HUJUNG minggu itu, Haris dan Balqis duduk santai di laman belakang rumah sambil menghirup teh yang harum buatan umi. Di atas pangkuan Balqis, Nur Faiha sedang bermain dengan mainan kecil berbentuk sudu dan garfu, manakala Faris sibuk menghisap ibu jarinya sendiri.
Dari dalam rumah, kedengaran suara jeritan ceria Furqan dan Fayyad yang sedang 'berlawan' menolak walker masing-masing, disusuli suara umi menegur sambil ketawa, “Amboi, korang ni kalau tak gaduh sehari memang tak sah, ya?”
Haris memandang Balqis yang sedang tersenyum nipis sambil matanya tidak lepas daripada mengawasi gelagat anak-anak mereka.
“Sayang, macam mana? Tahun depan kita teruskan lagi ke bazar Ramadan macam tahun ni?” soal Haris sambil menyuakan secawan teh ke arah isterinya.
Balqis mengeluh kecil.
“Entahlah abang… sekarang pun mereka dah tak bagi umi dengan abah duduk diam. Tak sempat nak angkat satu, tiga lagi dah hilang dari radar.” Mereka berdua ketawa kecil.
Sofea yang baru keluar bersama Furqan dan Fayyad turut mencelah, “Kalau tanya saya, tak payah lah. Kita fokus kat Dapur Warisan je. Biar 'Daddy Hero' kita tu conquer semua menu. Kami support dari belakang tabir.”
“Betul jugak tu,” sokong Balqis. “Lagi pun tahun depan diorang semua dah setahun lebih. Fasa paling lasak. Nak bawa satu keluar rumah pun macam nak pindah satu rumah.”
“Kalau gitu, kita siapkan satu team untuk handle gerai bazar, tapi under brand Dapur Warisan. Kita cuma supervise dari jauh je, dan fokus pada order online. Orang sekarang pun suka beli dari rumah je, kan?” Haris mencadangkan dengan semangat.
Sofea dan Balqis saling berpandangan.
“Tak mustahil. Asalkan bukan kena berdiri dua belas jam kat bazar, saya okey je.”
Mereka ketawa bersama. Namun jauh di sudut hati, masing-masing sedar masa bergerak terlalu pantas. Hampir setahun usia keempat-empat permata hati mereka. Daripada sebesar tapak tangan, kini mula merangkak, berdiri, dan ada yang sudah pandai menyebut “mama” dan “papa” dengan petahnya.
Malam itu, ketika anak-anak sudah tidur, Haris duduk di ruang kerja kecil di tepi dapur sambil melakar pelan jualan Ramadan. Di satu sisi meja, terdapat kotak kenangan yang terisi dengan gambar-gambar pertama anak-anak, nota ucapan dari pelanggan bazar Ramadan tahun ini, dan satu coretan ringkas Balqis sewaktu mula-mula mereka membuka gerai.
“Bazar ini bukan sekadar rezeki, ia cinta dan usaha kita berdua.”
Haris tersenyum. Tahun depan mungkin mereka tak akan lagi turun padang seperti dulu, namun legasi itu akan tetap diteruskan. Bukan sahaja untuk keberlangsungan Dapur Warisan, tetapi juga sebagai warisan buat Faris, Nur Faiha, Furqan dan Fayyad.
Sambil menatap gambar keluarga yang digantung di dinding, Haris membisik perlahan, “Tak kira macam mana, kita akan tetap masak dengan cinta. Sebab cinta itulah yang buat semua rasa jadi luar biasa.”
***
Sedang Haris tekun menyusun perancangan bazar Ramadan mereka di hadapan skrin komputer riba, bahunya tiba-tiba disentuh kuat dari belakang.
“Eh, Ya Allah! Hoi, kau nak bagi aku serangan jantung ke apa?” Haris melompat kecil dari kerusi, dadanya berombak laju. Nafasnya masih belum stabil bila menoleh dan melihat adik kembarnya berdiri di belakang. Wajah Haiqal tampak lebih pucat dari biasa, tali lehernya longgar, dan jaketnya masih belum ditanggalkan.
“Astaghfirullah… kau ni kenapa?” Haris bingkas bangun, merapati Haiqal yang berdiri kaku.
“Aku tak tahu nak mula dari mana, bro…” suara Haiqal kedengaran perlahan, serak. Matanya berkaca. “Tadi… masa aku keluar dari pejabat, aku nampak Mona tunggu depan pintu kereta aku. Dengan... dengan anak dia. Dia kata anak tu anak aku, Adan.”
Haris terpempan. Beberapa saat dia tidak mampu bersuara. Nafasnya seperti tersekat.
“Apa yang kau cakap ni, Qal? Kau yakin?”
“Aku tak tahu, Adan. Dia beria… dia kata anak tu hasil hubungan kami dulu. Masa aku tengah bercelaru, sebelum aku jumpa balik Sofea... Tapi kau tahu aku tak pernah...”
“Ya, aku tahu. Aku kenal kau. Tapi benda macam ni kita tak boleh pandang ringan, bro.” Haris menarik nafas dalam, cuba meredakan degupan jantungnya yang mula laju semula, kali ini bukan sebab disergah tadi, tapi kerana berita yang jauh lebih menggoncangkan jiwa.
“Aku takut…” Haiqal bersandar di dinding dapur. Bahunya jatuh longlai.
“Kalau benda tu betul, aku tak sanggup kehilangan Sofea. Tak sanggup tengok dia terluka lagi.”
Haris duduk semula, menunduk sambil mengusap muka. Satu demi satu perancangan Ramadan di skrin komputer terasa kabur. Fikirannya beralih pada satu perkara saja, bagaimana dia perlu menjadi abang, penasihat, dan pelindung dalam masa yang sama?!
“Kau takkan kehilangan Sofea. Tapi benda ni kita kena selesaikan cara matang. Buat ujian DNA. Kalau benar, kita bincang. Kalau tak benar, Mona akan tahu kita tak mudah dipermainkan.”
Haiqal mengangguk perlahan, matanya masih berkaca.
“Adan… kau rasa Sofea akan maafkan aku kalau benda ni betul?”
“Kalau kau jujur dan reda, Allah akan bantu lembutkan hati dia. Tapi jangan sesekali sembunyikan dari Sofea. Dia lebih layak tahu daripada orang luar.”
Seketika itu suasana ruang dapur sepi. Yang kedengaran cuma bunyi kipas siling dan detik jam di dinding. Malam yang sepatutnya diisi dengan rancangan cinta dan resipi Ramadan, kini bertukar menjadi malam penuh persoalan dan kegusaran. Dan Haris sedar, dalam setiap resipi kehidupan, akan selalu ada rasa pahit yang perlu ditelan, sebelum manisnya mampu dirasai semula.
***
Suasana pejabat Haiqal semakin hari semakin menyesakkan dada. Sejak Mona muncul dengan ‘kejutan’ mendakwa anak yang dibawanya itu adalah darah daging Haiqal, hidupnya sudah tidak lagi tenang. Setiap hari, pasti ada mesej masuk dari nombor tidak dikenali. Ugutan, rayuan, malah gambar anak kecil itu yang dikirim berulang-ulang kali.
Lebih membebankan, Mona kini mula hadir tanpa segan silu ke pejabat. Dari sekadar menunggu di lobi, kini dia sudah berani menapak naik hingga ke aras pengurusan. Pegawai pentadbiran sudah beberapa kali memberi isyarat tidak senang. Malah, ada yang mula berbisik tentang ‘hubungan sulit bos dengan bekas jiran’.
“Kalau kau tak akui anak ni, aku akan pastikan satu Malaysia tahu siapa kau sebenarnya, Haiqal. Kau nak Sofea tahu dari aku atau dari mulut kau sendiri?” begitu ugutan yang Mona ulang tiap kali muncul.
Haiqal makin lelah. Bebannya bertambah. Kerja-kerja pengurusan tapak terbengkalai, laporan bertimbun tanpa sempat disentuh, fokusnya terbang entah ke mana. Sofea pula semakin curiga dengan perubahan sikapnya. Perasaan bersalah dan tekanan membuak dalam diri lelaki itu, tersepit antara kisah silam yang belum pasti dan masa depan yang ingin dipertahankan.
Dan petang itu, malapetaka pun berlaku.
Haiqal yang dijadualkan untuk melakukan pemeriksaan rutin di salah sebuah tapak pembinaan syarikatnya kelihatan lesu, namun tetap turun seperti biasa. Mungkin terlalu letih, mungkin terlalu hilang tumpuan, atau mungkin fikirannya masih berkecamuk dengan serangan terbaru daripada Mona pagi tadi, semuanya menjerat langkahnya.
Semasa melangkah ke satu bahagian tinggi bangunan yang sedang dalam proses pembinaan, kaki Haiqal terpeleset akibat tapak lantai yang masih basah dan tidak bertanda. Tubuhnya terhuyung-hayang beberapa saat sebelum terjatuh dari ketinggian hampir dua tingkat.
Jeritan pekerja bergema memecah suasana tapak. Kecoh. Panik. Darah mengalir dari kepalanya, kakinya kelihatan membengkok tidak sempurna. Dalam kabur pandangan, Haiqal hanya mampu menyebut satu nama, “Sofea…”
Dia tidak sedarkan diri selepas itu.
***
Berita kemalangan itu sampai ke telinga Haris dan Sofea dalam masa sejam. Sofea hampir rebah bila menerima panggilan daripada pihak pengurusan syarikat suaminya. Haris pula terdiam, jantungnya seakan terhenti seketika. Dunia terasa berpusing.
Di hospital, doktor mengesahkan Haiqal mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tulang rusuk. Kepalanya turut mengalami hentakan kuat namun mujurlah tiada pendarahan dalaman yang serius. Tetapi tempoh pemulihan mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Dan dalam tempoh itu, Sofea harus menjadi tulang belakang kepada lelaki yang kini bergantung harap padanya sepenuhnya.
Dan Mona?
Dia masih belum berhenti mengganggu. Malah, dia kini menganggap kemalangan itu sebagai peluang untuk ‘menjaga’ Haiqal, sesuatu yang membuat darah Haris mendidih dan Sofea tidak dapat tidur malam. Namun, mereka tahu, perjuangan menuntut kebenaran baru sahaja bermula…
***
Suasana di hospital bertukar tegang dalam sekelip mata. Sebaik Sofea melangkah masuk ke bilik wad Haiqal, langkahnya terhenti serta-merta. Pandangannya jatuh tepat kepada Mona yang sedang duduk mesra di sisi Haiqal, menggenggam tangan lelaki itu sambil membetulkan bantal di belakang tubuhnya dengan penuh manja. Senyuman Mona… begitu manis, begitu menyakitkan hati Sofea.
“Haiqal… awak dah sihat sikit?” suara Mona penuh keprihatinan, sambil mengelus rambut Haiqal yang kelihatan sedikit kusut.
“Terima kasih… sayang.” Jawapan Haiqal benar-benar membuatkan jantung Sofea seperti diramas. Tangannya yang memegang kereta sorong bayi anak kembar mereka menggigil perlahan.
Sofea tidak bersuara. Tidak mampu. Matanya memandang sayu, tubuhnya terasa lemah longlai. Langkahnya diundur perlahan, membawa dirinya keluar dari bilik itu tanpa menoleh ke belakang. Air mata yang ditahan, kini mula tumpah satu persatu.
Dalam perjalanan pulang, Sofea hanya diam. Tangisan dalam hati memekakkan seluruh jiwanya. Malam itu, dia duduk termenung di birai katil, merenung anak-anaknya yang nyenyak tidur. Dibelai rambut mereka perlahan-lahan sambil airmatanya kembali menitis.
“Sofea…” suara Balqis memecah kesunyian setelah dihubungi oleh Sofea sebentar tadi.
Sofea berpaling, pelukan Balqis menyambut tubuhnya yang lemah menahan luka emosi.
“Kak… abang panggil Mona tu ‘sayang’… Dia ingat Mona tu saya, kak. Saya isteri dia. Tapi kenapa dia tak kenal saya?” ujar Sofea dalam sendu yang menyesakkan dada.
Balqis menarik nafas dalam.
“Akak dah dapat tahu dari doktor. Haiqal alami amnesia. Dia tak ingat peristiwa lepas, dia tak ingat siapa yang sebenarnya isterinya. Dan Mona… dia ambil kesempatan!”
“Tapi kenapa Mona buat macam ni? Dia tahu saya isteri Haiqal. Dia tahu kembar tu anak kami!” Sofea menekup wajahnya.
“Tenang Sofea… akak akan bantu awak. Esok, akak akan jumpa Haiqal sendiri. Akak akan cuba perkenalkan awak semula padanya perlahan-lahan. Akak juga dah beritahu Haris. Dia yang akan berdepan dengan Mona. Biar dia tahu, perempuan tu tak boleh sesuka hati hancurkan rumah tangga orang lain,” pujuk Balqis tegas.
Sofea mengangguk perlahan, walau hatinya masih dipenuhi luka dan ketakutan. Namun melihat kesungguhan Balqis, harapannya kembali menyala sedikit demi sedikit. Dalam diam, dia berdoa agar satu hari nanti, lelaki yang dia cintai itu akan kembali semula ke pangkuannya… dan mengenal semula cinta yang pernah mereka bina bersama.
Di sisi lain, Haris sedang bersiap dengan niat untuk bersemuka dengan Mona keesokan harinya. Wajah adik kembarnya yang keliru dan kesakitan, serta air mata Sofea yang sembunyikan derita… sudah cukup membuatkan Haris tahu, dia tidak akan berdiam diri. Segalanya akan terbongkar. Dan Mona harus ditamatkan permainannya.
***
Keesokan paginya, Balqis tiba lebih awal di hospital. Dia membawa dua keping gambar. Satu gambar perkahwinan Haiqal dan Sofea, dan satu lagi gambar keluarga mereka bersama pasangan kembar yang comel. Balqis tahu dia perlu berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan Haiqal secara mendadak, tetapi dalam masa yang sama, dia perlu menegakkan kebenaran.
Sebaik melangkah ke wad, dia melihat Mona sedang menyuapkan buah potong ke mulut Haiqal sambil berbual mesra. Mata Haiqal kosong, tapi dia kelihatan selesa. Balqis mengetap bibir.
“Assalamualaikum,” sapa Balqis sambil tersenyum manis, walaupun hatinya sudah membara.
Mona menjeling dengan wajah tidak senang.
“Eh, Balqis. Apa hal datang awal-awal ni?”
“Datang nak lawat adik ipar. Takkan tak boleh?” jawab Balqis selamba sambil melabuhkan duduk di sisi bertentangan.
Haiqal memandang Balqis dengan dahi sedikit berkerut.
“Awak siapa?”
Balqis tersenyum lembut.
“Saya kakak ipar awak. Balqis, isteri kepada Haris… abang kembar awak.”
Haiqal angguk perlahan. Wajahnya jelas keliru.
“Mmm… Sebenarnya saya nak tunjukkan sesuatu.” Balqis mengeluarkan gambar dari beg tangan kecilnya dan menyerahkannya kepada Haiqal.
“Cuba tengok ni.”
Haiqal mengambil gambar itu, merenungnya dalam-dalam. Lama. Air mukanya berubah. Tangannya sedikit menggigil.
“Ini… aku?” tanyanya perlahan. “Dan… dia ni?”
“Itu isteri awak, Haiqal. Sofea. Dan yang dua kecil tu… anak-anak awak. Furqan dan Fayyad.”
Mona bangkit berdiri.
“Apa semua ni? Jangan nak kelirukan dia! Doktor pun kata dia hilang ingatan. Kenapa nak kacau dia sekarang?!”
Balqis berpaling kepada Mona, wajahnya tenang tapi nadanya cukup tegas.
“Cukuplah, Mona. Aku tahu apa kau cuba buat. Tapi kau dah pergi terlalu jauh. Kau bukan isteri dia. Kau cuma jiran yang tak tahu malu.”
Mona melangkah ke arah Haiqal dan memegang lengannya.
“Sayang, jangan dengar cakap dia. Saya isteri awak…”
“Tapi… ini…” suara Haiqal lemah. Matanya tidak lepas dari gambar di tangannya. “Kenapa saya rasa… macam kenal dia?”
Dan di saat itu, pintu wad terkuak perlahan. Sofea muncul dengan wajah pucat, tapi matanya penuh harapan. Langkahnya perlahan menuju ke arah katil Haiqal. Balqis tahu, saat paling getir baru sahaja bermula. Tapi inilah peluang untuk membawa kembali lelaki itu ke sisi keluarganya.
Ish, Mona ni x habis² lagi nk menyondol ngn Haiqal, tup² je ada ank. Sabar ya Sofea, klu cinta sejati Haiqal ttp milik Sofea juga. Habis rancangan Haris tergendala. Happy reading gaiss. Jemput follow and comment.
Share this novel