelas kedengaran.
“Hello, ini Nureen Raisyha?”
Ini bukan suara dia ke?
“Err, ya. Siapa ni?” walaupun aku tahu, tetapi aku cuba taknak buat kesimpulan melulu. Yelah, takkanlah Neil Raeqal yang call aku pagi-pagi macam ni. Lagipula, dia dapat nombor aku dari mana? Tapi kan, kalau orang lain pun yang call, mana mereka dapat nombor aku? Nak cakap salah nombor, tapi, nama aku penuh disebutnya.
“I ni, Ayden. The guy yang you jumpa petang semalam. I call ni cuma nak cakap yang I akan jemput you lebih kurang 30 minutes dari sekarang. Jadi, you bersiap-siaplah sebab tepat 30 minutes dari sekarang, I dah terpacak depan rumah you. Bye,” tuuut, gitu je dia matikan panggilan. Hmm.
Sekali lagi dia tunjukkan sikapnya sebegini kepada aku. Langsung tak tunggu aku cakap ya atau tidak, terus dia yang tentukan keputusannya apa. Tiga puluh minit dia cakap? Ni, nasib baik aku dah mandi. Tinggal nak bersiap sahaja lagi. Kalau aku lambat bangun macam semalam, agak-agak apa yang dia buat? Aduh, dia memang sukar dijangka!
Dua puluh sembilan minit berlalu. Aku pun dah lama bersiap. Dah macam atlet dah aku lari sana sini dalam rumah ni, kejap-kejap tengok jam. Dan hasilnya, aku duduk di beranda ini sementara menunggu dia. Eh, kejap! Baru aku perasan yang jam sekarang baru sahaja mahu berganjak ke pukul 8.35 pagi. Hei, aku masuk kerja pukul 9.30. Dah kenapa dia jemput awal sangat ni?
Tanpa sempat aku membetulkan saraf otak aku sekarang, kedengaran hon dibunyikan. Tidaklah terlalu bingit, cukup menyedarkan aku tentang kehadirannya. Aku capai apa yang patut dan cepat-cepat berlari ke bawah.
Aku tengok jam. Tepat 30 minit dia berada di depan rumahku. Memang dia tak main-main dengan kata-katanya.
Setibanya aku di hadapan rumah, Neil Raeqal sudahpun berdiri di sebelah pintu yang sudah terbuka. Segan aku diberi layanan begitu membuatkan aku memandang ke kiri dan ke kanan, kot-kot ada jiran yang tengah curi-curi pandang ke arah kami. Pergh, nasib baik ini kawasan perumahan. Walaupun kayu, tetap amalan berjiran itu masih kurang. Tak tahu nak cakap benda ni baik ataupun tidak. Kalau dekat kampung ni, dah lama rasanya rumah aku kena serbu.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Fuh, lelaki ini dengan pakaian segaknya memang tak boleh berjauhan, eh? Semalam dia pakai baju t-shirt biasa pun dah hot, inikan pula apabila dia mengenakan suit hitam yang ketat menampakkan bentuk badannya. Walaupun hanya senyuman nipis dilemparkan, dia tetap mampu membuatkan aku sesak nafas buat seketika.
Aisyh, apa kau merepek ni? Bentuk badan? The hell kau? Banyak-banyak benda kau boleh buat, zina mata jugak yang kau berkenan nak buat pagi-pagi buta ni.
“Masuklah,” pelawanya. Mungkin melihat wajah aku yang was-was menerima pelawaan seperti ini.
Aku masuk. Segan, aku bukannya secantik Cinderella untuk diberi layanan macam ni.
Kemudian, kereta mewah ini pun meluncur meninggalkan kawasan rumah sewaku. Bauan maskulin yang dikenakan membuatkan aku khayal seketika, menikmati haruman lelaki itu. Wajahnya tenang sahaja memandu sedangkan aku rasa mahu lompat-lompat sahaja di dalam kereta ini. Rasa macam tak percaya bahawa sekarang ini dia yang memandu kereta semata-mata untuk menghantar aku ke tempat kerja.
‘Behave, Aisyh. Jangan rasa special sangat, please. Kau sendiri kan tahu yang Neil ni memang macam ni. Tolong orang tak kira pangkat dan darjat,’ aku memberi amaran buat diri sendiri.
Memang ya, keluarga Neil Ayden memang sering terlibat dalam kerja-kerja amal seperti bantuan kepada warga emas, anak yatim, mangsa bencana alam dan sebagainya. Bahkan, Neil Ayden Family juga pernah memberi bantuan ke negara-negara luar yang kurang bernasib baik. Jadi, satu sebab inilah membuatkan aku rasa aku tak payah sangat nak rasa special.
Keadaan sunyi-sepi. Entah kenapa aku suka suasana seperti ini padahal sebelum ini, akulah antara yang tidak tahu berhenti bercakap sebab bagi aku, aku tak suka keadaan yang kekok. Tetapi, apabila bersama Neil Raeqal ini, aku lebih suka berdiam seperti ini. Mungkin kerana dia sendiri tidak pernah mahu membuka mulut agaknya.
“Lupa nak bagitau you. Sebenarnya, I nak ajak you breakfast. You kerja pukul berapa?” lah, ingatkan dia tahu aku kerja pukul berapa. Patutlah awal gila dia datang ambik.
Aku yang seperti kembali ke dunia nyata, terus menoleh ke arahnya yang masih fokus memandu. “Pukul 9.30”. jawabku ringkas.
Dia mengangguk faham. “Kalau macam tu, kita masih ada banyak masa untuk sesi suai kenal, kan?” sesi suai kenal? Adakah dia cuba untuk mengatakan bahawa ini persis sesi orientasi pada zaman sekolah dan universiti?
Aku pandang sisi wajah dia. Perghh, tengok dari tepi pun dah kacak. Aduhai, adakah aku antara yang bertuah sebab walaupun tak dapat bergambar dengan dia semalam, namun hari ini, aku berada di dalam kereta yang sama dengannya?
“Nureen Raisyha? Do you still here?” sebelah tangannya yang melambai di hadapan wajahku membuatkan semua darah di dalam badan menyerbu ke muka. Mana tidaknya, kedudukan kepala aku sekarang adalah menghadap wajah dia. Lepas tu, dia tanya, aku tak menjawab sebab sibuk perhati muka dia.
Aku berdehem. Malunya Aisyh! Apa kau buat ni? Menggatal tak bertempatlah kau ni! Kau ada tertelan ulat bulu ke semalam? Aku memarahi diri sendiri. Kalau boleh, dah lama aku hantuk kepala dekat dashboard sekarang. Malunya!
“Aaa, ya. Tuan pun tengok saya ada kat sini kan? Aa, apa yang tuan cakap tadi? Saya tak dengar,” tak dengar konon. Padahal aku lupa apa soalan dia walaupun baru sahaja beberapa minit soalan itu berlalu.
Dia tergelak kecil. Gelak pun macho, nyah! Kalau macam ni, lepas je aku dapat balik motor aku tu, aku mesti pergi hospital, cek apa yang patut. Mana tahu aku dah kena diabetes disebabkan oleh lelaki ini!
“It’s okay. Kita dah sampai dah. Jom, breakfast sekali dengan I,” ajaknya setelah kereta berhenti.
Aku terasa otakku baru mencerna apa yang dia cakap. Breakfast? Seriouslah weh?! Semalam pun dia yang temankan aku untuk belikan makanan dekat mak dan abah dan siap belanja lagi aku makan sekali dengan dia. Dan pagi yang berbahagia ini, dia ajak aku sarapan?!
Eh, kejap! Bukankah dia ada tunang? Tunang dia adalah model pinggang kerengga yang cantik tu. Kalau tak silap, nama dia Melissa Rose. Nama cantik, secantik orangnya.
“Tuan, rasanya tak payah kot. Lagipun, ni tempat mahal. Tuan pun ramai yang kenal. Nanti, tak pasal-pasal diorang cakap tuan ada skandal dengan bibik sendiri,” aku meluahkan rasa risauku. Aku memang macam ni, apa yang aku rasa, aku luahkan saja tanpa berselindung.
Neil Raeqal pandang aku dengan wajah tak percaya. Apa, baru perasan yang kata-kata aku ni benar belaka? Baru terfikir akan risiko mengajak aku ke tempat mewah hanya semata-mata nak isi perut buat sarapan?
Dia mengecilkan matanya memandang aku. Ah sudah, dia buat muka pulak. Ni yang aku susah nak membeku ni. Asyik nak cair je.
“Bibik? Why bibik? And, kenapa dengan muka you? Apa yang salah dekat muka you?” suaranya selamba, seselamba wajahnya. Uhuk, dia nak cakap aku cantik ke macam mana ni?Hello Aisyh! Bangun wei bangun. Sedarlah diri tu sikit rupa kau tu paras mana!
“Nope. Takde orang yang buta, tapi, saya sedar diri saya tuan. Dengan baju macam ni, muka macam ni, cuba tepek guna bedak pun, lepas ni hilang dan jadi dayang senandung balik. Orang mana yang tak cakap saya bibik, tuan?” tengok, cara aku bercakap sekarang pun dah serupa bibik. Oh well, selama ni mana ada seorang manusia pun cakap aku cantik jadi aku sedarlah muka aku ni macam mana.
Dia tersenyum sinis. “I tak terfikir pulak yang bibik ni semuanya muka hodoh. And, adakah ini mindset orang kita? Asal bibik, muka tak cukup makan, tak cantik, badan gempal dan tak layak untuk jadi skandal boss? Nureen Raisyha?” Kening sebelahnya diangkat sambil ayatnya menembak aku sedas. Malu weh orang kaya cakap macam tu. Aku yang tak berapa nak kaya ni pulak merendah-rendahkan kedudukan bibik. Ya Allah, Aisyh. Apa mulut kau dah cakap ni?
Aku ketap bibir. Sumpah, lepas ni aku tak nak menjawab sebab aku tahu yang jawapan aku sememangnya merapu kelas pertama! Nureen Raisyha, nama kau tak seindah perangai kau. Mulut kau lancang, tak tengok kiri kanan kalau bercakap.
“And, I tak habis fikir, macam mana you boleh cakap muka you ni buruk?” jari telunjuk dia bergerak dari dahi aku turun ke dagu dan kembali ke dahi semula. Dia tidak menyentuh aku kerana dia hanya menunjuk muka aku dari jauh.
Aku telan liur. Tak, aku tarik balik sumpah aku tadi. Aku tak mampu kalau berdiam macam ni. “Mestilah saya tahu, tuan. Selama ni, tak ada seorang manusia pun cakap muka saya ni cantik. So, bila tuan cakap yang saya ni cantik, saya yakin tuan ni cuma nak jaga hati saya,” sekali lagi, Aisyh dengan mulutnya yang suka melontarkan kata berbaur tuduhan. Dan sekali lagi, syabas buat mulut aku.
Sekali lagi dia lemparkan senyuman sinis buatku. Macam dah tahu je apa nak bidas dengan kata-kataku yang sememangnya tinggalkan otak dalam rumah. “Girl, tak cakap dan tak luahkan, tak semestinya tak cantik. Stop giving me your stupid theory. Dah, keluar. You have 45 minutes, miss. I takkan hantar you pergi kerja selagi you tak sarapan sekali dengan I”. Dia mengugut. Kalau orang lain, aku yakin mereka pasti teruja dengar ayat ni keluar daripada crush mereka. Tetapi, kenapa aku tak? Padahal aku minat gila dekat dia. Dengar je ayat dia, aku rasa nak sepitkan je kepala dia di celah pintu kereta mahal dia ni. Ah, minat tak minat, ayat dia tu macam nak mengarah aku je kerjanya. Apa? Ingat aku ni babu dia ke apa?
Tetapi, kali ini aku hanya mampu ketap bibir aku. Kalau aku menjawab, silap hari bulan, memang tak turun kerjalah aku jawabnya. Ah, kenapa aku boleh kenal dia sejauh ini?! Kan bagus kalau aku tak kenal perangai dia ni macam mana, tak adalah aku sakit hati dengan sikap dia yang suka arah-arah orang ni!
Aku yakin mukaku berkerut menahan geram sekarang. Tapi, geram tak geram, aku kena jugak ikut cakap dia. Aku harap, lepas ni aku tak jumpa dia lagi dah. Silap haribulan, aku akan dihantar ke Tanjung Rambutan disebabkan tertekan melayan perangai Si Neil Ayden ni. Cepatlah motor aku pulih, cepatlah!
Tapi. Tatatapi, hmm. Aku masih nak jumpa dia, tapi bukan dalam keadaan macam ni. Habis? Keadaan yang macam mana Aisyh? Ah, aku tak tahu! Apa aku merepek ni?!
Aku sempat jeling mukanya. Terukir sedikit senyuman di bibir merah jambu itu, namun, apabila kepalaku toleh terus ke arahnya, dia hilangkan senyuman itu serta-merta.
Share this novel