BCR BAB 19 : BALASAN YANG SETIMPAL

Romance Series 14436

HARI demi hari, keadaan Natasya semakin teruk. Dahulu, dia seorang gadis yang bergaya, sentiasa menjaga penampilan, tetapi kini dia kelihatan seperti orang gila yang merayau-rayau tanpa arah tujuan. Bajunya kotor, wajahnya comot, rambutnya kusut masai seperti tidak pernah bersentuh dengan sikat. Matanya cengkung, penuh dengan lingkaran hitam akibat tidak cukup tidur. Bibirnya pecah-pecah dan tubuhnya semakin kurus kering, seolah-olah nyawanya sudah separuh hilang.

Di dalam kepalanya, suara-suara aneh terus menghantui. Kadang-kadang dia terdengar bisikan halus ketawa mengejeknya, kadang-kadang dia melihat bayangan hitam merangkak di lantai dan dinding, mengikutinya ke mana sahaja dia pergi. Dia cuba menutup telinga, cuba menafikan semua itu, tetapi ia tidak pernah hilang.

Di seberang jalan, Haris dan Haiqal sedang sibuk membeli persiapan terakhir untuk Hari Raya. Mereka sedang berbincang tentang kuih raya mana yang perlu dibeli apabila pandangan mereka tiba-tiba tertancap pada susuk tubuh seseorang yang tidak mereka sangka akan ditemui dalam keadaan begitu.

"Natasya?" Haiqal membulatkan mata.

Haris terkaku. Wanita yang berdiri di hadapan mereka itu langsung tidak kelihatan seperti Natasya yang mereka kenali dahulu. Seorang yang sombong dan penuh muslihat, kini hanya tinggal bayang-bayang dirinya yang penuh derita.

Namun, sebelum mereka sempat berbuat apa-apa, Natasya tiba-tiba menjerit, "Abang Haris!....Abang Haris!"

Dengan mata merah dan wajah putus asa, dia meluru ke arah Haris tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya.

"Natasya, jangan!" Haris cuba menghentikan langkahnya, tetapi semuanya berlaku terlalu pantas.

Sebuah lori simen yang sedang bergerak laju di jalan raya tidak sempat membrek.

DUMM!

Jeritan orang ramai bergema di sekitar mereka. Darah memercik ke merata-rata. Tubuh Natasya terpelanting beberapa meter ke hadapan sebelum jatuh terhempas di atas jalan. Keadaannya cukup mengerikan. Tubuhnya hancur, dengan beberapa anggota badan tidak lagi di tempatnya yang asal.

Haris dan Haiqal terkaku. Perut mereka terasa mual.

"Adan... aku rasa aku nak pitam," suara Haiqal bergetar.

Haris tidak mampu bersuara. Tangannya mengepal erat baju di dadanya, cuba mengawal nafas yang semakin sesak. Mereka segera menghubungi ambulans, tetapi mereka tahu, tiada lagi yang dapat diselamatkan.

Akibat kejadian itu, Haris dan Haiqal mengalami demam panas selama dua hari. Trauma menyaksikan kematian Natasya dalam keadaan yang begitu tragis benar-benar memberi kesan kepada mereka. Balqis dan Puan Suraya berusaha menjaganya, tetapi tetap tidak cukup untuk menghilangkan bayangan ngeri yang menghantui fikiran mereka.

"Patutlah korang pucat semacam ni," Lebai Haji Bakhtiar bersuara sambil menghembuskan asap rokok daun yang digulungnya.

"Lain kali, kalau jumpa orang yang macam dah tamat tempoh, jangan ditenung lama-lama. Nanti melekat dalam mimpi."

Haris dan Haiqal hanya mampu menelan air liur.

"Korang nak abah pulihkan semangat tak?" Lebai Haji Bakhtiar mengangkat kening.

Haris dan Haiqal serentak mengangguk.

"Baiklah, lepas ni abah kena mandikan korang dengan bunga tujuh warna."

Mereka saling berpandangan, cuba menahan ketawa yang ingin meletus.

"Tujuh warna?" Haiqal mengangkat kening. "Tak ada yang lima warna ke, senang sikit nak cari?"

"Ada... tapi biasanya bunga lima warna untuk orang yang kena buatan orang. Korang ni lebih kepada takut hantu. Hantu tu tak kacau pun, tapi korang yang over," Lebai Haji Bakhtiar menjeling.

Haris tergelak kecil.

"Tak apalah, abah. Bunga tiga warna pun cukup, asalkan boleh tidur lena balik."

Haiqal mengangguk.

"Betul tu, aku tak sanggup mimpi Natasya datang cari aku tengah malam."

Lebai Haji Bakhtiar hanya menggeleng kepala.

"Dunia ni penuh dengan balasan yang setimpal. Apa yang kita buat, akan kembali kepada kita. Itu sebabnya kita kena jaga hati dan perbuatan. Kalau tak, tak pasal-pasal kena mandi bunga tujuh warna."

Dan kali ini, Haris dan Haiqal hanya mampu ketawa sambil menggeleng kepala.

***

Perniagaan Haris kembali rancak seperti dahulu, malah lebih meriah. Ayam percik yang dulu dikatakan berulat kini menjadi rebutan, sehinggakan pelanggan sanggup beratur panjang sebelum azan Maghrib berkumandang. Saban hari, gerai Haris di bazar Ramadan penuh dengan pelanggan yang ingin menebus kesilapan kerana mempercayai fitnah yang pernah tersebar dahulu.

"Maafkan kami, Haris. Kami tak tahu yang perniagaan kau sebenarnya dikhianati," ujar seorang pelanggan tetap sambil menghulurkan tangan.

"Tak mengapa, bang. Saya pun faham, siapa yang sanggup beli kalau orang kata ayam percik saya berulat, kan?" Haris tergelak kecil, meskipun dalam hatinya masih terkesan dengan kejadian lalu.

"Yang penting, sekarang perniagaan kau dah pulih. Rezeki makin murah," tambah pelanggan itu sambil memborong lima bungkus ayam percik.

Haris hanya mampu tersenyum. Memang benar, segala kesusahan yang menimpanya sebelum ini kini terbayar dengan rezeki yang semakin melimpah ruah. Namun, apa yang lebih penting baginya adalah melihat Balqis kembali sihat dan ceria seperti dahulu.

Di rumah, Balqis sibuk membantu Puan Suraya menyediakan juadah untuk berbuka. Tangannya lincah menghiris bawang sambil berbual-bual dengan uminya.

"Alhamdulillah, umi. Rasa macam mimpi semuanya dah kembali normal," ujar Balqis dengan senyuman yang sudah lama tidak terpancar di wajahnya.

"Itulah, Qis. Ujian tu datang sekejap je. Yang penting kita kena sabar. Allah takkan uji hamba-Nya melebihi kemampuan," balas Puan Suraya sambil mengusap lembut bahu menantunya.

Balqis mengangguk perlahan. Memang dia masih bersedih atas kehilangan bayi pertamanya, tetapi dia belajar untuk reda. Dia tahu, pasti ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.

"Haris dah nak balik tu. Pergilah siap dulu," ujar Puan Suraya sambil menepuk lembut bahu Balqis.

Balqis tersenyum. Dia meletakkan pisau di atas papan pemotong dan segera naik ke bilik untuk bersiap.

Malam itu, selepas berbuka, Haris dan Balqis duduk di beranda rumah menikmati angin malam yang sepoi-sepoi bahasa.

"Sayang dah bersedia untuk bazar Ramadan tahun depan?" Haris mengusik sambil menghirup teh panas.

Balqis tergelak kecil.

"Tahun depan mungkin kita kena buka dua gerai. Satu untuk ayam percik, satu lagi untuk air balang. Tengoklah, rezeki kita macam mana nanti."

"Setuju! Tapi ada satu syarat," Haris mengangkat kening.

"Apa dia, abang?"

"Sayang kena ada geng kuat untuk tolong abang kat bazar."

Balqis menjeling.


"Haiqal?"

Haris tergelak.

"Abang fikir lebih kepada seseorang yang kecil dan comel... yang bakal panggil abang, daddy."

Balqis tersentak seketika sebelum pipinya merona merah. Haris hanya tersenyum penuh makna, menikmati malam yang penuh ketenangan bersama wanita yang dicintainya.

Meskipun badai telah melanda, kini mereka kembali berlayar di lautan yang tenang, dengan harapan baru yang menanti di hadapan.

***

Balqis duduk di atas katil sambil menundukkan wajah, jari-jemarinya bermain dengan hujung selendang yang membalut kepalanya. Haris yang baru selesai solat Isyak melabuhkan punggung di sebelahnya, memandang isterinya dengan penuh tanda tanya.

"Apa yang sayang termenungkan ni?" Haris menyoal, cuba mencuri perhatian.

Balqis menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang Haris dengan mata yang berkaca.

"Sayang nak minta maaf."

Haris mengangkat kening, pura-pura terkejut.

"Hah? Sejak bila isteri abang ni suka buat drama? Ni mesti ada sesuatu ni."

Balqis mencubit lengan suaminya geram.

"Qis seriuslah, Adan! Sayang tahu sayang banyak buat salah, sayang kasar dengan abang sebelum ni… sayang takut sayang dah terguris hati abang."

Haris diam seketika, membiarkan kata-kata itu meresap ke dalam hatinya. Kemudian, dia menggeleng sambil tersenyum.

"Bidadari syurga abang, mana ada abang kecil hati dengan sayang? Kalau abang nak terasa pun, dah lama abang jual sayang kat bazar Ramadan."

Balqis terkebil-kebil.

"Hah? Jual sayang? Berapa harganya kalau abang nak jual, timbang pakai kilo?"

Balqis cuba mengusik. Haris pula berpura-pura berfikir.

"Hmm... Kalau ikut harga ayam percik, dalam RM25 satu set. Tapi sebab sayang ni istimewa, abang letak RM50 satu set, siap dengan nasi dan air sirap bandung."

Balqis ketawa sambil menepuk bahu Haris.

"Mengarut! Jangan abang berani lagi nak buat lawak macam tu!" Balqis menjeling tajam.

Haris menarik Balqis dalam pelukan.

"Sayang, awak isteri abanglah. Apa pun yang dah berlaku, abang tetap terima sayang seadanya. Abang tahu sayang marah sebelum ni sebab sayang tak sihat, tekanan emosi... semua tu normal. Tapi abang ni suami, abang takkan biarkan sayang hadapi semua tu seorang diri."

Balqis tersenyum dalam pelukan Haris.

"Sayang janji sayang akan jadi isteri yang lebih baik. Sayang nak jadi bidadari syurga abang, bukan isteri yang menyusahkan."

Haris mengusap rambut Balqis perlahan.

"Awak dah pun jadi bidadari syurga abang, Balqis."

Mereka berdua hanyut dalam suasana romantis itu sebelum Balqis tiba-tiba teringat sesuatu. Dia menarik diri sedikit dan memandang Haris dengan dahi berkerut.

"Abang, macam mana dengan Haiqal dan Sofea? Mereka dah ada perkembangan ke?"

Haris tersenyum nakal.

"Haiqal tu sibuk bercinta, tapi takut nak melamar. Dia kata dia nak buat kejutan, tapi Sofea ni jenis tak suka kejutan. Kalau boleh, dia nak jadual lengkap setiap pergerakan Haiqal, siap tarikh dan masa lamaran."

Balqis tergelak kecil.

"Alaa… kesiannya Haiqal. Tapi kenapa dia tak terus terang je dengan Sofea?"

Haris mengangkat bahu.

"Haiqal tu kan... kadang-kadang terlebih drama dari kita. Dia kata dia nak buat sesuatu yang epik. Abang rasa dia nak buat lamaran gaya Bollywood siap dengan bunga jatuh dari langit."

Balqis menepuk dahinya.

"Ya Allah, dia ingat ni filem ke? Kalau sayang jadi Sofea, sayang dah sepak dia dulu sebelum dia sempat keluarkan cincin."

Haris tergelak besar.

"Sebab tu abang tak buat lamaran macam tu dekat sayang. Abang tahu sayang lagi ganas dari heroin Bollywood!"

Balqis menjeling, tetapi bibirnya tetap tersenyum.

"Apa pun, sayang harap hubungan mereka berjalan lancar. Sayang tak sabar nak ada adik ipar perempuan."

Haris menarik Balqis kembali ke dalam dakapannya.

"Apa pun yang berlaku, yang penting kita bahagia dulu. Biar Haiqal dengan dramanya, kita nikmati momen kita sebagai suami isteri."

Balqis tersenyum bahagia, bersyukur kerana mempunyai suami seperti Haris. Dalam kehangatan malam itu, mereka berbual mesra, berkongsi impian dan harapan, tanpa sedar bahawa masa berlalu begitu pantas.

***

Haiqal tersenyum sendirian sambil memandang skrin telefonnya. Jarinya ligat menaip mesej kepada Sofea Ardyla, gadis yang semakin hari semakin mengisi ruang hatinya. Sejak pertemuan pertama mereka di masjid pada malam pertama Ramadan, hubungan mereka berkembang dengan begitu indah. Sofea bukan sahaja cantik dan bijak, tetapi juga memiliki kelembutan yang memikat hati Haiqal.

"Kenapa senyum sorang-sorang ni?" tegur Haris yang baru masuk ke ruang tamu dengan segelas air di tangan.

Haiqal cepat-cepat mengunci skrin telefon dan berpura-pura serius.

"Eh, tak ada apa-apa."

Haris mengangkat kening, tidak percaya dengan adiknya yang semakin mencurigakan sejak kebelakangan ini.

"Kau jangan nak berselindung dengan aku, Haiqal. Aku kenal sangat perangai kau. Mesti tengah mesej Sofea, kan?"

Haiqal menggaru kepala yang tidak gatal.

"Amboi, kau ni! Nak baca mesej orang pulak!"

Haris tergelak sambil menepuk bahu Haiqal.

"Aku tak payah baca pun aku dah tahu. Muka kau ni penuh dengan aura orang bercinta. Dah, baik mengaku!"

Haiqal akhirnya ketawa kecil.

"Memang aku mesej Sofea pun. Dah lama aku tunggu nak jumpa jodoh, akhirnya Allah pertemukan aku dengan dia. Kau pun tahu kan, dia bukan sekadar cantik, tapi hati dia pun baik."

Haris mengangguk setuju.

"Memang aku nampak Sofea tu baik. Yang penting dia boleh terima perangai kau yang kadang-kadang terlebih gedik tu."

Haiqal menjeling.

"Kau ni, kalau boleh nak rendahkan aku je."

Haris tergelak lagi.

"Bukan nak rendahkan, tapi kau pun tahu, bercinta ni kena serius. Dah fikir betul-betul ke nak bawa Sofea masuk dalam keluarga kita?"

Haiqal menarik nafas dalam sebelum mengangguk yakin.

"Aku serius, Adan. Sebab tu aku nak umi cepat-cepat masuk meminang dia. Aku tak nak lama-lama dalam fasa bercinta ni. Aku nak hubungan ni halal, aku nak Sofea jadi isteri aku secepat mungkin."

Haris tersenyum puas hati mendengar kata-kata kembarnya itu.

"Bagus. Kalau kau betul-betul yakin, jangan tunggu lama. Tapi sebelum tu, pastikan Sofea dah bersedia. Jangan sampai dia terkejut dengan lamaran kau yang mendadak ni."

Haiqal ketawa kecil.

"Aku dah bincang dengan dia. Sofea pun cakap kalau jodoh kami dah sampai, dia takkan menolak. Aku harap umi setuju dan semuanya berjalan lancar."

Haris menepuk bahu Haiqal dengan penuh semangat.

"Insya-Allah, kalau dah jodoh, semua akan dipermudahkan. Aku doakan yang terbaik untuk kau, Haiqal. Lepas ni, boleh kita buat majlis sekali dengan persandingan aku dan Balqis."

Haiqal terkejut.

"Hah? Sejak bila kau rancang majlis persandingan?"

Haris tersenyum nakal.

"Balqis yang nak sangat. Dia kata kalau kita dah bernikah tapi tak bersanding, nanti tak ada kenangan manis. Aku pun ikutkan je."

Haiqal tergelak.

"Aduhai, kau pun kena buli dengan kak Balqis, ya?"

"Yang penting, isteri bahagia," balas Haris sambil mengangkat kening.

Haiqal tersenyum lebar, hatinya berbunga-bunga membayangkan masa depan bersama Sofea. Dia sudah tidak sabar menanti hari di mana Sofea akan menjadi miliknya yang sah!

Hihihi...setimpal x balasan yg Tasya dpt tu?! Happy reading gaiss..jemput follow and comment.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience