BCR BAB 45 : LUKA YANG BELUM SEMBUH!

Romance Series 14808

"Balqis! Ya Allah, kenapa ni, sayang?” jerit puan Maria panik sebaik sahaja melihat Balqis terduduk sambil memegang perutnya. Wajah menantunya itu sudah basah dengan peluh dan linangan air mata. Darah merah pekat mula meresap di kain keliling paha Balqis, mencetuskan ketakutan yang meruntun dada wanita separuh umur itu.

“Sakit... mama.. sakit sangat...,” suara Balqis tersekat-sekat. Genggamannya kuat di sisi permaidani, menahan rasa perit yang menjalar dari rahimnya ke seluruh tubuh.

Tanpa berlengah, Puan Maria segera menghubungi Haraz sambil satu tangan cuba menenangkan Balqis yang semakin lemah.

“Haraz! Aqis bleeding! Cepat balik atau jumpa kami di hospital!” katanya cemas, suara terketar-ketar.

"Ya Allah...Mama...Haraz tunggu kat hospital!"

Dalam perjalanan ke hospital bersama ambulans, Balqis diam membisu. Peluh dingin masih memercik, namun bukan itu yang menggusarkan hatinya, tetapi wajah wanita dalam gambar yang masih jelas tergambar di matanya. Seiras. Sangat seiras. Seperti bayangannya sendiri yang sedang bermesra dengan suaminya, Haraz. Namun dia yakin, itu bukan dirinya.

Sesampainya di hospital, Haraz yang sudah bersedia lebih awal menerpa ambulans dan segera memegang tangan isterinya.

“Aqis, sayang... abang kat sini. Abang takkan tinggalkan sayang,” katanya dengan nada yang paling lembut.

Namun mata Balqis tidak memandang Haraz seperti biasa. Ada ragu. Ada duka yang tidak mampu disembunyikan di balik wajah pucatnya.

“Kenapa… saya ada dalam gambar tu, Haraz?” soalan itu keluar lemah dari bibir Balqis, namun cukup menggetarkan jiwa Haraz.

Wajah Haraz berubah, hampir seperti baru ditampar kenyataan.

“Gambar apa, sayang?” Dia cuba berdalih, tetapi dalam hatinya mula timbul kegelisahan.

Balqis memejam mata, air mata mengalir perlahan.

“Saya bukan jururawat, Haraz. Tapi dalam gambar tu… saya nampak... diri saya. Tapi, saya sangat yakin itu bukan saya.”

Haraz terdiam. Tangannya menggenggam erat tangan isterinya, namun tidak mampu menyalurkan kehangatan yang sama seperti sebelumnya. Rasa bersalah mula menyelinap kembali dalam dadanya. Gambar-gambar itu… dia tidak pernah berniat menyimpannya untuk dilihat Balqis. Dan wanita dalam gambar itu…

***

Namun, suara tangisan bayi yang lahir awal tidak menyusul malam itu. Balqis masih perlu dipantau rapi, namun doktor mengesahkan kandungannya masih bertahan walaupun risiko kelahiran pramatang tinggi. Balqis belum sampai masa lagi untuk melahirkan bayi mereka.

Di luar wad, Haraz duduk termenung di bangku panjang. Hatinya terbelah dua—antara kebenaran yang pernah dikuburkan, dan luka lama yang belum sembuh dalam hati Balqis. Dia tahu, jawapan sebenar bakal membuka lebih banyak persoalan. Namun, selama ini dia tidak pernah menyangka bahawa bayang lama akan hadir kembali dalam bentuk yang paling menyakitkan—wanita yang terlalu mirip Balqis, tapi dia bukan isterinya, melainkan hanya bekas teman wanitanya yang hampir menjadi tunang kepada dirinya.

Dan kini, luka yang sudah mula sembuh, berdarah semula. Dan Haraz tahu, jika dia memilih untuk terus berdiam diri, dia mungkin akan kehilangan Balqis… untuk kali kedua.

***

Haraz berdiri kaku di luar wad, menatap kosong ke dalam bilik kaca di mana bayi lelakinya sedang tidur di dalam inkubator. Tubuh kecil itu disambungkan dengan pelbagai tiub dan mesin pemantauan. Nafasnya masih perlahan, namun stabil. Haraz mengusap wajah sendiri yang terasa panas, kepalanya berserabut, jiwanya porak-peranda.

“Abang takut kehilangan Aqis dan anak kita…” bisiknya perlahan, suaranya hampir lenyap ditelan bunyi mesin perubatan yang berdetik mengikut degupan jantung kecil itu.

Di wad bersalin, Balqis masih lemah namun matanya tidak mampu untuk tertutup. Walaupun ubat tahan sakit mengalir dalam tubuhnya, perasaannya tetap membuak—antara curiga, luka dan kekeliruan. Wajah wanita dalam gambar itu masih menghantuinya.

Haraz melangkah masuk, tenang dari luar namun hatinya retak berderai. Balqis memalingkan muka, tidak mampu menatap mata suaminya.

“Awak akan cerita... atau saya kena cari sendiri?” soal Balqis lemah, namun nadanya cukup tajam.

Haraz menghela nafas panjang. Dia duduk di tepi katil, menggenggam jari Balqis yang dingin. Namun, Balqis seperti tidak merelakan perbuatan Haraz itu.

“Abang tak tahu nak mula dari mana. Tapi abang tahu... abang tak boleh sembunyikan lagi, terutama bila abang tengok Aqis terluka sebab kisah yang abang pendam,” ujar Haraz perlahan.

Balqis masih diam, namun tidak lagi menarik tangannya seperti tadi.

“Wanita dalam gambar tu… namanya Adrea. Dia jururawat di hospital tempat abang bertugas dulu. Dia... pernah menjadi sebahagian daripada hidup abang sebelum abang kenal Aqis.”

Wajah Balqis tidak berubah, namun jari jemarinya mula menggigil sedikit. Haraz menggenggam lebih erat.

“Abang sayang Adrea. Tapi hubungan kami… salah. Abang tahu abang silap, dan abang cuba tamatkan semuanya bila abang sedar ia tak ke mana. Tapi, Adrea tak mahu melepaskan abang begitu saja. Dia mula… mengugut.”

“Ugutan macam mana?” suara Balqis sedikit bergetar.

“Dia simpan gambar-gambar kami. Dia pernah ugut untuk tunjukkan gambar tu pada semua orang... termasuk suami dia sendiri.”

Balqis memandang Haraz dengan mata yang membulat.

“Suami?”

Haraz mengangguk perlahan.

“Abang tak tahu Adrea dah berkahwin waktu tu. Bila abang tahu, abang cuba jauhkan diri. Tapi... dia terus mengganggu, sehinggalah dia... terbunuh dalam kemalangan jalan raya, beberapa minggu sebelum abang bertemu Aqis. Ingat lagi, masa kita jumpa kat kubur dulu tu, abang baru je sudah menziarahi pusara arwah Adrea. Sebab tu, abang terkejut sangat, nasib masa tu kita tak sama-sama pengsan”

Balqis menutup mulutnya, terkejut. Wajahnya sudah pucat.

“Abang simpan gambar tu bukan sebab abang tak boleh lupakan dia. Tapi abang simpan sebagai peringatan... peringatan supaya abang tak ulangi kesilapan sama. Tapi kini, gambar tu melukai awak, dan abang kesal... sangat kesal.”

Air mata Haraz mula mengalir perlahan.

“Aqis, abang pernah menyakiti orang. Abang pernah jadi lelaki yang penuh dendam, iri hati, dan tamak. Dan abang takut… satu hari nanti, kisah lama abang akan buat abang kehilangan Aqis. Tapi hari ini, abang lebih takut kalau abang tak jujur dengan Aqis… abang akan tetap kehilangan Aqis, walaupun Aqis ada di depan mata abang.”

Balqis diam. Hatinya bergelora. Sakit yang dia rasakan bukan hanya kerana luka pembedahan, tetapi kerana luka yang baru terkuak semula. Tentang siapa lelaki di sisinya ini sebenarnya.

Namun, saat Haraz memandangnya penuh harapan dan kesungguhan, Balqis tahu—lelaki itu bukan lagi Haraz yang dulu.

Dia menghela nafas perlahan, cuba menenangkan hatinya yang sedang ribut.

“Saya tak pasti saya boleh lupakan semuanya dalam masa terdekat, Haraz… tapi saya tahu, awak cuba jadi lelaki yang lebih baik kan?”

Haraz mengangguk perlahan, matanya berkaca.

Balqis menyambung, dengan nada sedikit berbisik, “Dan awak tahu kan, luka hati saya mungkin perlahan sembuh… kalau awak beri nama anak kita dengan nama yang penuh makna. Nama yang mengingatkan saya tentang kita, bukan siapa kita dahulu.”

Haraz tersenyum dalam air mata.

“Abang dah fikirkan nama itu... kalau sayang setuju.”

Balqis memandangnya sambil mengelap air mata.

“Apa namanya?”

Haraz mendekat dan berbisik lembut di telinganya, “ Haris Haqeem–yang bijaksana dan penyabar. Sama seperti mommynya.”

Balqis tersenyum. Dan untuk pertama kalinya, dia membenarkan dirinya menangis—bukan kerana kecewa, tetapi kerana harapan.

***

Beberapa hari selepas pembedahan, keadaan Balqis semakin pulih walaupun tubuhnya masih lemah dan pergerakannya terbatas. Namun, satu permintaan yang terbit dari bibirnya membuatkan Haraz terdiam sejenak.

"Haraz… boleh tak bawa saya jumpa anak kita?"

Suara itu perlahan, hampir seperti bisikan, namun cukup menggugah hati Haraz. Lelaki itu hanya mengangguk dan terus menolak kerusi roda Balqis ke Unit Rawatan Neonatal. Hatinya berdebar seperti kali pertama melihat wajah anak kecil itu—Haris Haqeem.

Setibanya mereka di bilik kaca, mata Balqis terpaku. Nafasnya terhenti seketika. Bayi kecil itu sedang lena, wajahnya tenang dalam balutan putih, lengkap dengan topi kecil berwarna biru lembut. Mata, hidung, dagu… semuanya seperti salinan lelaki yang pernah menjadi pelengkap hidup Balqis dahulu—arwah Haris.

Air mata yang bergenang akhirnya gugur perlahan, namun tidak mampu ditahan. Mengalir laju, satu demi satu seperti air jernih yang sudah lama ditahan di empangan hati. Haraz yang berada di sisi terus menggenggam tangan Balqis.

“Kenapa… kenapa dia seiras sangat dengan Haris?” suara Balqis tersekat-sekat, dadanya berombak menahan tangis.

“Sayang…” Haraz berbisik lembut, tidak tahu harus memujuk dengan cara apa.

“Saya sayangkan awak, Haraz. Tapi saya juga pernah sayangkan Haris sepenuh hati. Dan sekarang… awak beri saya zuriat yang menyerupai dia. Saya tak tahu patut bersyukur atau… sedih.”

Haraz hanya diam. Telinganya menangkap setiap bait kata-kata itu dan hatinya mula diselubungi satu perasaan yang sukar digambarkan. Cemburu? Kecewa? Atau mungkin… tertekan dengan bayangan lelaki yang sudah tiada namun masih hidup dalam hati isterinya?

Dan seperti menambahkan garam ke luka yang terbuka, Balqis mula membuka cerita lama—tentang Adrea.

“Haraz… saya masih fikirkan tentang wanita dalam gambar tu. Dia… macam saya. Tapi saya tak kenal dia. Siapa sebenarnya dia dalam hidup awak dulu?” soal Balqis penuh kejujuran, namun nada suaranya mencucuk ke lubuk hati Haraz.

Haraz menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan emosi yang mula menggelegak. Dia tidak mahu meledak, tidak mahu menyakiti lagi. Namun, dia juga manusia. Dan bayangan masa lalu yang cuba dikuburkan, kini digali kembali oleh wanita yang paling dia cintai.

“Aqis, tolonglah… abang dah cerita semuanya. Abang tak nak terus hidup dalam bayang-bayang kesilapan abang. Abang cuma nak fokus pada Aqis, pada anak-anak… pada Haris Haqeem.”

Balqis terdiam, air matanya masih bersisa. Dia tahu hatinya belum pulih sepenuhnya, tapi dia juga sedar—lelaki di sisinya kini bukan Haris, bukan Haraz yang dulu, tapi seseorang yang sedang belajar menjadi versi terbaik demi mereka semua.

Balqis genggam tangan Haraz perlahan, lalu berbisik, “Maaf kalau saya buat awak rasa tersepit. Saya cuma nak faham semuanya… sebelum saya mampu lepaskan semuanya.”

Haraz tunduk, mencium jemari isterinya yang dingin.

“Abang faham, sayang. Abang tunggu… sampai sayang benar-benar bersedia.”

Dan saat itu, si kecil Haris Haqeem menggeliat perlahan dalam inkubator, seolah mengerti bahawa perjalanannya bermula dari dua hati yang sedang cuba sembuh—bersama.

***

Malam menjelma dengan tenang, tetapi hati Balqis tetap bergelora. Lampu malap di bilik hospital menjadi saksi renungan panjang yang tidak sudah-sudah. Haraz sedang terlena di kerusi pelawat, tubuhnya sedikit melengkung kerana keletihan yang jelas terpalit pada wajahnya. Namun, Balqis masih berjaga, masih berperang dengan emosi yang tak kunjung reda.

Dia sudah cuba sedaya upaya untuk menerima Haraz. Sudah berkali-kali memujuk hatinya, menyakinkan diri bahawa lelaki itu telah berubah. Dia bukan Haraz yang dulu—yang bengis, kasar, dan penuh kebencian terhadap mereka. Tetapi entah mengapa, luka itu masih terasa seakan baru semalam disiat kembali. Dan kehadiran Haris Haqeem, si kecil yang terlalu mengimbas kenangan.

Tangannya menyentuh perut yang kini sudah kempis. Masih terasa seolah-olah si kecil itu sedang hidup di dalamnya. Tapi kini, bayinya itu sedang berada beberapa langkah darinya di dalam bilik pemantauan, dengan wayar bersambung ke tubuh kecilnya. Dan setiap kali Balqis menatap wajah Haris Haqeem, jiwanya bergetar—wajah itu… terlalu mirip arwah Haris.

"Kenapa… kenapa kau tak boleh lupakan dia, Balqis?" bisiknya perlahan kepada diri sendiri.

Dia menyayangi Haraz. Dia tahu. Lelaki itu sudah terlalu banyak berkorban untuknya sejak kebelakangan ini. Haraz mencintainya dengan begitu tulus, dan Balqis tahu… hanya dia dan anak-anak yang menjadi dunia Haraz kini. Tapi kenapa perasaan ragu itu masih mencengkam?

Adakah dia benar-benar menyayangi Haraz sebagai Haraz? Atau sebenarnya dia masih memandang Haraz sebagai ‘sambungan’ kepada Haris, lelaki pertama yang pernah dia cintai dan pernah pergi membawa separuh nyawanya?

Balqis menoleh ke arah Haraz yang sedang lena. Perlahan dia bangun, melangkah mendekati Haraz dan duduk di sisinya. Tangannya mengusap wajah Haraz dengan lembut, cuba mencari ketenangan.

"Kenapa awak, Haraz? Kenapa saya masih keliru? Saya nak sayang awak sepenuhnya, tapi kenangan tu... masih menghantui saya." Suaranya bergetar, seperti bicara seorang anak kecil yang bingung akan arah tuju.

Tanpa sedar, Haraz membuka matanya perlahan. Melihat Balqis yang sedang mengesat air mata, lelaki itu bingkas bangun lalu menarik tubuh isterinya ke dalam pelukan. Erat.

"Abang tahu… sayang belum sembuh sepenuhnya. Abang pun sama," Haraz berbisik, menyandarkan dagunya ke kepala Balqis. "Tapi boleh tak kita… sembuh sama-sama?"

Pelukan itu buat Balqis sebak. Dia ingin percaya. Ingin benar-benar mencintai lelaki ini tanpa ragu. Tapi dia juga perlu jujur pada dirinya sendiri. Dia masih berusaha.

"Saya cuba, Haraz. Tapi kadang-kadang saya rasa… saya jatuh cinta dengan Adan dalam diri awak. Dan bukan awak sepenuhnya."

Haraz terdiam. Namun, dia hanya memeluk Balqis lebih erat.

“Tak apa… Aqis cintailah abang macam mana pun. Asalkan Aqis izinkan abang ada dalam hati Aqis, walau sekecil ruang sekalipun. Abang sanggup tunggu… sampai Aqis yakin. Dan abang janji, abang akan jadi Haraz yang buat Aqis jatuh cinta… bukan sebab abang bayangan Haris… tapi sebab abang sendiri.”

Hai, ssah betulkan klu muka suami sekarang mirip dgn arwah suami yg dulu dan bayi mereka pun seiras arwah suami yg boleh buat hati semakin keliru. Bertabahlah Balqis..Happy reading gaiss..jemput follow dan komen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience