LANGIT Krabi terbentang luas dengan warna keemasan ketika mentari mula berlabuh di ufuk barat. Desiran ombak lembut menyentuh kaki mereka yang sedang berdiri di pesisiran pantai, menikmati suasana nyaman di destinasi percutian mewah yang telah dirancang oleh Haris.
“Kita dah lama sangat sibuk dengan kerja dan tanggungjawab masing-masing. Ini masa untuk kita berehat,” kata Haris sambil merangkul bahu Balqis yang tersenyum manis di sisinya.
Sofea dan Haiqal yang baru sahaja duduk di bawah gazebo pantai turut mengangguk setuju. Haiqal yang pada awalnya agak keberatan kerana tidak mahu Sofea terlalu letih semasa mengandung akhirnya akur apabila melihat betapa gembiranya isterinya itu.
Puan Suraya dan Lebai Haji Bakhtiar pula tidak kalah romantiknya. Walaupun usia mereka bukan lagi muda, cara mereka melayani satu sama lain membuatkan anak-anak mereka tersenyum kecil. Lebai Haji Bakhtiar sering membantu Puan Suraya berjalan di atas pasir halus, takut isterinya itu tersadung.
“Umi dengan abah kalah kita orang yang muda ni,” usik Haiqal sambil tersenyum nakal ke arah Haris.
Balqis tertawa kecil.
“Biarlah mereka. Selama ni umi hidup sendiri, sekarang dah ada teman, mestilah bahagia.”
Hari pertama di Krabi dipenuhi dengan aktiviti santai. Mereka menaiki bot untuk island hopping, mengunjungi Phi Phi Island, Maya Bay, dan Viking Cave. Air laut yang jernih membiru membuatkan mereka tidak puas menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Sofea yang pada mulanya agak takut menaiki bot akhirnya teruja apabila melihat pulau-pulau kecil yang begitu menenangkan.
***
Malam menjelma, dan mereka semua berkumpul di sebuah restoran makanan laut tepi pantai untuk menikmati makan malam romantik. Lampu-lampu kecil bergantungan, memberikan suasana yang cukup sempurna untuk percutian bulan madu mereka.
Namun, apa yang tidak disangka adalah pertemuan semula dengan Zafran.
“Tak sangka kita jumpa di sini,” kata Zafran dengan senyuman mesra, berdiri di hadapan mereka bersama seorang wanita bertudung yang cukup dikenali oleh Balqis.
“Munira?” Balqis terkejut, matanya membulat.
Munira tersenyum lebar sebelum terus memeluk Balqis erat.
“Ya Allah, lama betul kita tak jumpa, Balqis! Aku tak sangka kau kahwin dengan Haris.”
Haris yang duduk di sebelah Balqis mengangguk kecil.
“Kebetulan yang tak disangka.”
Zafran kemudian memandang Haris dan Haiqal sebelum menarik nafas panjang.
“Aku tahu aku banyak salah dengan korang semua. Dan aku betul-betul nak minta maaf.”
Haiqal dan Haris hanya saling berpandangan. Mereka tidak pernah menyimpan dendam, tetapi keterkejutan masih terasa.
Zafran menyambung, “Aku nak beritahu sesuatu. Aku akan berpindah ke luar negara untuk meneruskan legasi keluarga aku di sana. Dan... aku nak pulangkan Dapur Warisan pada kau, Haris.”
Semua yang ada di situ terdiam seketika. Haris sendiri terkejut dengan kata-kata itu.
“Kau serius?” tanya Haris, masih tidak percaya.
Zafran mengangguk.
“Aku dah fikir masak-masak. Dapur Warisan lebih layak di tangan kau. Aku percaya kau akan jaga tempat tu dengan lebih baik.”
Malam itu menjadi satu malam penuh kejutan. Bukan sahaja pertemuan semula antara Balqis dan sahabat baiknya Munira, malah kehadiran Zafran membawa satu penutup yang baik untuk segala kisah lama.
Namun, kejutan terbesar malam itu bukan datang dari Zafran, tetapi dari Puan Suraya dan Lebai Haji Bakhtiar.
Ketika mereka semua sedang menikmati makan malam, Lebai Haji Bakhtiar tiba-tiba bersuara dengan nada yang penuh makna.
“Sebenarnya, ada satu rahsia yang umi kamu dan abah simpan selama ini.”
Haiqal, Haris, Balqis, dan Sofea memandang pasangan itu dengan penuh tanda tanya.
Lebai Haji Bakhtiar tersenyum kecil sebelum menyambung, “Abah dan umi sebenarnya pernah bercinta dahulu.”
Sofea tersedak air jusnya manakala Haiqal hampir menjatuhkan sudu di tangannya.
“Wah, tak sangka!” Haris bersuara, masih dalam kejutan.
Puan Suraya mengangguk perlahan, pipinya sedikit merah.
“Tapi dulu... ada sedikit salah faham. Arwah ibu abah, tersalah masuk meminang orang lain. Jadi, jodoh kami terputus begitu saja.”
“Ya, tapi Allah dah aturkan yang terbaik,” Lebai Haji Bakhtiar menambah sambil tersenyum ke arah isterinya. “Akhirnya, kami tetap bersatu juga.”
Balqis memandang mereka berdua dengan penuh kagum.
“Jadi ini kira cinta yang tertangguhlah, kan?”
Haiqal mengusap dagunya, tersenyum nakal.
“Umi, abah... kami semua ni kalah dengan kisah cinta kalian.”
Mereka semua tergelak, dan malam itu menjadi kenangan indah yang tidak akan dilupakan. Percutian yang sepatutnya sekadar rehat dan bulan madu bertukar menjadi detik penyatuan, kemaafan, dan kisah cinta yang akhirnya menemui pengakhiran bahagia.
***
Keesokan paginya, suasana di pantai Krabi begitu nyaman. Angin laut bertiup lembut, menyapa wajah-wajah yang sedang menikmati sarapan di bawah gazebo yang menghadap laut. Haris dan Haiqal duduk bersantai sambil minum kopi, sementara Sofea dan Balqis sibuk memilih menu tambahan untuk makan tengah hari.
“Haiqal, aku tak sangka umi dan abah sebenarnya pernah bercinta dulu,” kata Haris sambil mengacau kopinya.
Haiqal mengangguk.
“Aku pun terkejut. Patutlah umi dengan abah romantik semacam. Cinta lama berputik kembali rupanya.”
Mereka berdua tertawa kecil, namun tawa itu tidak lama apabila mereka melihat Sofea yang sedang berjalan laju ke arah mereka dengan wajah mencuka.
“Ada apa pula ni?” bisik Haiqal kepada Haris.
Sofea terus berdiri di hadapan mereka dengan tangan berpeluk tubuh.
“Abang, abang nak tahu tak apa yang kakak beritahu honey tadi?”
Haiqal menelan air liurnya. Dia tahu, ini mesti sesuatu yang bakal membuatkan kepalanya pening.
“Err... apa dia?”
“Honey dapat tahu Zafran dan Munira juga akan ikut kita island hopping hari ini.”
Haiqal mengangkat kening.
“Ooo… Itu ke? Kan bagus, boleh eratkan silaturahim.”
Sofea menjeling tajam.
“Abang ni kenapa? Tak risau ke honey duduk satu bot dengan Zafran?!”
Haris yang mendengar itu cepat-cepat meneguk kopinya untuk mengelak daripada terlibat dalam pergaduhan kecil suami isteri itu.
Haiqal mengangkat tangan menyerah.
“Sofea, Zafran tu dah ada isteri, honey pula dah jadi isteri abang. Tak ada apa yang perlu honey risaukan.”
“Tapi honey tetap rasa tak selesa!” rungut Sofea, masih dengan wajah cemberutnya.
Balqis yang baru tiba bersama Puan Suraya dan Lebai Haji Bakhtiar ketawa kecil.
“Sofea, kamu ni kuat betul merajuk ya? Kesian Haiqal.”
Sofea mendengus.
Haris menggelengkan kepala.
“Baguslah Haiqal, isteri kau sayang sangat kat kau tu.”
Haiqal hanya mampu tersenyum pahit. Dia tahu Sofea bukan marah kerana dia tidak percayakan dirinya, tetapi kerana dia sendiri masih belum pulih daripada luka masa lalu dengan Zafran. Namun, percutian tetap diteruskan seperti yang dirancang.
***
Sewaktu di atas bot, angin laut bertiup kencang, dan ombak sesekali menghentam badan bot, membuatkan beberapa penumpang menjerit kecil. Sofea yang sudah mula tidak selesa memegang erat lengan Haiqal.
“Abang, honey rasa nak muntah,” rengek Sofea.
Haiqal mengusap belakang isterinya dengan lembut.
“Bertahanlah sikit lagi, kita dah nak sampai.”
Zafran dan Munira yang duduk di seberang bot hanya mampu tersenyum melihat pasangan itu. Munira sempat menghulurkan sebotol air kepada Sofea.
“Minum sikit, nanti kurang rasa mual tu,” kata Munira lembut.
Sofea mengambil botol itu dengan senyuman kecil.
“Terima kasih, Munira.”
Namun, sebaik sahaja bot menghampiri Maya Bay, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Sofea tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan berlari ke bahagian belakang bot.
“Abangggg! Honey tak tahan dah!!” jerit Sofea sebelum terduduk dan mula muntah ke dalam plastik yang dipegangnya.
Haiqal yang terkejut segera mendapatkan Sofea. Haris dan Balqis juga kelihatan cemas.
“Honey, awak okey?” Haiqal mengusap kepala isterinya yang kelihatan pucat.
Sofea menggeleng dengan lemah.
“Honey dah tak nak naik bot lagi… honey rasa nak pengsan.”
Munira yang berpengalaman dalam hal ini tersenyum.
“Sofea, ini memang normal kalau kita mengandung. Dulu saya pun macam ni waktu awal kehamilan.”
Semua mata tiba-tiba tertumpu pada Munira.
Balqis tersenyum lebar.
“Jadi… kau pun tengah mengandung juga?”
Munira mengangguk malu-malu.
“Ya, dua bulan.”
Berita itu disambut dengan kegembiraan. Balqis segera memeluk Munira, begitu juga dengan Puan Suraya yang turut terharu.
“Tahniah, Munira! Nampaknya anak-anak umi semua bakal bergelar ibu dan ayah tak lama lagi,” kata Puan Suraya dengan mata berkaca.
Namun, di tengah-tengah kegembiraan itu, Haiqal hanya memandang Sofea dengan penuh kasih sayang. Dia tahu, walaupun percutian ini dipenuhi dengan drama kecil, inilah kenangan yang tidak akan mereka lupakan.
“Abang…” Sofea bersuara perlahan.
“Ya, honey?”
“Honey dah tak nak naik bot lepas ni.”
Haiqal tertawa kecil.
“Baiklah, lepas ni kita jalan-jalan dekat tepi pantai je, okey?”
Sofea tersenyum manja.
“Itu lebih baik.”
Haris yang melihat adegan romantis itu segera mencuit Balqis.
“Sayang, jom kita romantik macam tu juga.”
Balqis menjeling.
“Abang, kalau abang nak kena sepak masuk laut, boleh teruskan.”
Semua orang tergelak besar mendengar usikan itu. Percutian di Krabi bukan sahaja menjadi detik manis bagi mereka, tetapi juga satu kenangan yang akan mereka bawa sepanjang hayat.
***
Malam itu, Haris tidur tidak lena. Setiap kali dia cuba memejamkan mata, bayangan Natasya muncul dalam mimpinya. Wajah pucat gadis itu tersenyum sinis sambil mengejarnya dengan gaun putih yang berkibar ditiup angin.
“Haris… kenapa kau tinggalkan aku…?”
Haris menjerit dalam tidur, berlari sejauh mungkin, tetapi Natasya semakin hampir. Dia cuba menoleh ke belakang dan—
“HARISSSS!!”
Haris terjaga dengan peluh membasahi dahinya. Nafasnya tercungap-cungap, jantungnya berdegup kencang. Dia mengusap wajahnya sebelum memandang ke sisi dan mendapati Haiqal juga sedang duduk tegak di katil dengan wajah pucat.
“Haiqal… kau pun kena?” Haris bertanya dengan suara berbisik.
Haiqal menelan air liurnya sebelum mengangguk.
“Kau mimpi pasal Natasya juga?”
Haris mengangguk perlahan.
“Dia kejar aku… dia panggil nama aku,” sambung Haiqal dengan suara bergetar.
Mereka berpandangan sejenak sebelum masing-masing bangun dari katil dengan pantas.
“Kita kena pergi jumpa abah sekarang!” ujar Haris tegas.
Tanpa membuang masa, mereka berdua meluru keluar dari bilik dan menuju ke bilik umi dan abah.
TOK! TOK! TOK!
“Umi! Abah! Bukak pintu! Ini kecemasan!” jerit Haiqal sambil mengetuk pintu bilik orang tuanya dengan bersungguh-sungguh.
Pintu bilik terbuka dengan kasar, dan muncullah wajah Lebai Haji Bakhtiar yang masih mengantuk dengan kain pelikat yang terlondeh sedikit.
“Apa halnya ni? Baru pukul tiga pagi!” bebel abah dengan suara serak.
Puan Suraya yang berdiri di belakang abah juga menggosok matanya dengan kehairanan.
“Kenapa ni? Kamu berdua gaduh ke?”
“Bukan, umi! Kami kena ganggu dengan arwah Natasya!” adu Haris dengan nada cemas.
“Betul, abah! Kami mimpi benda yang sama! Dia kejar kami!” tambah Haiqal.
Suasana sunyi seketika sebelum abah tiba-tiba—
“HAHAHAHAHAHA!”
Lebai Haji Bakhtiar tergelak besar sampai terduduk di atas katil. Puan Suraya turut tersenyum sambil menggelengkan kepala.
Haris dan Haiqal berpandangan dengan wajah tidak puas hati.
“Abah! Ini bukan lawak! Kami betul-betul kena ganggu!”
Abah mengesat air mata yang keluar akibat terlalu banyak ketawa.
“Ya Allah, anak-anak aku ni. Kamu berdua ni mimpi buruk pun sampai nak ketuk pintu tengah malam? Kalau betul arwah Natasya datang, dia cari kamu sebab kamu nakal sangat semalam di pantai Krabi tu!”
“Nakal apa pula?” soal Haiqal terpinga-pinga.
Abah menjungkit kening sambil tersengih.
“Mungkin kamu dua beradik ni sibuk bermain mata dengan gadis-gadis Thailand yang seksi masa snorkeling semalam. Kan? Mungkin Natasya datang nak bagi peringatan supaya jangan gatal sangat.”
Muka Haris dan Haiqal merah padma.
“Mana ada, abah! Kami setia dengan isteri masing-masing, tau!” Haris menegaskan.
Abah masih ketawa kecil sebelum menyambung, “Kalau macam tu, kamu dua kena mandi bunga. Nampaknya aura mistik kau orang berdua dah melekat dengan benda yang tak elok.”
“Abah, tak boleh ke kita buat cara lain? Takkan nak kena mandi bunga pula?” Haiqal merayu.
“Bukan sebarang mandi bunga,” balas abah dengan wajah serius. “Abah sendiri yang akan bancuhkan air bunga tu. Siap ada buah limau purut, bunga melur, dan air yassin.”
Puan Suraya menggeleng sambil ketawa kecil.
“Baguslah, biar hilang semua gangguan.”
Haris dan Haiqal hanya mampu menepuk dahi. Percutian bulan madu yang sepatutnya menenangkan kini bertukar menjadi sesi rawatan mistik yang mereka sendiri tidak jangka.
Haris dan Haiqal saling berpandangan dengan muka mencuka.
“Abah serius ke ni?” rungut Haiqal sambil mencebik.
“Seriuslah! Kamu berdua dah kena ‘tegur’, tak boleh main-main,” ujar abah tegas, tapi senyum nakal masih terukir di bibirnya.
Puan Suraya yang melihat gelagat suami dan anak-anaknya menggeleng perlahan.
“Dah, pergi tidur dulu. Esok, pagi-pagi kita buat air mandian bunga tu.”
Haris dan Haiqal menghela nafas berat. Dengan langkah longlai, mereka kembali ke bilik masing-masing.
“Ini semua salah kau, Adan,” rungut Haiqal sambil membaringkan diri di atas katil.
“Salah aku pula? Kau yang ikut aku jumpa abah!” balas Haris, menjeling geram.
“Tapi… mandi bunga, bro? Itu tahap maksima kena bahan dengan abah.”
Mereka berdua mengeluh serentak. Percutian bulan madu bertukar menjadi sesi rawatan spiritual, dan mereka hanya mampu reda dengan nasib sendiri!
Semuanya dh selesai...tp tulah, kena ggu pulak kat arwah Natasya...happy reading gaiss...Selamat Hari Raya semua...
Share this novel