HAIQAL memandu dengan tenang, sesekali melirik ke arah Sofea yang duduk di sebelahnya dengan wajah masam mencuka. Sejak keluar dari rumah Puan Suraya, isterinya itu langsung tidak bercakap. Tangannya bersilang di dada, bibir mencebik, mata memandang ke luar tingkap. Tidak lagi menghiraukan si suaminya yang tekun memandu.
"Bukan main mogok lagi," Haiqal menggumam perlahan.
"Apa?" Sofea menoleh dengan kening berkerut.
"Tak ada apa-apa," jawab Haiqal cepat-cepat.
Sesampainya di klinik, Sofea masih berlagak malas. Bila dipanggil masuk ke bilik doktor, dia berjalan teramat perlahan seperti kaki diikat rantai besi. Haiqal hampir mahu menarik tangan isterinya, mengheretnya itupun kalau bukan kerana dia takut ditampar di tempat awam. Haiqal terlalu letih untuk melayani kerenah Sofea saat ini.
Di dalam bilik pemeriksaan, doktor hanya tersenyum mendengar aduan Haiqal tentang perubahan Sofea sejak kebelakangan ini. Selepas beberapa soalan dan pemeriksaan ringkas, doktor akhirnya mengesahkan sesuatu yang membuatkan Sofea dan Haiqal sama-sama terdiam.
"Tahniah, puan mengandung!"
Sofea terkebil-kebil. Haiqal pula terkaku.
"Saya... saya betul-betul mengandung?" Sofea akhirnya bersuara.
Doktor mengangguk sambil tersenyum.
"Ya, puan. Kandungan puan ni masih awal, tapi ini berita gembira, bukan?"
Sofea mengalihkan pandangan kepada Haiqal yang masih memandang doktor seperti patung cendana.
"Abang?" panggil Sofea, cuba membaca reaksi suaminya.
Haiqal masih tidak bersuara. Matanya berkaca, bibir bergetar, dan tanpa disangka—dia terus memeluk Sofea erat!
"Honey... kita bakal jadi ibu dan ayah! Alhamdulillah..." katanya teruja.
Sofea yang masih dalam keadaan separuh percaya akhirnya tersenyum kecil.
"Jadi, ais krim tu boleh dapat lebih satu scoop, kan?"
Sofea tayang muka paling comel.
"Ya, honey...untuk honey, abang tak kisah berapa scoop pun. Terima kasih, honey..terima kasih doktor"
***
Selepas keluar dari klinik, Haiqal terpaksa menepati janjinya untuk membeli ais krim buat isterinya yang kini berstatus ‘bakal ibu’. Mereka berhenti di sebuah kios ais krim yang terkenal dengan pelbagai pilihan perisa.
Sofea berdiri di hadapan papan menu dengan mata bersinar-sinar, mulut tidak henti-henti membebel seperti kanak-kanak kecil yang teruja melihat gula-gula.
"Abang, Sofea nak perisa coklat, vanila, strawberi, karamel, dan matcha," katanya penuh semangat.
Haiqal mengangkat kening.
"Banyaknya? Honey nak makan semua ke?"
Sofea menjuih bibir.
"Bukan ke abang kata kita bakal jadi ibu dan ayah? Jadi, sekarang Sofea kena makan untuk dua orang!"
Haiqal menarik nafas panjang.
"Baik, baik... abang belikan semua."
Lima minit kemudian, Haiqal muncul dengan dua kon ais krim besar—satu di tangan kanan dan satu lagi di tangan kiri. Sofea menyambutnya dengan penuh kegembiraan seperti kanak-kanak dapat hadiah mainan baru.
Namun, kegembiraan Haiqal tidak bertahan lama.
"Abang, ini bukan perisa yang Sofea nak!" Sofea mencebik.
Haiqal terkejut.
"Hah? Tapi tadi honey cakap nak coklat, vanila, strawberi, karamel, dan matcha?"
Sofea menggeleng laju.
"Tapi sekarang Sofea rasa nak mangga, blueberry, dan salted caramel pula!"
Haiqal memejam mata seketika, menarik nafas dalam-dalam sambil beristighfar dalam hati.
"Honey... awak tahu tak yang abang ni manusia biasa? Bukan pelayan khas untuk perubahan selera awak setiap lima minit?"
Sofea tiba-tiba mencebik dan matanya berair.
"Jadi, abang tak sayang Sofea lah?" suaranya lirih.
Haiqal hampir pitam.
"Ya Allah, honey... Janganlah menangis. Okey, okey, abang belikan lagi."
Dan di situlah Haiqal berdiri semula di barisan kios ais krim, membeli perisa yang berbeza kali ini, sementara Sofea tersenyum manja sambil menjilat ais krimnya dengan penuh bahagia.
"Bakal ayah kena banyak bersabar," gumam Haiqal sambil menggosok pelipisnya.
***
Haiqal memandu ke rumah abangnya dengan seribu satu perasaan berkecamuk. Dia perlu seseorang untuk mengadu, dan siapa lagi kalau bukan Haris? Sejak berita kehamilan Sofea, kehidupannya bagaikan roller coaster yang tak berhenti berpusing. Satu saat isterinya manja, saat berikutnya merajuk, dan beberapa minit kemudian menangis kerana teringat kisah sedih dalam drama yang ditonton malam sebelumnya. Argh, pening!
Dia menekan loceng rumah Haris dengan nafas terhela panjang. Tidak sampai seminit, pintu terbuka, menampakkan wajah abangnya yang sedikit keletihan.
“Ada hal apa ni, Qal?” Haris bertanya sambil bersandar di pintu.
Haiqal melangkah masuk tanpa dipelawa, terus melabuhkan punggung di sofa.
“Adan... aku penatlah. Aku dah tak tahu macam mana nak layan perangai Sofea.”
Haris terkekeh kecil sebelum menutup pintu. Dia duduk di sebelah adiknya dengan senyum simpul.
“Dulu bukan main janji nak jaga isteri elok-elok. Baru kena sikit, dah datang mengadu?”
Haiqal menjeling tajam.
“Adan ingat Sofea ni biasa-biasa ke? Dia boleh tukar mood dalam lima saat, tau! Tadi senyum, tiba-tiba menangis, pastu marah. Aku rasa macam berkahwin dengan empat orang isteri dalam satu badan!”
Haris ketawa besar mendengar rungutan Haiqal.
“Aku dah agak. Sofea mengandung baru berapa minggu, perangai dah naik tahap lima bintang.”
Haiqal meraup muka.
“Itulah masalahnya! Sebab tu aku datang ni, Adan. Aku nak tahu…kak Qis macam mana?”
Haris tersenyum sambil bersandar di sofa.
“Alhamdulillah, Balqis dah dua bulan. Tapi... perangai dia pun boleh tahan pelik. Kadang-kadang dia nak durian, tapi bila dah ada depan mata, dia kata bau dia menyakitkan hidung.”
Haiqal menepuk dahi.
“Tolonglah... macam mana nak hadap semua ni?”
Baru sahaja Haris ingin membuka mulut, suara seseorang menyampuk dari belakang.
“Haiqal, dulu masa kecik-kecik pun banyak drama juga,” ujar Puan Suraya yang muncul dari dapur.
Haiqal memandang umi mereka dengan dahi berkerut.
“Maksud umi?”
Puan Suraya tersenyum sinis.
“Masa kecil dulu, umi dan arwah abi selalu keliru. Umi beranak kembar atau sebenarnya seorang anak je yang menyusahkan?”
Haris tergelak kuat, manakala Haiqal mencebik.
“Umi ni kejam!” rungutnya, melipat tangan di dada.
Puan Suraya mendekati Haiqal dan menepuk lembut bahunya.
“Tapi, nak jadi suami dan bakal ayah yang baik, kenalah sabar. Apa yang Sofea lalui sekarang bukan mudah. Badan dia sedang berubah, hormon tak stabil, emosi naik turun. Jadi, sebagai suami, Haiqal kena lebih matang, lebih bertimbang rasa.”
Haiqal mengeluh perlahan.
“Tapi umi... Qal betul-betul rasa macam Qal kehilangan isteri Qal. Sofea bukan Sofea yang dulu.”
Puan Suraya tersenyum.
“Haiqal, seorang wanita yang mengandung akan berubah, tapi perubahan itu bukan selamanya. Bila dah bersalin nanti, Sofea akan kembali seperti biasa, mungkin lebih matang sebagai seorang ibu. Haiqal kena bersabar dan belajar untuk menjadi lebih memahami.”
Haiqal termenung seketika. Kata-kata umi ada benarnya. Dia hanya perlu lebih bersabar.
“Baiklah umi,” ujar Haiqal akhirnya. “Qal akan cuba.”
Haris menepuk belakang adiknya sambil tersengih.
“Bagus, adik aku. Sabar itu kunci utama dalam rumah tangga. Ingat, jangan sesekali cari pasal dengan perempuan mengandung. Silap hari bulan, kau boleh tidur luar.”
Haiqal mengerutkan dahi.
“Adan ni tak menakutkan, boleh tak?”
Puan Suraya dan Haris tergelak besar. Haiqal hanya mampu mengeluh. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tahu bahawa inilah cabaran dalam perkahwinan yang perlu dia tempuhi sebagai seorang suami dan bakal ayah.
Setelah puas mendengar ceramah percuma daripada umi dan sindiran tajam daripada Haris, Haiqal akhirnya mengalah. Dia pulang ke rumah ibu mentuanya, Puan Safiya, dengan harapan dapat memujuk Sofea dan membuktikan bahawa dia suami yang penyabar—walaupun hakikatnya, dia dah hampir hilang kewarasan.
Sampai di halaman rumah, Haiqal menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk. Baru sahaja dia ingin menolak daun pintu, ia terlebih dahulu terbuka dari dalam. Terjengul wajah Sofea dengan ekspresi muka yang sukar dijangka.
Mata mereka bertemu. Sofea berpeluk tubuh sambil menjeling tajam.
"Kenapa balik?" soalnya pendek.
Haiqal menelan liur. Ini perangai mana pula yang muncul sekarang?
"Sebab rumah ini rumah mak awak. Abang datang nak ambil isteri abang balik."
Sofea mengangkat kening tinggi.
“Oh, sekarang baru ingat saya isteri?”
Haiqal mengeluh dalam hati. Sabar, Haiqal, sabar.
“Sofea, awak tak boleh lari setiap kali awak marah. Honey isteri abang. Abang bertanggungjawab jaga honey,” katanya dengan nada lebih lembut.
Sofea menjungkit bibir.
“Jaga saya atau jaga hati jiran sebelah?”
Haiqal mengeluh kuat kali ini.
"Ya Allah, Mona lagi? Sampai bila honey nak tuduh abang ada apa-apa dengan dia?"
Sofea meletakkan tangan di pinggang.
“Sampai dia berhenti buat suara manja depan abang!”
Haiqal menepuk dahi.
“Demi Allah, abang tak layan dia! Abang cuma jawab apa yang dia cakap. Itu pun dah cukup buat honey marah?”
Sofea mengerutkan dahi. Tiba-tiba matanya berkaca.
“Sebab honey sayangkan abang, bodoh!” jeritnya.
Haiqal terkedu.
“Honey tengah mengandung, emosi honey tak stabil, badan honey penat, dan honey takut kalau abang berpaling tadah! Saya tak nak kehilangan awak, Haiqal,” luah Sofea sambil mengesat air mata.
Haiqal terasa sebak. Dia tak sangka, di sebalik perangai ‘roller coaster’ isterinya, ada ketakutan yang Sofea sendiri tak mampu bendung.
Tanpa berfikir panjang, Haiqal terus menarik Sofea ke dalam pelukan.
“Sofea, dengar sini baik-baik,” bisiknya di telinga isterinya. “Abang cuma cintakan honey seorang. Tak ada perempuan lain. Honey isteri abang, ibu kepada anak kita. Abang takkan tinggalkan honey.”
Sofea teresak perlahan di dada suaminya.
Dari sudut ruang tamu, Puan Safiya yang sejak tadi memerhati babak itu menghela nafas lega. Dia tersenyum kecil sambil menggeleng.
“Drama betul anak menantu aku ni…” gumamnya sambil mencapai kain untuk mengelap meja.
Selepas beberapa minit, Sofea akhirnya melepaskan pelukan. Mukanya kemerahan kerana malu.
"Honey lapar," katanya tiba-tiba.
Haiqal tersenyum kecil.
“Nak makan apa?”
Sofea berfikir sejenak sebelum matanya bercahaya.
"Ais krim!"
Haiqal mengeluh.
“Honey tahu tak abang pening kepala melayan permintaan honey ni?”
Sofea menjelir lidah.
“Itu tugas seorang suami!”
Haiqal tergelak kecil sebelum mencuit hidung isterinya.
“Baiklah, jom kita pergi beli ais krim. Tapi lepas ni tak boleh merajuk lama-lama lagi, faham?”
Sofea mengangguk laju dengan wajah ceria.
Dari jauh, Puan Safiya menggeleng kepala sambil tersenyum. Dalam hati, dia bersyukur melihat anak perempuannya bahagia bersama suami yang penyabar.
Namun, satu persoalan timbul di fikirannya.
Bagaimana agaknya keadaan Haiqal nanti bila Sofea masuk trimester ketiga? Puan Safiya tersenyum sinis. Haiqal mungkin perlu lebih banyak bersabar.
***
Haiqal menekan pedal minyak dengan tenang, namun jantungnya berdebar kencang. Bukan kerana memandu laju, tapi kerana perempuan di sebelahnya yang sedang memegang perut dengan riak wajah penuh drama.
"Honey lapar sangat ni, abang… Honey rasa kalau tak makan ais krim dalam masa sepuluh minit lagi, honey boleh pengsan," rungut Sofea sambil merengek.
Haiqal menjeling.
"Tadi honey kata nak ais krim je, sekarang macam nak mati kebuluran pula."
Sofea menjeling tajam.
"Abang ni tak faham hati perempuan mengandung ke?"
Haiqal menghela nafas panjang.
"Faham, faham. Cuma abang pelik, tadi lepas makan nasi berlaukkan asam pedas mak, honey kata dah kenyang."
Sofea menepuk paha suaminya.
"Itu lain! Itu makanan berat. Ni honey nak sesuatu yang manis dan sejuk! Jangan banyak soal, pusing sana, masuk kedai ais krim tu!"
Haiqal akur. Dia segera membelok ke tempat parkir di hadapan kios ais krim yang dimaksudkan. Namun, belum sempat dia menarik brek tangan, Sofea sudah membuka pintu dan meluru keluar.
"Astaghfirullah… Sofea! Jangan berlari!" jerit Haiqal cemas, bimbang kalau isterinya tersadung atau terjatuh.
Tapi Sofea tidak mengendahkan. Dia sudah berdiri di kaunter, menekan dagunya dengan tangan, berfikir dengan serius.
"Hmm… Nak perisa apa ya?" gumamnya sendiri sambil merenung papan menu.
Haiqal datang dari belakang, mengeluh penat.
"Ambil je lah coklat. Itu kan kegemaran honey."
Sofea mencemik.
"Tapi honey rasa macam nak vanila pula."
"Okay, vanila."
"Tapi strawberi pun nampak sedap…"
Haiqal menarik nafas.
"Baik, strawberi."
Sofea mengerut dahi.
"Tapi… yang perisa matcha tu macam menarik juga…"
Haiqal hampir pitam. Dia menahan kesabaran sambil memicit pelipis.
"Honey, pilih satu je. Jangan buat pekerja ni pening."
Sofea tersengih memandang pekerja di kaunter yang sudah mula resah.
"Okeylah, saya nak campur semua sekali dalam satu cawan!" katanya dengan gembira.
Haiqal menepuk dahinya perlahan.
"Ya Allah… ini nak makan ais krim ke nak buat eksperimen?"
Namun, dia tetap mengeluarkan duit dan membayar tanpa banyak soal. Selepas menerima ais krim dengan pelbagai warna bercampur-campur, Sofea mula menikmatinya dengan penuh kenikmatan.
"Mmm… Sedapnya! Abang, abang nak rasa?" tanya Sofea sambil menyuakan sudu ais krim ke arah suaminya.
Haiqal tersenyum dan membuka mulut, tetapi saat sudu itu hampir sampai ke bibirnya, Sofea menarik kembali.
"Eh, tak boleh! Honey nak makan sorang je!" katanya sambil ketawa kecil.
Haiqal mendengus, tapi melihat wajah isterinya yang bersinar kegembiraan, dia hanya mampu menggeleng.
"Honey ni betul-betul mencabar kesabaran seorang suami, tahu tak?" katanya dengan nada separuh putus asa.
Sofea menjelir lidah.
"Itulah tugas seorang isteri!"
Haiqal tergelak kecil sambil menggeleng.
Dalam hati, dia tahu, walaupun isterinya kadang-kadang mencabar kesabarannya, dia tetap mencintai Sofea sepenuh hati.
Dan dia rela menghadapi apa sahaja dugaan—walaupun termasuk kerenah pelik seorang isteri mengandung yang sukar diramal!
Aduhai...Sofea byk betul kerenah kau ya, mujur dpt suami penyabar...Happy reading gaiss..jemput follow and comment.
Share this novel