SOFEA menutup wajahnya dengan tangan, cuba menahan tangisan. Haris dan Balqis hanya mampu memerhati dengan mata berkaca.
Walaupun Zafran sudah ditangkap, parut luka yang ditinggalkannya dalam hidup mereka tidak akan hilang begitu sahaja.
Tetapi satu perkara yang Sofea tahu dia pasti tidak lagi keseorangan. Haiqal akan sentiasa berada di sisinya dan kali ini, dia tidak akan membiarkan ketakutannya merampas kebahagiaannya lagi.
Petang itu, ambulans meluncur laju menuju ke hospital dengan siren yang bergema memenuhi jalan raya. Sofea duduk di sisi Haiqal di dalam ambulans, menggenggam erat tangannya yang semakin sejuk. Jari-jemarinya sedikit menggigil, tetapi dia tidak peduli. Matanya berkaca, melihat lelaki itu yang menahan kesakitan dengan wajah yang semakin pucat.
“Haiqal… tahan sikit lagi ya. Kita dah nak sampai hospital,” bisik Sofea, cuba menenangkan dirinya sendiri lebih daripada menenangkan Haiqal.
Lelaki itu tersenyum kecil, walaupun bibirnya tampak pucat.
“Tak sangka… kita bakal sambut raya dekat hospital tahun ni…” suaranya lemah tetapi masih cuba berseloroh.
Sofea menggeleng sambil mengesat air mata.
“Jangan cakap banyak, Haiqal. Awak kena simpan tenaga.”
Di sebelahnya, Haris memandang adik kembarnya dengan perasaan bercampur-baur.
“Kau memang cari pasal, Haiqal. Kenapalah kau tak boleh biar aku aje yang kena tikam?” gerutu Haris, tetapi nada suaranya penuh dengan kegusaran.
Haiqal ketawa perlahan sebelum meringis kesakitan.
“Sebab kalau kau yang kena, kak Balqis akan buat huru-hara satu hospital nanti.”
Balqis yang duduk di penjuru ambulans memeluk tubuh dengan muka cemberut.
“Huh! Memang patut pun. Mana boleh suami kak Qis kena tikam sesuka hati. Kak Qis dah janji kalau jumpalah si Zafran mangkuk ayun tu lagi, kak Qis sumpah nak sumbat dia dengan sepuluh biji bahulu sekali gus!”
Sofea menahan sebak sambil mengeluh. Dalam keadaan genting begini, mereka masih boleh bergurau. Haiqal masih sempat tersenyum. Haris masih sempat membebel. Balqis pula… memang itulah Balqis!
Tetapi jauh di sudut hatinya, Sofea merasa sangat bersalah. Semua ini terjadi kerana dirinya.
***
Hari raya akhirnya menjelang, tetapi suasana tidak seperti yang mereka bayangkan. Sayup suara takbir memuji kebesaran Ilahi, menandakan hari ini hari kemenangan bagi umat Islam.
Hospital dipenuhi dengan pesakit dan ahli keluarga yang datang menziarah, tetapi tidak ada yang lebih menarik perhatian berbanding sekumpulan ahli keluarga yang sedang beraya di dalam sebuah bilik pesakit, bilik Haiqal.
Puan Suraya, Lebai Haji Bakhtiar, Haris, Balqis, dan Sofea memenuhi bilik itu dengan juadah raya yang dibawa dari rumah. Kuih-muih tersusun di atas meja kecil, sementara Balqis sibuk menyusun ketupat dan rendang dalam bekas makanan khas.
Haiqal yang masih terbaring di katil hospital memandang suasana di sekeliling dengan wajah bingung.
“Aku sakit ke, atau ni mimpi? Kenapa bilik aku macam dah bertukar jadi warung?”
Balqis menjelir lidah.
“Kami semua berpakat nak raya dekat sini sebab Qal tak boleh balik rumah.”
Haris mencelah dengan nada sinis.
“Dan sebab Balqis tak puas hati kuih bahulu yang dia buat tak sempat jadi hantaran, dia nak buat kuih bahulu tu jadi pencuci mulut pesakit hospital pula.”
Balqis menjeling suaminya tajam.
“Abang nak kena cubit ke?”
Puan Suraya hanya menggeleng kepala sambil menghidangkan rendang ke dalam pinggan.
“Haiqal, walaupun kau terbaring dekat hospital, kau tetap kena makan. Jangan ingat boleh diet semata-mata sebab kena tikam.”
Haiqal ketawa kecil.
“Umi, orang sakit kena makan bubur. Ni umi nak bagi rendang dengan ketupat, betul ke ni?”
“Bubur apanya? Qal ingat ni luka Qal tu parah sangat ke?” Puan Suraya mencemik. “Makan jelah apa yang ada. Lagipun, doktor kata Qal dah stabil. Asal tak makan kuih bahulu kak Balqis kamu yang keras macam batu tu, Insya-Allah Qal takkan pengsan lagi.”
Balqis merajuk sambil memeluk bahu Sofea.
“Sofea, tengoklah dorang ejek kuih kak Qis. Kak Qis buat khas tau, untuk bakal biras kak Qis ni.”
Haiqal mengangkat kening sambil tersenyum ke arah Sofea.
“Bakal biras, eh?”
Sofea tersentak. Wajahnya merona merah serta-merta.
“Kak Balqis, akak ni suka buat cerita sendiri.”
Balqis tersengih nakal.
“Bukan cerita, tapi fakta yang bakal jadi kenyataan. Kan, umi?”
Puan Suraya hanya tersenyum penuh makna.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana.”
Haiqal hanya ketawa kecil sambil memandang Sofea dengan penuh kasih. Walaupun dia masih sakit, walaupun luka masih berdenyut, tetapi hari raya tahun ini terasa lebih bermakna.
Dia mungkin tidak dapat beraya di rumah, tetapi dia tetap dapat beraya dengan orang-orang yang dia sayang.
Dan paling penting, dia tahu… Sofea kini berada di sisinya, tidak lagi cuba menjauh.
***
"Haa... sakitnya, Sofea! Tolong Haiqal..."
Haiqal berguling di atas sofa dengan wajah berkerut, satu tangan menekan perutnya yang dibalut dengan kain gauze. Keluhan dan rengekannya memenuhi ruang tamu, membuatkan Puan Suraya yang sedang menikmati teh tariknya memandang dengan wajah jemu.
"Masalahnya, luka ni dah nak sembuh pun, Haiqal. Sakitnya macam kena bedah jantung!" Sofea bersuara sambil berpeluk tubuh.
"Haiqal kan sakit, kena layan dengan baik... aduh!" Haiqal merengek lagi sambil menggoyangkan kakinya, menambah efek dramatik.
Puan Suraya meletakkan cawan tehnya dengan sedikit kasar di atas meja.
"Haiqal, kau ni lelaki ke budak kecil? Tak tahan sakit langsung!"
"Sakitlah, umi! Sofea tak faham penderitaan Haiqal ni!" Haiqal memandang Sofea dengan wajah penuh harapan. "Sofea, buatkan sup ayam boleh? Haiqal nak makanan berkhasiat supaya cepat sembuh."
Sofea menjeling.
"Tak payah berdrama sangat, Haiqal bukan masuk ICU."
"Habis tu, siapa nak jaga Haiqal?"
Puan Suraya mendengus sebelum mengangkat kening ke arah Sofea.
"Sofea. Umi dah letih layan kerenah Qal. Kepala umi boleh pening dengar Qal merengek macam budak tiga tahun."
Sofea terkedu.
"Saya?"
"Ya, kamu. Tolong bagi dia apa-apa saja yang boleh buat dia diam!"
Haiqal tersenyum puas.
"Nampak tak, Sofea? Umi pun suruh awak jaga saya. Hah, ambil kesempatan ni untuk bermanja dengan bakal suami ni."
Sofea mengangkat bantal dan melemparkannya tepat ke muka Haiqal.
"Jaga sendiri!"
Namun, Haiqal terus mengerang kesakitan sambil memegang bantal di dada.
"Sofea, hati saya lebih sakit dari luka di badan ni!"
Sofea menghela nafas panjang.
"Baiklah! Saya buatkan sup ayam untuk awak, tapi dengan satu syarat."
"Apa?"
"Jangan merengek lagi."
Haiqal mengangguk pantas, senyuman lebar terukir di wajahnya.
"Baik, sayang!"
Puan Suraya menggelengkan kepala sambil tersenyum sinis.
"Lelaki zaman sekarang... manjanya terlebih dos."
Puan Suraya melepaskan keluhan berat sebelum menoleh ke arah Sofea dengan wajah tegas.
“Umi serahkan tugas menjaga Haiqal pada kamu, Sofea. Tapi ingat, jaga batas. Jangan sampai ada benda yang tak diingini berlaku.”
Sofea yang sedang melipat lengan bajunya untuk menuju ke dapur terus menegakkan tubuh.
“Err… benda tak diingini?”
Puan Suraya menjeling tajam ke arah Haiqal yang masih berbaring manja di atas sofa.
“Umi kenal sangat anak umi ni. Pantang ada peluang, mula nak ambil kesempatan. Jadi, kamu jangan layan sangat rengekan dia. Lagi satu…” Puan Suraya menyilangkan tangan di dada. “Kalau kamu rasa susah sangat nak jaga batas, senang cerita, nikah sajalah terus. Tak payah umi pening kepala fikir pasal kamu berdua lagi.”
Haiqal yang dari tadi asyik mengerang kesakitan terus bangun dan mengangguk laju.
“Setuju! Umi cakap betul, kenapa kita nak susah-susah? Sofea, jom nikah!”
Sofea hampir tersedak dengan kata-kata spontan lelaki itu.
“Awak ni kenapa?! Saya baru nak buat sup ayam, tiba-tiba kena ajak nikah?”
Haiqal tersenyum penuh makna sambil membetulkan posisi duduknya.
“Sebab umi dah bagi cadangan bernas. Kalau kita nikah, saya boleh bermanja dengan awak tanpa batas. Awak boleh urutkan saya, suapkan saya makan, malah saya boleh panggil awak ‘sayang’ tanpa awak baling bantal ke muka saya lagi.”
Sofea mencebik.
“Mimpi sajalah, Haiqal. Saya lebih rela jaga anak kucing dekat pasar daripada jaga awak.”
Puan Suraya menepuk dahi, sudah lali dengan perangai manja anaknya yang tak mengenal usia.
“Sudah! Sofea, kalau kamu tak nak nikah sekarang pun tak apa, tapi jaga batas dengan budak manja ni.”
Sofea mengangguk.
“Baik, umi.”
“Umi! Manja tu doa tau. Kalau boleh, panggil Qal ‘lelaki penyayang’ ke, ‘bakal suami romantik’ ke, baru ada vibe positif.” Haiqal menyampuk dengan wajah penuh harapan.
Sofea mengetap gigi sebelum membaling sebiji bantal ke arah lelaki itu lagi.
“Diamlah, Haiqal! Saya pergi buat sup ayam sekarang, kalau awak bising lagi, saya masuk dapur dan tak keluar-keluar!”
Haiqal cepat-cepat berbaring kembali dan menutup mulutnya dengan tangan. Puan Suraya hanya mampu menggeleng sebelum berlalu pergi, meninggalkan Sofea yang mula menyiapkan makanan sementara Haiqal tersenyum puas, walaupun masih kena jaga batas, sekurang-kurangnya Sofea tetap melayan dia.
***
Puan Suraya keluar dari biliknya dengan wajah sedikit segar setelah berehat seketika. Bau harum sup ayam menyelinap masuk ke dalam hidungnya membuatkan perutnya berkeroncong kecil. Dia terus menuju ke dapur dan melihat Sofea sedang mencuci tangan dengan senyuman puas.
“Dah siap ke sup ayam untuk budak manja tu?” soal Puan Suraya sambil bersandar di pintu dapur.
Sofea berpaling dengan senyuman sinis.
“Dah, umi. Tapi saya letak satu bahan rahsia yang akan buat Haiqal lebih cepat sembuh.”
Puan Suraya berkerut dahi.
“Hah? Bahan rahsia apa?”
Sofea menahan tawa sebelum berbisik,
“Cinta dan kasih sayang saya, umi.”
Puan Suraya menjeling.
“Amboi! Kamu jangan nak mengada lebih! Umi suruh jaga dia, bukan bercinta-cinta bagai.”
Sofea ketawa kecil sebelum mengangkat tangan tanda menyerah.
“Baik, baik. Saya cuma bergurau.”
Puan Suraya menggeleng sebelum mencapai beg tangannya.
“Jom, ikut umi pergi rumah Haris. Balqis tak sihat.”
Sofea segera mematikan api dapur sebelum mengelap tangannya dengan tuala kecil.
“Eh, macam mana dengan Haiqal? Takkan kita nak tinggalkan dia sorang-sorang?”
Puan Suraya menjungkit kening.
“Kau ingat dia budak kecik ke? Lagipun, dia dah tidur dalam bilik. Lena betul sebab ubat yang dia makan tadi.”
Sofea mencebik sambil melipat tangan.
“Haih, asyik nak tidur je kerja dia. Haiqal ni betul-betul pesakit VIP.”
Puan Suraya tersenyum sinis.
“VIP apa bendanya, dia tu lebih kepada VIB—Very Irritating Baby.”
Sofea terbahak ketawa.
“Ya Allah, tepat betul tu, umi!”
Puan Suraya turut tersenyum puas.
“Hah, jadi tak ada masalahlah kalau kita tinggalkan dia sekejap. Kalau dia bangun nanti pun, dia boleh jerit ‘Sofea, tolongggg!’ dengan suara mendayu-dayu macam drama Melayu.”
Sofea ketawa sampai perutnya sakit.
“Aduh, umi... jangan buat saya terbayang pula!”
Puan Suraya menarik tangan Sofea untuk bergerak keluar.
“Dahlah, jom! Sebelum budak manja tu tiba-tiba muncul dengan muka kesian dan suruh kamu suap sup ayam sambil lap peluh dia.”
Sofea tersentak.
“Astaghfirullah! Tak sanggup saya, umi!”
Kedua-duanya terus melangkah keluar sambil tergelak, meninggalkan Haiqal yang lena dibuai mimpi indah—mungkin tentang dirinya yang dijaga oleh Sofea dengan penuh kasih sayang.
***
Setibanya di rumah Haris, Puan Suraya dan Sofea melihat Haris berdiri di hadapan pintu dengan wajah serabut tidak berpenghujung. Rambutnya kusut, bajunya senget, dan matanya merah seakan tidak cukup tidur.
“Ya Allah, Adan! Kenapa dengan kamu ni? Apa yang jadi?” Puan Suraya terus panik melihat anaknya dalam keadaan begitu.
Haris mengeluh berat, matanya memandang ke dalam rumah sebelum kembali ke wajah ibunya.
“Umi… Balqis…”
“Balqis kenapa?! Jangan buat umi risau!”
“Balqis muntah-muntah tak berhenti sejak tadi. Badan dia pun dah lembik…”
Sofea baru menanggalkan kasut terus tersentak.
“Ya Allah! Kenapa boleh jadi macam tu?”
Haris menggaru kepalanya, wajahnya jelas bersalah.
“Lepas Qis...makan lemang dengan rendang itik buatan umi tadi…”
Senyap.
Sofea terus menoleh ke arah Puan Suraya yang juga membulatkan mata.
Puan Suraya melepaskan nafas panjang sebelum bersuara, “Ya Allah, Adan! Kenapa kamu tak bawa Balqis ke hospital lagi?!”
Haris menelan liur.
“Err… Adan ingat mungkin Qis kena masuk angin ke, atau makanan tak hadam ke…”
Puan Suraya mengetap bibir.
“Masuk angin apa kalau sampai muntah-muntah tak berhenti? Jom, cepat bawa Balqis ke hospital!”
Haris yang masih dalam kebingungan hanya mengangguk laju.
“Baik, umi! Sofea, tolong pegang beg Balqis.”
Sofea segera mengambil beg kecil yang sudah tersedia di atas meja. Sementara itu, Puan Suraya sudah melangkah ke dalam bilik, melihat Balqis yang terbaring lemah di atas katil dengan wajah pucat.
Puan Suraya menepuk dahi.
“Masalah betul… Umi masak dengan penuh kasih sayang, bukan nak bagi menantu umi jatuh sakit!”
Sofea cuba menahan tawa dalam panik.
“Err… Mungkin kak Balqis tak biasa makan rendang itik, umi? Ke rendang tu ada ‘kuasa’ lain yang kita tak tahu?”
Puan Suraya menjeling.
“Jangan nak buat lawak, Sofea! Cepat, Adan! Angkat isteri kamu, kita terus ke hospital.”
Haris tanpa berlengah terus mengangkat Balqis ke dalam pelukannya. Sofea dan Puan Suraya mengekorinya dengan pantas.
Di dalam hati, Puan Suraya hanya mampu berdoa, semoga rendang itiknya bukan penyebab utama tragedi ini!
Keluarga Puan Suraya dah beraya...korang dh siap belum persiapan raya tu...tinggal 6 hari je lagi..cepat betul msa berlalu..korang rsa Balqis muntah² tu sbb rendang ke sbb lain, hihihi..cuba teka?? Happy reading gaiss. Jemput follow and comment.
Share this novel