BALQIS, adikku yang paling abang sayang,
Saat adik membaca surat ini, abang mungkin sudah tiada lagi di dunia ini. Tapi, abang mahu adik tahu, kasih sayang dan doa abang sentiasa bersama adik.
Abang bangga dengan kau, Qis. Dari dulu, adik memang degil tapi penuh semangat. Abang masih ingat masa adik mula-mula beriya nak berniaga roti john. Abang ketawakan adik, ingat adik main-main, tapi adik buktikan yang adik betul-betul serius. Dan hari ini, roti john Balqis bukan biasa-biasa. Orang dah kenal, dah jadi kegemaran ramai. Kau berjaya, Qis.
Tapi abang tahu, kejayaan adik tak berhenti di sini. Abang percaya, satu hari nanti, perniagaan adik akan lebih besar. Abang selalu bayangkan, adik dan Adan berganding bahu di restoran dia, mencipta sesuatu yang lebih hebat. Adik tahu tak? Abang dah lama nampak yang Adan tu ada hati pada adik. Dia mungkin tak tunjuk secara jelas, tapi cara dia ambil berat pasal adik, abang boleh baca. Dia lelaki yang baik, Qis. Dan abang tahu dia boleh jaga adik dengan baik.
Kalau satu hari nanti, takdir menyatukan adik dan Adan, abang pasti akan tersenyum dari ‘sana’. Jangan takut untuk bahagia, Qis. Hidup mesti diteruskan, bukan untuk melupakan, tapi untuk menghargai kenangan.
Abang nak adik janji satu perkara. Jangan pernah berhenti berjuang. Kalau abang boleh teruskan perjuangan sebagai tentera untuk negara, adik juga boleh teruskan perjuangan dalam hidup adik. Jadilah Balqis yang abang selalu kenal—kuat, berani, dan penuh semangat.
Abang sayang Balqis Nadira, adikku. Sampai bila-bila.
Firdaus Nuhail
~•~•~•~
Balqis menggenggam surat itu erat-erat. Air matanya jatuh menitis, tapi kali ini bukan hanya kerana sedih, tetapi juga kerana rindu dan semangat baru yang tiba-tiba menyala dalam dirinya.
Keesokan harinya, Balqis bangkit dengan semangat baru. Dia tahu, dia tidak boleh terus tenggelam dalam kesedihan. Di dapur, dia mula bereksperimen dengan roti johnnya dan akhirnya, tercipta inovasi baru. Roti john berwarna hijau, sebagai penghormatan kepada arwah abang Firdaus, seorang tentera yang telah berkorban segalanya.
Dengan apron tersarung kemas dan senyuman yang mulai kembali menghiasi wajahnya, Balqis bersedia untuk kembali ke bazar Ramadan. Demi abang. Demi diri sendiri. Dan mungkin… demi Haris.
Balqis berdiri di hadapan gerainya, mata membulat melihat barisan panjang yang memenuhi ruangan hadapan gerai roti johnnya. Ini semua gara-gara roti john berwajah baru yang diperkenalkannya semalam—warna hijau tentera sebagai tanda penghormatan buat arwah abang Firdaus.
Siapa sangka, seketul roti john boleh menjadi viral dalam sekelip mata? Media sosial sudah kecoh dengan gambar dan video roti john hijau ciptaannya, ditambah pula dengan satu segmen khas di TV tempatan yang menampilkan roti john Balqis sebagai "Menu Ramadan Paling Unik Tahun Ini." Kini, dia tidak lagi hanya "Balqis si penjual roti john di bazar," tetapi sudah menjadi sebaris dengan nama-nama besar dalam industri kulinari—termasuk Haris Izzuddin sendiri!
"Adan tak percaya! Kau jadi selebriti kilat, Qis!" Haris berseloroh sambil melipat lengan baju. "Silap-silap lepas ni Adan kena panggil kau Chef Balqis."
Balqis tersengih, tapi sebelum sempat dia membalas, Haiqal yang sibuk membungkus pesanan mencelah, "Kalau kau nak puji dia, puji cepat, Adan. Aku dah nak patah pinggang buat kerja ni!"
Haris tergelak, menepuk bahu Haiqal yang sudah berpeluh-peluh.
"Ala, kau dapat upah lumayan, kan? Apa lagi yang kau nak merungut?"
"Aku tak tahu berapa banyak dah aku goreng roti john hari ni! Tangan aku dah rasa macam mesin! Roti john, roti john, roti john! Aku mimpi pun roti john tau!" Haiqal mencebik, tapi tetap laju tangannya menyusun roti di atas dulang.
Balqis ketawa kecil. Melihat Haiqal yang biasanya pemalas kini bekerja keras seperti seorang tukang masak profesional memang satu pemandangan yang jarang berlaku.
"Kau kena biasa dengan kerja keras, Haiqal. Ini semua rezeki arwah abang Firdaus," kata Balqis sambil menabur mayonis dan sos ke atas roti john hijau ciptaannya.
Haris yang sedang memerhati dari sisi tersenyum kecil. Ada rasa bangga dalam hatinya melihat semangat Balqis yang kembali menyala. Tapi, dalam diam, ada juga sedikit cemburu. Bukan cemburu yang membakar tetapi lebih kepada rasa lucu melihat bagaimana Balqis kini lebih terkenal daripadanya.
"Adan tak sangka, chef selebriti macam Adan ni boleh kena tapau dengan penjual roti john," Haris mengusik.
Balqis mengangkat kening sambil menyeringai.
"Kalau Adan rasa tercabar, Adan boleh buka gerai sebelah Qis, jual makanan Adan sendiri."
"Oh, tak payah. Adan ada plan yang lebih baik," Haris bersandar di meja, merenung Balqis dengan pandangan tajam yang membuatkan gadis itu sedikit tergamam.
"Apa?"
"Kita gabungkan gerai. Qis tu dah tak menang tangan, Adan pun nak buat sesuatu yang bermakna. Lagipun, kalau kita bekerja bersama, Adan boleh tengok Qis hari-hari."
Balqis terkedu seketika, wajahnya merona merah. Haiqal yang mendengar ayat itu terus berdeham kuat.
"Hoi, korang boleh tak jangan ada unsur romantis dekat sini? Aku tengah sibuk buat kerja tau!"
Haris dan Balqis sama-sama tergelak. Walaupun di sebalik semua kepenatan dan kekecohan ini, mereka tahu—bazar Ramadan tahun ini bukan sahaja membawa rezeki, tetapi juga kisah baru yang sedang terukir antara mereka.
Dengan gabungan gerai Balqis dan Haris, keadaan di bazar Ramadan kini lebih tersusun. Pelanggan masih ramai, tetapi dengan bantuan tenaga kerja tambahan, semuanya lebih terkawal. Haiqal, yang dulunya terkenal sebagai pemuda yang berat tulang, kini bertukar menjadi pekerja paling rajin.
"Akak tak percaya..." Balqis menyelak apron Haiqal yang sudah basah dengan peluh. "Kau ni betul ke Haiqal yang dulu malas nak angkat pinggan sendiri dekat rumah?"
Haiqal menjeling.
"Hoi! Kak Qis ingat Qal ni forever malas ke? Qal ni versatile, tahu? Dalam situasi tertentu, Qal boleh jadi super rajin."
Haris tergelak besar.
"Situasi tertentu tu maksudnya bila ada duit lebih masuk poket kau, kan?"
Semua yang ada di gerai turut ketawa. Puan Suraya yang datang menjenguk perniagaan mereka tersenyum puas. Hatinya lega melihat anak-anak muda ini semakin matang dan bekerja keras. Namun, seperti biasa, dia tidak melepaskan peluang untuk mengusik.
"Haiqal, kalau macam ni gaya anak bongsu lelaki umi ni buat kerja, rasanya dah boleh kahwin lepas raya ni," katanya sambil tersenyum penuh makna.
Haiqal yang sedang menuang sos ke dalam botol tersedak.
"Apa? Kahwin?"
"Ha'ah, buat terus dua pasang. Seorang dengan Balqis, seorang lagi dengan Haiqal. Jimat kos kenduri," sambung Puan Suraya berseloroh.
Balqis yang sedang mengatur roti john hampir terjatuhkan dulang. Haris pula hanya tersenyum senget, menjeling ke arah Balqis yang wajahnya sudah merah padma.
"Eh, eh, kenapa nak cepat sangat umi?" Haiqal mengangkat tangan, tanda protes. "Qal baru nak menikmati zaman bujang Qal dengan duit hasil titik peluh Qal ni!"
"Ala, kau bukan enjoy pun sebelum ni. Asyik tidur je dekat rumah," Haris menyindir, membuatkan semua orang tergelak lagi.
Puan Suraya menepuk bahu Haiqal dengan penuh kasih sayang.
"Umi gurau aje, Qal. Tapi kalau betul kamu dah bersedia, umi restu saja."
Haiqal hanya menggaru kepala sambil tersenyum malu. Namun, jauh di sudut hati, dia tahu... mungkin ini masa yang tepat untuk dia mula memikirkan masa depan yang lebih serius.
Sementara itu, Balqis masih terpinga-pinga dengan usikan tadi. Haris yang perasan perubahan wajahnya mendekatkan diri sedikit dan berbisik perlahan.
"Kalau betul buat dua pasang sekali gus, kau setuju tak, Qis?"
Balqis menelan liur, jantungnya berdegup lebih laju daripada biasa.
"Err... jual roti john dululah!" jawabnya sebelum cepat-cepat berpaling, meninggalkan Haris yang tersenyum puas melihat reaksinya.
***
Hari demi hari, gerai mereka semakin mendapat perhatian. Roti John hijau Balqis bukan sahaja viral di media sosial, malah beberapa wartawan mula datang untuk menemuramahnya. Balqis yang pada awalnya sedikit kekok, kini semakin yakin. Dia mengendalikan gerainya dengan penuh semangat, walaupun kadang-kadang masih terselit perasaan rindu kepada arwah abang Firdaus.
Namun, dalam kesibukan itu, satu perkara yang Balqis sedari. Haris sentiasa ada di sisinya. Dari membantu memasak, menyusun gerai, hingga memastikan dia tidak keletihan. Haris sentiasa peka dengan keadaan Balqis.
Pada suatu malam selepas solat Tarawih, ketika mereka sedang mengemas gerai, Haris bersuara, "Qis, kau dah fikir panjang ke tentang rancangan nak buka kedai lepas ni?"
Balqis mengerling sekilas.
"Masih dalam kepala lagi. Tapi... Qis tak sangka dapat sambutan macam ni. Qis sendiri terkejut."
Haris menyandarkan dirinya pada tiang khemah gerai.
"Adan dah lama nampak potensi kau, Qis. Dari dulu lagi. Qis cuma perlu yakin sikit dengan diri sendiri."
Balqis tunduk, memikirkan kata-kata Haris.
"Adan rasa... Qis boleh ke?"
"Kalau arwah abang Firdaus ada, dia mesti dah tarik Qis ke dapur restoran Adan dan suruh Qis mula kerja dengan Adan," ujar Haris sambil tersenyum.
Balqis tergelak kecil.
"Arwah abang Fir mesti bangga tengok Qis sekarang, kan Adan?"
"Tapi..." Haris bersandar lebih dekat, suaranya merendah.
"Adan rasa dia akan lebih bangga kalau Qis buat sesuatu yang lagi besar daripada ini."
Balqis mengerut dahi.
"Maksud Adan?"
Haris tersenyum dan mengangkat bahu.
"Mungkin... kita boleh bekerjasama? Adan ada restoran, Qis ada resipi istimewa. Kenapa kita tak gabungkan saja?"
Balqis tersentak. Matanya membulat memandang Haris.
"Adan nak Qis jadi partner Adan?"
Haris mengangguk.
"Ya. Partner dalam bisnes... dan mungkin dalam sesuatu yang lebih besar daripada itu."
Balqis menelan liur, jantungnya berdegup laju. Dia tahu maksud tersirat di sebalik kata-kata Haris. Tetapi dia tidak mahu terburu-buru.
"Err... kita fokus habiskan projek bulan Ramadan kita ni dulu, boleh?" katanya, cuba mengelak.
Haris ketawa kecil.
"Baiklah, tuan puteri. Tapi jangan lama sangat fikir, nanti kot ada orang lain kebas peluang ni."
Balqis menghela nafas panjang. Dia menatap Haris sejenak sebelum tersenyum kecil. Mungkin, untuk pertama kalinya dalam hidup, dia benar-benar yakin... langkahnya kini menuju ke arah yang lebih baik.
Balqis masih sibuk melayan pelanggan di bazar Ramadan apabila Haris muncul dengan seseorang di sisinya. Seorang gadis muda, berambut lurus paras bahu dan memakai blaus putih yang tampak begitu ringkas tetapi manis. Senyuman di wajahnya tidak lekang, matanya bersinar penuh keriangan.
"Hai, semua!" Gadis itu melambai ceria. "Saya Natasya. Panggil je Tasya!"
Balqis memandang sekilas sebelum kembali fokus pada roti john yang sedang disiapkannya. Tapi matanya tetap mencuri pandang. Gadis itu berdiri rapat di sisi Haris, dan Balqis perasan Haris tampak mesra dengannya.
"Natasya ni adik sepupu Adan," jelas Haris sambil meletakkan tangan di bahu gadis itu. "Dia baru habis belajar, jadi sementara tunggu panggilan kerja, dia bercuti kat sini."
Balqis sekadar mengangguk. Entah kenapa, perasaan kurang senang mula bersarang di hatinya. Gadis itu terlalu ceria, terlalu comel, dan... terlalu rapat dengan Haris.
"Tasya, kalau kau nak berbuka nanti, cakap je dengan Qis. Dia boleh buat roti john istimewa untuk kau," kata Haris, tersenyum ke arah Balqis.
Natasya tersenyum lebar.
"Oh, ya ke? Terima kasih, Kak Qis! Saya memang nak rasa roti john viral ni!"
Balqis cuba tersenyum.
"Sama-sama."
Sepanjang malam itu, Balqis perasan sesuatu. Setiap kali dia bercakap dengan Haris, Natasya pasti ada di situ. Bila Balqis mahu meminta bantuan Haris, Natasya akan lebih dahulu menarik lengan lelaki itu dan meminta pertolongan untuk dirinya.
"Abang Haris, boleh tak temankan adik Tasya pergi beli air tebu kejap?"
"Abang Haris, nanti kita cari kuih kegemaran adik Tasya, ya?"
"Abang Haris, malam ni kita lepak sama, kan?"
Balqis mengetap bibir.
'Ewah-ewah, bukan main lagi ya kau, Tasya. Adan ni pulak suka melayan. Menyampah!' gumam Balqis dalam hati.
Haiqal yang sejak tadi memerhati akhirnya menegur perlahan, "Qal rasa ada orang tengah panas hati ni."
Balqis menjeling tajam.
"Akak okey je."
Haiqal tersengih.
"Okey? Muka akak dah macam cili padi tu."
Balqis mendengus. Namun, jauh di sudut hati, dia tahu dia tidak senang. Dia tidak tahu sejak bila perasaan ini hadir, tapi dia pasti, kehadiran Natasya membuatnya tidak selesa.
Ketika bazar hampir tamat malam itu, Balqis sedang menyusun barang apabila Natasya datang mendekat.
"Kak Qis, saya nak tanya sesuatu."
Balqis menoleh.
"Apa dia?"
Natasya tersenyum, tetapi ada riak serius di matanya.
"Kak Qis... Kakak suka Abang Haris, kan?"
Balqis tersentak. Jantungnya berdegup laju.
"Eh?"
"Saya boleh nampak cara kakak tengok abang Haris," ujar Natasya lembut. "Jangan risau, saya tak ada niat apa-apa. Saya cuma nak tahu... kakak serius ke dengan abang Haris?"
Balqis terkedu. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Apakah dia benar-benar serius? Atau dia cuma tidak mahu Haris menjadi milik orang lain?
Soalan Natasya itu masih bergema di kepalanya saat Balqis pulang ke rumah. Malam itu, dia tidak lena tidur. Mungkin, sudah tiba masanya untuk dia benar-benar mengenal pasti apa yang ada dalam hatinya!
Dah bangkit, ada pulak yg mengacau...bersabar ya, Balqis...:) :) Happy reading gaiss...jemput follow dan komen...
Share this novel