BCR BAB 4 : SEMAKIN TERUJI

Romance Series 14436

BAZAR Ramadan hari ini terasa berbeza. Bukan kerana pelanggan berkurangan, bukan juga kerana cuaca yang lebih panas dari biasa, tetapi kerana satu perkara. Haris Izzuddin tidak lagi mengusik Balqis Nadira seperti selalu.

Selalunya, sebelum gerai mereka mula sibuk, pasti ada sahaja modal Haris untuk mengusik Balqis. Kadang-kadang pasal apron bunga-bunganya, kadang-kadang pasal kenapa Roti John dia lebih mahal dari gerai lain, dan yang paling kerap, usikan nakal yang membuatkan Balqis merah padma menahan malu.

Tapi hari ini? Sunyi.

Haris berpura-pura sibuk, tangannya ligat menyusun ayam percik di atas panggangan, matanya tetap tidak lari dari gerai sebelah. Balqis juga menyedari perubahan ini, dan ia membuatkan hatinya tidak senang duduk.

Kebetulan, Hasrina datang ke gerainya untuk membeli Roti John Kambing Cheese Special, menu istimewa di gerai Balqis.


"Rin," panggil Balqis sambil membungkus pesanan.


"Ya, Kak Balqis?"

Balqis menjeling ke arah Haris yang sedang berpura-pura sibuk di gerainya.

"Abang Rin tu kenapa? Sejak dua tiga hari ni macam menjauh je dari akak."

Hasrina menjongket kening.

"Err... tak perasan pulak. Tapi kalau akak nak tahu, abang buat perangai macam tu sebab takut kat abah akak."

Balqis terlopong.

"Hah? Kenapa pula?"

Hasrina menahan ketawa.

"Sebab amaran Sarjan Misai, akak tu la! Hari tu umi dan Rin sakat abang habis-habisan. Abang takut kalau abah akak betul-betul nak nikahkan abang secara express!"

Balqis tergamam seketika sebelum dia tergelak kecil.

"Tak sangka pula abang Rin tu penakut."

"Dah nama pun lelaki. Kadang-kadang, ego lebih tebal dari buku resipi," ujar Hasrina sambil mencapai plastik bungkusan.

Balqis tersenyum nipis. Tetapi senyumannya mekar apabila matanya menangkap sesuatu. Seorang lelaki cukup tampan sedang berbual mesra dengan Hasrina.

Lelaki itu tinggi, berkulit cerah dan berkemeja biru gelap. Gayanya kemas dan berwibawa. Dari jauh, dia kelihatan cukup akrab dengan Balqis, malah Balqis tidak henti-henti tersenyum dan ketawa kecil.

Dari gerai sebelah, Haris yang melihat adegan itu mula merasa darahnya mendidih.

Siapa pula mamat ni? Nak beli Roti John ke atau nak mengurat sekali?

Haris mengetap bibir. Matanya tajam memerhati setiap pergerakan lelaki itu.
Balqis pula langsung tidak menyedari Haris yang sedang cemburu tahap dewa.

"Lama tak jumpa, Aqis. Nampak makin matang sekarang," ujar lelaki itu.

Balqis ketawa kecil.

"Abang Firdaus ni... ada saja!"

Abang Firdaus?

Nama itu bergema di kepala Haris.

"Habis, sebelum ni Qis nampak macam budak-budak ke?" Balqis menyambung dengan nada merajuk manja.

Abang Firdaus hanya tersenyum dan mengusik kepala Balqis.

"Adik abang ni tetap comel macam dulu."

Adik?!

Haris hampir terduduk di tempatnya. Baru dia sedar, lelaki itu bukan orang lain, tetapi abang kandung Balqis sendiri!

Mujur panggilan azan maghrib menyelamatkan Haris dari terus membakar diri dengan rasa cemburu yang tidak berasas.

***

Malam itu, selepas solat Isyak, surau kecil di kampung itu dipenuhi dengan jemaah yang bersiap sedia untuk solat Tarawih.

Ketika jemaah mula berbaris, tiba-tiba suara garau milik Lebai Haji Bakhtiar bergema di ruang surau.

"Haris Izzuddin!"

Haris yang baru sahaja ingin duduk bersila, terkejut.

"Ya, Pakcik Bakhtiar?"

"Sebagai bakal menantu aku, aku nak kau jadi imam malam ni!"

Haris hampir tersedak air liur.

"Err... Pakcik, saya—"

"Jangan banyak alasan!" Potong lelaki itu tegas. "Aku nak tengok sejauh mana kau boleh pimpin jemaah. Atau kau takut?"

Dari belakang, Haiqal menyiku bahunya.

"Ala, Adan, cuba je! Kan dulu pernah jadi imam masa dekat asrama dulu?"

Haris menghela nafas panjang.

"Baiklah, saya cuba."

Balqis yang berada di saf wanita menelan liur. Dia tidak pernah tahu bahawa Haris mampu menjadi imam.

Dan apabila Haris mula mengangkat takbir, suara tenang dan merdu itu menggetarkan hatinya.

Bacaan ayat-ayat suci yang keluar dari bibir Haris begitu mendayu dan menusuk jiwa. Balqis menundukkan wajahnya, cuba mengawal perasaan yang tiba-tiba berubah.

Malam itu, Balqis sedar satu perkara. Dia telah jatuh cinta berkali-kali dengan Haris.

Haris keluar dari surau selepas sesi moreh, masih dalam mood yang sedikit tenang selepas mengimamkan solat Tarawih. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila matanya menangkap susuk tubuh Balqis Nadira yang sedang menunggu di pagar surau dengan motosikal skuternya.

"Jom, Qis hantar Adan balik," pelawa Balqis sambil tersenyum kecil.

Haris mengangkat kening.

"Hah? Qis nak Adan bonceng skuter Qis?"

Balqis mengangguk laju.

"Kenapa? Adan takut ke?"

Haris tersenyum sinis.

"Tak takut, cuma Adan tak nak cari pasal."

Balqis berkerut dahi.


"Maksud Adan?"

Haris merapatkan diri sedikit dan menurunkan nada suaranya.

"Kalau Sarjan Misai nampak Adan naik skuter dengan Qis malam ni, silap-silap malam ni jugak Adan jadi suami Qis. Qis nak ke bersuamikan Adan?"

Balqis terlopong. Mukanya berubah merah padma.

"Adan ni! Suka sangat takutkan Qis!" gerutu Balqis sambil menundukkan wajah.

Namun, tanpa sedar, dia menunduk laju berkali-kali seperti ayam patuk padi sebelum akhirnya menekan pedal minyak dan berlalu pergi, meninggalkan Haris terpinga-pinga.

"Eh, Qis ni kenapa?" Haris menggaru kepala yang tidak gatal.

Dari belakang, Haiqal dan Hasrina datang mendekat. Seperti yang dijangka, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk menyakat abangnya.

"Tadi siapa cakap jangan buat pasal? Tapi nampaknya abang sendiri yang buat pasal!" Hasrina menyindir dengan senyum nakal.

Haris menjeling.

"Rin ni, jangan nak lebih-lebih."

Haiqal menyampuk, "Ha, Adan... abang Firdaus tu memang baik orangnya. Kau cemburu sebab dia rapat dengan Balqis ke?"

Haris mendengus.

"Kau jangan nak buat-buat cerita. Itu abang dia la, ngok!"

Hasrina ketawa kecil.

"Tapi serius, abang Adan. Muka abang tadi tu dah macam ayam jantan kalah bertarung tahu tak?"

Haiqal menambah dengan nada menggoda,


"Takpe Adan, kalau kau betul-betul suka Balqis, kita boleh buat majlis dua pasang. Kau dengan Balqis, aku dengan... ehem-ehem."

Haris menjeling tajam.


"Kau pun ada calon, ya?"

Haiqal hanya tersengih.

Tiba-tiba, suara Puan Suraya bergema dari belakang mereka.

"Umi dengar siapa nak buat majlis dua pasang tadi?"

Mereka bertiga tersentak.


"Umi!"

Puan Suraya menghampiri dengan senyuman bangga.

"Tapi sebelum kita cakap pasal kahwin-kahwin ni, umi nak cakap satu benda dulu."

Haris menanti penuh debar.

"Umi bangga dengan kamu, Adan. Malam ni Adan jadi imam yang baik, suara kamu bila baca ayat-ayat suci tadi... merdu sangat. Umi rasa kalau arwah abi kamu ada, dia pun pasti bangga."

Haris tersentuh.

"Terima kasih, umi."

Namun, saat mereka sedang berbual, terdengar suara gedik dua orang gadis yang tidak jauh daripada mereka.

"Eh, imam Haris tadi kan? Handsomenya dia. Suara dia baca surah tadi, fuhh, cair!"

"Kau rasa dia dah ada calon ke belum?"

Haris menahan nafas. Hasrina dan Haiqal pula sudah menahan tawa.

Puan Suraya menjeling tajam sebelum menghampiri mereka.

"Hoi, anak dara! Kau ingat surau ni tempat cari calon suami ke? Habis solat, balik! Jangan nak menggatal kat sini!"

Dua gadis itu terkebil-kebil sebelum segera berlalu pergi.

Haris menahan senyum, Hasrina sudah ketawa perlahan, tetapi Haiqal, Haiqal hampir tersedak.

Sebab sebelum gadis-gadis itu pergi, Puan Suraya sempat menoleh ke arah salah seorang gadis yang lebih sopan dan bersuara, "Tapi kalau yang bertudung biru tu... Ha, yang tu elok sikit! Haiqal, umi rasa elok kalau masuk meminang terus!"

Tawa Hasrina dan Haris pecah sebaik sahaja mendengar kata-kata umi mereka.

Haiqal, yang selama ini kuat menyakat abangnya, kini menjadi mangsa pula. Mukanya merah padma, dan dia hanya mampu mendengus.

"Tapi... dia tu memang kawan satu universiti Haiqal lah..." ujar Haiqal perlahan, seolah-olah mengakui sesuatu.

Sekali lagi, tawa Haris dan Hasrina meledak sepanjang perjalanan mereka pulang.

Haris duduk bersandar di sofa ruang tamu, melonggarkan sedikit butang baju Melayu di lehernya. Letihnya masih bersisa selepas seharian di bazar dan solat Tarawih. Haiqal pula duduk di sebelahnya sambil menggerakkan leher ke kiri dan kanan, melepaskan lenguh.

"Rin, buatkan kopi untuk abang," pinta Haris dengan malas.

Hasrina, yang sedang lalu di depan mereka, tersenyum manis.

"Baik, bang! Nak kopi jenis apa? Kopi O, kopi susu, kopi Vietnam?"

Haris mengangkat kening.

"Rin ni sejak bila rajin betul ni?"

"Sejak tadi!" jawab Hasrina ceria.

Haiqal menyampuk.

"Kalau dah rajin sangat, buatkan aku Milo ais sekali. Bubuh ais lebih sikit, lepas tu taburkan serbuk Milo kat atasnya."

Hasrina tersengih.

"Haa, itu baru abang Rin! Pandai order."

Haris dan Haiqal saling berpandangan dengan riak pelik. Ada sesuatu yang tidak kena dengan adik mereka ini.

Beberapa minit kemudian, Hasrina muncul semula dengan dulang di tangan. Dua cawan minuman dan sepiring kuih lebihan moreh tadi disajikan di hadapan mereka.

"Amboi, bukan main lagi servis lima bintang ni," ujar Haiqal sambil mengambil cawan Milonya.

Haris mencapai cawan kopinya.

"Terima kasihlah, Rin. Jarang betul Rin baik macam ni."

Hasrina duduk bertentang dengan mereka sambil tersenyum-senyum misteri. Haris dan Haiqal, tanpa syak wasangka, menyisip minuman masing-masing.

Dan serentak itu—


"PFFTTHH!!"

Kedua-duanya tersembur air di mulut mereka tepat ke arah Hasrina yang duduk elok di hadapan mereka.

"AARGH! ABANGGGG!!" jerit Hasrina sambil terkejut, wajahnya kini basah kuyup dengan kopi dan Milo.

Haris terbatuk-batuk.

"Rin letak garam ke dalam kopi abang ni?!"

Haiqal pula terhuyung-hayang sambil mengipas mulut.

"Weh, Milo aku rasa macam air laut kena tsunami! Masin nak mampus!"

Hasrina menggigit bibirnya.

"Err... silap sikit. Tertukar gula dengan garam."

Haris dan Haiqal menepuk dahi.

"Tertukar ke atau Rin sengaja?" soal Haris, matanya mengecil penuh syak wasangka.

Hasrina tersengih sambil mengesat wajahnya yang basah dengan lengan baju.

"Tak sengaja la, bang. Sumpah!"

"Takkanlah Rin rajin sangat tanpa ada sebab?" Haiqal menyoal dengan penuh curiga.

Hasrina menjongket bahu.

"Rin tengah happy, okey!"

"Happy? Sebab apa?" tekan Haris.

Hasrina diam, masih tersenyum.

Haiqal menjeling.

"Kalau Rin tak nak bagitahu, abang nak buat Milo sendiri. Tapi abang nak Rin minum dulu air yang Rin buat tadi."

Hasrina terus bangkit.

"Takpe, takpe! Rin bagitahu!"

Haris dan Haiqal serentak menoleh.

Hasrina menarik nafas dalam-dalam sebelum berbisik perlahan, "Tadi... ada someone bagi salam kat Rin lepas solat Tarawih."

Haris dan Haiqal berpandangan.

"Siapa?" soal mereka serentak.

Hasrina menunduk malu.

"Kawan universiti Rin dulu..."

Haris mengangkat kening.

"Jangan-jangan yang umi kenalkan dengan Haiqal tadi?"

Hasrina hanya tersenyum, mukanya sudah merona merah.

Haiqal menepuk dahi.

"Patutlah lain macam betul layanan Rin malam ni! Ingatkan sebab insaf nak jadi adik solehah, rupanya ada orang bagi salam."

Haris menggeleng.

"Aduhai, Hasrina... lain kali kalau happy pun, janganlah buat kopi masin! Ini kalau umi tahu, memang kena bebel, Rin."

Hasrina tersengih malu.

"Err... esok pagi Rin buat air baru, janji tak masin!"

Haris dan Haiqal akhirnya mengekek ketawa, sementara Hasrina hanya mampu menekup muka dengan bantal sofa.

***

Hasrina baru sahaja ingin membuka pintu biliknya, tetapi tangannya tiba-tiba dicekup oleh Haris.

"Jap, Rin nak ke mana tu?"

Hasrina menoleh dengan wajah terpinga-pinga.

"Nak masuk bilik la. Takkan nak pergi dapur lagi buat air masin untuk abang kot?"

Haiqal yang bersandar di pintu biliknya tergelak kecil, tetapi Haris masih berkerut dahi.

"Abang tak habis soal Rin lagi."

Hasrina cuba melepaskan tangannya, tetapi genggaman Haris makin kejap.

"Adoi, abang! Apalah yang nak disoal lagi? Rin dah cakap tadi, ada someone kirim salam kat Rin. Itu je."

"Abang nak tahu dengan lebih terperinci," tegas Haris, matanya tajam menikam wajah Hasrina.

Hasrina menjeling ke arah Haiqal, mengharap bantuan, tetapi si abang bongsu hanya memeluk tubuh dan tersengih menunggu drama seterusnya.

"Haihh…" Hasrina mengeluh panjang. "Sebenarnya…"

Dia diam sejenak. Wajahnya serba salah, seperti sedang mempertimbangkan sama ada mahu bercakap atau tidak.

Haris mengetap bibir.

"Hasrina, jangan buat abang macam ni. Kalau Rin tak nak cakap, abang boleh tanya umi esok."

"Jangan, jangan!" Hasrina cepat-cepat bersuara.

"Jadi, siapa yang kirim salam tu?" tekan Haris lagi.

Hasrina menundukkan wajahnya.

"Abang Firdaus…"

ZAPPP!

Terasa seperti ada petir menyambar kepala Haris.

Abang Firdaus?!!

Haiqal yang baru sahaja ingin masuk ke bilik terus berpatah balik, matanya membulat.

"Abang Firdaus?! Maksud Rin, abang Balqis?!"

Hasrina mengangguk perlahan.

Haris terkedu. Dia seperti tidak memijak bumi. Seakan dunia berputar laju di sekelilingnya.

Adik aku 'crush' dengan abang gadis idaman aku?!

Dia menelan air liur. Ini bukan berita biasa-biasa. Ini berita tahap gempak macam bom meletup depan mata!

"Hasrina…" Haris akhirnya bersuara, tetapi suaranya agak perlahan. "Sejak bila Rin suka abang Balqis?"

Hasrina tersipu malu.

"Entahlah… dulu masa Rin kecik, Rin selalu nampak dia bawa Kak Qis pergi sekolah. Lepas tu, pernah terserempak dia kat universiti. Masa tu Rin baru tahu dia kawan kepada senior Rin. Dia baik, abang. Gentleman gila! Rin… Rin dah lama suka dia."

Haris menghela nafas panjang!

Aduhai, Hasrina ada hati kat abg Balqis pula! Comel je tengok Adan cemburu dgn abg Firdaus, padahal abang kandung si gadis idaman..Happy reading gaiss..jemput follow and comment.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience