JERITAN Balqis yang tiba-tiba lantang di ruang tempat letak kereta bawah tanah itu bergema kuat, namun seakan diserap dinding konkrit sekeliling. Damia terpaku seketika, matanya terbeliak memandang pisau yang sudah terbenam di perut Balqis. Darah merah pekat mengalir deras, membasahi baju kurung moden berwarna biru laut yang baru sahaja mereka beli bersama.
"AKAK!!" jerit Damia, suara tenggelam dalam gementar dan panik. Tangannya menggigil saat menyambut tubuh Balqis yang rebah ke pangkuannya, nafas wanita itu turun naik laju dalam kesakitan.
"Damia...sakit..." bisik Balqis lemah, tangan menggenggam kainnya sendiri yang kini dibasahi darah.
"Ya Allah… akak!" Damia menjerit, pandangannya kabur dek air mata yang deras mengalir. Dia memandang sekeliling, cuba menjerit meminta tolong, namun kawasan parkir itu lengang. Tiada siapa. Tiada siapa yang datang.
Lelaki bertopeng itu sudah melarikan diri entah ke mana. Hanya tapak kasut berdarahnya yang tinggal sebagai bukti keganasan yang baru berlaku.
Damia meraba beg tangan, cuba mengeluarkan telefon bimbit namun tangannya menggigil terlalu kuat. Beberapa kali telefonnya terlepas.
“Tolong! Seseorang tolong kami!!” suaranya parau, hampir hilang kawalan. Dia akhirnya berjaya mendail nombor kecemasan.
“Akak, bertahanlah! Ambulans dalam perjalanan, dengar tak? Jangan tidur! Jangan tutup mata!” jerit Damia sambil memeluk tubuh Balqis erat.
Tapi Balqis semakin lemah. Matanya mulai layu, wajahnya pucat seolah-olah kesemua darahnya telah mengalir keluar.
“Akak... nak... mati...” suaranya bagai bisikan angin. Terlalu perlahan.
“Jangan cakap macam tu, kak! Kita nak pilih langsir pelamin lagi, kan? Akak janji nak ajar I masak gulai tempoyak!” Damia terus bercakap-cakap, mengharapkan suara dan air matanya cukup kuat untuk menyedarkan sahabatnya itu.
Tapi nafas Balqis semakin berat, semakin jarang.
Ketika itu juga, satu kelibat berlari dari arah pintu masuk parkir. Haraz.
“AQIS!!!”
Haraz menjerit, suaranya cukup nyaring memecah kesunyian. Wajahnya berubah pucat saat melihat darah yang membanjiri lantai simen dan tubuh Balqis yang sudah tidak bergerak. Dia terdorong ke hadapan, melutut di sisi Damia dan jandanya yang tercedera parah.
“Apa yang terjadi?! SIAPA BUAT NI?! SIAPA?!” jeritnya sambil memangku tubuh Balqis dari Damia, wajahnya penuh amarah dan panik.
Damia hanya mampu menangis sambil menuding ke arah tempat lelaki itu menghilang.
Haraz menggigil, tangannya cuba menekan luka di perut Balqis, cuba memberhentikan pendarahan. Tapi darah itu terus mengalir, membasahi baju dan seluar Haraz tanpa henti.
“Sayang, jangan tinggal abang... Aqis... please... jangan tidur,” bisik Haraz, air matanya jatuh membasahi wajah jandanya.
Damia mengesat air mata.
“Mia... Mia minta maaf. Mia menjerit... lelaki tu panik...terus tikam akak...—”
“Bukan salah awak!” jerkah Haraz, namun bukan dalam nada marah. Lebih kepada putus asa. Pandangannya kabur oleh tangisan yang tak terbendung.
Bunyi siren ambulans akhirnya bergema dari kejauhan, namun bagi Haraz, bunyi itu terlalu lambat. Terlalu menyeksa untuk ditunggu.
Dengan wajah yang kemerahan menahan kemarahan, Haraz mendongak ke langit kosong parkir itu.
“Aku akan cari kau... siapa pun kau... kau takkan terlepas!”
Dan dalam dakapan Haraz yang menggigil dan tubuh Damia yang menangis teresak-esak di sisi, Balqis berjuang antara sedar dan tidak, bertarung untuk nyawanya dan untuk cinta yang belum sempat dia sempurnakan.
***
Bunyi siren ambulans meraung kuat menembusi kesibukan jalan raya. Di dalam ruang sempit yang bergoyang itu, bau ubat dan darah bersatu menghimpit dada Haraz yang setia menggenggam tangan Balqis. Tubuh wanita itu terbaring lemah, dikelilingi paramedik yang bertungkus-lumus menstabilkan keadaannya. Namun, wajah Balqis sudah terlalu pucat, bibirnya kebiruan dan matanya separuh terbuka. Masih cuba menentang takdir yang makin mendekat.
“Sayang... tolong bertahan... kita dah janji nak nikah semula lepas Raya... jangan tinggal abang macam ni, Aqis... jangan,” rayu Haraz dengan suara serak. Air matanya menitis laju, jatuh pada jemari Balqis yang digenggamnya erat.
Balqis menarik nafas perlahan, hampir tak kedengaran. Tubuhnya terangkat sedikit saat dia cuba membuka mulut.
“Haraz...” suara Balqis begitu perlahan, hampir seperti bisikan angin terakhir yang menyapa dunia fana.
Haraz terus mendekat.
“Ya, abang di sini. Cakap, sayang. Abang dengar.”
“Saya... saya tahu... ajal saya dah dekat...” Nafasnya tersekat-sekat, dada naik turun dengan payah. “Tapi... saya... ada satu permintaan terakhir…”
Haraz menggeleng pantas.
“Jangan cakap macam tu. Aqis akan selamat. Aqis akan sembuh. Doktor tengah rawat. Jangan cakap pasal mati sekarang, Balqis... tolonglah...”
Namun Balqis mengangkat tangan lemah, menggenggam lengan Haraz.
“Dengar dulu... kalau... kalau saya tak sempat... abang... kahwinlah dengan Damia. Dia baik, dia sayang anak-anak. Saya nampak... dia mampu jaga abang... dan anak-anak kita...”
Haraz tergamam, wajahnya terus kaku.
“Tidak! Tidak, Aqis! Jangan cakap benda ni! Aqis yang abang nak! Bukan orang lain! Bukan Damia!”
Namun, Balqis tak lagi mempedulikan tangisan Haraz. Dengan segala kudrat yang tersisa, dia mengalih pandangan ke arah Damia yang duduk kaku di hujung ruang ambulans dengan mata bengkak menahan tangis.
“Damia...” panggil Balqis perlahan. Damia tersentak, lalu segera merapat.
Balqis mengangkat tangannya yang berlumuran darah dan menggenggam lengan Damia.
"Akak... akak amanahkan awak... tolong jaga Haraz... dan anak-anak akak... boleh?”
Damia menangis.
“Jangan buat I macam ni, kak... I tak nak akak pergi. Mia sayang akak. I nak akak kuat, kita masih ada masa!”
Namun Balqis mengukir senyuman yang sangat kecil, seolah-olah dia sedang melepaskan seluruh beban dari jiwanya.
Perlahan-lahan, dengan tangan yang menggigil, Balqis menyatukan jemarinya dengan jemari Damia—dan kemudian mencapai tangan Haraz lalu meletakkannya di atas tangan Damia.
“Tolong...” bisik Balqis. “Jangan biarkan mereka keseorangan...”
Saat jari-jemari mereka bertaut—seolah menyambung wasiat terakhir seorang isteri dan ibu—Balqis menghela nafas panjang, dalam, dan...
“Aqis?!” Haraz menjerit. “Balqis!!!”
Monitor jantung di sisi mula berbunyi tidak sekata. Garisan nadi naik turun secara rawak sebelum akhirnya jatuh mendatar.
“Tekanan darah menjunam! Dia henti nafas!” jerit paramedik.
“Defib, cepat! 1, 2, 3—CLEAR!”
Tubuh Balqis terangkat seketika. Tiada tindak balas.
Haraz terdorong ke belakang, tubuhnya menggigil melihat wanita yang sangat dicintainya kini sedang bertarung dengan ajal. Damia pula sudah terduduk, mulutnya terkunci, hanya air mata yang terus bercucuran melihat Balqis terkulai, dengan jemarinya masih tergenggam bersama tangan Haraz dan Damia.
Dalam ruang ambulans yang sempit dan dingin itu, masa seakan terhenti. Hanya gema doa, tangisan, dan degupan jantung manusia yang mencintai tanpa syarat bergema di antara hidup dan mati.
***
Haraz berdiri termangu di hadapan pintu bilik kecemasan yang baru saja tertutup rapat. Bunyi roda katil yang menjarakkan Balqis daripada dunia luar masih terngiang-ngiang di telinganya. Nafas Haraz turun naik, menahan tangis yang sejak tadi bergolak dalam dadanya. Bajunya sudah basah dengan darah Balqis. Di sisi, Damia duduk kaku di bangku panjang, wajahnya pucat, matanya bengkak menahan emosi yang terlalu sarat.
Beberapa orang jururawat dan doktor kelihatan bergegas keluar masuk dari bilik kecemasan. Segalanya terasa kabur bagi Haraz. Hatinya remuk—bagaimana dalam sekelip mata kegembiraan yang mereka bina untuk menyambut lembaran baru bersama, kini bertukar menjadi igauan ngeri.
“Ya Allah... selamatkan Balqis. Jangan ambil dia daripada aku lagi,” bisik Haraz dalam doanya, tangan menggenggam erat sejadah kecil yang selalu dibawanya ke mana-mana sejak Ramadan ini.
Damia mengesat air matanya, cuba menenangkan diri. Namun, suara dan bayangan Balqis yang meletakkan jemari mereka bersama masih segar dalam fikirannya. Gadis itu tahu—Balqis benar-benar ikhlas. Dan dia benar-benar sedang bersedia untuk pergi.
“Abang...” suara Damia terputus-putus. “Doktor akan buat yang terbaik... abang kena kuat... untuk anak-anak...”
Haraz hanya mengangguk, namun wajahnya tidak berganjak dari pintu bilik kecemasan. Dia tidak mahu kehilangan Balqis. Tidak untuk kali kedua. Tidak saat mereka baru mahu memulakan kembali hidup bersama. Tidak saat hatinya sudah cukup pasti—Balqis adalah seluruh jiwanya.
Beberapa jam berlalu. Waktu seakan berjalan perlahan. Bunyi tapak kaki, deringan mesin perubatan, dan suara pengumuman hospital menjadi latar sepi malam yang mencengkam dada.
Akhirnya, pintu bilik kecemasan terbuka perlahan. Seorang doktor wanita, bertubuh kecil namun tenang, melangkah keluar dengan wajah letih.
“Dr. Haraz?”
Haraz serta-merta bangun.
“Ya, saya. Macam mana dengan janda saya? Balqis?”
Doktor itu menarik nafas perlahan.
“Kami dah hentikan pendarahan. Pisau yang menikamnya terkena organ penting. Tapi alhamdulillah, dia masih kuat. Dia berjaya bertahan semasa pembedahan. Kami dah tempatkan dia di Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan rapi 24 jam.”
Air mata Haraz yang ditahan sejak tadi terus tumpah. Dia menggenggam tangan doktor itu.
“Terima kasih... terima kasih doktor...”
Damia juga menekup mulutnya, lega yang tak terungkap mengalir dalam tangisnya. Dia menunduk, membisikkan syukur dalam hatinya.
Namun doktor belum habis berbicara.
“Tapi Dr. Haraz... Balqis masih belum sedarkan diri. Keadaannya stabil tetapi masih kritikal. Segala kemungkinan masih ada. Kita perlu tunggu beberapa hari akan datang ini untuk pastikan dia benar-benar kembali pulih.”
Haraz mengangguk perlahan.
“Boleh saya tengok dia?”
“Ya. Tapi hanya sekejap. Seorang pelawat pada satu masa.”
Tanpa membuang masa, Haraz melangkah menuju ke ICU, melewati lorong-lorong dingin yang dihiasi bau ubat dan harapan. Setiap langkahnya terasa seperti meniti duri. Saat tiba di sisi katil Balqis, hati Haraz runtuh melihat tubuh jandanya terbaring dengan mesin dan wayar berselirat di sekelilingnya. Wajah Balqis masih cantik, walau terlalu pucat dan tidak bermaya.
“Sayang... abang di sini,” bisik Haraz, duduk di sisi katil. Dia mencapai tangan Balqis yang sejuk dan menggenggamnya lembut.
“Bangunlah, Aqis. Anak-anak tunggu. Kita belum sempat bernikah semula. Abang belum sempat cium dahi Aqis sebagai isteri abang buat kali kedua...” suara Haraz bergetar.
“Jangan tinggalkan abang. Kali ni, abang janji akan jaga Aqis seumur hidup.”
Damia yang memerhati dari luar bilik ICU hanya mampu berdiri dengan dada yang sesak. Hatinya berkecamuk, namun dia tahu... dia tidak pernah berada di tempat Balqis. Dan walaupun apa yang terjadi selepas ini, cinta Haraz dan Balqis adalah satu kisah yang terlalu suci untuk diganggu.
***
Derapan kaki Haraz bergema di lantai licin balai polis. Nafasnya masih turun naik, tidak teratur sejak meninggalkan hospital. Wajah Balqis yang tidak sedarkan diri menghantui fikirannya. Walau seribu kali pun dia cuba tenang, perasaan marah dan kecewa tetap mendidih dalam dada. Lelaki yang hampir meragut nyawa jandanya mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Encik... duduk dulu. Kami akan ambil keterangan sebentar lagi,” kata seorang pegawai muda yang menyambut kehadiran Haraz di kaunter.
Haraz mengangguk kecil, namun jelas raut wajahnya menegang. Damia yang datang bersamanya hanya berdiri kaku di tepi, matanya masih bengkak, trauma semalam belum habis reda.
Beberapa minit kemudian, seorang pegawai penyiasat berusia lingkungan lewat 40-an keluar dari bilik soal siasat. Namanya ASP Zahid. Dia memanggil Haraz masuk ke dalam bilik temuduga.
“Encik Haraz, sila duduk. Kami akan ambil sedikit maklumat untuk mulakan siasatan.”
Haraz duduk, namun tubuhnya kelihatan tegang. Suaranya keluar garau dan mendesak, “Saya nak penjenayah itu diberkas. Saya nak tahu siapa yang sanggup buat Balqis sampai macam tu. Ini bukan cubaan merompak biasa. Ini cubaan bunuh.”
ASP Zahid mengangguk perlahan.
“Kami faham. Tapi Encik Haraz, kami perlukan butiran yang jelas. Boleh encik ceritakan dari awal apa yang berlaku semalam?”
Haraz menceritakan kembali detik-detik serangan itu. Bagaimana lelaki bertubuh tegap bersenjatakan pisau menyerang mereka di tempat letak kereta, bagaimana Balqis ditikam, bagaimana Damia menjerit meminta tolong. Tapi dia sendiri tahu, semuanya berlaku terlalu pantas. Tiada CCTV yang berdekatan, tiada saksi mata yang cukup jelas, dan tiada nombor plat atau apa-apa petunjuk tentang penjenayah itu.
ASP Zahid mengangguk, tangannya ligat menaip di komputer.
“Encik Haraz... saya faham encik marah dan kecewa. Tapi dari cerita encik, kami tak ada maklumat kukuh untuk jejak suspek buat masa ini. Mungkin ini cubaan samun biasa. Pihak kami akan jalankan rondaan dan siasatan lanjut. Tapi setakat ini...”
“Setakat ini, apa?” potong Haraz tiba-tiba, nadanya naik.
“Balqis hampir mati! Damia trauma! Awak kata ini kes samun biasa? Lelaki tu tak ambil barang pun! Dia tikam janda saya tanpa sebab! Itu bukan samun, itu cubaan bunuh!”
ASP Zahid menarik nafas dalam, cuba menenangkan situasi.
“Encik Haraz, tolong bertenang. Kami ikut prosedur. Kalau encik ada maklumat tambahan, kami boleh...”
“Prosedur? Janda saya tengah bertarung nyawa! Awak nak tunggu dia mati baru awak nak ambil serius?” Haraz bangkit, berdiri tegak di hadapan meja, suaranya makin meninggi. “Kalau tak kerana Damia menjerit, mungkin hari ni saya tengok jenazah janda saya. Awak faham tak?”
Seorang pegawai muda yang berada di luar bilik segera masuk, cuba meleraikan ketegangan.
“Encik Haraz, bertenang ya. Kami faham emosi encik. Tapi tolong beri ruang pada pegawai kami untuk buat kerja mereka.”
Damia yang menunggu di luar segera masuk dan memegang lengan Haraz.
“Abang... tolong tenang. Kita perlukan bantuan polis. Marah macam ni takkan dapat membantu!"
Ssah betullah korang nak bahgia kan Haraz n Balqis. Mungkin Balqis dh tercipta utk Haris, bukannya Haraz??? Nak thu jawapan, kna tggu ya..Happy reading gaiss..lg dua bab nk tamat ok. Sabar tggu update ya...
Share this novel