HARIS IZZUDDIN termenung di balkoni bilik mereka, merenung langit malam yang tenang. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa wajahnya, tapi fikirannya berkecamuk. Panggilan dari seorang chef tersohor sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Tawaran sebagai juri dan juruajar dalam sebuah rancangan masakan terkenal di Australia—bukan calang-calang peluang. Namun, tiga bulan di luar negara bermakna dia harus meninggalkan Balqis yang kini sedang sarat mengandung.
"Abang.."
Tiada sahutan.
“Haris Izzuddin...” kali ini Balqis menekan suaranya agak keras.
Balqis muncul di pintu, perutnya yang memboyot jelas kelihatan dalam gaun tidurnya yang sedikit longgar. Matanya redup, penuh tanda tanya.
Haris tersentak. Dia cuba tersenyum, tapi Balqis sudah menangkap kegelisahan di wajah suaminya.
“Apa yang abang fikirkan ni sampai sayang panggil pun abang tak dengar?” Balqis melangkah perlahan, tangannya mengusap lembut perutnya.
Haris menarik nafas panjang.
“Balqis… sayang, abang dapat tawaran kerja di Australia.”
Dahi Balqis berkerut.
“Australia?”
Haris mengangguk perlahan.
“Tiga bulan. Sebagai juri dan juruajar dalam satu rancangan masakan.”
Wajah Balqis berubah. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan suaminya. Ada sesuatu dalam nada suara Haris yang membuatkan dia tidak senang duduk.
“Abang nak terima?” tanyanya perlahan.
Haris mengeluh.
“Itulah… abang tengah buntu ni. Ini peluang besar, tapi…”
“Tapi abang terpaksa tinggalkan sayang,” sambung Balqis dengan nada mendatar.
Haris menggenggam tangannya.
“Abang takut. Kalau apa-apa jadi pada sayang, abang tak akan maafkan diri sendiri.”
Balqis tunduk, hatinya berperang. Dia tahu suaminya sangat menyayangi dirinya dan bayi-bayinya dalam kandungannya yang semakin membesar. Namun, jauh di sudut hati, dia terasa seperti ada sesuatu yang lain yang membelenggu Haris.
“Abang masih fikirkan arwah Natasya, kan?”
Haris tersentak. Dia menatap Balqis, matanya sedikit membulat.
“Apa?”
Balqis menghela nafas perlahan.
“Abang rasa bersalah, sebab abang tak sempat nak selamatkan arwah Natasya dulu masa dia kejar abang. Abang takut perkara yang sama terjadi pada Balqis.”
Haris terkedu. Kata-kata itu benar-benar menikam perasaannya. Dia menundukkan wajah, jari-jarinya meramas rambutnya sendiri.
“Balqis…” Suaranya serak. “Abang… abang tak nak kehilangan sayang. Abang tak boleh.”
Balqis tersenyum tipis, lalu menggenggam tangan Haris erat.
“Abang takkan kehilangan Balqis. Abang juga tak patut kehilangan peluang ni. Abang kena percaya, kita akan baik-baik saja.”
Haris menatap wajah isterinya dalam-dalam. Hatinya masih berbelah bahagi. Namun, kepercayaan yang terpancar di mata Balqis membuatkan dia merasa sedikit tenang.
Namun, ketenangan itu tidak lama apabila tiba-tiba suara dari belakang mencelah.
“Oi, aku dengar cerita ada orang tu nak tinggalkan isteri mengandung untuk pergi overseas?”
Haiqal berdiri di pintu balkoni dengan senyuman menyakat, sementara Sofea di sebelahnya hanya menggeleng dengan wajah bosan.
Haris menjeling.
“Aku tak tinggalkan, okey?”
“Tapi tiga bulan, bro? Tawaran lumayan” Haiqal mengangkat kening.
“Tapi tulah, jangan pernah kau ingat baby-baby tu nak keluar ikut jadual kau, ya?”
Balqis ketawa kecil. Sofea menjuih bibir.
“Dah-dah, jangan buat drama kat sini. Sofea dahaga ni, siapa nak tolong belikan Sofea air kelapa?”
Haiqal mengangkat tangan pantas.
“Isteri aku dah suruh tu, aku gerak dululah, ya.”
Semua ketawa, tapi di dalam hati Haris, dia masih belum membuat keputusan. Antara impian dan tanggungjawab, dia terperangkap di antara dua pilihan yang sukar.
***
Malam itu, Haris duduk termenung di tepi katil, matanya tertancap pada Balqis yang sudah lena dalam tidurnya. Nafasnya tenang, wajahnya damai walaupun tubuhnya semakin sarat membawa kandungan mereka. Haris mengusap lembut rambut isterinya, hatinya masih berkecamuk dengan keputusan yang perlu dibuat. Haris labuhkan kucupan sayang pada sisi kepala isterinya yang polos dalam lenanya sebelum kucupannya beralih pula pada perut Balqis yang ketara besarnya yang anggun dibaluti baju tidur satin hadiah ulang tahunnya bulan lepas.
Tiga bulan di Australia adalah peluang yang terlalu besar untuk ditolak. Namun, meninggalkan Balqis dalam keadaan begini… mampukah dia?
***
Keesokan harinya, di meja sarapan, suasana agak tegang. Semua mata tertumpu pada Haris yang masih diam seribu bahasa.
“Adan, kau dah buat keputusan?” Haiqal akhirnya bersuara sambil menyudu nasi goreng ke mulut.
Semua orang memandang Haris, termasuk umi dan abah yang baru pulang dari berjalan-jalan menikmati pemandangan di pekan.
Haris menghela nafas panjang, meletakkan sudu di pinggan.
“Abang tolak tawaran tu.”
Balqis tersentak.
“Apa?”
Haris menoleh ke arah isterinya.
“Abang dah fikir masak-masak. Balqis dan anak kita lebih penting.”
Balqis terdiam. Matanya berkaca.
“Tapi, Adan…” umi bersuara, lembut. “Ini peluang yang besar untuk kamu.”
Haris tersenyum tipis.
“Rezeki takkan lari ke mana, umi. Adan tak sanggup tinggalkan Balqis dalam keadaan macam ni.”
Haiqal bersiul kecil.
“Wow, romantiknya.”
Sofea menjeling suaminya.
“Abang pun patut romantik macam tu juga.”
“Eh, abang pun romantik la! Malam tadi abang belikan air kelapa untuk honey, ingat tak?”
Sofea mendengus.
“Itu bukan romantik, itu kewajipan!”
Semua yang ada di meja ketawa mendengar perangai pasangan itu.
Puan Suraya mengusap bahu Haris.
“Kalau itu keputusan kamu, umi sokong. Tapi umi percaya, kalau dah rezeki Adan, nanti ada peluang yang lebih baik datang.”
Lebai Haji Bakhtiar mengangguk.
“Betul tu. Rezeki orang yang menjaga keluarga ni luas, Haris. Jangan risau.”
Balqis menggenggam tangan suaminya erat.
“Terima kasih, abang.”
Haris mengukir senyum sambil mengusap perut isterinya.
“Tak perlu terima kasih. Ini tanggungjawab abang.”
Namun, di sudut hati Haris, dia tetap berharap akan ada satu lagi peluang yang lebih baik buat dirinya di masa hadapan. Dan kali ini, dia akan pastikan segalanya lebih seimbang antara impian dan keluarganya.
***
Haris duduk di ruang tamu bersama Balqis sambil menemani isterinya menikmati kudapan tengah hari. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nombor yang tidak dikenali tertera di skrin. Dengan sedikit kehairanan, dia menekan butang hijau.
“Hello, saya Haris bercakap.”
“Encik Haris Izzuddin?”
“Ya, saya.”
“Saya Syafiq dari stesen televisyen, TempatanTV. Kami ingin menawarkan Encik Haris sebagai juri tetap untuk musim baharu MasterChef Malaysia.”
Mata Haris membulat. Dia hampir tersedak.
“Ma—MasterChef?”
Balqis yang melihat reaksi suaminya terus mengangkat kening, tertanya-tanya.
“Ya, Encik Haris. Kami ingin menampilkan gabungan juri-juri hebat, dan salah seorangnya ialah Chef Adu Amran.”
Haris terdiam. Nama itu membawa kenangan lama dalam hidupnya. Chef Adu adalah salah seorang gurunya ketika dia baru berjinak-jinak dalam dunia kulinari.
“Encik Haris?”
Haris tersedar.
“Ya, saya dengar. Ini… satu penghormatan besar.”
Balqis menarik tangan suaminya dengan penuh tanda tanya.
“Apa? Apa?”
Haris tersenyum kecil dan menekan butang pembesar suara.
“Saya berminat, boleh kongsikan lebih lanjut tentang tawaran ini?”
Syafiq menerangkan butiran perjanjian. Musim baharu akan berlangsung selama dua bulan, rakaman dibuat secara berkala, dan tidak memerlukan Haris untuk berada jauh dari rumah dalam tempoh yang lama. Ini bermakna dia masih boleh bersama Balqis sepanjang kehamilannya sambil mengejar impian dalam dunia kulinari.
Haris menoleh ke arah isterinya.
“Balqis?”
Balqis tersenyum, matanya berkaca.
“Abang patut terima. Abang layak untuk peluang ini.”
Haris mengangguk dan kembali kepada panggilan.
“Baik, saya setuju.”
“Bagus! Kami akan susun sesi pertemuan dengan Chef Adu dalam masa terdekat. Terima kasih, Encik Haris!”
Sebaik sahaja panggilan tamat, Haris terus memeluk Balqis.
“Terima kasih sebab sokong abang.”
Balqis mencubit manja lengan suaminya.
“Abang memang dilahirkan untuk benda ni.”
Haiqal yang baru masuk ke ruang tamu tercengang melihat kemesraan mereka.
“Apa ni? Macam baru nikah?”
Sofea yang berada di belakangnya menambah, “Memang baru kahwin pun. Abang je yang sibuk dengan perut honey ni.”
Haris ketawa kecil.
“Aku baru dapat tawaran jadi juri MasterChef.”
Mata Haiqal terbeliak.
“Woah, serius? Ada siapa lagi juri?”
Haris tersengih.
“Chef Adu.”
Haiqal bersiul.
“Padu! Dah bersedia ke nak kena ‘sembur’ dengan cikgu sendiri?”
Semua orang ketawa. Namun di sudut hati Haris, ada satu perasaan bergetar. Teruja dan berdebar. Ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa dia sudah cukup matang dalam dunia kulinari, dan dia tidak akan mensia-siakan peluang ini.
***
Tidak sampai sehari selepas Haris mengesahkan penyertaannya sebagai juri MasterChef Malaysia, Mak Senah, jiran paling kecoh di Kampung Sri Delima, sudah sibuk mencanangkan berita itu ke seluruh kampung.
“Oi, kau orang semua! Jangan lupa tengok TV minggu depan! Anak jantan Puan Suraya tu masuk MasterChef! Jadi juri pulak tu! Bukan calang-calang orang, haa!” jerit Mak Senah dengan penuh semangat di warung Pak Mat.
Pak Mat yang sedang mengacau kopi tariknya tersedak.
“Apa kau cakap, Senah? Haris jadi juri MasterChef? Biarnya betul?”
Mak Senah menepuk bahu Pak Mat dengan kuat.
“Habis tu, kau ingat aku sembang kosong ke? Aku dengar sendiri dari mulut bini dia, Balqis! Haa, siap suruh kita semua tengok nanti. Katanya nak bagi rating tinggi sikit.”
Orang kampung yang mendengar mula berbisik-bisik. Dalam masa setengah jam, berita itu sudah tersebar ke merata kampung.
Di rumah Puan Suraya, Haris sedang duduk di ruang tamu bersama Balqis sambil menonton televisyen, mahu pitam apabila telefon bimbitnya tidak berhenti-henti berbunyi dengan panggilan dan mesej.
[Grup WhatsApp Keluarga Kampung Sri Delima]
Mak Senah: Haris jadi juri MasterChef! Jangan lupa tengok semua!!!
Pak Abu: Betul ke ni? Kalau betul, aku nak buat jamuan sambil tengok TV!
Kak Leha: Jangan lupa pakai baju cantik, nanti orang kampung malu kalau nampak selekeh!
Haris menepuk dahi.
“Ya Allah, baru semalam aku terima tawaran, satu kampung dah heboh?”
Balqis menahan tawa sambil membaca mesej-mesej lain.
“Abang tahu tak? Mak Senah siap suruh Pak Abu sediakan skrin besar dekat balai raya supaya semua orang boleh tengok bersama.”
Haiqal yang baru masuk ke rumah bersama Sofea turut tergelak mendengar cerita itu.
“Baguslah, kau ni macam wakil rakyat kampung kita. Popular sungguh.”
Sofea menambah, “Lepas ni, jangan terkejut kalau ada orang kampung hantar makanan ke rumah, konon-konon nak minta juri MasterChef rasa masakan mereka.”
Haris mengeluh sambil tersenyum.
“Aduhai… aku jadi juri pun, satu kampung terasa tempiasnya.”
Namun, jauh di sudut hatinya, dia merasa bangga. Ini bukan sekadar peluang untuk dirinya, tetapi juga satu kebanggaan buat keluarga dan kampungnya. Dan jika ini mampu membawa nama Kampung Sri Delima ke kaca televisyen, dia rela menerima segala kehebohan yang bakal tiba.
Sejak berita Haris menjadi juri MasterChef tersebar, hidupnya tidak lagi tenang. Setiap kali keluar rumah, pasti ada sahaja orang kampung yang menegurnya.
“Haris, jangan lupa promosi kampung kita dalam TV nanti!” tegur Pak Mail, peniaga pisang goreng di simpang jalan.
“Kau kena sebut Kampung Sri Delima sekurang-kurangnya tiga kali dalam rancangan tu, tau!” tambah Mak Senah yang kebetulan lalu di situ dengan basikalnya.
Belum sempat Haris membalas, tiba-tiba seorang budak kecil berlari ke arahnya.
“Abang Haris! Betul ke nanti dalam TV abang akan jadi juri tegas macam Chef Jebat dalam rancangan MasterChef tahun lepas?”
Haris ketawa kecil.
“Mana kamu dengar cerita tu?”
“Mak Senah cakap,” jawab budak itu jujur.
Balqis yang berada di sisi Haris menutup mulut, menahan gelak.
“Abang ni bukan nak jadi juri garang, tapi juri profesional.”
Haris hanya mampu mengangguk sambil tersenyum kelat.
“Yalah… profesional.”
***
Malam itu, rumah Puan Suraya riuh dengan kehadiran ahli keluarga dan jiran tetangga. Mak Senah yang terlebih bersemangat membawa satu fail besar berisi senarai cadangan yang menurutnya boleh membantu Haris menjadi lebih terkenal dalam MasterChef.
“Aku dah fikir masak-masak, Haris,” kata Mak Senah sambil menekan jari telunjuknya pada fail itu. “Kalau kau nak buat impak, kau kena ada tagline sendiri!”
“Tagline?” Haris mengerutkan dahi.
“Iyalah! Contohnya, kalau masakan sedap, kau boleh cakap— ‘Pecah selera, terangkat ke syurga!’”
Semua yang ada di ruang tamu terbahak-bahak ketawa. Haiqal hampir tersedak air kopi.
“Kalau tak sedap pula, apa nak cakap?” tanya Balqis, cuba melayan.
Mak Senah tersenyum lebar.
“Kau boleh cakap— ‘Harap maaf, sudu pun tak sudi nak rasa!’”
Kali ini, Haris sendiri tidak dapat menahan ketawa.
“Mak Senah, kalau saya cakap macam tu, nanti saya kena kecam satu Malaysia!”
Sofea menepuk bahu suaminya.
“Bagus juga idea Mak Senah ni, bang. Kalau abang ada tagline sendiri, baru nampak unik!”
Puan Suraya menggeleng sambil tersenyum.
“Dah, dah… tak payah nak pening kepala dengan tagline. Yang penting, Haris buat yang terbaik. Kita semua tetap sokong.”
Di luar rumah, kampung mereka sudah bersiap sedia dengan persiapan untuk menonton episod pertama MasterChef minggu hadapan. Ada yang menyewa projektor besar di balai raya, ada yang merancang untuk mengadakan kenduri kecil sebelum tayangan.
Haris menarik nafas panjang.
“Aduhai… ini baru masuk TV, dah macam nak sambut Hari Kemerdekaan.”
Haiqal menepuk bahunya.
“Terima je la, Adan. Lagipun, ini baru MasterChef. Kalau kau jadi hos program sendiri nanti, mungkin satu Malaysia buat kenduri.”
Semua tergelak lagi. Haris hanya mampu mengeluh sambil tersenyum. Entah bagaimana nanti suasana di kampung bila episod pertamanya bersiaran!
Penduduk kampung mereka mmg kecoh betul..terima jelah Haris...Happy reading gaiss...jemput follow and comment.
Share this novel