BCR BAB 15 : HATI TERSAKITI

Romance Series 14436

BALQIS ketawa kuat sambil membaling bantal ke arah suaminya.

"Mengarutlah Adan ni!"

Haris menangkap bantal itu dengan mudah, lalu duduk di atas katil sambil menyandarkan badannya ke kepala katil.

"Jadi… kalau semua teddy bear ni dah jadi peneman Qis selama ni, Adan ni nak letak kat mana?" soalnya, nada suaranya tiba-tiba berubah sedikit lembut.

Balqis menggigit bibir, tiba-tiba berasa segan.

"Adan tetap nombor satu," katanya perlahan.

Haris tersenyum puas.

"Bagus. Kalau tak, Adan terpaksa buang beberapa ekor teddy bear ni supaya Adan ada ruang nak tidur."

"Jangan harap!" Balqis mencelah pantas.

Haris ketawa lagi, lalu menghulurkan tangannya untuk menarik Balqis agar duduk lebih dekat dengannya.

"Tak apa, sayang. Adan tak perlu buang teddy bear pun. Adan dah cukup bertuah sebab akhirnya dapat isteri yang comel macam Qis."

Balqis merona merah.

"Adan…"

"Adan tahu, Adan tahu. Adan memang suami yang romantik," Haris menjawab sendiri sebelum Balqis sempat berkata apa-apa.

Balqis hanya menggeleng sambil tersenyum. Hakikatnya, dia gembira. Gembira kerana malam ini bukan sahaja dia berjaya memohon kemaafan daripada bapanya, tetapi juga kerana dia tahu, dia kini memiliki seseorang yang bukan sahaja pandai menyakat, tetapi juga akan sentiasa berada di sisinya, walaupun di dalam dunia penuh teddy bear sekalipun.

***

Tiga hari bergelar isteri kepada Haris Izzuddin, Balqis merasakan hidupnya semakin teratur. Kehadirannya dalam rumah Puan Suraya bagaikan membawa sinar baru buat wanita itu. Puan Suraya yang dahulunya sering termenung mengenang arwah Hasrina kini kembali ceria. Dengan penuh sabar, dia membimbing Balqis dalam urusan rumah tangga, mengajarnya cara melayani suami dengan baik, dan berkongsi petua-petua yang diwarisi turun-temurun.

"Bila Qis senyum macam tu, Adan rasa Qis ni menantu yang paling bertuah." Haris sempat mengusik sewaktu mereka duduk berdua di ruang tamu selepas solat Isyak.

Balqis menjeling manja.

"Kenapa? Sebab dapat Adan?"

Haris mengangguk yakin.

"Mestilah. Qis tak tahu bertapa hebatnya Adan ni sebagai suami."

Balqis ketawa kecil.

"Perasan lebih."

Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama. Kehadiran seorang wanita dari masa lalu Haris mengubah segalanya.

Natasya, adik sepupu perempuan Haris, muncul di rumah Puan Suraya dengan alasan ingin berjumpa dengan lelaki itu atas urusan kerja. Tetapi Balqis dapat merasakan sesuatu yang tidak kena.

"Kak Balqis, kakak tak marah saya datang, kan?" Natasya bertanya dengan senyuman yang Balqis tahu penuh kepura-puraan.

Balqis hanya tersenyum kelat.

"Kenapa pula akak nak marah? Tasya datang nak jumpa abang Haris, bukannya akak."

"Tapi, kakak kena faham, saya dengan abang Haris agak rapat. Saya rasa terhutang budi, abang Haris yang banyak bantu dalam pencarian kerja saya," Natasya menambah, seolah-olah cuba menegaskan kedudukannya.

Balqis hanya menahan sabar. Dia tidak mahu bergaduh, tidak mahu menunjukkan emosinya di depan Haris. Tetapi semakin hari, semakin jelas bahawa Natasya seakan-akan mahu mencipta jurang antara dia dan suaminya.

"Natasya hanya adik sepupu, Balqis," Haris cuba menjelaskan, tetapi Balqis semakin tawar hati.

Satu hari, Natasya sengaja berlakon seperti dia rapat dengan Haris di hadapan Balqis. Dia berbual mesra, menyentuh bahu Haris sambil ketawa, membuatkan hati Balqis luka.

Balqis tidak tahan lagi. Dengan hati yang sarat dengan kekecewaan, dia membawa diri ke rumah bapanya.

***

"Apa salahnya kalau anak abah ni lebih sabar?" Lebai Haji Bakhtiar bersuara sebaik sahaja Balqis meluahkan perasaannya.

"Abah tak faham… Qis tak boleh tahan dengan perempuan tu!" Balqis bersuara, matanya sudah berkaca.

"Qis tu isteri, kenalah pandai kawal emosi. Jangan disebabkan perempuan luar, Balqis nak runtuhkan rumah tangga sendiri!"

Balqis terdiam. Bapanya tidak menyebelahi dia. Tidak ada sesiapa pun yang memahami sakit hatinya. Dia tidak mahu menjadi isteri yang terpaksa berkongsi kasih, tidak mahu hidup dalam ketakutan setiap kali melihat Natasya datang ke rumah.

Dengan hati yang semakin luka, Balqis melarikan diri lagi. Kali ini, dia pergi ke tempat yang menenangkan. Pusara abangnya, dan pusara arwah Hasrina.

"Sekurang-kurangnya di sini, tiada siapa boleh ganggu aku," dia berbisik, air mata menitis membasahi pipi.

***

Keesokan harinya, Haris mula berasa tidak sedap hati. Balqis tidak pulang, malah tidak membalas sebarang mesej atau panggilannya.

"Umi, Balqis ada call umi?"

Puan Suraya menggeleng cemas.

"Tak, Adan… Kamu ada buat dia marah ke?"

Haris mengusap wajahnya, fikirannya berkecamuk.

"Bukan Adan… tapi Natasya."

Puan Suraya menghela nafas panjang.

"Dari awal lagi umi tak suka perempuan tu. Kenapalah Adan masih biarkan dia datang ke rumah ni?"

Tanpa membuang masa, Haris mencari Balqis di merata tempat, rumah Lebai Haji Bakhtiar, kedai makan kegemaran Balqis, tetapi semuanya hampa. Akhirnya, setelah hampir seharian mencari, dia menemui Balqis di tanah perkuburan.

Balqis sedang duduk di sisi pusara abangnya, mukanya sembab akibat terlalu banyak menangis.

"Balqis!" Haris berlari mendapatkan isterinya.

Balqis tidak menoleh.

"Kenapa Adan cari Qis?"

"Sayang… tolong jangan buat abang macam ni. Abang hampir gila cari sayang," suara Haris bergetar, jelas menunjukkan kebimbangannya.

Balqis menghela nafas dalam, lalu mengangkat wajahnya memandang Haris.

"Kalau abang betul-betul kisahkan sayang, buktikan."

"Apa maksud sayang?"

"Sayang cuma ada satu permintaan. Sama ada abang lepaskan sayang… atau kita pindah keluar dari rumah umi. Sayang tak boleh tahan dengan kehadiran Natasya."

Haris terdiam. Permintaan Balqis itu berat, tetapi dia tahu isterinya sudah terlalu terluka.

"Tinggalkan rumah umi abang?" Haris mengulang, seakan tidak percaya.

Balqis mengangguk.

"Qis sayangkan umi abang, sayang hormati dia… tapi kalau setiap hari sayang terpaksa hadap perempuan tu di rumah umi, sayang akan jadi isteri yang pendendam."

Haris menatap wajah isterinya lama. Dia tahu dia tidak boleh kehilangan Balqis. Dia tahu apa yang perlu dilakukan.

Lantas, dengan penuh yakin, dia mengangguk.

"Baik, kita pindah. Abang akan jaga awak, sayang. Abang takkan biarkan sesiapa pun mengganggu rumah tangga kita."

Balqis tersentak.

"Abang betul-betul sanggup?"

"Abang sanggup buat apa saja demi awak, Balqis. Bucuk, ashyam, comei abang ni" Haris tertawa lepas.

"Abang..."

***

Untuk pertama kali dalam beberapa hari, senyuman mula menghiasi wajah Balqis. Dia tahu, suaminya itu bukan sekadar lelaki yang suka menyakat dan menceriakan hidupnya. Haris adalah lelaki yang benar-benar mencintainya.

Dan itu lebih dari cukup buat Balqis.

Balqis terkedu apabila Haris benar-benar menunaikan permintaannya untuk berpindah dari rumah Puan Suraya. Namun, apa yang lebih mengejutkannya adalah jarak rumah baru mereka, hanya berselang tiga buah rumah dari rumah ibu mentuanya.

"Sayang minta pindah, abang pindah dekat sini saja?" Balqis bersuara, separuh terkejut, separuh tidak percaya.

Haris tersengih, tangan bersilang di dada.

"Sayang cakap nak pindah, bukan nak lari jauh. Abang tetap nak dekat dengan umi."

Balqis menggeleng perlahan.

"Rasa macam membazir pula…"

"Sama ada kita pindah ke sini, atau sayang terus merajuk dan tak balik rumah. Mana satu pilihan yang lebih baik?"

Balqis terdiam. Dalam diam, dia tahu Haris melakukan ini semua untuk menjaga hatinya.

Dan sejujurnya, dia lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu lagi menghadap Natasya yang semakin lama semakin menjadi-jadi gediknya terhadap Haris.

'Seperti kucing mengawan,' Balqis menyumpah dalam hati. Langsung tidak tahu nak menghormati bulan Ramadan!

***

Natasya masih tidak berhenti dengan sikap manjanya terhadap Haris. Setiap kali dia datang ke rumah Puan Suraya, dia akan mencari alasan untuk berbual dengan lelaki itu.

"Alah, abang Haris, kenapa abang pindah? Saya kan datang sini nak jumpa abang selalu," katanya dengan suara merengek ketika berjumpa Haris di depan rumah Puan Suraya.

Balqis yang sedang menyiram pokok di halaman rumah baru mereka hanya menjeling tajam.

Haris pula hanya mengangkat bahu.

"Nak buat macam mana, abang Haris dah kahwin. Kenalah jaga hati isteri abang Haris."

"Abang dulu tak macam ni," Natasya merajuk, bibirnya dimuncungkan sedikit.

"Tasya dulu pun tak macam ni," balas Haris selamba, langsung tidak melayan drama wanita itu.

Puan Suraya yang kebetulan mendengar perbualan itu akhirnya bersuara, kali ini nadanya sedikit tegas.

"Natasya, umi dah banyak kali pesan, jangan kacau rumah tangga orang. Haris dah ada isteri, jaga batas sikit."

Natasya tersentak.

"Umi, saya cuma bergurau…"

"Tak ada gurau-gurau macam ni dalam Islam, lagi-lagi dalam bulan Ramadan. Kalau betul kamu hormatkan Haris, hormat juga isterinya!"

Namun, nasihat umi pada Natasya seperti mencurah air ke daun keladi. Entah dia tidak faham atau memang sengaja buat-buat tak faham, dia masih lagi muncul setiap beberapa hari.

Walaupun berat untuk melepaskan Haris dan Balqis berpindah, Puan Suraya akur. Dia faham menantunya itu perlukan ruang sendiri tanpa gangguan. Namun, Haris tidak betah melihat ibunya tinggal sendirian. Dan seperti biasa, dia ada cadangan nakal.

"Umi…" Haris menyapa ibunya satu malam, ketika mereka berbuka puasa bersama.

Puan Suraya mengerutkan dahi.

"Kenapa nada suara kamu macam ni?"

Haris tersengih.

"Umi cepat-cepatlah bernikah dengan abah Balqis tu. Taklah umi sunyi bila Adan dan Balqis dah pindah."

Balqis yang sedang menyuap nasi hampir tersedak.

"Abang!"

Puan Suraya terpempan.

"Kamu ni kenapa?!"

"Ala, serius ni, umi. Abah pun sunyi, umi pun sunyi. Kan elok kalau jadi satu keluarga besar? Boleh sanding sekali!"

Balqis sudah menepuk dahinya. Dia tahu suaminya memang suka menyakat, tapi kali ini Haris betul-betul mencari nahas.

Puan Suraya menjeling tajam.

"Adan, nak kena cili dengan umi ke?"

"Tapi umi tak nafikan, kan? Hehehe," Haris mengusik lagi.

Balqis cepat-cepat menarik lengan suaminya sebelum Haris menerima balingan senduk daripada Puan Suraya. Namun, dalam diam, dia melihat wajah ibu mentuanya merona merah.

Siapa tahu? Mungkin ada jodoh yang tidak disangka-sangka di situ.

Sejak usikan Haris malam itu, Balqis perasan perubahan pada Puan Suraya. Wanita itu sering termenung selepas solat, dan apabila Balqis cuba mengusiknya tentang Lebai Haji Bakhtiar, ibu mentuanya cepat-cepat mengubah topik.

Namun, Balqis juga tahu, usikan Haris itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Mungkin sahaja ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran ibu mentuanya.

Suatu petang selepas Asar, ketika Balqis sedang menyidai kain di ampaian, dia melihat seorang lelaki berkopiah berdiri di hadapan rumah Puan Suraya.

“Eh?” Dahi Balqis berkerut. “Abah?”

Lebai Haji Bakhtiar kelihatan serba salah, tangannya menggenggam sehelai kertas.

Balqis segera menghampiri ayahnya.

“Abah cari umi ke?”

Lelaki itu mengangguk perlahan.

“Ada… ada hal sikit.”

Balqis memandang ayahnya dengan penuh curiga. Sudah bertahun-tahun ayahnya menduda, dan sepanjang perkahwinannya dengan Haris, tidak pernah sekali pun lelaki itu ke rumah Puan Suraya tanpa alasan yang kukuh.

Jadi, kenapa hari ini dia datang dengan wajah penuh debaran?

“Masuklah, abah. Balqis panggilkan umi.”

Lebai Haji Bakhtiar teragak-agak, tetapi akhirnya menurut.

Puan Suraya kelihatan sedikit terkejut melihat kedatangan Lebai Haji Bakhtiar.

"Abang Bakhtiar? Masuklah..." Puan Suraya menjemput dengan suara ramah, walaupun jelas ada sedikit kegugupan dalam nadanya.

Lebai Haji Bakhtiar duduk di sofa dengan sopan, sementara Balqis segera ke dapur.

Haris yang baru pulang dari surau sempat melihat situasi itu dari pintu. Tanpa membuang masa, dia menghampiri isterinya yang sedang termenung di meja dapur.

“Kenapa abah ada kat sini?” Haris berbisik, matanya melirik ke arah ruang tamu.

Balqis mengangkat bahu.

“Tak tahu. Tapi abah macam nak cakap sesuatu dengan umi.”

Haris tersenyum lebar.

“Mungkin betul teori abang. Abah nak menyunting umi jadi suri hatinya.”

Balqis menolak bahu suaminya.

“Jangan buat spekulasi. Nanti lain yang kita sangka, lain yang jadi.”

Namun, dalam hati, Balqis sendiri tertanya-tanya.

Ketika dia kembali ke ruang tamu bersama suaminya, Haris Izzuddin, dia dapat merasakan suasana canggung antara bapa dan ibu mentuanya.

Lebai Haji Bakhtiar meneguk air liur dengan perlahan sebelum akhirnya bersuara.

“Sebenarnya… abang datang ni, nak minta maaf kalau ada salah faham sebelum ni.”

Puan Suraya kelihatan sedikit keliru.

“Salah faham apa, abang Bakhtiar?”

“Abang… abang rasa abang terlalu cepat menilai Haris sebelum ini. Abang fikir dia lelaki yang tidak bertanggungjawab, tetapi setelah melihat cara dia menjaga Balqis, abang sedar abang silap.”

Puan Suraya tersenyum.

“Su faham, abang Bakhtiar. Seorang ayah, tentulah dia mahu yang terbaik untuk anak perempuannya.”

Lebai Haji Bakhtiar mengangguk. Dia diam seketika sebelum menghulurkan kertas yang dibawanya kepada Puan Suraya.

“Abang… abang sebenarnya datang dengan hajat.”

Puan Suraya mengambil kertas itu dengan penuh tanda tanya. Wajahnya berubah sedikit sebaik sahaja membaca isi kandungan kertas itu.

Balqis yang duduk di sebelah ibunya turut mengintai dari tepi. Dahinya berkerut.

Kertas cadangan pernikahan?
Haris yang melihat semua ini sudah mula tersengih. Dia segera duduk di sebelah Balqis dan berbisik perlahan.

“Tengok? Abang cakap apa?”

Balqis menjeling tajam.

“Diamlah, abang!”

Puan Suraya kelihatan serba salah.

“Abang Bakhtiar… Su… Su tak tahu nak cakap apa.”

“Abang tahu ini mendadak. Abang pun bukan lelaki muda lagi,” Lebai Haji Bakhtiar berkata, suaranya sedikit rendah.

“Tapi sejak abang melihat Balqis dan Haris… abang terfikir. Mungkin abang juga perlukan teman.”

Puan Suraya tidak terus menjawab.

Hihihi...pindah selang tiga buah rumah je.. akhirnya Lebai Haji Bakhtiar menyunting Puan Suraya..hihihi sweet jer, pkai surat² lg..Sakit plak hati ngn Tasya ni lah..! Happy reading gaiss..jemput follow and comment..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience