SUATU malam selepas menunaikan solat Tarawih di rumah Puan Suraya...
“Umi, Qal pun nak suruh umi meminang orang juga!”
Kenyataan itu membuatkan semua orang di ruang tamu rumah Puan Suraya terpaku. Balqis yang sedang menghirup teh hampir tersedak. Haris pula terus mengangkat kening dengan wajah penuh minat.
Lebai Haji Bakhtiar dan Puan Suraya yang sedang berbincang mengenai persiapan pernikahan mereka langsung berhenti berbual.
“Haiqal, kau biar betul?” Haris bertanya dengan nada teruja.
Haiqal tersengih.
“Seriuslah, Adan. Aku rasa dah sampai masanya aku kahwin.”
Puan Suraya mengerutkan dahi.
“Siapa pula calon kamu ni, Haiqal?”
Haiqal menghela nafas panjang. Matanya bersinar, bibirnya tersenyum kecil, seakan-akan dia sudah lama menyimpan rasa itu.
“Ingat tak, umi… malam pertama abang Adan kita ni jadi imam masa solat Tarawih di masjid?”
Semua orang terdiam, cuba mengingati kembali kejadian itu.
“Malam tu, umi ada tegur seorang gadis yang pakai tudung biru gelap. Umi kata umi berkenan dengan dia sebab dia nampak sopan dan ada adab.”
Balqis ternganga.
“Qal suka dia?”
Haiqal tersengih.
“Dah lama sebenarnya, kak.”
Haris menepuk paha.
“Masya-Allah, Haiqal! Kau simpan lama betul! Aku sebagai abang langsung tak tahu!”
Balqis memandang adik iparnya dengan penuh minat.
“Macam mana Qal kenal dia?”
Haiqal tersenyum kecil, seakan-akan teringat sesuatu yang indah.
Semua ini bermula pada bulan Ramadan tahun lepas....,
Haiqal yang ketika itu baru pulang dari tempat kerja sambilannya singgah ke masjid untuk solat Asar. Dalam keletihan, dia duduk di anak tangga masjid, menghirup udara dari angin yang bertiup lembut sambil menikmati suasana petang yang tenang.
Ketika itulah, seorang gadis bertudung biru melintas di hadapannya. Dia tidak perasan kehadiran Haiqal kerana sibuk menundukkan pandangan sambil membawa bakul berisi makanan.
Namun, malang tidak berbau. Gadis itu tersadung di lantai marmar masjid, dan bakulnya terlepas dari pegangan. Kuih-muih bertaburan di atas lantai.
Haiqal yang melihat kejadian itu segera berlari mendapatkan gadis itu.
“Awak tak apa-apa?”
Gadis bertudung biru itu mengangkat wajahnya, dan saat itu, Haiqal merasakan seolah-olah dunia terhenti seketika.
Lembutnya wajah itu. Matanya bundar, pipinya sedikit merah kerana malu.
“Saya… saya tak apa-apa,” jawab gadis itu perlahan.
Tanpa berlengah, Haiqal membantu mengutip kuih yang berterabur.
“Banyaknya kuih, awak jual ke?”
Gadis itu mengangguk.
“Saya tolong mak. Ni semua untuk juadah moreh malam ni.”
Haiqal tersenyum.
“Boleh saya tolong bawa?”
Gadis itu menolak perlahan.
“Tak apa, saya boleh—”
Namun, Haiqal sudah pun mengangkat bakul itu dan tersenyum.
“Saya pun nak ke dalam masjid juga. Anggap saja saya dapat pahala tolong orang.”
Sejak hari itu, Haiqal sering melihat gadis bertudung biru itu di masjid, tetapi dia tidak pernah berani mendekatinya lebih daripada sekadar senyuman sopan. Sehinggalah malam pertama Haris menjadi imam, Puan Suraya sempat memuji gadis itu.
Haiqal tahu, dia tidak boleh hanya menjadi pemerhati selamanya.
“UMI, TOLONG PINANGKAN DIA”
Balqis tersenyum mendengar cerita itu.
“Romantik juga adik ipar aku ni.”
Puan Suraya memandang Haiqal lama.
“Kamu betul-betul serius, Haiqal?”
Haiqal mengangguk yakin.
“Qal yakin, umi. Qal dah solat istikharah.”
Haris segera menyampuk dengan penuh semangat.
“Senang! Kita buat majlis lepas raya. Sanding sekali dengan umi dan abah!”
Balqis segera menepuk lengan suaminya.
“Abang! Semua nak sanding sekali!”
Haris tertawa.
“Apa salahnya? Lagi meriah!”
Namun, tiba-tiba, Puan Suraya dan Balqis saling berpandangan.
Balqis menggigit bibir.
“Tapi abang… kalau masa tu Qis tengah mabuk mengandung, macam mana?”
Suasana menjadi hening.
Haris yang tadinya penuh keyakinan tiba-tiba menelan liur. Dia tidak pernah terfikir tentang itu.
Haiqal pula sudah menepuk bahunya sambil tergelak kecil.
“Haa, Adan fikir pasal tu dulu sebelum rancang nak sanding besar-besaran.”
Haris hanya mampu tersengih, manakala Balqis sudah menunduk, wajahnya merona malu.
Mungkin, sebelum sibuk menyusun majlis, mereka perlu bersedia untuk sesuatu yang lebih besar. Kemungkinan bakal menimang cahaya mata.
***
Restoran itu dihias indah dengan susunan lilin dan kelopak mawar yang bertaburan di atas meja. Cahaya malap mencipta suasana romantis, dan alunan muzik perlahan melatari pertemuan istimewa itu. Haiqal menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah masuk. Haris yang berada di belakangnya menepuk bahunya perlahan.
"Jangan gementar. Kau boleh buat."
Haiqal mengangguk. Dalam hatinya, dia berterima kasih kepada abangnya yang telah mengaturkan semuanya. Tanpa Haris, mungkin dia masih terkial-kial mencari jalan untuk mendekati gadis bertudung biru yang telah mencuri hatinya sejak malam pertama dia melihatnya di masjid.
Di satu sudut restoran, kelihatan seorang gadis duduk dengan tenang, jemarinya membetulkan lipatan tudung birunya. Dia tersenyum lembut saat melihat Haiqal menghampiri.
"Assalamualaikum," sapanya dengan suara halus.
"Waalaikumussalam," jawab Haiqal sambil menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya.
Selama beberapa minit, hanya bunyi sudu berlaga dengan pinggan yang kedengaran. Haiqal menggenggam hujung lengan bajunya, cuba mengumpul keberanian.
"Jadi… awak tahu kenapa saya ajak awak ke sini?" tanyanya, cuba memulakan perbualan.
Gadis itu tersenyum kecil.
"Saya rasa saya boleh teka."
Haiqal menarik nafas lega.
"Saya suka awak. Sejak pertama kali nampak awak di masjid, hati saya dah terdetik. Tapi saya tak pasti sama ada perasaan saya ni hanya kekaguman atau benar-benar ikhlas. Sampailah saya cuba kenal awak lebih dalam, dan saya sedar, saya memang nak awak jadi sebahagian daripada hidup saya."
Gadis bertudung biru itu tunduk, menggenggam jemari sendiri. Ada keluhan halus terlepas dari bibirnya.
"Haiqal… saya juga sukakan awak. Sejak pertama kali awak tersenyum kepada saya, saya tahu hati saya takkan selamat. Tapi sebelum awak teruskan, ada sesuatu yang saya perlu beritahu."
Haiqal menelan liur.
"Apa dia?"
Gadis itu memandangnya dengan mata yang mula berkaca.
"Saya pernah bertunang. Dan saya pernah dikecewakan."
Haiqal terkedu. Dia tidak menjangka pengakuan itu.
"Dahulu, saya pernah percaya bahawa cinta pertama saya akan kekal selamanya. Tapi tunang saya…" Gadis itu menghela nafas dalam. "Dia curang. Dia tinggalkan saya untuk perempuan lain beberapa minggu sebelum pernikahan kami."
Haiqal diam, mendengar setiap butir kata itu dengan penuh teliti.
"Dan…" suara gadis itu semakin perlahan, seakan berbisik. "Saya… saya tidak suci lagi, Haiqal."
Perkataan itu seperti guntur yang menyambar langit jiwanya. Haiqal terdiam, mencerna makna yang baru didengarinya.
Gadis itu tersenyum tawar.
"Saya tak salahkan awak kalau awak berubah fikiran. Saya tahu, ramai lelaki mahukan seorang isteri yang sempurna. Dan saya bukan lagi perempuan yang sempurna."
Sunyi.
Haiqal menatap wajah gadis itu, melihat betapa jujurnya dia. Betapa dalam luka yang dia tanggung. Tapi, peliknya, perasaannya tidak berubah.
Sebaliknya, dia hanya merasa, kasihan.
Kasihan kerana gadis ini telah melalui pengalaman pahit. Kasihan kerana dia harus menanggung beban seorang diri.
Haiqal menarik nafas panjang.
"Awak tahu tak?"
Gadis itu mengangkat wajah, memandang Haiqal dengan mata penuh tanda tanya.
"Saya memang nak seorang isteri yang sempurna," kata Haiqal perlahan, tetapi dengan senyuman yang mula terukir di bibirnya. "Tapi sempurna bukan pada sejarah silamnya, tapi pada bagaimana dia melangkah ke masa depan. Kalau awak masih sudi, saya tak kisah. Saya nak bina sesuatu yang baru dengan awak."
Mata gadis itu mula berkaca.
"Betul ke, Haiqal? Awak tak kisah?"
Haiqal mengangkat bahu.
"Saya kisah… kalau awak tak suka saya balik."
Gadis itu tersenyum dalam tangisannya.
"Saya sukakan awak."
Haiqal menarik nafas lega.
"Alhamdulillah… Nasib baik. Kalau tak, saya dah rancang nak minta abang Haris kutip semula deposit restoran ni."
Gadis itu ketawa kecil, menutup mulut dengan jemarinya.
"Haiqal, awak ni…"
"Saya ni bakal suami awak. InsyaAllah." Haiqal mengenyit mata nakal.
Dan malam itu, di bawah cahaya lilin yang lembut, satu janji baru terukir antara mereka. Cinta bukan tentang masa silam, tetapi tentang keberanian untuk melangkah ke hadapan bersama-sama.
Makan malam pada awalnya penuh dengan debaran kini bertukar menjadi perbualan mesra dan santai. Haiqal dan gadis bertudung biru itu semakin serasi, berbual tentang latar belakang masing-masing. Gadis itu, akhirnya memperkenalkan namanya sebagai Sofea Ardyla, berasal dari sebuah keluarga sederhana dari utara tanah air. Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kini bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah berhampiran kawasan mereka.
"Saya sebenarnya tak pernah terfikir akan jumpa seseorang seperti awak, Haiqal. Saya ingat, saya akan habiskan hidup saya dengan kerja dan keluarga sahaja," kata Sofea sambil tersenyum malu.
Haiqal ketawa kecil.
"Jangan risau, bukan awak sorang saja fikir macam tu. Saya pun dulu macam tu juga, tapi tiba-tiba abang Haris sibuk nak jadi matchmaker."
Dari kejauhan, Haris dan Balqis yang duduk di hujung restoran hanya mampu tersenyum melihat gelagat Haiqal yang semakin akrab dengan Sofea.
"Macam tak percaya ya, Haiqal yang selalu buat lawak hambar boleh jadi romantik macam ni," bisik Balqis kepada Haris.
Haris mengerutkan dahi, berpaling memandang isterinya.
"Apa maksud sayang?"
Balqis tersenyum nakal.
"Maksud sayang, Qal lagi romantik dari abang."
Haris berpura-pura merajuk, menyilangkan tangan ke dada.
"Abang ni tak cukup romantik ke?"
"Hmm…" Balqis pura-pura berfikir, sambil jari telunjuknya menyentuh dagu. "Mungkin abang boleh belajar sikit dari adik abang."
Haris mengeluh panjang, lalu berpaling ke arah Sofea dan Haiqal.
"Kalau macam tu, abang batalkan saja perkahwinan mereka."
Balqis tergelak kecil dan mencubit lengan suaminya.
"Abang ni suka sangat menyakat orang!"
Namun, tiba-tiba Balqis berhenti ketawa. Wajahnya berubah, dan dia meletakkan tangan ke perut. Rasa mual yang datang secara tiba-tiba membuatkan kepalanya berpusing.
"Abang…" Balqis bersuara perlahan, tangannya menekup mulutnya.
Haris segera menangkap perubahan wajah isterinya.
"Balqis, sayang okey?"
Balqis tidak menjawab. Dia terus bangun dan berlari ke arah tandas, menyebabkan Haris cemas. Tanpa berfikir panjang, Haris mengejarnya.
Haiqal yang sedang berbual mesra dengan Sofea turut terganggu dengan kejadian itu. Dia bangun serta-merta, diikuti Sofea.
"Apa yang jadi?" Sofea bertanya, risau melihat wajah Haiqal yang berubah cemas.
"Kak Qis tiba-tiba mual, takut dia sakit perut," balas Haiqal.
Tanpa membuang masa, Haris muncul kembali dengan wajah panik.
"Haiqal, kita kena bawa Balqis ke klinik sekarang!"
Tanpa berlengah, mereka semua bergegas meninggalkan restoran. Temu janji romantik Haiqal dan Sofea terpaksa dibatalkan, tetapi tiada siapa yang kesal kerana kebimbangan mereka kini tertumpu kepada Balqis.
Di dalam kereta, Haris memandu dengan cemas, sesekali menjeling ke arah Balqis yang duduk di sebelahnya, wajahnya pucat.
"Sayang sakit kat mana? Sayang rasa nak muntah lagi?" tanya Haris risau.
Balqis hanya menggeleng perlahan, cuba mengawal rasa mual yang masih berbekas.
Di belakang, Haiqal dan Sofea saling berpandangan, masing-masing berdebar dengan keadaan yang berlaku.
"Rasanya… Kak Balqis mengandung kot," Sofea bersuara perlahan, membuatkan Haiqal tersentak.
"Kalau betul, abang Haris bakal jadi ayah!"
Haiqal tersengih sendiri, tetapi segera menutup mulutnya apabila Haris menjeling tajam melalui cermin pandang belakang.
Walaupun dalam keadaan panik, Balqis sempat mencubit lengan suaminya.
"Tengok, siapa cakap awak tak romantik? Tak sempat romantik, terus masuk hospital nanti!"
Haris hanya mampu mengeluh panjang.
"Sayang ni sempat lagi nak menyakat?"
Balqis ketawa kecil, namun tetap memejam mata menahan ketidakselesaan.
Dan di sebalik kekalutan malam itu, tanpa sedar, sebuah berita gembira mungkin bakal menyinari keluarga kecil mereka.
Di dalam bilik pemeriksaan, Balqis duduk di atas katil sementara Haris setia berdiri di sisinya, menggenggam erat tangannya. Haiqal dan Sofea menunggu di luar dengan debaran. Doktor yang bertugas, seorang wanita pertengahan usia yang ramah, tersenyum sambil melihat keputusan pemeriksaan Balqis.
"Puan Balqis, tahniah. Puan Balqis mengandung," ujar doktor dengan nada lembut tetapi penuh kegembiraan.
Balqis terkebil-kebil, seakan tidak percaya dengan berita itu.
"Saya… mengandung?"
Haris juga terpana beberapa saat sebelum senyuman lebar terukir di wajahnya.
"Ya Allah… betul ke, doktor?"
Doktor mengangguk.
"Betul, Encik Haris. Sebab itulah Puan Balqis rasa mual dan cepat penat. Ini perkara biasa bagi ibu mengandung pada trimester pertama."
Balqis menggigit bibir, matanya berkaca. Pelbagai emosi berkecamuk dalam dadanya. Teruja, takut, gembira, dan sebak. Dia menoleh ke arah Haris, yang masih dalam keadaan teruja tetapi cuba mengawal perasaannya.
Haris tiba-tiba mencium dahi isterinya dengan penuh kasih sayang.
"Sayang, awak dengar tak? Kita bakal jadi ibu dan ayah!"
Balqis tersenyum dalam sendu.
"Qis tak sangka secepat ini, abang…"
Doktor ketawa kecil.
"Nampaknya Encik Haris perlu bersedia dari sekarang untuk jaga isteri dan bakal anak."
Haris mengangguk penuh semangat.
"Saya janji saya akan jaga mereka sebaik mungkin!"
Sebaik mereka keluar dari bilik pemeriksaan, Haiqal dan Sofea segera mendekati dengan wajah penuh tanda tanya.
"Macam mana? Kak Balqis okey?" tanya Haiqal cemas.
Haris tersenyum lebar sebelum menepuk bahu adiknya.
"Haiqal, kau bakal jadi pakcik!"
Haiqal terkebil-kebil seketika sebelum wajahnya berubah ceria.
"Seriuslah?! Alhamdulillah!" Dia terus merangkul Haris dalam pelukan erat.
Sofea pula tersenyum manis sambil mengucapkan tahniah.
"Tahniah Kak Balqis, Abang Haris! Ini berita paling gembira malam ni!"
Yey, semuanya dh bertemu jodoh dh...chef Haris pula nk menimang cahaya mata...Happy reading gaiss...jemput follow and comment..
Share this novel