HARIS IZZUDDIN tersenyum puas sambil memandang meja kecil yang dihias ringkas dengan lilin wangi, kek coklat kegemaran Balqis, dan sekuntum bunga mawar merah yang masih segar. Semua itu diletakkan berhampiran buaian anak kembar mereka. Di dalam hati, dia tidak sabar mahu melihat reaksi Balqis.
“Sayang, keluar sekejap,” panggil Haris lembut dari luar bilik.
Balqis yang sedang menyapu minyak telon pada perutnya menjenguk dengan rasa hairan.
“Apa lagi abang nak buat ni?”
“Percayalah, sayang akan suka,” kata Haris dengan penuh keyakinan. Dia menggenggam tangan isterinya dan membawanya ke ruang mini kejutan yang sudah disiapkan.
Namun belum sempat Balqis mengucapkan sepatah kata, suara tangisan nyaring kedengaran dari buaian si kembar.
“Alamak…” Haris sudah mengangkat tangan, isyarat menyerah.
“Hah, ini baru betul kejutan,” kata Balqis tergelak kecil, terus meluru ke arah anak-anak mereka.
Seorang menangis tarik nafas, seorang lagi menjerit seolah-olah marah kerana terjaga dari tidur lena. Haris cuba mendukung seorang, kemudian seorang lagi—tapi makin didukung, makin kuat tangisan mereka.
“Sayang… kenapa ni? Mereka lapar ke? Nak susu ke? Berak ke?” Haris sudah mula panik, mukanya merah menahan letih.
Balqis hanya tersenyum sambil duduk di tepi katil.
“Inilah hadiah kejutan sebenar untuk abang malam ni—dua orang baby comel yang baru belajar bangunkan daddy dia di tengah malam!”
Haris merenung dua bayi yang masih lagi belum berhenti menangis. Dia cuba buat muka lucu, tapi kembar itu terus menjerit macam marah benar.
“Abang rasa ni konspirasi… mereka berdua ni dah berpakat nak sabotaj surprise daddy malam ni.”
Balqis tergelak besar sambil mengambil seorang dari tangan Haris.
“Dah... mari sini. Abang tidur kat sofa tu dulu. Esok abang kerja kan?”
“Eh, tak boleh! Abang janji nak bantu sepanjang pantang.”
“Dengan muka macam panda?” usik Balqis.
Haris mengangkat bahu, “Panda pun panda lah… janji cinta abang pada Balqis tetap comel macam bunga mawar ni.”
Balqis tergelak kecil, kali ini benar-benar tersentuh. Walau tak jadi surprise, malam itu tetap jadi kenangan manis buat mereka sekeluarga.
***
Malam itu sunyi dan damai. Anak-anak kembar mereka sudah lena di buaian masing-masing, hanya kedengaran bunyi kipas siling yang berpusing perlahan menemani keheningan malam. Haris mengintai dari celah pintu bilik air, memastikan segalanya tenang sebelum dia memulakan operasi.
Dalam kamar mandi, Haris berdiri di hadapan cermin dengan wajah penuh semangat. Mukanya sudah dilukis dengan solekan comel—mata dilingkari hitam seperti panda, pipi berbedak putih bersih, dan hidung dilukis bulat seperti muncung haiwan kesukaan Balqis itu. Rambutnya disisir kemas dan dipakaikan headband berbentuk telinga panda. Di tangannya, seekor patung beruang panda sederhana besar terselit riben merah jambu, sejambak bunga ros yang harum semerbak yang terhias indah di dalam sebuah bakul kecil, dan kotak baldu merah dengan rantai tangan emas yang pernah Balqis impikan di Pulau Krabi dulu.
“Okay Haris... this is it. Kali ni surprise ni mesti jadi,” katanya kepada diri sendiri, sambil mengambil nafas panjang.
Balqis yang kebetulan mahu masuk ke bilik air untuk mengambil minyak angin, terkebil-kebil melihat pintu bilik air yang berbunyi pelik.
“Abang....abang?” panggilnya sambil mengetuk pintu perlahan.
Tiba-tiba pintu terbuka perlahan. Asap dari diffuser dalam bilik air menambah kesan dramatik. Dan muncul… seekor ‘Panda Handsome’, lengkap dengan patung, bunga dan kotak baldu.
“Surpriseee!” jerit Haris dengan gaya comel tapi... sedikit mengerikan bila dilihat dalam gelap.
Balqis menjerit kecil, “Allahuakbar!” Dia terundur dua langkah ke belakang, hampir melanggar buaian anak.
“Sayang! Eh, eh… jangan pengsan! Ini abang lah! Tengok ni, rantai tangan yang Balqis suka tu! Tengok ni!” Haris panik dan mula membuka kotak sambil melompat-lompat kecil.
“Ya Allah abang! Apa benda ni?! Ingatkan panda betul tadi! Sayang ingat sayang kena rasuk tadi!” Balqis menekup mulutnya, antara nak gelak atau menangis.
Haris menghulurkan bunga dan kotak baldu sambil senyum selebar mungkin, mukanya masih comot dengan solekan panda.
“Tak sempat beli mask fancy, tapi abang tahu Balqis suka panda. So, abang jadi panda malam ni.”
Balqis tergelak, kali ini betul-betul tergelak sampai keluar air mata.
“Abang ni memang... tak pernah gagal buat saya jatuh cinta berkali-kali!”
Dia mengambil bunga dan rantai itu dengan senyuman manis, lalu memeluk Haris erat—walaupun muka panda yang terlakar di wajah suaminya itu masih menakutkan sedikit.
“Sayang abang tak?” tanya Haris, manja.
Balqis ketawa sambil menepuk pipinya.
“Qis sayang 'Panda Handsome' ni dunia akhirat.”
Dan malam itu, akhirnya kejutan Haris berjaya. Cinta mereka jadi lebih indah—meski dalam rupa seekor panda comel, Haris tetap suami romantis nombor satu di hati Balqis.
Balqis masih tertawa kecil, memandang wajah Haris yang mula luntur solekan hitam putihnya akibat peluh dan pelukan tadi. Matanya bersinar dengan rasa cinta yang tidak mampu disorok lagi. Rantai tangan dipegang erat di tapak tangannya, seolah-olah bimbang kejutan malam itu hanyalah mimpi.
Haris menarik tangan Balqis perlahan, membawanya duduk di birai katil. Di luar, angin malam meniup langsir perlahan, seolah-olah turut menyaksikan detik manis antara pasangan muda itu. Haris memakaikan seutas rantai tangan itu di pergelangan tangan yang dihulurkan Balqis.
“Abang ni… romantik ke, gila ke, sayang pun tak tahu,” Balqis bersuara sambil mengusap kepala patung panda yang masih berada di pangkuannya.
“Kalau gila pun, gila sebab sayangkan isteri. Tak boleh tengok Balqis muram sangat sejak berpantang ni. Abang tahu... cara umi berpantang mungkin berat sikit, tapi semua tu demi kebaikan Balqis dan anak-anak,” balas Haris, lembut, menyelitkan helaian rambut isterinya ke telinga.
Balqis tunduk. Matanya berair semula, kali ini bukan kerana ketawa, tetapi kerana rasa terharu.
“Sayang penat, bang. Kadang rasa macam sayang ni tak cukup baik jadi ibu...”
Haris segera menggenggam tangan isterinya erat.
“Balqis ibu yang luar biasa. Tengok dua orang anak comel kita tu, lena je tidur. Sebab mereka tahu ibu mereka kuat, tabah, dan disayangi.”
Saat itu, suara bayi mula kedengaran dari buaian. Haris dan Balqis berpaling serentak.
“Yang tu pasti baby Faiha,” kata Haris sambil bangun untuk mendukung si kecil. “Dia memang kuat merengek, ikut mommy dia,” sempat dia menyakat, buat Balqis tersengih.
Sebaik Haris menimang anak mereka, Balqis mencapai telefon bimbitnya dan diam-diam mengambil gambar Haris dalam kostum panda, sedang mendukung bayi mereka dengan penuh kasih sayang.
“Eh, eh! Jangan ambil gambar! Abang belum buang make-up ni lagi!” jerit Haris, terkejut.
“Too late. Gambar ni akan jadi ‘wallpaper’ sayang sampai bila-bila,” balas Balqis sambil ketawa. “Nak lari ke mana Panda Handsome?”
Haris mengangkat anaknya tinggi-tinggi sambil bersuara, “Tengok ni, sayang… anak kita saksi daddy dia jadi badut demi cinta!”
Dan malam itu berlalu dengan penuh gelak tawa, keletihan yang dirasai Balqis seolah-olah hilang begitu sahaja, diganti dengan rasa bahagia yang mendalam. Umi yang menjengah dari balik pintu senyum sendiri melihat ulah mereka.
“Kalau macam ni, tak payahlah umi risau sangat. Anak aku dah pandai jadi panda... esok-esok boleh jadi singa pula jaga anak,” bisiknya perlahan sebelum berlalu ke biliknya sendiri, senyum tak lekang dari bibir.
***
Sofea yang baru saja menjejakkan kaki ke rumah keluarga Haiqal setelah hampir sebulan ditahan di hospital, terus saja menjadi pusat perhatian. Dengan rambut yang diikat tinggi dan wajah yang masih kelihatan pucat tetapi tetap manis, dia melangkah masuk sambil mendukung salah seorang bayi kembarnya, manakala seorang lagi dibawa jururawat yang menghantar mereka pulang.
"Eh, jangan sentuh honey! Honey baru keluar hospital! Honey fragile!" jerit kecil Sofea apabila Haiqal cuba menghulurkan tangan mahu membantunya membuka kasut.
“Astagfirullah, baru nak tolong,” Haiqal ketawa kecil sambil menggeleng. “Inilah isteri aku, baru keluar hospital terus diva,” bisiknya perlahan, cukup untuk membuatkan umi yang sedang menyusun bantal di ruang tamu tersengih.
Anak kembar mereka yang kini sudah sihat dan cukup beratnya, masing-masing diberi nama yang telah dipilih sejak minggu lalu — Furqan dan Fayyad. Wajah mereka saling tak tumpah seperti Haiqal, lengkap dengan lesung pipit sebelah kanan.
“Alaaa, dua-dua ikut muka papa dia. Tak ada langsung ikut muka mama?” rungut Sofea sambil mencubit pipi kecil Furqan.
“Bersyukurlah, honey… dua-dua comel. Macam mama dia juga, tapi perangai ikut papa!” sempat Haiqal menyakat sebelum sempat menepis bantal kecil yang Sofea baling.
Balqis yang sedang menyusukan bayi di ruang beranda hanya mampu tersenyum.
“Umi, rasanya kita kena kuatkan semangat lepas ni. Rumah ni bakal bertambah meriah dan riuh.”
Umi menghela nafas panjang, tersenyum.
“Meriah itu rahmat, Balqis. Cucu-cucu umi semua comel-comel. Tapi umi kena siapkan telinga dan tenaga lebih lepas ni.”
Haris yang baru turun dari tingkat atas dengan sebotol susu dalam tangan menambah, “Mulai hari ni, kita bukan saja suami isteri, tapi rasmi sebagai 'Team Night Shift'. Tak ada istilah tidur lena lagi.”
Sofea menjeling.
“Tak apa, saya dah sedia. Lagipun, kat hospital saya dah kena ‘training’ setiap malam.”
“Training je tak cukup, puan Sofea. Kena masuk praktikal betul-betul sekarang,” balas Haiqal sambil menyambut bayi yang didukung isterinya.
Tiba-tiba bayi kembar Balqis dan Haris serta bayi kembar Sofea dan Haiqal menangis serentak. Umi tepuk dahi.
“Hah! Masa untuk praktikal bermula!”
Dan rumah itu kembali riuh, penuh dengan tangisan bayi, suara pujuk rayu para bapa yang kelam-kabut menukar lampin, dan para ibu yang setia memerhati dengan wajah penuh kasih — walau penat, namun penuh bahagia.
***
Malam itu, suasana rumah yang pada awalnya sunyi berubah menjadi mini konsert bayi. Tangisan empat bayi serentak ibarat satu orkestra agung. Haris yang sedang menyidai pakaian kecil anak-anaknya di ruang belakang, tersentak bila mendengar suara tangisan itu.
“Astagfirullah... kombo penuh ni,” rungutnya sambil berlari anak masuk ke ruang tamu.
Di ruang tamu, Haiqal sedang berkejar ke kiri dan kanan — mendukung Furqan sambil menenangkan Fayyad yang menggelepar minta susu.
“Susu belum panas lagi! Honey, susu mana susu?” jerit Haiqal cemas sambil cuba menepuk perlahan belakang anaknya.
Sofea yang masih dalam keadaan separuh lena di sofa menjawab, “Dalam warmer... entah, atau dalam mimpi. Honey pun dah tak pasti yang mana hidup, yang mana mimpi sekarang ni...”
Haris masuk, terus mencapai botol susu yang tertinggal di meja makan.
“Ni dia! Tapi ni susu anak aku!” katanya, panik melihat Balqis juga tengah cuba menyusukan bayi mereka, namun kedua-duanya tak mahu diam.
“Biar aku pergi panaskan susu! Kau tolong tengokkan si kembar aku!” arah Haris pada Haiqal, lalu terus meluru ke dapur.
Balqis yang hampir menitiskan air mata akibat keletihan, hanya mampu memandang Haris yang begitu sibuk ke sana ke mari. Dalam keletihan itu, dia tetap tersenyum.
“Abang dah macam superhero... dengan apron kartun unicorn lagi,” bisiknya perlahan.
“Tak kisah unicorn ke, panda ke, asalkan anak-anak kita tak menangis macam nak roboh rumah,” sempat Haris menyampuk sambil mencium dahi isterinya yang berpeluh.
Umi yang tiba-tiba muncul dari dapur membawa sebiji besen kecil berisi air suam dan daun sirih, bersuara tegas namun tenang, “Duduk semua! Sekarang giliran umi. Ni teknik lama-lama. Rendamkan kaki mereka dengan air ni, Insya-Allah reda sikit.”
Tanpa banyak soal, Haris dan Haiqal menurut. Mereka duduk bersila, merendamkan kaki anak-anak masing-masing. Pelik, tapi benar, tangisan empat bayi itu mula perlahan, dan akhirnya senyap.
Sofea memandang umi dengan kagum.
“Umi, ilmu apa ni umi guna? Magik ke ni?”
“Ilmu nenek moyang, sayang. Anak dah nak pengsan baru nak tanya,” jawab umi bersahaja sambil tersenyum puas.
Abah yang sejak tadi hanya duduk diam di ruang makan, akhirnya menyampuk, “Dulu masa jaga anak-anak kecil ni, umi korang pun macam tu juga. Tapi bila tengok masing-masing dah jadi ayah sekarang ni, abah bangga.”
Haris dan Haiqal berpandangan, mata mereka berkaca.
Balqis menghampiri Haris, menyandar di bahunya.
“Sayang tak tahu abang boleh jadi daddy sehebat ni... sayang jatuh cinta lagi.”
Sofea pula, yang masih memeluk bayi kecilnya, menjeling pada Haiqal.
“Honey mula rasa... abang ni walaupun selalu buat honey naik darah, tapi abang ni penyelamat hidup honey.”
“Hah... siapa suruh kahwin dengan adik kembar Adan? Memang confirm huru-hara!” balas Haiqal sambil mengangkat kening.
Umi dan abah hanya mampu ketawa. Malam itu, walau penuh dengan tangisan, keletihan dan riuh-rendah, rumah itu sebenarnya dipenuhi cinta. Cinta seorang ibu, cinta seorang bapa, cinta dua insan yang baru melalui fasa hidup paling mencabar — menjadi ibu dan bapa buat pertama kali, dan cinta sebuah keluarga yang tetap bersatu dalam apa jua keadaan.
Dan ketika semua sudah tenang, Haris berbisik kepada Balqis, “Esok malam... panda handsome kembali.”
Balqis tergelak kecil.
“Pastikan anak-anak kita tidur dulu... baru panda keluar.”
“Deal.”
Aduhaiii, Adan sampai jadi panda kau nk bg surprise kt isteri padahal nk bg gelang emas je. Yg lucunya anak kembar mereka yg empat orang tu mcm berjanji pulak nk menangis serentak. Happy reading gaisss..jemput follow and comment.
Share this novel