BCR BAB 33 : KECOH & KELAM-KABUT

Romance Series 14436

SEMENTARA Haiqal mengejarkan Balqis ke hospital, Sofea yang duduk di tempat duduk belakang mula merasakan kesakitan yang sama. Haris yang baru sahaja selesai penggambaran MasterChef menerima panggilan cemas daripada Haiqal, memberitahu bahawa Sofea mahu melahirkan anak mereka dan sedang mengerang kesakitan. Namun, sebelum Haris sempat bertindak balas, suara Balqis pula kedengaran menahan sakit di hujung talian. Air ketubannya pecah!

Haris hampir menjatuhkan telefon di tangannya.

"Ya Allah, kenapa serentak ni?!" Dia terus meluru ke arah keretanya sambil menghubungi hospital, memaklumkan mereka bahawa dua wanita sarat mengandung sedang dalam perjalanan ke sana.

Dalam perjalanan ke hospital, Haiqal yang sedang memandu tidak tentu arah. Tangannya menggigil, namun dia cuba bertenang.

"Honey, tahan sikit! Kita dah nak sampai!" Sofea hanya menggertap bibir, menahan sakit yang semakin menggila. Di belakang, Balqis juga berpeluh-peluh sambil memegang perutnya erat.

"Haiqal, cepat sikit... Rasa macam nak terkeluar ni!"

"Adan, aku dah bawak 120km/j ni! Kalau lagi laju, kita masuk berita malam ni!" balas Haiqal dalam keadaan panik.

***

Sebaik tiba di hospital, jururawat segera menolak Sofea dan Balqis ke dalam bilik bersalin. Haris yang baru sampai berlari mendapatkan mereka. Matanya beralih kepada isterinya yang menahan kesakitan di katil hospital.

"Sayang, bertahan! Abang ada di sini!"

Setelah hampir dua belas jam menunggu, Balqis selamat melahirkan anak kembar sepasang. Haris mengalirkan air mata kegembiraan saat mendukung anak-anaknya buat pertama kali. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila seorang jururawat berlari mendapatkan mereka.

"Encik Haiqal, isteri encik sedang dalam keadaan kritikal dan perlu dibawa ke dewan pembedahan sekarang!"

Haiqal terasa darahnya turun mendadak.

"Pembedahan?! Kenapa?!" Dia hampir terduduk di lantai, tetapi Haris segera memegang bahunya.

"Kau kena kuat, Haiqal! Kita kena pastikan Sofea dan bayi selamat!" kata Haris tegas.

Setelah dua jam menunggu dengan penuh debaran, akhirnya doktor keluar dari bilik pembedahan dengan senyuman.

"Tahniah, Encik Haiqal. Isteri anda selamat melahirkan bayi kembar lelaki secara pembedahan. Namun, disebabkan kelahiran pramatang, mereka perlu ditahan di wad khas untuk pemantauan."

Haiqal menekup wajah, menahan rasa sebak yang tak mampu dibendung lagi. Haris menepuk bahunya, menenangkan adik kembarnya yang hampir pengsan kerana terlalu panik dan keletihan.

"Tak sangka dalam satu malam, kita berdua jadi ayah kepada empat orang bayi!" kata Haris sambil ketawa kecil, cuba meredakan ketegangan. Haiqal hanya mampu menggeleng lemah.

"Aku sumpah tak sanggup ulang benda ni lagi dalam hidup aku!"

***

Umi dan abah saling berpandangan, mata mereka berkaca-kaca. Malam ini, mereka menerima empat orang cucu sekaligus, satu anugerah yang tidak ternilai. Puan Suraya mengesat air mata kegembiraan sambil menggenggam tangan Lebai Haji Bakhtiar.

"Tak sangka, dalam sekelip mata, keluarga kita bertambah besar," ujar Puan Suraya penuh syukur.

Haris yang masih mendukung salah seorang bayi kembarnya tersenyum.

"Umi, abah, anak-anak kembar ni nak letak nama apa?" soalnya sambil memandang Balqis yang masih berbaring di katil.

"Ha’ah, umi! Cucu-cucu umi ni kena ada nama yang cantik dan penuh makna," sambung Haiqal, matanya sesekali melirik ke arah wad NICU, di mana dua bayi kecilnya sedang berehat di dalam inkubator.

Lebai Haji Bakhtiar mengusap janggutnya sambil tersenyum penuh makna.

"Abah dah fikir nama-nama yang sedap didengar dan ada makna yang baik..."

Haris dan Haiqal menelan air liur. Mereka sudah dapat mengagak bahawa abah mereka itu pasti akan memilih nama yang sangat klasik dan mungkin sukar disebut.

"Untuk anak Haris dan Balqis, abah cadangkan nama Muhammad Faris dan Nur Faiha. Maksudnya pemimpin yang bijaksana dan cahaya kebahagiaan," ujar Lebai Haji Bakhtiar dengan nada bangga.

Balqis tersenyum lemah.

"Cantik nama tu, bang."

Haris menarik nafas lega.

"Alhamdulillah, terima kasih, abah. Saya setuju!"

Kemudian, abah mereka menoleh ke arah Haiqal yang sudah menggigit bibir.

"Dan untuk anak-anak Haiqal dan Sofea, aku cadangkan Muhammad Furqan dan Muhammad Fayyad. Maksudnya pemisah antara yang benar dan yang batil serta yang murah hati dan dermawan."

Haiqal menghela nafas.

"Nama panjang sangat, bah... Tak ada nama yang lebih ringkas ke?"

Sofea yang masih keletihan menjeling suaminya.

"Nama dah elok, jangan banyak bunyi!"

Umi ketawa kecil melihat gelagat mereka.

"Dah nama pun doa, biarlah yang baik-baik. Jangan nak disingkatkan jadi Qan atau Yad pulak!"

Semua ketawa mendengar teguran umi. Malam itu, mereka berbincang dengan penuh keceriaan, menyambut kehadiran empat orang ahli baru dalam keluarga mereka dengan hati yang penuh kesyukuran.

***

Balqis mengerutkan dahi sambil merenung semangkuk air rebusan herba di hadapannya. Bau rempah yang kuat menusuk hidungnya, membuatkan dia hampir termuntah. Dia menjeling ke arah Puan Suraya yang sedang sibuk menyediakan air mandian berasaskan daun herba.

"Umi… Qis tak nak minum air ni. Rasanya pahit sangat," rungutnya sambil menjuihkan bibir.

Puan Suraya mengerling menantu kesayangannya dengan ekor mata.

"Ini semua untuk kebaikan kamu juga, Balqis. Dulu, umi pun macam kamu, tapi lepas berpantang dengan betul, badan umi sihat sampai sekarang."

Balqis mengeluh perlahan.

"Tapi umi… zaman dah berubah. Qis rasa cara umi ni terlalu...kolot."

Tiba-tiba, Haris yang baru masuk ke dalam bilik tersenyum nakal sambil melangkah menghampiri isterinya. Dia duduk di sisi Balqis dan mengambil mangkuk air rebusan itu.

"Sayang, tahu tak kenapa umi bertegas nak Balqis ikut cara dia?"

Balqis menjeling.

"Kenapa?"

Haris mengangkat keningnya sebelum tersenyum penuh makna.

"Sebab umi nak pastikan isteri abang ni kekal sihat, cantik dan bertenaga... untuk abang," bisiknya lembut di telinga Balqis.

Balqis terkedu. Pipi gebunya mula merona merah. Haris jarang berkata sesuatu yang begitu romantis dan memikat.

Haris meneruskan, "Sayang tahu tak, kalau Balqis ikut semua pantang larang ni, badan sayang akan cepat pulih, tak mudah letih, dan yang paling penting… abang akan sentiasa ada di sini untuk manjakan sayang."

Balqis menggigit bibirnya, cuba menahan senyuman yang mahu terbit di bibirnya. Dia tidak menyangka suaminya mampu berkata-kata seromantis ini.

Melihat isterinya masih teragak-agak, Haris mengambil sudu kecil dan menyuakan air herba itu ke mulut Balqis.

"Kalau sayang minum ni, abang akan hadiahkan sesuatu yang istimewa nanti."

Balqis mengerlingnya dengan rasa curiga.

"Betul ke?"

Haris mengangguk penuh yakin.

"Abang tak pernah mungkir janji."

Dengan hati yang sedikit berat tetapi terpengaruh dengan pujukan suaminya, Balqis akhirnya membuka mulut dan meneguk air herba itu perlahan-lahan. Walaupun pahit, hatinya menjadi manis dengan pujukan Haris.

Puan Suraya yang memerhati dari tadi hanya menggeleng kepala sambil tersenyum.

"Kalau tahu Adan ni boleh jadi peguam bela isteri dia, dah lama umi suruh dia pujuk Balqis."

Haris ketawa kecil dan mengenyitkan mata ke arah Balqis.

"Nampaknya, tugas abang bukan sekadar suami dan ayah, tapi juga motivator peribadi isteri abang."

Balqis hanya menjeling geram tetapi dalam hati, dia akur—Haris benar-benar tahu cara untuk melembutkan hatinya.

***

Di dalam wad, Sofea duduk bersandar dengan wajah cemberut. Dia merenung bubur nasi yang umi suakan kepadanya dengan penuh curiga.

"Umi, kenapa saya kena makan bubur je? Saya nak makan nasi goreng kampung dengan telur mata."

Puan Suraya menjeling sambil bercekak pinggang.

"Sofea, baru seminggu bersalin. Nak makan berminyak-miyak macam tu? Perut kamu boleh terkejut tau."

Sofea mencebik.

"Tapi umi, saya lapar. Saya tak nak makan makanan pantang ni. Rasa macam orang sakit je."

Haiqal yang sejak tadi duduk di sisi katil menepuk dahi. Dia tahu isterinya ini ada perangai manja yang sukar dikawal, apatah lagi selepas melahirkan anak kembar.

"Honey, kalau honey ikut pantang ni, nanti badan cepat sihat, muka berseri, dan yang paling penting, badan kekal ramping."

Sofea mengangkat kening, memandang Haiqal penuh curiga.

"Ramping?Abang tipu kan?"

Haiqal tersenyum manis, cuba menenangkan isterinya.

"Abang tak tipu. Lepas pantang, honey akan jadi makin cantik. Dan abang akan buat apa saja untuk pastikan sayang tak bosan."

Puan Suraya hanya menggeleng kepala.

"Haiqal, kalau setakat pujuk macam tu, tak cukup. Isteri kamu ni banyak akalnya."

Betul seperti yang umi jangka, Sofea mengeluh panjang sebelum mula berdrama.

"Kalau macam ni, baik saya pantang sendiri je. Abang pun tak kesian kat saya. Umi pun asyik paksa makan bubur je."

Haiqal terdiam. Dia tahu ini petanda isterinya bakal menangis bila-bila masa. Dan benar seperti yang diduga, air mata Sofea sudah mula bergenang.

"Alaa, janganlah menangis, honey. Nanti abang suapkan, okey?" Haiqal cepat-cepat mencapai sudu dan menyuakan bubur ke mulut isterinya.

"Ni, satu suapan cinta abang. Lepas tu, abang janji, abang akan nyanyikan lagu romantik untuk honey setiap malam."

Sofea berhenti menangis serta-merta.

"Janji?"

Haiqal mengangguk bersungguh-sungguh.

"Janji sehidup semati."

Melihat drama suami isteri itu, Puan Suraya mengeluh letih.

"Aduhai, dua-dua menantu umi ni sama je. Seorang kena pujuk dengan kata-kata manis, seorang lagi sampai kena janji nyanyi lagu romantik."

Namun, keletihan dan sedikit kecil hati itu lenyap apabila Puan Suraya memandang ke arah bayi-bayi comel yang tidur nyenyak di dalam katil kecil masing-masing. Cucu-cucu ini adalah anugerah paling bermakna dalam hidupnya.

Dengan senyuman, Puan Suraya mengusap kepala salah seorang cucunya dan berbisik perlahan, "Tak apalah umi berkorban sikit. Asalkan cucu-cucu umi membesar dengan sihat dan menantu-menantu umi bahagia."

***

Di rumah, Haris berdiri di dapur dengan apron terikat kemas di pinggangnya, bersedia menyediakan makanan pantang untuk Balqis. Sementara itu, Balqis duduk di ruang tamu dengan muka monyok, sambil merenung roti bakar yang dipegangnya.

“Sayang, kenapa muka masam macam asam jawa tu?” tegur Haris sambil mendekati isterinya.

Balqis mengeluh panjang.

“Abang, Balqis nak makan ayam goreng. Tolonglah… sikit je.”

Haris tersenyum sambil duduk di sebelahnya.

“Sayang, umi dah sediakan makanan pantang khas untuk Balqis. Nanti kalau makan benda berminyak, takut badan tak sihat, luka lambat sembuh.”

Balqis memuncungkan bibir.

“Tapi sayang bosan makan makanan rebus je. Sampai hati abang tak nak tunaikan permintaan isteri yang baru bersalin ni.”

Melihat wajah manja Balqis, Haris mendekatkan wajahnya ke telinga isterinya dan berbisik, “Kalau Balqis habiskan sup ikan haruan yang abang masak tu, malam nanti abang buatkan surprise untuk Balqis.”

Balqis terhenti seketika.

“Surprise? Apa dia?”

Haris tersenyum penuh rahsia.

“Rahsia. Tapi Balqis kena makan dulu.”

Balqis akhirnya mengalah dan menyuap makanan pantangnya. Dalam hati, dia terfikir-fikir apakah kejutan yang akan diberikan Haris. Dia tidak pernah menyangka Haris boleh menjadi begitu romantik dan pandai memujuknya.

***

Sementara itu, di hospital, Haiqal sedang berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar. Sofea yang masih di wad semakin sensitif dan emosinya sukar dijangka.

“Honey, kenapa menangis ni?” tanya Haiqal cemas apabila melihat isterinya mengesat air mata.

Sofea menjeling tajam.

“Abang tak sayang Sofea lagi, kan?”

“Hah? Kenapa cakap macam tu?” Haiqal menggaru kepala, bingung dengan perubahan emosi Sofea yang mendadak.

“Sebab abang tak bawa coklat.”

Haiqal hampir tersedak dengan jawapan isterinya itu.

“Honey… honey baru lepas bersalin. Mana boleh makan coklat banyak-banyak.”

“Tapi Sofea nak!” Sofea bersuara keras, matanya mula berkaca lagi.

Haiqal akhirnya mengalah.

“Okey, okey. Abang akan tanya umi dulu. Kalau umi benarkan, abang belikan.”

Sofea tersenyum puas.

“Ha, macam tu lah."

Dalam hati, Haiqal mengeluh panjang. Dia tidak menyangka bahawa berpantang bersama Sofea lebih mencabar daripada apa yang dijangkakannya.

Di sudut lain, Puan Suraya duduk di ruang tamu sambil menepuk dahinya.

“Aduhai… menantu-menantu umi ni seorang pun tak bagi umi rehat. Seorang merengek nak makan ayam goreng, seorang lagi menangis sebab coklat.”

Lebai Haji Bakhtiar ketawa kecil.

“Sabar, Su. Dulu masa kita baru nikah pun, awak ada juga perangai manja macam ni.”

Puan Suraya menjeling suaminya.

“Itu dulu. Sekarang abang kena tolong Su hadap kerenah anak menantu.”

Melihat kecomelan cucu-cucu mereka yang sedang tidur lena, Puan Suraya akhirnya tersenyum. Walaupun kepenatan, hatinya tetap bahagia kerana rumahnya kini dipenuhi dengan kebahagiaan dan keriuhan ahli keluarga baru.

Haris melabuhkan duduk di sebelah Balqis yang sudah selesai makan, tersengih bangga kerana berjaya memujuk isterinya. Tangannya dengan lembut membelai rambut Balqis yang kini bersandar di bahunya.

"Abang, kejutan apa yang abang nak bagi tu?" Balqis bertanya dengan penuh harapan.

Haris mengangkat kening, senyum misteri.

"Nak tahu? Kena tunggu malam nanti."

Balqis mendengus manja.

***

Sementara itu, di hospital, Haiqal masih lagi berusaha menenangkan Sofea yang merajuk kerana coklat idamannya belum muncul.

“Honey, kalau umi tak benarkan, macam mana?” Haiqal cuba berunding.

Belum sempat Sofea membalas, pintu wad terbuka dan umi masuk dengan membawa makanan pantang.

"Nah, makan dulu sebelum fikir pasal coklat," ujar Puan Suraya tegas.

Sofea menjeling ke arah makanan di tangannya dan akhirnya akur.

“Baiklah... tapi lepas ni nak coklat juga!”

Haiqal tersenyum lega. Dalam hati, dia bersyukur kerana umi datang tepat pada waktunya. Kerenah isteri berpantang ini memang mencabar!

Hahaha...terima jelah kerenah berpantang isteri masing²..Mungkin pening kepala si Adan and Haiqal ni agaknya??? Happy reading gaiss..beraya lagi ke tu??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience