TIGA hari sebelum Aidilfitri, rumah Sofea Ardyla dipenuhi suasana gembira dan meriah dengan persiapan majlis pertunangannya dengan Haiqal. Majlis ini diadakan secara sederhana, hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat rapat. Meskipun sederhana, debaran di hati Sofea dan Haiqal tetap terasa. Bukan sahaja kerana bakal melangkah ke fasa baru dalam kehidupan, tetapi juga kerana bimbang jika ada insiden yang tidak diingini berlaku.
Namun, sementara persiapan di rumah Sofea berjalan lancar, satu kekecohan besar sedang berlaku di dapur rumah Puan Suraya. Balqis yang teringin membuat kuih bahulu secara tradisional telah berjaya meyakinkan Puan Suraya untuk memasukkan kuih itu sebagai sebahagian daripada hantaran. Tetapi, prosesnya tidaklah semudah yang disangka.
Haris, dengan muka muram akibat kehilangan restorannya, ditugaskan untuk membantu memukul adunan.
“Kenapa abang kena buat ni? Abang chef western, bukan chef kampung!” rungutnya, sambil tangan ligat memukul telur dan gula.
“Mulut jangan banyak cakap, abang. Pukul telur tu cepat!” Balqis memberi arahan sambil menyingsing lengan baju, bersiap sedia menuang adunan ke dalam acuan bahulu.
Lebai Haji Bakhtiar pula ditugaskan menjaga api bara. Tetapi entah bagaimana, api menjadi terlalu besar. Puan Suraya yang sedang memeriksa bahulu hampir menjerit apabila bau hangit mula menyusup masuk ke dalam hidungnya.
“Allahuakbar! Hangus!”
Balqis yang terlalu teruja untuk melihat hasil bahulunya menjerit lebih kuat.
“Aduhh! Bahulu Qis! Qis nak buat hantaran untuk Haiqal ni!”
Lebai Haji Bakhtiar, yang sedikit panik, cuba mengipas-ngipas bara api dengan kain pelikatnya.
“Abah tengok api tak besar sangat tadi…”
Haris meletakkan tangan di pinggang.
“Tak besar katanya? Ni dah macam nak panggil bomba!”
Puan Suraya sudah berpeluh kerana dapur yang panas, mula merajuk.
“Balqis, umi dah cakap buat kek moden je, kan? Degil juga nak bahulu. Hah, tengok? Hangus!”
Balqis mencebik dan melipat tangan di dada.
“Abang pun salah juga, pukul telur pun macam nak buat dumbbell workout.”
Lebai Haji Bakhtiar yang rasa bersalah cuba memujuk.
“Tak apa, kita buat balik…”
“Tak nak dah! Malas!” Balqis menolak dengan muka mencuka.
Haris mengeluh panjang dan mengangkat bahu. Haiqal yang baru masuk ke dapur, melihat keadaan itu, hanya mampu tersenyum sambil menggeleng kepala.
“Dah, dah… jangan merajuk. Kita pergi beli kuih bahulu siap je.”
“Mana boleh! Tak ada sentimental value!” Balqis membentak, namun akhirnya akur juga setelah dipujuk oleh Haiqal.
***
Di rumah Sofea, majlis pertunangan berlangsung dengan lancar pada mulanya. Ibu Sofea yang semakin sihat tersenyum melihat anak perempuannya selangkah lebih dekat ke arah kebahagiaan. Namun, suasana tiba-tiba bertukar kecoh apabila satu suara lantang bergema dari luar pagar.
“SOFEA! Kau tak boleh bertunang dengan orang lain! Aku yang patut jadi suami kau!”
Semua mata tertumpu pada figura yang tidak diundang, Zafran Dato' Zazali. Lelaki itu berdiri dengan wajah berang, matanya merah menyala penuh kegilaan.
Sofea yang takut, lantas menggenggam tangan Haiqal erat.
“Apa lagi yang dia nak?” bisiknya cemas.
Haiqal segera berdiri bersama Haris yang sudah menggulung lengan bajunya, bersedia untuk bertindak.
“Zafran, kau pergilah dari sini. Sofea dah buat pilihan dia.”
Zafran menggelakkan kata-kata Haiqal.
“Pilihan? Dia milik aku! Aku yang pertama dalam hidup dia! Dan aku tak akan benarkan dia bersama lelaki lain!”
Tanpa amaran, Zafran meluru ke arah Sofea, cuba menarik tangannya. Namun, Haiqal dan Haris bertindak pantas, menahan dan menolak lelaki itu ke belakang.
“Kau gila, Zafran!” bentak Haris.
Pertengkaran bertukar menjadi pergelutan sengit. Para tetamu mula panik. Tetapi di celah kekecohan itu, Balqis yang baru tiba dari dapur melihat sesuatu yang boleh digunakan untuk menghentikan Zafran. Hantaran kuih bahulu!
Tanpa berfikir panjang, Balqis mengambil sebiji bahulu yang paling keras akibat terlebih bakar dan MENYUMBATNYA KE MULUT ZAFRAN!
Zafran terkejut. Matanya membulat, tangannya mencakar-cakar udara.
“Urghh! Apa ni?!”
Balqis tersengih puas.
“Bahulu sentimental value.”
Zafran cuba menelan bahulu yang melekat di kerongkongnya, tetapi dia mula terhuyung-hayang. Matanya berpinar sebelum tubuhnya jatuh terduduk.
“Ugh… pahit… keras…” dan akhirnya, dia pengsan di situ juga.
Semua orang terdiam seketika.
Lebai Haji Bakhtiar menggosok janggutnya sambil mengangguk perlahan.
“MasyaAllah, bahulu pun boleh jadi senjata.”
Haris memandang Balqis dengan kagum.
“Abang tak tahu sama ada nak marah atau puji sayang ni.”
Balqis hanya mengangkat bahu.
“Kita kena kreatif dalam menyelesaikan masalah.”
Sementara itu, Haiqal menarik nafas lega sebelum menoleh kepada Sofea.
“Saya janji, saya tak akan biarkan sesiapa pun ganggu awak lagi.”
Sofea tersenyum dalam tangisan. Dia tahu, dia akhirnya selamat di sisi lelaki yang benar-benar mencintainya.
Walaupun majlis pertunangan mereka bertukar sedikit huru-hara, satu perkara yang pasti, bahulu keras Balqis telah menjadi legenda di kalangan keluarga mereka.
***
Meskipun majlis pertunangan Haiqal dan Sofea telah selesai dengan penuh warna-warni (dan sedikit tragedi bahulu), ketegangan masih belum reda sepenuhnya. Zafran telah dibawa keluar dari majlis oleh dua orang pengawai keselamatan yang kebetulan merupakan saudara jauh keluarga Puan Suraya. Selepas kejadian itu, suasana sedikit janggal, namun keluarga Haiqal dan Sofea cuba mengembalikan kemeriahan dengan berbual tentang persiapan perkahwinan yang bakal tiba.
Namun, di sebalik senyuman dan tawa para tetamu, hati Sofea masih berdebar. Fikirannya berserabut memikirkan kemungkinan Zafran akan kembali dengan rancangan yang lebih gila. Dia tidak boleh membiarkan kebahagiaannya sekali lagi direnggut oleh masa silamnya.
Malam itu, selepas semua tetamu pulang, Sofea duduk di anjung rumah, termenung melihat bulan penuh di langit. Hatinya yang sarat dengan perasaan bercampur-baur terasa semakin berat.
Tiba-tiba, bunyi telefon bimbitnya mengejutkannya dari lamunan. Nama Haiqal terpapar di skrin. Sofea menarik nafas sebelum menjawab.
“Haiqal…” suaranya perlahan.
“Awak okey?” suara Haiqal kedengaran lembut, tetapi jelas dengan kebimbangan. “Saya tahu awak terganggu dengan kejadian tadi.”
Sofea mengeluh perlahan.
“Saya takut, Haiqal… Zafran bukan lelaki yang mudah menyerah. Kalau dia cuba buat sesuatu lagi… kalau dia cuba hancurkan hidup kita… saya tak tahu saya boleh hadapi semua ni.”
Di hujung talian, Haiqal terdiam seketika. Kemudian, dia bersuara dengan penuh keyakinan.
“Awak tak perlu takut, Sofea. Saya ada untuk awak. Kita hadapi semua ini bersama.”
Sofea menggigit bibir. Dia mahu mempercayai kata-kata Haiqal, tetapi pengalaman lalu membuatkan dia ragu-ragu.
“Tapi saya tak nak awak susah kerana saya, Haiqal. Sejak awak kenal saya, keluarga awak banyak berkorban. Abang Haris kehilangan restorannya, umi risau sepanjang masa, awak sendiri perlu membantu saya dengan rawatan ibu…”
Haiqal tertawa kecil.
“Awak rasa semua itu beban? Sofea, saya lakukan semua itu kerana saya mahu, bukan kerana saya terpaksa. Kalau saya anggap awak beban, saya takkan berdiri di depan semua orang tadi dan melamar awak.”
Sofea terdiam. Kata-kata Haiqal menyentuh hatinya. Dia tahu lelaki itu ikhlas, tetapi mengapa hatinya masih dibelenggu ketakutan?
“Sofea, saya tak minta awak percaya sepenuhnya pada saya hari ini. Tapi saya harap awak beri peluang untuk saya buktikan yang saya akan lindungi awak. Sampai bila-bila.”
Air mata Sofea mengalir perlahan. Dengan suara bergetar, dia menjawab, “Terima kasih, Haiqal…”
Di rumah Puan Suraya, Haris duduk termenung di ruang tamu. Balqis yang baru selesai menyusun dulang hantaran melihat suaminya dengan wajah pelik.
“Abang ni kenapa? Muka macam ayam tak cukup tidur.”
Haris menghela nafas berat.
“Abang fikir pasal Zafran.”
Balqis menjungkit kening.
“Zafran yang abang bagi Dapur Warisan tu ke? Atau Zafran yang sayang bagi bahulu keras sampai dia hampir masuk ICU tadi?”
Haris memandang Balqis dengan tajam.
“Sayang ni… buat lawak tak kena tempat.”
Balqis ketawa kecil.
“Tapi serius, bang. Sayang rasa Zafran takkan berhenti selagi dia belum puas hati. Abang sendiri tahu macam mana perangai dia.”
Haris menggenggam tangannya.
“Sebab tu abang rasa tak sedap hati. Kalau dia serang Sofea lagi, abang tak tahu macam mana abang nak tahan diri abang ni.”
Balqis menghela nafas panjang.
“Kita kena percaya pada Haiqal. Dia dah janji nak lindungi Sofea. Lagipun, kita ada umi. Umi takkan biarkan benda buruk berlaku.”
Haris tersenyum hambar.
“Abang harap sayang betul, Balqis. Abang harap semua ni akan berakhir dengan baik.”
Namun, jauh di sudut hatinya, Haris tahu ini baru permulaan. Zafran bukan jenis yang mudah mengalah. Dan jika dia kembali dengan rancangan yang lebih kejam… mereka semua harus bersedia. Malam semakin larut. Tapi di hati mereka semua, badai baru sahaja bermula.
***
Pagi itu, suasana di rumah Puan Suraya tenang seperti biasa. Namun, ketenangan itu hanya sekadar luaran. Dalam hati masing-masing, kegelisahan terhadap ancaman Zafran masih belum reda. Haiqal lebih berhati-hati setiap kali keluar rumah, sementara Haris sering berjaga malam memikirkan kemungkinan Zafran akan bertindak di luar jangkaan.
Sofea pula berusaha untuk mengabaikan ketakutannya, tetapi setiap kali dia keluar rumah, dia merasa seperti sedang diperhatikan. Matanya sering melilau mencari bayang Zafran, dan setiap bunyi enjin kereta yang berhenti di hadapan rumahnya membuatkan jantungnya berdegup kencang.
Namun, hari itu igauan buruk Sofea menjadi kenyataan...
Petang itu, Sofea bersama Balqis ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka. Haiqal pula terpaksa menemani Haris menyelesaikan urusan perniagaan di bank, manakala Puan Suraya berada di rumah menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga.
Sofea baru sahaja selesai membeli air tebu, tidak senang hati apabila dia terasa ada seseorang yang mengekori dari belakang. Hatinya berdebar, dan nalurinya kuat mengatakan bahawa dia sedang diperhatikan.
“Sofea…”
Suara itu membuatkan tubuhnya kaku. Dia kenal suara itu.
Dia berpaling, dan di hadapannya berdiri Zafran, dengan wajah yang semakin kusut dan mata yang merah menyala penuh kegilaan.
“Zafran… apa lagi yang kau nak?” Sofea cuba berlagak tenang, tetapi suara gemetarnya jelas menghancurkan lakonannya.
Zafran tersenyum sinis.
“Kau tahu apa yang aku nak, Sofea. Aku nak kau balik dengan aku. Kau tunang aku dulu, bukan Haiqal! Dia rampas kau daripada aku!”
Balqis yang berada di sebelah Sofea segera menarik tangan bakal birasnya itu.
“Jangan buat kacau, Zafran. Sofea dah pilih jalan dia sendiri. Kau tak ada hak nak paksa dia!”
Zafran ketawa kecil, tetapi ada nada bahaya dalam suaranya.
“Aku tak ada hak? Kau tahu tak berapa lama aku tunggu untuk dapatkan dia balik? Aku dah hilang segalanya sebab dia! Aku hilang orang yang paling aku sayang, kau semua nak buang aku macam sampah!”
Sofea cuba melangkah pergi, tetapi Zafran lebih pantas. Dia mencengkam lengan Sofea dengan kasar, membuatkan gadis itu terjerit kecil.
“Zafran, lepaslah!”
Balqis cuba membantu, tetapi Zafran menolak gadis itu hingga terjatuh ke jalan. Orang ramai mula memerhati, tetapi tiada siapa yang berani masuk campur.
Tiba-tiba, satu suara lantang bergema di bazar Ramadan itu.
“Zafran! Lepaskan Sofea sekarang!”
Haiqal dan Haris muncul di situ, dengan wajah tegang dan penuh amarah. Haris terus mendapatkan Balqis yang masih terduduk di jalan, manakala Haiqal mara ke arah Zafran dengan tangan mengepal kuat.
Zafran menyeringai.
“Tengok siapa yang datang. Sang penyelamat!”
“Ini bukan drama, Zafran. Kalau kau masih ada maruah, kau akan lepaskan Sofea dan pergi dari sini.” Haiqal cuba mengawal emosinya, tetapi jelas kemarahannya sudah di hujung tanduk.
Zafran ketawa lagi, tetapi kali ini tawanya penuh kegilaan.
“Aku dah hilang maruah aku lama dah, Haiqal. Sebab korang! Sebab dia!” jeritnya sambil menghunuskan sesuatu dari dalam jaketnya.
Sebilah pisau!
Sofea menjerit, Balqis tergamam, dan Haris bersedia untuk bertindak. Tetapi sebelum sesiapa sempat berbuat apa-apa, Zafran sudah menerpa ke arah Haiqal dengan pisau di tangannya.
Semuanya berlaku terlalu pantas. Darah menyembur ke tanah.Orang ramai menjerit panik.
Sofea hampir pitam melihat darah yang mengalir dari perut Haiqal. Lelaki itu cuba mengelak, tetapi tikaman Zafran sempat menembusi sebelah kiri perutnya.
Namun, walaupun dalam kesakitan, Haiqal tidak menyerah begitu sahaja. Dia menggunakan sisa tenaganya untuk memulas pergelangan tangan Zafran sehingga pisau itu terlepas dari genggaman. Haris pula segera menerkam dan menjatuhkan Zafran ke tanah, mengunci pergerakannya.
Beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak polis. Zafran yang masih terbaring di tanah hanya tertawa kecil.
“Aku sanggup mati daripada tengok korang bahagia.”
Tetapi tiada siapa lagi yang peduli dengan kata-kata Zafran. Dalam beberapa minit, pihak polis tiba dan segera menangkap Zafran, menggari tangannya sebelum membawanya pergi.
Sementara itu, Sofea segera mendapatkan Haiqal yang masih memegang perutnya yang berdarah. Air mata Sofea mengalir laju.
“Kenapa awak buat macam ni? Kenapa awak sanggup cederakan diri awak?”
Haiqal tersenyum dalam kesakitan.
“Sebab... saya janji nak lindungi awak… dan saya takkan biarkan sesiapa pun rampas awak dari saya.”
Sofea menangis lebih kuat, memegang tangan Haiqal erat.
“Saya tak layak untuk awak, Haiqal. Saya dah susahkan semua orang…”
Haiqal menggeleng lemah.
“Sofea, kalau awak fikir cinta itu tentang siapa yang layak atau tidak, awak salah. Cinta... itu tentang siapa yang sanggup berjuang untuk awak… dan saya.. takkan berhenti berjuang!"
Hai...nk buat bahulu..hangus pulak, Gila tulah Zafran ni, smpai nk berbunuh-bunuhan plak dah. Happy reading gaisss..jemput follow dan komen..
Share this novel