HARIS IZZUDDIN menarik nafas dalam-dalam. Bau ayam percik yang sedang dipanggang memenuhi udara, bercampur dengan aroma rempah dan asap kayu arang. Baru setengah jam dia membantu ibunya di bazar, tetapi peluhnya sudah membasahi kemeja hitamnya.
"Kenapa panas sangat ni?!" dia merungut sambil mengipas dirinya dengan tapak tangan.
"Kalau nak sejuk, duduk dalam bilik air-cond restoran Adan tu," Puan Suraya menyindir sambil tersenyum. "Tapi kalau betul-betul nak jadi anak umi, teruskan memanggang ayam tu."
Haris mengeluh panjang, menyumpah nasibnya yang terpaksa turun padang hari ini. Namun, semangatnya sedikit terubat apabila matanya menangkap kelibat seorang gadis di gerai sebelah.
Balqis Nadira.
Sama seperti semalam, Haris sempat termenung memerhatikan gadis itu yang sibuk menyusun bahan-bahan untuk membuat Roti John. Dengan apron coklat dan tudung yang diselempangkan kemas, dia kelihatan begitu bersungguh-sungguh. Sesekali Balqis mengangkat lengan baju, menampakkan tangan yang sedikit comot dengan sos dan mayonis.
'Kenapa aku rasa dia nampak menarik pulak hari ni?' kata-kata itu bergema di fikirannya.
Haris baru hendak membetulkan apron sendiri, jadi tak keruan apabila Balqis tiba-tiba berpaling. Pandangan mereka bertaut sesaat.
Balqis menjungkit kening.
“Kenapa Adan tengok Qis macam tu? Tak pernah nampak orang buat Roti John ke?”
Haris cepat-cepat membuang pandang.
“Adan tengok sebab Adan nak tahu macam mana Qis boleh bertahan buat benda yang sama setiap tahun tanpa peningkatan kualiti.”
Balqis tersentak.
“Maksud Adan?”
Haris menjuih bibir ke arah kaunter gerai Balqis.
“Setiap tahun, Qis guna roti yang sama, sos yang sama, teknik yang sama… langsung tak ada inovasi. Qis tak bosan ke?”
Balqis memandangnya dengan mata terbeliak.
“Inovasi? Ini Roti John la, bukan menu restoran lima bintang macam Adan punya tu! Lagipun, pelanggan tetap Qis puas hati je, takde pulak yang complain...”
Haris tersengih sinis.
“Kalau Qis puas hati dengan benda yang biasa-biasa, Qis memang tak akan ke mana lah jawabnya.”
Balqis mengetap bibir. Panas betul dengan mulut Haris yang tak pernah berubah sejak kecil.
“Kalau Adan rasa Roti John Qis ni biasa-biasa je, apa kata Adan buat sendiri?” Balqis menyindir.
Haris ketawa kecil.
“No thanks. Adan tak buat makanan yang penuh dengan mayonis dan sos yang berlebihan.”
Balqis mendengus.
“Adan ingat semua orang suka makanan fancy Adan tu? Ini bazar Ramadan, bukan fine dining restaurant!”
Haris hanya tersenyum, menikmati saat Balqis naik angin. Tetapi, dalam keadaan marah, tangan Balqis tanpa sengaja mencapai sebiji telur…
Dan…
PLEEK!
Telur itu melayang tepat ke wajah Haris!
Orang ramai yang beratur di bazar tersentak. Ada yang menahan ketawa, ada yang terkebil-kebil melihat wajah chef selebriti terkenal itu kini dihiasi dengan kesan telur mentah yang meleleh perlahan.
Mata Haris membesar. Tangannya naik menyentuh mukanya yang kini dilapisi kuning telur.
Balqis pula membulatkan mata, kaku di tempatnya.
“Ya Allah… err..rr”
Sebelum Haris sempat meledakkan kemarahannya, terdengar suara seseorang memberi salam dari arah gerainya.
"Assalamualaikum, Suraya. Boleh abang order ayam percik dua ketul?"
Ibu Haris, Puan Suraya segera menjawab salam yang dihulurkan oleh bapa Balqis. Tangannya lincah membungkus pesanan daripada 'pelanggan istimewanya' itu sambil tersenyum manis menampakkan lesung pipit yang menghiasi kedua-dua belah wajahnya yang masih ayu. Sementara, Balqis segera berpaling ke arah suara itu dan wajahnya terus pucat. Ayahnya, Lebai Haji Bakhtiar!
Lebai Haji Bakhtiar, dengan jubah putih dan serban kemas, sedang berdiri di hadapan gerai Puan Suraya.
"Eh, Su...abang minta dua ketul je, kenapa Su lebihkan pulak?"
"Ala...abang Bakhtiar ni macam tak biasa pulak, Su saja lebihkan..untuk abang Bakhtiar buat sahur nanti dengan Qis..ambillah abang, Su ikhlas.. Nanti tak payahlah abang Bakhtiar sibuk nak masak sahur nanti."
"Terima kasihlah, Su.."
Haris yang ingin menjerit marah kini terkaku. Dengan perlahan, dia menurunkan tangannya, cuba menyapu telur yang mengalir ke dagunya.
Haji Bakhtiar memandangnya dengan wajah tenang, sebelum memandang Balqis yang masih menggenggam sisa kulit telur di tangannya.
"Balqis," suara Haji Bakhtiar lembut tapi tegas, "kenapa kamu campak telur ke muka orang?"
Balqis menelan liur.
“Err… Qis… Qis…”
Haris pula cuba sedaya upaya menahan gelak sendiri. Dia tahu jika dia ketawa, nyawanya mungkin dalam bahaya.
Puan Suraya yang sedari tadi cuba menahan ketawa akhirnya bersuara, “Abang Bakhtiar, sabar ya. Ini mungkin ujian Ramadan untuk anak-anak kita.”
Haji Bakhtiar mengangguk perlahan, sebelum mengalihkan pandangan ke arah Haris yang masih dalam keadaan ‘bertopengkan telur’.
“Ramadan,” suara Haji Bakhtiar lebih lembut kali ini, “banyakkan bersabar, ya?”
Haris, yang jarang mendengar namanya disebut penuh begitu kecuali oleh ibunya, hanya mampu tersenyum kelat.
"Err… ya, abah, eh... pakcik. Insya Allah," jawabnya dengan suara terkawal.
Balqis menghembus nafas lega. Dia baru sahaja terselamat daripada ceramah panjang ayahnya. Tetapi…
“Balqis,” suara Haji Bakhtiar kembali serius.
Balqis segera tegak berdiri.
“Ya, abah?”
Haji Bakhtiar tersenyum nipis.
“Kalau nak gaduh dengan Ramadan, jangan bazirkan telur. Telur mahal sekarang ni.”
Serentak, semua orang di sekeliling ketawa besar, termasuk pelanggan yang sedang menunggu giliran. Balqis menepuk dahi.
'Ya Allah, malunya aku!' bisik Balqis dalam hati.
Haris, yang tadi ingin marah, kini tersenyum penuh kepuasan. Ramadan kali ini memang akan jadi paling mencabar dalam hidupnya.
Sejurus selepas Haji Bakhtiar berlalu dari gerai ibunya, Haris segera mencapai tisu dan mengelap wajahnya yang masih melekit dengan telur mentah. Dia mengerling Balqis yang sedang sibuk pura-pura mengatur roti di kaunternya, seolah-olah insiden tadi tidak pernah berlaku.
Haris menyedut nafas panjang sebelum melangkah ke hadapan gerai Balqis. Dia menyilangkan tangan di dada, berdiri betul-betul di hadapan gadis itu yang masih berpura-pura sibuk.
"Jadi, kita nak buat macam tak ada apa-apa berlaku ke, Cik Balqis Nadira?" suaranya penuh sindiran.
Balqis menjeling sekilas.
“Apa maksud Adan?”
Haris menuding jarinya ke arah telur yang masih bersepah di atas tanah.
“Tadi ada seorang gadis yang sangat ‘sopan’ telah menjadikan wajah Adan sebagai kuali telur dadarnya. Qis kenal tak siapa dia?”
Balqis menutup mulutnya, berpura-pura terkejut.
“Oh, ada kejadian macam tu ya? Hmm, siapa agaknya gadis yang bernasib baik dapat baling telur ke muka seorang chef selebriti terkenal?”
Haris mendengus.
“Jangan nak berlakon. Dah terang-terang Qis yang buat.”
Balqis menjungkit bahu.
“Tapi abah Qis dah settlekan tadi, kan? Tak ada siapa yang cedera, tak ada kecederaan jiwa dan mental. Kes pun dah tutup.”
“Kes belum tutup lagi selagi Qis tak minta maaf,” Haris berkeras.
Balqis mencebik.
“Qis patut minta maaf ke, sedangkan Adan yang provoke Qis dulu?”
Haris menggelengkan kepala.
“Tak sangka, dulu Adan ingat Qis ni budak baik.”
Balqis tersenyum sinis.
“Oh, dulu? Maksudnya, Adan pernah fikir pasal Qis?”
Haris terdiam seketika. Mulut Balqis ni memang tak pernah kalah!
“Tolonglah, siapa yang boleh lupa budak perempuan yang suka ikut belakang Adan masa kecil dulu?” Haris membalas dengan nada sinis.
Balqis mengerutkan dahi.
“Siapa ikut Adan? Mimpi di siang hari ke?”
Haris menyandarkan tangan ke tepi meja kaunter Balqis.
“Dulu Qis suka betul ikut Adan dengan abang Firdaus main bola. Tapi setiap kali Qis masuk padang, Qis asyik jatuh tergolek.”
Balqis mendengus.
“Eh, itu bukan salah Qis. Adan yang sengaja buat Qis jatuh.”
Haris ketawa kecil.
“Salah sendiri sebab tak pandai sepak bola.”
Balqis mencekak pinggangnya sendiri, cuba menahan sabar.
“Tak sangka, Adan makin besar makin menyakitkan hati.”
“Dan Qis pula makin besar makin garang.”
Balqis mengetap bibir.
“Kalau Adan tak cari pasal, Qis tak akan garang!”
“Kalau Qis belajar minta maaf, Adan tak akan cari pasal.”
Balqis menarik nafas dalam-dalam.
“Baiklah. Qis maafkan Adan.”
Haris mengerutkan dahi.
“Hah? Kenapa pula Qis yang maafkan Adan?”
Balqis tersenyum penuh kepura-puraan.
“Sebab Adan tak minta maaf dekat Qis sebab kutuk Roti John Qis tadi. Jadi, kita seri.”
Haris menepuk dahi.
“MasyaAllah, kepala Qis ni memang penuh logik yang pelik.”
Tiba-tiba, pelanggan yang tadi mencadangkan mereka bernikah selepas raya muncul semula dengan tangan bersilang di dada.
“Hah, saya tengok kamu berdua ni tak habis-habis lagi gaduh. Jadi saya buat keputusan. Memang confirm kamu akan kahwin lepas raya.”
Balqis dan Haris serentak menoleh ke arah lelaki itu.
“Encik!” Balqis menjerit kecil. “Tolonglah jangan buat spekulasi liar!”
Lelaki itu ketawa.
“Saya bukannya buat spekulasi, saya buat ramalan.”
Haris mengangkat tangan.
“Ramalan encik meleset. Sebab saya takkan kahwin dengan dia.”
Balqis memeluk tubuh.
“Tak ada siapa suruh awak kahwin dengan saya, Encik Chef.”
Lelaki itu tersenyum lebar.
“Tak apa, saya tetap doakan. InsyaAllah, Allah dah aturkan jodoh yang terbaik.”
Balqis mengeluh panjang.
“Jodoh saya bukan dengan lelaki yang kuat mengkritik makanan orang lain.”
Haris membalas, “Jodoh saya pula bukan dengan gadis yang suka baling telur ke muka lelaki.”
Tetapi, dalam hati masing-masing, ada satu persoalan yang mula berputik.
“Apa jadi kalau betul-betul… jodoh kami sudah tertulis?”
***
Balqis menarik nafas panjang. Dia harus melupakan insiden telur mentah yang melayang ke wajah Haris. Lagipun, bazar semakin sesak, pelanggan semakin ramai. Dia perlu fokus.
Tetapi malangnya, fokus itu terusik apabila gerai sebelah yang baru semalam sunyi sepi kini menjadi lebih meriah dari biasa.
"Ayam percik, ayam percik! Resipi asli turun-temurun, sekali makan pasti nak lagi!"
Balqis berpaling. Haris berdiri di hadapan gerai ibunya, bersahaja dengan senyuman penuh keyakinan, sambil membalik-balikkan ayam di atas pemanggang.
Dan dia bukan sekadar memanggang ayam percik seperti orang biasa. Dia buat gaya ‘chef selebriti’.
Dengan lenggok tangannya yang bersahaja, cara dia menyapu sos ayam percik dengan teknik ‘brush drizzle’ yang sangat profesional, serta sesekali melemparkan senyuman memikat kepada pelanggan. Haris memang sengaja nak menarik perhatian!
Balqis menjeling tajam.
“Pura-pura tak tahu je, kan?” Balqis merungut perlahan, seperti kata pepatah ‘kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu’ yang kini sesuai benar untuk si chef sebelah gerainya.
Seolah-olah mengerti Balqis sedang memerhatikannya, Haris menoleh dan mengangkat kening dengan penuh provokasi.
"Macam mana? Ada hati nak belajar buat ayam percik ke?" dia menyindir.
Balqis berpeluk tubuh.
“Tak payah. Qis tak perlukan teknik ‘show-off’ untuk tarik pelanggan.”
Haris tersenyum.
"Yakin sangat? Sebab dari tadi, pelanggan Adan beratur lebih panjang daripada Qis."
Balqis mengetap bibir. Memang betul pelanggan di gerai ayam percik lebih ramai daripada yang beratur di gerainya. Tetapi itu tak bermakna dia akan mengalah!
Dia segera menghidupkan semangat jualannya. Dengan penuh keyakinan, dia mencapai pembesar suara kecil yang biasa dia gunakan setiap Ramadan.
"ROTI JOHN SPECIAL! Harga runtuh! Mayonis meleleh, daging hancur penuh rempah! Makan sebiji confirm jatuh cinta!"
Beberapa pelanggan yang lalu-lalang terus berpaling. Balqis dengan pantas mengambil sebiji Roti John yang baru siap, memotongnya kepada beberapa bahagian kecil dan menghulurkan kepada pelanggan yang berdekatan.
"Yang itu saya beri percuma..."
Haris memandang dengan tidak percaya.
“Eh, Qis main taktik percuma-percuma pula?”
Balqis tersengih.
“Belajar daripada Adan. Kalau ayam percik boleh dijual dengan gaya selebriti, Roti John Qis boleh dijual dengan strategi marketing.”
Haris menjeling ke arah beberapa pelanggan yang mula beralih ke gerai Balqis. Dia merengus perlahan. Perang bazar antara mereka makin panas!
Tetapi sebelum Haris sempat merancang strategi baru, tiba-tiba—
“Chef, ayam awak hangus!”
Haris membulatkan mata. Cepat-cepat dia berpaling ke arah pemanggang.
"Oh..... tidak!!!"
Ayam perciknya yang tadi elok bersalut sos kini bertukar keperangan, malah ada beberapa bahagian sudah menjadi hitam!
Balqis menekup mulut menahan tawa.
“Macam mana tu, chef? Tadi sembang besar, sekarang ayam jadi arang?”
Haris menggigit bibir. Dia cuba menyelamatkan beberapa ketul ayam yang masih boleh dijual, tetapi yang lain… memang gagal.
Dalam pada itu, seorang pelanggan tetap Balqis tiba-tiba bersuara, "Balqis, Roti John awak hari ini, lain sikit la."
Balqis tersentak.
“Hah? Lain?”
Pelanggan itu mengangguk, tetapi dia tetap tersenyum.
“Tapi sebab ada diskaun, saya beli jugalah.”
Balqis mengeluh dalam hati. Nampaknya dia juga ada kesilapan dalam perangnya hari ini.
Ketika dia sibuk memikirkan bagaimana rotinya boleh jadi lain, tiba-tiba ada seorang pelanggan yang tersenyum-senyum sambil berseloroh, "Kalau dua-dua asyik gaduh, baik kahwin je lepas raya nanti!"
Haris yang sedang menyelamatkan ayamnya tersedak. Balqis pula hampir terlepas roti yang sedang dipegangnya.
“Encik!” Balqis bercekak pinggang. Encik orang kedua, suruh saya kahwin!”
Pelanggan itu ketawa.
“Oh, ye ke? Mungkin betul kot! Setiap hari gaduh, setiap hari tengok muka, lepas tu nanti jatuh cinta.”
Haris mencebik.
“Jangan berangan, encik. Saya ada standard.”
Balqis menjeling tajam.
“Dan saya ada pilihan!”
Pelanggan itu terus ketawa besar sebelum melangkah pergi, meninggalkan mereka berdua yang masih dalam mode perang dingin.
Balqis memandang Haris. Haris memandang Balqis.
Ya Allah, Ramadan kali ini memang panjang…
Aduhai, asyik nk bertekak je Haris dgn Balqis nilah, betul kot ramalan pelanggan tu yerk???Happy reading gaiss..jemput follow and comment..
Share this novel