BCR BAB 46 : PENGUNDURAN BALQIS!

Romance Series 14436

BALQIS termenung lama di sisi jendela kamar. Bayu senja menyapa lembut wajahnya yang kelihatan tenang, tapi jauh di dalam hatinya bergelora. Sudah berhari-hari dia memikirkan keputusan ini. Diselang-seli dengan tangisan di dalam sujud malamnya, Balqis akhirnya menemui jawapan yang pasti.

Dia sudah mencuba. Telah berusaha membuka hatinya untuk Haraz. Tetapi setiap kali dia memandang wajah lelaki itu, kenangan bersama Haris terus menghimpit. Seolah-olah arwah Haris masih hidup dalam jiwanya, mencengkam erat sehingga tidak memberi ruang buat Haraz walaupun hanya sekelumit.

Maka, pada malam itu, ketika mereka berdua duduk menikmati makan malam bersama, suasana damai hanya menjadi latar kepada ketenangan yang akan pecah.

"Haraz…" Balqis membuka bicara perlahan. Lelaki itu mengangkat wajah, menatapnya dengan senyum yang penuh harapan. Namun hanya sebentar, sebelum renungan itu bertukar suram apabila mendengar nada suara Balqis.

"Saya… saya dah fikir masak-masak. Hati saya tak pernah berpaling dari Haris. Dia masih hidup dalam jiwa saya, terlalu kuat, terlalu dalam... dan saya tak mahu menipu awak, atau diri saya sendiri."

Haraz diam. Sudu di tangannya terhenti di pertengahan pinggan. Tiada kata keluar dari bibirnya. Hanya renungan tenang yang cuba menyembunyikan luka yang merayap.

“Saya tahu awak lelaki yang baik, Haraz. Awak suami yang penyayang, bapa yang bertanggungjawab. Tapi saya tak mampu memberi apa yang awak layak terima—cinta yang sepenuhnya. Dan demi itu, saya pilih untuk undur diri. Bukan kerana benci. Bukan kerana dendam. Tapi kerana saya hormat awak… dan saya mahu awak bahagia dengan seseorang yang benar-benar cintakan awak.”

Haraz menarik nafas dalam. Pedih, tetapi dalam hati kecilnya, dia tahu Balqis tidak pernah benar-benar menjadi miliknya.

“Kalau itu keputusan Aqis, abang hormat.”

Beberapa minggu selepas itu, mereka berpisah secara baik. Tiada pertelingkahan, tiada air mata di mahkamah. Hanya sepasang manusia yang pernah berkongsi jalan yang akhirnya memilih laluan berbeza.

Balqis kembali fokus pada tujuan asal hidupnya. Dia menunaikan janjinya kepada arwah Haris — menghidupkan semula Dapur Warisan, restoran kesayangan Haris yang hanya sibuk saat Ramadan menjelang. Pada mulanya, segalanya tampak kelam. Namun dengan sokongan Zafran, bekas rakan sekerja Haris yang kini menjadi tulang belakang dapur, dan Munirah, sahabat baik Balqis yang tak pernah jemu memberi dorongan, restoran itu kembali bersinar.

Setiap kali Balqis berdiri di hadapan restoran, melihat orang ramai beratur untuk menikmati juadah warisan arwah suaminya, hatinya menjadi lapang. Dia tidak lagi merasa kosong. Dia kini tahu, cintanya untuk Haris akan terus hidup melalui setiap resipi, setiap senyuman pelanggan, dan setiap Ramadan yang datang.

Haraz? Dia tidak pernah dibenci. Mereka kekal sebagai sahabat, berkongsi cerita tentang anak-anak dan perkembangan Haris Haqeem. Balqis tidak pernah menghalang Haraz daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa. Dan Haraz pula tidak pernah gagal hadir, walaupun sekadar untuk menemani anaknya bermain di halaman rumah.

Kerana kadang-kadang, cinta bukan tentang memiliki. Tetapi tentang melepaskan, agar masing-masing dapat mencari kebahagiaan yang sebenar.

***

Petang itu, Dapur Warisan berbau harum dengan rempah ratus masakan turun-temurun. Balqis berdiri di dapur terbuka restoran, memantau hidangan yang sedang disiapkan untuk pelanggan tetap mereka yang sudah mula memenuhi meja. Namun, fikirannya entah di mana. Sejak tengah hari tadi, dadanya bagai menyorok sesuatu yang tidak mahu ditafsirkan.

“Qis, Haraz telefon. Katanya dia dah nak sampai,” ujar Munirah sambil tersenyum, mata nakalnya melirik penuh makna.

Balqis menunduk, merapikan tudungnya yang sememangnya sudah tersusun rapi, lalu menyapu sedikit bedak di pipi yang sudah memerah tanpa disuruh. Entah kenapa debaran di dadanya terasa lebih laju dari biasa. Bukan kerana Haraz—itu yang dia cuba yakinkan dirinya. Tapi entah… mungkinkah kerana Haris Haqeem akan bertemu bapanya hari ini, atau mungkinkah kerana firasat hatinya yang mengusik sesuatu yang tak dijangka?

Ketika kelibat Haraz menjengah ke ruang masuk restoran, Balqis bagai terhenti seketika. Lelaki itu masih sama—tenang, kemas dan kini ditambah dengan kedua-dua tangannya yang sarat dengan beg permainan dan anak patung.

"Daddy!" jerit Haris Haqeem, lari terkedek-kedek ke arah Haraz.

Haraz mendukung anak kecilnya lalu berpusing sedikit seperti sedang menari.

“Si kecil daddy dah makin berat!”

Balqis tersenyum walaupun debar di dadanya makin menggila. Namun, senyumannya sedikit pudar apabila matanya terpandang seorang gadis manis yang turut berdiri di sisi Haraz. Gadis itu berambut lurus, memakai kaca mata bulat, dan sekali pandang—subhanallah—memang seiras dengan dirinya.

“Aqis, ni Damia,” kata Haraz sambil tersenyum, “Adik angkat abang masa di UK dulu. Baru balik Malaysia minggu lepas. Abang dah lama janji nak kenalkan dia pada kamu... dan Haris Haqeem.”

“Hai, Kak Balqis. I peminat setia Dapur Warisan tau! Akhirnya, dapat juga I rasa makanan ni terus dari tangan tuan punya cinta warisan!” Damia ketawa kecil, ramah dan mesra.

Balqis terkebil seketika. Terlupa seketika tentang rasa cemburu tadi. Tapi itu tidak menghalang dia daripada mengerling Haraz dengan ekor mata apabila lelaki itu dengan selamba menarikkan kerusi untuk Damia duduk—lebih gentleman daripada ketika mereka masih suami isteri.

"Haih... berapa banyak perempuan lagi Haraz nak tarik kerusi nanti?" desis Balqis dalam hati sambil tersengih sendirian.

Sepanjang makan malam itu, Haraz bercerita tentang Damia dan penglibatannya dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Damia pula tak habis-habis memuji masakan Balqis dan kelincahan Haris Haqeem. Namun, dalam diam, mata Haraz sering kali melirik ke arah Balqis, seolah cuba membaca isi hatinya yang jelas sedikit terusik.

“Qis 'jeles', ya?” bisik Munirah ketika mereka berdua di dapur semula.

“Apa? Gila ke?” Balqis menolak bahu Munirah sambil tertawa kecil, tapi pipinya sudah terang bersuluh merah.

Ketika Haraz dan Damia bersalaman untuk pulang, Haraz sempat berkata perlahan,

“Jangan risau. Damia bukan siapa-siapa dalam hati abang.”

Balqis mengangkat kening, cuba berlagak acuh tak acuh.

“Lain kali, jangan bawak orang yang ada muka sama dengan saya. Takut orang salah faham… ingat kembar hilang.”

Haraz ketawa kecil.

“Atau mungkin Aqis tengah harap abang cari pengganti Aqis yang ada wajah macam Aqis?”

“Haraz!” Balqis membulatkan mata, lalu cepat-cepat memeluk Haris Haqeem yang sudah menguap di bahunya. Tapi senyuman kecil di bibirnya tidak berjaya disorokkan.

Dan di balik kehangatan malam Ramadan itu, mungkin ada satu harapan kecil yang mula menyelinap semula dalam hati Balqis… mungkin.

***

Ramadan kali ini terasa berbeza buat Balqis. Jika dulu hatinya begitu beku, kini ia mulai cair sedikit demi sedikit, seiring dengan hembusan angin malam yang membawa haruman kasih lama yang hadir kembali tanpa dipaksa.

Sejak makan malam itu, Haraz semakin kerap menghubunginya. Pagi, bertanyakan perkembangan Haris Haqeem, tengah hari bertanya sama ada Balqis sudah berehat, malam pula mencari alasan untuk mendengar suara anak-anak sebelum tidur. Dan Balqis pula… ah, Balqis kini tidak lagi seperti dulu. Jika dulu semua mesej Haraz dibalas lewat atau tidak langsung, kini dia yang terlebih dahulu membalas, malah ada masa dia yang menghantar gambar anak-anak bermain di Dapur Warisan.

Munirah yang memerhati perubahan itu, tidak dapat menahan rasa ingin menyakat.

“Qis, aku nak tanya sikit ni, serius,” ujar Munirah sambil memotong bawang. “Kau dah jatuh cinta balik ke dengan Haraz? Tengok gaya kau layan dia sekarang... lembut je. Tak macam dulu.”

Balqis senyum nipis, tangannya ligat mengacau rendang di dalam kuali besar.

“Mungkin... ada 'cinta' di bulan mulia ni,” jawab Balqis sambil buat muka bersahaja.

Munirah terhenti menghiris.

“Apa? Weh, kau ulang balik ayat tu. Aku tak pasti tadi tu telinga aku dengar betul ke tidak.”

Balqis ketawa kecil, menyembunyikan sedikit rasa malu yang mula menjalar ke pipinya.

“Dah, sambung hiris bawang tu cepat. Kau potong bawang tu pun macam hati aku, lambat sangat sembuhnya.”

Munirah geleng kepala.

“Tak sangka... Balqis yang dulu garang macam singa, sekarang lembut macam kucing Parsi.”

Petang itu, seperti biasa Haraz muncul di Dapur Warisan, lengkap dengan dua bungkus mainan kecil untuk anak-anak dan satu bekas air kelapa muda untuk Balqis.

“Abang beli khas untuk puan restoran. Air kelapa muda, baik untuk Aqis yang kepenatan,” katanya sambil menghulurkan bekas itu.

Balqis menyambut dengan senyuman yang tulus.

“Terima kasih, doktor. Kesian ya, setiap kali datang restoran ni, ada je penyakit... rindu.”

Haraz tergelak kecil.

“Aduh, kena tepat kat jantung.”

Malam itu, selepas selesai berbuka dan menunaikan solat Maghrib, Haraz memandang Balqis dengan pandangan yang lama tidak ditujukan padanya—penuh harap dan rasa.

“Aqis...” panggil Haraz perlahan. “Izinkan abang jadi imam awak malam ni? Bukan sekadar solat... tapi imam yang membimbing awak sampai ke akhir hayat.”

Balqis terdiam seketika. Hatinya bagaikan disiram embun. Namun seperti biasa, dia masih menjaga maruahnya.

“Saya setuju, tapi dengan satu syarat.”

“Apa dia?” Haraz senyum penuh tanda tanya.

“Awak jadi imam untuk solat Isyak dulu malam ni. Kalau awak mampu sabar dan istiqamah, baru saya izinkan awak jadi imam untuk solat-solat saya yang seterusnya. Faham?”

Senyuman Haraz menguntum lebar.

“Deal. Abang takkan gagal dalam solat pertama abang malam ni.”

Anak-anak yang terdengar perbualan itu berlari memeluk Haraz.

“Daddy solat sama-sama!” Mereka menjerit kecil kegembiraan.

Balqis memandang mereka, air mata bergenang tapi tidak tumpah. Malam itu, ketika sejadah dibentang, dan Haraz berdiri di hadapan menjadi imam, Balqis tahu... mungkin Allah sedang mengatur langkah baru untuk hatinya. Langkah yang lebih tenang. Langkah yang lebih ikhlas. Dan mungkin... langkah menuju cinta yang sebenar.

Selesai solat Isyak, sejadah masih terbentang. Haraz duduk bersila di sisi Balqis yang sedang menunduk, menenangkan diri dari sebak yang datang tiba-tiba. Anak-anak sudah dibawa ke dapur oleh Munirah, memberi ruang untuk dua hati ini berbicara tanpa gangguan.

Haraz menoleh perlahan, melihat wajah wanita yang pernah dilukainya, dan kini kembali membuka ruang buat dirinya. Perlahan dia bersuara, seakan takut patah butir katanya jika tergesa.

“Aqis... abang tak mahu terus berteka-teki. Abang datang malam ni bukan sekadar nak jadi imam pada solat Aqis saja,” dia menarik nafas panjang. “Tapi abang datang untuk minta izin jadi imam dalam hidup Aqis semula. Abang mahu rujuk. Kalau....Aqis izinkan.”

Balqis diam, tidak membalas. Matanya masih menatap sejadah, jari-jemarinya menggenggam kain telekung erat-erat. Dalam diam, dadanya berperang dengan rasa. Air mata yang cuba ditahan akhirnya gugur jua.

“Abang tahu abang pernah banyak buat salah. Abang pernah kejam, dan abang... abang lepaskan Aqis waktu abang sepatutnya pertahankan. Tapi hari ini, abang datang bukan dengan janji kosong. Abang datang dengan harapan... dan cinta yang masih ada,” sambung Haraz, suaranya mulai serak.

Balqis angkat wajahnya, matanya merah tapi redup.

“Saya tak pernah buang awak dari hati saya, Haraz. Tapi saya takut. Takut kalau semua ini hanya kerana simpati, atau kerana anak-anak.”

“Tidak, Aqis... abang sayang Aqis. Abang rindu rumah kita, tawa Aqis, marah Aqis. Abang rindu semua. Dan paling penting, abang rindu untuk jadi lelaki yang Aqis boleh sandarkan.”

Balqis terdiam lama sebelum menjawab, suaranya sedikit bergetar.

“Dulu saya terlalu emosi, terlalu ikut ego. Saya salah juga. Saya fikir, saya boleh tanggung semuanya sendiri. Tapi saya silap, Haraz.”

Dia menahan esak kecil.

“Anak-anak... mereka sering bertanya tentang awak. Bila awak tak ada, saya jadi ibu dan ayah. Saya masak, saya kejar waktu kerja dan balik dapur, saya bantu kerja sekolah anak-anak, saya teman mereka waktu sakit dan malam-malam mereka mimpi buruk...” Dia menarik nafas perlahan, menyeka air mata dengan belakang tangan.

“Saya penat, Haraz... Tapi saya teruskan juga sebab saya tahu mereka perlukan saya. Dan mereka... perlukan awak.”

Haraz menggenggam tangan Balqis, dan untuk kali pertama sejak sekian lama, Balqis tidak menarik tangannya pergi.

“Abang tak janji kita akan terus sempurna, Aqis. Tapi abang janji abang takkan lari lagi. Kita belajar dari kesilapan dulu. Bina semula dengan reda dan kasih sayang.”

Balqis mengangguk perlahan.

“Saya setuju... kita cuba semula. Tapi kali ini, kita jalan sama-sama. Tiada siapa jalan sorang-sorang lagi.”

Haraz tersenyum, matanya turut basah.

“Alhamdulillah...”

Balqis menambah dengan nada berseloroh,

“Tapi awak kena tahu, saya masih sama macam dulu. Kalau awak buat hal, saya campak juga pinggan tu!”

Haraz tergelak.

“Abang rela kena pinggan dari kena tinggal lagi.”

Mereka ketawa dalam tangis, dalam damai malam yang menyaksikan penyatuan dua hati yang pernah terbelah.

Dan malam itu, bulan Ramadan yang hampir ke hujungnya menjadi saksi kepada satu 'rujuk' yang tidak lagi berlandaskan cinta semata-mata, tetapi atas dasar kematangan, keinsafan dan keinginan untuk membetulkan apa yang telah lama tersilap.

Balqis memandang Haraz lama-lama.

"Selamat datang semula, imamku..." bisiknya perlahan.

Dan Haraz tahu, itu bukan sekadar kata. Ia adalah izin... untuk membuka lembaran cinta yang baru, dengan luka lama yang kini sudah dirawat bersama!

Balqis...Balqis, sebenarnya kau x mmpu pun nk berjauhan dgn Haraz kan..???Happy reading gaiss. Jemput follow dan komen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience