MALAM itu, langit gelap tanpa bintang. Hanya sinar bulan yang sesekali muncul malu-malu di celah awan, seolah memahami gelodak hati seorang wanita bernama Balqis. Dia melipat telekungnya perlahan setelah usai solat fardhu Isyak dan baru sahaja selesai menunaikan solat sunat istikharah. Sebentar tadi dia menadah tangan, bersungguh-sungguh berdoa kepada Yang Maha Esa. Kali ini untuk sesuatu yang lebih dalam... lebih istimewa.
“Ya Allah... jika Haraz Izzaddin adalah takdirku, maka tenangkanlah hatiku. Jika dia adalah pilihan terbaik untuk diriku dan anak-anakku, maka bukalah jalan untuk kami. Dan jika bukan, maka jauhkanlah dia tanpa menyakitkan sesiapa...”
Balqis menekur wajah ke bumi. Hatinya terasa sesak. Sejak kehadiran Haraz, hidupnya yang kusam mula berwarna semula. Sikap lembut Haraz, cara dia menyapa anak-anaknya, malah gurau sendanya yang hampir menyamai arwah Haris, benar-benar mengocak ketenangan hatinya. Namun Balqis tahu, Haraz bukan Haris. Dan itu yang membuatkan dia gelisah, keliru dan takut melangkah.
Pernah suatu pagi, Haraz menyiapkan sarapan untuk mereka, dan tanpa sedar Balqis terlontar, "Abang, jem tu sapu nipis sikit ya, Faiqa dengan sayang tak suka manis..." — lalu dia terdiam, jantungnya bagai berhenti. Haraz tersenyum kecil ketika itu, tidak membalas, cuma mengangguk. Namun sejak kejadian itu, Balqis mengelak. Dia takut dirinya masih hidup dalam bayang-bayang lelaki yang telah pergi.
***
“Balqis... lepaskanlah,” ujar abah suatu petang, ketika mereka duduk di halaman rumah menikmati teh panas.
Balqis mengangkat muka, pandangan mata abah yang redup menenangkannya.
“Arwah Haris sayangkan kamu. Tapi kamu masih hidup, Qis. Dan Allah tak akan hadirkan seseorang dalam hidup kita tanpa sebab. Kalau kamu rasa keliru, solatlah. Mengadulah pada Dia. Pasti ada jawapan yang menanti...”
Dan malam itu, Balqis lakukan seperti yang disarankan abah. Dia bermunajat, bermohon sungguh-sungguh dalam sujud panjang. Dan tanpa sedar, selepas berdoa... dia tertidur atas sejadah dalam keadaan hati yang lebih ringan.
Pagi yang bening. Harum bau roti bakar memenuhi ruang dapur. Anak-anak berkejaran kecil di ruang tamu sambil ketawa riang. Nur Faiqa berada dalam dukungan Haraz, manja dan tidak mahu dilepaskan. Balqis hanya memerhati dari dapur, senyum kecil menghiasi bibirnya.
Ketukan di pintu dapur mematikan lamunannya. Haraz muncul, senyuman manis terukir di bibirnya.
“Balqis, boleh kita bercakap sekejap?” suaranya tenang, namun jelas ada debar yang disembunyikan.
Balqis mengangguk dan mengikuti Haraz ke anjung.
“Saya tak pandai berkias. Saya suka awak, Balqis. Bukan kerana wajah awak yang seiras kenangan, tapi kerana hati awak yang kuat, yang penuh kasih sayang. Saya tahu saya bukan Haris, dan saya takkan pernah cuba jadi dia... tapi saya nak jadi Haraz, yang mampu bahagiakan awak dan anak-anak. Jika awak izinkan, saya ingin menjadikan awak suri hidup saya.”
Balqis terdiam. Pandangannya jatuh ke tangan Haraz yang sedang mendukung Nur Faiqa. Si kecil itu memandang Haraz seolah-olah sudah lama mengenalinya. Dia teringat mimpi malam tadi. Dia berdiri dalam taman bunga yang penuh cahaya, dan arwah Haris tersenyum dari jauh sambil mengangguk perlahan.
Jawapan itu sudah jelas.
“Saya setuju, Haraz,” tutur Balqis perlahan, namun cukup jelas. “Mungkin ini peluang kedua yang Allah kirimkan. Dan... saya tak mahu sia-siakan lagi.”
Haraz menunduk, menahan sebak. Doanya juga telah dimakbulkan. Dan dia berjanji, cinta yang bakal tumbuh ini, akan dipelihara hingga ke syurga.
***
Enam bulan pertama perkahwinan Balqis dan Haraz bagaikan mimpi indah yang tak mahu dikejutkan. Setiap senyuman Haraz, setiap pelukannya pada anak-anak, setiap bisikan cintanya kepada Balqis bagaikan penawar kepada luka lama yang pernah berdarah. Balqis bersyukur, benar-benar bersyukur kerana sangkaannya bahawa Haraz adalah pengganti yang tepat, akhirnya terbukti… namun hanya untuk seketika.
Masuk bulan ketujuh, bayang-bayang yang selama ini terselindung mulai muncul satu persatu. Haraz mula menjauh. Wajahnya jarang dihiasi senyuman. Suaranya sering meninggi, matanya kerap menyorot tajam. Anak-anak yang dahulunya berlari menyambut Haraz setiap kali pulang kerja, kini mula menyorok di balik langsir atau lari ke bilik masing-masing.
Dan Balqis… wanita itu semakin lemah, tidak lagi bermaya seperti dulu. Kandungan yang baru berusia tiga bulan gugur kerana tekanan emosi yang bertimpa-timpa. Tangisnya hanya kedengaran dalam senyap, dan wajahnya yang pucat tidak pernah lagi berseri.
“Faiqa! Faiha! Dah berapa kali daddy suruh diam! Bising macam orang tak ada adab!” tengking Haraz suatu petang.
Faiqa yang sedang bermain dengan anak patungnya tersentak lalu terlepas mainannya ke lantai. Faiha pula memeluk adiknya ketakutan. Mata mereka berkaca, namun tidak berani menangis kuat. Takut dimarahi lebih lagi.
Di sebalik pintu bilik, Faris hanya menggenggam erat penumbuknya. Dia yang sudah mencecah usia dua belas tahun semakin memahami setiap emosi di sekelilingnya. Dia tahu, daddy yang ini bukan daddynya yang dulu. Dia bukan daddy Haris yang suka menyanyi kecil sambil tolong lipat baju, bukan daddy yang selalu bacakan buku cerita sebelum tidur. Dia adalah lelaki lain… lelaki yang menyakitkan mommynya, menakutkan adik-adiknya, dan memusnahkan rumah yang dulu bahagia.
Faris melangkah perlahan-lahan masuk ke bilik tidur mommynya. Balqis terbaring dengan mata yang kuyu, wajahnya pucat tanpa warna.
“Mommy...” panggil Faris perlahan, dan duduk di sisi katil.
“Ya sayang... kenapa?”
Faris menunduk. Hatinya sarat dengan perasaan benci yang semakin bercambah di dalam hatinya. Matanya mula berkaca.
“Kenapa mommy kahwin dengan dia? Kenapa mommy pilih dia ganti daddy Haris? Dia bukan daddy... dia bukan!” suaranya pecah. Tangisnya akhirnya tumpah.
Balqis menggagahkan diri untuk memeluk anak sulungnya itu, namun tubuhnya terlalu lemah. Cuma tangan kirinya mengusap rambut Faris perlahan.
“Mommy minta maaf, Faris... mommy ingat dia boleh jaga kita...”
“Dia tak jaga kita mommy... dia buat mommy sakit. Dia buat adik-adik takut. Dia buat Faris benci dia! Faris benci dia mommy!” jeritnya, sebelum terus memeluk pinggang Balqis dan menangis sekuat hati.
Di luar bilik, Haraz yang kebetulan lalu dan terdengar jeritan itu, terpaku. Tangisan Faris bagaikan dentuman yang menggoncang kesedarannya, namun egonya lebih keras. Dia tidak melangkah masuk. Sebaliknya, dia mengeluh kasar dan terus berlalu, membiarkan retakan dalam rumah tangga mereka semakin melebar.
Faiha dan Faiqa pula hanya duduk diam di sudut ruang tamu, memeluk satu sama lain. Mereka tak faham sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Tapi mereka tahu, rumah ini tak lagi selamat seperti dulu.
Dan Balqis... di atas katil itu, berdoa dalam hati. Agar kekuatan datang semula, bukan untuk mencintai lelaki itu lagi… tetapi untuk menyelamatkan anak-anaknya dari lelaki yang mula menjadi raksasa dalam rumah yang pernah dipenuhi cinta.
***
Petang itu, langit mendung seolah mengerti kekusutan yang bergelora di hati Haraz. Haraz duduk termenung di bangku belakang hospital tempat dia bertugas, lelaki itu tidak sedar masa berlalu. Jemarinya menggenggam kemas sekeping gambar yang entah sudah berapa kali dikoyak dan dicantum semula. Gambar arwah Haris bersama Balqis dan anak-anak yang masih tersimpan dalam album usang di rumah mereka—itulah punca cemburunya yang tak berkesudahan.
“Doktor Haraz?”
Suara lembut itu membuatkan Haraz tersentak kecil. Dia menoleh. Seorang wanita berjubah putih sedang berdiri dengan senyum menguntum. Dr. Salsabila, pakar bius yang juga adik sepupunya, memandang penuh tanda tanya.
“Kenapa termenung jauh sangat ni abang Haraz, macam dunia nak runtuh je lagaknya?” usik Salsabila sambil menarik bangku bersebelahan.
Haraz hanya tersenyum hambar.
“Kadang-kadang... abang rasa macam abang ni terlalu bodoh, Sal.”
“Hah! Dah mengaku pun diri tu bodoh, bagus sangatlah tu, abang Haraz. Lagi cepat sedar, lagi baik,” jawab Salsabila bersahaja sebelum ketawa kecil, namun tetap penuh prihatin.
Haraz menghela nafas. Lama.
“Abang... abang berubah, Sal. Abang tak kenal diri abang sendiri. Abang marah tanpa sebab, abang tengking anak-anak, abang sakitkan Balqis...”
Salsabila terdiam seketika, matanya tajam memerhati wajah Haraz yang seperti kehilangan arah.
“Abang cemburu,” sambung Haraz lagi, suara perlahan tapi jelas.
“Cemburu pada abang kembar sendiri. Arwah Haris... Dia dah tak ada, tapi bayang dia tetap ada dalam rumah tu, dalam hati Balqis, dalam mata anak-anak...”
Dr. Salsabila tersandar sambil menggeleng perlahan.
“Ya Allah, abang Haraz... sebab gambar dan kenangan tu abang sanggup hilangkan diri sendiri? Mana Haraz yang Sal kenal dulu? Haraz yang romantik bukan main, sampai nurse pun ada yang kena heart attack pandang abang senyum.”
Haraz ketawa kecil, namun hanya seketika. Wajahnya kembali muram.
“Kau tahu, Sal... setiap kali abang nampak Balqis pandang gambar tu, abang rasa... macam abang tak pernah cukup. Abang rasa abang ni cuma pengganti murahan. Dan bila anak-anak masih sebut nama arwah Haris, abang... abang rasa macam tak wujud dalam hidup mereka.”
“Dan sebab tu abang hukum mereka? Hukum Balqis? Hukum anak-anak yang tak bersalah tu?”
Nada suara Salsabila naik sedikit, namun masih terkawal. Tegas tapi masih ada kasih.
Haraz menunduk.
“Abang tak sengaja... Tapi abang sedar semuanya dah makin jauh dari abang. Balqis... semakin sakit. Anak-anak takut dengan abang. Faris benci abang.”
Salsabila meletakkan tangan di bahu Haraz.
“Abang masih ada masa, abang. Allah masih bagi abang peluang ni. Jangan tunggu sampai satu hari nanti abang cuma mampu tengok mereka dari jauh… menangis tanpa dapat peluk atau cium mereka. Abang tu doktor, abang tahu kan... penyesalan paling sakit tu bila peluang dah tertutup rapat.”
Haraz menggenggam semula gambar di tangannya. Kali ini bukan dengan marah, tapi dengan rasa sesal yang menekan kuat di dada.
“Abang akan ubah semuanya, Sal... Sebelum semuanya terlambat.”
Dr. Salsabila mengangguk perlahan.
“Balqis tak perlukan Haris. Dia perlukan Haraz. Tapi Haraz yang dulu… yang penuh kasih sayang. Bukan bayang-bayang dendam yang abang cipta sendiri.”
Dan buat pertama kalinya dalam beberapa minggu, Haraz bangkit dari duduknya—dengan hati yang nekad untuk kembali menjadi lelaki yang dicintai. Bukan kerana dia mahu menggantikan Haris, tetapi kerana dia mahu menjadi Haraz yang sebenar.
***
Malam itu, Haraz pulang dengan semangat baru. Tangan kirinya menggenggam erat bungkusan kecil berisi hadiah-hadiah yang dibelinya khusus untuk Balqis dan anak-anak. Dia mahu menebus segalanya. Dia mahu memperbaiki setiap luka yang pernah dia ukir tanpa sedar. Haraz tidak sabar melihat senyuman Faiqa dan Faiha. Paling penting, dia mahu melihat sinar bahagia di wajah Balqis, isteri yang pernah menjadi dunianya.
Dia masuk ke rumah dengan harapan penuh di dada. Namun, langkahnya terhenti. Rumah itu sepi. Sunyi. Tiada tawa kanak-kanak, tiada kelibat Balqis di ruang tamu seperti biasa. Malah, tiada kasut kecil tersusun di tepi pintu. Haraz melangkah laju ke ruang makan, kemudian ke bilik anak-anak. Kosong. Hatinya mula berdebar.
Dia berlari ke bilik utama, bilik mereka. Pintu sedikit terbuka. Haraz menolak perlahan dan... di situlah dia melihatnya.
Balqis berdiri teguh, lengkap bertudung. Di belakangnya berdiri Faiqa dan Faiha yang memegang beg kecil masing-masing. Faris duduk di sisi katil dengan wajah keras dan mata berkaca. Ada dua buah beg besar di sisi pintu. Segalanya sudah dikemaskan.
Haraz terpaku.
"Aqis..." suaranya bergetar, hampir tidak percaya.
Balqis hanya memandangnya sepi. Tanpa emosi.
“Kami dah bersedia, Haraz. Malam ni, kami tinggalkan semua ni. Tinggalkan awak.”
Haraz melangkah laju ke arah isterinya.
"Tunggu, Aqis... Abang, abang dah sedar. Abang nak berubah. Abang dah—"
“Berubah?” potong Balqis, nadanya sinis. “Waktu awak jerit pada anak-anak, waktu tangan awak naik ke badan Faiha, Faiqa, waktu saya jatuh terlentang dan kehilangan anak dalam rahim saya—awak di mana waktu tu, Haraz?!”
Haraz terdiam, wajahnya pucat.
Balqis menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan air mata yang hampir luruh.
“Awak tahu tak, tiga bulan saya simpan benih cinta kita dalam rahim saya. Tiga bulan saya lalui sorang-sorang. Tapi awak... awak bunuh semuanya, Haraz!”
“Ampunkan abang... abang—” Haraz melutut, suara tersekat. Matanya merayu. “Abang tak tahu... abang keliru. Tapi abang janji, abang takkan ulang lagi. Abang sayang awak, abang sayang anak-anak…”
Balqis menggeleng, kali ini tangisannya luruh.
“Sayang? Kalau ini sayang, saya tak sanggup bayangkan apa makna benci pada awak. Nak saya maafkan? Mudah saja, Haraz. Hidupkan semula anak kita. Kalau awak boleh buat, saya akan maafkan segalanya.”
Haraz terduduk, tubuhnya melorot di depan pintu. Tangannya terkulai di sisi. Matanya menatap kosong ke arah beg-beg yang bakal meninggalkan dia sendiri dalam rumah itu.
“Selamat tinggal, Haraz,” bisik Balqis sambil menunduk dan menggenggam erat tangan anak-anaknya.
Faiha dan Faiqa menunduk, melangkah perlahan keluar. Faris menoleh sekilas, dan buat pertama kali dia berkata tanpa takut.
“Faris doakan mommy jumpa orang yang lebih baik, bukan pengganti daddy. Tapi lelaki yang betul-betul layak.”
Pintu ditutup perlahan.
Dan malam itu, Haraz duduk di ambang pintu—sendiri. Bersama sekeping hati yang hancur berkecai, bersama dosa-dosa yang kini menjelma sebagai kehilangan paling menyakitkan dalam hidupnya!
Hai...ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari..bertabahlah Balqis...jom kita kutuk Haraz secara berjemaah...
Share this novel