LIMA TAHUN KEMUDIAN.....
RAMADAN kali ini terasa begitu lain bagi Haraz Izzaddin. Dari dunia kedoktoran yang penuh cabaran di negara asing, dia kembali ke pangkuan desa yang pernah menjadi latar kisah silamnya. Bukan kerana terpaksa, tetapi kerana cinta. Cinta yang tidak dijangka hadir dari seorang gadis yang begitu sederhana, namun punya pesona yang tiada tandingan. Teman seperjuangannya, gadis yang dulu suka berebut kuih keria bersamanya, dan kini... gadis itu, bergelar isterinya. Bukan lagi sebagai isteri atas kertas, melainkan isteri yang dicintainya sepenuh hati.
Langit senja Ramadan memayungi suasana desa yang hangat dan penuh dengan aroma juadah berbuka. Bazar Ramadan Kampung Sri Delima kembali meriah. Di antara deretan gerai yang sibuk melayan pelanggan, gerai paling dihampiri ramai bukan sahaja kerana keenakan makanannya, tetapi kerana pesona pemiliknya, Haiqal Izz Aiddin, yang tidak kekok menyenduk kuah masak lemak cili api ke dalam bungkusan pelanggan dengan senyuman mesra.
Di sebelahnya, si isteri, Sofea Ardyla–gadis desa yang berjaya menambat hatinya– sibuk melayan pelanggan, sesekali mencubit lengan Haiqal jika lelaki itu terlalu peramah seperti selalu.
“Nak makan apa hari ni kak Mia, abang Haraz," soal Sofea dengan ramah. Sebentar dia beralih kepada suaminya, Haiqal. "Abang bungkus kemas-kemas. Kalau macam ni, tak laku nanti tau,” usik Sofea sambil mengikat plastik dengan cekap.
Haiqal hanya tergelak kecil.
“Laku sebab abang hensem.”
“Laku sebab masakan honey sedap,” balas Sofea sambil menjeling.
Mereka ketawa bersama. Gurauan dan usikan itu kini menjadi santapan harian yang membahagiakan mereka. Pergaduhan kecil, kemudian berbaik semula dalam suasana yang tidak dijangka, semuanya kini menjadi kenangan indah yang membawa mereka ke satu fasa kehidupan yang jauh lebih manis.
Umi dan abah, dari kejauhan tersenyum puas. Si anak yang suatu ketika dahulu terpisah dari keluarga, kini bukan sahaja kembali, tetapi turut membawa pulang cinta dan harapan untuk terus kekal di desa. Bazar Ramadan yang dahulu hampir luput serinya, kini kembali menjadi tumpuan. Bukan sahaja kerana makanan, tetapi kerana kisah cinta dua insan yang memperjuangkan rasa, dari dapur ke hati.
“Tak sangka ya, abang Haraz yang dulu tak mahu terima kak Mia, sekarang kalau tak jumpa atau berjauhan, boleh jadi sasau,” seloroh Sofea Ardyla sambil ketawa kecil.
“Yalah, macam kita dulu, honey asyik lari daripada abang, sekarang asyik nak manja-manja,” jawab Haiqal sambil menjeling manja ke arah Sofea.
Azan Maghrib bergema dari surau berdekatan, menandakan waktu berbuka sudah masuk. Gerai-gerai mula ditutup, dan para peniaga bersiap untuk menikmati juadah bersama keluarga. Haiqal dan Sofea duduk di belakang gerai mereka, membuka bekal ringkas yang dimasak sendiri. Nasi putih, ayam percik, dan Roti John Hijau Cheese Kambing yang tidak pernah luput dari menu mereka.
“Ramadan kali ini mungkin bermula dengan paksaan,” kata Haiqal perlahan, memandang wajah Sofea yang disimbah cahaya senja, “tapi berakhir dengan sebuah cinta yang abang tak sangka... cinta yang paling ikhlas, dari dapur jatuh ke hati.”
Sofea menggenggam jemarinya, mengangguk perlahan.
“Dan kita akan teruskan, bukan hanya Ramadan ini... tapi Ramadan yang akan datang. Bersama-sama. Selamanya.”
Dan di bawah langit Ramadan yang tenang, cinta mereka terus mekar, diiringi aroma kasih sayang dan rasa yang tidak pernah padam.
***
Langit masih lagi berbalam kelabu. Hujan renyai-renyai turun sejak awal pagi, seolah turut bersedih menyambut ziarah pusara Balqis dan Haris. Haraz berdiri kaku di sisi nisan putih yang bertulis Haris Izzuddin dan juga milik Balqis Nadirah. Sepasang matanya tidak lepas memandang dua nama itu yang kini hanya tinggal kenangan.
Dalam dakapan Haraz, tubuh Damia tampak goyah. Tubuh yang baru sahaja pulih dari kerinduan yang tidak bertepi terhadap suami yang tidak menganggapnya sebagai seorang isteri dalam erti kata sebenar. Anak-anaknya ditinggalkan di rumah umi sebentar, untuk memberi ruang buat dirinya bertemu kekasih hati yang kini sudah pergi buat selama-lamanya.
Air matanya menitis lagi, basah membasahi tanah pusara.
“Haris… aku minta maaf. Aku tak jalankan amanah seperti yang kau harapkan. Aku buta hati, Haris. Aku....aku kesal, Haris... maafkan aku” bisik Haraz dengan suara terketar. Nafasnya ditarik dalam, menahan sebak yang semakin menyesakkan.
Damia Aulia yang menemani, melangkah menghampiri Haraz dari belakang. Haraz berpaling, dan saat matanya bertembung dengan wanita yang berdiri di hadapannya, nafasnya tersekat.
“Damia...” bibirnya bergetar menyebut nama itu.
Damia Aulia tidak menjawab. Wajahnya saling tak tumpah seperti Balqis, namun renungannya lebih dalam dan penuh luka. Ya, Damia–gadis yang suatu ketika dahulu pernah melukakan hati Haraz dengan kebenaran tentang lelaki yang menyerang dirinya bersama arwah Balqis sewaktu ketika dahulu. Haraz, yang tidak pernah menjangka kebenaran itu terlalu perit untuk dirinya terima. Lelaki yang menyerang Balqis dan Damia di parkir kereta dahulu, merupakan bekas teman lelaki Damia yang terlalu obses dengan Damia.
Dan, tanpa disedari, lelaki itu tersalah sangka yang menganggap Balqis adalah Damia pada hari kejadian itu. Lelaki itu, hanya ingin membalas dendam terhadap Damia yang menolak huluran cintanya. Haraz yang rasa terpukul, mengambil keputusan untuk berpisah dengan Damia sebentar untuk mencari ketenangan hati. Damia kemudiannya, dilepaskan kerana terlalu banyak luka yang tidak sempat dijahit semula.
“Abang datang untuk memohon maaf, Aqis,” suara Haraz serak. “Abang datang sebab… abang rasa kehilangan yang sama macam Aqis. Aqis… maafkan abang sebab gagal mempertahankan Aqis. Menyelamatkan Aqis. Dan yang paling abang sesalkan abang gagal tunaikan janji abang pada Haris, Haris amanahkan abang untuk jadi suami yang terbaik buat Aqis…”
Damia menunduk. Perasaannya berselirat. Antara dendam lama dan rasa simpati yang hadir perlahan. Namun dia tahu, hidup perlu diteruskan. Anak-anak yang di amanahkan kepadanya perlukan seorang ayah. Tapi untuk menyayangi Haraz seperti dahulu? Dia tidak pasti hatinya mampu kembali ke situ.
Namun, perjalanan mereka tidak berakhir di situ. Damia menerima lamaran Haraz bukan kerana cinta, tetapi kerana anak-anak. Dia letih, tetapi dia tahu anak-anak arwah Balqis yang sudah dianggapnya sebagai kakak kandungnya sendiri memerlukan bahu untuk bersandar. Dan Haraz, walau bagaimana pun silapnya dulu, tetap lelaki yang menjadi dambaan kepada Damia, dan itu membuatkan sedikit ruang terbuka untuk lelaki itu kembali dalam hidup Damia.
Waktu berjalan. Cinta yang pernah retak mula cuba dibina kembali. Damia mulai mengenali sisi Haraz yang tidak sempat dia kenali dahulu. Dia melihat ketulusan yang pernah tersembunyi di sebalik ego dan emosi. Dan saat dia mula mahu memberi seluruh hatinya, takdir seperti merestuinya.
Di sisi katil hospital, Haraz menggenggam tangan isterinya yang semakin sejuk. Damia terbaring lemah di atas katil hospital, matanya merah menahan air mata.
“Damia…” suara Haraz bergetar, lemah. “Abang nak minta satu perkara... Damia, kuat ya, sayang…”
Damia hanya mengangguk, dadanya sesak. Damia menyambung, “Abang... jaga anak-anak jika ada apa-apa jadi pada Mia. Janji dengan Mia, abang”
Damia menangis dalam diam. Haraz menutup mata, dada terasa seolah dihiris sembilu.
“Mia... sayang, jangan fikir bukan-bukan. Istighfar banyak-banyak, mengucap. Abang tak izinkan Mia tinggalkan abang dan anak-anak,” ujar Haraz dengan senyuman yang di dalam keterpaksaan.
Saat dua orang bayi selamat dilahirkan Damia ke dunia,....dunia Haraz turut terasa bahagia. Damia menangis, namun dalam tangisannya dia tahu, dia telah dikurniakan anugerah yang terindah, dan dia akan menjaganya dengan seluruh jiwa dan raganya.
Haraz memandang tubuh Damia yang lemah terbaring. Dalam hatinya, hanya satu doa terlantun perlahan.
“Maafkan abang, Damia... kerana gagal menjadi lelaki yang sayang perlukan dahulu. Dan terima kasih... kerana mempercayai abang sekali lagi, walaupun untuk yang terakhir kalinya.”
Dan di bawah langit yang sama, cinta baru akan mula berputik, bukan untuk mengganti, tetapi untuk meneruskan. Di sebalik kehilangan sebentar, kasih tetap diwarisi. Dan Ramadan akan tetap tiba, membawa bersama harapan, pengampunan, dan cinta yang tidak pernah padam.
***
Di bawah langit Syawal yang hening,
berakhir sudah kisah cinta yang panjang dan penuh pengorbanan.
Dari haruman rempah di dapur kampung,
hingga kelam malam bazar Ramadan,
telah tertulis cinta antara dua jiwa—Bazar Ramadan yang dulunya hanya medan jual beli kini menjadi saksi kisah cinta Haris Izzuddin, seorang chef selebriti yang jatuh cinta bukan di pentas gemilang, tetapi di tengah-tengah hiruk-pikuk pasar, aroma kuih-muih dan laungan azan Maghrib yang menyatu dalam kesyahduan.
Balqis, gadis desa yang pernah menjadi teman sepermainannya, hadir kembali dalam hidupnya membawa nostalgia dan akhirnya menjadi cinta yang sempurna. Di bulan paling mulia itu, mereka disatukan—bukan sekadar sebagai pasangan, tetapi sebagai dua jiwa yang ditakdirkan untuk saling melengkapi.
“Cintai dia bukan kerana aku,” pesan Balqis dengan senyuman terakhir yang menyakitkan hati Haraz. “Tapi cintailah dia kerana dia sendiri pantas dicintai.”
Maka selepas pemergian Balqis, Haraz menyempurnakan amanah itu. Dia menyunting Damia bukan sebagai bayang-bayang, tetapi sebagai wanita yang dengan reda memikul beban cinta yang tertinggal. Bersama anak-anak, mereka menghidupkan kembali bazar Ramadan yang pernah menyatukan dua jiwa—Haris dan Balqis.
Bazar itu kini bukan sekadar warisan keluarga, tapi juga warisan cinta. Setiap sudutnya mengingatkan mereka akan tawa, air mata, dan pengorbanan insan-insan yang sudah tiada. Ramadan setiap tahun menjadi momen untuk mengenang, dan untuk meneruskan kasih yang tak pernah mati.
Kerana di situ, di tengah hiruk-pikuk juadah berbuka, di celah nyalaan lampu-lampu gerai, dan di bawah langit Ramadan yang suci—Bazar Cinta Ramadan akan terus hidup, selagi cinta itu ada.
***
Untuk Haraz, yang akan selamanya aku doakan,
Andai surat ini kau temui, bererti aku sudah tiada. Tiada lagi dalam bentuk jasad, tetapi aku harap doaku, cintaku, dan semua kebaikan yang pernah aku semaikan dalam hidup kita masih ada. Terlekat dalam kenangan yang mungkin pahit, mungkin manis.
Haraz, aku menulis ini bukan untuk menyalahkan takdir atau mengungkit duka, tetapi untuk kau tahu... aku pernah benar-benar menyintaimu. Sepenuh hati. Walaupun cinta kita bermula dengan luka, dipenuhi keliru dan salah faham, tapi aku tetap memilih untuk menjadi isterimu. Aku tetap memilih untuk memberi peluang walau hatiku sering diuji.
Aku tahu, aku bukan isteri yang sempurna. Aku tahu juga aku pernah mendiamkan luka demi menjaga rumah tangga kita. Namun, aku tetap berharap satu hari nanti, kau akan nampak bahawa cinta ini tidak pernah luntur.
Dan andai aku pergi dahulu sebelum sempat kita bahagia semula, ketahuilah, aku reda. Aku ikhlas melepaskan dirimu, bukan kerana aku menyerah kalah, tapi kerana... cinta yang sebenar itu tahu bila perlu pergi dan bila perlu berkorban.
Haraz, andai aku tiada...
Jagalah anak-anak kita dengan penuh kasih dan sabar. Jadilah pelindung yang mereka banggakan. Jangan biarkan dunia ini membuatkan mereka merasa kehilangan yang terlalu besar. Jadilah bahu untuk mereka sandarkan. Jadilah pelangi selepas hujan mereka.
Dan tentang Damia... wanita itu bukan sekadar teman yang menemaniku saat aku sakit. Dia jauh lebih kuat dan setia dari yang pernah kita duga. Aku tahu, dalam dirinya ada ruang yang mampu kau tumpangi bila hatimu sepi. Aku tahu, dalam dirinya ada keikhlasan untuk menyambung cinta yang aku tinggalkan.
Maka, aku mohon...
Terimalah dia bukan kerana aku, tetapi kerana kau mampu melihat dirinya seperti mana aku melihatmu. Dengan seluruh jiwa, bukan hanya dengan mata.
Aku tak pinta untuk dilupakan, Haraz. Tapi aku juga tak ingin menjadi bayang yang menghalang bahagiamu.
Izinkan aku pergi dengan tenang, Jika itu syarat untuk cinta kita menjadi reda.
Akhir kalam,
Terima kasih kerana pernah memilihku,
Terima kasih kerana mencintaiku walaupun sekejap, dan maaf kerana aku tidak sempat mencintaimu lebih lama.
Dengan kasih yang tak sempat pudar,
Balqis Nadirah binti Haji Bakhtiar
Isterimu, yang pernah kau miliki dan akan sentiasa mendoakan dari kejauhan.
~•~•~•~•~•~
Damia yang masih duduk bersimpuh di sisi meja solek itu tersentak apabila mendengar suara garau yang begitu dikenalinya menegur perlahan dari ambang pintu.
"Damia... tak sepatutnya sayang membaca surat itu."
Tangan Damia terhenti, matanya terbeliak memandang Haraz yang kini sedang berdiri memandangnya penuh sayu. Surat di tangan digenggam erat, bagaikan nyawa Balqis yang masih berbicara dalam tulisan terakhir itu.
"Ampunkan Mia, abang... Mia tak sengaja. Mia cuma..." Suaranya terhenti. Lidahnya kelu, tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan perasaannya ketika ini.
Haraz melangkah masuk perlahan, duduk bertentangan dengan Damia. Wajahnya penuh luka yang tidak berdarah.
“Abang tahu, Aqis tinggalkan surat itu untuk abang. Tapi mungkin... mungkin memang sudah tertulis sayang yang akan membacanya terlebih dahulu.”
Haraz menghela nafas dalam, sebelum menatap mata Damia dengan sungguh-sungguh.
“Damia… abang minta maaf atas segala luka yang pernah abang beri. Dan abang tak pasti ini terlalu awal atau terlalu sukar untuk sayang percaya… tapi abang jatuh cinta pada Mia, bukan kerana permintaan Aqis, tapi kerana diri Mia sendiri. Mia sudah jaga Aqis, jaga anak-anak abang… dan kini jaga hati abang pula.”
- TAMAT -
Alhamdulillah, tamat sudah novel BCR....terima kasih kepd readers yg sudi singgah dan meninggalkan komen²..Insya Allah dlm msa terdekat author akn publish satu novel bru dengan bacaan secara UNLOCK CHAPTER. Jangan lupa singgah nnti ya...segala kekurangan drpd author sepanjang penghasilan novel BCR ini dengan rendah hati author menyusun sepuluh jari memohon maaf. Kerana yg baik itu dtgnya dari Allah, dan segala kekurangan drpd author diharap diterima baik. Salam penghujung Syawal..love you all..
Share this novel