"Abah!” panggil Balqis lembut, melangkah masuk ke halaman rumah mentuanya sambil menggenggam erat tangan Faiqa dan Faiha. Faris pula berjalan sedikit ke hadapan, menarik beg kecil miliknya. Hati Balqis terasa sedikit tenang kerana kembali ke pangkuan keluarga yang selama ini menjadi sandarannya. Namun, sebaik sahaja mata bertentang dengan wajah tegang Lebai Haji Bakhtiar, segalanya berubah.
“Balqis!” tegur abah dengan nada tinggi. “Apa maksud semua ini? Mana Haraz? Kenapa tak balik dengan suami sendiri?”
Balqis terdiam. Faiqa dan Faiha berpaut erat pada tubuh ibunya. Faris berdiri tegak, wajahnya penuh amarah.
“Kami tak nak balik rumah tu lagi, Tok Abah. Kami semua nak tinggal sini!”
Lebai Haji Bakhtiar menggeleng laju.
“Tidak, tidak Balqis! Abah tak pernah ajar anak, menantu abah derhaka pada suami! Kau tahu tak hukum seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami?”
“Abah, dengar dulu…” rayu Balqis.
“Dengar apa lagi, Balqis? Kau lupa tanggungjawab sebagai isteri? Rumah tangga takkan tenang kalau isteri ambil jalan lari setiap kali ada masalah! Mana hormat kau pada suami? Mana akhlak Qis, sebagai seorang isteri solehah?”
Air mata Balqis mengalir perlahan.
“Abah… Qis tak lari tanpa sebab. Haraz dah banyak berubah. Dia naik tangan, abah. Faiha dan Faiqa takut dengan dia. Qis… Qis keguguran sebab tekanan dan… dan Haraz makin melampau.”
Wajah tegas abah sedikit berubah. Nafasnya laju, marah yang masih menyala mula digantikan dengan kekeliruan.
“Apa yang kau cakap ni, Balqis?”
Balqis menunduk. Suaranya makin parau.
“Tujuh bulan, abah… Qis cuba bertahan. Tapi Haraz bukan Haraz yang dulu. Dia bukan lagi lelaki lembut dan penyayang yang semua orang kenal. Dia berubah sejak… sejak cemburu dengan bayangan arwah abang Adan. Qis dan anak-anak jadi mangsa.”
Lebai Haji Bakhtiar terduduk perlahan di atas bangku batu di laman. Wajahnya mencerminkan ribuan rasa yang bertembung.
“Kau… pasti kau nak berpisah, Balqis? Ini keputusan yang kau buat dalam keadaan tenang atau masa kau sedang marah?”
Balqis terdiam. Dia tahu soalan itu membawa maksud yang dalam. Tapi luka ini... terlalu parah.
“Qis tak mahu anak-anak Qis membesar dalam trauma, abah. Qis tak nak jadi isteri yang derhaka, tapi Qis juga tak mahu terus dihina, disakiti. Qis dah tak kuat, abah.”
Saat itu, suara lembut umi memecah suasana.
“Apa ni? Kenapa semua berbual di luar rumah? Dah macam bicara hakim kat balai raya!”
Umi yang baru sampai dari rumah Sofea dengan wajah ceria tiba-tiba berhenti melangkah apabila melihat Balqis berwajah sendu, anak-anak terdiam, dan suaminya menekup muka sendiri.
“Abang, apa dah jadi ni?” soal umi cemas.
“Balqis… dia nak tinggalkan Haraz,” jawab abah perlahan.
Umi mendekati Balqis, memegang bahunya.
“Kenapa ni Qis, cuba cerita kat umi?!”
Namun sebelum sempat Balqis menjawab, umi terus menyambung, suaranya tiba-tiba berubah cemas.
“Balqis, kau tak tahu lagi kan… umi baru dapat berita dari puan Maria. Haraz pengsan malam tadi. Sekarang dia tengah dirawat di hospital.”
Balqis terkesima. Dunia seakan terhenti seketika.
“Haraz… pengsan?”
Umi mengangguk, wajahnya risau.
“Puan Maria kata, dia jumpa Haraz pengsan depan pintu bilik. Mungkin sebab tekanan emosi. Dia tak makan, tak tidur…”
Balqis menelan liur. Hatinya yang keras tadi, bergetar halus. Anak-anak di sisinya saling berpandangan. Faris mencuri pandang wajah ibunya yang kini jelas gundah.
"Balqis," suara abah bergetar, "jika dia masih diberi peluang hidup, adakah kau sanggup menyesal... jika kau tak beri peluang kedua untuk dia berubah?"
Dan untuk pertama kalinya... Balqis tidak mampu menjawab.
***
Balqis termenung jauh. Kata-kata umi tadi masih bergema di gegendang telinganya.
“Haraz pengsan, sekarang dirawat di hospital.” Kalimat itu sepatutnya mengundang rasa simpati, namun hatinya masih keliru, masih dibalut luka yang dalam.
Cinta… ya, cinta itu masih wujud. Tetapi luka yang Haraz tinggalkan lebih parah daripada segalanya. Berkali-kali Balqis cuba memujuk hati, namun wajah-wajah anak kecilnya yang ketakutan setiap kali Haraz meninggikan suaranya, memadamkan terus segenap rasa sayang yang pernah bertunas.
Balqis menarik nafas panjang. Hatinya masih marah.
“Abah, umi… izinkan Balqis masuk. Sekejap saja. Balqis penat. Nak rehat sebelum fikirkan apa yang patut Balqis buat selepas ni,” ucapnya perlahan, mengharap simpati.
Namun Lebai Haji Bakhtiar menggeleng, wajahnya masih keras.
“Tak, Balqis. Biar abah sendiri pergi jenguk Haraz di hospital. Kau duduk dulu sini, biar abah selesaikan.”
Balqis tidak menjawab. Hatinya berkecamuk. Air matanya mengalir dalam diam. Dia tahu abah tidak mengerti sepenuhnya apa yang telah dia lalui.
Tanpa menjawab atau memandang ke belakang, Balqis terus menuruni anak tangga rumah itu. Hatinya makin berat, namun tekadnya semakin jelas. Dia memandu keluar bersama anak-anak, melawan perit emosi yang menghimpit. Bukan ke hospital destinasinya, tetapi rumah peninggalan arwah Haris di Kuala Lumpur. Di situlah dia mahu menenangkan hati. Di situlah dia mahu bersembunyi dari semua luka dan kekeliruan ini.
Balqis mengusap wajahnya yang basah dengan air mata. Berkali-kali dia menguap, tubuhnya terlalu penat. Namun, dia tetap memandu, menongkah malam dan emosi yang makin bercelaru. Jalan raya kelihatan lengang, sepi mengiringi langkahnya meninggalkan desa yang kini penuh luka.
Dalam cermin pandang belakang, kelihatan Faiha dan Faiqa sudah terlena di kerusi belakang. Wajah polos mereka menyatu dalam pelukan erat sesama sendiri. Faris masih berjaga, duduk senyap di tempat duduk penumpang hadapan, sesekali memandang ke arah ibunya yang kelihatan tidak keruan.
“Mommy okey?” suara kecil Faris kedengaran, cemas.
Balqis hanya tersenyum kelat.
“Okey, sayang. Mommy penat sikit saja.”
Tiba-tiba, dari jauh lampu terang sebuah lori treler muncul, membelok masuk ke jalan utama tanpa amaran. Balqis yang sedang cuba menahan kantuk terkejut, dan dalam usaha mengelak pertembungan, dia hilang kawalan.
“Allah…!” jeritnya perlahan, dan segalanya berlaku pantas.
Bam!
Dentuman kuat bergema, dan kereta yang dipandu Balqis terbabas lalu melanggar sebatang pokok besar di pinggir jalan. Bunyi kaca pecah bersahut-sahutan, dentingan logam bergeser dan hon panjang kedengaran.
Segalanya jadi gelap.
Wajah anak-anaknya melintas sejenak di dalam fikiran, bersama senyuman Haris... dan Haraz. Kemudian, senyap.
Malam itu, langit seolah menangisi lagi takdir yang tergantung. Dan Balqis? Dia tak lagi sedar apa yang terjadi selepas itu.
***
Bunyi alat pemantau kesihatan bergema sayup di segenap ruang bilik ICU. Di katil bernombor tujuh, tubuh Balqis terbaring lemah, berbalut di kepala dengan wayar berselirat mengelilingi tubuhnya. Wajahnya pucat, dan tiada sebarang tindak balas. Kecederaan di bahagian kepala memerlukan pemantauan rapi daripada pasukan perubatan.
Di bilik pemerhatian pediatrik tidak jauh dari situ, Faiha dan Faiqa duduk berpelukan, matanya merah, masih trauma dengan kejadian ngeri itu. Faris pula duduk kaku di sisi katil, cuba menenangkan adik-adiknya walaupun dia sendiri masih menggigil.
“Mommy mana…?” rengek Faiha, memeluk patung kecil kegemarannya.
“Kenapa mommy tak bangun lagi…?” Faiqa pula bertanya, suaranya teresak.
“Abang, Iha nak mommy… tolong la panggil mommy bangun,” Faiha merayu, memandang Faris.
Faris hanya tunduk. Matanya berkaca. Dia tidak tahu bagaimana harus menjawab. Yang dia tahu, ibunya kini terbaring kaku, dan semuanya berlaku terlalu pantas.
Pintu bilik diketuk perlahan. Seorang jururawat masuk sambil mengiringi seorang lelaki—Haraz. Wajahnya kusut, matanya sembap, dan langkahnya berat. Dia berdiri di ambang pintu, menahan sebak melihat anak-anak Haris yang suatu masa dahulu begitu manja dengannya, kini memandangnya penuh ketakutan dan dingin.
Faiha memeluk Faiqa erat-erat.
“Tak nak… jangan bagi dia tu dekat!” jeritnya, menggigil.
“Jangan marah mommy lagi! Jangan pukul kami!” Faiqa menambah sambil menyembunyikan wajah ke dada kakaknya.
Faris bangun, berdiri tegak menghalang Haraz.
“Pergi! Uncle dah buat mommy sakit! Uncle jangan datang dekat kami lagi!” kata Faris dengan suara lantang yang membuat Haraz terkedu.
Nafas Haraz tersekat di dada. Dia tunduk, menekup wajahnya. Satu-persatu kenangan melintas—saat dia mula menjauhkan diri, meninggikan suara, melepaskan amarah kepada anak-anak kecil yang tidak berdosa, hanya kerana dendam emosi yang dia sendiri tidak mampu uruskan.
“Ampunkan daddy, Faris…” bisik Haraz, namun tiada yang sudi mendengar.
Langkahnya longlai, dan dia berundur ke belakang. Dinding hospital menjadi sandaran tubuh yang makin rapuh ditelan penyesalan. Air mata yang selama ini ditahan, akhirnya tumpah juga.
Dia ingin menebus semuanya, namun kini semuanya bagaikan sudah terlambat. Balqis masih tidak sedarkan diri, dan anak-anak memandangnya sebagai raksasa yang menakutkan, bukan lagi figura pelindung.
Dr. Salsabila muncul tidak lama kemudian, dan terus mendapatkan Haraz yang sudah terduduk di lantai koridor.
“Abang… mereka masih kecil. Tapi trauma tu… mendalam.” Nada suara Salsabila penuh simpati.
“Abang cuma… terlalu cemburu, Sal… Abang lupa diri. Abang sangka abang kuat, tapi rupanya abang masih berdendam dengan bayang arwah Haris… yang tak pernah pun bersalah.”
Salsabila menepuk bahu Haraz perlahan.
“Kalau abang benar ikhlas, jangan patah hati. Teruskan perjuangan… bukan untuk tebus dosa, tapi untuk tebus kepercayaan mereka. Biar lambat, asalkan tak putus asa.”
Dan di situlah Haraz, duduk termenung lama di luar wad anak-anak, memandang kosong ke arah cermin. Dalam hatinya, hanya satu doa yang bergema.
"Ya Allah, kembalikan Balqis padaku… berilah aku peluang untuk jadi pelindung kepada mereka, walau untuk sekali lagi."
Namun dia tahu, perjalanan untuk itu tidak akan mudah. Dan mungkin, tidak akan ada pengakhiran bahagia seperti yang pernah dia bayangkan dahulu.
Sejak pagi itu, Haraz tidak pernah berhenti memohon keampunan. Tangisnya di sisi abah dan umi bukan hanya luahan sesal, tetapi juga satu ikrar. Haraz tidak akan pernah putus asa untuk menebus kembali kesilapannya. Walaupun luka yang ditinggalkannya pada hati Balqis dan anak-anak bukan sedikit, Haraz yakin, dengan izin Allah dan usaha yang tidak pernah luntur, dia mampu membina kembali kepercayaan yang telah lama runtuh.
Abah memandang Haraz lama, sebelum akhirnya menepuk bahu menantunya perlahan.
“Kalau kau benar-benar mahu berubah, ikut segala nasihat abah. Jangan ulangi silap yang dulu. Anak-anak bukan tempat melepaskan amarah, tapi amanah untuk dijaga.”
Haraz mengangguk dalam tangis.
“Haraz janji, abah. Demi Allah, Haraz takkan sia-siakan mereka lagi.”
Mulai hari itu, Haraz mengikut sahaja rentak abah dan umi. Dia tidak lagi mendesak anak-anak untuk menerima kehadirannya. Sebaliknya, dia belajar menjadi pendengar, menjadi pemerhati yang sabar dan penyantun. Dia belikan permainan kegemaran Faiha dan Faiqa, tetapi tidak memaksa mereka menerimanya. Dia menemani Faris bermain bola di padang berhampiran, walaupun Faris tidak menyapanya langsung. Dan setiap malam, dia tidak pernah lupa mengucapkan kata maaf pada anak-anak sebelum kembali ke biliknya di tingkat atas.
***
“Uncle… tak marah kami hari ni?” tanya Faiqa suatu petang, selepas Haraz membantu mengikatkan riben rambutnya.
Haraz tersenyum, matanya berkaca.
“Uncle takkan marah lagi. Uncle nak jadi orang yang kamu semua boleh sayang semula. Boleh tak lepas ni panggil uncle, daddy... macam dulu-dulu”
Dan ketika abah menasihati cucu-cucunya di ruang tamu, Faiha dan Faiqa mendengar tanpa memberontak. Mereka kini lebih tenang, tidak lagi ketakutan apabila Haraz berada dekat dengan mereka. Faris, walaupun masih berhati-hati, mula membenarkan Haraz duduk di sebelahnya semasa mereka makan malam bersama.
“Faris…” panggil Haraz perlahan suatu malam. “Kalau abang Faris belum sedia maafkan, tak apa. Tapi daddy akan tetap minta maaf setiap hari sampai abang Faris percaya semula. Daddy sayang abang Faris. Macam mana arwah daddy Haris sayang abang dulu.”
Faris diam lama sebelum menjawab, “Kalau mommy sedar nanti, janji tak sakitkan dia lagi?”
Haraz menggenggam jemarinya sendiri, menahan sebak.
“Daddy janji. Daddy akan jaga mommy, abang dan adik-adik sampai hujung nyawa.”
Perubahan Haraz bukan lagi sekadar kata-kata, tetapi perbuatan demi perbuatan kecil yang akhirnya mencairkan hati anak-anak. Dalam diam, umi dan abah mula tersenyum. Namun, hanya satu harapan yang masih berbaki di hati Haraz, agar Balqis kembali sedar, agar dia dapat melihat sendiri bagaimana dirinya kini berusaha menjadi lelaki yang wajar dipanggil "daddy".
***
Pagi itu, sinar mentari yang menerobos ke dalam bilik hospital seakan memberi harapan baru. Umi dan abah yang setia di sisi terkejut apabila jari-jemari Balqis mula bergerak perlahan. Mesin-mesin di sekelilingnya masih memantau, namun doktor mengesahkan Balqis sudah mula sedar dari koma.
Haraz yang baru sahaja tiba hampir terlepas bekas plastik di tangannya apabila melihat kelopak mata Balqis terbuka. Langkahnya longlai mendekati katil.
“Aqis…” panggil Haraz perlahan.
Balqis memandangnya lama. Dan bibirnya terukir senyum yang samar.
“Adan…?”
Tubuh Haraz terasa kaku. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup. Kata-kata itu… menusuk terus ke dadanya.
“Adan… akhirnya abang datang…” suara Balqis bergetar, air mata bergenang di hujung matanya.
Haraz tidak mampu berkata apa-apa. Jiwanya bercelaru antara rasa bersalah, rindu, dan luka. Dia ingin memberitahu bahawa dia bukan Haris… namun dia tidak sanggup melihat senyuman itu hilang. Dia hanya mampu mengangguk perlahan, merelakan dirinya dianggap sebagai Haris!
Hahaha...apalah perasaan kau kan Haraz, bangun je Balqis dari koma, dia sebut nma Adan.. Happy reading gaisss...jemput follow dan komen...
Share this novel