SUASANA di kediaman keluarga Haraz malam itu menjadi huru-hara sebaik sahaja pintu utama terbuka dan tubuh Haraz muncul dalam keadaan kuyup dek hujan lebat yang masih mencurah di luar sana. Di dalam pelukannya, terbaring seorang wanita yang kelihatan tidak sedarkan diri.
"Ya Allah, Haraz!" jerit Mama Haraz sebaik sahaja melihat anak bujangnya mendukung seorang perempuan misteri.
"Siapa tu? Apa yang terjadi?!"
Haraz tidak menjawab. Langkahnya laju dan terus membawa Balqis ke biliknya di tingkat atas. Nafasnya masih tercungap. Wajahnya jelas cemas.
“Raz jumpa dia di tanah perkuburan. Tengah hujan lebat, Ma… dia terjatuh depan Raz lepas sebut nama ‘Haris’. Raz tak sempat tanya apa-apa. Terus pengsan.”
Mama Haraz, puan Maria mengekori dengan langkah terkejut, matanya terus melekat pada wajah pucat wanita yang sedang dibaringkan Haraz. Saat pandangannya jelas, tubuhnya sedikit menggigil.
“Haraz…” suaranya bergetar. “Ini… ini isteri arwah abang kamu… isteri Haris.”
Haraz menoleh perlahan.
“Mama kenal dia?”
“Ya Allah… ini Balqis… menantu mama. Isteri kepada arwah Haris Izzuddin. Kami… kami baru bersua muka beberapa minggu lepas. Tu pun secara kebetulan sangat”
Dada Haraz berdentum. Nafasnya tertahan seketika. Dia merenung wajah wanita yang tenang itu. Pucat. Sayu. Tapi dalam diam, ada satu getar aneh di dadanya.
“Dia… dia peluk Raz tadi, ma. Dia sangka Raz ni Haris…”
Mama Haraz duduk di birai katil, mengusap kepala Balqis perlahan.
“Mungkin dia masih terkejut… mungkin juga dia rindukan Haris.”
Haraz hanya mengangguk perlahan. Hatinya masih bercelaru.
Beberapa minit kemudian, Balqis mula tersedar. Dia mengerang perlahan sambil mengerutkan dahi. Matanya yang kabur mula terbuka.
“Faiqa…? Mana Faiqa…?” soalnya panik, matanya melilau mencari anak kecilnya.
Haraz terus duduk di sisi.
“Faiqa? Siapa.. Faiqa…?" soal Haraz yang masih keliru dengan keadaan.
"Abang! Takkan anak sendiri pun dah tak ingat?!" tempelak Balqis agak kasar.
Namun belum sempat Haraz menenangkan sepenuhnya, Balqis tiba-tiba menampar muka Haraz agak kuat. Sepasang matanya menikam tajam wajah Haraz yang merah berbekas hasil tamparannya sebentar tadi. Terus air matanya lebat mengalir sambil memandang telapak tangan sendiri.
“Abang… maafkan sayang, sayang tak sengaja. Jangan tinggalkan sayang lagi… Sayang takut… Sayang rindukan abang…”
Haraz kaku. Mama Haraz yang menyaksikan hanya mampu menekup mulut, menahan sebak. Haraz pula, menggenggam jari-jemari wanita itu perlahan.
“Awak… saya bukan Haris…” Haraz lembut membisikan kebenaran itu di cuping telinga Balqis yang erat memeluk tubuhnya.
Pelukan itu perlahan-lahan terlerai. Balqis membuka matanya semula, menatap wajah lelaki itu dalam kekeliruan.
“Maaf… saya… saya sangka…”
“Saya Haraz. Haraz Izzaddin.”
Balqis terpempan. Nafasnya sesak. Pandangannya kembali kabur. Dia menekup mulut, menahan tangis. Terlalu mirip… terlalu dalam rindu yang terbuku.
Mama Haraz menarik nafas dalam-dalam, kemudian menyentuh bahu Balqis lembut.
“Rehat dulu, sayang… kamu dalam keadaan lemah. Banyak yang perlu kita bicara nanti… bila kamu bersedia.”
Balqis mengangguk perlahan, masih tergamam. Tapi jauh di sudut hatinya, dia tahu... kejutan manis malam ini mungkin bukan satu kebetulan. Mungkin… ini cara Tuhan mengubat lara hatinya.
***
Hujan yang turun semalaman seperti membawa bersama pelbagai rasa yang bercampur-baur. Pagi itu, rumah keluarga mentua Balqis kembali dipenuhi dengan aroma kegelisahan dan tanda tanya. Balqis masih belum kembali, dan umi serta abah menanti dengan sabar setelah mendapat panggilan daripada seorang wanita bernama Puan Maria yang memaklumkan bahawa Balqis kini berada dalam keadaan selamat di rumah anaknya, Haraz.
Tidak lama kemudian, puan Maria, Haraz dan Balqis tiba di perkarangan rumah umi dengan tenang melangkah masuk setelah dipelawa dan disambut oleh umi dan abah yang penuh persoalan.
“Maafkan kami kerana membawa Balqis tanpa memberitahu lebih awal,” ujar puan Maria sambil memegang tangan umi erat.
Umi tersenyum mesra walaupun jelas wajahnya menyimpan kerisauan.
“Balqis tidak apa-apa, kan?” Mujur kau yang jumpa menantu aku ni, Maria. Kalau orang lain, tak tahulah apa yang jadi."
“Alhamdulillah. Dia hanya terlalu letih dan mungkin sedikit terkejut, mungkin Allah nak pertemukan kita,” jawab puan Maria sambil memeluk erat tubuh umi lalu matanya bertaut pada wajah umi seakan-akan mahu menyatakan sesuatu yang lebih berat dari sekadar memaklumkan khabar Balqis.
Setelah duduk dan menenangkan keadaan, Puan Suraya mula membuka kisah lama yang selama ini tersimpan rapi di dalam hatinya. Sudah terlalu lama dia menyimpan rahsia ini. Hampir tiga puluh dua tahun, seumur dengan umur arwah Haris, Haraz dan Haiqal.
“Ada sesuatu yang umi ingin kongsikan. Sesuatu yang umi fikir tidak lagi boleh umi simpan setelah semua ini berlaku,” Puan Suraya memulakan bicara dengan nada perlahan namun tegas.
Umi dan abah saling berpandangan.
“Sebenarnya… Haris, Haraz dan Haiqal… mereka bertiga adalah anak kandung saya.”
Jantung umi berdetak kencang. Jejemari yang menggeletar diramas di antara satu sama lain bagi menghilangkan kegugupannya.
“Umi melahirkan mereka bertiga serentak. Triplet. Namun, waktu itu umi mengalami komplikasi yang sangat teruk… dan umi hampir kehilangan nyawa. Pada masa yang sama, sahabat baik umi, puan Maria ni, yang juga rakan sejawatan umi, sedang dalam proses melahirkan anak sulungnya. Malangnya… anak yang dikandungnya meninggal dunia sejurus dilahirkan kerana kekurangan oksigen. Puan Maria sangat terkesan…”
Puan Suraya menahan sebak. Air matanya mula menitis, dan puan Maria memegang bahunya, memberi semangat untuk meneruskan.
“Dia hampir kemurungan… umi… umi tak sanggup melihatnya begitu. Dengan berat hati… umi serahkan Haraz kepadanya. Umi tak tahu itu keputusan yang betul atau tidak, tapi umi ikhlas. Umi hanya mahu sahabat baik umi ni gembira kembali.”
Umi menutup mulutnya dengan tapak tangan. Air mata mula mengalir tanpa sedar. Abah pula tergamam, memandang wajah wanita di hadapannya dengan rasa tidak percaya.
“Dan Su tidak pernah memberitahu perkara ini kepada sesiapa?” soal abah dalam nada perlahan.
Puan Suraya menggeleng.
“Kami berpakat untuk merahsiakannya. Cuma arwah Haris dan arwah abinya yang tahu kebenaran ini, arwah Haris pun dapat tahu beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia. Dia pernah datang mencari saya… untuk bertanya tentang Haraz.” sambung puan Maria dengan linangan air mata.
Suasana menjadi sayu.
“Arwah Haris… dia tak pernah benci pada saya. Malah, dia terima semuanya dengan tenang. Dia hanya pesan satu perkara…”
“Apa pesannya, Maria?” tanya umi dengan suara serak.
“Dia mahu saya terus jaga Haraz seperti anak sendiri. Dan jika satu hari nanti takdir menemukan mereka semula… dia harap hubungan itu akan jadi pengikat kasih, bukan luka.”
Puan Maria menambah lagi dengan suara perlahan, “Saya tahu perkara ini tidak mudah… tapi selepas melihat cara Haraz menjaga Balqis malam tadi… saya percaya, mungkin inilah jalan yang Allah bentangkan untuk merawat hati kita semua.”
Umi menangis dalam pelukan abah. Satu rahsia besar telah terbongkar, dan entah bagaimana harus mereka tangani semuanya.
Namun, jauh di lubuk hati mereka tahu—mungkin, inilah masanya untuk menerima takdir dengan hati yang lapang. Mungkin, ini bukan sekadar 'kejutan manis'… tetapi juga satu takdir penyembuh luka.
Dan di satu penjuru rumah, Balqis mendengar segalanya dari belakang pintu yang terkuak sedikit, dengan hati yang bergetar hebat. Matanya bergenang air mata.
“Abang… ini hadiahmu buatku, kan?” bisiknya perlahan, sambil menekap tangan ke dada yang berombak kencang.
***
Petang itu redup, bayu lembut menyapa dedaun jambu air yang berguguran di halaman rumah. Balqis yang duduk di anjung rumah Puan Suraya masih terasa degup jantungnya belum kembali stabil. Perbualan panjang antara keluarga Haraz dan keluarga mentuanya tadi benar-benar menyentuh hati. Masih sukar untuk dia percaya bahawa wajah yang seiras Haris itu bukanlah satu bayangan atau permainan ilusi, tetapi benar-benar seorang manusia bernama, Haraz Izzaddin. Adik kembar suaminya yang telah pergi.
Sedang Balqis melayan benak yang masih bergelora, terdengar bunyi langkah perlahan menghampirinya. Haraz muncul dengan senyuman tenang, berdiri di hadapan Balqis yang sedang memangku anak kecilnya, Nur Faiqa.
"Dia anak awak dan arwah Haris?" tanya Haraz lembut, memandang bayi kecil itu yang lena dalam gendongan.
Balqis mengangguk, sambil membetulkan kedudukan Nur Faiqa yang sudah mula bergerak kecil.
"Nur Faiqa Harisa. Nama dia," ujar Balqis sambil mengelus lembut rambut halus bayi itu.
Haraz melabuhkan punggungnya perlahan dengan beberapa inci jaraknya di sebelah Balqis, matanya terpaku pada wajah suci yang sedang tidur nyenyak itu.
“Boleh… saya pegang dia?”
Balqis teragak-agak seketika, namun kemudian mengangguk perlahan. Dengan berhati-hati, Haraz menghulurkan tangan, dan Balqis menyerahkan Nur Faiqa ke dalam dukungan lelaki itu. Haraz menyambut tubuh kecil itu seakan sedang memegang harta paling berharga di dunia.
“Masya-Allah… dia ni comel sangat lah. Seiras arwah Haris… tapi ada iras awak juga,” kata Haraz, matanya tak lepas dari wajah Faiqa.
Tiba-tiba, wajah Haraz berubah panik.
“Eh, apa ni—”
Sppprrrtttt...
Haraz menjerit kecil sambil bangun terkejut dari duduknya. Baju kemeja putih bersih yang baru dipakai kini basah terkena air kencing Nur Faiqa yang entah bagaimana terlepas dari lampin pakainya.
Balqis terkebil-kebil sebelum akhirnya meletus ketawa besar. Ketawa yang pertama kali keluar selepas sekian lama. Terlalu lama.
“Maaf! Maaf sangat… Faiqa memang suka buat kejutan kalau orang baru dukung dia,” Balqis masih ketawa sambil cepat-cepat menghulurkan tuala kecil yang dibawanya dalam beg lampin Faiqa.
Haraz tergelak sambil mengelap bajunya.
“Tak mengapa. Saya anggap ini salam perkenalan daripada Nur Faiqa Harisa untuk uncle Haraz.”
“Tapi nampaknya salam perkenalan dia betul-betul meresap sampai ke hati,” tambah Haraz, tersenyum sambil kembali mendukung Faiqa yang langsung tidak bersalah, masih lena seperti tiada apa berlaku.
Melihat interaksi itu, hati Balqis dipagut satu rasa yang sukar digambarkan. Rasa yang membingungkan antara kehilangan dan harapan. Antara perpisahan dan permulaan baru.
Dan saat Haraz menoleh ke arahnya sambil mendukung Faiqa dengan penuh hati-hati, Balqis tahu, kehidupannya mungkin sedang menulis satu bab baru—dengan lelaki yang menyimpan serpihan jiwa suaminya yang telah pergi.
Dalam senyuman itu, ada getar di hati.
Dalam tangisan, ketawa tadi, ada permulaan cerita yang tidak dijangka.
***
Senja yang mendamaikan mula menjelma. Langit berwarna jingga kemerahan seolah-olah menyulam rasa tenang dalam jiwa yang masih berkecamuk. Balqis duduk di pangkin kayu di belakang rumah sambil mendukung Nur Faiqa yang lena. Matanya memerhati jauh ke perbukitan, tetapi hatinya terperangkap dalam resah yang mendalam.
Sejak pertemuan semalam, Haraz semakin kerap menghubunginya. Lelaki itu tidak pula mendesak, namun setiap tutur katanya penuh sopan dan perlahan-lahan membina ruang dalam hati Balqis yang masih dingin dengan kehilangan.
“Kak Qis,” tegur satu suara lembut di sisi.
Sofea muncul dengan sepinggan kuih sagu dan dua cawan teh panas. Dia duduk bersila di sebelah Balqis, memandang wajah iparnya yang kelihatan resah sejak semalam.
“Dia seiras arwah, kan? Tapi dia bukan.”
Balqis mengangguk perlahan.
“Sebab tu akak keliru. Hati akak… mula rasa sesuatu. Tapi rasa bersalah tu masih membalut. Macam… akak khianati cinta Adan.”
Sofea tersenyum kecil, mengelus belakang Balqis.
“Akak bukan khianat. Tapi mungkin, cinta arwah masih ada… dalam abang Haraz.”
Belum sempat Balqis menjawab, tiba-tiba terdengar suara garau mengusik dari belakang.
“Hai, perempuan-perempuan cantik menantu umi. Tak ajak abang kacak duduk sekali?”
Balqis menoleh pantas dan wajahnya merona merah serta-merta. Haiqal yang berpakaian santai dengan tuala kecil di bahunya menghampiri sambil meletakkan botol air mineralnya di atas meja.
Sofea, seperti biasa, tidak lepaskan peluang.
“Eh, kak… rasanya kita tak payah malu-malu sangat. Bukankah sebenarnya Haiqal ni anak angkat umi je? Tak ada rupa Haris dan Haraz langsung. Cuma muka tahan panas je yang sama.”
Balqis hampir tersembur teh dari mulutnya. Dia menahan tawa sambil menutup mulutnya.
“Betul tu! Bila difikirkan… macam tak logik juga. Haris dan Haraz tu muka macam hero filem Hollywood, tapi Haiqal ni… macam Melayu Jawa je!”
“Hoi! Kurang ajar!” jerit Haiqal sambil tergelak, cuba menampar lutut Sofea yang pantas mengelak.
“Kalau Qal ni anak angkat, korang berdua tu anak tiri,” balasnya sambil menyambung tawa.
Namun selepas tawa reda, Haiqal bersuara serius, memandang Balqis dengan lembut.
“Kak Qis… Qal tahu arwah sayangkan akak sangat. Dan aku tahu dia tinggalkan akak dengan amanah besar. Tapi sebenarnya… aku pun manusia biasa. Aku tak mampu jadi pengganti arwah. Sebab dalam hati aku, akak dah macam kakak aku sendiri. Mustahil aku nak kahwini akak walaupun aku terhutang nyawa pada arwah.”
Balqis terdiam. Hatinya tercuit dengan kejujuran Haiqal.
“Tapi aku tahu, ada seseorang yang mampu laksanakan amanah tu. Yang tak akan buat akak rasa sunyi. Dan yang paling penting, dia ada sebahagian jiwa Adan,” sambung Haiqal, memandang Balqis penuh makna.
Balqis tahu siapa yang dimaksudkan. Haraz.
Dan hatinya yang masih sarat dengan duka, terasa seperti mula dicuit sedikit demi sedikit dengan harapan baharu. Haraz mungkin bukan Haris… tapi mungkin Haraz adalah peluang kedua yang dikirim oleh Tuhan, untuk cinta yang belum selesai!
Adan dh pergi, Haraz sebagai ganti...terkejut bila dpt thu Haraz tu siapa kan??? Happy reading gaiss..jemput follow and comment.
Share this novel