BCR BAB 44 : KEKELIRUAN BALQIS!

Romance Series 14436

BALQIS sudah dibenarkan pulang setelah sebulan bertarung nyawa di katil hospital. Kepulangannya disambut dengan linangan air mata kegembiraan umi dan abah, juga pelukan erat ketiga-tiga anaknya yang begitu merindui belaian seorang ibu. Namun, hati Balqis masih kabur. Dia masih menganggap lelaki di sisinya kini adalah Haris, lelaki yang pernah menjadi seluruh dunianya.

Haraz hanya mampu memendam. Setiap kali Balqis memanggilnya “abang Adan”, hatinya bagai disiat perlahan. Dia cuba menyesuaikan diri, menjadi 'Haris' dalam versi yang Balqis dambakan. Tapi dia sedar, dia bukan Haris. Haraz tidak sehebat Haris di dapur. Hari demi hari, dia mencuba resipi kesukaan Balqis. Walaupun tak sesedap arwah Haris, dia tidak putus asa. Balqis hanya diam setiap kali merasa masakannya, namun dari pandangan matanya yang keliru, Haraz tahu… Balqis sedang mencari-cari kebenaran.

Suatu petang, ketika Balqis sedang duduk di anjung rumah, bunyi jeritan dan gelak tawa tiba-tiba memecah keheningan. Faris, Faiha dan Faiqa berlari mendapatkan dirinya sambil menjerit riang. Di belakang mereka, muncul Sofea, Haiqal, dan dua pasang kembar mereka, Furqan dan Fayyad serta Haris Izzaiddin dan Haura Irddina. Kediaman Haraz menjadi riuh dengan suara anak-anak dan usikan mesra.

Namun, saat Balqis memandang Haraz dan menyapa, “Abang Adan, tolong ambilkan air,” Sofea terpempan. Sepantas itu dia menoleh pada Haraz, lalu pada Balqis.

“Kak…” Sofea bersuara lembut sambil menghampiri.

“Abang Haris tu dah tak ada… yang ada ni, Haraz. Haraz, kembar arwah Haris.”

Balqis terdiam. Pandangannya kabur. Hatinya terasa seperti dihentak.

***

Malamnya, selepas anak-anak lena dibuai mimpi, Balqis membaringkan diri di sisi Haraz. Sunyi. Tiada kata. Hanya bunyi kipas siling yang berputar perlahan menemani mereka.

“Kenapa awak tak pernah berterus terang dengan saya?” Suara Balqis lirih.

Haraz terdiam. Matanya berkaca.

“Abang takut, Aqis. Takut Aqis pergi lagi bila tahu kebenaran. Abang tahu abang bukan Haris… tapi abang juga sayangkan Aqis dan anak-anak.”

Air mata Balqis mengalir perlahan. Tubuhnya bergoncang dalam pelukan Haraz. Lama dia menangis di situ, menumpahkan segala kelukaan, kekeliruan dan rindu yang tak pernah padam. Dan dalam pelukan itu, dia tahu...walau Haraz bukan Haris… namun kehangatan itu, cinta itu… masih mampu mengisi lompong yang lama ditinggalkan.

Malam itu, setelah Balqis reda dari tangisnya, Haraz mengusap perlahan belakang tubuh isterinya. Nafasnya berat, seolah menahan satu beban besar yang lama tersimpan di dalam dada.

“Aqis…” Suaranya serak. “Ada sesuatu yang abang perlu jujur.”

Balqis mengangkat wajah, menatap Haraz dengan mata masih berair.

“Apa dia?”

Haraz menunduk.

“Abang… pernah menyakiti Aqis dan anak-anak.” Kata-kata itu keluar perlahan, namun tajam menikam.

“Abang pernah jadi lelaki yang kejam. Dihasut cemburu pada arwah Haris yang dah lama tiada. Abang... lupa siapa abang, dan siapa yang abang cintai. Abang marahkan anak-anak, herdik mereka... malah tangan ini pernah naik.”

Balqis mengerut dahi.

“Haraz… awak bergurau ke ni?”

Haraz geleng kepala.

“Abang juga... punca Aqis keguguran. Abang yang buat Aqis hilang anak kita.” Suaranya bergetar, dan kali ini, air mata lelakinya gugur jua.

Balqis tersandar perlahan.

“Tapi… saya tak ingat semua tu.”

Haraz mengeluh.

“Mungkin Allah mahu lindungi Aqis dari ingatan yang menyakitkan.”

Balqis menggigit bibir. Keliru.

“Saya tak percaya.”

“Kalau Aqis tak percaya, tanya Faris, Faiha dan Faiqa. Mereka ingat semuanya. Mereka saksi kepada kekhilafan abang.”

***

Dan Balqis melakukannya. Esoknya, sewaktu Haraz ke dapur menyiapkan sarapan (yang lebih hangus dari garing), Balqis duduk bersama anak-anak. Bertanya perlahan, satu demi satu.

Air matanya mengalir lagi. Kali ini bukan kerana kesedihan, tapi kerana hati seorang ibu yang hancur melihat trauma anak-anaknya. Yang mereka simpan, demi menjaga hati seorang mommynya.

Malamnya, Balqis kembali ke kamar. Haraz sedang tekun menampal plaster pada jarinya yang terkena pisau sewaktu cuba memotong roti.

“Awak memang tak ada bakat masak.” Balqis tersengih nakal sambil menyambut tangan Haraz dan menampal plaster baru. “Kalau abang Adan, roti ni dah jadi roti bakar mentega bawang putih.”

Haraz tersenyum kelat.

“Abang tahu abang tak sehebat arwah. Tapi abang cuba…”

Balqis memeluknya dari belakang. Lama.

“Saya dah tanya anak-anak. Dan… ya, awak memang lelaki yang pernah buat kami terluka.”

Haraz diam.

“Tapi saya juga tahu awak dah banyak berubah. Saya maafkan awak, Haraz. Dengan seikhlas hati. Awak suami saya. Dan mereka, anak-anak kita.”

Haraz berpaling, memandang wajah wanita yang dulu pernah dia sakiti, kini memaafkan sepenuhnya.

“Abang tak layak, Aqis.”

“Sebab tu awak kena jadi lebih baik dari semalam.” Balqis mencuit hidung Haraz, senyum menggoda. “Dan… saya rasa dah bersedia untuk jadi ibu sekali lagi.”

Haraz tergamam.

“Aqis… maksud Aqis—”

“Ya. Untuk anak kita. Anak Haraz, bukan Haris.” Balqis tersipu, lalu bangun sambil mengenyit mata. “Tapi saya minta satu syarat.”

“Apa dia?” Haraz turut berdiri.

“Lepas ni… biar saya yang masak. Kalau tak, nanti anak dalam perut trauma rasa masakan daddy dia.”

Haraz tergelak besar. Balqis menyusul dengan tawa. Di balik luka semalam, mereka mencipta lembar baharu. Lembaran yang dipenuhi dengan peluang kedua, ketulusan… dan cinta yang akhirnya menemui rumahnya.

***

Petang yang damai, langit memerah kejinggaan, deru ombak menghempas pantai berirama tenang. Angin laut yang sepoi-sepoi menyapa wajah Haraz, yang ketika itu sedang duduk di atas tikar bersama Balqis dan anak-anak. Faiha dan Faiqa sibuk bermain pasir, manakala Faris leka memerhati ombak bersama layang-layang kecil di tangannya.

Haraz mengalihkan pandangan ke arah Balqis yang sedang membetulkan tudungnya, wajahnya berseri disimbah cahaya senja. Tanpa berlengah, Haraz membuka bicara.

“Aqis… boleh abang tanya sesuatu?”

Balqis menoleh, mengangguk sambil tersenyum.

“Tanyalah. Tapi kalau soalan tu pelik-pelik, saya lari terus masuk laut.”

Haraz ketawa kecil.

“Abang perasan, dari dulu sampai sekarang… Aqis selalu panggil Haris sebagai ‘Adan’. Kenapa ya?”

Balqis tertawa lembut, kemudian mengangkat kening, “Awak nak tahu sebab sebenar?”

Haraz mengangguk, penuh minat.

“Dulu masa kami mula-mula kahwin, Haris ada misai sikit yang sangat tebal. Sekali pandang macam iras pelakon Hindustan, Adan Khan tu. Saya usik-usik aje, panggil dia Adan, dan lama-lama lekat sampai akhir hayat dia…tapi memang umi pun panggil Adan” Balqis tersenyum sayu. Termenung jauh!

Haraz tergelak besar.

“Patutlah! Saya ingatkan Adan tu nama rahsia romantik ke apa. Rupanya sebab misai!”

“Haah! Misai pun boleh jadi kenangan tau!” Balqis menyiku lengan Haraz manja. “Tapi misai awak ni… tak layak panggil Adan. Nanti saya fikirkan nama lain.”

Haraz pura-pura merajuk.

“Tak adil sungguh…”

Balqis tergelak.

“Ala, janganlah merajuk. Saya ada tawaran menarik untuk awak.”

Haraz angkat kening.

“Tawaran?”

“Saya dan Haiqal bercadang nak hidupkan semula restoran arwah Adan, Dapur Warisan. Restoran tu memang sibuk gila waktu bulan Ramadan. Jadi kami rancang nak buka kembali tahun ni.”

Haraz mengangguk perlahan.

“Oh ya, abang pernah dengar pasal tu dari umi…”

Balqis menyambung, “Tahun ni, kami nak buat lebih meriah. Tapi kali ni, awak pun kena join sekali. Awak kan suami Balqis sekarang, bukan sekadar tukang angkat kotak ya?”

Haraz ketawa terbahak.

“Abang setuju! Tapi Aqis jangan menyesal kalau bazar tu nanti penuh dengan lauk hangus.”

Balqis mencuit hidung Haraz.

“Sebab tu awak akan jaga kaunter, bukan dapur!”

Dan keduanya tertawa, dalam hati masing-masing berazam untuk menjadikan Dapur Warisan bukan sekadar warisan nama, tapi warisan cinta yang menyatukan keluarga mereka—untuk mengenang arwah Haris, Firdaus, dan Hasrina. Ramadan kali ini akan jadi lebih istimewa, kerana mereka bukan sahaja membuka bazar… tapi membuka lembar baharu untuk cinta dan kenangan.

Suasana senja masih mengulit damai ketika Haraz, dengan senyuman penuh makna, berpaling memandang Balqis yang sedang menyuap kepingan buah tembikai kepada Faiha dan Faiqa. Sinar cahaya keemasan membingkai wajah isterinya itu, yang kini tampak lebih berseri—walaupun dengan pipi yang sedikit berisi dan tidak lagi selincah dahulu.

"Sayang..." Haraz bersuara perlahan, seolah-olah mahu menyampaikan rahsia besar.

Balqis mengangkat wajah.

“Haa… kenapa pandang macam tu? Awak nak makan tembikai ke? Jangan curi dari Faiha dengan Faiqa tau…”

Haraz tergelak.

“Bukan pasal tembikai… Tapi abang rasa Aqis kena simpan dulu niat nak buka semula Dapur Warisan Ramadan ni.”

Balqis memandang pelik.

“Kenapa pula? Jangan kata awak tak nak tolong saya dan Haiqal?”

Haraz mendekatkan wajahnya, matanya memancarkan usikan lembut.

“Sebab… abang rasa Ramadan kali ni, Aqis mungkin akan sibuk bertarung nyawa…”

Balqis membulatkan mata.

“Hah? Bertarung nyawa? Apa maksud awak ni?”

Haraz tersenyum lebar, suaranya perlahan dan penuh yakin.

“Untuk melahirkan baby kita.”

Balqis terdiam, matanya membuntang. Pipinya yang berisi itu serta-merta berubah rona merah jambu, “Haraz… jangan buat lawak. Saya rasa sihat je. Tak ada loya, tak pening, tak... apa-apa pun.”

“Sayang…” Haraz ketawa kecil, merapatkan badannya pada Balqis sambil berbisik di telinganya, “Siapa suami Aqis?”

“Haraz Izzaddin…” Balqis menjawab perlahan, masih dalam keadaan terpinga.

“Dan kerja abang, sayang?”

Balqis menelan air liur.

“Doktor…”

“Doktor apa?”

“Doktor... umm… Pakar kesihatan keluarga…” jawab Balqis perlahan, makin malu sendiri.

“Jadi kalau 'doktor Aqis' sendiri dah buat ujian dan nampak tanda-tandanya, kenapa Aqis nak persoalkan kebolehan suami sendiri?” Haraz mengenyit mata sambil tersengih nakal.

Balqis tergelak sendiri, menekup wajah.

“Ya Allah, saya ragu-ragu pula dengan ‘doktor’ saya sendiri! Malunyaaaa…”

“Nasib baik Aqis cantik. Kalau tak, dah abang potong gaji Aqis sebagai isteri.” Haraz mengusik sambil mengusap lembut perut Balqis yang masih belum menunjukkan perubahan.

“Eh, tak adil! Gaji saya tak pernah ada elaun pun tau!” Balqis membalas manja.

Haraz menarik tangan isterinya, menggenggam erat.

“Elaun tak ada sebab Aqis dah ada semua—cinta abang, kasih abang, dan sekarang… zuriat abang.”

Balqis tersandar di bahu Haraz, ketawa bercampur tangis kecil.

“Awak ni… pandai sangat ya buat saya jatuh cinta banyak kali.”

Haraz merenung wajah isterinya yang tertunduk malu, sebelum mengucup lembut ubun-ubunnya. Dan dalam alunan ombak dan tawa anak-anak yang masih bermain pasir, malam itu menjadi saksi bahawa cinta mereka sedang bertunas kembali, kali ini dengan benih yang bakal menambah bahagia.

Angin malam yang bertiup lembut dari laut membawa bersama aroma garam yang segar, menyentuh wajah Balqis yang bersandar pada dada Haraz. Suara anak-anak mereka yang sedang membina istana pasir bersama Haiqal dan Sofea menjadi latar irama yang menghidupkan suasana damai itu. Namun, hati Balqis tetap bergetar, masih menyimpan luka lama yang belum benar-benar sembuh walau hatinya sudah mula memaaf.

“Haraz…” Balqis bersuara perlahan, seperti ragu-ragu mahu membuka topik yang sudah lama terpendam.

“Hmm?” Haraz menyahut sambil mengusap perlahan kepala isterinya.

“Boleh saya tanya satu perkara... yang saya simpan dari dulu?” Balqis mendongak, memandang wajah Haraz dengan mata yang penuh tanda tanya.

Haraz mengangguk.

“Tanyalah, sayang. Selagi abang boleh jawab, abang akan jawab dengan jujur.”

Balqis menarik nafas panjang.

“Kenapa dulu... awak sanggup bertindak kejam pada saya dan anak-anak? Sedangkan kami tak pernah pun berniat nak lukakan awak.”

Wajah Haraz berubah sedikit, redup dan sayu. Pandangannya beralih ke lautan yang kelam, seakan mencari jawapan yang tenggelam di balik gelombang.

“Abang... bodoh waktu tu, Aqis. Abang tak dapat kawal perasaan sendiri. Abang cemburu—bukan pada awak, tapi pada Haris. Arwah abang kembar sendiri.” Suara Haraz lirih.

“Cemburu?” Balqis mengerutkan dahi. “Sampai begitu sekali?”

Haraz mengangguk perlahan.

“Abang Haris tu kesayangan semua"

Balqis menunduk. Air matanya bergenang.

“Tapi awak tak sayang saya waktu tu kan…” bisiknya.

Haraz menggenggam tangan Balqis.

“Abang, sayang. Cuma keliru. Abang marah pada diri sendiri sebab tak mampu jadi seperti Haris. Abang marah sebab Aqis simpan gambar arwah. Abang rasa... abang takkan pernah mampu menggantikan tempat arwah dalam hati Aqis dan anak-anak.”

Balqis menarik nafas, menahan sebak yang makin menyesak di dada.

“Dan sekarang... awak masih cemburu pada arwah Haris?”

Haraz terdiam. Lama. Matanya merenung wajah Balqis sebelum dia menggeleng perlahan.

“Tidak lagi. Abang belajar untuk mencintai Aqis seutuhnya, bukan sebagai ‘balu Haris’. Dan abang tahu, cinta Aqis pada arwah Haris tak pernah padam, tapi cinta Aqis pada abang juga sedang mekar. Abang terima itu. Abang tak mahu gantikan tempat arwah. Abang cuma mahu jadi suami Aqis, bapa kepada anak-anak kita... dan lelaki yang Aqis cinta sekarang dan selamanya.”

Air mata Balqis jatuh tanpa sedar. Dia mengangguk, lalu memeluk Haraz erat.

“Saya tak nak sesiapa ganti Haris. Tapi saya juga tak mahu kehilangan awak, Haraz. Awak adalah bahagian cinta yang berbeza... tapi tak kurang nilainya.”

Dan malam itu, di bawah cahaya bulan yang malu-malu muncul di langit, cinta antara Balqis dan Haraz dimeteraikan semula dalam pengakuan dan kejujuran. Luka lama mungkin masih tinggal parut, namun dengan setiap sentuhan kasih dan kata maaf yang dihulur, cinta itu mula menyembuhkan semuanya!

Balqis...kau mmg syg sgt kat Adan kan? Haraz terima jelah kenyataan yg kau mmg x kn dpt ganti arwah Adan dlm hati Balqis...Happy reading gaisss..jemput follow dan comment.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience