BERITA kehamilan Balqis akhirnya sampai ke telinga Natasya, dan hatinya diselubungi api cemburu yang membara. Dia menggenggam erat telefon bimbitnya, wajahnya merah padma menahan marah.
"Kenapa Balqis yang dapat semua ni?! Kenapa bukan aku?!" bisiknya dengan geram.
Matanya berkaca, tetapi bukan kerana sedih, sebaliknya kerana dendam yang kian membesar. Sudah cukup dia melihat Haris begitu menyayangi Balqis, dan kini Balqis pula bakal melahirkan zuriat lelaki itu? Natasya tidak boleh biarkan itu berlaku.
Di dalam mindanya yang sarat dengan kebencian, satu rancangan terbentuk. Dia akan buat sesuatu supaya Haris membenci Balqis. Dia akan hancurkan kebahagiaan yang baru sahaja terbina itu.
***
Natasya tiba dengan wajah penuh senyuman manis, membawa sebuah bekas kuih tepung pelita yang kelihatan begitu enak. Balqis yang sememangnya baik hati tidak menyimpan dendam terhadapnya, malah menyambut kedatangan Natasya dengan mesra.
"Kak Balqis, saya betul-betul nak minta maaf atas semua yang terjadi. Saya rasa bersalah sangat. Boleh kita berdamai ya, kakak?"
Balqis tersenyum.
"Tak apalah, Tasya. Kak Qis dah lama maafkan kamu. Tak baik simpan dendam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ni."
Haris yang duduk di ruang tamu sekadar memandang dengan ekor mata, tidak sepenuhnya percaya kepada Natasya. Namun, demi Balqis, dia memilih untuk berdiam diri.
Ketika waktu berbuka hampir tiba, Natasya menghulurkan kuih tepung pelita kepada Balqis.
"Saya ada buatkan kakak kuih tepung pelita. Saya tahu ini kuih kegemaran Kak Balqis dengan abang Haris kan? Saya buat sendiri tau. Cubalah."
Balqis tersenyum gembira. Dia memang teringin makan kuih itu sejak beberapa hari lalu, tetapi belum sempat membelinya. Tanpa ragu-ragu, dia mengambil sepotong dan menyuap ke mulutnya.
Dia tidak menyedari bahawa dalam adunan kuih itu, Natasya telah mencampurkan sejenis herba yang boleh menyebabkan keguguran. Bahan itu hampir tidak berbau dan tidak berasa, cukup halus sehingga tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Natasya telah menyusun rancangannya dengan teliti, dan kini dia hanya perlu menunggu.
Malam itu, Natasya pulang setelah usai menjamu juadah berbuka puasa yang disediakan oleh Balqis. Dia tersenyum puas kerana Balqis makan kuih buatannya itu agak banyak. Beberapa jam selepas berbuka, Balqis mula merasa tidak selesa. Pada mulanya, dia hanya menyangka ia sekadar kembung perut biasa. Namun, semakin lama, rasa sakit itu semakin kuat.
"Abang… perut sayang sakit sangat…" Balqis merintih sambil memegang perutnya yang terasa mencengkam.
Wajah Haris berubah pucat.
"Sayang, kita pergi hospital sekarang!"
Tanpa berlengah, Haris mengangkat isterinya dan bergegas ke hospital. Haiqal yang baru tiba di rumah mereka turut serta dalam keadaan panik.
Di hospital, debaran semakin kuat ketika doktor memeriksa keadaan Balqis. Haris menggenggam tangan isterinya erat, berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.
Namun, wajah doktor yang serius membuatkan dada Haris berdebar kencang.
"Encik Haris… saya minta maaf. Puan Balqis mengalami keguguran."
Dunia terasa seakan-akan terhenti. Balqis terkaku di katil, wajahnya pucat, dan matanya berkaca-kaca.
"Tidak… tak mungkin…" bisiknya perlahan, hampir tidak mampu bersuara.
Haris menelan air liurnya yang terasa pahit.
"Doktor… tolong selamatkan anak saya… tolonglah…" suaranya bergetar.
Doktor menggeleng perlahan.
"Kami sudah berusaha sebaik mungkin. Namun, janin tidak dapat diselamatkan."
Tangisan Balqis akhirnya pecah. Dia menutup wajahnya dengan tangan, bahunya terhinggut-hinggut. Haris menggenggam erat tangan isterinya, menahan kepedihan yang tidak terungkap.
Di sebalik semua ini, Natasya yang mendengar berita itu di rumahnya hanya tersenyum puas.
"Akhirnya… Haris takkan dapat anak daripada Balqis. Dan selepas ini, aku akan pastikan dia benci perempuan itu."
Hatinya bersorak dengan kemenangan, tanpa menyedari bahawa perbuatannya yang kejam itu suatu hari nanti pasti akan terbalas.
***
Hari-hari yang berlalu selepas tragedi itu terasa kelam bagi Balqis. Dia lebih banyak berkurung di dalam bilik, tidak bersemangat untuk melakukan apa-apa. Puan Suraya semakin risau melihat keadaan menantunya itu. Apatah lagi, Haris kini sibuk di bazar Ramadan, menguruskan perniagaannya yang semakin mendapat perhatian pelanggan.
Setiap kali waktu berbuka, Balqis hanya menjamah sedikit makanan sebelum kembali masuk ke bilik. Malamnya pula, dia hanya termenung di jendela, memandang langit yang penuh bintang dengan hati yang kosong.
"Kenapa semua ini berlaku pada aku?" bisiknya perlahan.
Puan Suraya yang perasan perubahan itu akhirnya mengambil keputusan untuk berbicara dengan Balqis. Suatu petang, dia mengetuk perlahan pintu bilik menantunya itu sebelum melangkah masuk.
"Balqis… umi masuk ya?"
Balqis hanya mengangguk perlahan, duduk di atas katil dengan wajah yang lesu. Puan Suraya melangkah menghampiri, duduk di tepi katil sambil menggenggam tangan Balqis dengan lembut.
"Anak umi yang ceria dah hilang ya? Mana Balqis yang umi kenal dulu?" soalnya lembut, cuba menyuntik semangat ke dalam diri menantunya itu.
Balqis menunduk.
"Qis dah tak ada apa-apa lagi, umi… Qis dah kehilangan anak Qis," suaranya bergetar menahan tangis.
Puan Suraya menarik nafas dalam sebelum mengusap perlahan kepala Balqis.
"Sayang… umi tahu kehilangan itu pedih, tapi kamu tak boleh terus begini. Haris pun risau dengan keadaan kamu, tapi dia tak nak tunjuk depan kamu sebab dia tak nak kamu rasa bersalah."
Balqis mengetap bibir. Ya, dia tahu Haris mencuba sehabis baik untuk kelihatan kuat di hadapannya. Tapi bagaimana dia boleh melupakan? Bagaimana dia boleh berpura-pura tidak peduli apabila anak yang baru sahaja hadir dalam rahimnya telah pergi sebelum sempat melihat dunia?
Puan Suraya tersenyum kecil.
"Balqis, kamu ingat tak umi pernah cerita dulu… umi pun pernah keguguran sebelum lahirkan Haris dan Haiqal?"
Balqis mengangkat wajahnya, memandang ibu mentuanya dengan mata yang sedikit berkaca.
"Masa tu umi fikir dunia umi pun dah berakhir. Tapi umi belajar sesuatu… Allah ambil sesuatu, tapi Dia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Tengoklah sekarang, umi ada dua orang anak lelaki yang baik dan menantu yang umi sayang macam anak sendiri."
Balqis menggigit bibirnya, cuba menyerap kata-kata itu ke dalam hatinya yang remuk.
"Balqis… Allah uji sebab Dia sayang. Umi yakin, suatu hari nanti, kamu akan jadi seorang ibu yang hebat. Jangan biarkan kesedihan ni tarik kamu jauh daripada orang yang sayangkan kamu," Puan Suraya mengusap bahu menantunya itu dengan penuh kasih sayang.
Balqis akhirnya menunduk, air matanya jatuh setitis demi setitis. Puan Suraya menarik Balqis ke dalam pelukannya, membiarkan menantunya itu menangis sepuas-puasnya.
***
Di bazar, Haris kelihatan letih, tetapi dia tetap mengukir senyuman setiap kali melayani pelanggan. Namun, jauh di sudut hati, dia tidak tenang. Balqis semakin menjauh. Dia tahu isterinya sedang bersedih, tetapi dia tidak mahu memaksa Balqis untuk kembali seperti biasa dalam waktu yang singkat.
Haiqal yang datang membantu di gerai hanya mampu menghela nafas setiap kali melihat abangnya termenung jauh.
"Adan, kau okey?" tegurnya sambil menyusun kuih-muih di atas meja.
Haris tersentak sedikit sebelum tersenyum hambar.
"Entahlah, Qal. Aku risaukan Balqis. Dia dah tak macam dulu."
Haiqal mengangguk.
"Dia perlukan masa, Adan. Kak Balqis bukan perempuan yang lemah, tapi kehilangan anak sendiri bukan benda yang mudah nak terima."
Haris menghela nafas panjang. Dia tahu itu, tetapi sebagai suami, dia mahu melakukan sesuatu untuk isterinya.
"Mungkin aku kena cari cara lain untuk buat dia gembira semula," gumamnya perlahan, dan satu idea mula berputik di fikirannya.
Di rumah, Balqis masih dalam pelukan Puan Suraya. Mungkin kata-kata ibu mentuanya itu tidak serta-merta menyembuhkan luka di hatinya, tetapi sekurang-kurangnya, ia sedikit memberi kehangatan di hati yang kian membeku.
Namun, di luar sana, Natasya masih tersenyum dengan penuh kepuasan, tidak mengetahui bahawa Allah tidak pernah tidur. Setiap kejahatan pasti ada balasannya.
***
Petang itu, Natasya melangkah masuk ke rumah Puan Suraya dengan wajah penuh simpati, namun di dalam hatinya, dia menyimpan niat yang busuk. Langkahnya perlahan tetapi penuh muslihat.
"Umi, saya datang nak jenguk Kak Balqis. Saya risaukan dia. Saya dengar dia masih murung…" kata Natasya dengan nada prihatin.
Puan Suraya yang sedang mengupas buah di dapur hanya mengangguk kecil, tidak mahu melayan sangat perempuan itu. Dia masih kesal dengan sikap Natasya sebelum ini yang terlalu obses dengan Haris.
"Balqis masih berehat. Dia perlukan masa untuk sembuh," jawab Puan Suraya ringkas.
Natasya menjeling ke arah bilik Balqis yang tertutup rapat. Dia mengharapkan Balqis terkena 'meroyan' akibat tekanan keguguran. Jika itu berlaku, makin mudah baginya untuk mendekati Haris.
"Kalau macam tu, saya nak jumpa abang Haris, boleh? Dah lama tak borak dengan dia," katanya cuba berlagak selamba.
Pada waktu itu, Haris baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah selepas pulang dari bazar. Melihat kelibat Natasya, hatinya segera menyirap. Tetapi kali ini, dia tidak mahu melatah. Dia ingin memastikan apa sebenarnya niat perempuan itu.
"Tasya? Buat apa datang ni?" Haris bertanya dengan nada acuh tak acuh, membuka kasut di pintu sambil memandang tajam ke arahnya.
"Saya risaukan abang dan kakak," jawab Natasya, mempamerkan riak wajah simpati.
Namun, Haris sudah cukup mengenali wanita seperti Natasya. Sejak Balqis keguguran, dia sudah mula mengesyaki sesuatu. Terlalu banyak kebetulan yang berlaku, dan setiap kali ada masalah, Natasya mesti ada.
Malam itu, selepas berbuka, Haris berbual panjang dengan Haiqal tentang segala yang terjadi. Haiqal yang memang sudah lama curiga dengan tingkah laku Natasya segera memberi cadangan yang mengejutkan Haris.
"Adan, kalau kau betul nak tahu kebenaran, pura-pura baik dengan dia. Tengok apa reaksi dia."
Haris pada mulanya keberatan, tetapi dia tahu ini sahaja cara untuk membuka topeng sebenar Natasya.
Dan kini, di hadapan pintu rumahnya, dia berlagak tenang sambil tersenyum kecil ke arah Natasya.
"Oh… datang sebab nak jaga hati abang, ya?" Haris menyindir, cuba mengumpan Natasya supaya lebih terbuka.
Mata Natasya sedikit bercahaya, menyangka akhirnya Haris mula lembut hati dengannya.
"Mestilah. Saya sayangkan, abang. Saya sanggup buat apa saja untuk abang," ucap Natasya dengan suara mendayu.
Haris menyilangkan tangan di dada.
"Betul ke? Sanggup buat apa saja?"
Natasya mengangguk laju.
"Sudah tentu. Saya… saya cuma nak abang sedar, saya lebih sesuai dengan abang berbanding kakak. Saya boleh jaga abang lebih baik dari dia."
Haris tersenyum sinis. Dia menghampiri Natasya, mendekatkan wajahnya sedikit, membuatkan gadis itu terkejut dan berdebar.
"Kalau macam tu, abang nak Tasya jawab satu soalan," kata Haris perlahan tetapi cukup tajam. "Apa yang kau letak dalam kuih tepung pelita hari tu?"
Jantung Natasya serta-merta berdegup kencang. Wajahnya berubah pucat.
"A… apa? Saya tak faham maksud abang."
Haris menggeleng perlahan. Dia sudah dapat melihat air muka bersalah pada wajah perempuan itu.
"Kau faham sangat maksud aku, Natasya. Jangan cuba nak berdalih. Aku dah lama syak ada sesuatu yang tak kena dengan keguguran Balqis."
Natasya cuba tersenyum untuk menutup kegugupannya.
"A..bang, jangan tuduh saya macam tu…"
Haris tidak memberi peluang lagi.
"Aku tahu kau yang sabotaj makanan Balqis. Sebab tu aku sengaja pura-pura melayan. Aku nak lihat reaksi kau. Dan dari riak muka kau sekarang, terbukti kau bersalah!"
Puan Suraya yang mendengar perbualan mereka segera bangkit dari sofa dengan wajah terkejut.
"Natasya, betul ke apa yang Adan cakap ni?"
Natasya yang sudah semakin terdesak akhirnya tertawa kecil.
"So what kalau betul?" katanya angkuh. "Aku benci Balqis! Dia rampas Haris daripada aku! Dan kalau aku tak dapat Haris, lebih baik dia pun tak dapat!"
Haris mengepal penumbuk, menahan marah yang membuak.
"Keluar dari rumah ni sekarang, Natasya. Aku tak nak tengok muka kau lagi!"
Natasya tersentak. Matanya berkaca, tetapi bukan kerana kesal, sebaliknya kerana dendamnya semakin membara.
"Baiklah, Haris. Kau boleh halau aku sekarang. Tapi jangan fikir ini akan berakhir begitu saja," ugutnya sebelum melangkah pergi.
Puan Suraya mengucap panjang, masih tidak percaya perempuan yang dianggap seperti anak sendiri sanggup berbuat sejijik itu.
Haris menghembus nafas berat. Dia tahu perkara ini belum tamat. Tetapi dia berjanji, dia akan melindungi Balqis walau apa pun yang terjadi.
***
Natasya melangkah keluar dari rumah Puan Suraya dengan hati koyak rabak. Dia menggigit bibir, menahan air mata yang mahu menitis. Rasa marah dan hina bercampur baur dalam dirinya. Selama ini, dia yakin Haris akan berlembut dengannya, akan memberi ruang untuknya masuk dalam hidup lelaki itu. Namun, sebaliknya yang berlaku. Dia dihalau, dimalukan, dan yang paling menyakitkan, Haris lebih memilih Balqis. Perempuan yang tidak ada apa-apa berbanding dirinya.
Di dalam keretanya, Natasya menghempas stereng dengan geram.
"Aku takkan biarkan kau bahagia, Balqis! Aku takkan kalah semudah ini!" gumamnya dengan suara bergetar.
Tangannya mencapai telefon, membuka senarai kenalan. Matanya merenung satu nama yang pernah lama dia lupakan. Senyuman sinis mula terukir di bibirnya.
"Kau ingat kau dah menang, Balqis? Kita tengok siapa yang akan menang akhirnya."
Dengan tekad membara, Natasya menekan butang dail, bersedia untuk menghidupkan semula dendam yang lebih besar. Jika Haris dan Balqis fikir semuanya akan berakhir di sini, mereka silap besar!
Jahatnya kau Natasya..sanggup kau buat Balqis smpai keguguran..Argh, benci! Happy reading gaiss..jemput follow and comment..
Share this novel