BCR BAB 11 : PEMERGIAN YANG TAK DIJANGKA

Romance Series 14436

PETANG itu, angin bertiup lembut membawa aroma hujan yang masih berbaki di dedaunan. Matahari terik siang tadi sudah mula tunduk ke ufuk, memberi ruang kepada bayang-bayang panjang menyelubungi halaman rumah Puan Suraya. Firdaus berdiri di hadapan pintu pagar, matanya tajam memandang ke dalam rumah seperti sedang mengumpul kekuatan untuk melangkah masuk. Di bahunya tergantung sebuah beg tentera yang penuh dengan seribu satu kisah yang bakal ditinggalkannya buat sementara.

Hasrina menyambut kedatangannya dengan senyuman, tetapi hati kecilnya bergetar aneh. Firdaus... bukan Firdaus yang dia kenal. Jika selalu dia hadir dengan tawa dan usikan nakal, hari ini lelaki itu kelihatan diam, termenung, dan jauh. Matanya yang jernih bercahaya seperti menyimpan sesuatu yang sukar diungkapkan.

“Masuklah dulu, abang Fir. Muka macam baru lepas kena saman JPJ je,” Hasrina berseloroh, cuba menceriakan suasana.

Firdaus tersenyum tipis. Senyum yang tidak sampai ke mata. Dia melangkah masuk ke ruang tamu, meletakkan beg tenteranya di sisi sofa sebelum duduk menghadap Hasrina dan Puan Suraya.

Puan Suraya yang duduk di kerusi bersebelahan memandang Firdaus dengan penuh kasih.

“Kenapa senyap je, Fir? Selalu datang rumah ni macam wakil rakyat buat lawatan.”

Firdaus menghela nafas. Dia memandang Hasrina seketika sebelum mengalihkan pandangan ke jari-jemarinya sendiri.

“Fir nak balik markas esok pagi, umi. Datang ni pun sebab nak bagitahu.”

Keadaan sunyi seketika. Bunyi cerek elektrik di dapur yang mendidih terasa seperti letupan kecil di telinga Hasrina.

"Awalnya?" Suara Hasrina hampir berbisik.

Firdaus tersenyum hambar.

“Arahan tugas, Rin. Rin tahu macam mana kehidupan abang. Askar ni... bukan boleh suka-suka cuti lama-lama.”

Hasrina mengangguk perlahan, namun ada sesuatu di dalam dirinya yang memberontak. Selalunya Firdaus akan bergurau tentang kepulangannya, akan berjanji mahu bawa ole-ole pelik dari kem atau sekurang-kurangnya menggoda dengan janji akan belanja makan besar bila dia balik nanti. Tapi hari ini, Firdaus hanya menyebut tentang pemergian.

“Abang Fir okey ke tak ni?” Hasrina bertanya, cuba mencari sesuatu dalam anak mata Firdaus.

Firdaus ketawa kecil.

“Rin ni... abang okey je. Saja je nak bagi pesanan sikit.”

“Pesanan apa?”

Firdaus menarik nafas dalam sebelum bersuara.

“Rin, kalau abang tak balik raya ni...Rin jangan sedih, ya? Jangan murung, jangan termenung dekat tingkap sambil dengar lagu sedih. Jangan...” Dia berhenti seketika.

“Jangan lupa jaga diri baik-baik.”

Kening Hasrina bertaut. Dia ketawa kecil, cuba mengusir perasaan aneh yang tiba-tiba menyelinap dalam dirinya.

“Kenapa abang cakap macam ni? Macam tak balik-balik je?”

Firdaus tersenyum.

“Mana tahu. Dunia ni bukan kita yang punya, kan?”

Hasrina membulatkan matanya.

“Abang Fir, sumpah kalau abang buat drama Melayu ‘Suamiku Hilang di Medan Perang’, Rin nak bakar kem abang.”

Puan Suraya tergelak kecil, tetapi dalam hatinya dia juga merasakan sesuatu yang aneh. Firdaus tidak seperti selalu.

Firdaus menghela nafas.

“Abang cuma nak Rin ingat, kalau Rin rindu abang nanti... Rin tengok je langit malam. Bintang tu macam abang, sentiasa ada, walaupun jauh.”

Hasrina mengetap bibir, cuba mengawal emosinya.

“Rin tak suka ayat abang hari ni.”

Firdaus ketawa kecil.

“Yalah, yalah. Abang cuma nak Rin jaga kesihatan. Jangan kerja sampai lupa makan. Jangan sedih-sedih. Dan...” Dia tunduk sedikit, suara semakin perlahan.

“Kalau ada jodoh... abang balik nanti.”

Hasrina menelan air liur. Ada sesuatu dalam kata-kata Firdaus yang membuat hatinya bergetar. Entah kenapa, dia rasa seperti ingin menangis.

Firdaus bangkit dari sofa, mencapai begnya lalu tersenyum ke arah Puan Suraya.

“Umi, doakan Fir, ya?”

Puan Suraya mengangguk, matanya sedikit berkaca.

“Hati-hati, Fir.”

Hasrina memerhatikan Firdaus melangkah ke pintu, namun tiba-tiba dia menahan diri daripada mengejar.

“ Abang Fir.”

Firdaus berpaling.

“Jangan lupa balik, ya?”

Firdaus tersenyum.

“Abang akan cuba.”

Dan dengan itu, dia melangkah pergi.
Hanya Tuhan yang tahu, itulah kali terakhir Hasrina melihat Firdaus dalam keadaan begitu.

Langkah Firdaus yang sudah hampir ke pagar tiba-tiba terhenti. Seolah-olah ada sesuatu yang menariknya untuk berpatah balik. Hasrina yang masih berdiri di ambang pintu memerhatikan pergerakannya dengan dahi berkerut.

Tanpa sepatah kata, Firdaus mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya. Sebuah bekas baldu kecil berwarna merah. Hati Hasrina serta-merta bergetar. Dia sudah dapat meneka apa yang tersimpan di dalamnya.

Firdaus menghulurkan bekas itu kepadanya.

“Nah,” katanya ringkas.

Hasrina mengambil bekas itu dengan tangan sedikit menggeletar. Matanya beralih ke wajah Firdaus, cuba mencari kepastian.

“Kenapa abang bagi sekarang?” suaranya kedengaran perlahan tetapi jelas. “Bukankah kita dah setuju nak buat masa bertunang nanti? Masa keluarga abang datang…”

Firdaus tersenyum nipis.

“Abang takut tak sempat.”

Jawapan itu membuatkan Hasrina tersentak. Jantungnya berdetak laju. Entah kenapa, hatinya terasa berat dengan kata-kata itu.

“Tolong jangan cakap macam tu, abang” ujar Hasrina, cuba memaksa senyuman walaupun ada sesuatu yang terasa menyucuk dalam dadanya.

Firdaus tidak membalas, hanya memandangnya dengan mata yang sarat dengan sesuatu yang sukar ditafsirkan. Hasrina menarik nafas dalam-dalam sebelum menghulurkan tangan.

“Sarungkan.”

Firdaus kelihatan terkejut seketika, seolah-olah tidak menjangkakan permintaan itu. Namun, dia tidak menolak. Dengan perlahan, dia mengambil cincin yang tersimpan di dalam bekas baldu merah itu dan menyarungkannya ke jari manis Hasrina.

Sebaik sahaja cincin itu terletak kemas di jarinya, Hasrina mengangkat wajahnya, tersenyum kecil.

“Sekarang, dah rasmi.”

Firdaus menatap wajahnya lama. Terlalu lama. Hingga Hasrina sendiri terasa seperti masa terhenti. Dan ketika itulah, setitis air mata jantan menitis di kelopak mata kiri Firdaus. Cepat-cepat dia mengesatnya dengan jemari kasar sebelum sempat Hasrina menyedarinya. Namun, Hasrina sudah pun melihat segalanya.Tetapi, dia memilih untuk diam. Hatinya berat. Terlalu berat.

"Abang Fir, janji dengan Rin abang akan balik," ujar Hasrina, suaranya hampir bergetar.

Firdaus tersenyum hambar.

"Abang cuba."

Dan kali ini, dia benar-benar melangkah pergi. Membawa sebahagian dari hati Hasrina bersamanya.

Hari-hari selepas pemergian Firdaus, Hasrina menjadi semakin gelisah. Seperti ada sesuatu yang hilang dalam rutin hidupnya. Dan kerana itulah, dia tidak pernah ketinggalan untuk bertanya tentang perkembangan Firdaus daripada Balqis.

“Kak Qis, abang Firdaus ada mesej tak?”

Balqis yang sedang sibuk mengira baki duit di gerai bazar Ramadannya mendongak dengan wajah bosan.

“Kau ni, Rin. Hari-hari tanya benda yang sama. Tak penat ke?”

Hasrina mencebik.

“Mestilah Rin nak tahu. Tunang Rin, kan?”

Balqis mengangkat kening.

“Oh, baru tunang, ya? Ingatkan dah kahwin dah. Lain macam betul Rin ni.”

Hasrina menjeling tajam.

“Jangan akak nak perli sangat. Abang Firdaus okey tak?”

Balqis menghela nafas panjang sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia menyemak mesej terakhir yang diterimanya daripada Firdaus.

“Dia kata semua okey. Cuma sekarang sibuk dengan latihan intensif. Jadi tak dapat nak balas selalu.”

Hasrina terdiam sejenak. Dia tahu tugas seorang tentera bukan mudah. Tapi kenapa hatinya tetap terasa risau?

“Rin rilekslah sikit. Abang Firdaus tu dah biasa dengan kehidupan macam ni,” ujar Balqis, cuba menenangkan.

Hasrina hanya mengangguk perlahan. Namun, itu tidak menghalangnya daripada terus bertanya. Jika bukan di bazar Ramadan, dia pasti akan menyoal Balqis selepas solat Tarawih, sewaktu moreh di masjid.

“Kak Qis, tadi ada cakap abang Firdaus sibuk. Sibuk macam mana?” Hasrina bertanya sambil menyuap kuih seri muka ke dalam mulutnya.

Balqis mengetap bibir.

“Sibuk macam akak sekarang ni, yang tak habis-habis kena soal siasat dengan Rin!”

Hasrina tergelak kecil.

“Alah, akak bukan tak biasa.”

“Rin, kalau rindu sangat, tulislah surat. Kalau tak dapat balas pun, sekurang-kurangnya Rin boleh luahkan perasaan.”

Hasrina terdiam. Surat? Itu satu idea yang menarik. Tapi... entah kenapa, ada satu perasaan aneh menyelinap ke dalam hatinya. Seperti ada sesuatu yang bakal berlaku.

Sesuatu yang dia sendiri belum bersedia untuk hadapi.

Hari demi hari berlalu, dan kerinduan Hasrina terhadap Firdaus semakin menggigit jiwa. Dia semakin tidak tentu arah, gelisah setiap kali teringatkan tunangnya yang jauh di perantauan. Namun, semuanya berubah pada satu malam.

Malam itu, tidur Hasrina tidak lena. Dia merasakan dadanya sesak, seolah-olah ada sesuatu yang berat menindihnya. Dalam lenanya, dia melihat Firdaus berdiri di tengah medan perang, berlumuran darah. Wajahnya tenang, tetapi matanya dipenuhi kesedihan.

“Rin...sayang, jangan tunggu abang Fir.”

Itu kata-kata terakhir Firdaus sebelum tubuhnya rebah ke tanah. Dan sebaik sahaja dia jatuh, dunia Hasrina terasa gelap.

Hasrina terjaga dengan nafas tercungap-cungap. Jantungnya berdegup kencang, peluh dingin membasahi dahinya. Dia cuba menenangkan diri, cuba meyakinkan dirinya bahawa itu hanya mimpi. Tapi mengapa ia terasa begitu nyata?

Sejak malam itu, Hasrina jatuh sakit. Badannya panas, tetapi hatinya lebih membakar dengan keresahan. Puan Suraya yang menyedari perubahan anak bongsunya itu semakin buntu mencari cara untuk memujuknya.

“Hasrina, dah tiga hari kamu tak keluar bilik. Makan pun sikit. Sampai bila nak begini?” Puan Suraya duduk di tepi katil, menyentuh dahi Hasrina yang masih panas.

Hasrina hanya memejamkan mata.

“Umi, Rin takut…” suaranya perlahan, hampir berbisik.

Puan Suraya mengeluh kecil.

“Takut apa, sayang?”

Hasrina membuka matanya perlahan-lahan, menatap ibunya dengan penuh kesedihan.

“Rina takut abang Firdaus tak balik, umi.”

Puan Suraya tidak tahu mahu berkata apa. Hatinya juga resah, tetapi dia tidak mahu menambahkan beban di hati anaknya.

Haiqal dan Haris, dua abangnya yang menyayangi Hasrina sepenuh hati, juga tidak sanggup melihat keadaan adik mereka begitu.

“Rin, kau kena kuat,” ujar Haiqal sambil mengusap kepala Hasrina. “Firdaus tu askar. Dia dah biasa dengan benda-benda macam ni. Jangan fikir yang bukan-bukan.”

Haris pula cuba menceriakan suasana dengan lawaknya yang selalu menjadi.

“Jangan risau, Rin. Kalau abang Firdaus lambat balik, abang Adan dengan abang Qal boleh tolong kamu cari calon lain.”

Hasrina menjeling tajam.

“Kalau abang Adan berani cakap lagi macam ni, Rin campak abang Adan keluar tingkap.”

Haris ketawa kecil, tetapi wajahnya tetap dipenuhi kebimbangan.

Namun, walau sebanyak mana mereka cuba menghiburkan Hasrina, dia tetap tidak dapat menghilangkan kegelisahan di hatinya. Setiap malam, dia terjaga dengan perasaan yang sama. Seolah-olah Firdaus semakin jauh daripadanya.

Dan semakin hari, hatinya semakin yakin... sesuatu yang buruk telah berlaku.

***

Pejam celik, tinggal seminggu sahaja lagi sebelum Firdaus kembali. Sejak mendapat perkhabaran itu, Hasrina kembali bersemangat. Wajahnya yang sebelum ini muram dan tidak bermaya mula bercahaya. Dia sudah mula tersenyum, sudah mula bangun dari katilnya dengan harapan yang membara untuk menyambut kepulangan tunang yang dikasihinya.

Sehari sebelum ketibaan Firdaus, Hasrina sudah merancang segala-galanya. Dia mahu menyambutnya dengan sesuatu yang istimewa. Kuih kegemaran Firdaus, baju baharu yang dibelinya khas untuk lelaki itu, malah dia sendiri sudah memilih pakaian terbaik untuk hari itu.

Tetapi...

Saat yang dinanti-nantikan itu tiba dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun.

Sebuah trak tentera perlahan-lahan memasuki pekarangan rumah. Bendera negara berkibar separuh tiang di hadapan kenderaan itu. Dan di belakangnya, sebuah van hitam menyusul dengan perlahan, menambahkan ketegangan di dalam hati semua yang hadir.

Pintu van dibuka.

Hasrina yang sedang berdiri di beranda rumah terasa dunia berhenti berputar. Nafasnya sesak, matanya tidak berkelip memandang apa yang sedang berlaku di hadapannya.

Dua orang pegawai tentera turun dari van, diikuti beberapa anggota lain yang berpakaian lengkap. Di tengah-tengah mereka, sebuah usungan kayu diangkat dengan penuh cermat.

Hasrina menggeleng perlahan, kakinya seakan-akan kehilangan kekuatan.

“Tak… ini bukan nyata… ini bukan Firdaus…”

Tetapi sebaik sahaja kelambu putih yang menutupi usungan itu tersingkap sedikit, Hasrina rebah terduduk.

Firdaus telah kembali.

Namun bukan dengan senyuman, bukan dengan seragam yang dipakainya dengan penuh bangga, bukan dengan kata-kata manis yang selalu membuatkan Hasrina berasa selamat.

Dia kembali dalam keadaan yang paling Hasrina takuti.

Jasadnya terbujur kaku, sudah dikafankan dengan sempurna.

“Rin, bangun, Rin!” Haiqal cuba memapah adiknya yang sudah menggeletar, tetapi Hasrina tidak mampu bersuara. Matanya terkunci pada tubuh yang tidak lagi bernyawa di hadapannya.

Tidak mungkin! Tidak mungkin ini realiti!

Balqis yang turut berada di situ sudah tidak mampu menahan tangisan. Puan Suraya menekup mulutnya, air mata deras mengalir di pipi.

Hasrina ingin menjerit, ingin mengatakan bahawa ini semua adalah mimpi. Mimpi buruk yang akan berakhir apabila dia membuka mata. Tetapi dada dan tekaknya terasa terlalu sakit untuk mengeluarkan suara.

Dia hanya mampu merangkak perlahan ke arah jasad yang telah lama dinantikannya.
Tetapi bukan begini. Bukan begini cara dia mahu menyambut kepulangan Firdaus.
Jari-jarinya yang menggigil menyentuh perlahan hujung kain kafan itu. Air matanya tumpah, jatuh ke atas kain putih yang menutupi wajah yang pernah dia tatap dengan penuh kasih sayang.

“Abang Firdaus… bangun…” suaranya hampir tidak kedengaran.

Tidak ada balasan.

Hanya hembusan angin yang terasa seperti menyampaikan ucapan selamat tinggal.

Di dada langit, mendung semakin kelam. Seakan turut meratapi pemergian seorang insan yang pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada cinta hatinya.

Bab ni kita main jiwa sikit..sesiapa hati tisu sediakn tisu awal² okey..Happy reading gaiss..jemput follow and komen..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience