BAB 1

Romance Series 128902

“AKU terima nikahnya Nureen Raisyha binti Dahlan dengan mas kahwin sebanyak RM 5000 dibayar tunai”.

“Sah?”

“Sah”.

Neil Ayden Raeqal perlahan menapak ke arah aku. Berbahang rasanya muka aku melihat si dia yang segak berbaju Melayu berwarna sedondon denganku. Putih. Sesuci cintaku padanya. Awws.

Kini, dia sudah berada di depanku dengan memegang sebentuk cincin emas bertatahkan berlian. Dia menggapai tanganku dan cincin itupun meluncur lancar memasuki jari manisku yang runcing ini.

Tibalah saat yang dinantikan. Dinantikan? Ceh, gatal naw! Ciuman pertama daripada seorang lelaki. Inilah kali pertama aku akan dicium oleh seorang lelaki yang bukan mahramku. Ayah pun jarang cium aku, bukan ayah yang taknak. Tapi aku yang segan. Kali terakhir ayah cium, rasanya masa aku dekat sekolah tadika dulu. Lama? Memang lama. Tapi, sayang aku pada ayah masih tinggi dari dulu sampai sekarang.

Sedikit sahaja lagi bibir Tuan Ayden hendak menyentuh dahiku, tiba-tiba..

"Ooo, Aisyh. Matahari dah tegak atas kepala, masih membuta lagi?" suara mak memecah mimpi indahku. Mimpi? Ya, memang tepat sekali.

Aku membuka mataku. Mengeluh seorang diri apabila mimpi indah itu pecah berderai begitu sahaja. Jarang tau nak mimpi macam ni. Aduhhh, melepas!

Buka sahaja mata, aku dapat rasa ada sinaran yang begitu silau sekali. Rupanya mak membangunkan aku dengan kejam. Dia buka tirai dan tingkap, mengizinkan segala jenis cahaya dan udara dari luar masuk ke dalam bilik ini.

"Mak, apeni? Mak tahukan anak mak ni vampire, mana boleh kena cahaya," aku tekup wajah dengan bantal sambil sebelah tangan mencapai selimut. Selimut itu kemudian diselubung menutupi tubuhku dari hujung kaki hingga ke hujung kepala.

"Banyaklah kamu punya vampire. Vampire tak adanya tidur dalam bilik serabai macam ni. Dah, bangun sebelum mak simbah kamu guna air".

Amaran daripada mak membuatkan aku bangun serta-merta. Hello, Puan Norlaila Binti Samad yang bersuamikan Encik Dahlan Bin Kamarul itu bukan calang-calang orangnya. Sekali dia bagi amaran, tak dengar, memang siaplah. Amaran dia bukan amaran kosong. Kalau simbah dia cakap, simbah itulah yang akan dia buat.

Aku duduk sambil menggeliat malas. Air coconut shake di pipi aku lap guna bantal. Antara sebab orang tak berani pakai barang aku adalah ini, suka hati lap coconut shake di mana-mana aku suka. Dan, disebabkan perangai inilah, aku diberi larangan keras untuk tidur di ruang tamu.

“Menggeliat lagi. Pergi mandi sekarang Aisyh!” suara mak dah naik seoktaf. Aku pulak, dah biasa dengar, hanya terangguk-angguk kepala.

“Sabar mak. Bagi masa Aisyh nak rehat. Kejap je. Lagipun, masa study dulu, susah tau Aisyh nak dapat masa emas macam ni. Ni, dah habis belajar, Aisyh nak manfaatkan dengan baik”. Aku bersama mata kuyuku, membalas pandangan geram mak.

Mak bercekak pinggang. “Eloklah jawapan kamu tu. Elok sangat. Zaman study tu, kamu dah tinggalkan berapa lama dah? Ni, dah nak jadi cikgu, perangai masih macam ni. Macam mana kamu nak jadi pendidik kalau macam nilah perangai kamu?” ah sudah. Mak pergi ungkit pulak.

Ya, aku dah lama tamat belajar. Dah praktikal dah pun. Tinggal nak mengajar secara tetap je lagi. Kat sini haa, kat KL ni. Dan sekarang pun, aku tengah menyewa dekat salah sebuah rumah di KL ni. Nak beli, belum mampu. Jadi, menyewa jelah yang aku mampu buat masa ni.

Jadinya, sekarang ni aku kerja di kedai bunga sementara menunggu masa nak mengajar. Aku kerja ni pun sebab nak bayar rumah sewa yang aku sewa sebulan lebih awal daripada tempoh aku akan bekerja sebagai guru. Nak kerja dekat pekan, berapa sangatlah gaji tu. Baik aku kerja kat sini.

Ish, kenapalah aku tak dipostingkan dekat kampung je. Kalau kat kampung kan senang aku nak balik rumah. Tak payah sewa-sewa rumah. Tak keluar macam tu je duit aku. Kenapa perlu sewa? Hari tu, aku terima khabar yang rumah flat kosong dekat sekolah tu berhantu.

Jadinya, aku tak nak korbankan diri aku jadi mangsa rasukan seterusnya, aku bagitau dekat pengetua yang aku nak sewa rumah je.

Sebut pasal sewa. Uwaaaaaa!!!!!

“Mak! Pukul berapa dah?!” aku dah kelam kabut. Telefon daripada tadi aku tak jumpa kat mana.

“Pukul 8.30 pagi”. Jawab mak sambil tayang muka pelik tengok aku yang dah mula kelam-kabut.

Aku pulak dah serupa emoji wajah biru dalam whatsapp tu. Mampuslah aku, dahlah hari ni first day kerja. Dah buat hal.

“Kenapa mak tak kejutkan Aisyh awal-awal?” omelku lantas mencapai tuala dan berlari keluar dari bilik. Ada masa satu jam sahaja lagi untuk aku bersiap dan pergi ke tempat kerja. Sempatke? Aku bersiap dah berejam. Aduuuuuhh.

“Bertuah punya anak. Aku dah kejutkan kamu pukul 7 tadi dah. Kamu yang tak bangun-bangun. Ni, bilik ni. Memang takkan dikemasnya ni nanti”. Aku dengar suara mak melaung dari bilik sambil membebel.

Aku pulak tak habis-habis ketuk kepala sendiri. Apalah yang aku buat ni? Tak sedar diri langsung kalau dah tidur.

×××

Setibanya di kedai bunga tempat aku bekerja, aku pun terus masuk dan terbaring di atas lantai. Aira pandang aku yang sudah basah lencun pakaian akibat daripada peluh. Bau badan jangan cakap lagi dah, memang dah serupa macam budak-budak berlari keliling kampung.

Nasib baik mak datang semalam. Mungkin dia ada firasat yang aku akan lambat turun kerja kot membuatkan mak ambil keputusan untuk menginap dua tiga hari di rumah sewa aku. Abah pun ada, cuma, sebab perjalanan jauh, abah demam. Abah tak tahan tunggu lama dalam kenderaan. Cepat mabuk dan cepat demam.

Oh ya, aku ada seorang adik lelaki. Nama dia Nuwair Rashdan. Annoying gila nak mampus. Mungkin sebab jarak usia kami yang sedikit jauh membuatkan aku memang tak ngam dengan dia. Ada je benda nak gaduh. Fuh, nasib baik dia tak ikut pergi KL ni. Kalau tak, memang riuh rumah aku asyik bergaduh dengan dia. Tapi kan, seminggu aku dekat rumah sewa ni, sunyilah sikit. Eh, bukan sebab aku rindukan dia. Tapi, sebab aku duduk seorang diri je.

“Weh, kau okay tak ni?” aku dengar Aira menyoal. Aira ni kawan baik merangkap bos aku sekarang.
Dia ni dahlah baik, cantik pulak tu. Mana taknya lelaki yang jarang sukakan bunga, boleh datang ke sini beralasankan nak beli bunga, padahal nak jumpa owner dia. Haha.

Dengan matanya yang bulat dan mempunyai bulu yang melentik, menampakkan dia bukan anak melayu biasa, dah macam ada kacukan padahal berdarah Melayu asli. Hidung mancung, bibir merah yang mungil dan berlesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Bab kulit tak payah cakap. Memang putih bersih, persis pelakon Korea. Tinggi lampai dan menutup aurat. Selain tu, dia ni memang genius. Kau bayangkan, dari zaman UPSR sampailah ke SPM, dia dapat straight A's. Zaman universiti pulak, dapat anugerah dekan. Pendek kata, dia ni kira sangat full packagelah.

Aku? Aku ni biasa-biasa je. Gadis kampung. Kulit pun tak berapa nak cerah, tinggi apatah lagi. Memang tak tinggilah jawabnya. Hidung taklah mancung, taklah jugak sampai jadi jambu. Separa mancung je. Mata biasa-biasa je. Takdelah berwarna coklat gelap macam Aira. Tak, anak mata aku hitam je. Bibir taklah tebal, tapi, taklah jugak sampai mungil. Kalau nak bandingkan aku dengan Aira, bibir Aira tu tak payah calit lipstik pun dah merah dan lembap. Aku ni, calit lipstik pun masih nampak kering. Tengok betapa bezanya aku dengan Aira?

Mungkin, disebabkan itulah aku ditinggalkan oleh Ammar Faiz dulu kot? Yelah, aku ni tak cantik macam Aira. Mana taknya laki tu kejar Si Aira lepas aku bawak budak tu balik kampung. Ya, Ammar Faiz putuskan hubungan kami sebaik sahaja dia jumpa Aira. Mahu tak menangis aku dibuatnya. Dah lama kot kami bercinta, sekelip mata sahaja hubungan itu punah hanya disebabkan cinta pandang sekejap terhadap kawan baik aku sendiri.

Bencikan Aira? Memang taklah. Takde sebab aku nak bencikan dia. Cemburu tu semestinya ada, yelah, dia boleh je cari mana-mana lelaki yang dia nak sebab dia cantik. Sedangkan aku? Nak tahankan lelaki macam Ammar Faiz pun tak lepas, inikan pula nak dapat lelaki yang jauh lebih kacak daripada lelaki itu.

Aira terlampau baik dekat aku. Dari zaman sekolah dulu lagi dah dia banyak tolong aku. Jadinya, aku memang tidak pernah terdetik nak bencikan dia hanya kerana seorang lelaki. Lagipun, Aira langsung tak layan Ammar Faiz. Bukan sebab dia bekas aku ataupun nak jaga hati aku, tapi, sebab perangai lelaki tu sendiri. Bak kata Aira, “Aisyh, kau jangan risau. Aku takkan termakan pujuk rayu Ammar tu. Dia ingat dia tu hebat sangat putuskan kau, lepas tu kejar aku? Dia tak tahu ke yang kita ni bestfriend? Baguslah korang putus tu, tak adalah kau hidup dengan lelaki miang bodoh macam dia”.

Sejak daripada kes Ammar tu, aku tutup terus hati aku untuk lelaki. Tapi, tak bermakna aku nak jadi pengkid. Aku cuma belum sedia hendak menerima mana-mana lelaki di dalam hidup aku semula. Aku sedar kedudukan aku kat mana.

Tapi, tulah. Kebelakangan ni, aku ada minat dekat seorang cucu salah seorang ahli korporat. Nama dia Neil Ayden Raeqal. Gila, dia tu memang sempurnalah. Sekali pandang, persis pelakon Thailand yang kacak tu. Sunny Suwanmethanont. Haha, memang pelik nama dia. Tapi, muka dia… Awwwws, handsome.

Tapi, Neil Ayden Raeqal tu lebih kacaklah daripada pelakon tu. Taklah lebih kacak sebenarnya, tapi, perkataan yang sesuai adalah lebih berkarisma dan punya aura tersendiri. Aku tak tahu, kalau aku tengok je cucu korporat tu, hati aku macam dup dap dup dap. Cinta? Kahkah, sekalipun aku cintakan dia, dia tu takkan pandang aku pun. Macam aku cakap tadi, Ammar Faiz orang kampung tu pun tak pandang aku, inikan pulak anak orang kaya-raya tu. Memang mimpilah!

“Ni, kau ni dah kenapa basah ni? Setahu aku, kat luar tak hujan pun?” Aira menyoal pelik sambil pandang aku terbaring dengan nafas yang tercungap-cungap.

Aku meletakkan lengan di dahi, memang berdegup kencang jantung aku sekarang ni. “Tadi.. tadi.. aku lewat bangun. Lepas tu, aku lupa yang motor aku tak isi minyak lagi. Baru je aku keluar simpang tadi, terus enjin motor aku mati. Nak patah balik, jam dah pukul  9.10. jadi, nak taknak, aku tolaklah motor aku selaju yang mungkin. Nasib baiklah tak jauh sangat,” aku gelak dalam nafas yang tercungap. Teringat betapa cemasnya aku tadi membuatkan aku geli hati. Punyalah aku kuat nak tolak motor selama lima belas minit. Dengan badan aku yang tak berapa nak besar ni, memang aku rasa ada semangat lain dalam badan aku masa tu tadi. Mana taknya, risau kena pecat di hari pertama bekerja. Haha. Nanti, kalau aku kena pecat, aku nak bayar rumah sewa guna duit apa?

“La, kenapa tak call aku? Kau ni kan, suka betul buat benda pelik-pelik,” kedengaran Aira di kaunter bayaran mengeluh. Aku buka sedikit mata melihat wajah Aira yang kerisauan memandang ke arah aku yang sedang terbaring bagaikan ditembak di atas lantai kedai bunga sekarang ini.

Aku tutup semula mata. Pitam dah aku sekarang ni. Yelah, aku ni mana boleh buat kerja berat kalau tak sarapan. Cepat pitam.

“Takkanlah aku nak suruh boss aku sendiri yang jemput? Seganlah macam tu. Apelah kau ni,” aku cuba tergelak walaupun aku yakin suara aku antara kedengaran  dengan tidak sekarang.

Aira tidak membalas gurauan aku. Kedengaran derapan wedgesnya menuju ke arah aku. “Aisyh, aku rasa kau tak sarapan ni kan? Kau ni, aku tak tahu nak kategorikan manusia spesies apa. Suka buat benda yang bukan-bukan. Kejap, aku nak keluar kejap belikan kau makanan. Kau ni, kan”. Mulut Aira dah serupa bertih jagung memarahi aku. Dia memang tahu benar tentang diriku yang tidak boleh skip sarapan pagi.

Setelah aku rasa pening aku sedikit lega, aku pun berusaha untuk bangun dan duduk di atas kerusi. Tidak lama kemudian, Aira pun datang bersama tapau di tangannya.

“Nah, kau makan sekarang. Muka pucat lesi macam ni. Kalau tahu diri tu sakit, kenapa tak Whatsapp aku, bagitau yang kau tak dapat turun kerja. Tak adalah kau sakit macam ni,” bebel Aira sambil menghulurkan tapau tersebut kepadaku.

Aku menerimanya sambil mengucap terima kasih buatnya. Aku dah cakap, Aira ni baik sangat. Persis watak heroin di dalam novel-novel di pasaran. Kalau manusia macam akulah yang jadi heroin di dalam novel, aku rasa, memang tak laku novel tu. Yelah, dahlah buruk, perangai tak senonoh, suka berangan pulak tu. Kau rasa?

“Aku kan dah cakap, aku tak nak susahkan boss. Dahlah hari ni first day tau aku kerja, takkanlah aku nak buat hal. Kau ni pun, agak-agaklah,” aku ketawa sambil mengunyah mee goreng pemberian Aira. Aira berdiri sahaja di hadapan aku, perhati aku makan.

“First day tak first day. Kesihatan kena jaga, Aisyh,” dah serupa mak aku pulak budak ni nasihatkan aku. Aku iakan sahaja sambil menghabiskan mee goreng tersebut. Baru sahaja aku terfikir nak buat air, Aira terlebih dahulu hulurkan air kepada aku. Fuh, dia ni memang ajaib betul. Macam tahu-tahu je apa yang tengah aku fikirkan.

“Terima kasih”.

“Sama-sama. Kau rehatlah kejap kat dalam. Aku nak kemaskan apa yang patut,” arah Aira.

Aku menggeleng. “Takpelah. Aku dah sihat ni. Aku lapar je pun, bukannya sakit tenat sampai-sampai tak boleh nak kerja,” aku memujuk Aira.

Aira pula menghela nafas dengan perlahan. “Susah betul nak bercakap dengan kau, kan? Yelah-yelah, suka hati kau”.

Aku tersengih. Tak susah sangat nak pujuk Aira. Bagi je ayat pedas sikit, terpujuklah dia tu. Kehkeh.

Sedang kami berdua kemaskan kedai bunga ini, tiba-tiba Kak Maira Anastasia, kakak kepada Aira berlari masuk ke dalam kedai ini dengan wajah yang sangat gembira. Aku dan Aira melihat gelagat Kak Ana dengan wajah pelik. Dah kenapa pulak Kak Ana ni?

“Kak, kau dah kenapa kak? Nak cakap kena kejar hantu, rasanya tak sebab muka akak happy lain macam. Ke, akak kena kejar lelaki handsome?” gurauan Aira membuatkan aku tergelak. Yelah, muka Kak Ana sekarang dah serupa orang angau dah.

Kak Ana petik jari. “Hampir tepat, tapi, tak terlalu tepat. Sebenarnya tadi kan, kakak kan jalan-jalan cari sticker untuk hias dekat kedai kita ni, tiba-tiba kakak tengok ada ramai orang, tak jauh daripada kakak beli sticker. Kakak kan curious, so, kakak jalanlah dekat orang ramai tu nak tengok. Mana tahu ada jualan murah ke apa. Sekali kakak tengok, yang ni lebih best daripada jualan murah. Nak tahu tak apa dia?” Kak Ana pandang muka aku dan Aira sambil angkat kening berkali-kali.

Kami menggeleng. Yelah, takkan nak angguk, padahal kami tak tahu pun apa benda tu.

Kak Ana senyum lebar. “Kakak jumpa Neil Ayden Raeqal! Siap dapat bergambar sekali dengan dia!!!” jerit Kak Ana membuatkan seluruh kedai ini bergema dengan suaranya.

Aku dan Aira yang mendengar, memberi reaksi yang berbeza. Aku melopong, manakala Aira hanya tayang muka keliru. “Seriously? Oh my God, Kak Ana! Cemburunya!”

Kak Ana tunjukkan telefon bimbit itu kepada kami berdua. Aku yang melihat terasa ingin pitam sekali lagi. Serius aku cemburu. Ya Allah, memang betul-betul kacak lelaki tu!

“Siapa dia tu?” dalam kegirangan aku dan Kak Ana, Aira boleh pulak soal macam tu.

“Dik, dia ni bakal pengurus syarikat Neil A. Corporation yang glamour tu! Takkan tak kenal?” aku memang tahu yang Aira ni memang jenis tak layan benda-benda macam ni. Tapi, tak sangka pulak kakak dia boleh bagi reaksi melampau macam tu. Kelakar pun ada.

Aira menggeleng. “Takdelah famous sangat kalau macam tu. Aku tak kenal dia pun,” Aira tersengih sambil meneruskan kerjanya. Aku dan Kak Ana yang mendengar, terus melopong tak percaya. Takkan dia tak terpikat pun tengok Ayden tu walaupun tak kenal? Eee!

“Kau dah kenapa pulak Aisyh? Macam sedih pulak? Kau cemburu eh tak dapat ambil gambar dengan Neil Ayden?” Kak Ana jongket kening sambil lemparkan pandangan nakal ke arah aku.

Aku mencebik. “Mana ada”. Aku menafikan walaupun aku tahu reaksi wajah aku yang kecewa tidak dapat disembunyikan.

Kak Ana tergelak. “Dahlah, tak payah nak kelentong sangatlah Aisyh. Aku rasa, dia ada lagilah kat sana. Apa kata kau pergi sana sekarang”. Kak Ana beri cadangan. Aku yang mendengar, hanya tertawa sahaja.

“Tak adanya saya nak pergi sana, kak oi. Motor saya habis minyak. Takpelah, dah bukan jodoh saya. Nak buat macam mana,” aku pasrah. Ikutkan hati, mahu sahaja aku berlari ke sana sekarang, nak bergambar sekali dengan Neil Ayden itu. Dapat bergambar dengan muka beku itu pun dah tersangat bermakna bagi aku.

Tapi apakan daya, aku kena kerja. Walaupun ni kedai kawan baik aku, tak bermakna aku boleh ponteng sesuka hati. Lainlah kalau ni kedai bapak aku. Kalau tak, dah lama aku pecut ke sana sekarang ni.

Kak Ana hanya tersenyum melihat reaksi aku. “Kalau dia bukan jodoh kita berdua, kakak yakin dia jodoh Aira. Yelah, biasa dalam cerita, orang yang paling tak peduli tentang lelaki famous macam nilah biasanya akan kahwin dengan lelaki tu. Tak gitu, Aisyh?”

Perghhh, entah kenapa aku cemburu pulak mendengar kenyataan Kak Ana ni. Tapi, kalau diikutkan, ada logik jugak kata-kata dia. Aira cantik, lepas tu, Neil Ayden Raeqal pula kacak orangnya. Memang kalau dalam novel, orang beginilah yang berjodoh. Tapi, tatatapi, aku minat dekat Ayden tu sangat-sangat. Mampu ke aku tengok kawan baik aku berkahwin dengan orang yang aku minat tu?

Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Cemburu, aku pendam. Hmm, susahnya jadi insan berwajah biasa macam aku. Nak kahwin dengan anak raja pun, perlu berangan je. Kalau boleh ditukar, nak sahaja aku tukar kehidupan sebenar aku dengan kehidupan fantasi aku selama ini.

Dan untungnya jadi cantik macam Aira. Tak perlu nak berangan macam aku, memang sah-sah dia dapat. Hmm. Tak bersyukurkah aku ni?

×××

Okay. Jam pulang. Aku teruja sangat nak balik sebab nak belikan makanan untuk mak dan ayah dalam rumah. Rindunya dekat mereka berdua. Mana tidaknya, lusa, mereka berdua akan balik kampung. Hmmm. Sunyi baliklah aku nanti.

Ada memang ada Aira ajak aku menginap di rumah keluarganya. Tapi, aku seganlah nak tidur rumah mereka. Takkanlah sepanjang hari persekolahan aku nak menginap di situ. Jadi, aku sengaja mencari rumah sewa yang dekat dengan sekolah untuk menjadi alasan aku mengelak daripada tidur di rumah mereka. Aku ni anak sulung, orang kampung, jadinya, aku dah terbiasa hidup berdikari.

Sedang asyik aku memikirkan tentang menu makan malam ini, tanpa sengaja aku membelok tanpa memberi signal. Kalau budak-budak Instagram dan Twitter tengok perangai aku sekarang, memang kena cop babi mentah-mentah ni. Yelah, aku dah banyak kali tengok orang yang tak bagi signal masa membelok ni diumpamakan sebagai babi.

Aku terlanggar sebuah kereta mewah. Bukan akulah, motor aku. Mahu tak berderau darah aku melihat apa yang telah aku langgar. Kereta mewah okay. Membulat mata aku melihat, bukan kerana aku teruja, tetapi, aku takut dengan benda yang aku langgar sekarang.

Cepat-cepat aku dirikan motor aku. Ikutkan rasa takut sekarang ni, mahu sahaja aku pecut motor ni laju-laju balik rumah, kunci pintu. Hoi, kereta mahal tu hoi. Walaupun aku ni bukannya mahir sangat tentang jenama kereta, tapi, kalau dilihat dari segi kilatnya warna hitam tu dan dengan bentuk kereta tersebut, memang aku tahu kereta tu kereta mahal. Tapi tulah, kalau aku dah mula cemas, memang kelam-kabut macam nilah keadaan aku sekarang.

Kemudian, seorang lelaki tua keluar dari tempat memandu. Aku syak, ni mesti drebar si kaya ni. Aduh, aku ni dahlah gaji cukup-cukup untuk bayar rumah sewa. Takkanlah nak kena bayar ganti rugi kereta ni pulak.

Aku genggam tangan aku sendiri. Dah berpeluh dan sejuk dah tangan aku, membuktikan betapa aku takut dengan keadaan sekarang. Ya Allah, KAU tolonglah hamba-MU ini. Aku tak tahu nak buat apa. Aku tahu ni semua salah aku, tapi, aku jugak tahu yang KAU telah takdirkan aku macam ni. Ya Allah, permudahkanlah urusan aku.

Macam-macam dah doa yang aku baca sampai tertutup rapat mata aku menanti kata-kata kesat yang bakal dihamburkan sebentar lagi. Janganlah ada yang gatal tangan tolong viralkan kisah aku ni. Nak letak mana muka cantik aku ni nanti?

“Miss, are you okay?” fuh, tak sangka. Orang tua tu punya suara yang macho dan pandai speaking Omputeh kau! Aku cuba menahan gelak dengar ayat aku sendiri kerana takut orang tua tu saja nak pancing aku. Mana tahu lepas ni teruk aku dimarahnya nanti.

“Sorry, sorry. Uncle ke pak cik, saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya tahu saya salah, tapi jangan bawak saya pergi balai uncle. Mak ayah saya tunggu saya balik rumah ni. Ya, saya tahu salah saya tak bagi signal masa nak membelok tadi. Tapi, saya masa tu tengah fikir menu apa yang sesuai untuk makan malam ni untuk mak dan ayah saya kat rumah. Saya mintak maaf. Sorry sangat-sangat!” aku masih dengan mata terkatupku, aku meminta maaf sepenuh hati. Andai kata dia nak pukul aku, aku tak kisah. Asalkan jangan bawak pergi balai polis dan mintak ganti rugi. Mahu tak bekerja aku dibuatnya nanti.

Kemudian, pak cik tu menghela nafas. Aku tak pastilah dia menghela nafas atau mendengus marah. Yang pastinya, lutut aku dah menggeletar dah sekarang ni. Dah macam jumpa hantu pun ada perasaan aku sekarang.

Dia masih mendiamkan diri. Aku pulak masih menunduk dengan mata tertutup. Belum bersedia untuk mengalirkan airmata di hadapan pak cik dan orang yang sedang lalu-lalang. Tak lama lepas tu, tiba-tiba pak cik tu pegang dagu aku dan cuba menolaknya ke atas, tetapi, aku tepis. Eh, orang tua ni. Jangan kau cakap nak jadikan aku ni anak ikan kau untuk tebus harga kereta ni pulak. Kalau macam tu, aku lebih rela bayar ganti rugi daripada jual maruah diri. Maruah aku yang paling mahal, tahu tak? By the way, anak ikan ni boleh diberi istilah kepada perempuan jugak ke? Yelah, sebelum ni, aku dengar  yang lelaki je yang diistilahkan sebagai anak ikan.

Aku ni memang jenis pantang orang sentuh sesuka hati. Jadi, dengan niat nak marahkan orang tua tu, aku pun tiba-tiba sahaja berani angkat muka untuk memarahi orang tua tersebut.

Sekali aku angkat, terkejut monyet aku apabila melihat figura indah di depan mata. Ayat marah tadi sudah terbang entah ke mana. Inilah manusia, baru tengok yang indah sikit, perkara tadi menjadi ringan serta-merta. Tapi, aku bukannya mengambil ringan tentang perkara yang berlaku tadi, tetapi, apabila mata aku bertentangan dengan mata si dia, terus aku mati akal dan lupa segalanya.

“Neil Ayden Raeqal,” senafas sahaja aku menyebut nama itu. Rasa macam bermimpi, betulkah lelaki di hadapan aku sekarang adalah Neil Ayden Raeqal? Ya Allah, dilihat dari jarak dekat macam ni, bertambah-tambah tahap kekacakan lelaki itu. Lebih kacak daripada gambar yang aku lihat selama ini.

Aku telan liur, aku yakin yang mataku sudah membesar dan bibirku sudah mengukir senyuman. Tetapi, yang peliknya, Neil Raeqal macam terkejut tengok aku. Ada taik mata ke melekat dekat mata? Ke, ada taik hidung? Cepat-cepat aku meraba-raba di kawasan mata dan hidung. Tetapi, terasa macam bersih sahaja. Jadi, kenapa Neil ni tengok aku macam tak pernah tengok manusia? Hmm, aku tahu. Muka aku ni buruk, tapi, tak payahlah tengok aku macamlah aku ni setahap dengan alien dalam TV tu!

Aku lihat bibirnya seperti menggumam sesuatu. Dia bercakap dengan aku ke? Mana tahu lepas kes aku langgar kereta dia, telinga aku jadi pekak. “Err, Tuan Ayden cakap apa? Saya tak dengar”. Aku tersengih, menayang gigiku yang berbesi sekarang.

“No, I mean, what’s your name? Macam mana you boleh kenal dengan I?” dia menyoal aku dengan nada sedikit terketar dengan wajah serius dia. Erkk, dah rasa macam berdepan dengan pensyarah aku dulu pulak tengok muka dia ni.

Berkenaan dengan soalan dia, patutkah dia soal macam tu? Rasanya, soalan tu tak perlu kot wujud. Dah nama dia terpampang dalam majalah-majalah dan gambar dia pulak berterabur di laman-laman sosial, jadinya soalan tu sangat aneh menjengah telinga aku.

Belum sempat aku jawab, dia terlebih dahulu memotong nawaitu aku. “Forget about my question just now. By the way, macam mana you nak balik ni? Dengan motor yang macam ni?” dia tunjuk ke arah motorku yang sudah kemek di bahagian hadapan.

Baru aku perasan bahawa yang kena azab sekarang ini adalah motor aku, bukan kereta dia. Aduh, macam mana ni? Tapi, rasanya, tak menjejaskan kot sebab dia hanya kemek, bukannya hilang tayar ke apa, kan? Aku dah cakap, aku ni bebal dalam bab kenderaan ni semua.

“Err, takpelah tuan. Lagipun, kemek je,” aku garu kepala sambil tersengih. Aku pun tak tahu sejauh mana jaminan kata-kata aku tu tadi.

“Tengok dari luaran pun I dah tahu yang motor you ni tak boleh pakai. You cubalah start the engine sampai esok, takkan dapat. Dah, daripada you berdiri sini tak tahu nak buat apa, you masuk kereta I sekarang. Nanti, motor ni, I akan suruh orang-orang I hantar pergi bengkel.Miss, this is KL. Anything will happen unexpectedly,” dia dah mula bercakap dalam bahasa rojak dia. Nasib baik aku ni guru Sejarah, jadinya, aku takde waran nak beri ceramah mengenai bahasa dia sekarang.

Orang-orang saya? Fuh, dia ni ketua gangster ke macam mana ni?

Aku teragak-agak. Walaupun aku kenal nama dia, tapi, perangai dia aku tak kenal. Mahu tiba-tiba dia bawak aku pergi kelab malam ke apa nanti, nak buat macam mana? Aku ni dahlah masih baru dekat KL ni.

“Don’t worry, miss. Saya takkan rogol. Jomlah masuk,” ucapnya selamba, seolah-olah perkataan rogol itu adalah perkataan biasa yang tidak memberikan apa-apa kesan kepada telinga yang mendengar.

Aku telan liur, dia ni macam tahu-tahu sahaja apa yang ada di fikiranku. Kalau sekarang aku cakap aku ni peminat dia, nak ambil gambar sekali dengan dia, dia tahu tak?

“Err, bukan apa tuan. Tapi, tuan sendiri pun baru kenal saya. Entahkan baik, entahkan jahat saya ni. Mana tahu, saya ni penjahat yang nak samun kereta tuan ke, kan?” aku masih cuba menolak. Separuh hati aku setuju, separuh lagi tak sebab teringat pesan mak, jangan sesuka hati ikut pelawaan orang yang kita tak kenal.

Dia menghela nafas dengan perlahan. Mungkin sebal dengan perangai degil aku ni. “Penjahat takkan mengaku yang mereka ni jahat. Lagipun, kalau betullah you ni jahat, nak samun kereta I, I tak kisah. Kereta I berlambak lagi dekat rumah sana. So, miss takde alasan untuk tolak offer I ni”. Benarlah kata majalah itu yang mengatakan bahawa salah satu sifat seorang Neil Raeqal ini adalah, jika dia berkata A, maka A lah mahunya. Amboi kau, Aisyh. Masih sempat lagi teringat dekat majalah tentang Neil Ayden Raeqal yang kau beli tempoh hari.

Dia angkat kening sambil membuka pintu kereta dan memperlawa aku masuk. Err, apa aku nak buat ni?

“Miss, semalam I dengar dalam berita yang ada seorang crazy man raped a girl. Kalau tak silap, kes tu berlaku dekat kawasan nilah,” dia masih dalam cubaan mengugutku dan aku pula, cepat sahaja percaya tentang ugutannya walaupun aku tak tengok berita semalam.

Macam yang dia cakap tadi, dekat bandar KL, apa-apa boleh jadi. Jadinya, nak tak nak, aku kena ikut cakap dia!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience