PETANG itu, suasana rumah Puan Suraya dipenuhi dengan aroma masakan yang menyelerakan. Di dapur, Balqis dan Puan Suraya sibuk menyediakan juadah berbuka puasa yang istimewa. Hari ini bukan sebarang hari, kerana selain berbuka bersama keluarga, mereka juga menerima tetamu istimewa.
Haiqal tersengih sambil menyusun pinggan di meja makan.
“Wah, umi dan kak Balqis masak banyak ni macam nak buat kenduri je.”
Balqis menjeling manja.
“Biasalah, nak sambut bakal menantu kan umi. Kena tunjuk skill memasak sikit.”
Haiqal tergelak kecil dan menoleh ke arah Sofea yang sedang membantu Balqis membawa dulang minuman.
“Sofea, hari ni bertuah betul awak, dapat makan air tangan umi dan kak Balqis.”
Sofea tersenyum nipis, namun di dalam hatinya ada gelombang resah yang sukar dijelaskan. Dari tadi, ada perasaan aneh yang menyelubungi dirinya. Hatinya seperti tidak enak. Dia cuba mengabaikan perasaan itu, tetapi semakin hampir waktu berbuka, rasa tidak tenteram itu semakin menyesakkan dada.
Balqis menepuk bahu Sofea perlahan.
“Sofea okey ke tak ni? Dari tadi akak tengok Sofea macam resah je.”
Sofea mengangkat wajah dan cuba tersenyum.
“Eh, tak ada apa-apalah kak.”
Balqis mengerutkan dahi, namun tidak sempat bertanya lebih lanjut kerana azan Maghrib hampir berkumandang. Hanya seorang sahaja tetamu istimewa yang belum sampai—Zafran.
***
“Lima minit lagi sampai,” suara Haris dari ruang tamu memberi makluman selepas menerima panggilan telefon daripada rakan kongsinya itu.
Mendengar nama Zafran, tangan Sofea yang sedang memegang dulang minuman tiba-tiba menggigil. Jantungnya berdegup kencang dan wajahnya berubah pucat. Dia terasa dunia seakan berhenti seketika.
Balqis yang menyedari perubahan itu cepat-cepat menyambut dulang daripada tangan Sofea sebelum ia jatuh ke lantai.
“Sofea, kenapa ni? Sofea nampak pucat semacam, ada apa-apa yang tak kena ke?”
Sofea menggeleng perlahan, cuba mengawal debaran yang semakin menggila dalam dadanya.
“Saya… saya tak apa-apa, kak.”
Namun, wajahnya yang semakin pucat tidak mampu menipu Balqis.
Tiba-tiba, pintu pagar terbuka dan suara garau kedengaran memberikan salam.
“Assalamualaikum.”
Sofea yang baru sahaja ingin melangkah ke ruang tamu tiba-tiba terasa lututnya lemah. Dia berpaut pada dinding, cuba menenangkan dirinya yang semakin goyah.
Haiqal yang perasan keadaan Sofea terus mendapatkan gadis itu.
“Sofea, kenapa ni?”
Sofea tidak menjawab. Dadanya terasa sesak. Nafasnya pendek-pendek. Tidak mungkin…
Dia mengangkat wajah, dan saat matanya bertemu dengan mata lelaki yang baru melangkah masuk ke ruang tamu, tubuhnya seakan terkunci.
Zafran.
Zafran juga terhenti di ambang pintu. Pandangan matanya terkunci pada wajah Sofea, dan riak terkejut jelas tergambar di wajahnya.
“Sofea?” suara Zafran sedikit bergetar.
Sofea hanya mampu berdiri kaku. Tangannya menggenggam kain baju kurungnya erat-erat. Pelbagai emosi berputar dalam fikirannya—terkejut, panik, marah, takut.
Haiqal memandang Zafran dan kemudian melihat reaksi Sofea. Hatinya mula dipagut rasa tidak sedap. Apa hubungan antara mereka?
Balqis menoleh ke arah Haris, cuba mendapatkan jawapan. Namun, Haris sendiri terpinga-pinga dengan situasi yang tidak disangka-sangka ini.
Di antara mereka semua, hanya Sofea dan Zafran yang tahu rahsia di sebalik pertemuan yang mengejutkan ini. Dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dijelaskan.
***
Sofea tidak menunggu walau sesaat selepas melihat Zafran di hadapannya. Jantungnya seakan mahu pecah, dan tubuhnya menggigil hebat. Tanpa sepatah kata, dia bergegas melangkah ke pintu. Hanya satu perkara yang ada dalam fikirannya saat ini. Dia harus pergi dari sini!
"Eh, apa tercegat kat pintu tu, masuk cepat, dah nak berbuka ni.." suara Puan Suraya membuatkan Sofea dan Zafran tersentak.
Bacaan doa daripada Haris segera diaminkan dan dengan penuh tatatertib mereka semua menjamu selera. Sofea hanya mengunyah sebiji buah kurma dan wajahnya kekal ditundukkan. Tidak berani untuk menatap wajah Zafran yang duduk setentang dengannya.
"Kita solat Maghrib lah dulu ya, nanti kita sambung makan.." pelawa Puan Suraya yang sudah bersiap sedia untuk menyediakan ruangan solat untuk tetamunya menunaikan solat.
"Baiklah, umi...abah.."
Selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah, Sofea tidak lagi menunggu. Dia segera melangkah keluar dari kediaman Puan Suraya. Tidak betah dia mahu berlama-lamaan di sini dengan kehadiran Zafran yang mengganggu ketenteraman jiwanya. Namun, baru sahaja kakinya melangkah keluar dari rumah, tangannya ditarik kasar.
“Sofea, tunggu!” suara Zafran kedengaran tegang dan bergetar.
Sofea meronta, cuba melepaskan genggaman Zafran, tetapi lelaki itu tidak membiarkannya pergi.
“Lepaskan saya, Zafran! Saya tak nak dengar apa-apa!” suaranya hampir menangis.
Zafran menggenggam kedua-dua bahu Sofea, memaksanya untuk memandang ke arahnya. Wajahnya penuh penyesalan, dan suara seraknya penuh emosi.
“Aku tak boleh biarkan kau pergi macam ni, Sofea. Aku kena jelaskan semuanya.”
Sofea menggeleng dengan air mata sudah bergenang di kelopak matanya.
“Tak ada apa yang perlu dijelaskan! Kita dah lama habis, Zafran!”
Namun, Zafran tetap bersuara, suaranya seakan menekan dada Sofea dengan beban yang terlalu berat.
“Sofea… aku lelaki yang bertanggungjawab atas kehilangan kesucian kau dulu.”
Dunia Sofea berhenti.
Nafasnya terhenti sesaat, dan pandangannya terasa berpinar. Kata-kata Zafran menusuk ke dalam jiwanya, mencarik segala ketenangan yang selama ini cuba dipertahankan.
Balqis menekup mulutnya, terkejut dengan pendedahan itu.
Haiqal pula sudah mengepal penumbuk, nafasnya naik turun menahan amarah yang membuak-buak.
“Kau cakap apa tadi?!” suara Haiqal bergema di ruang rumah, cukup kuat hingga Puan Suraya terkejut.
Sofea memejam matanya, kepalanya terasa berpusing. Dia cuba untuk melangkah ke belakang, tetapi tubuhnya lemah. Dalam sekelip mata, badannya hampir jatuh ke lantai, namun Balqis segera menyambut tubuh Sofea yang hampir rebah.
Zafran cuba mendekat, tetapi kali ini, Haiqal menghalang.
“Jangan sentuh dia!” bentak Haiqal, matanya merah menyala. “Apa kau dah buat pada dia, hah?!”
Zafran tidak melawan, dia hanya tertunduk penuh rasa bersalah.
Haris segera memegang bahu Haiqal, cuba menenangkan adik kembarnya.
“Sabar, Qal. Kita dengar penjelasan dia dulu.”
“Sabar?! Orang macam dia tak layak diberi peluang untuk jelaskan apa-apa!” jerit Haiqal.
Namun, Haris tetap bertegas.
“Dengar dulu.”
Dengan nafas berat, Zafran akhirnya bersuara.
“Sofea… aku minta maaf. Aku tahu aku dah musnahkan hidup kau. Aku tahu aku lelaki paling kejam kerana meninggalkan kau dalam keadaan begitu. Tapi aku tak punya pilihan.”
Sofea yang masih dalam pangkuan Balqis membuka matanya perlahan, menatap Zafran dengan pandangan penuh kepedihan.
“Apa maksud awak?”
Zafran menelan liur, tangannya dikepal erat.
“Aku tak tinggalkan kau kerana aku mahu, Sofea. Itu semua rancangan keluarga aku. Mereka dah aturkan jodoh aku sejak dulu lagi. Aku cuba melawan, tapi aku tak mampu melawan kehendak keluarga.”
Air mata Sofea menitis.
“Jadi… saya hanya permainan untuk awak?” suaranya hampir berbisik.
Zafran menggeleng dengan wajah yang penuh rasa bersalah.
“Tak, Sofea! Aku betul-betul mencintai kau… tapi aku pengecut! Aku tak cukup kuat untuk pertahankan cinta kita.”
“Dan sekarang awak dah ada keluarga sendiri…” suara Sofea pecah dengan sendu.
Zafran tertunduk. Dia tak mampu menebus kesalahannya. Tidak ada satu pun jalan untuk dia membetulkan keadaan.
Haris yang sejak tadi mendengar, akhirnya bersuara.
“Zafran, kau kena buat pilihan. Sama ada kau mahu bertanggungjawab pada Sofea, atau lepaskan dia kepada Haiqal.”
Zafran mengangkat wajahnya, merenung Sofea dengan mata yang penuh kedukaan. Dia tahu dia tidak lagi punya hak ke atasnya. Dia sudah berkahwin. Dia tak boleh mengubah masa lalu.
“Aku…” suara Zafran serak. “Aku tak boleh. Aku dah berumah tangga, Haris. Aku tak boleh tebus dosa aku.”
Sofea mengesat air matanya yang mengalir.
“Jadi, kenapa awak perlu muncul dalam hidup saya semula, Zafran?”
Zafran menggigit bibirnya, cuba menahan sebak.
“Aku cuma… nak kau maafkan aku, Sofea.”
Sofea menahan nafasnya, cuba menenangkan hatinya yang berkecamuk.
Zafran kemudian melutut di hadapan Sofea.
“Aku tahu aku tak layak. Aku tahu aku dah hancurkan hidup kau. Tapi kalau ada sedikit ruang dalam hati kau… tolong maafkan aku.”
Sofea memejam matanya rapat. Luka lama yang selama ini cuba dia pendam, kembali berdarah. Dan kini, dia harus memilih. Terus menyimpan dendam, atau belajar untuk melepaskan.
***
Sofea menggenggam hujung lengan bajunya erat, menahan debaran yang semakin menggila dalam dadanya. Wajahnya menunduk, tidak sanggup memandang sesiapa pun. Malu. Terlalu malu.
Dia tidak pernah membayangkan rahsia yang dijaganya selama ini akan terbongkar di hadapan keluarga Haiqal, di hadapan Balqis, Haris, dan lebih menyakitkan, di hadapan lelaki yang mula membuka hatinya.
“Sofea…” suara Haiqal lembut, tetapi jelas menggambarkan betapa hatinya bergelora.
Sofea menarik nafas panjang sebelum mengangkat wajahnya, cuba menelan rasa pahit yang bersarang dalam hatinya. Dengan nada yang hampir berbisik, dia berkata, “Haiqal, saya… saya rasa lebih baik kita fikir semula tentang hubungan ini.”
Serentak, Haiqal mengerutkan dahinya.
“Apa maksud awak, Sofea?”
Sofea mengukir senyum kelat, hatinya pedih.
“Saya dah cemarkan maruah saya sendiri, Haiqal. Saya rasa, saya tak layak untuk awak.”
“Apa yang awak merepek ni, Sofea?” Haiqal melangkah mendekat, tetapi Sofea segera berundur.
Dia menggeleng.
“Saya tak nak awak terburu-buru, Haiqal. Saya tak nak awak buat keputusan hanya kerana simpati.”
“Ini bukan soal simpati!” Nada suara Haiqal sedikit meninggi.
“Saya sukakan awak, Sofea. Saya nak kahwin dengan awak! Saya benar-benar ikhlas!”
Sofea menahan nafas, menunduk memandang lantai.
“Tapi saya bukan wanita suci lagi, Haiqal…awak sepatutnya boleh dapatkan gadis yang lebih baik daripada saya. Awak lelaki yang baik, Haiqal. Saya tak layak pun untuk bersama dengan awak, saya kotor Haiqal, saya perempuan kotor!” suaranya semakin perlahan, namun cukup untuk didengari semua yang ada di situ.
Balqis dan Haris hanya saling berpandangan, tidak mahu masuk campur dalam perbualan yang semakin tegang itu. Zafran pula sudah terduduk di ruang tamu itu menyesali atas segala perbuatannya.
Haiqal mendengus kasar.
“Awak fikir saya peduli semua tu? Saya juga bukan manusia sempurna, Sofea. Semua orang ada masa silam.”
“Tapi masa silam saya buruk, Haiqal.” Mata Sofea mula berkaca. “Saya takut saya tak mampu jadi isteri yang baik untuk awak.”
Haiqal menghela nafas panjang, cuba menahan sabar.
“Sofea, awak kena faham satu benda. Saya tak kisah siapa awak dulu, saya kisah siapa awak sekarang. Bagi saya, Sofea yang sekarang sangat sempurna di mata saya”
Sofea mengigit bibirnya. Hatinya mahu percaya, tetapi ketakutannya lebih besar.
Dia menggeleng lagi.
“Saya tak boleh buat keputusan sekarang, Haiqal. Tolong… bagi saya sedikit ruang dan masa.”
Haiqal memandangnya lama, kemudian dia mengangguk perlahan.
“Baik. Saya akan bagi awak masa. Tapi satu je saya nak awak tahu…”
Sofea menahan nafas, menunggu kata-kata seterusnya.
“Saya tak akan lepaskan awak semudah itu.”
***
Haiqal mundar-mandir di ruang tamu rumah Puan Suraya, kepalanya serabut dengan kata-kata Sofea tempoh hari. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi gadis itu, tetapi pesanan ringkasnya hanya dibaca tanpa sebarang balasan.
“Umi, macam mana ni? Sofea langsung tak nak jumpa Haiqal,” rungutnya sambil duduk di sebelah Puan Suraya yang sedang mengupas bawang di dapur.
Puan Suraya mengerling anak terunanya sekilas sebelum menghela nafas panjang.
“Haiqal, kau ni kenapa gelabah sangat? Macam beruk kena belacan.”
Haiqal mengeluh, menyandarkan kepalanya pada meja.
“Mana tak gelabah, umi. Haiqal suka sangat kat Sofea tu… tapi dia asyik nak menjauh je dari Qal. Kenapa?”
Puan Suraya tersenyum kecil, tangannya cekap meneruskan kerja.
“Sofea tu bukannya benci, Qal. Dia cuma perlukan masa. Qal jangan terlalu memaksa, nanti dia makin lari.”
Haiqal menegakkan badan, matanya redup.
“Tapi umi… kalau dia fikir dia tak layak untuk Haiqal, macam mana? Kalau dia putuskan untuk pergi?”
Puan Suraya meletakkan pisau di atas papan pemotong dan menoleh sepenuhnya ke arah anaknya.
“Haiqal, kalau betul Sofea ditakdirkan untuk Qal, sejauh mana pun dia lari, dia tetap akan kembali.”
Haiqal terdiam. Kata-kata uminya ada benarnya.
“Tapi umi…”
“Tak ada tapi-tapi,” potong Puan Suraya sambil menepuk lembut bahu Haiqal.
“Qal cuma perlu tunjukkan yang Haiqal ikhlas, bukan sekadar cakap kosong. Jangan terlalu tekan dia, jangan terlalu desak. Kalau dia nampak kesungguhan Qal, lama-lama dia akan buka hati juga.”
Haiqal menghembus nafas perlahan.
“Haiqal risau, umi…”
Puan Suraya tersenyum sebelum mencubit pipi anaknya.
“Risau tu biasa, Qal. Tapi jangan sampai jadi sasau. Umi tak nak ada anak lelaki yang meroyan sebab cinta tak kesampaian.”
Haiqal menggosok pipinya yang dicubit.
“Aduh, umi ni! Mana ada lelaki meroyan!”
“Habis tu, yang Qal gelabah sampai tak tidur malam ni apa?”
Haiqal terdiam sebelum menepuk dahinya sendiri.
“Betul jugak…”
Puan Suraya ketawa kecil.
“Sudah-sudah la tu, pergilah mandi, sembahyang. Muka Qal dah macam kain buruk tak berbasuh.”
Haiqal menggaru kepalanya sebelum bangun dari kerusi.
“Baik, bos! Haiqal ikut arahan.”
Puan Suraya hanya menggeleng melihat telatah anaknya. Dalam hati, dia berdoa semoga Haiqal diberikan jodoh yang terbaik. Dan jika itu adalah Sofea, dia harap gadis itu akan segera menyedari kasih sayang tulus dari anaknya itu!
Alahai..Haiqal dh nk bahgia ngn Sofea pun ssah.. Zafran pula mengacau. Happy reading gaiss, jemput follow dan komen.
Share this novel