SETELAH memastikan Haris berehat di dalam biliknya, Hasrina menapak ke dapur dengan penuh semangat. Namun, dia terkejut apabila Balqis sudah terpacak di sebelahnya, tersengih lebar.
“Weh, tangan Kak Qis tu masih cedera. Pergi duduk!” tegur Hasrina sambil mengacau sup ayam di dalam periuk.
“Alaa, tangan kiri je yang sakit. Tangan kanan masih power,” balas Balqis dengan bangga sambil menarik kerusi dan duduk di tepi meja dapur.
Hasrina menjulingkan mata.
“Tak payah nak mengada-ngada. Duduk diam-diam dan temankan Rin borak je.”
Balqis mengangkat tangan tanda menyerah.
“Okey, okey. Kita borak pasal apa?”
Hasrina tersengih.
“Pasal lelaki idaman?”
Balqis terkedu sekejap.
“Rin ni suka sangat korek rahsia orang, eh?”
“Bukan apa… Rin nak tahu je, taste Kak Qis macam mana. Manalah tahu sama ke tak dengan taste Rin.”
Balqis berpura-pura berfikir.
“Kak Qis suka lelaki yang bertanggungjawab, penyayang… dan tahu masak!”
Hasrina mengangkat kening.
“Macam abang Adan?”
Balqis hampir tersedak.
“Err… tak, tak! Akak tak kata macam dia.”
Hasrina ketawa kecil.
“Alah, dah terang lagi berspotlight. Kak Qis suka abang Rin, kan?”
Balqis terus mencebik.
“Dah, dah! Rin pula? Mesti suka abang Firdaus, kan?”
Giliran Hasrina pula yang tersedak.
“Rin… entahlah. Rin pun tak pasti, tapi kalau betul dia suka Rin, Rin nak buat sesuatu yang special untuk dia.”
Balqis tersenyum nakal.
“Macam masakkan dia Roti John Kambing Cheese Special?”
Hasrina teruja.
“Ha’ah! Kak Qis ajar Rin boleh?”
Balqis ketawa kecil sebelum mula berkongsi resepi rahsianya.
Resepi Roti John Kambing Cheese Special ala Balqis
Bahan-bahan:
2 biji roti Perancis (panjang, dibelah dua)
200g daging kambing cincang
2 sudu besar mentega
1 biji bawang besar (dicincang halus)
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk kari daging
1 sudu kecil garam
½ sudu kecil gula
2 sudu besar sos tiram
2 biji telur
½ cawan keju mozzarella (diparut)
½ cawan keju cheddar (diparut)
1 sudu besar mayonis
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos keju
Daun bawang dan cili merah untuk hiasan
Cara Penyediaan:
Menumis Daging Kambing:
Panaskan mentega dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi. Masukkan daging kambing cincang dan kacau sehingga separuh masak.
Taburkan serbuk lada hitam, serbuk kari, garam, gula, dan sos tiram. Gaul rata dan masak hingga daging kambing garing dan naik bau.
Campuran Telur & Daging:
Pukul telur dalam mangkuk, kemudian masukkan daging kambing yang sudah dimasak tadi. Gaul rata.
Menyediakan Roti:
Panaskan sedikit mentega dalam kuali leper.
Letakkan campuran telur dan daging ke dalam kuali dan ratakan mengikut saiz roti.
Tekan bahagian dalam roti ke atas campuran tersebut supaya ia melekat.
Biarkan seketika sebelum dibalikkan supaya telur masak sempurna.
Keju Meleleh:
Taburkan keju mozzarella dan cheddar di atas daging yang sedang panas. Lipat roti dan biarkan keju cair sepenuhnya.
Hiasan & Sos:
Campurkan mayonis, sos cili, dan sos keju dalam satu mangkuk kecil.Sapukan ke atas Roti John.Taburkan daun bawang dan cili merah sebagai hiasan.
Hasrina menelan liur mendengar penerangan Balqis.
“Weh, bunyi macam sedap gila. Kalau abang Firdaus makan ni, confirm dia masuk meminang terus!”
Balqis ketawa.
“Mungkin Adan pinang akak sekali sebab akak yang bagi resepi ni?”
Hasrina mencubit lengan Balqis.
“Berangan!”
Mereka berdua tergelak besar.
“Jadi, Rin nak masak apa untuk berbuka nanti?” soal Balqis pula.
Hasrina merenung ke arah kabinet dapur sebelum tersenyum.
“Rin rasa Rin nak masak Nasi Goreng Daging Harimau Menangis. Kalau abang Firdaus tak jatuh hati, Rin tak tahulah!”
Balqis mengangkat kening.
“Pandai ke Rin nak masak tu?”
Hasrina tersengih.
“Abang Adan chef, tau! Rin ni pun adik chef. Rin pun ada bakat terpendam.”
Balqis mengangguk kagum.
“Wow. Tak sabar nak rasa.”
Mereka berdua terus rancak berbual sambil menyiapkan juadah berbuka, tanpa sedar mereka semakin rapat sebagai sahabat.
Puan Suraya melangkah masuk ke rumah dengan langkah yang sedikit tergesa-gesa, diikuti oleh Haiqal yang sempat menguap panjang. Seharian di bazar Ramadan, mereka berjaya menjual habis semua juadah lebih awal daripada biasa. Namun, kelegaan di wajah Puan Suraya berubah serta-merta apabila matanya tertancap pada susuk Balqis yang masih berada di rumahnya. Dan lebih mengejutkan, tangan kiri Balqis yang berbalut kemas.
"Astaghfirullah! Balqis, kenapa tangan kamu macam ni?!" suara Puan Suraya sedikit meninggi, matanya membulat dengan riak cemas.
Balqis terkedu, tidak sempat menjawab apabila Hasrina sudah pun mencelah.
"Err... umi, relaks dulu. Jangan terkejut sangat. Ini semua salah—"
"Salah dia sendiri!" potong Haiqal tiba-tiba, lagaknya sudah seperti seorang hakim yang sedang menjatuhkan hukuman. "Mesti dia buat hal masa kat dapur tadi, kan? Berdegil nak tolong jugak walaupun tangan dah balut."
Balqis ternganga.
"Weh, mana abang Qal tahu?"
"Aku ni macam Lebai Haji Bakhtiar. Apa yang jadi dalam rumah ni, aku boleh teka!" Haiqal menjawab dengan wajah serius, membuatkan Hasrina menjeling geram.
Puan Suraya sudah bersilang tangan di dada, menghela nafas panjang.
"Rin, umi nak kamu terangkan sekarang. Apa sebenarnya yang jadi?"
Hasrina menelan air liur. Matanya melirik ke arah Balqis yang sudah tunduk serba salah.
"Err... umi, tadi Balqis terkejut bila dengar abang Adan demam. Lepas tu dia... err... mungkin terlebih risau sampai tak perasan tangan dia terkena benda panas."
Puan Suraya memicit dahinya.
"Jadi maksud kamu, dia cedera sebab risaukan Adan?"
Sepi seketika.
Haiqal mengangkat kening.
"Wah, sayang betul ni."
Balqis terbatuk kecil.
"Bukan macam tu! Qis... Qis cuma..."
"Jaga Adan?" sambung Haiqal dengan nada menyakat.
Balqis semakin serba salah, mahu sahaja dia lenyap dari situ. Hasrina pula tergelak kecil melihat wajah Balqis yang semakin merah.
Namun, suasana yang tadinya tegang tiba-tiba bertukar hening apabila kedengaran deheman perlahan dari arah belakang.
Mereka berpaling serentak.
Haris berdiri di situ, wajahnya masih pucat dengan mata sedikit kuyu, jelas tanda dia belum pulih sepenuhnya dari demamnya.
"Eh, abang Adan dah bangun?" tanya Hasrina, agak terkejut kerana menyangka abangnya masih di bilik.
Haris tidak menjawab, sebaliknya matanya terus tertancap pada Balqis. Dia menahan diri daripada tersenyum apabila melihat wajah gadis itu yang jelas menunjukkan rasa bersalah.
Namun, sebelum sempat dia berkata apa-apa, laungan azan Maghrib berkumandang dari surau berhampiran.
Semua yang berada di ruang tamu itu serentak terdiam.
Puan Suraya menarik nafas dalam, seakan baru tersedar bahawa waktu berbuka telah tiba.
“Okey, tak payah bincang panjang. Kita berbuka dulu.”
Haiqal tersengih.
“Setuju. Perut aku pun dah berzikir dari tadi.”
Hasrina hanya mampu menggelengkan kepala sebelum menarik tangan Balqis ke meja makan.
Haris pula duduk di tempatnya seperti biasa, namun matanya tetap mencuri pandang ke arah Balqis yang duduk bertentangan dengannya.
Balqis menunduk sedikit, tidak mahu bertentang mata dengan Haris. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tahu... sesuatu yang rumit sedang berkembang antara mereka.
Suasana berbuka puasa di rumah Puan Suraya berlangsung seperti biasa, namun hanya pada luaran sahaja. Di sebalik hidangan yang terhidang dan suara-suara yang sibuk berbual, wujud satu ketegangan yang tidak terlihat tetapi cukup untuk dirasakan.
Haris duduk bertentangan dengan Balqis, sesekali menjeling gadis itu yang asyik tunduk, memfokuskan pada makanan di pinggannya. Balqis kelihatan lebih pendiam daripada biasa. Tiada usikan, tiada balasan senyum seperti selalu.
“Balqis, makanlah sikit lauk ni,” Puan Suraya bersuara sambil menyendukkan ayam percik ke dalam pinggan Balqis.
Balqis mengangkat wajah, tersenyum nipis.
“Terima kasih, acik Su.”
Haris mengetap bibir. ‘Acik Su.’ Entah kenapa dia tidak suka mendengar panggilan itu keluar dari bibir Balqis saat ini. Seolah-olah hubungan mereka hanya setakat itu. Sekadar anak kepada kenalan ibu bapanya, tidak lebih.
Sepanjang makan, Haris hanya diam. Haiqal dan Hasrina sibuk berbual tentang pelanggan mereka di bazar tadi, tetapi Haris tidak memberi perhatian. Dalam kepalanya, dia hanya fokus kepada satu perkara. Kenapa Balqis menjauh?
Lepas makan, Puan Suraya dan Hasrina mengemas meja. Haiqal sudah terbaring kekenyangan di sofa, sementara Balqis berusaha bangkit untuk membantu, tetapi Hasrina menahan tangannya.
"Kak Qis duduk diam-diam, Kak Qis. Tangan akak tu masih sakit," ujar Hasrina sambil menjeling ke arah tangan kiri Balqis yang kemas berbalut dengan kain gauze berwarna putih itu.
Balqis tersengih kelat.
"Tapi akak dah biasa buat kerja dengan sebelah tangan—"
"Tak payah keras kepala," celah Haris tiba-tiba, membuatkan Balqis terpempan.
Haris menyandarkan tubuh ke kerusi, meneguk segelas air sambil terus memerhati Balqis. Gadis itu teragak-agak, namun akhirnya mengalah dan kembali duduk.
Namun, Balqis langsung tidak menoleh ke arahnya.
Haris menarik nafas panjang, lalu bersuara perlahan, “Qis sengaja buat begini, kan?”
Balqis terkaku.
"Apa maksud Adan?"
"Qis tahu maksud Adan," ujar Haris sambil menyilangkan tangan di dada.
"Sejak bila Qis jadi orang yang susah nak bercakap dengan Adan?"
Balqis menggigit bibir, masih mengelak untuk bertentang mata dengan Haris.
“Tak ada apa pun, Adan. Qis cuma... sibuk kebelakangan ni.”
Haris mengukir senyum sinis.
“Oh, sibuk? Dengan apa? Jualan Roti John ke? Atau…” Dia berhenti seketika, sebelum menyambung dengan nada yang lebih perlahan, “… atau Qis sibuk cuba menjauhkan diri daripada Adan?”
Balqis terkedu. Haris benar-benar perasan perubahannya.
Sebelum Balqis sempat memberi jawapan, Hasrina tiba-tiba mencelah dari dapur.
“Eh, eh, korang ni macam gaduh suami isteri pulak Rin tengok.”
Haris dan Balqis sama-sama menoleh, wajah masing-masing merona merah.
Haiqal yang dari tadi berbaring di sofa tiba-tiba bangkit, tersengih lebar.
"Qal pun rasa macam tu! Kak Balqis ni dah macam isteri yang merajuk, Adan pulak macam suami yang tak tahu kenapa bini dia tarik muka."
"Abang Qal, diamlah!" Hasrina menjeling geram, tetapi sempat mengerling Balqis yang semakin serba salah.
Balqis cepat-cepat bangun, wajahnya masih merah padma.
“Qis rasa Qis kena balik dulu.”
Haris pantas berdiri.
"Adan hantar Qis."
Balqis segera menggeleng.
"Tak perlu. Qis boleh balik sendiri."
“Tangan Qis tu kan masih sakit.”
“Qis boleh guna tangan kanan.”
Haris menghela nafas, memerhati Balqis yang begitu bersungguh-sungguh mencipta jarak antara mereka.
‘Kenapa kau buat aku rasa macam ni, Balqis?’
Namun, dia hanya membiarkan gadis itu berlalu pergi. Hanya matanya sahaja yang menghantar langkah Balqis ke pintu, dan jauh di sudut hatinya, dia tahu—sesuatu telah berubah di antara mereka.
***
Pintu rumah Puan Suraya diketuk bertalu-talu, mengejutkan semua penghuni di dalamnya. Hasrina yang sedang mengemaskan meja makan tersentak, begitu juga dengan Haiqal yang hampir tertumpahkan air yang baru diteguknya. Haris yang masih duduk termenung sejak Balqis melangkah keluar, segera bangkit dengan dahi berkerut.
"Siapa pula malam-malam datang macam ni?" gumam Puan Suraya sambil berjalan ke arah pintu.
Saat pintu terbuka, wajah Lebai Haji Bakhtiar dan Firdaus yang kelihatan cemas menyambut pandangan mereka. Lebai Haji Bakhtiar kelihatan gelisah, manakala Firdaus yang biasanya tenang, kelihatan tegang.
"Balqis ada di sini?" suara Lebai Haji Bakhtiar kedengaran penuh kegusaran.
Semua yang berada di ruang tamu saling berpandangan. Hasrina dan Haiqal serentak menggeleng. Haris pula tersentak.
“Tadi dia baru je balik dari sini,” balas Puan Suraya dengan wajah hairan.
"Kenapa, abang Bakhtiar?"
Firdaus menghembus nafas berat, suaranya bergetar.
“Dia tak balik-balik rumah, umi. Kami dah cari merata, tapi tak jumpa!”
Jantung Haris berdegup kencang. Tangannya mengepal erat.
"Apa maksud abang? Baru setengah jam lepas dia keluar dari sini!"
Lebai Haji Bakhtiar menekan dahinya, kelihatan benar-benar risau.
"Aku pun tak tahu, Adan. Dia sepatutnya dah sampai rumah, tapi sampai sekarang tak ada. Telefon pun tak berangkat.”
Puan Suraya terpegun.
“Ya Allah… jangan-jangan…”
Firdaus menelan liur, cuba menahan paniknya.
“Aku dah pergi kedai tepi jalan, dah tengok sepanjang laluan biasa dia balik, tapi tak ada.”
Hasrina menggigit bibir.
“Mungkin Balqis singgah mana-mana dulu?”
"Kalau dia singgah, dia pasti beritahu," jawab Firdaus, suaranya semakin serius. "Tapi sekarang ni langsung tak ada khabar. Aku risau sesuatu dah jadi pada dia.”
Keheningan seketika menyelubungi ruang tamu itu. Haris merasakan debar di dadanya semakin kuat. Hatinya tiba-tiba dihimpit perasaan tak enak.
Tanpa berkata apa-apa, Haris mencapai kunci motosikalnya yang tersangkut di dinding.
“Adan, kau nak ke mana?” tanya Haiqal.
“Aku nak cari Qis.”
"Adan, jangan gopoh! Kita bincang dulu," pintas Puan Suraya.
Namun Haris tidak mendengar. Fikirannya hanya pada Balqis. Sesuatu telah berlaku pada gadis itu, dan dia tidak akan duduk diam sehingga Balqis ditemui.
Firdaus segera mengekorinya.
“Aku ikut.”
Lebai Haji Bakhtiar menghela nafas berat.
“Aku pun tak boleh duduk diam. Kita cari sama-sama.”
Malam itu, suasana di rumah Puan Suraya bertukar tegang. Keadaan menjadi semakin mencemaskan apabila satu demi satu panggilan ke telefon Balqis tidak dijawab.
Dan dalam hati masing-masing, mereka tahu—sesuatu yang buruk mungkin telah terjadi.
Alamak, Balqis dh hilang pulak....Happy reading gaiss, jgn lupa follow and comment.
Share this novel