BCR BAB 18 : MIMPI YANG MENAKUTKAN!

Romance Series 14436

MALAM itu, di sebuah pondok usang di pinggir hutan, Natasya melangkah masuk dengan hati yang dipenuhi amarah. Bau kemenyan menusuk hidungnya, menambahkan suasana seram yang menyelimuti tempat itu. Lilin-lilin kecil yang diletakkan di sekeliling bilik menerangi wajah seorang lelaki tua beruban, yang sedang duduk bersila di atas tikar anyaman. Wajahnya berkedut, namun matanya penuh misteri dan kejahatan yang terselindung.

"Anak sudah bersedia?" suara garau lelaki tua itu bergema, membuat bulu roma Natasya meremang.

Dia menelan liur, tetapi tetap mengangguk.

"Aku mahu mereka merana. Aku mahu perniagaan Haris jatuh dan Balqis membenci suaminya sendiri."

Bomoh itu menyeringai, mendedahkan giginya yang kuning dan jarang.

"Permintaan kau bukan mudah, tapi tiada yang mustahil dalam dunia ini. Ada harga yang perlu dibayar."

Natasya mengeluarkan sampul tebal dari beg tangannya dan meletakkannya di depan lelaki itu.

"Aku sanggup bayar berapa saja."

Bomoh itu ketawa perlahan.

"Bukan hanya wang yang aku perlukan. Aku perlukan sesuatu dari mereka. Sesuatu yang dekat dengan mereka."

Natasya mengerutkan dahi.

"Maksud Tok?"

"Barang peribadi Balqis dan Haris. Rambut, pakaian mereka, atau apa saja yang pernah mereka sentuh."

Natasya tersenyum sinis. Itu bukan masalah baginya. Dia sudah lama berada di rumah Puan Suraya. Mengambil sesuatu milik Balqis dan Haris bukan perkara yang sukar.

"Berikan aku masa dua hari," katanya penuh yakin.

Bomoh itu mengangguk perlahan, lalu bangkit dan menuju ke sudut pondok. Dia mengambil satu botol kecil berisi cecair hitam pekat dan menyerahkannya kepada Natasya.

"Titiskan ini ke dalam makanan atau minuman mereka. Tak perlu banyak, setitik sudah cukup untuk membangkitkan kebencian."

Natasya menggenggam botol itu erat. Matanya berkilat dengan niat jahat yang semakin membara.

"Kau akan kehilangan segalanya, Balqis. Dan Haris… dia akan melutut merayu padaku."

Dengan langkah penuh keyakinan, Natasya keluar dari pondok itu, bersedia untuk memulakan permainan dendam yang lebih gelap dan berbahaya.

***

Pagi itu, Natasya duduk di dalam keretanya di seberang jalan, memerhatikan rumah Haris dan Balqis. Tangannya menggenggam botol kecil berisi cecair hitam yang diberikan bomoh semalam. Dia tersenyum sinis.

"Hari ini, segalanya akan bermula."

Dia mengambil telefon bimbit dan menaip mesej kepada Puan Suraya, berpura-pura prihatin.

Natasya: Assalamualaikum, umi. Saya nak datang ziarah kak Balqis. Saya rasa bersalah dengan apa yang dah berlaku. Saya bawa sedikit makanan untuk berbuka nanti.

Selang beberapa minit, telefon bergetar.

Puan Suraya: Waalaikumussalam, Tasya. Datanglah, umi tak pernah berdendam. Balqis pun mungkin dah boleh terima.

Senyuman Natasya semakin melebar. Mudah betul orang tua ini terpedaya.

Dia memandu menuju ke rumah Puan Suraya dengan penuh keyakinan. Di dalam bakul di tempat duduk belakang, terdapat beberapa bekas makanan yang telah disediakan. Termasuk kuih tepung pelita kegemaran Balqis. Malam tadi, dia telah mencampurkan setitik cecair hitam ke dalam inti santan kuih itu. Jika bomoh itu tidak menipunya, kesannya akan membuatkan Balqis perlahan-lahan membenci Haris tanpa sebab.

Setibanya di rumah Puan Suraya, dia berlagak seperti biasa. Senyum terukir manis di wajahnya saat melihat Balqis yang masih pucat duduk di ruang tamu bersama ibu mentuanya.

“Kak Balqis… maafkan Tasya, ya. Tasya benar-benar rasa bersalah,” katanya dengan nada penuh penyesalan palsu.

Balqis hanya diam seketika, sebelum mengangguk kecil.

“Akak tak mahu berdendam, Tasya. Akak pun tak tahu kenapa semua ini terjadi.”

'Bagus. Kau memang terlalu baik, Balqis. Terlalu mudah diperdaya.' gumam Natasya dalam hati.

“Terima kasih sebab bagi Tasya peluang,” ujar Natasya dengan mata berkaca, berpura-pura ikhlas. Dia kemudian menghulurkan bakul makanan kepada Puan Suraya.

“Tasya bawakan kuih tepung pelita. Tasya tahu ini kegemaran kak Balqis.”

“Oh, baguslah! Balqis pun jarang makan sejak kebelakangan ni,” ujar Puan Suraya.

Balqis mengambil sepotong kuih dan tersenyum tipis sebelum menyuapnya ke dalam mulut. Natasya memerhatikan setiap gerakan itu dengan penuh kepuasan.

'Sekarang, kita tengok berapa lama kau boleh bertahan, Balqis.' Hati Natasya berbisik penuh muslihat.

Haris, yang baru pulang dari bazar, masuk ke rumah dengan wajah keletihan. Dia terkejut melihat Natasya di situ tetapi tidak berkata apa-apa.

Namun, hanya beberapa minit selepas Balqis selesai makan, wajahnya tiba-tiba berubah. Kepalanya terasa berat, dadanya berdebar tanpa sebab. Dia menoleh ke arah Haris, dan entah kenapa, hatinya tiba-tiba terasa meluat melihat suaminya sendiri.

Haris menghampiri Balqis dan mengusap bahunya.

“Sayang, awak okey?”

Balqis tersentak dan menepis tangan Haris secara refleks.

“Jangan sentuh Qis!”

Haris terkedu. Puan Suraya turut terkejut.

Natasya, di sudut ruang tamu, menahan senyumannya yang hampir terukir.

"Permainan ini baru bermula, Haris. Bersedialah." Natasya senyum sinis, kata-kata itu bergema di dalam hatinya dengan penuh kepuasan. Rancangannya benar-benar menjadi!

***

Haris duduk di meja makan dengan dahi berkerut, merenung Balqis yang semakin menjauh daripadanya. Sejak semalam, isterinya itu tidak mahu menyentuhnya langsung, malah enggan berbicara mesra seperti selalu. Balqis lebih suka menyendiri di dalam bilik, dan setiap kali Haris cuba mendekati, ada saja alasan diberikan.

“Balqis, apa yang tak kena dengan sayang ni?” tanya Haris dengan nada lembut, cuba meraih tangan isterinya.

Namun, Balqis menepis dengan wajah berkerut.

“Jangan sentuh Qis lah, Adan. Qis rimas!”

Jawapan itu bagaikan pedang yang menikam terus ke jantung Haris. Dahulu, Balqis tidak pernah begitu. Malah, dialah yang sering bermanja dan mengusik Haris dengan gurau senda. Tetapi sekarang, Balqis seperti berubah menjadi orang lain.

Puan Suraya yang melihat dari jauh turut risau.

“Balqis, apa salah suami kamu ni sampai kamu layan dia begini?”

Balqis menggeleng, matanya berair.

“Qis sendiri tak tahu, umi. Qis rasa… Qis tak suka tengok dia. Qis rasa benci.”

Haris menelan liur. Hatinya semakin gusar. Perasaan Balqis berubah secara tiba-tiba, dan tiada sebab yang jelas.

Dalam masa yang sama, perniagaannya di bazar Ramadan juga mula terjejas. Bermula dengan aduan pelanggan bahawa ayam perciknya terasa pelik, sehinggalah ada yang mendakwa ayam itu berbau busuk dan berulat!

“Haris, macam mana kau boleh jual ayam percik macam ni?” seorang pelanggan tetapnya menyoal dengan wajah marah. “Aku dah beli kat sini bertahun-tahun, tak pernah jadi macam ni!”

Haris memandang ayam percik yang masih belum terjual. Matanya membulat. Ada sesuatu yang tidak kena. Ayam-ayam itu yang dimasaknya segar pagi tadi kini dipenuhi ulat halus dan berbau busuk!

Haris menggeleng kepala, cuba menjelaskan.

“Saya bersumpah, bang… saya sendiri yang masak semua ni pagi tadi. Tak mungkin jadi begini dalam beberapa jam.”

Namun, pelanggan sudah mula berkurang. Ada yang menjauhkan diri, ada yang berbisik-bisik sambil menuding jari.

“Adan, kita kena buat sesuatu,” ujar Haiqal yang turut membantu di gerai. “Kalau benda ni berterusan, habislah kita!”

Haris meraup wajahnya. Kepalanya berserabut. Perniagaan yang selama ini berjalan lancar tiba-tiba musnah dalam sekelip mata. Dan Balqis? Isterinya yang dulu mesra kini membencinya tanpa sebab.

Sementara itu, dari jauh, Natasya memerhati dengan senyuman puas.

"Padan muka kau, Haris. Ini baru permulaan."

***

Malam itu, lena Balqis terganggu. Tubuhnya menggigil, peluh membasahi dahinya walaupun kipas di bilik terpasang pada kelajuan maksimum. Bibirnya bergerak-gerak, tetapi butir kata yang keluar kedengaran seperti bahasa yang tidak difahami.

Puan Suraya yang terjaga dari tidurnya tersentak apabila mendengar suara Balqis meracau. Dia segera berlari ke bilik menantunya dan melihat tubuh Balqis menggelepar di atas katil, seperti sedang mengalami mimpi ngeri yang dahsyat.

“Ya Allah, Adan! Bangun, cepat!” jerit Puan Suraya sambil menggoncang tubuh anaknya yang tidur di sebelah Balqis.

Haris terjaga dengan wajah panik.

“Kenapa, umi?”

Puan Suraya menunjuk ke arah Balqis yang sedang mengerang dalam tidur, tubuhnya bergerak-gerak seolah-olah sedang bergelut dengan sesuatu yang tidak kelihatan. Matanya tertutup rapat, tetapi wajahnya jelas dipenuhi ketakutan.

“Balqis! Sayang, bangun!” Haris cuba mengejutkan isterinya, tetapi sebaik sahaja dia menyentuh lengan Balqis, tubuh isterinya menjadi kaku sebelum tiba-tiba matanya terbuka luas.

Namun, pandangan Balqis kosong. Bibirnya bergerak, tetapi suaranya bukan suara Balqis. Ia garau, seram dan mendalam.

"Dia milik aku!"

Puan Suraya menjerit kecil dan menutup mulutnya dengan tangan. Haris menelan liur, cuba mengawal ketakutan yang mula merayap di hatinya.

“Umi, kita kena panggil Lebai Haji Bakhtiar!” kata Haris dengan suara cemas.

Tanpa membuang masa, Haris mencapai telefon dan menghubungi Lebai Haji Bakhtiar, memohon agar ayah mentuanya segera datang ke rumah mereka.

Tidak sampai lima belas minit, Lebai Haji Bakhtiar tiba bersama seorang rakannya, seorang ustaz yang mahir dalam rawatan Islam. Sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam bilik, bau wangi bercampur hamis memenuhi ruang.

Lebai Haji Bakhtiar menatap wajah anak perempuannya dengan pandangan sayu sebelum mula membaca ayat-ayat suci al-Quran. Balqis mula menggeliat, tubuhnya seperti tidak selesa dengan bacaan tersebut.

Tiba-tiba, jeritan kuat bergema dalam bilik. Balqis meronta-ronta seolah-olah mahu melarikan diri, tetapi Haris dan Haiqal segera memegang tubuhnya agar tidak mencederakan diri sendiri.

“Bertenang, Balqis. Lawan bisikan itu. Ingat Allah,” bisik Haris di telinga isterinya.

Namun, suara garau tadi kembali kedengaran.

"Kau tidak akan pernah bahagia, Haris!"

Lebai Haji Bakhtiar terus menguatkan bacaan rukyahnya. Dalam beberapa minit, tubuh Balqis semakin lemah, nafasnya turun naik dengan laju sebelum akhirnya dia jatuh tidak sedarkan diri.

Puan Suraya menangis melihat keadaan menantunya.

“Apa yang berlaku pada menantu saya, ustaz?”

Ustaz yang bersama Lebai Haji Bakhtiar menarik nafas panjang sebelum bersuara.

“Ada seseorang yang menggunakan sihir untuk menzalimi keluarga ini.”

Haris dan Haiqal berpandangan, dan nama pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah, NATASYA!

Haris menggenggam penumbuknya, wajahnya berona merah menahan marah.

“Kalau betul Natasya yang buat semua ni, aku takkan biarkan dia!”

Haiqal meletakkan tangan di bahu abang kembarnya, cuba menenangkan emosi Haris.

“Bertenang, Adan. Kita serahkan segalanya kepada Allah. Jangan balas kejahatan dengan kejahatan.”

Lebai Haji Bakhtiar mengangguk.

“Betul kata Haiqal. Kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu. Dendam hanya akan membutakan hati kita. Kita serahkan kepada Yang Maha Esa, dan abah akan berusaha sedaya upaya untuk memulihkan keadaan Balqis dan perniagaan kamu.”

Haris menggenggam tangan isterinya yang terkulai di atas katil. Air matanya jatuh tanpa sedar.

"Balqis… bertahanlah, sayang."

***

Natasya mengiring ke kiri dan ke kanan di atas katilnya, tetapi lena tetap tidak kunjung tiba. Hawa malam yang sepatutnya sejuk terasa bahang membakar tubuhnya. Peluh membasahi dahinya walaupun kipas siling berputar laju.

“Apa yang tak kena ni?” rungutnya sambil mengelap peluh di wajah.

Dia bangkit dari katil, berjalan ke tingkap dan membuka sedikit langsir. Bulan penuh tergantung di langit, bersinar terang. Namun, semakin lama dia memandangnya, semakin aneh bulan itu kelihatan. Ia berubah menjadi merah darah, seolah-olah sedang memerhatikannya.

Degupan jantungnya semakin laju. Tiba-tiba, bahunya terasa berat. Seolah-olah ada sesuatu yang berdiri di belakangnya.

"Natasya…"

Suara itu berbisik tepat di telinganya. Meremang bulu romanya. Dengan penuh keberanian, dia berpaling ke belakang, namun tiada sesiapa di situ.

“Hanya perasaan aku saja,” bisiknya sendiri.

Tetapi ketika dia berpaling semula ke tingkap, bayangan seorang perempuan berambut panjang dengan mata hitam pekat muncul di cermin tingkap.

“Aaaahhh!” Natasya menjerit, tubuhnya terundur ke belakang sehingga terjatuh ke lantai.

Bayangan itu tersenyum ngeri. Darah meleleh dari mulutnya.

"Kau sudah buat silap, Natasya… Kau akan menerima balasannya…"

Telinganya berdengung. Jantungnya seakan mahu meletup. Dia memejamkan mata, menggenggam rambutnya erat.

“Pergi! Pergi jauh dari aku!”

Tiba-tiba, suasana kembali sunyi. Natasya membuka matanya, tubuhnya masih menggigil. Dia memandang sekeliling, bayangan itu sudah tiada.

Dia terhenyak di lantai, cuba menenangkan degupan jantungnya.

“Aku tak takut… Aku tak takut…” gumamnya perlahan.

Tetapi hakikatnya, dia takut. Teramat takut. Malam itu, dia tidak dapat melelapkan mata. Bayangan itu terus menghantui fikirannya.
Hari-hari Natasya berlalu dalam ketakutan. Sejak malam itu, hidupnya tidak lagi tenteram. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, bisikan-bisikan halus kedengaran di telinganya, menyebut namanya berulang kali. Kadang-kadang, dia melihat bayang hitam berlegar-legar di dalam biliknya, dan ada ketikanya, suara tangisan yang seram menggema tanpa sumber yang jelas.

Keadaan tubuhnya semakin lemah. Makan tak berselera, tidur tak lena. Matanya semakin cengkung, wajahnya pucat seperti mayat hidup.

“Tak boleh jadi macam ni!” Dia perlu mencari bomoh itu semula. Hanya lelaki tua itu yang boleh membantunya menghentikan gangguan ini.

Tanpa membuang masa, dia memandu ke tempat bomoh itu berada. Sejurus tiba di rumah usang itu, dia terasa seram sejuk. Suasana sunyi, hanya bunyi cengkerik memenuhi ruang.

“Tok?” panggilnya dengan suara sedikit bergetar.

Tiada sahutan. Dia melangkah masuk dengan berhati-hati, menolak daun pintu yang sedikit terbuka. Bau busuk menusuk hidungnya.

Jantungnya hampir luruh apabila melihat sekujur tubuh bomoh itu terbujur kaku, matanya terbelalak luas. Kulitnya sudah membiru dan mereput, penuh dengan ulat yang menghurung seluruh tubuhnya.

Natasya menekup mulut, menahan rasa loya yang menghentam tekaknya. Tubuhnya menggigil hebat!

Jahatnya kau Natasya...skrg pdn muka kau x psal² kna ggu balik.. Balqis ni pun baik sgtlah hai. Happy reading gaiss, jemput follow dan komen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience