Pejam celik, dah bab 20 sejak tahun lepas lagi sis publish. Crita x habis2. ?? Insya Allah sis akan usaha habiskan crita ni. Cuma x sure brapa bab nk buat. Ikut prgerakan angin monsunla nak buat banyak mana. Haha. Selamat membaca.
?
AYDEN??AISYH
RASA menyesal pun ada aku gosok bawal chiffon ini. Kan bagus kalau aku pakai tudung sarung saja. Tak adalah aku terkial-kial macam sekarang.
Daripada tadi mesti ada sahaja yang tidak betul. Kejap-kejap, awning tudung aku akan kembang sebelah. Kejap-kejap, kalau dah betul bahagian awning, bahagian bawah tudung pula tak sama panjang dan tudung aku dari belakang nampak senget.
Jam sudah menunjukkan pukul 6.20 pagi. Dalam masa sejam lagi, aku kena punchkan kad. Buatnya aku lambat, aku hanya tinggal dua peluang lagi sebelum aku kena dikenakan tindakan oleh pengetua. Sudahlah pengetua sekolah aku tu boleh tahan tegas. Bekas pensyarah kot. Cuma tulah, ada masa dia akan sporting jugak. Macam kes aku kahwin sorok-sorok nilah. Tapi kalau bab kerja, kenal tak kenal, baru tak baru belakang kira. Memang dia akan kenakan tindakan. Pengetua perempuanlah katakan.
"Kenapa, Aisyh? Daripada tadi you terkial-kial depan cermin," tegur Ayden sambil membutangkan lengan baju kemejanya yang berwarna kuning cair, sedondon dengan aku. Nampak segak, apatah lagi apabila dia tidak membutangkan tiga butang dari atas.
"Entah tudung ni. Sengaja nak bagi saya lambat masuk kerja," rungutku. Aku yakin sebenarnya aku macam ni sebab aku gelisah sebab sekejap lagi mesti akan jumpa Ammar Faiz. Dua hari lepas okaylah sebab dia ada kursus Kimia.
Hari ni, hari ketiga aku masuk kerja dan hari ini adalah hari malang aku sebab menurut kata Salwa, Ammar Faiz sentiasa mencari aku sepanjang ketiadaanku di bilik guru.
"Pergi sini kejap. Ambil sekali pin dan jarum yang you selalu cucuk-cucuk dekat kepala," dari pantulan cermin, aku nampak Ayden yang sedang duduk di birai katil menggamit aku supaya mendekat dengannya. Ceh, cucuk-cucuk dekat kepala. Ingat aku nak pasang susuk ke apa main cucuk-cucuk macam tu.
Eh, bukan susuk tu cucuk dekat muka ke? Hmm, takpelah.
Dengan tudung yang masih berserabut di atas kepala, aku mengatur langkah menuju ke arahnya. "Ada apa?" Dia nak atur tudung aku ke? Kalau ya, reti ke dia?
Tanpa menjawab soalan aku, dia mula mencabut tudung atas kepala aku, meninggalkan kepala aku yang dilapik inner neck. Terkebil-kebil sahaja mata aku pandang dia yang membuka lipatan bawal tanpa corak itu sebelum dia kembali melipat tudung aku dalam bentuk segitiga semula.
"Awak buat apa ni?" tanya aku lagi walaupun jelas depan mata, dia sedang mengatur lipatan tudung aku sebelum dia letakkan di atas kepala aku.
"Semalam I dengar you bukak tutorial tudung. I tak fokus yang lain, cuma terdengar style yang ni je," jawabnya sambil mula pinkan tudung aku. Setelah itu, dia lipat di bahagian tepi tudung membuatkan tudung aku kelihatan kemas dan tidak kembang.
Bahagian sebelah kiri, dia tarik ke atas dan jarumkan dengan penuh hati-hati. Kemudian, yang sebelah kanan pula dia pinkan pada bahu kiri aku. Aku pandang ke bawah, wow, dia labuhkan di bahagian dada. Bagus-bagus, suami yang soleh.
"Done," kedua-dua belah bahu aku dipegang sambil matanya memandang aku dengan riak bangga. Senyuman tak perlu cakap, memang melebarlah sebab berjaya atur tudung aku.
Aku pandang diriku melalui cermin, tiba-tiba nampak kemas pulak. Tadi bukan main lagi aku terkial-kial nak atur, sekali Ayden buat, teratur terus! Dah macam model tudung pun ada aku sekarang. Kahkah.
"Thanks awak," ucapku sambil menayang senyum semanis mungkin. Entah kuasa apa entah yang ada pada tangan dia, aku pun tak pasti.
"My pleasure". Jawabnya pula sambil membalas senyuman aku.
"Bila masa awak tengok tutorial tudung tu? Saya tak perasan pun," soal aku sambil calitkan liptint berwarna merah jambu pada bibir.
"I tak tengoklah sayang. I terdengar tanpa sengaja apa yang the girl tu cakap dalam handphone you. Tak sengaja teringat," rasa nak jatuh rahang aku dengar jawapan dia. Tak sengaja teringat?! Tak sengaja dengar?! Apakah itu?! Hanya dengan mendengar sahaja dia boleh ikut tutorial itu? Dia ni biar betul! Sedangkan aku, selagi tak tengok cara, selagi itulah aku tak tahu nak buat.
Sama kes dengan tali leher, berkali-kali Ayden ajar, sampai sekarang aku masih tak reti-reti. Sedangkan Ayden pula, hanya mendengar arahan dalam tutorial, itupun sekali imbas, dia boleh ikut walaupun style yang aku kenakan ini memang simple. Tapi, simple untuk kita yang gugurl ini. Bagi lelaki yang bertangan keras macam Ayden, agak sukar nak buat. Cuma tak sangka, Ayden dapat praktiskan dengan mudah. Mabeles, mabeles. Haha.
"Lepas ni bagitau saya apa rahsia ketajaman minda awak, eh? Saya nak berangkat kerja," tangan Ayden aku capai dan dicium. Kebiasaan semenjak tiga hari aku masuk kerja. Pada awal hari tu memanglah agak kekok, tapi, kena sesuaikan diri sebab nak dapat rezeki yang barokah gituh.
Ayden pula mengucup dahi aku, sedikit lama daripada aku cium tangan dia. "Be careful," itulah pesannya setiap kali aku mahu berangkat kerja. Aku hanya mengangguk faham sebelum aku memberi pesanan yang sama.
"Awak pun".
Bersarapan? Awal tadi sudah. Ayden yang siapkan sebab aku terlambat bangun sebab tonton anime lewat malam semalam lepas aku tengok tutorial tudung dekat youtube. Nasib baik dia tak marah, siap dia tuangkan air pulak tu. Tugas aku pagi tu cuma duduk sahaja.
Gila tak kekok! Biasanya aku yang siapkan sarapan kami berdua. Kalau aku terlambat, maid-maid yang akan siapkan. Tapi pagi tadi, Ayden sendiri yang turun padang. Keluarkan roti, sapu Nutella dan tuangkan susu kegemaran aku ke dalam gelas. Aku dah cakap, tugas aku pagi ni hanya makan sahaja sebab selebihnya Ayden yang buat.
Baik kan suami I? Haha.
×××
"Betul ke cikgu pergi kenduri sepupu kahwin? Ke, cikgu sendiri yang kahwin?" itulah soalan yang masih bergentayangan dalam kelas yang aku ajar walaupun sudah tiga hari aku masuk kerja. Hampeh betul, menyibuk dan membawang, bagi jelah dekat mereka. Mesti A+ punya kalau letak dalam sistem pendidikan dan merupakan subjek wajib lulus.
Soalan ini masih menjadi topik hangat semuanya sebab cincin dan inai pada jari aku. Tadi terserempak dengan Ammar Faiz, pun soalan yang sama. Tapi jawapan berbeza aku bagi.
"Ya, saya dah kahwin. Kenapa?"
Aku ingatkan dia akan percaya. Tapi tidak guys. Dia siap cakap lagi, "Aisyh, saya kenal Aisyh macam mana. Bukan sehari dua kita bercinta". Puik, geli tekak aku dengar. Henloooo, ingat sikit, yang putuskan aku tu, kau. Dulu kemain lagi suara bengis dan sinis dia guna untuk putus dengan aku. Tapi sekarang, suara lembut macam katak puru. Tak lalu aku nak dengar.
Apa jadi lepas tu? Aku blah lah. Dia ingat aku akan terjatuh hati balik dekat dia lepas apa yang dia buat dekat aku? Piiirah, aku tak hadap pun. Setakat muka macam tu, aku boleh kutip tepi jalan je. Lagipun, aku dah malas nak sakitkan hati sendiri sebab dulu aku sudah puas menangis sebab dia. Sekarang, satu huruf nama dia pun tidak ada dalam hati aku. Aku dah muak tengok dia.
"Asyik-asyik kahwin je yang korang fikir. Apa? Tak boleh ke cikgu pakai inai pakai cincin?" aku tayang muka selamba. Dengan cikgu dekat bilik guru hari tu pun kena soal. Pengetua hanya sengih-sengih sahaja dari jauh sebab dah tahu. Cetttt.
"Masalahnya, yang kahwin sepupu cikgu. Tapi cikgu yang ambil cuti seminggu. Lepastu, masuk je mengajar, muka cikgu berseri lain macam," jawab seorang budak lagi. Rasa nak tergelak aku dengar pernyataan genius dia, tapi tahankan sahaja. Betul jugak, yang kahwin sepupu, tapi aku yang cuti lebih. Haha. Dan, nampak sangat ke muka aku berseri? Mana tak berserinya kalau Ayden belikan aku skincare mahal-mahal. Sebelum ni aku mana guna benda alah tu. Bukan tak berminat, tapi duit kering. Lol.
"Sebab dia sepupu dekat, cikgu segan nak balik awal. Lagipun, dia jarang ada dekat Malaysia. Takkan cikgu tak boleh cuti lama sikit, kan?" Kelentong aku. Tapi yang hebatnya, mereka mula bersuara.
"Oohhhh, ye tak ye jugak".
Haha. Ya, ya je korang. Aku sendiri pun tak tahu sepupu celah mana yang tinggal dekat luar negara sebab yang paling jauh yang aku kenal pun, dekat Sabah sana. Masih dalam kawasan Malaysia. Haha.
"And, mesti kamu nak cakap cikgu dah makin cantik kan? Kalau makin cantik tu, cikgu tak tahulah sekarang cikgu cantik tahap apa. Sebab sebelum ni pun dah cantik".
Kedengaran suara-suara sumbang tidak puas hati. "Wuuuuuuuuu". Well, haters gonna hate.
"Dah, dah. Jangan banyak sangat bercakap. Kita mulakan kuiz. Ada 20 soalan. Kalau kurang daripada 15 markah, satu soalan salah, 10 sen". Mereka angguk. Faham sangat dengan peraturan aku.
Aku terikut pengetua. Sporting memang sporting, tapi bab belajar, aku tak nak mereka leka. Masa depan mereka merupakan masa depan aku. Sebab kata mak, ajar anak orang ni adalah tanggungjawab besar sebab bagi pelajar, guru adalah orang tua kedua setelah ibu bapa kandung mereka.
×××
Aku keluar bilik meeting dengan sumpah-seranah. Salwa daripada tadi tergelak tengok aku yang tak berhenti-henti membebel.
"Kenapa nasib aku malang sangat, Wa? Takde ke cikgu lain yang boleh jadi group aku?" soalan ini entah kali keberapa sudah aku soal. Salwa pun dah tak tahu nak jawab apa dekat sebelah.
"Dahlah Aisyh. Kau nak marah-marah pun nak buat apa? Dah rasmi dah tadi kan?"
Dua minggu lagi akan ada diadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Tema tahun ini ialah, kalau kami bukan guru. Nak dijadikan cerita, kami pihak guru akan letakkan cita-cita yang tak kesampaian dan aku letaklah cita-cita aku sebagai chef. Sebenarnya aku nak jadi peguam sebelum ini. Sekali aku dapat cikgu, jadi, redha jelah.
Jadi, kenapa aku letak chef?Sebab kata pengerusi, peguam dah mencapai limit. Aku pergi cita-cita yang tu, penuh. Aku tak faham kenapa mereka mesti tanya aku nak jadi apa sedangkan akhirnya pekerjaan chef yang tinggal. Semua ini adalah untuk memudahkan urusan pembahagian kumpulan katanya. Hampeh. Baik tak payah tanya.
Aku marah sangat sebab dalam banyak-banyak cita-cita, kenapa aku mesti sama kumpulan dengan Ammar Faiz? Adalah dalam enam orang ahli kumpulan, tetapi mamat tu letak aku sebagai penolong dia memandangkan dia ketua. Cis!
Cikgu Amyr pun satu kumpulan dengan aku. Pun sama miangnya dengan Ammar Faiz. Mentang-mentang dua-dua belum kahwin, mereka nak try aku!
Sedang aku membebel, tiba-tiba terasa ada seseorang berjalan di sebelah aku. Aku tak pandang pun aku tahu yang tu adalah Ammar Faiz. Salwa mula genggam tangan aku, risau mungkin, takut kalau aku terbelasah mamat ni dekat kawasan sekolah.
Jangan risaulah, aku takkan bertindak sebegitu. Walau apapun jadi, aku sama sekali tidak akan mencampurkan urusan peribadi dengan pekerjaan. Paling-paling pun aku akan membebel dengan Salwa sahaja.
"Hai Aisyh. Dah lunch ke?" halah, guna taktik lama. Untuk pengetahuan, inilah dia ayat yang dia guna masa mula-mula nak ngorat aku dulu. Masa tu aku dungu lagi, terus aku setuju nak makan sekali. Tapi hari ini, aku sudah menjadi Aisyh yang matang. Tak ada maknanya aku nak makan dengan dia.
"Takpelah cikgu. Lagipun saya nak balik dah ni. Saya belum zohor lagi," jawabku sambil menggenggam kuat tangan Salwa. Kedengaran Salwa mengaduh kesakitan dengan suara perlahan di sebelah. Sakit agaknya. Haha.
"Eh, kalau macam tu, kita zohor sekalilah dekat surau sekolah," ececeh, nak berlagak alim pulak! Piiirah! Aku cakap dalam hati sajalah. Tak berani aku luahkan, buatnya cikgu-cikgu lain pandang, rosak nama aku.
"It's okay. Nanti apa orang cakap. Kalau awak nak solat, solatlah dulu. Saya nak solat dekat rumah," kali ini aku melajukan langkah. Sungguh aku tak selesa dengan Ammar Faiz ni. Aku tak suka dia bersikap tidak professional seperti ini. Ini sekolah kot. Sepatutnya dia jaga nama baik para pendidik, bukannya menggatal macam ni. Cikgu yang dah kahwin pun jaga batas, ini? Dia yang tiada hubungan dengan aku pulak nak melebih-lebih.
"Rumah Aisyh dekat mana?" dia cuba mengejar langkah kami berdua.
"Faiz! Jadi ke kau nak pinjam kunci makmal?" jerit Cikgu Lan dari jauh membuatkan Ammar Faiz menghentikan langkahnya untuk menoleh ke belakang. Masa itulah aku cepat-cepat tarik tangan Salwa dan berlalu dari situ.
"Aisyh!" jeritnya kecil, tapi aku pekakkan telinga. Tak nak aku sama gila dengan dia. Pancung kepala aku bagitau dia mana tempat aku tinggal.
Setelah agak jauh daripada Ammar Faiz, aku rasa sedikit lega. "Dia masih suka dekat kaulah, Aisyh," ujar Salwa tiba-tiba apabila kami sudah masuk ke bilik guru.
Aku kemaskan meja guru secepat mungkin, risau kalau-kalau Ammar Faiz muncul semula.
"Kau pun tahu, siapa tinggalkan siapa," jawabku malas. Kalau dia sukakan aku pun, aku tak boleh nak halang. Itu perasaan dia. Cuma aku harap sangat dia tidak mengganggu aku.
"Memanglah. Tapi, kau tak rimas ke dia asyik kacau kau? Kau taknak bagitau dia yang kau dah kahwin?"
Aku hela nafas sambil memandang sekeliling. Nasib baik guru-guru sudah beransur pulang. Yang ada pun hanya di hujung sana, pun kemaskan barang dan berbual sama sendiri. "Aku dah bagitau, tapi dia tak percaya. Malaslah nak cakap pasal dia. Dah, jom balik. Kita singgah masjid kejap, lepas tu aku belanja kau makan," cepat-cepat aku tukar topik. Aku dah malas nak bercakap pasal Ammar Faiz. Tiada faedah.
"Hmmm. Okay," balas Salwa.
Salwa tumpang aku hari ini sebab kereta dia tengah diservis. Nasib baik aku pecut pagi tadi, kalau tak, dua-dua kami berdua lambat masuk kerja.
***
Petang ini aku tak buat apa-apa kelas. Aku bagi latihan seperti biasa melalui aplikasi WhatsApp. Segala persoalan pun aku akan jawab dalam aplikasi itu.
Rumah besar, tapi, hanya aku sahaja di dalamnya. Nak kacau maid, maid semua tengah sibuk buat kerja. Nak tidur petang, mata aku masih terasa segar, lagi-lagi setelah menerima berita daripada group telegram sekolah tadi.
ATTENTION!
KITA AKAN ADA PROGRAM HARI KHAMIS MINGGU DEPAN UNTUK PELAJAR SPM. GURU KAUNSELING MINTA TOLONG GURU-GURU AHLI KUMPULAN CHEF UNTUK BANTU PENGAWAS KAWAL MAJLIS SEPANJANG MAJLIS BERLANGSUNG SEBAB AHLI KUMPULAN LAIN, GURU-GURU ADA URUSAN YG TIDAK DAPAT DIELAKKAN. DI BAWAH ADALAH SENARAI TUGASANNYA :
PENDAFTARAN IBU BAPA : CIKGU AMMAR DAN CIKGU NUREEN
PEMBAHAGIAN MAKANAN : GURU KAUNSELING
PA SISTEM : CIKGU AMYR
KAWALAN DEWAN : CIKGU LEH, CIKGU SITI DAN CIKGU JALI
Apalah malangnya nasib aku?Punyalah ramai ahli kumpulan aku, kenapa pengerusi projek untuk majlis Hari Guru nak letak aku sekali dengan Ammar Faiz? Tak sabar tunggu Ayden balik, aku nak meluah dekat dia. Tadi aku sudah meluah dengan mak dan abah, lepas tu aku pun sudah meluah dekat Salwa dan Aira, dan malam nanti aku nak meluah dekat Ayden. Serius aku stress terpaksa bekerja sekali dengan Ammar.
Balasan mereka sama saja, "Sabarlahh Aisyh. Dah nama pun kerja," haha. Tapi bersyukurlah sebab mereka masih mahu mendengar luahan hati aku.
Aku tak balas pun mesej itu. Hanya cikgu-cikgu lain sahaja yang membalas. Aku malas dah lepas tengok nama aku terpampang di situ.
Sebabkan aku tak mampu buat apa-apa, aku pun bercadang untuk menjenguk kucing Ayden di bawah. Adalah juga kawan berbual aku sementara menunggu pukul enam. Pukul enam nanti aku nak masakkkan makan malam untuk Ayden. Dia balik tak menentu, maklumlah semenjak masuk kerja semula ini, dia cakap banyak kerjanya yang perlu disiapkan. Aku pun tak faham kehidupan seorang boss ni macam mana.
Perlahan-lahan aku menolak pintu kaca tersebut. Aku dah cakap, Ayden memang sayang gila dekat kucing dia sampai-sampai bilik ini ada pendingin hawa dan beberapa buah kipas siling sebab ruangannya agak besar. Makanan mereka pula, Ayden biasakan mereka makan ikan sardine rebus dan dilenyekkan. Ceh, kalau aku, aku bagi saja ikan tu tanpa lenyek. Gigi tajam kot, takkan tak dapat nak gigit sendiri.
Dan yang hebatnya, kucing dia tak bergaduh pun walau bercampur jantan betina. Mungkin sebab sudah terbiasa dari kecil. Tapi, mereka dipisahkan mengikut jenis kucing melalui kaca lutsinar. Jadi, kalau nak tengok kucing-kucing tu semua, ada pintu kaca di setiap ruangannya.
"Fatma, Oggy mana?" soalku kepada Fatma yang masih menyusukan anak kucing Parsi tersebut. Mak dia jenis yang tak nak menyusukan anak kalau dilihat agak besar sedangkan anak kucing itu masih mahu menyusu.
Jadi tugas Fatma ialah, menyusukan anak kucing menggunakan botol susu. Bukan susu badan ya kawan-kawan.
Oggy yang aku tanya tadi adalah kucing British Short Hair berwarna kelabu yang paling Ayden sayang sebab Oggy adalah satu-satunya kucing yang sama tarikh lahir dengan Ayden iaitu 8 Ogos. Apa yang dimaklumkan kepada aku ialah, Oggy berusia hampir setahun. Bulan 8 nanti, setahunlah umur dia.
"Oggy masih tidur, puan. Penat makan," jawab Fatma sambil tertawa dengan jarinya menunjuk ke arah katil kucing. Di situ, hanya Oggy sahaja yang tidur di situ. Satu perangai Oggy ialah, dia tidak suka berkongsi katil dan makanan dengan mana-mana kucing lain. Tapi, bila makanan diberikan kepada kucing lain, dia yang berebut. Ceh, mentang-mentang jadi kesayangan.
Aku sekarang masih berada di ruangan kucing Parsi. Setiap ruangan kucing, ada sekurang-kurangnya seorang pengasuh yang menjaga. Bertuahlah jadi kucing orang kaya. Makan, minum, tidur, sihat, sakit semua dijaga.
Stray cat pun ada. Cuma Ayden tidak tempatkan di rumahnya. Ada satu pusat tersendiri yang dia tubuhkan kepada mana-mana manusia yang tak tahan dengan perangai kucing jalanan. Di sana pun ada pengasuh dan penjaga tersendiri. Dah cakap, Ayden memang suka kucing sampai-sampai dia sanggup berhabis duit demi kucing-kucing tu semua. Tapi, dia tak pernah pulak nak jual kucing-kucing tu sebab dia cakap, kucing nilah kawan-kawan dia masa dia sunyi dulu. Hmm, aku tak tahu pulak laki aku ni pandai bercakap dengan kucing.
Bukan kucing sahaja yang dia layan begitu. Kuda-kuda dia pun sama juga. Lagipun, kuda-kuda dia tu adalah nadi sukan mahal dia, jadi, kenalah jaga elok-elok. Aku tak berapa pasti berapa ekor kuda yang dia bela. Yang pasti, dia sangat sayangkan Jessie, seekor kuda cacat yang ada tiga kaki sahaja. Dua kaki di hadapan, satu kaki di sebelah kanan bahagian belakang.
Aku pernah sekali pergi kandang kuda dia, memang nampaklah Ayden sayangkan dia sangat-sangat sampai-sampai dia sendiri yang bersihkan najis kuda itu. Dia sendiri yang beri makan dan minum.
Kalau dia keluar dan cakap nak pergi kandang kuda, tak lain tak bukan, memang dia tengah melawat Jessie. Dan pembetulan, Ayden takdelah gunakan Jessie sebagai tunggangan. Ayden simpan Jessie sebagai haiwan kesayangan dia. Dibelai dengan penuh kasih-sayang dan dicium macam dia cium mama papa dia.
Ayat yang dia selalu cakap dekat Jessie, "You don't have dis-ability, you only have different-ability". Dan aku tak pasti sama ada Jessie tu faham atau tidak apa yang Ayden bagitau dia, yang pasti, lepas sahaja Ayden cakap macam tu, mesti budak Jessie tu akan jilat Ayden sampai-sampai aku terkeluar sikit airmata tengok momen itu.
Dan ajaibnya, kuda itu boleh tahan laju berlari walaupun dengan tiga kaki sahaja. Mungkin sebab Ayden selalu bawa dia jalan-jalan. Layanan Ayden terhadap kuda-kuda dia sama sahaja, cacat mahupun tidak. Bezanya, kasih-sayang dia tu sedikit lebih dekat Jessie.
Aku? Aku tidak ada haiwan kesayangan macam Ayden. Tapi, aku bukan jugak dikategorikan sebagai anti-haiwan. Aku cuma sukakan haiwan, tapi tidak seobses Ayden. Aku tahap biasa-biasa saja, kalau kucing minta makanan, aku bagi. Kucing minta belai, aku belai. Macam tu jelah.
×××
Salam diberi, doa dibaca. Satu keistimewaan Ayden, apabila dia membaca bait-bait ayat Allah, aku boleh fokus dan terasa bergetar di ulu hati. Walaupun tak berapa faham bahasa Arab, tapi aku dapat rasa apa yang Allah sampaikan melalui firman-firmannya.
Kiamat, kematian, syurga, neraka, rezeki. Semuanya Allah sudah ceritakan di dalam Al-Quran. Seksanya hari kiamat, panasnya azab neraka, nikmatnya balasan syurga, berlimpahnya rezeki bagi yang berusaha, Allah sudah ceritakan lengkap di dalam Al-Quran. Kitab panduan sepanjang zaman.
Aku menerima huluran tangan Ayden dan aku kucup lama. Satu lagi dalam Islam, mencium tangan suami pun dapat pahala. Indahnya menjadi isteri, bukan?
Setelah aku mencium tangannya, Ayden pun mula mengucup kening dan kedua-dua belah pipi aku. "I miss you," bisiknya sambil menentang pandanganku. Pipiku masih dipegang kemas oleh tangan beruratnya itu.
"Tahu, siapa je tak rindukan Aisyh yang comel ni kan?" aku mula bergurau dan gurauanku disambut dengan senyuman nipis Ayden. Aku dah cakap, aku memang susah nak cakap lembut dengan Ayden. Mesti ada sahaja ayat sumbang aku bagi. Nasib baik Ayden jenis melayan sahaja. Tapi tak tahulah dalam hati laki ni terasa ataupun tidak.
"Aisyh," panggil Ayden sambil belakang badan aku diusapnya lembut. Aku pula mula melabuhkan kepala di atas riba Ayden. Kami masih berada di atas tikar sejadah, malah aku masih bertelekung.
"Apa?" soalku sambil memandang wajahnya yang kini sedang menunduk pandang aku.
"I ada benda nak tegur," ujarnya sambil mengusap kepala aku manakala sebelah tangan lagi dia genggam tangan aku, mempertemukan jari-jemari kami berdua. Sesekali jemari aku yang berada di dalam genggamannya, dibawa ke bibir dan dicium lama sebelum diramas lembut.
Kening aku terasa berkerut. Aku pandang wajah yang kelihatan tegang itu. Entah kenapa aku dapat rasa aku akan kena marah lepas ni.
"Apa?" dalam takut, aku cuba bersuara juga.
"Tadi, I terserempak dengan you masa you keluar dari rumah Salwa tadi," dia jedakan ayat sambil matanya memanah tepat ke dalam mata aku. Aku yang mendengar, terus tertelan liur. Jangan cakap dia jumpa aku merempit tadi!
Tapi, aku tak rasa apa aku buat tu salah. Yelah, aku lambat kot nak masuk kerja. Lagipun, awal pagi tadi tak banyak sangat kenderaan. Jadi, memang tak salahlah kan aku merempit? Tapi tak laju mana pun. 80km/j je.
Tapi tulah, terjerit jugak Salwa dekat belakang. Tapi bila aku ingat balik jam, terpaksa aku pekakkan telinga.
"Err, lepas tu?" soalku bodoh. Terasa tangan aku digenggam agak kuat oleh Ayden membuatkan aku mengaduh kesakitan dalam diam.
"Aisyh, I nampak apa yang you buat. You bawak motor laju-laju, lepas tu you langgar traffic light. You tahu tak bahaya apa yang you buat tu," urat dahi Ayden mula timbul dan telinganya kelihatan memerah.
Pfft, kalau soal tu, line clear kot. Kiri kanan takde kenderaan lalu tapi lampu masih merah. Kalau aku tunggu, memang lambatlah aku dan Salwa masuk kerja.
Tangan aku masih dalam genggamannya, tapi terasa ramasan itu sedikit kuat. Aku cuba untuk lepaskan tangan aku daripada genggamannya, tapi gagal sebab Ayden sepertinya tidak mahu melepaskan.
"Awak nak marahkan saya lah ni?" suara aku kedengaran tidak puas hati. Punyalah tadi aku berniat nak luahkan rasa geram aku terhadap Ammar Faiz dekat Ayden, sekali aku yang kena marah pulak. Dan entah kenapa aku rasa marah tiba-tiba. Mungkin sebab aku sedikit tertekan malam ini.
Aku duduk dan tarik tangan aku daripada genggaman Ayden. "Aisyh, memang patut pun kalau I marah dengan apa yang you buat. You tahu tak apa yang you buat tu bahaya? Macam mana kalau polis nampak you tadi? Macam mana kalau...."
Belum habis ayat Ayden, aku terus potong. Rasa amarahku membuak-buak. "Kalau polis saman pun, yang buruk nama, saya je. Bukannya awak. So, buat apa awak nak risau?" aku tentang pandangan tajam Ayden.
Kelihatan lelaki itu tarik nafas dan hela perlahan. Wajahnya memerah membuatkan aku rasa makin kecut perut. Janganlah dia tengking aku sudah. Dahlah hari ni mood aku ke laut. Lepastu, ingatkan nak meluah dekat Ayden, sekali aku kena marah pulak!
"Look. I tak kisah nak bayar saman tu semua. Tapi macam mana kalau ada lori datang dari depan, drive laju lepas tu takde brek. Dengan you pun laju..." Ayden jedakan ayatnya sambil menarik nafas dan hela berkali-kali. Kelihatan dadanya berombak.
"Duit boleh cari, Aisyh. Tapi nyawa, tak," sambungnya, kali ini sedikit lembut daripada tadi.
Tapi, lumrah seorang anak sulung macam aku, aku pantang terima nasihat. Lagi-lagi kalau nasihat itu aku terima dalam bentuk amarah, lagilah hati aku keras dan ingin memberontak. "Tapi saya ada je dekat sini, kan? So, tak payahlah nak besarkan isu".
Aku bangun dan tanggalkan telekung. Kaki aku melangkah menuju ke ampaian, tempat aku letak telekungku. Ayden kedengaran mengeluh di belakang, aku biarkan. Yang aku tahu perasaan aku sekarang hanya marah dan sakit hati. Segala perkara yang menyakitkan hati aku hari ini, aku lepas semua dekat Ayden.
"Bukan nak besarkan isu, tapi I nak tegur je supaya nanti you tak ulang perangai yang sama. You tahu tak, ni KL, sayang. Hari-hari orang mati accident".
"Awak nak doakan saya mati accident jugak ke?" aku tak tahu jin apa yang merasuk aku, belum habis ayat Ayden, aku pintas. Sudahlah suara aku sedikit meninggi sekarang.
"Astaghfirullahalazim. Sayang! Kalau I nak doakan you accident, I takkan tegur you. Kalau macam nilah tahap degil you, taknak dengar cakap I, lepas ni I akan suruh Haq yang hantar you. Kalau tak, I sendiri yang akan hantar you pergi kerja. Kalau you degil jugak, I tak izinkan you kerja," suara dia tidak meninggi, cuma nadanya kedengaran sangat tegas membuatkan bahu aku terhinjut akibat terkejut.
Aku toleh belakang, membalas pandangan tajam Ayden. Wajahnya sangat serius, tapi sikitpun tidak memadam rasa amarahku walaupun aku agak takut melihat wajah garang itu. "Saya takkan berhenti kerja sebab bila-bila masa je awak boleh ceraikan saya. Sekurang-kurangnya kalau awak ceraikan saya nanti, saya masih ada sumber rezeki sendiri untuk sara family saya. Dahlah Ayden, saya dah malaslah nak bincang pasal ni. Saya nak makan. Kalau awak nak makan sekali, makan. Tak nak, tak payah," okay, aku dah semakin kurang ajar. Aku sedar, tapi tak tahu kenapa aku tak dapat nak kawal perasaan.
Ayden raup muka sambil melepaskan keluhan berat. Sebelum dia meletuskan lebih banyak bom, cepat-cepat aku berlalu dari situ. Perut pun dah lapar sangat. Ingatkan nak buat romantic dinner dengan Ayden, sekali kami bergaduh pula. Ah, biarlah! Janji aku kenyang.
Setibanya aku di ruangan makan, kelihatan Ayden sudah berada di situ. Dia pakai lif lah tu. Itulah sebabnya dia lebih cepat daripada aku sedangkan aku guna tangga sahaja.
Tanpa bersuara, kami mula menjamah makanan. Kalau bersuara pun hanya Ayden sahaja sebab dia bacakan doa. Selebihnya, kami hanya berdiam diri. Masing-masing masih melayan ego sendiri. Sesekali Ayden pandang aku dan jarinya menyentuh pipi aku, membuang nasi yang melekat dekat pipi mungkin?
Apabila jarinya menyentuh kulit pipiku, aku jauhkan wajah. Aku masih sakit hati sebab dia marahkan aku tadi. Tapi, dia marah sebab risau Aisyh. Satu sisi hati aku bersuara. Dan satu sisi yang lain pula mengatakan yang dia tak boleh sesuka hati marahkan aku sebab walau apapun alasannya, dia tiada hak nak marah-marah. Tegur elok-elok tak boleh ke?
Makanan aku sudah mula habis. Apabila aku ingin bangun, Ayden tahan tangan aku. "Letak situ je pinggan. Nanti I basuh. You pergi masuk bilik".
Aku pandang sekilas wajah kacak itu. Aku ikutkan sahaja walaupun aku yakin muka aku dah macam lepas makan lemon seratus biji, masam namateh.
Selesai bersihkan tangan, aku terus naik bilik. Kali ini aku menggunakan lif sebab perut kenyang, tak larat nak panjat tangga yang sangat tinggi. Lagipun Ayden ada dekat rumah, jadi, kalau aku tersekat pun, Ayden boleh tolong. Ceh, tak malu kau Aisyh! Lepas bergaduh dengan Ayden, boleh pulak kau mengharap pertolongan dia.
Masuk bilik, terus aku melabuhkan punggung di atas katil. Telefon bimbit dicapai sambil aku mula menyandarkan diri pada kepala katil. Mata belum mengantuk lagi, mungkin sebab rasa marah yang tersisa.
Soalan-soalan pelajar, aku jawab. Bolehlah buatkan aku tergelak lepas berbual dengan mereka. Aira dan Salwa memang tidak akan mengganggu waktu malamku semenjak aku dah kahwin. Pelajar yang mesej ini pun sebab mereka bukannya tahu yang aku dah kahwin.
Aku toleh pada pintu, masih belum ada tanda Ayden akan masuk ke bilik. Ah, biarlah. Aku pun tengah sakit hati sekarang ni. Memandangkan para pelajar sudah tiada soalan untuk diajukan, aku mula menggesek aplikasi instagram. Dan tiba-tiba aku tertekan satu video dakwah daripada Ustaz Khalid Basalamah.
"Karena Subhanallah setiap orang yang sudah menikah ibu-ibu sekalian, suami itu kunci syurga. Kemas tuh manusia baik-baik, layani baik-baik, maka kita akan masuk syurga dengan itu, cuma tunggu sampai mati. Makanya syaitan selalu membuatkan kita durhaka. Kata Nabi SAW tentang hadits yang paling banyak wanita penghuni neraka. Lalu kata mereka, kenapa ya Rasulullah?
Kenapa kami paling banyak penghuni neraka? Maka kata Nabi SAW, apakah karena kalian durhaka sama orang tua? Apakah karena kalian tidak solat? Kata Nabi, karena kalian memungkiri kebaikan suami kalian!
Sampai seorang di antara kalian sudah dibuat baikin oleh suaminya banyak, dengan satu kesalahan dia mengatakan, saya tidak pernah lihat kebaikan selamanya darimu. Lupa semuanya gara-gara lupa dibeliin tas, lupa dibeliin bunga, lupa kalau sudah sepuluh tahun dikasi makan. Ini semua tidak boleh. Ini fadhilah. Memang begitu agama Islam, melayani suami adalah fadhilah yang besar".
Walaupun ustaz itu berbahasa Indonesia, tapi setiap kata-katanya menusuk terus ke dalam hati aku. Terasa bergetar tiba-tiba apabila teringatkan apa yang aku buat dekat Ayden tadi. Aku telan liur, kesat.
Apa aku dah buat? Ayden tegur aku je pun, bukannya dia hina aku. Bukannya dia suruh aku langgar perintah agama. Dia cuma suruh aku berhati-hati atas jalan raya. Tapi apa reaksi aku? Aku lawan dia dengan pakej tinggikan suara. Ya Allah, baru seminggu lebih kami kahwin, aku dah buat hal.
Aku ketap bibir. Apa aku nak buat? Eh, kenapa tanya macam tu. Sepatutnya, aku kena fikir ayat macam mana nak minta maaf dekat Ayden. Aku dah derhaka dekat dia kaw-kaw tadi. Macam mana aku tiba-tiba mati, lepastu tak sempat nak minta maaf? Apa aku nak jawab dekat Malaikat? Aku tiba-tiba rasa seram apabila teringatkan perkara tersebut.
Sedang aku melayani rasa seram yang melanda diri, tiba-tiba kedengaran pintu terbuka dan cepat-cepat aku menoleh ke situ. Kelihatan wajah tenang Ayden masuk ke ruangan bilik dengan wajah yang kebasahan. Mungkin dia ambil wudhu?
Tapi, tanpa dipinta, aku cepat-cepat menuju ke arah dia dan peluk dia tiba-tiba. Rasa malu tak payah cakap, punyalah tadi tegang urat aku melawan dia, tapi sekarang aku yang datang peluk dia.
"Hey, kenapa ni sayang?" Soal Ayden sambil dia teragak-agak membalas pelukan aku.
"Sorry," kataku sambil melekapkan wajah pada dada bidang itu.
Ayden usap belakang aku. Buat seketika, kami diam sambil pelukan pada badan aku semakin dieratkan. "Kenapa tiba-tiba ni? Hmm?" Soalnya setelah agak lama kami berdiam diri. Ubun-ubun aku terasa dicium lama.
Aku eratkan pelukan pada tubuh sasa itu. "Saya- err. Saya takut, kalau saya tiba-tiba meninggal masa saya derhaka dekat awak," jawabku lambat-lambat.
Terus Ayden leraikan pelukan. Wajah aku didongakkan dan kelihatan wajah dia gusar tiba-tiba. Jarang aku tengok muka dia macam ni. "Jangan cakap macam tu," dingin suaranya sebelum bibir itu mendarat di dahiku.
"I tak nak kehilangan you," sambungnya lagi selepas ciuman dilepaskan. Kemudian, tangan aku ditarik dan kami melangkah keluar bilik bersama-sama.
"Awak nak bawa saya pergi mana ni?" Soalku pelik sambil mengikut sahaja langkah dia yang kini sudah masuk ke perut lif.
Ayden senyum sahaja membalas persoalan aku. Setelah lif terbuka, sekali lagi aku rasa hairan. "Dah kenapa kita pergi sini?" Pelik, pukul 10 malam dia bawa aku ke rooftop ini. Dia nak tolak aku ke bawah ke? Ah sudah, mula dah perangai buruk sangka aku ni.
Ayden masih tidak menjawab, sebaliknya dia mula melabuhkan punggung di atas buaian besi yang terletak di kawasan ini. Tubuhku ditarik dan didudukkan di atas ribanya.
"Jujur I bagitau you, sebelum ni, I selalu pergi pub. I stress, so I pergi sana nak buang rasa stress. Tapi I tak pernah teguk arak, I tak pernah sentuh rokok, I tak pernah tidur dengan perempuan.
Pelik kan? I pun tak tahu macam mana I boleh kawal nafsu I bila tengok perempuan menari dalam pub. Diorang raba I, goda I untuk menari, tidur dengan diorang, I tolak sebab memang tujuan I pergi sana just nak release tension, dengar muzik rancak. Betul, stress I hilang. Tapi, jiwa tak tenang. Mungkin sebab I solat, tapi masih melangkah kaki dekat sana". Tiba-tiba dia bercerita tanpa aku pinta. Dia jedakan ayatnya sambil mula memeluk tubuhku.
Aku? Memang sejujurnya aku terasa sedikit terkedu mendengar. Biar betul Ayden pernah jejakkan kaki ke sana? Serasa macam tak sangka, tapi, apabila melihat kehidupan mereka yang agak kebaratan, jadi, sedikit demi sedikit aku buang rasa terkilan. Lagipun, kisah ni adalah masa dia sebelum kahwin. Sekarang, dia sudah sah menjadi suami aku dan tidak pernah lagi aku tengok dia keluar malam-malam.
"Dah lama I rasa I tak tenang. I solat, tapi hati masih gelisah. Jadi, sikit-sikit I mula tinggalkan pub. Kalau perasaan nak pergi pub tu kuat, I akan keluar. Ambik angin malam. Tenang. So, bila I tengok cara you marahkan I tadi, I dapat rasa yang you stress. Kan? Sebab tu I bawak you pergi sini, hirup udara segar malam-malam. Mana tahu you boleh hilangkan stress". Awwww, dia ni memang macam tahu-tahu sahaja aku ni macam mana. Aku stress pun dia tahu. Padahal aku taknak menunjuk sangat yang aku stress tadi.
Lambat-lambat aku anggukkan kepala sambil menyandarkan tubuh pada dada bidang Ayden. "Haah, saya stress sangat hari ni". Perlahan suara aku menuturkan kata-kata itu.
Ayden urut lengan aku ke atas dan ke bawah, terasa geli, tapi dalam masa yang sama rasa selesa. "Kalau you nak luah, luahkan". Ujarnya lembut sambil bibirnya terus mencium ubun-ubun aku.
"Kalau saya cakap ni, awak jangan pergi serang sekolah saya pulak tau". Itu amaran aku. Tanpa melihat wajah Ayden pun aku dapat rasa yang dia tengah pelik mendengar amaranku.
Tanpa menunggu dia menyoal, aku pun terus membuka mulut bercerita. "Sebenarnya, ex saya mengajar dekat sekolah yang sama dengan saya," sebaik ayat itu kulontarkan, terus terasa degupan jantung Ayden berdegup dengan laju manakala pelukan pada tubuh aku dieratkan membuatkan tiada ruang pun yang memisahkan kami.
Aku duduk diam dalam pelukannya sambil menggeliat kegelian apabila hidung mancungnya mula bermain di bahu.
"Okay, then?" Dingin suaranya. Rasa nak tergelak pula.
"Sebelum ni, saya rasa amanlah sikit dia tak kacau sangat. Tapi, lepas saya ambik cuti seminggu, Salwa cakap dekat saya yang dia selalu cari saya. Dan hari ni, dia masuk kerja balik sebab sebelum ni dia ada kursus subjek Kimia. Dia....".
"Dia kacau you? Dia buat apa dekat you?" Potong Ayden cepat-cepat. Aku tergelak kecil mendengar suara dingin Ayden.
Aku pandang wajahnya, walaupun ruangan ini tidak terlalu cerah, tapi dapatlah aku nampak riak wajah Ayden yang agak tegang. Apatah lagi degupan jantung dia terasa tidak menentu daripada tadi. "Dia cuba pikat saya balik". Ringkas jawapanku membuatkan nafas Ayden terasa tidak menentu.
"You.. you terpikat balik ke dekat dia?" Perlahan suaranya, tapi terasa aura kutub utaranya.
Aku gelak. "Tak ada maknanya saya nak terpikat dekat dia. Kalau saya terpikat balik dekat dia, tak adanya saya nak stress lepastu termarahkan awak tadi," terasa nafas Ayden dihela, menyentuh kulit bahuku. Lega mungkin lepas mendengar jawapan aku.
"Lagipun, sekali saya dah benci, saya benci betul-betul. Maafkan memang ya, tapi, untuk lupakan memang tak. Lagilah untuk beri peluang kedua, lagilah saya tak mampu. Saya tak sekuat tu.
Sebabkan dia, saya serik sebenarnya untuk percayakan lelaki. Sebab tu, saya susah nak terima awak dulu. Sebab saya takut, saya akan kena tipu lagi. Saya benci sangat dekat orang yang tipu saya. Sekali dia dah hilangkan rasa percaya saya, selamanya dia takkan layak dapatkan kepercayaan saya lagi dah," panjang lebar aku meluah. Terasa puas hati walaupun kalau ikutkan rasa geram aku, aku nak saja mencarut dekat Ammar Faiz.
Terasa degupan jantung Ayden kembali tidak menentu. Aku toleh ke atas, memandang wajahnya. Kelihatan tenang, tapi, hatinya tidak. "Kenapa awak gelisah je ni? Ada benda yang ganggu awak ke?" Soal aku prihatin.
Ayden senyum nipis sambil menggeleng. "I janji, I akan jaga you dengan baik. I akan buktikan, you tak pilih lelaki yang salah," suara serak seksi itu kedengaran sambil tangan besar ini membelai rambutku yang sengaja dilepaskan begitu sahaja.
Aku senyum. "Baguslah kalau macam tu. Tapi, awak dah maafkan saya ke tentang tadi?"
"I tak marahkan you, sayang. I cuma risau je. Sorry kalau I buatkan you stress. Tapi, janji lepas ni yang you tak buat macam tu lagi dah. Bahaya tau tak".
Aku angguk. Aku janji takkan bawak 80km/j. Tapi, 81 ke atas tu aku tak janji. Hahaha. Aku gelak jahat dalam hati.
"Tapi, mulai esok, I akan ikut you dari belakang. Kalau you bawak laju, lusa dan hari-hari seterusnya I memang akan hantar you". Pfffttt, okay fine. Terbatal niat aku untuk bawak 81-100 km/j.
Aku mencebik. "Okay fine".
Kami terdiam lagi, benar kata Ayden. Suasana pinjaman Allah malam-malam dekat rooftop ini terasa tenang sangat. Hati aku pun dah tak gelisah macam tadi.
Setelah agak lama mendiamkan diri, Ayden pun mengajak aku untuk masuk lepas tengok aku menguap banyak kali. Dia offerkan diri untuk angkat, tapi aku tolak. Segan sebab aku hanya pakai seluar pendek paras bawah lutut sahaja. Buatnya seluar aku ditiup angin malam, tak ke pasal-pasal tersingkap ke atas. Dahlah seluar ni besar.
Dalam perjalanan kami menuju ke bilik, terasa telefon di tanganku bergetar menandakan ada mesej masuk. Aku buka mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp tersebut.
Aish, ni awak ke? Tlg save nmbr ni. Ammar Faiz ni
Berderau darah aku apabila membaca mesej yang dihantar. Dahlah ejaan nama aku salah! Aish, Aish. Ejaan nama aku A. I. S. Y. H okay!
Aku pandang Ayden, lelaki itu masih tenang menanti pintu lif terbuka. Aku turn off telefon dan aku seenkan sahaja mesej itu.
Tak perlu tanya macam mana dia dapat nombor aku kalau dah sah-sah semua guru sekolah ada dalam group Telegram sekolah.
#Tiada harapan lain dpd sis melainkan mengharapkan readers semua terhibur. Chapter pung pang pung pang ni sis buat sebab sis taip guna hp. Biasa guna laptop. Tp hari ni tukar selera. Jadi, sorry eh kalau x memenuhi citarasa anda.
#Semoga terhibur awak smua ??
Share this novel