BCR BAB 1 : BALIK KAMPUNG

Romance Series 14436

BUNYI hiruk-pikuk di dapur restoran Dapur Warisan sudah menjadi kebiasaan bagi Chef Haris Izzuddin. Dengan apron putih yang sudah ternoda dengan percikan sos dan minyak, dia cekap mengatur kerja anak buahnya. Waktu puncak untuk makan malam makin hampir, dan tempahan makanan semakin bertambah.

"Haris, pesanan meja tujuh dah siap?" suara Zafran, pembantunya, bergema.

"Baru nak plating, bagi aku dua minit!" balas Haris tanpa menoleh. Tangannya lincah menghias pinggan nasi Arab dengan potongan daging kambing yang masih berasap.

Namun, baru saja dia mahu menyerahkan hidangan kepada pelayan, telefon bimbitnya yang terletak di kaunter bergetar hebat. Sekilas pandang ke skrin, nama yang tertera membuatkan dia menghela nafas panjang.

"Umi."

Dia segera mengangkat panggilan.

"Umi, Adan tengah sibuk ni. Kenapa?"

"Balik kampung, Adan. Urgent!"

Haris terdiam sejenak. Matanya meliar ke sekeliling dapur yang penuh dengan staf yang sibuk bekerja.

"Sekarang ke... umi?"

"Ya, sekarang juga." Suara ibunya tegas, seperti tiada ruang untuk sebarang bantahan.

"Umi, restoran tengah full house. Nak dekat waktu puncak makan malam ni"

"Umi tak kira, Adan. Ini penting. Lagipun, bulan Ramadan dah nak dekat. Bila lagi kamu nak balik tengok umi dan adik-adik?"

Haris mengusap dahi.

"Umi, boleh tak tunggu sehari dua?"

"Tak boleh. Kalau Adan tak balik malam ni, umi datang ke KL esok dan seret kamu sendiri!"

Mata Haris membulat. Dia sudah masak dengan perangai ibunya yang kalau dah kata sesuatu, maka tiada siapa boleh ubah fikirannya.

"Baiklah, baiklah! Adan balik malam ni," katanya mengalah.

"Bagus! Jangan lupa beli buah tangan untuk ibu!"

Panggilan dimatikan sebelum Haris sempat membantah lebih lanjut. Dia mendongak ke langit-langit dapur, melepaskan satu keluhan panjang.

Zafran yang mencuri dengar perbualan itu mengangkat kening.


"Apa hal?"

Haris mengeluh.

"Aku kena balik kampung malam ni juga. Mampus aku kalau tak ikut cakap umi."

Zafran tergelak.

"Bersedia jelah untuk misi 'Bazar Cinta Ramadan', bro!"

Haris mengerutkan dahi.

"Bazar apa?"

Zafran hanya tersengih penuh makna.

"Kau akan tahu nanti."

Dan begitulah, tanpa dia sedar, satu babak baru dalam hidupnya bakal bermula di kampung halaman.Dengan kejutan yang tak pernah dia jangka.

***

Malam itu, dengan beg pakaian kecil di tempat duduk belakang dan deruan enjin kereta yang stabil, Haris Izzuddin memandu pulang ke kampungnya di Kuala Kangsar. Langit malam gelap bertemankan cahaya bulan, manakala lagu-lagu klasik dari radio menemani perjalanan yang terasa sedikit membosankan.

"Apa hal umi panggil aku balik tiba-tiba ni?" Haris menggumam sendirian.

Selama ini, ibunya jarang mendesak seperti tadi. Biasanya, umi hanya akan meminta dia balik kalau ada kenduri atau perayaan besar. Kedatangan bulan Ramadan pula masih berbaki beberapa hari lagi. Apa yang membuatkan ibunya begitu terdesak?

Sekitar pukul dua pagi, Haris akhirnya tiba di halaman rumah yang diterangi lampu serambi. Rumah pusaka keluarga yang penuh kenangan itu masih berdiri kukuh, memberi rasa tenang selepas seharian yang sibuk. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, pintu rumah terbuka, dan ibunya, Puan Suraya, berdiri di ambang pintu dengan senyuman puas.

"Adan! Akhirnya sampai juga anak umi ni."

Haris menyalami tangan ibunya dan memeluknya erat.

"Umi ni, Adan baru je letak beg, dah senyum lain macam. Ada benda nak suruh Adan buat ke?"

Ibu hanya tersenyum misteri.

"Masuk dulu, esok pagi umi cerita."

***

Haris terjaga apabila bau wangi nasi lemak yang menusuk hidung menyerbu deria baunya. Dia turun ke dapur, melihat ibunya sedang sibuk mengemas dapur, sementara adiknya, Hasrina lincah membancuh air Milo dalam sebiji teko porselin berwarna biru.

"Umi, nasi lemak special umi ni bau dia mengancam betullah?" Haris bertanya sambil duduk di meja makan.

"Memang pun...."

Haris mengangkat kening.

"Umi guna resepi baru ke?"

"Ya, saja nak jamu Adan hari ni. Beberapa hari lagi nak puasa dah. Umi bagi upah dulu sebelum Adan bantu umi"

Haris mengunyah sambal bilis perlahan.

"Tolong apa?"

"Umi nak kamu bantu di bazar Ramadan."

Tersedak! Haris terbatuk kecil sebelum mencapai segelas air.

"Bazar Ramadan?! Umi, umi tahu kan restoran Adan akan sibuk bulan puasa ni?"

Ibu memandangnya dengan renungan tajam.

"Kalau kamu sibuk, kenapa boleh balik kampung semalam?"

"Err... sebab umi paksa."

"Itulah sebabnya kamu kena tolong umi. Umi tak cukup tenaga pekerja. Kalau tak kamu, siapa lagi yang nak umi harapkan?"

Haris mengeluh panjang.

"Umi, bazar Ramadan tu bukan main-main tau. Berpeluh ketiak kena layan pelanggan. Tak cukup tenaga kerja?"

"Sebab tu umi panggil kamu balik! Umi percaya anak umi yang chef hebat ni boleh uruskan semua."

Haiqal yang dari tadi diam tiba-tiba menyampuk, "Lagipun, ramai gadis kampung tengah tunggu chef bujang macam kau dekat bazar tu."

Haris menjeling adiknya.

"Woi...Qal jangan melebih, ya."

Puan Suraya menepuk bahu anaknya.

"Jadi, boleh kan?"

Haris menutup muka dengan kedua-dua tangan. Dia memang tak sampai hati menolak permintaan ibunya.

"Baiklah, Adan tolong..."

Ibu tersenyum puas.

"Bagus! Sekarang, bersiap. Kita nak pergi tapak bazar kejap lagi."

Dan begitulah, Haris Izzuddin yang asalnya hanya pulang untuk memenuhi permintaan ibunya, kini terjerat dalam misi baru. Menjadi peniaga bazar Ramadan tanpa sebarang persediaan!

***

Selesai mesyuarat kecil dengan para peniaga bazar, Haris berdiri di tepi khemah penganjur sambil mengusap tengkuk. Dia masih cuba menghadam fakta bahawa dia kini seorang peniaga bazar Ramadan, sesuatu yang langsung tak ada dalam perancangan hidupnya.

Namun, ketika matanya melayang ke arah barisan peniaga yang sedang mengambil nombor gerai, langkahnya tiba-tiba terhenti.

Di hujung barisan, seorang gadis dengan tudung bawal berwarna pastel sedang tersenyum sambil berbual dengan peniaga lain. Dia berkemeja putih longgar yang disinsing hingga ke siku, dipadankan dengan seluar jeans hitam dan bersepatu sukan hitam berjenama Nike.

Tetapi itu bukan perkara yang mengejutkan Haris. Apa yang membuatkan dia terpaku adalah pesonanya yang santai tetapi menawan. Senyumannya manis, matanya bersinar dengan riang, dan setiap gerak-gerinya seperti mencipta angin sepoi-sepoi yang menerbangkan tepian kain hijabnya yang melilit kepala. Macam dalam iklan syampu. Slow motion. Ada efek bunga-bunga sakura berguguran. Haris telan liur.

"Err… siapa tu?" dia bertanya perlahan, tanpa sedar yang ibunya masih berdiri di sebelah.

Puan Suraya menjeling anaknya dengan senyuman yang makin melebar.

"Ohhh… nampaknya anak umi dah kena panahan asmara."

Haris tersentak.

"Apa?! Tak ada maknanya!"

"Tadi beria sangat tak nak berniaga dekat bazar, tapi baru nampak seorang gadis, terus termenung panjang."

"Umi, bukan macam tu…"

"Sekali umi suruh berkenalan, mesti terus sanggup buka cawangan restoran dekat kampung ni, kan?"

"Umiiiii...!"

Ibunya hanya tergelak sambil menepuk bahu Haris sebelum berlalu ke arah kaunter pendaftaran. Haris masih kaku di tempatnya, sesekali mencuri pandang ke arah gadis itu yang masih berbual dengan peniaga lain.

"Dahlah, Adan a.k.a Haris Izzuddin. Kau ni dah macam watak drama pukul tujuh." Dia menampar perlahan pipinya sendiri, cuba mengembalikan fokus.

Tetapi jauh di sudut hati, dia tahu sesuatu yang menarik bakal berlaku sepanjang Ramadan ini.

***

Setelah pulang ke rumah, Haris menjatuhkan diri ke sofa ruang tamu dengan keluhan panjang. Baru nak berehat, ibu sudah muncul dari dapur dengan segelas air sejuk dan senyuman penuh makna.

"Adan."


"Ya?"

"Umi nampak cara kamu pandang
gadis tadi…"

Haris yang sedang minum tersedak serta-merta.

"Uhukk! Umi, jangan mulakan!"

Puan Suraya duduk di sebelahnya, bersilang tangan dengan riak wajah penuh kepuasan.

"Jadi, macam mana? Dah jatuh hati ke belum?"

"Tak ada maknanya. Adan cuma… terkejut. Itu je."

"Umi tengok bukan sekadar terkejut. Siap frozen macam dah terkena ilmu pukau."

Haris menutup muka dengan kedua-dua tangan.

"Umi, tolonglah. Ini dah masuk level drama mak-mak dekat TV."

Puan Suraya mengangkat bahu.

"Umi cuma nak tahu, bila kamu nak ajak dia berbuka sama?"

"Umi!!!"

Suasana rumah dipenuhi dengan gelak tawa ibunya, sementara Haris hanya mampu mengeluh sambil menekup bantal ke muka. Ramadan kali ini memang lain macam auranya… dan dia tak pasti sama ada itu berita baik atau bakal membawa lebih banyak kekacauan!

***

Malam itu, selepas solat Isyak, Haris cuba menikmati teh panas dengan tenang di meja makan. Namun, suasana di ruang makan tidak membantunya langsung.

Sebaliknya, ibu, atau lebih mesra dipanggil Umi, bersama dua adiknya, Haiqal dan Hasrina, sedang rancak berbual tentang seseorang yang kini menjadi topik perbualan hangat keluarga mereka.

"Adan, aku tak sangka kau boleh cair macam tu tadi," usik Haiqal sambil meneguk air sirapnya dengan penuh dramatik.

"Apa? Siapa yang cair?!" Haris menjeling.

"Haa, mengaku pun!" Hasrina menyambung dengan gelak nakal. "Tadi abang Adan tu macam kena renjatan elektrik. Rina ingatkan abang teringat periuk tak tutup api dekat restoran, rupanya ada magnet hati dekat bazar."

Umi yang sejak tadi menahan tawa akhirnya bersuara.

"Adan, nak tahu siapa gadis tadi?"

Haris meletakkan cawan tehnya dan bersandar dengan wajah serius.

"Memang itu yang Adan nak tanya dari tadi. Siapa dia, Umi?"

Haiqal dan Hasrina berpandangan sesama sendiri sebelum sama-sama menyebut,

"Balqis Nadira!"

Haris mengerutkan dahi.


"Balqis Nadira?!"

"Ya, teman sepermainan Adan waktu kecil dulu," jawab Umi sambil tersenyum puas melihat reaksi anak sulungnya.

Haris ternganga. Ingatannya segera melayang ke zaman kanak-kanak. Balqis Nadira… gadis yang selalu mengekorinya ke mana-mana waktu kecil. Yang dulu pernah menangis sebab dia curi aiskrimnya. Yang pernah panjat pokok jambu di belakang rumah, kemudian tersangkut dan terpaksa dipujuk turun dengan gula-gula.

Dan yang paling penting…

"Ya Allah…" Haris memegang kepalanya. "Balqis tu anak Lebai Haji Bakhtiar?!"

"Betul!" Hasrina mengangguk laju. "Lepas sekian lama belajar dan bekerja luar negara, dia balik kampung nak tolong keluarga berniaga. Abang tahu kan, bapak dia tu siapa?"

"Siapa lagi kalau bukan Sarjan Misai kampung kita?" sambung Haiqal sambil ketawa.

Haris hampir tersedak teh.

"Astagfirullah… takkan dia masih ada misai macam A. Galak dalam Gerak Khas?!"

"Sekarang lagi lebat!" kata Hasrina sambil menahan gelak. "Abang tengok esok dekat bazar, mesti terasa aura garang dia walaupun dia tengah beli kuih."

Haris menepuk dahi. Kalau dulu dia dah cukup gerun dengan renungan tajam Lebai Haji Bakhtiar, sekarang lagi lah dia tak boleh buat tersilap langkah.

Umi ketawa kecil.

"Balqis tu dah besar jadi gadis yang sangat baik. Kalau dulu dia rapat dengan Adan, tak mustahil sekarang pun boleh jadi rapat balik."

Haris mengetap bibir.

"Umi… jangan cuba nak main jodoh-jodohkan orang. Adan datang sini sebab nak tolong niaga, bukan nak cari bakal isteri."

Haiqal dan Hasrina berpandangan sesama sendiri sebelum meledak ketawa.

"Alah, abang. Orang kalau dah kena panahan asmara, mulut boleh nafikan, tapi hati tetap bergetar!" Hasrina meniru gaya lakonan romantik.

"Betul tu," Haiqal menyokong. "Esok dekat bazar, mesti ada adegan drama 7 petang. Mungkin Balqis akan jatuhkan kuih, Adan datang sambut, lepas tu mata bertentang lama. Slow motion. Eh, ke kau nak misai Sarjan Misai dulu yang masuk frame?"

"Dahlah, aku nak tidur!" Haris bingkas bangun, tidak sanggup mendengar lebih banyak ejekan daripada ahli keluarganya. Namun, sebelum dia sempat melangkah ke bilik, suara Umi kembali menyusul.


"Adan…"

Dia berhenti dan menoleh.

"Esok kalau ternampak Balqis, jangan lupa senyum, ya?"

Dan sekali lagi, satu rumah bergema dengan gelak ketawa.

Haris hanya mampu menghela nafas panjang. Ramadan kali ini memang akan jadi sangat panjang untuknya…

Malam semakin larut, tetapi mata Haris masih segar. Dia berbaring di atas katil, merenung kipas siling yang berpusing perlahan. Nama Balqis Nadira masih berlegar-legar dalam fikirannya.

"Balqis Nadira… budak yang dulu suka kejar aku sebab aku habiskan ais krim dia. Budak yang selalu menang dalam lumba lari dekat sawah… Budak yang dulu kecil molek, tapi sekarang—"

Haris menggeleng cepat.

"Argh! Apa aku fikir ni?"

Dia mengalihkan badan ke sisi, cuba memejamkan mata. Tetapi tidak sampai seminit, pintu bilik tiba-tiba terbuka tanpa ketukan.


"Woi, Adan…"

Haris tidak perlu menoleh untuk tahu siapa pelakunya.


"Haiqal, keluar."


"Tengok tu! Dia dah malas layan orang sebab tengah fikir pasal Balqis," Haiqal mengusik sambil menutup pintu dan melompat ke atas katil di sebelah Haris.


"Aku tak fikir apa-apa pun!" Haris merengus.

"Jangan tipu! Mesti kau tengah terbayang Balqis, kan?"

"Tak!"

"Habis tu kenapa muka kau semacam?"

Haris menumbuk perlahan bantalnya, frust kerana adiknya ini memang tak faham konsep privasi.

"Qal, kau nak tidur ke nak cari nahas?"

"Hmmm…" Haiqal berpura-pura berfikir. "Aku nak gosip pasal kau dan Balqis lah!"

Haris menjeling tajam.

"Nak, aku campak kau keluar tingkap sekarang?"

"Buatlah kalau berani! Nanti aku bagitahu umi kau ada hati dekat Balqis!"

"Astaghfirullah…" Haris menutup muka dengan selimut.

Haiqal ketawa terbahak-bahak.

"Adan, tak payah nak malu. Jodoh tak ke mana. Lagipun, kalau dapat Balqis, kau akan jadi menantu Sarjan Misai!"

Aduhai, satu keluarga kuat mengusik kau chef Haris Izzuddin a.k.a Adan..terima jelah takdir...Happy reading gaiss..salam 1 ramadan..jemput follow and comment...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience