BALQIS NADIRA masih memerhati dari jauh. Di sudut gerai Haris, Natasya tersenyum manis sambil berbual mesra dengan lelaki itu. Haris pula sesekali tergelak, jelas kelihatan selesa dengan kehadiran sepupunya yang seorang itu.
Balqis mengetap bibir. Hatinya meruap-ruap dengan rasa tidak puas hati. Dia tidak tahu sejak bila cemburu ini mula bercambah, tetapi melihat Haris begitu mesra dengan gadis lain benar-benar menyesakkan dadanya.
"Kak Qis ni kenapa? Suka ke dengan abang Haris?"
Kata-kata Natasya malam tadi masih bergema di benaknya. Dia sendiri tidak pasti apakah perasaannya terhadap Haris. Tetapi satu hal yang dia tahu, dia tidak suka melihat Natasya begitu rapat dengan lelaki itu.
Tanpa berfikir panjang, Balqis mengatur sesuatu yang di luar jangkaan. Malam itu, selepas selesai di bazar Ramadan, dia bertindak nekad.
Dia menghantar mesej kepada seorang pelanggan lelaki yang sering datang membeli roti john daripadanya, Aiman. Lelaki itu tampan, bergaya, dan sering mengusiknya setiap kali berurusan di gerai.
"Nak keluar minum dengan saya malam ni? Saya belanja."
Aiman segera membalas, "Oh? Bertuahnya saya. Boleh, awak nak saya jemput?"
Balqis tersenyum sinis. Bagus, ini peluang aku buat Haris cemburu pula!
***
Di sebuah kafe kecil di pinggir pekan, Balqis duduk berhadapan dengan Aiman. Dia cuba ketawa, cuba nampak mesra, tetapi di dalam hati, dia tahu niatnya hanya satu, iaitu untuk menyakitkan hati Haris.
Namun, apa yang berlaku selepas itu benar-benar di luar jangkaannya. Aiman semakin berani. Dari sekadar berbual, tangannya cuba menyentuh tangan Balqis.
"Awak ni comel la. Betul ke tak ada boyfriend?" soalnya sambil tersenyum nakal.
Balqis menarik tangannya.
"Jangan nak lebih-lebih. Saya cuma ajak awak minum, bukan yang lain-lain."
Aiman ketawa kecil.
"Alah, rilekslah, sayang. Kita boleh pergi tempat yang lebih private."
Balqis mula tidak sedap hati. Salah langkah!
Dia bangkit ingin pergi, tetapi Aiman lebih pantas. Dia merentap lengan Balqis dan membawanya keluar dari kafe.
"Oi, lepaslah!" Balqis meronta.
"Jangan banyak bunyi, sayang. Awak dah ajak saya keluar, kan? Jadi, layanlah saya."
Balqis kaku. Kini dia benar-benar takut. Aiman semakin kasar, dan dia tahu dia telah tersalah percaturan. Balqis menyesal. Dia benar-benar menyesal!
Aiman semakin kasar. Dari sekadar menggenggam pergelangan tangannya, kini dia menolak Balqis ke dinding lorong kecil di tepi kafe.
"Kau ni jual mahal sangat kenapa, hah?"
Balqis menolak sekuat hati.
"Lepaskan aku, Aiman! Aku tak suka cara kau!"
Aiman ketawa sinis.
"Tadi berani sangat ajak aku keluar, sekarang tiba-tiba nak jadi suci?"
Dengan satu sentakan kasar, Aiman menarik lengan baju Balqis sehingga koyak di bahagian lengannya. Balqis terjerit kecil, tubuhnya menggigil ketakutan.
"Jangan buat gila, Aiman!"
"Aku tak buat gila, sayang. Aku cuma nak kau jadi lebih mesra dengan aku."
Namun sebelum Aiman sempat bertindak lebih jauh, satu tumbukan padu singgah tepat ke rahangnya.
Dush!
Aiman terdorong ke belakang dan terhuyung-hayang sebelum jatuh terduduk.
Haiqal berdiri tegak dengan nafas yang masih memburu. Matanya menyala garang.
"Kau sentuh lagi kak Balqis aku ni, aku patahkan tangan kau!"
Balqis terus berlari ke belakang Haiqal, tubuhnya masih menggigil.
Belum sempat Aiman membalas, satu lagi tumbukan hinggap di mukanya. Kali ini lebih kuat.
"Siapa sentuh perempuan aku, memang cari mati!"
Balqis terkedu. Itu suara—Haris!
Haris menolak tubuh Aiman ke tanah, mencengkam kolar bajunya dengan kuat. Matanya penuh bara kemarahan.
"Jantan macam kau tak layak hidup dalam kampung ni!"
Aiman cuba melawan, tetapi Haris menumbuknya lagi hingga lelaki itu tidak lagi mampu bangun.
Beberapa penduduk kampung yang baru pulang dari solat Tarawih mula berkumpul, melihat kejadian itu dengan wajah penuh tanda tanya.
"Apa yang jadi ni?"
"Astaghfirullah... Balqis?"
Salah seorang wanita menutup mulutnya terkejut melihat pakaian Balqis yang koyak di bahagian lengan, rambutnya yang sedikit kusut, dan wajahnya yang jelas ketakutan.
Bisikan dan fitnah mula berterbangan di udara.
"Ya Allah, Balqis buat benda tak senonoh ke?"
"Kesian Lebai Haji Bakhtiar... anak dara dia menconteng arang ke mukanya!"
Suasana semakin riuh.
Dan di saat itu, Lebai Haji Bakhtiar tiba di lokasi kejadian.
Melihat keadaan Balqis, wajahnya merah padma.
"Anak tak guna!"
Suara Lebai Haji Bakhtiar bergema. Dalam sekelip mata, lelaki itu meluru ke arah Balqis dan menampar pipi anak gadisnya itu.
Pangg!
Balqis terhuyung-hayang ke belakang.
"Apa yang kau dah buat, Balqis?! Kau tahu tak kau dah malukan aku?! Kau dah hancurkan maruah keluarga kita!"
Balqis menahan esak.
"Abah... bukan macam tu..."
"Kalau bukan macam tu, kenapa pakaian kau koyak?! Kenapa orang kampung bercakap yang bukan-bukan tentang kau?! Aku sanggup biarkan kau berniaga, aku sungguh berbangga dengan kau, tapi inikah yang kau balas pada aku?!"
Puan Suraya yang baru sampai terkejut melihat keadaan itu.
"Astaghfirullah, abang Bakhtiar, janganlah pukul Balqis lagi!"
Namun, Lebai Haji Bakhtiar sudah hilang kawalan. Dia mengangkat tangan sekali lagi, tetapi kali ini, satu tangan lain lebih pantas menghalang.
Haris.
"Jangan pukul Qis lagi, Pakcik Bakhtiar."
Suara Haris tenang, tetapi cukup tegas. Matanya bertemu dengan Lebai Haji Bakhtiar yang masih marah.
"Saya sanggup bertanggungjawab."
Semua terdiam.
Lebai Haji Bakhtiar mengetap rahang.
"Apa maksud kau, Haris Izzuddin?"
Haris menarik nafas panjang sebelum bersuara dengan tenang tetapi penuh ketegasan.
"Saya sanggup nikahi Balqis sekarang juga, kalau itu dapat menyelamatkan maruah dia."
Balqis tersentak.
"Adan...!"
Haris menoleh, memandang Balqis dengan mata yang penuh keyakinan.
"Adan takkan biarkan kau dihina, Qis."
Suasana menjadi semakin tegang. Semua mata kini tertumpu pada Lebai Haji Bakhtiar, menantikan keputusan lelaki itu.
Dan akhirnya, dengan nada berat, dia bersuara.
"Malam ni juga kau dan Balqis akan dinikahkan."
Majlis akad nikah berlangsung dalam keadaan serba sederhana. Haris duduk bersila di hadapan imam, dengan Balqis di belakang tabir bersama Puan Suraya yang masih tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Dengan satu lafaz yang lancar, Haris kini sah menjadi suami Balqis.
Usai majlis, Balqis termenung di dalam bilik yang kini menjadi kamar pengantinnya. Dia masih tidak percaya bahawa dia kini isteri kepada Haris Izzuddin, lelaki yang selama ini hanya dianggap teman seperniagaannya.
Pintu terbuka perlahan. Haris melangkah masuk dan duduk di birai katil.
"Adan..."
Haris tersenyum nipis.
"Kenapa, Qis? Masih terkejut?"
Balqis mengangguk perlahan.
"Qis tak sangka semua ni akan berlaku."
Haris menghela nafas.
"Adan pun tak rancang benda ni terjadi begini. Tapi, Adan takkan biarkan kau terhina, Qis."
Balqis menggigit bibir.
"Qis... Qis minta maaf, Adan. Semua ni salah Qis. Qis terlalu ikutkan perasaan cemburu sampai buat benda bodoh."
Haris tersenyum kecil dan mengusap kepala Balqis.
"Lain kali, kalau cemburu, cakap je dekat Adan. Tak payah nak upah lelaki lain."
Balqis tersentak. Matanya membulat.
"Adan tahu?"
Haris mengangkat kening, tersenyum penuh makna.
"Adan tahu semuanya, sayang."
Balqis menekup muka, malu tidak terkata.
Haris ketawa kecil.
"Jadi, sekarang Adan nak tanya... Qis nak terus cemburu, atau nak belajar mencintai suami sendiri?"
Balqis perlahan-lahan menurunkan tangannya. Jantungnya berdegup kencang. Haris kini miliknya... dan mungkin, dia tidak perlu cemburu lagi.
Malam itu, Balqis tahu satu perkara—Haris bukan hanya menyelamatkan maruahnya, tetapi juga hatinya.
***
Balqis berdiri tegak di hadapan pintu rumah bapanya, Lebai Haji Bakhtiar. Hatinya bergetar hebat, lebih hebat daripada waktu dia menerima keputusan SPM dahulu. Berulang kali dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengumpul sisa keberanian yang senipis kulit bawang itu. Haris di sisi hanya memerhatikan gelagat isterinya dengan penuh sabar.
"Qis boleh masuk sendiri," Balqis berbisik, walaupun hakikatnya dia lebih suka kalau Haris menemani.
"Adan tahu Qis boleh," Haris membalas, sekadar memberi sokongan moral.
Dengan lafaz Bismillah, Balqis akhirnya menolak daun pintu dan melangkah masuk. Matanya terus menangkap kelibat bapanya yang duduk di atas kerusi kayu di ruang tamu, termenung panjang. Sejak insiden perkahwinannya dengan Haris, bapanya tidak pernah lagi melihatnya dengan penuh kasih sayang seperti dahulu.
"Abah..." suara Balqis tersekat di kerongkong.
Lebai Haji Bakhtiar mengalihkan pandangannya kepada anak perempuan tunggalnya itu. Wajahnya tenang, tetapi tetap serius. Di sisinya, ada sebuah tasbih kayu yang sentiasa menjadi penemannya.
"Apa kau nak lagi?" suara bapanya dingin, tetapi masih berlapik.
Balqis menelan liur. Dia tahu ini bukan mudah, tetapi dia tidak boleh berundur lagi.
"Qis...datang untuk minta maaf, abah. Qis tak berniat nak derhaka. Qis tahu Qis anak yang banyak buat salah, tapi Qis tak boleh biarkan abah terus membenci Qis kerana perkara yang Qis sendiri tak buat."
Haris masih berdiri di belakang, tidak mahu mencelah. Dia lebih suka membiarkan Balqis menyelesaikan hal ini sendiri.
Lebai Haji Bakhtiar mendengus perlahan.
"Kau fikir senang? Kau tahu apa orang kampung kata pasal aku? Pasal kau?"
Balqis mengangguk perlahan.
"Qis tahu, abah. Tapi tolong dengar cerita sebenar..."
Dengan hati yang berat, Balqis mula menceritakan segala-galanya. Dia bercerita bagaimana segalanya bermula daripada salah faham, bagaimana keadaan mendesaknya untuk menerima Haris sebagai suami, dan bagaimana dia sendiri tersepit antara tanggungjawab dan maruah keluarga. Suaranya bergetar ketika bercerita, tetapi dia tetap teruskan.
Lebai Haji Bakhtiar mendengar dengan teliti. Riak wajahnya berubah-ubah daripada tegang, kepada terkejut, dan akhirnya... kesal. Dia menghela nafas panjang sebelum memandang Haris yang berdiri di tepi dinding.
"Haris..." suaranya kedengaran perlahan, hampir bergetar.
"Abah yang salah. Abah dah salah sangka pada kau. Abah ingat Haris yang berniat tak baik pada anak abah, tapi rupanya abah yang buta. Abah minta maaf, Haris."
Haris tersenyum nipis, menggeleng.
"Adan tak pernah ambil hati, abah. Adan cuma nak isteri Adan dapat restu daripada abah. Itu yang paling penting."
Suasana bertukar hiba. Balqis sudah mula mengesat air mata yang bergenang. Namun, keadaan tidak berlarutan lama apabila Haris tiba-tiba membuka mulut dengan wajah selamba.
"Jadi... bila nak sanding, abah?"
Balqis dan bapanya sama-sama mengerutkan dahi.
"Hah?"
Haris menyilangkan tangan di dada.
"Adan cadangkan abah nikah dengan umi Adan, Puan Suraya. Kalau dah jodoh, apa salahnya, kan? Nanti boleh sanding sekali!"
Balqis tersedak udara. Lebai Haji Bakhtiar terbatuk kecil, manakala suasana yang tadi penuh emosi bertukar menjadi serba canggung.
Haris tersengih nakal.
"Adan rasa seronok kalau abah jadi ayah mentua dan juga bapa tiri Adan dalam satu masa."
Balqis menepuk dahinya.
"Ya Allah, Adan..."
Lebai Haji Bakhtiar akhirnya menggeleng dengan senyuman tipis.
"Kau ni, memang cari peluang, ya?"
Haris angkat bahu.
"Adan cuma nak ceriakan suasana."
Balqis hanya mampu menutup wajahnya dengan tangan. Sungguh, suaminya ini memang ada-ada saja!
Lebai Haji Bakhtiar menghela nafas panjang sebelum bangun dari tempat duduknya.
"Dah lah, malam makin larut. Kamu berdua pergilah berehat. Bab nak sanding-sanding tu kita bincang lepas raya," katanya dengan nada bersahaja.
Balqis mengangguk laju, lega kerana perbincangan tadi berjalan dengan baik. Namun, belum sempat dia berpaling ke arah biliknya, bapanya sempat menambah dengan seloroh yang tidak dijangkanya.
"Tidur awal. Esok nak sahur. Jangan nakal sangat malam ni!"
"Astaghfirullah, abah!" Balqis menjerit kecil, mukanya merona merah. Tanpa membuang masa, dia berlari laju menuju ke biliknya, tak sanggup berlama-lama mendengar usikan bapanya.
Haris yang masih berdiri di ruang tamu tergelak kecil melihat isterinya yang malu-malu kucing itu.
"Baik, abah. Adan janji jadi suami yang baik," katanya sambil mengangkat tangan seperti seorang pelajar berikrar di perhimpunan sekolah.
Lebai Haji Bakhtiar hanya menggeleng dengan senyuman tipis sebelum melangkah masuk ke biliknya sendiri.
Setelah memberi salam perlahan, Haris menolak daun pintu bilik Balqis dan melangkah masuk. Namun, sebaik sahaja dia menekan suis lampu, matanya membulat.
"Ya Allah… apa semua ni?"
Bilik Balqis… penuh dengan PATUNG ANAK BERUANG!
Dari katil hingga ke rak dinding, semuanya dihiasi dengan beruang pelbagai saiz, warna, dan ekspresi wajah. Ada yang comel, ada yang nampak seperti sedang merajuk, malah ada yang lebih besar daripada Haris sendiri!
Balqis yang sudah duduk di birai katil hanya tersenyum kecil sambil memeluk salah satu patung beruang kesayangannya.
"Kenapa? Adan takut ke?"
Haris mengangkat kening.
"Tak takut, cuma… err… Adan tak tahu Adan kahwin dengan perempuan atau dengan koleksi muzium anak beruang."
Balqis menjelir lidah.
"Qis memang suka teddy bear sejak kecil lagi. Salah ke?"
Haris menjeling sekeliling.
"Tak salah… cuma Adan tak pasti Adan boleh tidur dengan aman atau tak. Kalau tengah malam tiba-tiba Adan terbangun dan nampak semua teddy bear ni merenung Adan, Adan takut Adan kena serangan jantung."
Balqis ketawa kecil, tetapi Haris belum habis menyakat. Dia melangkah ke tengah bilik, melihat kiri dan kanan dengan ekspresi cemas yang dibuat-buat.
"Err… Balqis?"
Balqis memandangnya pelik.
"Apa?"
"Adan rasa… Adan sesat."
Balqis mengerutkan dahi.
"Sesat?"
Haris mengangguk serius.
"Ya, sesat dalam dunia teddy bear ni. Adan tak nampak jalan keluar." Haris berpura-pura berpusing-pusing, seolah-olah mahu pengsan!
Hihihi...dh kawin dua ketul ni...pastu sesat pulak dlm timbunan patung beruang kepunyaan Balqis, so sweet...Happy reading gaiss..jemput follow and comment...
Share this novel