PETANG itu, rumah Puan Suraya menerima tetamu yang sudah tidak asing lagi Firdaus Nuhail, abang kepada Balqis Nadira. Dia melangkah masuk dengan senyuman mesra, menyapa tuan rumah dengan penuh hormat.
"Assalamualaikum, umi. Lama tak datang bertandang ni," Firdaus bersuara sambil meletakkan bungkusan buah tangan di atas meja ruang tamu.
"Waalaikumsalam, Firdaus. Eh, tak lama mana pun. Baru minggu lepas datang, kan?" Puan Suraya menjawab dengan nada berseloroh.
Firdaus ketawa kecil.
"Ala, kalau boleh hari-hari pun Fir nak datang, umi."
Haris dan Haiqal yang duduk bersebelahan di sofa saling berpandangan. Firdaus ini sejak bila jadi pandai membodek macam ni?
Namun, yang paling menarik perhatian mereka adalah tingkah laku Firdaus yang agak canggung setiap kali matanya bertembung dengan Hasrina. Kalau sebelum ini dia kelihatan bersahaja, hari ini Firdaus nampak lebih serius.
"Firdaus, kau kenapa ni? Gelabah lain macam," usik Haris, mengangkat kening dengan penuh curiga.
Firdaus menarik nafas panjang. Dia mengerling sekilas ke arah Hasrina sebelum mengalihkan pandangannya kepada Puan Suraya.
"Umi… Fir datang ni sebenarnya ada hajat."
Suasana tiba-tiba sunyi.
Haris dan Haiqal segera berhenti berseloroh, manakala Hasrina menundukkan kepala, menyembunyikan rona merah yang mula menjalar di pipinya.
"Hajat apa, Firdaus?" Puan Suraya bertanya dengan nada penuh minat, tetapi masih bersahaja.
Firdaus menelan air liur. Dia meraup wajahnya seketika sebelum bersuara dengan nada yang lebih tenang.
"Fir… Fir sebenarnya dah lama simpan perasaan dekat Hasrina. Dari dulu lagi."
DUM!
Haris dan Haiqal serentak berpaling ke arah Firdaus dengan mata membulat. Hasrina pula semakin menunduk, seolah-olah mahu menyorok di bawah meja.
"Fir ikhlas nak kenal Hasrina dengan lebih serius, umi. Dan kalau umi izinkan… lepas raya nanti Fir nak masuk meminang dia."
ZASSS!
Haris hampir tersedak, sementara Haiqal menepuk dahinya perlahan.
Puan Suraya terdiam sejenak, mencerna kata-kata Firdaus.
"Hmm… jadi maksudnya, kamu dah lama menaruh hati pada anak dara umi ni?" Puan Suraya bertanya, suaranya tenang tetapi penuh makna tersirat.
Firdaus mengangguk yakin.
"Ya, umi."
Haris memicit pelipisnya.
"Firdaus… aku boleh terima kalau kau suka adik aku. Tapi kau nak masuk meminang lepas raya? Tak cepat sangat ke?"
Firdaus tersenyum kecil.
"Adan, kalau benda baik buat apa nak tangguh lama-lama?"
Haiqal tergelak kecil.
"Padu jawapan abang Firdaus ni, Adan. Tak bagi peluang langsung."
Puan Suraya tersenyum nipis.
"Hajat kamu tu umi boleh pertimbangkan, Firdaus. Tapi…"
Semua mata tertumpu pada wanita itu.
"Kalau betul kamu ada hajat, ikut adat dan budaya kita. Mula-mula, biar keluarga kamu datang bertemu kami dulu. Bincang elok-elok. Barulah boleh ke langkah seterusnya," tegas Puan Suraya.
Firdaus mengangguk faham.
"Baik, umi. Fir akan bincang dengan abah secepat mungkin."
Hasrina menggigit bibir. Wajahnya masih merah menahan malu.
Haris menghela nafas.
"Aku boleh terima kau sebagai bakal abang ipar aku, Firdaus, dengan satu syarat."
Firdaus mengangkat kening.
"Apa syaratnya?"
Haris bersandar sambil tersenyum sinis.
"Jangan sesekali bagi aku nampak kau buat Hasrina menangis, kalau tak…"
"Aku sendiri yang uruskan," sambung Haiqal dengan nada penuh ancaman.
Firdaus tergelak sambil mengangkat kedua-dua tangan.
"Baik, baik! Aku janji. Aku sayangkan Hasrina, aku takkan buat dia menangis."
Puan Suraya tersenyum melihat interaksi mereka. Tetapi sebelum perbualan tamat, dia menambah dengan nada berseloroh.
"Tapi Firdaus… kalau kamu nak jadi sebahagian daripada keluarga kami, kena tahan dengan perangai gila-gila mereka bertiga ni."
Firdaus ketawa besar.
"Insya-Allah, umi. Fir dah bersedia dari awal!"
Dan di hujung perbualan, Haris, Haiqal dan Hasrina bertukar pandangan sebelum sama-sama meletus ketawa, menyedari bahawa rumah mereka bakal bertambah seorang lagi 'mangsa' ke dalam geng keluarga gila mereka!
***
Firdaus melangkah masuk ke rumah dengan senyuman yang sukar dikawal. Hatinya berbunga riang, seolah-olah dunia ini hanya dipenuhi dengan pelangi dan awan kapas yang lembut.
Balqis yang sedang duduk di ruang tamu sambil mengurut kakinya selepas seharian berdiri di bazar Ramadan, mengangkat kening curiga.
"Kenapa senyum macam orang dapat durian runtuh ni, abang?" Balqis bertanya, separuh malas, separuh ingin tahu.
Firdaus tidak menjawab. Dia hanya meletakkan mangkuk tingkat yang dibawanya dengan penuh cermat di atas meja makan.
Namun, sebelum dia sempat bersuara, satu suara garau yang lebih matang menyampuk.
"Kalau dah ada mangkuk tingkat macam tu, tak payah teka pun dah tahu dari mana dia balik."
Balqis dan Firdaus sama-sama menoleh ke arah Lebai Haji Bakhtiar, yang sedang duduk di kerusi kayu dengan tangan bersilang di dada. Wajahnya tenang, tetapi matanya memancarkan sesuatu yang sukar ditafsirkan.
Firdaus tersengih.
"Alah, abah… dari rumah umi Suraya lah. Mana lagi."
Krekkk!
Tangan Lebai Haji Bakhtiar yang memegang cawan hampir tergelincir. Balqis pula terkedu.
"Abah okey tak tu?" Balqis bertanya dengan nada mencurigakan.
Lebai Haji Bakhtiar cepat-cepat meneguk airnya sebelum berdeham perlahan.
"Kenapa selalu sangat ke sana, Firdaus?"
Firdaus menggosok belakang lehernya, senyuman masih belum luntur.
"Sebenarnya, abah… Fir nak masuk meminang Hasrina lepas raya nanti."
DUM!
Balqis yang sedang minum air langsung tersedak. Dia batuk bertalu-talu, manakala Lebai Haji Bakhtiar kaku di tempat duduknya.
"Abang Fir nak pinang siapa?" Balqis bertanya dengan suara separuh serak, matanya membulat.
"Hasrina," jawab Firdaus dengan penuh yakin.
Balqis berpaling ke arah ayahnya. Lebai Haji Bakhtiar masih belum berkata apa-apa, tetapi anak-anaknya cukup kenal riak wajah itu—wajah seseorang yang sedang memproses berita besar.
Dan beberapa saat kemudian, reaksi yang tidak dijangka berlaku. Lebai Haji Bakhtiar tersenyum.
"Alhamdulillah," ucapnya perlahan, tetapi cukup jelas.
Balqis tercengang.
"Abah… abah okey ke ni?"
Lebai Haji Bakhtiar mengangguk perlahan.
"Hasrina tu anak yang baik. Abah tak ada halangan kalau Firdaus betul-betul serius."
Firdaus menarik nafas lega.
"Syukur, abah. Fir memang serius tentang hal ni, umur Fir ni pun dah nak masuk kategori bujang terlajak dah"
Balqis memandang mereka berdua dengan perasaan bercampur baur. Namun, otaknya yang cepat menangkap sesuatu mula mengesan satu kelainan dalam riak wajah ayahnya.
"Tapi abah…" Balqis menyempitkan matanya, cuba membaca riak wajah Lebai Haji Bakhtiar dengan lebih teliti. "Kenapa abah nampak terlalu tenang? Takkanlah senang hati sebab nak dapat menantu je?"
Firdaus ketawa kecil.
"Itulah pelik, kan? Abang ingat abah nak soal siasat abang dulu tadi."
Lebai Haji Bakhtiar mengeluh perlahan, sebelum memandang anak-anaknya dengan wajah yang sedikit berubah.
"Abah pun ada satu rahsia…"
Firdaus dan Balqis serentak memandangnya dengan penuh debaran.
Lebai Haji Bakhtiar menggenggam cawan di tangannya, seolah-olah mencari kekuatan untuk berterus terang.
"Sebenarnya… abah dah lama ada hati dengan umi Suraya kamu tu."
BOM!
Firdaus dan Balqis ternganga. Balqis yang sedang duduk terus terduduk lebih dalam. Firdaus yang sedang minum hampir tersembur airnya.
"Abah cakap apa tadi?" Balqis menyoal dengan suara perlahan, hampir berbisik.
Lebai Haji Bakhtiar menarik nafas panjang.
"Dah lama abah suka pada umi Suraya. Sejak dulu lagi."
Balqis memegang dahinya.
"Astaghfirullah… abah, ini serius ke ni?"
Firdaus pula masih terdiam, cuba menghadam fakta yang baru saja jatuh ke kepalanya.
"Lama mana?" tanya Firdaus akhirnya.
Lebai Haji Bakhtiar tersenyum nipis.
"Sejak Balqis umur dua tahun."
Firdaus dan Balqis membulatkan mata mereka.
"Dah dua puluh empat tahun abah simpan perasaan tu?!" Firdaus bersuara, antara kagum dan terkejut.
Lebai Haji Bakhtiar mengangguk.
"Tapi abah tangguhkan niat abah sebab nak besarkan kamu berdua dulu. Sekarang, bila Firdaus sendiri dah nak berkahwin dengan anak dia… abah rasa, mungkin dah tiba masa abah juga buat keputusan."
Balqis menutup mukanya dengan kedua-dua tangan.
"Ya Allah… abang nak kahwin dengan Hasrina. Abah nak kahwin dengan umi dia. Macam drama Melayu petang-petang!"
Firdaus tergelak.
"Tak sangka betul."
Lebai Haji Bakhtiar mengangkat kening.
"Kamu berdua ada bantahan?"
Firdaus dan Balqis berpandangan seketika.
Firdaus tersenyum.
"Kalau umi Suraya setuju, Fir tak ada masalah, abah."
Balqis mengeluh panjang.
"Abah… kalau betul abah serius, Qis pun tak ada halangan. Cuma satu je Qis nak pesan…"
"Apa dia?" Lebai Haji Bakhtiar bertanya.
Balqis bersandar dengan wajah serius.
"Kalau umi Suraya setuju, abah kena bertanding dengan Adan untuk merebut tempat lelaki paling disayangi dalam rumah tu."
Firdaus ketawa kuat.
"Adan takkan senang-senang serahkan takhta dia tu, abah!"
Lebai Haji Bakhtiar menggeleng kepala sambil tersenyum.
"Ala… kalau Adan berani cabar abah, abah pun ada strategi sendiri."
Balqis menjungkit bahu.
"Apa dia?"
Lebai Haji Bakhtiar tersengih penuh misteri.
"Biarlah, rahsia."
Dan pada petang itu, rumah mereka dipenuhi dengan gelak tawa, diiringi sebuah rahsia yang akhirnya terbongkar setelah dua puluh empat tahun terpendam.
***
Bau ayam percik yang sedang dipanggang memenuhi udara, bercampur dengan aroma roti john yang baru siap dimasak di gerai Balqis. Pelanggan di bazar Ramadan petang itu tidak terlalu ramai, memberi peluang kepada Balqis untuk berehat sebentar di belakang gerainya.
Haris, yang sedang membungkus pesanan pelanggan di gerainya sendiri, sesekali mencuri pandang ke arah Balqis. Sejak semalam, Balqis kelihatan seperti menyimpan sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dia kerap tersenyum sendirian.
"Qis ni kenapa? Senyum-senyum macam orang menang cabutan bertuah," tegur Haris akhirnya sambil berjalan ke arah gerai Balqis dengan tangan bersilang di dada.
Balqis mengangkat kening.
"Nak tahu?"
Haris mengangguk.
"Kalau tak penting, tak payah cerita. Tapi kalau benda yang melibatkan Adan, cepat bagitahu."
Balqis ketawa kecil sebelum menepuk tempat duduk di sebelahnya, memberi isyarat agar Haris duduk. Haris mengerutkan dahi tetapi menurut juga.
"Ni, Adan jangan terkejut tau," kata Balqis, matanya bersinar-sinar.
Haris menjulingkan mata.
"Qis ni kalau dah cakap macam tu, mesti benda yang boleh buat jantung orang gugur."
Balqis menahan tawa sebelum mendekatkan diri sedikit kepada Haris, berbisik perlahan, "Abah Qis ada hati dengan umi Adan."
"Hah?!"
Haris terus melopong, hampir melompat dari tempat duduknya. Dia memandang Balqis dengan riak tidak percaya.
"Qis, awak jangan main-main dengan Adan, Balqis!"
Balqis mengangkat tangan.
"Sumpah, Qis tak main-mainlah, Adan!"
Haris menggosok wajahnya, berusaha mencerna berita yang baru didengarnya.
"Abah Qis… dengan umi Adan?!"
Balqis mengangguk sambil tersengih.
"Betul. Rupanya dah lama abah ada perasaan dekat umi Adan. Tapi abah simpan sebab nak besarkan kami dulu."
Haris menggeleng perlahan.
"Ini betul-betul drama petang, Balqis. Qis tahu tak betapa peliknya benda ni?"
Balqis ketawa kecil.
"Qis tahu. Qis pun terkejut bila dapat tahu semalam. Dan abang Firdaus pun dah bagitahu abah Qis yang dia nak masuk meminang Hasrina lepas raya nanti."
Haris semakin menggaru kepalanya.
"Jadi… keluarga Qis nak masuk dalam keluarga Adan dengan dua cara sekali gus?"
Balqis tersenyum nakal.
"Lebih kuranglah."
Haris menarik nafas panjang sebelum berpaling serius kepada Balqis.
"Kalau macam tu… hubungan kita ni macam mana?"
Balqis terdiam.
Haris menyandarkan badan ke kerusi.
"Adan nak tahu, Balqis. Qis serius ke tak dengan Adan? Sebab kalau kita kahwin, maksudnya Adan jadi menantu abah Qis, tapi dalam masa yang sama, umi Adan mungkin jadi isteri dia?"
Balqis terdiam sebelum tergelak kecil.
"Macam kelakar, kan?"
Haris tidak ketawa. Matanya masih tajam memandang Balqis.
"Dan abah Qis pernah cakap dia nak Adan jadi menantu dia. Itu, pakcik Bakhtiar maksudkan apa yang sebenarnya?"
Balqis menggigit bibir, sebelum bersandar ke meja dengan tangan menongkat dagu.
"Qis pun tak tahu, Adan. Tapi kalau ikut logik, maksudnya… abah memang dah lama berkenan dengan Adan."
Haris menghela nafas berat.
"Adan tak sangka betul benda ni jadi."
Balqis ketawa kecil.
"Qis lagi tak sangka. Tapi Adan jangan risau. Qis tetap Balqis Nadira yang sama. Adan tetap Haris Izzuddin yang suka menyakat Qis. Tak ada apa yang berubah…"
Haris mengangkat kening.
"Betul ke tak ada apa yang berubah? Kalau tiba-tiba Qis kena panggil umi Adan 'umi', Qis boleh terima?"
Balqis terdiam sebelum tergelak kecil.
"Hmm… pelik jugak kalau fikir."
Haris tersenyum sinis.
"Itulah. Qis bayangkan umi Adan jadi mak tiri Qis. Mampu ke nak panggil dia ‘umi’?"
Balqis menjeling.
"Kalau itu tak pelik, Qis lagi tak mampu nak bayangkan abang Qis panggil Hasrina ‘sayang’!"
Haris dan Balqis saling berpandangan sebelum pecah ketawa.
"Jadi… sekarang ni macam mana?" tanya Haris akhirnya.
Balqis tersenyum lembut.
"Qis tak tahu. Tapi kalau Adan serius, Qis pun serius."
Haris mengangguk perlahan.
"Lepas raya nanti, kita tengok macam mana. Tapi satu je Adan nak ingatkan Qis…"
"Apa?"
Haris bersandar sambil tersenyum nakal.
"Kalau umi Adan betul-betul kahwin dengan abah Qis, Qis kena berlatih panggil Adan, abang Adan."
Balqis terus mencapai tisu dan membalingnya ke arah Haris.
"Mimpi jelah, Adan!"
Haris ketawa kuat.
"Qis, kalau betul..macam mana?"
"Qis, reda jelah...abang Adan!"
Haris pura-pura tertawa lepas, namun dalam tawanya itu hatinya terasa pedih! Namun, jauh di dalam hati, dia tahu, hidupnya bakal berubah lebih daripada yang dia jangkakan.
Aduhai...ank-beranak suka dekat family yg sma... Pening²...Happy reading gaiss, jgn lupa follow and comment...
Share this novel