HAIQAL berdiri tegak di depan pintu rumah Sofea, tangannya masih melekat pada loceng yang baru ditekan. Dia tahu Sofea enggan bertemu dengannya, tetapi dia tidak peduli. Sudah cukup Sofea menjauh daripadanya tanpa alasan yang jelas. Hari ini, dia mahukan jawapan.
Sofea akhirnya membuka pintu, wajahnya terkejut melihat Haiqal berdiri di situ dengan senyuman separuh sinis.
“Awak betul-betul degil, Haiqal,” Sofea mengeluh.
Haiqal bersandar pada pintu, menyilangkan tangan di dada.
“Saya dah ajak awak berbuka sama, awak tak nak. Sekarang Qal sendiri datang ke sini, Sofea nak halau Qal?”
Sofea mengetap bibir. Dia tidak sampai hati.
“Masuklah.”
Selepas berbuka dengan hidangan sederhana yang disediakan Sofea, Haiqal langsung tidak berselera memikirkan wajah Sofea yang muram. Dia meletakkan sudu ke pinggan dan memandang gadis itu tajam.
“Sofea, Qal tak peduli semua ni. Qal cuma nak tahu, kenapa Sofea menjauh? Kenapa Sofea tiba-tiba berubah?”
Sofea menarik nafas panjang sebelum menundukkan kepala.
“Saya berubah kerana keadaan, Haiqal.”
Haiqal berkerut.
“Keadaan?”
Sofea mengangguk perlahan.
“Saya… saya tak mahu membebankan awak dengan masalah saya.”
Haiqal menekan jemarinya ke meja.
“Masalah apa yang awak maksudkan?”
Sofea menggenggam erat hujung bajunya, seolah-olah mencari kekuatan untuk berbicara.
“Ibu saya sakit, Haiqal. Dia perlukan rawatan, dan kosnya tinggi. Saya seorang saja yang bekerja untuk tanggung semua ni. Saya tak ada masa untuk diri saya, apatah lagi untuk awak.”
Haiqal terkedu. Dia tidak pernah tahu tentang ini.
“Jadi sebab itu Sofea nak jauhkan diri dari Qal?”
Sofea mengangguk, matanya mula berkaca.
“Saya tak nak awak terbeban dengan masalah saya. Saya tak nak awak rasa terpaksa…”
Haiqal menarik nafas panjang, berusaha menahan sebak.
“Sofea, awak fikir saya ni apa? Qal sayangkan Sofea, bukan sebab awak sempurna. Saya nak awak, bukan sekadar waktu senang, tapi juga waktu susah. Kenapa awak tak pernah beritahu saya?”
Sofea menggigit bibirnya.
“Sebab saya tak nak awak rasa bertanggungjawab. Saya tak nak awak terperangkap dalam hidup saya yang penuh beban.”
Haiqal menghela nafas berat.
“Dan Sofea fikir Qal boleh cari gadis lain macam tu saja?”
Sofea tidak menjawab. Dia tahu Haiqal marah, kecewa.
“Qal tak nak gadis lain, Sofea. Saya nak awak.”
Air mata Sofea tumpah, tetapi dia segera menyekanya.
“Tapi, Haiqal… Sofea dah buat keputusan. Qal berhak dapat yang lebih baik.”
Haiqal tersenyum pahit, menatap gadis itu dengan pandangan penuh luka.
“Kalau itu yang Sofea fikirkan, Qal akan buktikan yang Sofea salah.”
Sofea memejamkan mata, hatinya semakin berat. Dia takut memberi harapan, tetapi jauh di sudut hati, dia mahu percaya bahawa Haiqal benar-benar ikhlas.
Sofea terdiam. Dia tidak menjangka Haiqal akan sampai ke tahap ini—beria-ia ingin membantunya, ingin menjadi sebahagian daripada beban hidupnya. Dia menggeleng perlahan, tetapi Haiqal tidak mahu mengalah.
“Sofea, berapa kos rawatan ibu awak?” suara Haiqal lembut, tetapi penuh ketegasan.
Sofea menelan liur.
“Banyak, Haiqal. Saya tak nak awak rasa terbeban—”
Haiqal mendengus perlahan.
“Kenapa Sofea masih fikir Qal akan rasa terbeban? Bukannya Qal sorang yang kena tanggung semua ni. Kita boleh usahakan sama-sama, Sofea.”
Sofea menggigit bibir, matanya berkaca.
“Tapi kenapa, Haiqal? Kenapa awak sanggup buat semua ni?”
Haiqal tersenyum hambar.
“Apa lagi bukti yang awak nak supaya awak percaya yang saya serius dengan awak? Qal tak mintak banyak, Sofea. Qal cuma nak satu benda.”
Sofea menelan air liur, jantungnya berdegup kencang.
“Apa dia?”
Haiqal merenungnya lama sebelum bersuara.
“Qal nak Sofea buka hati Sofea untuk Qal. Itu saja.”
Sofea terpana.
“Kalau Sofea perlukan masa, Qal tunggu. Tapi Qal takkan berhenti berusaha buat Sofea nampak yang Qal betul-betul nak Sofea dalam hidup Qal,” tambah Haiqal lagi.
Air mata yang cuba ditahan akhirnya menitis di pipi Sofea. Dia tak tahu sama ada dia patut percaya atau tidak. Tetapi melihat kesungguhan Haiqal, sebahagian kecil hatinya mula cair.
“Haiqal…” suara Sofea bergetar.
Haiqal menggenggam tangan Sofea dengan lembut.
“Qal tak nak Sofea harungi semua ni seorang diri, Sofea. Qal ada. Tolong, izinkan Qal bantu Sofea.”
Sofea menunduk, cuba menahan esakannya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menolak lelaki yang begitu ikhlas mencintainya.
“Mari kita usahakan sama-sama, sayang,” pujuk Haiqal, suaranya penuh harapan.
Sofea akhirnya mengangguk perlahan. Tanpa sedar, bibirnya membisikkan satu jawapan yang membuatkan Haiqal tersenyum lega.
“Baiklah…”
Haiqal tersenyum lebar, wajahnya berseri-seri seperti bulan purnama. Hatinya berbunga-bunga setelah Sofea akhirnya menerima cintanya. Dalam keterujaan itu, matanya tertancap pada sekuntum bunga ros merah yang berkembang mekar di dalam pasu besar di halaman rumah sebelah.
Tanpa berfikir panjang, Haiqal dengan penuh romantik memetik bunga itu dan menghulurkannya kepada Sofea.
“Sofea, untuk awak. Bunga secantik ini sesuai untuk gadis secantik awak,” katanya penuh gaya bak hero filem romantik.
Namun, reaksi Sofea langsung tidak seperti yang diharapkannya. Mata Sofea membulat, wajahnya pucat.
“Ya Allah, Haiqal! Awak tahu tak bunga ni bunga siapa?!”
Haiqal mengangkat kening.
“Bunga jiran awak lah, kenapa?”
“Bunga kesayangan Aunty Kamala! Dia bela bunga ni macam anak dia sendiri, tahu tak?! Awak dah gali kubur awak sendiri, Haiqal!”
Belum sempat Haiqal memahami maksud kata-kata Sofea, satu suara nyaring kedengaran dari dalam rumah sebelah.
“Siapa ambil bunga Aunty—”
Aunty Kamala terhenti apabila matanya menangkap kelibat Haiqal yang masih menggenggam batang bunga ros yang baru dipetik itu. Mata wanita berusia lima puluhan itu membesar seperti singa melihat mangsa.
“KAU PENCURI BUNGA!!!”
Haiqal tersentak.
“Alamak—”
Tiba-tiba, dari dalam rumah, muncul seekor anjing hitam bertompok putih yang terus meluru ke arahnya. Haiqal membulatkan mata.
“Sofea, tolong saya!!!”
Sofea yang sudah menekup mulut menahan tawa hanya mampu menggeleng.
“Saya dah cakap dah, kan?”
Haiqal tidak menunggu lama. Dengan kelajuan yang menyaingi atlet pecut kebangsaan, dia melompat pagar dan berlari lintang-pukang menuju ke keretanya, meninggalkan Aunty Kamala yang sedang menjerit-jerit dalam bahasa Tamil dan anjingnya yang masih menyalak-nyalak.
Sofea akhirnya tidak dapat menahan ketawa.
“Haiqal, lain kali kalau nak romantik pun, jangan sampai kena kejar anjing!” Sofea menjerit dari jauh.
Haiqal yang sudah selamat di dalam keretanya merenung bunga ros yang masih berada di tangannya. Walaupun hampir kehilangan nyawa kerana dikejar anjing, dia tetap tersenyum puas.
“Asalkan awak bahagia, Sofea, saya sanggup buat apa saja,” katanya dengan nada penuh drama.
Dan di situ, Sofea hanya mampu menggeleng sambil ketawa, tidak percaya betapa gilanya lelaki yang baru sahaja dia terima sebagai kekasihnya.
***
Malam itu, setelah berjaya melarikan diri dari Aunty Kamala dan anjingnya, Haiqal masih tersengih sendiri di dalam biliknya. Walaupun hampir kena gigit, dia tetap puas hati kerana akhirnya Sofea menerima cintanya. Itu lebih berharga daripada sekuntum bunga ros, walaupun bunga itu hampir meragut nyawanya tadi.
Telefon bimbitnya bergetar, menandakan satu mesej masuk.
Sofea: Haiqal, awak dah selamat ke? Aunty Kamala tak datang cari awak sampai rumah, kan?
Haiqal ketawa kecil sebelum menaip balasan.
Haiqal: Saya selamat. Tapi saya rasa anjing Aunty Kamala trauma sebab saya lari terlalu laju tadi. Takut dia fikir saya hantu pula.
Tidak sampai seminit, Sofea membalas dengan emoji ketawa.
Sofea: Awak ni gila lah, Haiqal. Tapi serius, lain kali jangan ambil barang orang tanpa izin. Mujur awak lelaki. Kalau awak perempuan, Aunty Kamala mungkin dah tarik rambut awak tadi.
Haiqal tergelak kecil sebelum membalas,
: Saya akan ingat pesan awak. Tapi jangan risau, saya dah bayar harga bunga tu.
Sofea: Hah? Bayar macam mana?
Haiqal: Saya janji dengan Aunty Kamala untuk belikan dia baja pokok selama sebulan sebagai pampasan.
Sofea ketawa hingga terbatuk membaca mesej itu. Dalam diam, dia semakin kagum dengan cara Haiqal menyelesaikan masalah. Walaupun agak nakal, lelaki itu tidak pernah lari daripada tanggungjawab.
Sementara itu…
Di rumah Haris dan Balqis, Puan Suraya sedang duduk di ruang tamu sambil menikmati secawan teh panas. Haris menggeleng-geleng kepala melihat adiknya yang berlari lintang-pukang tadi.
“Abang ingatkan dia dah matang sikit, rupa-rupanya masih Haiqal yang dulu…” Haris bersuara, menahan tawa.
Balqis pula hanya tersenyum.
“Tapi jujur, Qis suka cara dia pujuk Sofea. Sanggup buat benda gila demi perempuan yang dia suka. Itu baru betul-betul 'jatuh cinta'.”
Puan Suraya yang baru keluar dari dapur dengan sepinggan kuih bahulu hanya mampu menggeleng sambil tersenyum kecil.
“Kalau lah arwah abah kamu masih ada, mesti dia pun pening kepala tengok perangai Haiqal.”
Sambil menikmati malam yang semakin larut, mereka berbual-bual tentang persiapan Hari Raya yang semakin dekat. Dengan perniagaan di bazar Ramadan kembali rancak dan berita pertunangan Haiqal dan Sofea semakin hampir, rumah mereka kembali dipenuhi kegembiraan.
Namun, dalam hati Sofea, masih ada sedikit kerisauan. Dia tahu dia sudah menerima Haiqal, tetapi mampukah dia memberi kebahagiaan yang sepatutnya kepada lelaki itu? Mampukah dia benar-benar melupakan kisah silamnya dan memulakan lembaran baru?
Persoalan itu masih menghantui fikirannya, walaupun hatinya sudah mula belajar mencintai Haiqal dengan seikhlasnya.
***
Sofea duduk termenung di birai katil, merenung telefon bimbit di tangannya. Mesej terakhir Haiqal masih terpampang di skrin. Lelaki itu benar-benar serius mahu menjadikannya sebahagian daripada hidupnya. Namun, hatinya masih dipagut rasa ragu.
"Mampukah aku membahagiakan dia? Adakah aku layak untuk Haiqal?"
Bayangan masa silamnya kembali menghantuinya. Wajah Zafran terlayar di minda, bersama kenangan pahit yang berusaha dikuburkan selama ini. Dia teringat saat dirinya ditinggalkan begitu sahaja, tanpa penjelasan. Betapa dia menangis berhari-hari, merasakan hidupnya sudah tidak bermakna. Bagaimana dia mengangkat kembali dirinya dan membina hidup tanpa bergantung pada sesiapa.
Dan kini, Haiqal hadir, memberikan kasih sayang yang tidak pernah dia bayangkan. Tetapi adakah lelaki itu benar-benar memahami siapa dirinya yang sebenarnya?
Satu keluhan berat dilepaskan. Sofea menggenggam erat telefon bimbitnya, hatinya berkecamuk. Dia tahu Haiqal bukan seperti Zafran, tetapi ketakutan itu masih menghantui.
***
Haiqal memandu ke rumah Sofea dengan hati yang sedikit resah. Dia dapat merasakan sesuatu mengganggu fikiran gadis itu. Sofea semakin kerap mengelak pertemuan mereka, memberi pelbagai alasan sibuk.
Tiba di hadapan rumah, dia menarik nafas dalam-dalam sebelum keluar dari kereta. Hatinya tekad. Dia tidak akan biarkan Sofea terus menghindar daripadanya tanpa alasan yang kukuh.
Ketukan di pintu membuatkan Sofea tersentak. Dia bangun perlahan, mengintai dari celah langsir. Melihat Haiqal berdiri di luar dengan wajah penuh harapan, hatinya berbelah bahagi.
Namun, sebelum dia sempat berundur, suara Haiqal kedengaran.
“Sofea, saya tahu awak ada di dalam. Tolong… jangan elak saya lagi.”
Sofea menutup mata rapat. Akhirnya, dengan langkah berat, dia membuka pintu. Haiqal berdiri di hadapannya, wajahnya penuh dengan soalan yang menuntut jawapan.
“Saya tak mahu awak rasa terbeban dengan kisah silam saya,” ujar Sofea perlahan, hampir berbisik.
Haiqal mengerut dahi.
“Sofea, saya tak pernah kisah dengan masa lalu awak. Yang saya mahukan cuma awak, masa kini dan masa depan.”
“Tapi saya—”
“Sofea, saya tahu awak takut. Tapi saya takkan biarkan awak hadapi semua ini seorang diri lagi. Saya di sini, bersama awak.”
Air mata bergenang di tubir mata Sofea. Dia mahu percaya pada Haiqal, tetapi bisikan ragu-ragu dalam hatinya masih menahan langkahnya.
“Berikan saya masa, Haiqal…”
Haiqal mengangguk perlahan.
“Saya akan tunggu, Sofea. Tapi tolong, jangan tutup hatimu untuk saya.”
Sofea hanya mampu menunduk. Dia sedar Haiqal tidak akan mengalah, tetapi mampukah dia benar-benar melepaskan masa silamnya dan memberi peluang kepada dirinya untuk bahagia?
Hati kecilnya masih mencari jawapan.
***
Malam itu, Sofea termenung di tepi jendela biliknya. Bulan di langit terang benderang, seolah-olah menyuluh kekusutan yang bersarang di hatinya. Dia memeluk lutut, merenung telefon bimbit yang sejak tadi digenggam erat.
Perasaannya masih bercelaru. Haiqal... lelaki yang setia menantinya dengan penuh kasih sayang. Haiqal yang tidak pernah jemu meyakinkannya bahawa dia berhak untuk bahagia. Tetapi Sofea masih ragu-ragu, masih dihantui bayangan silamnya.
Tiba-tiba, telefonnya bergetar.
Zafran: Sofea, aku tahu aku dah banyak buat silap. Tapi tolong, beri aku satu peluang lagi. Aku masih mencintai kau. Aku tak pernah lupakan kau.
Jari-jemari Sofea menggigil. Dia menelan liur.
Zafran: Aku tahu aku pengecut kerana ikut kehendak keluarga dulu. Tapi sekarang aku sedar, aku tak boleh hidup tanpa kau. Aku sanggup tinggalkan segalanya, termasuk isteriku, kalau kau masih ada ruang untuk aku.
Sofea merasakan jantungnya berdegup kencang. Nafasnya sesak. Dia mengetap bibir. Air matanya bergenang. Hatinya kembali dirobek rasa sakit yang lama cuba dikuburkan. Dia bukan lagi Sofea yang dulu, yang sanggup menanti Zafran tanpa arah. Tetapi... kenapa mesej itu menggoyahkan keyakinannya?
Dia menggenggam telefonnya erat.
Tidak! Dia tidak boleh terjebak lagi dalam permainan Zafran. Tetapi kenapa hatinya masih bergetar membaca mesej itu?
Sofea bingung. Dia tersepit antara lelaki yang pernah menghancurkan hatinya dan lelaki yang sedang berusaha menyembuhkannya!
Haiqal...Haiqal sampai kena kejar anjing duk kejarkan si Sofea. Hai, Zafran ni..dh kenapa pulak tiba-tiba terhegeh-hegeh balik! Happy reading gais.. jemput follow and comment.
Share this novel