PAGI itu, suasana dapur rumah Puan Suraya riuh seperti biasa. Haris, seperti hari-hari sebelumnya, sudah bersedia dengan apron, membantu ibunya menyediakan bahan perapan untuk ayam percik istimewa mereka.
Hasrina sibuk menghiris bawang, manakala Haiqal… lebih banyak mengganggu daripada membantu.
Haris yang sedang menggaul bahan perapan tiba-tiba bersuara, “Umi, hari ni kita makan kuih tepung pelita, boleh?”
Puan Suraya mengangkat kening.
“Hah? Tiba-tiba teringin? Tapi umi tak pandai buat kelongsong tu”
Hasrina tersenyum sinis.
“Aik? Sejak bila abang Adan suka kuih tepung pelita?”
Haris menjeling.
“Kenapa? Tak boleh ke?”
Haiqal mencelah, “Boleh je, cuma pelik. Biasanya abang Adan kita ni spesies tak kisah kuih apa pun, asalkan boleh telan. Ini siap sebut spesifik lagi. Haa… siapa yang ajar kau makan tepung pelita ni?”
Haris buat muka selamba.
“Tak ada siapa lah. Tiba-tiba rasa nak makan je.”
Puan Suraya tersenyum penuh makna.
“Hmmm… Umi rasa macam ada seseorang yang ada kaitan dengan permintaan ni.”
“Umi, jangan mulakan,” Haris mengeluh.
Puan Suraya tergelak kecil sebelum menyambung tugasnya.
“Dah, jangan asyik fikir pasal tepung pelita je. Sambung gaul perapan tu.”
Hasrina bersandar pada meja sambil mencatat resepi di dalam buku kecilnya.
“Umi, apa resepi ayam percik kita ni?”
Puan Suraya tersenyum dan menyusun bahan di hadapan mereka.
“Dengar baik-baik. Ayam kita kena perap dulu. Bahan perapannya simple je—”
Haris menyambung, “Ayam, bawang putih, halia, kunyit hidup, serai, garam, gula, dan sedikit santan. Semua tu kena kisar halus dan gaul dengan ayam.”
Puan Suraya mengangguk bangga.
“Pandai anak Umi. Lepas tu, kena perap sekurang-kurangnya dua jam supaya bahan meresap elok dalam isi ayam.”
Haiqal memasukkan jarinya ke dalam mangkuk perapan, cuba merasa sedikit.
“Hmm, sedap. Tapi, sos dia lagi penting, kan?”
"Woi, mangkuk...kau tak puasa ya. Cepat ludah balik, tak pasal-pasal batal puasa kau tu kang.." Haris menengking Haiqal yang selamba merasa perapan ayam percik istimewa turun-temurun keluarga sebentar tadi.
"Sorrylah, bro...aku betul-betul terlupa..kalau lupa tak batalkan?"
Hasrina dan Puan Suraya serentak menggelengkan kepala.
“Sos dia macam mana?” jarinya laju mencatat.
Puan Suraya mula menyusun bahan untuk kuah percik.
“Kita perlukan santan pekat, bawang merah, bawang putih, halia, cili kisar, serai, asam keping, gula Melaka, garam dan serbuk kunyit.”
Haris mengambil alih penerangan.
“Semua bahan tu kita tumis sampai naik bau. Lepas tu, masukkan santan dan asam keping. Kacau perlahan sampai kuah jadi pekat.”
Haiqal menjilat bibir.
“Pergh, dah terbayang dah makan dengan nasi panas.”
Puan Suraya tergelak.
“Sabarlah. Petang nanti baru boleh bakar ayam dan tuang kuah ni dekat atas.”
Haris bersandar pada meja, masih teringat pasal tepung pelita.
“Tapi umi, pasal kuih tu…”
Hasrina menyampuk, “Kalau abang nak sangat, kenalah cari sendiri dekat bazar nanti.”
Haiqal mengusik lagi, “Atau… minta seseorang belikan?”
Haris buat-buat tak dengar, walaupun dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Haiqal.
***
Petang itu, selepas solat Zohor, Haris sedang duduk di anjung rumah sambil menikmati angin sepoi-sepoi.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi enjin motosikal yang semakin menghampiri rumah mereka. Haris berpaling dan terkejut melihat seorang gadis berhenti di hadapan rumah mereka dengan skuter merah menyala.
Balqis Nadira.
Dengan tudung bawal lembut yang diselit kemas, baju kurung moden berwarna peach, dan solekan tipis yang menyerlahkan seri wajahnya, Balqis nampak begitu ayu.
Haris terpaku seketika.
"Assalamualaikum!" Balqis memberi salam, suaranya ceria tetapi ada nada tergesa-gesa.
Haris baru sahaja hendak membalas, tetapi Puan Suraya lebih pantas.
"Waalaikumussalam, Balqis! Masuklah dulu," pelawa Puan Suraya dengan senyuman lebar.
Balqis cepat-cepat menggeleng sambil tersenyum sopan.
“Eh, tak apalah, Acik Su. Qis datang sekejap je, nak hantar sedikit juadah untuk berbuka.”
Dia menghulurkan bekas makanan bertingkat yang berwarna-warni.
Puan Suraya menyambutnya dengan teruja.
“Wah, rajinnya kamu. Ni mesti masakan Balqis sendiri?”
Balqis tersenyum malu.
“Hehe, sikit-sikit je, Acik Su.”
Haris masih tercegat di tempatnya. Matanya tertumpu pada bekas makanan itu.
“Er… dalam ni ada kuih apa?”
Balqis berkelip beberapa kali sebelum menjawab, “Err… ada kuih cara, bubur lambuk, dan…”
Dia tersenyum kecil sebelum menyambung, “…tepung pelita.”
Mata Haris membulat.
Puan Suraya menahan gelak. Hasrina dan Haiqal yang baru keluar ke anjung rumah juga sama-sama tersengih.
"Haa, Adan! Ini yang kau idam-idamkan dari pagi, kan?" ujar Haiqal sambil menahan tawa.
“Tak sangka ya, Kak Qis boleh baca fikiran abang Adan,” tambah Hasrina.
Balqis terkedu dan wajahnya mula merona merah.
“Err… kebetulan je! Kak Qis memang selalu buat kuih ni… abah suka makan”
Puan Suraya tersenyum penuh makna.
“Alahai, kebetulan yang sangat cantik ni, Balqis.”
Haris menggaru kepala, tidak tahu bagaimana mahu mengendalikan situasi ini. Namun, sebelum dia sempat berkata apa-apa, Balqis cepat-cepat melangkah ke skuternya semula.
"Err… Qis pergi dulu, Acik Su! Ada banyak lagi kerja nak buat dekat gerai," katanya tergesa-gesa sambil menghidupkan enjin skuternya.
Haris hanya mampu melihat Balqis berlalu pergi, tetapi sempat perasan wajah gadis itu yang masih merah padma akibat usikan mereka tadi.
Puan Suraya menepuk bahu Haris sambil tersenyum.
"Adan, kalau dah jodoh, tak ke mana."
Hasrina dan Haiqal menyambung, “Abang Adan dan tepung pelita… eh, silap! Abang Adan dan Balqis Nadira!”
Haris menutup muka dengan tangan. Ramadan kali ini memang menguji kesabarannya dalam pelbagai cara!
***
Bazar Ramadan petang itu meriah seperti biasa. Aroma makanan yang menggoda, suara pelanggan tawar-menawar, dan riuh gelak tawa para peniaga menjadikan suasana lebih hidup.
Haris sudah siap menyusun ayam percik yang baru dibakar di meja gerainya. Asap berkepul naik, memberi isyarat bahawa ayam percik resepi turun-temurun keluarganya sudah sedia untuk dijual. Sambil mengelap tangan dengan kain bersih, matanya melirik ke satu sudut. Gerai Balqis!
Dengan langkah bersahaja (tapi hati berdebar-debar), Haris berjalan menuju ke sana.
Balqis yang sedang sibuk menyusun kuih-muih tersentak sedikit apabila melihat Haris berdiri di hadapannya. Dia cepat-cepat membetulkan tudungnya.
"Adan nak beli kuih ke?" Balqis bertanya tanpa memandang Haris.
Haris menyilangkan tangan sambil tersenyum sinis.
"Taklah. Adan datang nak puji Qis."
Balqis mengangkat kening.
"Hah?"
Haris mengangguk perlahan.
"Hari ni Qis nampak lain sikit. Cantik."
Balqis membulatkan mata.
"Adan ni dah kenapa?"
"Adan serius. Dengan baju kurung macam ni, Qis nampak lebih ayu," ujar Haris, tersenyum sambil menunjuk ke arah baju kurung Balqis yang berwarna hijau lembut.
Balqis terdiam seketika sebelum mengetap bibir.
"Adan, Adan nak perli Qis ke ni?"
"Tak. Adan puji betul-betul. Tapi Adan pelik… sejak bila Qis rajin pakai baju kurung ni?"
Balqis berpeluk tubuh.
"Kenapa? Salah ke Qis pakai baju kurung?"
Haris tersengih.
"Tak salah… cuma pelik. Semalam Qis baling telur kat Adan pakai t-shirt dengan seluar, hari ni terus berubah jadi gadis ayu berbaju kurung. Qis cuba tebus dosa ke?"
Balqis terkedu.
"Adan cakap apa tadi?"
Haris mengangkat bahu.
"Juadah yang Qis hantar tadi, tu tanda Qis minta maaflah kan? Kira Qis dah insaflah lepas baling telur kat Adan semalam?"
Balqis menjeling tajam.
"Dengar sini, Haris Izzuddin. Qis tak pernah baling telur kat Adan semalam! Jangan buat fitnah di bulan Ramadan!"
Haris tersengih lagi.
"Habis, kalau bukan Qis, siapa?"
"Mana Qis tahu!" Balqis menunduk, cuba menutup mukanya yang sudah sedikit merah. "Qis hantar juadah tu sebab… sebab… er… Qis memang selalu buat macam tu dekat jiran-jiran!"
"Jiran-jiran?" Haris mencebik. "Kebetulan sangat dalam bekas makanan tu ada kuih tepung pelita yang Adan teringin pagi tadi?"
Balqis mengetap bibir, jelas tiada jawapan untuk itu.
Tiba-tiba, perbualan mereka terhenti apabila terdengar suara garau di belakang Haris.
"Balqis!"
Serentak, Balqis dan Haris berpaling.
Di hadapan mereka berdiri seorang lelaki berkumis lebat, lengkap dengan jubah putih dan serban kecil di kepala.
Lebai Haji Bakhtiar.
Atau lebih dikenali sebagai Sarjan Misai dalam kalangan kanak-kanak kampung sejak dulu.
Haris menelan liur. Matanya melirik ke arah Balqis yang sudah pucat.
“Apa yang kamu berdua bising-bising ni?” suara Haji Bakhtiar tegas. Matanya yang tajam menikam terus ke arah Haris.
"Err… tak ada apa, abah," Balqis cuba bersuara tenang.
Haji Bakhtiar memandang Haris lama sebelum tersenyum sinis.
“Haris Izzuddin…”
Haris meneguk air liur.
“Ya, Pakcik Bakthiar?”
“Kamu dah besar panjang, kan?”
Haris mengangguk laju.
Haji Bakhtiar mengusap misainya dengan penuh gaya.
"Kalau dah besar panjang, mesti dah boleh bertanggungjawab, kan?"
Haris semakin gelisah.
"Err… maksud Pakcik?"
Haji Bakhtiar meletakkan tangannya di bahu Haris dengan cengkaman yang cukup kuat hingga Haris hampir mengaduh.
“Senang cerita, kalau aku nampak lagi kamu ‘bermain api’ dengan anak aku ni, aku terus bincang dengan umi kamu buat kenduri…”
Haris membulatkan mata.
“Kenduri?”
Balqis juga tergamam.
"Abah!"
Haji Bakhtiar hanya tersenyum sebelum berundur perlahan.
"Aku cakap betul ni. Kamu berdua jangan nak buat drama banyak sangat kat bazar ni. Orang ramai tengok."
Balqis menekup muka, manakala Haris masih terkaku.
Tiba-tiba, muncul Puan Suraya dari belakang dengan senyuman penuh makna.
"Wah, wah, wah! Nampaknya Haji Bakhtiar pun dah bersedia cari menantu!"
Balqis hampir tersedak.
"Acik Suraya! Janganlah tambah malu Qis!"
Haris pula semakin resah.
"Umi, janganlah menyakat kami lagi!"
Haji Bakhtiar ketawa kecil sebelum mengusap misainya sekali lagi.
“Aku tak main-main, Haris. Kau fikirkanlah baik-baik.”
Dengan itu, dia berlalu pergi, meninggalkan Haris dan Balqis yang masih terpaku di tempat masing-masing.
Hasrina dan Haiqal yang sejak tadi mendengar dari gerai sebelah sudah ketawa terbahak-bahak.
“Adan, cepatlah fikir baik-baik!” ejek Haiqal.
“Kenduri nanti nak buat kat rumah ke dekat dewan?” tambah Hasrina.
Haris hanya mampu menekup muka. Ramadan kali ini memang benar-benar menguji kesabarannya!
***
Suasana di rumah selepas solat Tarawih cukup nyaman. Cahaya lampu di ruang tamu tidak terlalu terang, cukup memberi ketenangan kepada Haris yang baru sahaja melabuhkan badan di sofa empuk. Dia menghela nafas panjang, menghapuskan sisa lelah dari seharian berniaga di bazar Ramadan.
Tiba-tiba perutnya berbunyi perlahan.
"Rin, kuih tepung pelita yang Balqis hantar tadi mana?" Haris bersuara malas sambil mengurut tengkuknya.
Hasrina yang sedang sibuk dengan telefon di sebelah kerusi malas mengangkat muka.
"Abang Adan nak makan lagi? Bukan masa berbuka tadi dah sebat separuh?"
Haris menjeling tajam.
"Rin nak bagi atau nak abang Adan cari sendiri?"
Hasrina mengangkat tangan tanda menyerah.
"Baiklah, baiklah! Rin ambilkan."
Dalam masa beberapa minit, Hasrina muncul dengan sepinggan kuih tepung pelita yang masih sejuk dari peti ais. Haris mengambil sebiji dan menyuapkan ke dalam mulutnya.
Mata Haris terpejam serta-merta.
"Owhhh… sedapnya…" gumamnya dengan penuh perasaan.
Kelazatan kuih itu benar-benar mencair di mulutnya. Tekstur lembut lapisan hijau pandan, disusuli oleh rasa lemak manis santan di bahagian atas, membuatkan dia terbuai seketika dalam dunia sendiri.
Tanpa sedar, Haris berkata, "Kuih dia ni dah mantap, mesti Roti John dia pun semantap orangnya…"
PAP!
Tiba-tiba, satu tepukan kuat singgah di bahunya.
"ERK!" Haris hampir tersedak.
Dia membuka mata dengan pantas dan melihat Puan Suraya berdiri di sebelah sofa dengan mata membuntang.
"APA ADAN CAKAP TADI?" Puan Suraya bertanya dengan suara separuh terkejut, separuh menyakat.
Hasrina di kerusi sebelah sudah ketawa berdekah-dekah.
Haris cepat-cepat meneguk air.
"Eh, tak ada apa! Adan cuma cakap kuih Qis sedap!"
Puan Suraya menyilangkan tangan di dada sambil tersenyum sinis.
"Ohh… bukan ke tadi Adan kata Roti John Qis semantap orangnya?"
Haris meneguk liur. Hasrina menambah minyak dengan menyanyi perlahan, "Adan suka Balqis, Adan suka Balqis!"
"Diam, Rin!" Haris menjeling geram.
Tapi Puan Suraya tidak berhenti di situ.
"Haa… kalau dah suka, kahwin jelah, Adan. Tak payah berdolak-dalih lagi!"
Haris semakin gelisah.
"Umi, jangan main-main. Lagipun—"
Puan Suraya tiba-tiba mengangkat jari telunjuk ke mukanya.
"Ingat tak AMARAN Haji Bakhtiar petang tadi?"
Haris terus tersentak.
"Kalau umi nampak lagi Adan ‘bermain api’ dengan anak dia, kenduri terus!" Puan Suraya meniru gaya suara Haji Bakhtiar dengan ekspresi yang sangat dramatik.
Hasrina tergolek di atas kerusi sambil ketawa tidak berhenti.
"Umi!" Haris menekup muka.
"Apa umi?" Puan Suraya masih menyakat.
"Haji Bakhtiar dah bagi green light tu. Adan tinggal pasang enjin je!"
Hasrina terus menambah, "Betul! Tak payah susah-susah cari calon lain. Kuih dah sedap, tuan punya kuih pun dah tunggu masa je…"
Haris mendongak, wajahnya sudah merah padma.
"Adan nak makan kuih dengan aman pun tak boleh ke dalam rumah ni?"
Puan Suraya tersengih.
"Boleh. Tapi sambil tu, Adan fikirkan jugaklah baik-baik."
Haris meletakkan piring kuih di atas meja dan mengeluh panjang. Ramadan kali ini memang penuh ujian… dan ujian paling besar berbentuk seorang gadis bernama Balqis Nadira!
Aduhai, Adan..kan dh mendapat, tulah nakal sgt mengusik Balqis, tapi Qis mcm tau² je Adan nk mkn kuih tepung pelita tu kan??? Happy reading gaiss, jemput follow and comment.
Share this novel