BCR BAB 47 : CINTA YANG SEMAKIN MEKAR

Romance Series 14436

RAMADAN tahun ini terasa berbeza buat Balqis. Bukan sekadar kerana keberkatan bulan suci itu, tetapi kerana hatinya yang semakin berbunga mekar setiap kali terpandang wajah Haraz. Jika dulu dia takut untuk mencintai lelaki itu, kini dia takut untuk kehilangan Haraz sekali lagi. Segala luka lalu kini perlahan-lahan sembuh, diganti dengan kasih sayang yang Haraz semai dengan penuh keikhlasan.

Balqis tidak pernah menyangka bahawa Haraz yang satu ketika dahulu pernah menjadi punca air matanya mengalir deras, kini jejaka itu menjadi pencetus senyuman saban hari. Mereka kini bagaikan pasangan yang baru jatuh cinta, saling mengusik, saling menyakat, dan saling belajar menerima kekurangan masing-masing.

"Apa buatkan awak suka sangat minum kopi pekat waktu sahur ni, Haraz?" tegur Balqis sambil menghidangkan bubur lambuk ke dalam mangkuk.

Haraz tersengih.

"Kopi pekat tu peneman abang masa abang rindu Aqis dulu."

Balqis menjeling manja.

“Masa tu awak kan dah kahwin dengan saya. Rindu apanya?”

“Rindu nak peluk cium Aqis. Tapi ego abang ni tinggi melangit sangat sampai semua benda pun abang sanggup diamkan,” balas Haraz selamba. Dan seperti biasa, jawapan itu berjaya membuatkan pipi Balqis merona merah.

***

Anak-anak pula tidak pernah nampak segembira ini. Haraz yang dulunya hanya hadir sekejap-sekejap, kini selalu ada. Ada waktu sahur, ada waktu berbuka, dan juga ada waktu menadah tangan bersama-sama ketika bertarawih. Mereka berlari mendapatkan Haraz setiap kali lelaki itu melangkah masuk ke Dapur Warisan, dan setiap kali itu jugalah Haraz membawa buah tangan atau sekurang-kurangnya pelukan hangat buat mereka.

Munirah pula semakin galak mengusik Balqis.

“Wah... cik kak kita ni makin berseri-seri sejak ada ‘imam tetap’ dalam hidup dia balik. Nak tahu satu rahsia tak Qis, Haraz tu kalau senyum, cair ais dalam peti tau!”

Balqis hanya ketawa, tapi wajahnya sudah cukup menjadi bukti segala usikan itu ada benarnya.

Satu petang, ketika Zafran datang menghantar bekalan rempah untuk dapur, dia terpandang Haraz yang sedang bermain dengan anak-anak di luar restoran. Wajah lelaki itu membuatkan Zafran terpaku.

"Subhanallah... dia ni betul-betul iras Haris," bisik Zafran perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

Balqis yang mendengarnya tersentak sedikit, sebelum tersenyum pahit.

“Ya... abang Zaf mungkin sebab tu Qis keliru sangat dulu. Qis ingat Qis yang belum move on... Tapi rupanya, Qis belum belajar membezakan kasih antara dua insan yang berjaya mengganggu jiwa Qis ni.”

Zafran mengangguk, matanya tidak lepas dari Haraz.

“Tapi sekarang... abang Zaf nampak, Qis dah tahu siapa yang sebenarnya miliki hati Qis, kan?”

Balqis mengangguk.

“Qis dah tak keliru abang Zaf. Arwah Haris tetap dalam doa Qis... tapi Haraz, dia lelaki yang Qis cinta hari ini.”

Dan hari itu, Balqis benar-benar tahu... cinta yang tumbuh ini bukan sekadar perasaan sementara. Ia cinta yang mekar dari luka, tumbuh dari harapan, dan mekar dari kejujuran dua hati yang telah memilih untuk mencintai semula, bukan kerana masa silam, tapi kerana masa depan yang ingin mereka bina bersama.

***

Syawal yang bakal menjelma terasa lebih indah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Balqis sudah bersetuju untuk kembali menjadi suri hati Haraz selepas Aidilfitri. Mereka sepakat untuk memulakan semula lembaran baru sebagai pasangan suami isteri, bukan lagi sebagai dua insan yang saling menyimpan luka lama, tetapi sebagai dua hati yang telah sembuh dan bersedia untuk membina bahagia bersama anak-anak mereka.

Namun, dalam keceriaan yang mula menyinari kehidupan mereka, ada satu jiwa yang terluka dalam diam. Damia.

Gadis manis yang sering menemani Haraz ke Dapur Warisan, yang tidak pernah lekang dengan senyumannya, rupanya menyimpan perasaan yang tidak pernah diluahkannya. Sejak pertama kali bertemu Haraz dalam satu urusan kerja di hospital tempatnya bertugas sebagai jururawat, hati Damia sudah terpaut. Dia tidak tahu bagaimana perasaan itu boleh hadir, tapi setiap tutur kata Haraz, setiap tawa dan gurauan lelaki itu, telah mencuri hatinya sedikit demi sedikit.

Dan apabila Haraz mula kerap mengajaknya menemaninya ke Dapur Warisan dengan alasan mahu memperkenalkan dia kepada anak-anak, Damia semakin yakin bahawa mungkin dia ada tempat dalam hati lelaki itu. Namun, semuanya berubah perlahan-lahan. Dia mula melihat keakraban Haraz dan Balqis yang tidak dapat disangkal. Renungan mereka, gurauan mereka, dan cara Haraz memandang Balqis dengan penuh kasih yang mendalam, semuanya sudah jelas menunjukkan tempat Damia bukan di sisi lelaki itu.

Satu petang, selepas berbuka puasa di Dapur Warisan, ketika semua sedang sibuk melayani pelanggan, Damia meminta izin untuk berbicara sebentar dengan Balqis.

"Kak Balqis, boleh kita bercakap sekejap? Di luar?" Damia masih mengekalkan senyuman di bibir nipisnya yang dicalit perwarna bibir merah jambu, menyerlahkan penampilan gadis berkulit putih gebu itu.

Balqis mengangguk, agak hairan namun tetap melangkah keluar bersama Damia. Angin malam yang berhembus lembut membuat suasana lebih tenang.

"I tahu, akak mungkin sudah boleh agak... tapi I cuma nak cakap hal ini supaya hati I tak terbeban di kemudian hari," ujar Damia perlahan.

Balqis menoleh, mendengar dengan penuh perhatian.

"I..sebenarnya, I pernah suka pada abang Haraz... mungkin sampai sekarang pun perasaan itu belum hilang sepenuhnya. Tapi, I nampak cinta akak dan abang terlalu kuat untuk diganggu. I bukan orang yang sesuai untuk berada di antara kalian."

Balqis tergamam. Tidak menyangka akan kejujuran setulus itu. Matanya mula berkaca, bukan kerana marah atau cemburu, tetapi kerana tersentuh dengan ketulusan Damia.

"Damia, akak... akak tak tahu nak kata apa. Tapi, terima kasih. Awak seorang wanita yang sangat baik. Dan akak yakin awak akan jumpa orang yang jauh lebih layak untuk menerima cinta awak.”

Damia tersenyum, sedikit pahit tapi ikhlas.

"I doakan akak dan abang Haraz bahagia. Sebab cinta macam ni... tak semua orang dapat peluang kedua. Hargailah, ya."

Balqis menggenggam tangan Damia, erat. Satu persahabatan baru lahir di situ. Satu penghargaan buat wanita yang mampu mencintai dalam diam, dan merelakan dengan penuh keikhlasan.

Dan malam itu, ketika Haraz menghantar Damia pulang, dia tidak tahu perbualan itu berlaku. Tetapi dia tahu, bila Damia senyum dan ucapkan selamat tinggal, ada sesuatu dalam nada suara gadis itu yang terasa seperti satu penutup kepada babak sunyi dalam hidupnya.

Haraz memandang ke arah restoran, tempat Balqis sedang memangku Haris Haqeem sambil tersenyum mesra ke arahnya.

Ya... inilah rumah sebenar aku. Dan aku akan pastikan rumah ini takkan aku tinggalkan lagi.

***

"Damia, cepatlah keluar! Nak tengok awak pakai baju ni,” jerit kecil Balqis dari luar bilik persalinan sambil tersengih-sengih memegang sejambak 'bunga tangan pengantin' yang digubah indah.

Suasana butik pengantin yang mewah itu tenang dan berbau wangi, dipenuhi deretan busana pengantin yang tersusun rapi. Balqis baru saja keluar dari bilik mencuba satu persalinan kurung moden rona putih gading yang bakal digayakannya pada hari akad nikahnya nanti.

Namun, wajahnya yang berseri-seri berubah menjadi sabar menunggu, menanti kelibat gadis yang seorang itu keluar.

Beberapa detik kemudian, langsir bilik persalinan terbuka perlahan. Damia melangkah keluar, sedikit gugup. Kurung moden putih gading itu melekap elok di tubuhnya yang langsing. Tudung satin lembut disematkan kemas oleh pembantu butik sebentar tadi. Pandangannya terus tertunduk, menahan debar yang entah kenapa terasa luar biasa hari ini.

Balqis yang menanti di sofa, terkedu. Bibirnya terukir senyuman yang sukar ditafsirkan.

“Cantiknya awak, Damia… sumpah cantik sangat,” Balqis bersuara perlahan, penuh kekaguman.

Damia masih terpinga. Tangannya menggenggam jari sendiri yang dingin.

“Tapi, kenapa I yang kena cuba? Bukankah ini... untuk akak?” Damia bersuara, cuba menyembunyikan getaran dalam nada suaranya.

Balqis bangun, menghampiri Damia dan berdiri betul-betul di hadapannya.

“Sebab awak penting dalam hidup akak. Dan akak nak awak tahu, akak anggap awak macam adik sendiri sekarang. Awak tahu tak, akak tak pernah seronok macam ni masa nak kahwin dulu dengan Haraz. Semua umi uruskan. Akak macam patung. Tapi kali ni, akak nak semuanya akak yang pilih sendiri. Akak nak rasa teruja. Akak nak kenang saat-saat ni sampai tua... dan akak nak awak jadi sebahagian dari memori tu.”

Damia mengangkat pandangan. Mata mereka bertentangan. Ada genangan yang mulai bertamu di sudut matanya.

“Akak... I...” Damia menarik nafas dalam-dalam, menelan kembali perasaan yang cuba memberontak dalam hatinya. Perasaan yang selama ini disembunyikan rapat. Dia tidak mahu rosakkan momen ini. Tidak mahu meracuni keikhlasan Balqis.

"I cuma takut I akan menangis masa akak nikah nanti.”

Balqis tergelak kecil, menggenggam tangan Damia dengan lembut.

“Menangislah. Menangis sebab bahagia, sebab kita semua berjaya lepaskan masa lalu yang menyakitkan. Awak pun berhak bahagia, Damia. Dan kalau satu hari nanti awak nak kahwin, akak janji... akak akan jadi orang pertama yang pilihkan baju nikah untuk awak, okey?”

Damia ketawa perlahan, namun matanya mula kabur. Dia tahu dia perlu kuat. Balqis tidak pernah salah—Haraz memang untuk wanita itu. Dan dia? Dia akan temui jalan yang Tuhan dah aturkan buatnya juga nanti.

Petang itu, butik menjadi saksi dua wanita yang tidak bersaudara tetapi hatinya bersatu dalam satu kisah yang unik. Di sebalik senyuman dan tawa yang terukir sepanjang sesi memilih busana, tersimpan ketulusan, keikhlasan, dan kekuatan seorang wanita untuk merelakan, dan seorang wanita lagi untuk memaafkan serta membina kembali bahagianya yang pernah retak.

Dan kurung moden putih gading itu, yang tersarung indah di tubuh Damia buat seketika, adalah simbol pengorbanan dan permulaan baru. Bukan hanya buat Balqis dan Haraz, tapi juga buat Damia—yang hatinya sudah belajar untuk melepaskan dengan reda.

***

Setelah hampir seharian berada di butik, Balqis dan Damia akhirnya singgah di sebuah kafe berhampiran untuk mengisi perut yang sejak pagi hanya diisi dengan biskut kering dan air kopi dari pantry butik. Balqis duduk bertentangan dengan Damia sambil membetulkan tudungnya sedikit, setelah angin kipas siling menyentuh tudungnya yang mula terangkat.

Damia sekadar menguis kek red velvet di atas pinggan. Pandangannya kosong, entah melayang ke mana.

“Awak okey?” soal Balqis perlahan, sambil menyedut minuman strawberi latté yang masih berwap.

Damia angkat muka. Senyuman hambar cuba diukir.

“Okey... cuma penat sikit.”

Balqis diam sejenak, tapi hatinya kuat menyedari perubahan Damia. Sejak mereka keluar dari butik tadi, gadis itu banyak diam. Ketawanya tadi seakan dipaksa. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Namun, Balqis tidak mahu menekan. Dia tahu, sesetengah luka perlu diberi masa untuk reda sendiri.

“Akak tahu awak suka Haraz dulu…” kata Balqis tiba-tiba, perlahan namun jelas.

Damia tersentak. Garpu di tangannya terhenti di pertengahan jalan.

“Maaf, akak bukan mengintai hati awak. Tapi akak perasan cara awak pandang dia. Dan cara awak diam bila akak sebut pasal pernikahan kami…”

Damia menggigit bibir bawahnya. Air matanya hampir tumpah, namun dia kuatkan diri.

“I tak pernah salahkan kak Balqis. Akak tak pernah salah dalam cerita ni. Akak isteri dia. Akak cinta pertama dia. I yang bodoh… sebab mengharapkan sesuatu yang I tahu mustahil,” ucap Damia, suaranya bergetar namun tidak dendam.

“Damia…” Balqis menghulur tangan dan menggenggam tangan Damia yang sejuk.

“Akak hargai awak... kerana awak jujur, dan awak ikhlas. Tak semua orang mampu reda dengan hati yang terluka.”

Damia senyum kelat.

“I cuma fikir… kalau I betul sayangkan abang Haraz, I patut gembira abang kembali pada akak. Dia bapa yang baik. Akak pula wanita kuat. Kalian sesuai. I… hanya singgah sebentar dalam kisah ni. Tak lebih.”

Balqis menggenggam tangan Damia lebih erat.

“Awak lebih daripada ‘singgah’. Awak sebahagian daripada perjalanan kami. Akak takkan pernah lupakan jasa dan keikhlasan awak, Damia. Kalau awak tak hadir dalam hidup akak waktu akak lemah, mungkin akak takkan setabah ini untuk berdiri balik.”

Damia menunduk, air matanya tumpah juga akhirnya. Bukan kerana kecewa, tapi kerana hati yang lega. Dia akhirnya, meluahkan semua yang dia simpan.

“Terima kasih… sebab faham.”

Mereka diam sejenak. Hanya bunyi sudu dan cawan yang berdenting di sekitar mereka.

“Damia,” panggil Balqis tiba-tiba, suaranya sedikit ceria, “lepas ni awak jangan menghilang ya. Akak masih nak awak tolong akak masa majlis nanti. Akak nak awak jadi orang penting dalam majlis tu. Bukan sebab simpati… tapi sebab akak sayang awak.”

Damia tersenyum dalam tangisan.

“I janji. I akan ada di sisi akak... masa abang lafazkan akad buat akak.”

Balqis ketawa kecil.

“Dan awak kena pastikan makeup akak tak comot sebab menangis nanti!”

Damia tertawa sama. Hati yang sebentar tadi bergelora kini sedikit tenang. Balqis, dengan penuh ikhlas, telah menyentuh sudut hatinya yang paling dalam.

Petang itu, mentari yang kian melabuhkan tirai menjadi saksi dua wanita yang saling menyembuhkan hati masing-masing—dalam cara yang paling sunyi, paling jujur, dan paling memanusiakan.

Dan dalam diam, Damia tahu… bukan setiap cinta berakhir dengan memiliki, tapi cinta yang tulus akan sentiasa memberi tanpa perlu memaksa!

Akhirnya, Balqis terima juga Haraz...Damia? Nak tahu apa jadi kat Damia, Balqis dan Haraz tggu update ya..Dah hujung-hujung dh ni. Happy reading gaiss..jemput follow dan komen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience