SEJAK petang lagi, balai raya Kampung Sri Delima sudah riuh dengan persiapan untuk menonton episod pertama MasterChef. Bukan sekadar menonton, tetapi majlis itu sudah bertukar menjadi kenduri mini dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh penduduk kampung.
Pak Mail membawa dulang besar berisi pisang goreng panas, Mak Senah pula membawakan kuih lopes dengan gula Melaka yang berkilat. Kanak-kanak berlari ke sana sini dengan wajah penuh teruja.
“Senyap, senyap! Dah nak mula dah ni!” suara Tok Ketua bergema, cuba mengawal keadaan.
Mata semua orang tertumpu ke skrin besar yang disambungkan ke projektor. Suasana bertukar senyap apabila intro rancangan MasterChef mula dimainkan. Masing-masing menahan nafas apabila wajah Haris muncul di layar kaca, berpakaian segak dalam uniform juri dengan logo rasmi rancangan itu.
“Adoi, anak umi dalam TV!” jerit Puan Suraya dengan bangga.
“Dah macam artis dah dia ni!” sampuk Mak Senah sambil menepuk tangan.
Haiqal yang duduk di belakang sudah menahan ketawa melihat betapa bersemangatnya penduduk kampung menyokong abangnya.
Segalanya berjalan lancar. Episod itu menampilkan selebriti terkenal sebagai peserta, dan Haris kelihatan tenang serta profesional dalam memberi komen. Namun, ketika giliran Haris untuk menilai masakan selebriti terkenal, Khai Bahar, tiba-tiba…
Puffff!
Skrin besar bertukar gelap. Lampu projektor terpadam serta-merta.
“HAAAH? APA NI?” jerit Mak Senah, hampir tercekik kuih lopes di tangannya.
“Astaghfirullah! Siapa cabut plug ni?” Pak Mail sudah bangkit, matanya liar mencari pesalah.
“Bukan saya! Saya kat sini dari tadi!” Balqis cepat-cepat mengangkat tangan, tak mahu dipersalahkan.
“Jangan tengok aku, aku tengah makan pisang goreng!” jawab Pak Mat sambil mengunyah.
Kanak-kanak mula riuh, ada yang menjerit, ada yang menangis kerana mahu melihat Haris di TV semula.
Tok Ketua pula sudah menggaru kepala.
“Mana Tok Imam? Dia yang pasang projektor tadi, kan?”
Semua mata beralih ke arah Tok Imam yang kelihatan serba salah.
“Err… saya pasang elok tadi… mungkin fius terbakar?”
“Fius terbakar? Habis, kita tak dapat tengok Haris komen pasal masakan Khai Bahar?” Sofea sudah memandang Haiqal dengan wajah penuh kekecohan.
Mak Senah sudah menggelupur.
“Ya Allah, rugi besarlah kita kalau tak tahu apa Haris cakap! Macam mana kalau masakan Khai Bahar tu tak sedap? Kita tak tahu reaksi Haris! Arghh!”
Habis kecoh satu balai raya. Ada yang cuba membaiki sambungan elektrik, ada yang menghubungi orang kampung lain untuk mencuba siaran di rumah masing-masing.
***
Sementara itu, Haris yang menonton di rumah bersama Balqis pada minggu berikutnya menerima panggilan bertubi-tubi.
Mak Senah menelefon…
Pak Mail menelefon…
Tok Ketua menelefon…
Haris menepuk dahi.
“Astaghfirullah… apa pula yang jadi kat balai raya aritu?”
Balqis sudah menahan gelak sambil menyerahkan telefonnya kepada suaminya.
“Bang, jawab cepat. Kalau tidak, mereka satu kampung akan datang serbu rumah kita.”
Haris menghela nafas panjang sebelum menjawab panggilan pertama yang masuk—tentulah daripada Mak Senah.
“HARIS! KENAPA TV GELAP? KAMI TAK DAPAT TENGOK KAU KUTUK MASAKAN KHAI BAHAR!”
Haris menjauhkan telefon dari telinganya. Jeritan Mak Senah seolah-olah boleh didengari satu kampung walaupun tanpa telefon. Balqis di sebelah sudah menahan ketawa, melihat suaminya yang terpaksa berhadapan dengan kekecohan penduduk Kampung Sri Delima.
“Err… Mak Senah, saya tak tahu kenapa siaran terganggu. Mungkin ada masalah teknikal kat balai raya?” Haris cuba memberi penjelasan yang logik.
Belum sempat dia meneruskan ayat, satu lagi panggilan masuk—kali ini daripada Tok Ketua. Dengan berat hati, Haris menekan butang jawab.
“Haris! Balai raya blackout! Semua orang panik! Aku dah telefon Pak Mail suruh tengok fius, tapi dia kata fius tak ada masalah. Habis, apa jadi ni?”
Haris menarik nafas, cuba mencari penyelesaian.
“Err… kalau tak boleh tengok di balai raya, tengok kat rumah masing-masing je lah, Tok.”
“Mana boleh! Ni acara besar kampung! Kitorang semua nak tengok kau kat TV bersama-sama!”
Haris tepuk dahi. Memang betul-betul kecoh satu kampung hanya kerana satu siaran.
***
Sementara itu, di balai raya, Haiqal yang juga pening dengan situasi itu cuba menenangkan keadaan.
“Tok, kalau fius tak terbakar, mungkin projektor tu panas sangat dan mati sendiri.”
Pak Mail yang sibuk memeriksa sambungan elektrik tiba-tiba menjerit.
“Astaghfirullah! Rupanya suis tertutup sendiri sebab ada budak main kat belakang ni!”
Semua orang serentak memandang ke arah dua orang budak kecil yang duduk mencangkung dengan wajah penuh bersalah.
“Kami tak sengaja… nak main kejar-kejar je…” kata seorang budak lelaki dengan suara sayu.
Mak Senah yang tadi sudah bersiap sedia mahu menyalahkan semua orang terus mengurut dada.
“Ya Allah, nak pengsan aku. Nasib baik bukan fius terbakar.”
Pak Mail segera membuka suis semula dan projektor kembali berfungsi. Skrin TV menyala, dan mereka kembali dapat menonton rancangan MasterChef.
Tepat pada masanya, kerana Haris sedang memberikan komen kepada masakan Khai Bahar.
“Hmmm… saya rasa ayam ni dimasak dengan baik, tapi mungkin kalau tambah sedikit perasa… eh?”
Tiba-tiba skrin jadi bergegar.
“Ya Allah, kenapa ni pula?” jerit Tok Ketua.
“Hujan lebat! Antena Astro kena angin kuat!” jawab Pak Mat dari luar balai raya.
Mak Senah sudah mengeluh panjang.
“Nampaknya, memang tak ada rezeki kita nak tengok siaran penuh malam ni!”
Penduduk kampung beramai-ramai mengeluh, tetapi kemudian mereka ketawa bersama-sama. Walaupun huru-hara, malam itu tetap menjadi kenangan manis buat mereka.
***
Di rumah, Haris yang menerima berita itu hanya mampu geleng kepala.
“Balqis, serius… kampung kita ni memang penuh drama.”
Balqis ketawa kecil.
“Tak apa bang, lepas ni semua orang akan serbu rumah kita minta cerita semula apa yang abang komen pasal masakan Khai Bahar.”
Haris memandang isterinya sebelum menghela nafas panjang.
“Abang patut minta bonus tambahan sebab ni.”
***
Seawal pagi, rumah Haris sudah penuh dengan kunjungan penduduk kampung. Siapa lagi kalau bukan Mak Senah dan geng gosip Kampung Sri Delima yang datang membawa bekas makanan penuh kuih-muih.
“Haris! Kau kena ulang balik apa yang kau komen pasal masakan Khai Bahar semalam! Kami tak puas hati tak dapat tengok!”
Haris yang baru sahaja mahu duduk bersarapan terus memandang Balqis dengan wajah pasrah.
“Abang dah agak benda ni akan jadi.”
Balqis ketawa kecil sambil menghidangkan teh panas untuk para tetamu tidak diundang itu.
“Dah tahu kenapa tak lari dulu?”
Haris mencebik.
“Macam mana nak lari kalau geng Mak Senah lagi laju dari jet pejuang?”
Mak Senah menjeling tajam.
“Haris! Jangan nak mengata! Cepat cerita apa yang kau komen!”
Tok Ketua yang baru sampai terus menarik kerusi.
“Ya, betul! Jangan buat suspen! Aku siap bawak buku nota ni!”
Haris menghela nafas panjang, akhirnya mengangkat tangan menyerah kalah.
“Okey, okey! Saya cakap kat Khai Bahar, ayam masak dia sedap tapi kurang perasa. Kalau dia tambah sikit lagi garam dan serbuk lada hitam, mesti lebih ummph.”
Pak Mail mengangguk sambil menulis di kertas kosong.
“Hmmm… garam sikit, serbuk lada hitam sikit… got it.”
Haris memandang pelik.
“Pak Mail, buat apa tulis?”
Pak Mail tersengih.
“Mana tahu nanti aku nak masuk pertandingan masakan dekat kenduri kahwin anak sedara aku.”
Semua orang ketawa.
Namun, suasana tiba-tiba jadi riuh apabila Mak Senah bertanya, “Lepas ni Haris nak bagi komen masakan siapa pula?”
Haris tersenyum sinis.
“Tak tahulah. Mungkin ada selebriti lain yang lebih mencabar.”
Tiba-tiba Haiqal masuk dengan wajah cemas.
“Weh, aku baru dapat mesej dari Astro. Malam ni Haris kena rasa masakan dari selebriti yang satu Malaysia kenal.”
Balqis mengerutkan dahi.
“Siapa?”
Haiqal menarik nafas dalam.
“Datin Seri Mona.”
Serta-merta semua orang di rumah itu membulatkan mata.
“Mona?! Jiran sebelah rumah aku dulu?!”
Haris mengangguk perlahan.
Mak Senah yang mulanya mahu menghabiskan kuih koci terus letak semula bekasnya.
“Benda ni mesti kena tengok live kat balai raya malam ni!”
Balqis menyiku Haris.
“Nampaknya abang kena bersedia untuk satu lagi malam yang penuh drama…”
Haris hanya mampu mengeluh panjang.
***
Siaran kedua MasterChef Malaysia malam ini berlangsung dalam suasana yang jauh lebih tenang berbanding sebelum ini. Penduduk Kampung Sri Delima sudah tidak lagi bergaduh soal skrin gelap atau menyalahkan Pak Mail kerana tersalah tekan suis.
Masing-masing duduk dengan penuh khusyuk, menikmati persembahan Haris sebagai juri yang sopan, berhemah, dan penuh karisma di kaca televisyen.
Siaran MasterChef Malaysia masih berlangsung dengan penuh meriah di balai raya. Semua penduduk kampung terus memberikan tumpuan pada skrin besar. Saat itu, giliran seorang peserta istimewa, iaitu Datin Seri Mona, tampil mempersembahkan hidangan masakannya.
Sofea yang duduk di sebelah Haiqal sejak tadi sudah mula berkerut dahi. Matanya tidak berkelip langsung daripada memerhati suaminya. Tapi bukan sebab Haris di kaca TV.
Sebaliknya, Haiqal.
Haiqal pula sejak tadi nampaknya seperti terpukau, tidak berkelip langsung memandang skrin.
“Patutlah malam ni janda tu berhias semacam,” Sofea mula mengomel dengan suara perlahan. “Artis rupanya… Datin Seri lagi.”
Haiqal tidak mendengar langsung. Matanya masih terpaku pada skrin.
“Kenapa abang Haris tak kutuk je masakan dia tu?” Sofea terus merungut. “Dah terang-terang nampak tak menarik. Warna pun pucat.”
Haris di kaca TV mula memberikan komennya.
“Secara keseluruhan, saya rasa masakan ini ada potensi,” kata Haris dengan suara profesional. “Tapi mungkin dari segi presentation, boleh diperbaiki lagi.”
Sofea menjegil mata. Haiqal yang masih leka menonton, tiba-tiba mengaduh kuat.
“Ouchhh! Ya Allah, Sofea!”
Semua orang di balai raya menoleh ke arah mereka. Haiqal terkebil-kebil, memegang tangannya yang sudah lebam dek cubitan maut isterinya.
“Apa honey buat ni?”
Sofea menjeling tajam.
“Kenapa tak lepas pandang? Dari tadi asyik tenung je dia tu!”
Haiqal ternganga.
“Hah?! Bila masa abang—”
Sofea terus mencubit lagi. Kali ini lebih kuat.
Haiqal menjerit lebih kuat dari tadi.
Puan Suraya yang duduk tidak jauh dari mereka menggeleng kepala sambil tersenyum kecil.
“Haih, dua-dua ni… dah nak ada anak tapi perangai masih macam budak-budak.”
Mak Senah yang duduk di belakang pula menepuk paha sambil tergelak.
“Eloklah, Tok Ketua! Malam ni kita bukan je tengok MasterChef, tapi kita dapat tengok Drama Cinta Kampung Sri Delima live sekali!”
Seluruh balai raya meledak dengan ketawa!
Haiqal masih menggosok lengannya yang lebam sambil merenung Sofea dengan wajah tidak percaya.
“Honey, takkan pasal janda tu pun abang kena seksa macam ni?”
Sofea menjeling tajam.
“Padan muka! Lain kali jangan nak asyik tenung lama sangat!”
Haiqal mengeluh panjang.
“Abang tengok sebab dia masuk TV, bukan sebab abang minat dia pun.”
“Tapi lama sangat! Sampai tak kelip!” Sofea mendengus.
Mak Senah menyampuk sambil tergelak.
“Haiqal, kalau kau nak hidup aman, lain kali kalau ada janda masuk TV, kau tengok lantai je, ya.”
Seluruh balai raya pecah dengan tawa sekali lagi!
Tok Ketua yang duduk di barisan hadapan tersenyum lebar.
“Anak kampung kita memang berbudi bahasa. Bukan macam juri lain yang suka bagi komen pedas-pedas.”
“Betul tu!” Mak Senah menyampuk. “Tak sia-sia umi dia, Puan Suraya, mendidik Haris dengan baik.”
Puan Suraya yang turut berada di situ tersenyum dalam sebak. Airmatanya mengalir perlahan. Dia benar-benar terharu melihat anaknya berdiri megah sebagai seorang chef terkenal, dihormati ramai. Saat ini, dia terkenangkan arwah suaminya, bapa Haris.
Kalaulah suaminya masih ada…
Pasti lelaki itu akan berbangga melihat anak mereka berjaya.
Lebai Haji Bakhtiar menggenggam tangan isterinya, memberikan sokongan.
“Arwah pasti bangga, Suraya. Dia tahu Haris dah jadi lelaki yang baik.”
Puan Suraya mengangguk perlahan.
Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila tiba-tiba…
“AHH!!”
Balqis yang duduk di bahagian belakang balai raya tiba-tiba mengerang kesakitan sambil memegang perutnya. Matanya membulat.
“Air ketuban saya pecah!”
Serta-merta seluruh balai raya berubah menjadi medan panik.
“Ya Allah! Balqis nak beranak!” jerit Mak Senah, terus berdiri.
Haiqal yang duduk di tepi Sofea tercengang.
“Apa? Sekarang?!”
Balqis merenung Haiqal dengan mata merah.
“Takkan esok pula?! Hantar akak ke hospital cepat!”
“Ya, ya! Jom, jom!”
Haiqal segera mendapatkan Balqis sambil dibantu oleh beberapa orang penduduk kampung. Puan Suraya masih cemas, mengelap air mata yang bercampur dengan peluh.
Tok Ketua terus beri arahan.
“Haiqal! Cepat kau hantar Balqis ke hospital! Mak Senah, tolong panggil bidan standby kat hospital!”
Mak Senah terus berlari keluar sambil menekan nombor telefon dengan tangan menggeletar.
Sementara itu, Haiqal masih dalam keadaan terkejut, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia baru sahaja berasa bangga kerana kembarnya membuat umi mereka menangis terharu, tiba-tiba kakak iparnya mahu bersalin pula!
“Ya Allah, kak Balqis…!”
Balqis menoleh dan menjerit, “Qal tunggu apa lagi! Cepat pergi hospital sekarang!!”
Serta-merta Haiqal terus berlari ke arah kereta.
Siaran MasterChef Malaysia di skrin balai raya sudah tidak dipedulikan lagi. Yang pasti, malam itu Kampung Sri Delima kecoh buat kali kedua!
Alahai...baru nk tengok Masterchef, Balqis plak nk beranak...Happy reading gaiss..
Share this novel