BCR BAB 39 : BALQIS KEMURUNGAN!

Romance Series 14436

SUASANA petang di rumah umi diserikan dengan hiruk-pikuk jiran tetangga dan pengunjung yang tidak henti-henti mengunjungi bazar Ramadan mini di hadapan rumah. Bau wangi ayam percik, roti john, dan kuih-muih beraneka warna menusuk hidung, membuatkan Balqis yang masih dalam tempoh berpantang hanya mampu menelan air liur sambil memeluk bantal panjangnya erat-erat.

Air matanya bergenang lagi. Sekali lagi dia terdengar suara orang memuji keenakan air jagung pandan yang Haris hasilkan sendiri. Dan kali ini dia tidak mampu tahan. Dia menangis teresak-esak, menekup muka ke bantal sambil mengeluh kecil.

“Kenapa orang pantang tak boleh makan martabak? Kenapa?!” rengeknya perlahan seperti anak kecil.

Haris yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, dengan apron masih tersangkut di pinggang, tersentak mendengar esakan isterinya. Dia menolak pintu bilik perlahan-lahan, memerhati Balqis yang mengesat air mata dengan hujung lengan baju.

“Sayang lapar ke?” soal Haris, cuba bersuara selembut mungkin walaupun wajahnya letih tak terperi.

Balqis hanya mengangguk.

“Sayang tak minta banyak. Martabak pun jadilah…”

Haris duduk di sisi katil. Dielusnya rambut Balqis perlahan.

“Balqis… sayang tahu kan doktor pesan jangan dulu. Luka tu belum betul-betul sembuh lagi.”

“Tapi semua orang boleh makan. Semua orang gembira. Sayang dekat sini terkurung, tengok anak-anak dan bau makanan dari pagi sampai malam. Abang tahu tak betapa sayang rasa terseksa?” Balqis menjeling dengan mata merah dan basah.

Haris terdiam. Dia tahu isterinya bukan manja. Bukan juga mengada-ngada. Tapi tekanan hormon selepas bersalin, dan ditambah dengan suasana Ramadan yang meriah, memang mencabar emosi sesiapa pun.

"Kalau sayang tahu sayang akan beranak dalam bulan puasa, sayang tunggu dua minggu lagi!" bebel Balqis, separuh marah, separuh geram dengan nasib diri.

Haris menghela nafas panjang.

“Kalau macam tu, abang pun tak nak makan sedap-sedap. Kita pantang sama-sama.”

“Abang…”

“Ya, abang tahu abang berniaga. Tapi abang janji, takkan sentuh satu pun makanan tu kecuali abang bawa balik versi pantang untuk sayang. Abang janji.”

Balqis terdiam. Hatinya dihimpit rasa bersalah. Tapi juga bercampur dengan rasa terharu. Air matanya jatuh lagi, tapi kali ini bukan kerana lapar atau geram, tapi kerana kasih sayang suaminya itu tak pernah surut, walaupun dalam kepenatan.

Namun, secebis keluhan Haris tadi sempat singgah di telinga umi.

“Balqis, umi masuk ya?” Puan Suraya muncul dengan wajah yang penuh simpati. Di belakangnya, Lebai Haji Bakhtiar turut masuk perlahan-lahan.

“Balqis… umi tahu kamu tertekan. Tapi jangan lupa, kamu bukan seorang diri. Adan tu, bukannya senang nak buat semua ni. Dia lari sana, lari sini, berniaga lagi, jaga kamu, jaga anak-anak... Kasih sayang dia tak ada tandingannya.”

“Dan kamu, Haris,” celah abah pula, “sabar itu pahit, tapi buahnya manis. Abah tengok kamu benar-benar ikhlas. Pasti Allah akan bantu.”

Balqis sudah berhenti menangis. Haris memandang isterinya dengan senyuman penuh keletihan. Tapi dalam hatinya, kasih pada Balqis semakin dalam. Cinta mereka diuji, tapi Haris tahu, ini semua sementara. Demi janjinya pada arwah abang Firdaus, dan demi cinta yang kini bertapak kukuh di jiwa, dia akan terus bertahan.

Malam itu langit gelap, tetapi suasana di kamar Balqis terang dengan cahaya cinta dan keprihatinan. Bayu Ramadan menyelinap masuk melalui tingkap, membawa harum bau nasi beriani yang Haris masak sendiri khas untuk jualan malam itu. Namun, Haris tidak menjamah walau sesuap pun. Dia melangkah masuk ke bilik dengan wajah yang makin lesu, tetapi tetap tersenyum membawa dulang kecil berisi sup ayam herba, ikan tenggiri kukus dan segelas air kurma suam.

“Untuk bidadari syurga abang,” ucap Haris perlahan, sambil meletakkan dulang itu di atas meja kecil sebelah katil.

Balqis yang sedang menyusukan Nur Faiqa hanya merenung wajah Haris yang semakin cengkung. Matanya memerhati setiap garis penat yang terpamer jelas. Dalam dukanya, dalam lelahnya, Haris masih lagi menjadi pahlawan cinta hatinya yang tak pernah sekalipun mengalah.

“Abang... kenapa muka abang pucat sangat ni?” tanya Balqis risau, tangannya pantas meletakkan bayi kecil mereka ke sisi setelah selesai menyusu.

“Tak ada apa-apa, sayang. Cuma letih sikit... abang okey.” Haris senyum, tapi senyumannya tidak setulus selalu.

“Abang tak makan dari pagi, kan?”

Haris hanya tersenyum, tidak membalas.
Tiba-tiba, Faris dan Faiha yang bermain di luar bilik berlari masuk, masing-masing memegang botol susu yang entah sudah berapa kali diisi ulang oleh Haris sendiri sepanjang hari ini. Kedua-dua mereka memanjat naik ke atas katil, mengerumuni ibu mereka sambil menyebut, “Mommy... mommy... lapar...? Nak kami suap mommy…”

Balqis tersentak kecil melihat gelagat anak-anaknya. Tangannya spontan menyentuh pipi Haris yang hangat, lalu menggeleng perlahan.

“Kalau abang pengsan depan mata sayang baru abang nak berehat?”

“Alaaa… abang cuma nak buat sayang senyum balik… abang tak tahan tengok isteri abang sedih macam tadi,” ujar Haris, menyandarkan kepalanya di bahu isterinya.

Balqis memeluknya erat, terasa dada Haris turun naik dalam pelukan. Tangannya mencapai sudu kecil dan mula menyuap sesudu sup ke dalam mulutnya sendiri, perlahan-lahan. Dan kemudiannya, ke mulut Haris. Haris menyambutnya dengan mengukir senyuman manis.

“Sedap…” katanya, sengaja memanjangkan suku kata itu sambil mengangkat kening.

Haris memandang dengan mata bersinar.

“Betul ni? Abang masak khas untuk bidadari comel abang ni, ikut resipi umi…”

“Sampai bila abang nak buat semua ni sorang-sorang? Mana boleh suami makan angin isteri makan hati?” Balqis senyum manja, mencuit hidung Haris.

Nur Faiqa yang masih dalam gendongan mula merengek. Haris mengalih tubuh, memujuk anak kecil itu sambil mencium ubun-ubunnya penuh kasih.

“Anak perempuan kita ni lah yang paling manja. Macam mommy dia juga,” usik Haris sambil tertawa kecil.

Faris dan Faiha masing-masing duduk beralaskan bantal, meniru gaya Haris menyuap Balqis.

“Mommy… Faris nak suap mommy jugak…” suara kecil itu menambah warna dalam bilik yang penuh dengan rasa cinta.

Balqis tidak dapat menahan air matanya yang jatuh lagi dan lagi tapi kali ini bukan kerana tekanan, bukan kerana lapar tetapi kerana hatinya penuh dengan rasa syukur. Dalam keletihan, dalam kekurangan, Haris tetap mencipta ruang untuk membuatkan dia merasa cukup.

Malam itu, Haris dan Balqis tidak tidur awal. Mereka berbual, tertawa, dan bergilir-gilir mendodoikan anak-anak yang mula merengek. Dan buat pertama kalinya dalam beberapa hari, Balqis merasakan hatinya tenang. Segala kemurungan tadi seolah terbang bersama hembusan malam yang membelai wajahnya.

Dan dalam diam, dia berbisik di dada Haris.

“Abang, terima kasih sebab tak pernah penat mencintai sayang…” Haris hanya memeluknya erat, membalas tanpa kata. Tapi senyuman di wajahnya cukup membuktikan, cintanya pada Balqis... tak pernah hilang walau sesaat.

***

Petang itu angin sepoi-sepoi bahasa menyapa kawasan bazar Ramadan mini di hadapan rumah umi. Hiruk-pikuk pelanggan mulai reda setelah waktu puncak berlalu. Deretan meja yang menempatkan juadah seperti nasi beriani, ayam percik, kuih-muih dan air balang pelbagai warna tampak meriah walaupun matahari sudah mula condong ke ufuk barat.

Haiqal, yang kebetulan bercuti, mengenakan t-shirt polo dan kain pelikat, membantu Haris melayani pelanggan. Namun, dari tadi dia memerhati gerak-geri abangnya yang kelihatan sedikit lambat dan kurang bertenaga. Dahi Haris berkerut setiap kali membongkok untuk mengambil bekas lauk. Wajahnya pula makin lama makin pucat, seperti menahan sesuatu.

“Adan, duduk dulu. Biar aku ambil alih kejap,” ujar Haiqal tegas, menyambar senduk dari tangan Haris dan mengalihnya ke kerusi plastik berwarna biru.

“Tak apalah, aku okey lagi—”

“Duduk, Adan,” ulang Haiqal, kali ini dengan nada yang lebih serius.

Haris akhirnya akur, mengeluh perlahan sambil melabuhkan punggung. Tuala kecil di bahunya digunakan untuk mengelap peluh yang makin menitis.

“Aku tengok kau lain macam je kebelakangan ni. Lesu, pucat. Kak Balqis ada tanya apa-apa? Dah pergi klinik?” soal Haiqal, duduk bersila di sebelah sambil memerhati raut wajah abangnya yang semakin susut.

Haris senyum sedikit, namun tidak mampu menipu mata kembarnya.

“Tak ada apa. Penat biasa je… Balqis tengah berpantang, anak-anak tengah ligat. Aku pula sibuk dengan jualan ni, biasalah kan…”

Haiqal menggeleng.

“Biasa apa? Adan, kau tak pernah macam ni. Dari dulu kita sama-sama lasak, tak pernah kau lemah macam ni. Kalau tak larat, batalkan puasa tu. Tak perlu paksa diri. Islam tak suruh kita seksa diri.”

“Aku masih nak puasa, Qal. Selagi aku mampu, aku cuba. Bukan sebab ego... tapi sebab aku nak rasa sama. Nak rasa kepuasan dapat berkorban sekali untuk keluarga. Untuk Balqis,” balas Haris, matanya merenung orang ramai yang lalu-lalang.

Haiqal terdiam. Dia tahu sejauh mana Haris sanggup berkorban demi orang yang dia sayang. Tapi kali ini, dia dapat rasa ada sesuatu yang disembunyikan.

“Adan, kau simpan sesuatu dari aku, kan?” soal Haiqal perlahan.

Haris memandang Haiqal, cuba mengukir senyum lagi, tapi gagal. Dia tunduk, memicit jari-jemarinya sendiri.

“Kadang-kadang aku rasa... badan aku macam nak tumbang. Tapi aku takut Balqis risau. Dia dah cukup penat. Aku... tak nak jadi beban.”

“Kau bukan beban. Balqis tahu tu. Aku pun tahu. Tapi kalau kau pengsan depan mata kami, itu lebih menyusahkan. Sekurang-kurangnya kau kena jujur dengan diri sendiri,” ujar Haiqal lagi.

Haris memejam mata sejenak, menarik nafas panjang.

“Esok aku janji... aku pergi buat pemeriksaan.”

“Janji kau bukan janji macam selalu. Jangan tunggu sampai terlambat. Aku tak sanggup tengok kau... jadi macam arwah abang Firdaus,” luah Haiqal, kali ini nada suaranya penuh emosi.

Haris mendongak, mata mereka bertemu. Sunyi sejenak di antara mereka, hanya bunyi azan maghrib dari surau berhampiran menyelangi keheningan. Haris genggam tangan Haiqal erat.

“Terima kasih, Qal. Kau memang adik... tapi selalu jaga aku macam abang.”

Haiqal ketawa kecil, mencubit lengan Haris sebelum bangkit.

“Cepat bangun, jom berbuka. Tapi malam ni, kau rehat. Biar aku uruskan semua. Balqis dan baby-baby tu perlukan Adan yang sihat, bukan Adan yang degil.”

Haris hanya mampu mengangguk, kali ini dengan hati yang lebih tenang. Dia tahu, dia tak pernah keseorangan.

***

Suasana dalam bilik doktor itu terasa begitu sunyi. Hanya dengusan pendingin hawa yang berdengung halus menemani debaran di dada Haris. Ruang putih bersih itu seolah-olah mengasingkan dirinya dari dunia luar, membiarkan Haris sendirian dengan keresahan yang menggigit hati.

Dr. Salsabila yang berdiri bersebelahan
mejanya memandang Haris dengan mata yang mula berkaca. Wajahnya jelas menahan sebak. Senyum yang cuba diukirkan tampak pincang, seolah-olah tidak mampu melindungi rasa pedih yang sedang menyesak di dadanya.

Haris menelan air liur yang terasa kelat. Langkahnya longlai menghampiri kerusi di hadapan Dr. Salsabila. Hatinya seperti mahu pecah, setiap detik menunggu jawapan terasa seperti dihukum perlahan-lahan.

“Sal…” panggil Haris perlahan, cuba menstabilkan getaran suaranya. “Cakaplah terus terang. Abang dah bersedia.”

Namun, tiada kata-kata yang keluar dari bibir wanita itu. Hanya setitis air mata yang tumpah ke pipi. Tubuh Dr. Salsabila menggigil. Akhirnya dia menggenggam jemari Haris dengan erat. Genggaman yang mengirimkan rasa yang lebih dalam dari sekadar kata-kata.

“Kanser…” suara Dr. Salsabila pecah, hampir tidak kedengaran. “Kanser paru-paru, tahap empat.”

Haris membeku.

Nafasnya tiba-tiba seperti diragut. Wajahnya serta-merta pucat, matanya terbeliak menatap Dr. Salsabila yang kini tidak lagi mampu menahan air mata. Dia cuba bersuara, namun lidahnya kelu. Dunia terasa berhenti berputar.

“Maafkan Sal, abang…” Salsabila mengungkap lemah sebelum tubuhnya terhenyak ke dada Haris, memeluk lelaki itu erat.

Haris tidak mampu berkata apa-apa. Tangannya terangkat perlahan, membalas pelukan itu. Tapi tubuhnya menggigil. Terlalu menggigil. Sebak dan kejutan menyatu dalam dirinya, membuatkan jiwanya terasa tenggelam dalam gelombang yang sukar diredah.

“Abang… ada isteri… anak-anak kecil…” bisik Haris, dan suaranya hampir hilang ditelan tangisnya sendiri. “Macam mana nak bagitahu Balqis… macam mana abang nak bagitahu mereka…”

Dr. Salsabila hanya menggeleng, air matanya tidak berhenti mengalir.

“Sal tahu ini bukan yang abang mahu dengar, tapi abang kena kuat. Demi mereka.”

Perlahan-lahan Haris merenggangkan pelukan itu, memandang wajah Salsabila yang begitu dekat di hadapannya.

“Kenapa… kenapa abang?” soal Haris, bukan kerana menolak takdir, tapi kerana terlalu berat untuk ditelan. Air matanya menitis tanpa dipinta.

Salsabila memegang wajah Haris dengan kedua tangannya, ibu jarinya menyapu air mata lelaki itu.

“Kerana Allah tahu abang cukup kuat untuk hadap semua ini. Dan Sal tahu… abang yang Sal kenal takkan pernah mengalah.”

Namun jawapan itu tidak cukup untuk meredakan badai dalam jiwa Haris. Dalam diam, dia menoleh ke luar tingkap, memandang langit yang kian kelabu. Dalam benaknya hanya satu nama berulang-ulang bermain, 'Balqis'. Dan wajah anak-anak kecilnya. Mampukah dia... masih di sisi mereka apabila Aidilfitri menjelma nanti?

Sedetik itu, hati Haris runtuh. Tapi dalam keruntuhan itu, bibit keteguhan mula bercambah perlahan, tapi pasti!

Aduhai banyaknya dugaan, dtg serentak pula tu...happy reading gaiss..jemput follow and komen..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience