BCR BAB 6 : SEMAKIN RAPAT

Romance Series 14436

HARIS semakin seronok turun padang membantu ibunya di bazar Ramadan. Jika pada mulanya dia hanya sekadar ingin mengisi masa lapang dan menghabiskan waktu bersama keluarga, kini dia benar-benar menikmati pengalaman berniaga di bazar.

Bukan lagi kerana sekadar menolong, tetapi kerana dia mula merasakan satu kepuasan apabila melihat pelanggan datang kembali, mencari ayam percik hasil air tangan ibunya. Popularitinya sebagai seorang chef selebriti pada mulanya menjadi perhatian kini menjadi satu kelebihan. Setiap kali dia memuat naik gambar atau video di media sosial mengenai ayam percik gerai ibunya, pelanggan semakin bertambah.

"Chef Haris jual ayam percik, weyh! Kita kena cuba!" Itu antara komen yang sering dibaca di media sosialnya.

Namun, bukan hanya gerai ayam percik ibunya mendapat tempias. Sejak beberapa hari lalu, Haris mula mempromosikan gerai Roti John Balqis juga.

"Ayam percik terbaik di bazar! Dan jangan lupa singgah gerai sebelah. Roti John Balqis Nadira, gebu, cheesy, dan penuh kasih sayang!" tulisnya di Instagram Story, lengkap dengan gambarnya tersenyum bersama Balqis yang sedang memegang Roti John kambing cheese special.

Balqis yang kebetulan sedang menyusun roti di dalam gerainya, menoleh ke arah Haris yang berdiri di sebelahnya sambil tersenyum bangga.

"Adan ni kenapa tiba-tiba jadi duta Roti John Qis?" sindir Balqis sambil berpeluk tubuh.

Haris mengangkat kening.

"Adan kan seorang yang baik hati. Lagipun, Adan tak boleh tengok Qis senang duduk."

Balqis menjulingkan mata.

"Kalau Adan betul-betul baik hati, tolong potongkan roti ni."

Haris tanpa banyak soal mencapai pisau dan mula memotong roti dengan penuh gaya seorang chef. Beberapa pelanggan yang lalu-lalang sempat berhenti dan mengambil gambar.

"Alamak, Chef Haris betul-betul tolong buat Roti John ke ni?" tegur seorang pelanggan wanita dengan nada teruja.

Haris tersengih.

"Kita kena pastikan setiap roti dipotong dengan sempurna supaya kejunya meleleh dengan cantik."

Balqis cuba menahan tawa.

"Amboi, buat ayat macam masuk rancangan memasak."

Pelanggan itu ketawa kecil.

"Saya nak dua Roti John Kambing Cheese Special. Tapi, Chef Haris kena potong roti!"

Haris memandang Balqis dengan senyuman bangga sebelum mengangkat pisau.

"Hah, nampak tak? Adan boleh tarik pelanggan untuk Qis."

Balqis menjeling sambil menyodorkan dua keping roti kepadanya.

"Kalau macam ni, Qis patut bayar Adan gaji, kan?"

"Tidak perlu. Cukup dengan senyuman ikhlas daripada Qis" jawab Haris dengan nada menggoda.

Balqis tersentak sedikit tetapi cepat-cepat menundukkan wajahnya, cuba menumpukan perhatian kepada sos Roti John yang sedang disapunya ke atas roti.

Namun, riak wajahnya yang kemerahan tetap tidak terlepas dari pandangan Haris.

Sambil terus memotong roti, Haris tersenyum kecil. Hari demi hari, dia semakin seronok berada di bazar Ramadan. Dan tanpa dia sedar, dia juga semakin rapat dengan Balqis.

Selepas beberapa hari berniaga bersama di bazar Ramadan, Haris semakin selesa berada di sisi Balqis. Malah, dia sendiri tidak menyangka betapa cepat masa berlalu apabila dia sibuk membantu di gerai ibunya dan sesekali menyibuk di gerai Balqis.

***

Hari itu, cuaca agak mendung. Angin petang bertiup lembut, memberikan sedikit kelegaan daripada bahang yang biasanya menyelubungi bazar. Walaupun pelanggan masih ramai, suasananya lebih tenang berbanding hari-hari sebelumnya.

Haris baru sahaja selesai menyusun bekas ayam percik di meja gerai ibunya apabila dia melihat Balqis bersendirian di gerainya. Firdaus, yang selalunya ada membantunya, entah ke mana.

Tanpa berfikir panjang, Haris melangkah ke gerai sebelah.

"Mana abang Qis?" soalnya sambil bersandar pada meja jualan Balqis.

Balqis mendongak.

"Dia pergi solat Asar. Kejap lagi balik."

Haris mengangguk. Matanya melirik ke arah beberapa pelanggan yang sedang menunggu pesanan mereka. Dengan pantas, dia mencapai pisau dan mula memotong roti tanpa menunggu arahan.

Balqis menjeling tetapi tidak berkata apa-apa. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehadiran Haris yang suka mengambil alih tugas tanpa meminta izin.

"Hari ni Qis senyap je. Tak gaduh dengan Adan macam biasa?" tegur Haris, cuba menceriakan suasana.

Balqis tersenyum kecil.

"Tak ada sebab nak gaduh dengan Adan hari ni."

Haris pura-pura tersentak.

"Oh, maksudnya selama ni Qis cari sebab nak gaduh dengan Adan?"

Balqis mengangkat bahu.


"Mungkin."

Haris ketawa kecil sambil terus membantu menyiapkan pesanan pelanggan. Namun, dalam diam, dia perasan Balqis beberapa kali mencuri pandang ke arahnya.

Setelah beberapa minit berlalu dan pelanggan semakin berkurang, Haris duduk di bangku kecil di belakang gerai. Dia memerhatikan Balqis yang sibuk mengelap meja, kelihatan seperti sedang berfikir sesuatu.

"Qis okey?" tanya Haris perlahan.

Balqis berhenti mengelap meja dan menoleh ke arahnya. Dia teragak-agak seketika sebelum bersuara, "Qis ada benda nak cakap."

Haris menegakkan badan.


"Cakaplah."

Balqis menarik nafas dalam.

"Adan rasa… kalau dua keluarga ada hubungan baik, tapi dalam masa yang sama ada perkara yang mungkin boleh buat keadaan jadi janggal, macam mana?"

Haris mengerutkan dahi.


"Maksud Qis?"

Balqis menggigit bibir, seperti sedang menyusun kata-kata.

"Qis… Qis dapat tahu sesuatu tentang abah Qis. Tentang… perasaannya pada seseorang."

Haris mengangkat kening.


"Siapa?"

Balqis mengambil masa sebelum menjawab,


"Umi..., Adan."

Haris yang sedang duduk bersandar terus menegakkan tubuh.


"Apa?"

Balqis mengangguk perlahan.

"Qis sendiri pun terkejut bila tahu. Selama ni abah tak pernah tunjuk apa-apa. Tapi, abang Firdaus ada beritahu, abah pernah menyimpan perasaan pada Acik Su sejak dulu lagi. Dia tak pernah lupakan, tapi sebab kami masih kecil masa tu, abah tak nak fikir soal perkahwinan semula."

Haris tergamam. Dia cuba menghadam kenyataan itu tetapi kepalanya terasa berserabut.

"Jadi… maksudnya, kalau abah Qis betul-betul serius…"

Balqis mengangguk.

"Kalau abah betul-betul serius, Adan mungkin akan jadi…"

Haris terus bangun dari bangku.

"Jangan habiskan ayat Qis!."

Balqis tergelak kecil.

"Tapi itu realitinya, Adan. Kalau umi Adan dan abah Qis berkahwin, Adan akan jadi abang tiri Qis."

Haris menekan pelipisnya.

"Astaghfirullah. Ini bukan sesuatu yang Adan jangka akan berlaku dalam hidup Adan."

Balqis tersenyum, tetapi ada sedikit kegelisahan dalam nada suaranya.

"Qis pun tak tahu macam mana nak hadapinya. Tapi, Qis tahu satu benda…"

Haris menoleh ke arahnya.

"Apa?"

Balqis merenungnya seketika sebelum menjawab, "Qis tak nak kita berubah."

Haris terdiam. Kata-kata Balqis itu membawa maksud yang lebih mendalam daripada sekadar hubungan keluarga.

Sebelum Haris sempat membalas, Firdaus tiba-tiba muncul dari arah belakang, membuatkan mereka berdua tersentak.

"Apa yang berubah?" soal Firdaus dengan wajah penuh tanda tanya.

Haris dan Balqis saling berpandangan.

Dan pada ketika itu, Haris tahu—hubungan mereka baru sahaja menjadi lebih rumit.

Firdaus masih berdiri di situ, matanya bersilih ganti memandang Haris dan Balqis.

"Apa yang berubah?" soalnya sekali lagi, kali ini dengan nada lebih tegas.

Balqis menelan liur, cuba menyusun ayat.

"Abang…" Dia menarik nafas perlahan, mencari kekuatan untuk menerangkan perkara yang mereka sendiri belum pasti bagaimana untuk menghadapinya.

Haris pula berdeham sebelum menjawab,

"Maksudnya… kalau betul abah Qis dengan umi Adan…" Dia menggigit bibir, sukar untuk menyebut kata-kata seterusnya.

Balqis menyambung dengan suara yang hampir berbisik, "Kalau mereka berkahwin, Qis dan Adan…" Dia tidak mampu meneruskan ayatnya.

Firdaus mengangkat kening, kemudian seakan baru memahami maksud mereka.


"Oh…" Dia mendengus perlahan dan bersandar di meja jualan. "Jadi, itu yang korang fikirkan sekarang?"

Haris dan Balqis hanya diam.

Firdaus melepaskan tawa kecil yang kedengaran lebih seperti keluhan.

"Aku tak sangka benda ni akan jadi isu besar untuk korang berdua."

Haris menjeling Firdaus.

"Fir rasa ini benda kecil?" suaranya sedikit keras, jelas menampakkan kekeliruannya.

Firdaus mengangkat bahu.

"Aku tak cakap benda kecil. Tapi, bagi aku, kalau benda ni betul-betul berlaku, kau berdua je yang boleh tentukan hala tuju hubungan korang. Kalau korang dah rapat, tak salah pun teruskan. Tak ada hukum yang menghalang, cuma mungkin situasi akan jadi… janggal."

Balqis menunduk, jari-jarinya menggenggam apron yang dipakainya.

"Itulah yang Qis risaukan. Qis tak nak hubungan kita berubah, tapi dalam masa yang sama Qis tak tahu macam mana nak hadapi semua ni kalau betul abah dengan Acik Su…"

Haris mengusap wajahnya, kelihatan benar-benar serabut.

"Aku pun tak tahu nak cakap apa. Aku suka umi aku bahagia, aku nak dia ada pasangan yang boleh jaga dia. Tapi…"

"Tapi kau tak boleh nafikan yang situasi ni buat kau rasa serba salah," celah Firdaus dengan nada memahami.

Haris mengangguk.

"Aku tak boleh tipu diri sendiri. Aku—" Dia tiba-tiba terhenti, matanya beralih ke arah Balqis yang masih tertunduk.

"Adan rasa kita perlu cakap hal ni dengan umi dan abah Qis sendiri."

Balqis mengangkat wajah, matanya redup.

"Adan fikir itu idea yang baik?"

Haris menarik nafas panjang.

"Kalau kita terus pendam, makin susah kita nak hadapi keadaan ni. Kita kena tahu sejauh mana seriusnya perasaan abah Qis dan umi Adan. Kalau betul mereka ada niat ke arah perkahwinan, kita kena bersedia."

Firdaus mengangguk setuju.

"Betul juga kata Adan. Tak guna kita buat spekulasi sendiri. Lebih baik kita dapatkan kepastian."

Balqis menggigit bibirnya, kelihatan ragu-ragu. Namun akhirnya dia mengangguk perlahan.

"Baiklah. Tapi… macam mana kalau mereka betul-betul serius?"

Haris memandang tepat ke matanya.

"Maka kita kena buat keputusan. Sama ada kita biarkan keadaan tentukan segalanya… atau kita berjuang untuk apa yang kita rasa."

Mata Balqis berkaca. Ada ketakutan di wajahnya, tetapi dalam masa yang sama ada harapan yang tidak mampu disangkal.

Firdaus menepuk bahu Haris.

"Apa pun, aku sokong apa yang kau rasa betul, bro."

Haris tersenyum hambar.

"Mudah cakap, susah nak buat."

Dan pada saat itu, mereka bertiga tahu, apa yang akan berlaku selepas ini mungkin akan mengubah segalanya.

***

Malam itu, angin bayu bertiup lembut, tetapi hati Haris dan Balqis bagai diselubungi ribut. Masing-masing duduk di rumah mereka sendiri, namun fikiran mereka masih tertumpu pada perbualan petang tadi.

Haris termenung di beranda rumahnya, menatap langit gelap yang bertaburan bintang. Fikirannya bercelaru, antara gembira melihat ibunya mungkin menemui kebahagiaan baharu dan perasaan janggal yang mula menyelinap dalam hubungannya dengan Balqis.

"Kenapa aku rasa macam ni?" bisiknya sendiri.

Dia meraup wajahnya, cuba menghalau kekusutan yang semakin menyelubungi benaknya. Dia menginginkan yang terbaik untuk ibunya, tetapi dalam masa yang sama, dia takut kehilangan sesuatu yang sudah mula tumbuh antara dia dan Balqis.

"Abang…"

Suara Hasrina mengejutkannya dari lamunan. Adiknya itu muncul dengan secawan air di tangan.

"Abang kenapa termenung jauh ni? Nampak macam ada masalah besar."

Haris mengambil cawan dari tangan Hasrina, meneguk sedikit sebelum mengeluh.

"Kalau Rin dalam situasi abang, apa Rin akan buat?"

Hasrina duduk di sebelah abangnya, bersandar pada tiang kayu beranda.

"Maksud abang, pasal umi dan abah Balqis?"

Haris mengangguk.

Hasrina tersenyum kecil.

"Abang takut kehilangan Balqis ke?"

Haris menelan liur. Pertanyaan Hasrina tepat menusuk ke dalam hatinya.

"Entahlah, Rin… Abang cuma tak nak keadaan jadi rumit."

Hasrina ketawa kecil.

"Abang ni, peliklah. Kalau betul umi nak kahwin dengan abah Balqis, tak ada apa yang perlu abang risaukan. Tak ada undang-undang pun yang kata abang tak boleh dengan Balqis."

Haris menghela nafas.

"Abang tahu… Tapi situasi ni buat abang rasa serba salah."

Hasrina mengerutkan dahi.

"Serba salah sebab apa? Sebab abang tak nak umi kahwin, atau sebab abang takut hubungan abang dengan Balqis berubah?"

Haris diam. Dia sendiri tidak pasti jawapan sebenar.

Hasrina menepuk bahu abangnya.

"Abang jangan overthink sangat. Apa pun keputusan umi, abang kena sokong. Dan kalau abang betul suka Balqis, abang kena buat sesuatu sebelum keadaan jadi lebih rumit."

Haris tersenyum nipis.

"Rin ni macam lebih matang daripada abang pulak."

Hasrina menjungkit kening sambil tersengih.

"Mestilah. Abang yang dulu selalu confident, mana pergi?"

Haris menggeleng kecil, tetapi kata-kata Hasrina melekat di hatinya.

***

Di rumah sebelah, Balqis juga tidak mampu tidur. Dia duduk di tepi katil, memeluk bantal sambil merenung telefon di tangannya. Jarinya sudah lama menaip mesej untuk Haris, tetapi dia tidak berani menghantarnya.

"Adan, awak rasa macam mana kalau umi awak dan abah Qis betul-betul kahwin?"

Dia menghela nafas dan akhirnya memadam mesej itu.

"Balqis…"

Suara ayahnya, Lebai Haji Bakhtiar, mengejutkan dia. Balqis mendongak dan melihat ayahnya berdiri di pintu bilik.

"Kenapa termenung sorang-sorang?" soal ayahnya sambil masuk ke dalam bilik.

Balqis cuba tersenyum, tetapi senyuman itu tidak berjaya menyembunyikan resahnya.

"Tak ada apa-apa, abah…"

Lebai Haji Bakhtiar duduk di birai katil, menatap wajah anak perempuannya dengan pandangan penuh kasih.

"Hati Qis tak tenang, kan?"

Balqis menggigit bibirnya.

"Abah… Qis nak tanya satu benda."

"Hmm?"

Balqis menarik nafas dalam.

"Abah betul-betul suka Acik Suraya?"

Ayahnya terdiam sejenak sebelum mengangguk perlahan.

"Abah dah lama suka dia, Balqis. Sejak kau kecil lagi, sejak arwah ibu kau pergi."

Balqis menelan liur.

"Kalau betul abah dengan Acik Su kahwin… hubungan Qis dengan Adan macam mana?"

Yey, semakin rapat dua ketui ni, tp tulah..knapa rsanya janggal kan Balqis???Happy reading gaiss..jemput follow and comment..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience