BCR : PROLOG

Romance Series 14436

BAU harum ayam percik yang sedang dipanggang bersatu dengan aroma manis air tebu segar yang baru sahaja dikisar. Bunyi hiruk-pikuk para peniaga yang sibuk melayan pelanggan, diselang-seli dengan gelak tawa kanak-kanak yang berlari-lari di celah-celah gerai. Ramadan tiba lagi, dan bazar Ramadan di Kampung Sri Delima kembali meriah seperti biasa.

Namun, bagi Balqis Nadira, Ramadan kali ini lebih mencabar. Bukannya kerana pelanggan beratur panjang di gerai Roti John istimewanya, tetapi kerana kehadiran seorang lelaki yang langsung tidak disenangi.

Haris Izzuddin... atau nama panggilan manja keluarganya, Ramadan.

Chef selebriti terkenal yang tiba-tiba muncul dengan apron putihnya yang licin berkilat, penuh gaya seperti mahu merasmikan restoran lima bintang, bukannya sekadar membantu ibunya di bazar kecil ini. Dengan wajah seriusnya yang jarang tersenyum dan suara lantangnya yang penuh arahan, Haris bagaikan diktator kecil di medan selera Ramadan.

“Balqis, awak tak rasa roti awak terlalu berminyak?” Haris bersuara dengan nada sinis, sambil berpeluk tubuh di hadapan gerai Balqis.

Balqis menjeling tajam, tangannya masih lincah membelah roti dengan pisau panjang.

“Minyak itulah yang buat pelanggan Qis datang setiap tahun. Tak pernah pula ada yang merungut.”

“Pelanggan Qis dah biasa makan makanan berminyak. Lidah mereka dah lali,” balas Haris, tersenyum separuh mengejek.

Balqis mengetap bibir. Sabar, Balqis. Ramadan ni bulan mulia. Tak boleh marah-marah.

Namun, ketika dia memandang lelaki di hadapannya itu, dengan kemeja yang tersarung kemas dan wajah yang penuh keyakinan, Balqis tahu satu perkara,
Ramadan kali ini akan jadi lebih panjang daripada biasa. Dan dia juga tahu, sejak kehadiran Haris di bazar ini, hati dan emosinya akan diuji lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga.

***

Bazar Ramadan Kampung Sri Delima baru sahaja dibuka, tetapi pelanggan sudah mula berpusu-pusu memenuhi gerai juadah berbuka puasa. Aroma ayam percik, murtabak panas, dan kuih-muih tradisional memenuhi udara, mencipta suasana Ramadan yang penuh nostalgia.

Di satu sudut bazar, gerai Roti John Balqis sudah dikerumuni pelanggan setia. Balqis Nadira, dengan apron merah hati yang sudah bercorak ‘seni abstrak’ kesan sos dan mayonis, sibuk melayan tempahan. Tangan kanannya memegang pisau panjang, membelah roti dengan penuh cekap, sementara tangan kirinya menekan botol sos cili dengan irama yang seakan sudah dihafalnya bertahun-tahun.

Namun, ketenangan bazarnya tergugat dengan kehadiran seseorang.

Haris Izzuddin.

Chef selebriti, pemilik restoran mewah, dan lelaki yang paling menjengkelkan di bazar ini.

“Balqis,” suara Haris bergema di hadapan gerainya. “Adan tengok Qis letak mayonis banyak sangat. Itu bukan Roti John, itu roti tenggelam dalam lautan mayonis.”

Balqis mendongak, matanya mengecil.

“Chef besar, awak nak tempah ke atau nak bagi kuliah percuma?”

Beberapa pelanggan yang beratur ketawa kecil, terhibur dengan sindiran Balqis.

Haris tersenyum sinis, bersandar pada meja kayu di tepi gerai.

“Adan cuma perhati. Qis ni peniaga, bukan tukang bancuh cat. Jangan main tuang sos ikut suka hati.”

Balqis mengetap bibir.

“Adan sibuk sangat nak kritik kerja Qis, kenapa tak fokus pada gerai ibu Adan?”

Haris mendengus kecil, melipat lengan bajunya.

“Adan dah siapkan semua. Ayam percik dah tersusun cantik. Sambal belacan dah dikisar halus. Semua perfect.”

“Perfect sangat sampai sempat datang sini buat audit gerai orang lain?” Balqis membalas dengan senyuman palsu.

Salah seorang pelanggan, Pakcik Rahim, yang setia membeli Roti John setiap tahun, tergelak sambil mengangkat tangan.

“Pakcik rasa Roti John Balqis ni yang paling sedap dalam bazar ni. Chef Haris nak cuba?”

Haris menjeling sekilas ke arah roti yang baru siap dipanggang di atas kuali leper. Bau roti yang garing dengan campuran daging cincang dan telur yang melekat elok di permukaannya memang menggoda, tetapi ego Haris lebih besar daripada seleranya.

“Terima kasih, pakcik. Tapi saya tak biasa makan makanan berminyak.”

Balqis berpura-pura terkejut.

“Oh, ya ke? Sebab Qis tengok kat Instagram Adan, minggu lepas ada post makan burger double cheese dengan daging salai extra juicy. Itu kurang berminyak ke, chef?”

Orang sekeliling mula tergelak lagi, sementara Haris hanya tersenyum tipis, cuba mengawal rasa ‘terkena’ di hadapan pelanggan.

“Adan ada standard.” Haris menjawab ringkas, sebelum melirik ke arah dapur mini Balqis. “Lagipun, dapur Qis ni nampak tak teratur. Kalau kat restoran, dah kena saman dengan inspektor kesihatan.”

Balqis mendengus.

“Bazar Ramadan ni bukan restoran lima bintang, Adan. Ini tempat peniaga kecil cari rezeki.”

“Sebab tu Adan nak bantu Qis.” Haris membalas, kali ini nada suaranya sedikit serius. “Adan nampak potensi. Kalau Qis boleh perbaiki teknik masakan, susun atur gerai, mungkin Qis boleh naik level. Jangan selamanya jadi peniaga bazar.”

Balqis memandang Haris lama. Dalam sekelip mata, dia dapat menangkap sesuatu dalam kata-kata lelaki itu. Haris mungkin kelihatan angkuh dan menjengkelkan, tetapi dalam kata-katanya ada niat untuk membantu.

Namun, sebelum dia sempat memberi reaksi, suara seorang pelanggan muda menyampuk, “Akak, Roti John satu lagi! Extra sos macam biasa!”

Balqis segera kembali fokus kepada pelanggan, tetapi dalam hatinya dia tahu satu perkara. Haris Izzuddin bukan sekadar lelaki yang datang singgah di bazar ini.
Dia adalah ujian Ramadan yang paling besar buat Balqis tahun ini.

***

“Adan, tolong umi di bazar hari ni.”

Haris Izzuddin, atau lebih tepatnya Ramadan, hampir tersedak kopi apabila mendengar kata-kata ibunya, Puan Suraya. Dia memandang ibunya yang sedang duduk di meja makan dengan wajah penuh ketenangan, seolah-olah permintaan itu sesuatu yang biasa.

“Umi,” Haris meletakkan cawan kopinya dengan cermat, “umi sedar tak umi sedang bercakap dengan siapa?”

Puan Suraya menjulingkan mata.

“Dengan anak umi yang bernama Ramadan, yang umi lahirkan dalam bulan Ramadan, dan sekarang ni dia terlupa asal usul.”

Haris mengeluh, menekan dahinya.

“Umi… Adan seorang chef selebriti. Adan buat plating atas pinggan porselin, bukan dalam bekas polisterin macam di bazar tu.”

“Pinggan porselin tu boleh bagi duit masuk poket umi?” Puan Suraya menjawab selamba.

Haris terdiam. Dia cuba mencari alasan lain.

“Umi, standard Adan tinggi. Adan ni level fine dining, ada restoran sendiri. Kalau orang nampak Adan jual ayam percik tepi jalan, apa orang akan kata?”

Puan Suraya meletakkan sudu dengan kuat di atas meja, matanya tajam menikam Haris.

“Orang akan kata, ‘Subhanallah, betapa baiknya seorang anak membantu ibunya mencari rezeki di bulan Ramadan.’ Itu yang orang akan kata.”

Haris mengeluh panjang. “Tapi, umi…”

“Tak ada tapi-tapi.” Puan Suraya mencelah, nadanya lebih tegas.

“Pekerja umi semua jatuh sakit. Cuma tinggal umi dan Pak Man je kat gerai. Umi nak harap siapa lagi? Adan satu-satunya anak umi. Takkan umi nak panggil orang lain?”

Haris cuba bersuara, tapi akhirnya terdiam. Dia tahu dia takkan menang hujah dengan ibunya.

Puan Suraya tersenyum menang, lalu menepuk bahu anaknya.

“Lagipun, ini masa terbaik untuk umi laksanakan impian arwah abi, Adan.”

Haris mengangkat kening.


“Impian apa?”

Puan Suraya tersenyum penuh makna.

“Untuk bermenantukan Balqis Nadira.”

Haris hampir jatuh dari kerusi.

“Umi serius ke ni? Balqis tu?! Adan nak cakap pun malas dengan dia, apatah lagi kahwin!”

Puan Suraya mengeluh kecil.

“Umi terkilan, Adan. Kalau umi dan arwah abi tetapkan awal-awal dulu, mungkin sekarang ni Balqis dah jadi menantu umi. Tak payah nak gaduh-gaduh lagi kat bazar tu.”

Haris menggelengkan kepala.

“Umi, please. Balqis tu kawan masa kecil je. Dulu mungkin Adan boleh tahan perangai dia, tapi sekarang? Perempuan tu keras kepala, kasar, tak ada class!”

Puan Suraya tergelak kecil.

“Lucunya, ayat tu sebijik macam yang arwah abi kamu cakap masa mula-mula kenal umi dulu.”

Haris mendengus.

“Umi, this is different.”

Puan Suraya tersenyum penuh makna.

“Nanti Adan tengok sendiri. Kadang-kadang jodoh yang kita tak suka, itulah yang Allah tetapkan.”

Haris meraup wajahnya. Dia tahu tak ada jalan keluar lagi. Dia kena turun ke bazar dan hadap ‘musuh ketatnya’ setiap hari.

Dan dia yakin satu perkara. Ramadan kali ini akan jadi yang paling mencabar dalam hidupnya.

***

Dulu, Haris dan Balqis memang rapat. Sejak kecil mereka selalu bermain bersama di kampung, berlari di halaman rumah, dan sering bertengkar tentang perkara-perkara kecil.

“Adan nak jadi chef bila besar nanti!” Haris yang berumur tujuh tahun mengisytiharkan impiannya.

Balqis yang sedang duduk di tepi pokok jambu ketawa sinis.

“Chef? Adan, kau tu kalau buat air sirap pun tumpah separuh gelas. Chef kepala otakmu.”

Haris mencebik.

“Adan akan jadi chef terkenal, dan bila Adan kaya, Adan takkan buat air sirap. Adan akan ada tukang bancuh air sendiri.”

Balqis menjelir lidah.

“Kalau Adan kaya pun, Qis tak hairan. Qis tetap takkan makan makanan Adan sebab Qis ada resipi sendiri!”

Sejak kecil, mereka memang tak pernah sebulu, tetapi anehnya, mereka juga tak boleh berjauhan lama-lama. Sehinggalah mereka dewasa dan terpisah dengan jalan hidup masing-masing.

***

Hari pertama Haris bekerja di gerai ibunya terasa seperti mimpi ngeri. Dia, Chef Haris Izzuddin, yang biasa berada di dapur mewah dengan peralatan mahal, kini berada di bazar Ramadan yang sesak dan berpeluh, memasak ayam percik sambil melayan pelanggan yang beratur panjang.

Dan lebih menyeksakan lagi, gerai Balqis betul-betul di sebelah gerai ibunya.

“Wah, siapa ni? Macam kenal, tapi pelik… Chef Haris Izzuddin, apa awak buat kat sini?” Balqis muncul dengan tangan bersilang di dada, senyuman penuh kepuasan di bibirnya.

Haris mengetap gigi.

“Jangan cakap apa-apa.”

Balqis ketawa kecil.

“Qis tak cakap pun, tapi Qis pelik… Adan ni kan fine dining chef, tiba-tiba jadi penjual ayam percik?”

Haris memejam mata, cuba bersabar.

“Adan tolong umi.”

Balqis mengangguk perlahan.

“Ohhh… maksudnya chef terkenal kita kena turun padang sebab umi dia paksa?”

Beberapa peniaga lain yang mendengar perbualan mereka ketawa kecil. Haris merasakan egonya sedang dihancurkan sedikit demi sedikit.

Balqis mendekat sedikit, berbisik.

“Rasanya Qis kena belanja Adan, Roti John hari ni. Sebab nampaknya, Adan akan ada di sini lebih lama dari yang Adan sangka.”

Haris mengerutkan dahi.

“Apa maksud Qis?”

Balqis tersenyum sinis.

“Adan ingat ni sehari je? Umi Adan cakap sepanjang Ramadan.”

Haris tersedak air liurnya sendiri. Ya Allah, dia betul-betul dalam masalah besar. Haris masih terkedu. Dia fikir dia hanya perlu bertahan sehari di bazar ini, tapi rupa-rupanya, dia akan terperangkap di sini sepanjang Ramadan.

Dia memandang ibunya yang sedang sibuk melayan pelanggan di gerai ayam percik mereka. Matanya beralih ke sebelah, melihat Balqis dengan senyum sinis yang membuatkan darahnya naik ke kepala.

“Kenapa Adan pandang Qis macam tu?” Balqis menjungkit kening.

“Adan tengah fikir, kalau Adan tutup gerai Qis ni guna kain khemah, agak-agak Qis masih boleh berniaga tak?” Haris menjawab sinis.

Balqis tersengih.

“Qis rasa kalau Adan buat macam tu, Qis boleh saman Adan. Tapi sebab Qis baik hati, Qis takkan buat.”

“Baik hati konon.” Haris menjeling sebelum berpaling ke arah dapur kecil gerainya, menyedari bahawa dia sudah lama meninggalkan ayam percik yang sedang dipanggang. “Alamak!”

Dia segera berlari ke tempat pemanggang, cuba menyelamatkan ayam percik yang sudah bertukar menjadi ‘arang percik’. Asap berkepul-kepul naik ke udara, menarik perhatian beberapa pelanggan yang sedang beratur.

Seorang pakcik tua berseloroh, “Wah, chef terkenal buat ayam versi baru ke? Ayam percik extra crispy?”

Orang ramai ketawa, sementara Balqis menahan perut, hampir menangis kerana terlalu geli hati.

“Ayam percik ke arang percik tu, chef?” Balqis menyindir sambil menutup hidungnya. “Kalau nak buat ‘smoked chicken’, tak payah sampai hangus macam ni.”

Haris mengerling tajam.

“Qis tak boleh diam sekejap ke?”

“Tak boleh. Ini lucu.” Balqis tersenyum puas.

Sementara Haris sibuk menguruskan ayam perciknya yang sudah selamat ‘ke neraka makanan’, seorang pelanggan setia Balqis, Mak Cik Senah, datang dengan wajah berkerut.


“Balqis, Roti John kamu semalam… macam terlebih masin sikit.”

Balqis terkedu. “Hah? Masin?”

Mak Cik Senah mengangguk.

“Tapi tak apa, sebab kamu bagi diskaun tadi, mak cik tetap beli.”

Balqis menghembus nafas lega.


“Alhamdulillah, mak cik. Nanti Qis betulkan sukatan garam tu, ya.”

Dari sebelah gerai, Haris menyampuk, “Hah, tengok? Adan dah kata Qis main hentam je masak.”

Balqis menjeling.

“Sekurang-kurangnya, makanan Qis masih boleh dimakan. Tak macam ayam Adan.”

Haris merengus.

“Suka hati Qislah.”

Tiba-tiba, seorang pelanggan lelaki pertengahan umur yang sedang membeli kuih tepung pelita bersuara lantang.

“Saya rasa, kalau dua-dua asyik bergaduh macam ni, elok nikah je lepas raya. Baru selesai semua masalah!”

Serentak, suasana bazar jadi riuh dengan gelak ketawa orang ramai yang mendengar cadangan itu.

Haris dan Balqis serentak menoleh ke arah lelaki itu.

“Encik, awak ni kenapa?” Haris mengurut pelipis.

Balqis pula tersedak air liurnya sendiri.

“Astaghfirullah, siapa nak kahwin dengan dia?”

Lelaki itu ketawa.

“Ala, macam dalam drama. Yang gaduh-gaduh tu la akhirnya jadi suami isteri.”

Assalamualaikum dan hai semua...seperti yg author jnjikan..nukilan terbaru author bergenre 'Romantik Komedi' menemui para reader semua sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak..Bacaan secara percuma ya, jemput singgah, follow and comment..syg semua... esok, puasa x tu??? Hihihi...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience