KELOPAK mata Balqis bergerak perlahan. Seolah-olah dia sedang bertarung dengan kegelapan yang selama ini mengekang pandangannya. Nafasnya mula teratur meskipun masih lemah. Bau ubat dan cahaya putih yang menyilau dari siling mula menyapa kesedaran. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Kabur pada mulanya, tetapi semakin jelas apabila satu wajah yang paling dirinduinya muncul dalam pandangannya.
“Haraz…” bibirnya bergetar menyebut nama itu, nyaringnya hampir tidak kedengaran namun cukup untuk mengejutkan lelaki itu yang setia menggenggam tangannya sejak tadi.
“Aqis… Alhamdulillah… syukur, Ya Allah…” Haraz teresak. Air mata yang ditahan selama ini tumpah tanpa mampu dikawal. Tangannya menggenggam erat jari-jemari Balqis, seolah-olah mahu memastikan wanita itu benar-benar kembali dari dunia yang nyaris meragutnya.
Balqis tersenyum lemah.
“Awak menangis…?” Soalnya perlahan, matanya memerhati wajah Haraz yang kelihatan tidak terurus. Janggutnya tumbuh tidak sekata, matanya merah, jelas menampakkan Haraz tidak tidur lena sejak kejadian tempoh hari.
“Mana Damia? Saya nak jumpa dia…” suara Balqis lemah tapi tegas. “Saya nak ucap terima kasih... dia selamatkan saya...”
Haraz menunduk, mengangguk.
“Damia ada kat luar. Abang panggil dia sekarang.” Haraz berdiri, menekan butang loceng di sisi katil memanggil jururawat, sebelum melangkah keluar mendapatkan Damia.
Damia yang baru selesai solat di surau hospital segera bangkit sebaik menerima khabar daripada Haraz. Langkahnya laju menuju ke wad. Wajahnya berubah cemas dan syukur bercampur baur. Hatinya lega, Balqis akhirnya sedar.
Pintu bilik ditolak perlahan. Balqis memalingkan wajah, senyum terbit di bibir pucatnya saat melihat Damia melangkah masuk. Damia terus duduk di tepi katil, memegang tangan Balqis dengan hati yang masih berkecamuk.
“Kak Balqis… Ya Allah… I takut sangat... I ingat akak... I ingat...I dah kehilangan akak...” kata Damia, air mata mula menuruni pipinya.
“Jangan nangis... akak masih ada...” ujar Balqis perlahan. “Tapi Damia, dengar sini. Akak ada satu permintaan. Mungkin ini permintaan terakhir akak...”
Damia menggeleng laju, “Jangan cakap macam tu... akak akan sembuh. Akak kena bertahan, I tahu Kak Balqis kuat...”
Balqis tersenyum, namun pandangannya tetap pada Damia.
“Damia...akak tak tahu berapa lama lagi Allah izinkan akak hidup. Tapi kalau ada apa-apa jadi pada akak... akak nak awak janji dengan akak…”
“Janji apa…?” suara Damia serak.
Balqis memandang Haraz yang berdiri di sisi dengan wajah tegang dan air mata bergenang, sebelum kembali memandang Damia.
“Akak nak awak… teruskan hidup bersama Haraz. Akak nak awak jadi ibu kepada anak-anak akak. Awak yang paling layak. Awak satu-satunya orang yang akak percayakan untuk galas tanggungjawab besar ini.”
Damia kaku. Nafasnya bagai tersekat. Dia menoleh ke arah Haraz yang terdiam membatu.
“Aqis…” Haraz menahan suara. “Jangan minta macam ni… mengucap banyak-banyak Aqis, istighfar”
“Tolong, Haraz. Saya tak nak anak-anak saya kehilangan kasih seorang ibu... kalau saya tak kuat, awak kena terus kuat. Damia boleh bantu awak. Tolong... tunaikan permintaan saya ini.”
Air mata Damia jatuh tanpa henti. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Dalam hatinya berkecamuk seribu perasaan. Tetapi dia tahu, cinta Balqis terhadap anak-anak dan Haraz begitu suci—dan dia tidak mahu khianati kepercayaan itu.
Damia hanya mengangguk perlahan, walau hatinya seolah-olah dihiris pilu. Haraz pula hanya mampu menunduk, menggenggam tangan Balqis sekuat hati, seakan tidak sanggup melepaskannya lagi.
Dan ketika itu, walaupun dalam ketenatan, Balqis menutup mata dengan senyuman... seolah-olah hatinya sudah tenang. Permintaan terakhirnya telah disampaikan. Kini, segalanya terpulang kepada takdirnya yang sudah tertulis sejak dirinya berada di Luh Mahfuz.
***
Dua hari selepas Balqis sedar daripada koma, tubuhnya masih lemah namun semangatnya tetap membara. Dia nekad — jika hidupnya hanya tinggal secebis waktu, dia mahu memastikan semuanya sempurna seperti yang dihajatkan hatinya. Dengan penuh ketegasan, dia meminta untuk keluar dari hospital.
Doktor pada awalnya keberatan, namun setelah beberapa siri perbincangan dan penilaian kondisi semasa, akhirnya pihak hospital membenarkan Balqis pulang atas tanggungan sendiri. Haraz menandatangani borang pelepasan dengan wajah berat, namun akur dengan keputusan Balqis yang tidak mahu menghabiskan sisa waktu untuk dirinya di atas katil hospital.
Setibanya di rumah, suasana mula berubah. Rumah itu kembali hidup dengan kehadiran Balqis walau tubuhnya lemah, namun suaranya tetap lantang memberi arahan.
“Umi, abah… Qis minta majlis pernikahan abang Haraz dan Damia dibuat secepat mungkin. Jangan tunggu lama lagi,” ujar Balqis, nafasnya masih pendek-pendek tapi penuh dengan tekad.
Umi terdiam, air matanya bergenang namun dia hanya mengangguk. Abah pula memandang Haraz dengan pandangan penuh erti, seolah meminta dia menjaga semuanya sebaik mungkin selepas ini.
Damia yang mendengar dari ruang tamu tergamam seketika. Dia masih sukar untuk percaya, namun dia tidak mahu membantah. Itu amanah Balqis, amanah yang berat namun dia akan cuba pikul seikhlas mungkin.
Balqis kemudian memanggil ketiga-tiga anaknya ke bilik. Faris, Faiha dan Faiqa meluru ke sisi katil ibu mereka.
“Faris, Faiha, dan Faiqa…” Balqis menggenggam tangan mereka bertiga.
“Kalau nanti mommy dah tak ada…mommy nak kamu semua dengar cakap daddy, dan mommy nak kamu sayang aunty Damia macam kamu semua sayang mommy, boleh?”
Faiha mengangguk perlahan, wajahnya bergenang air mata.
“Mommy jangan cakap macam tu... Faiha tak nak mommy pergi...”
Balqis tersenyum, tangannya membelai rambut anak gadisnya itu.
“Mommy tak pergi mana-mana. Mommy tetap ada dalam hati kamu.”
Faris pula kelihatan diam dan matang, menaburkan janjinya.
“Faris janji akan jaga adik-adik. Tapi aunty Damia boleh ke masak macam mommy?” soalnya tiba-tiba dengan dahi berkerut.
Damia yang berdiri di tepi tersenyum sambil menyeka air mata.
“Kalau Faris nak ayam masak merah mommy kamu, aunty sanggup belajar sampai jadi chef!”
Faiqa yang dari tadi diam tiba-tiba mencelah, “Tapi kenapa daddy nak kahwin dengan aunty Damia? Daddy tak suka mommy lagi ke?”
Balqis dan Damia tergelak kecil.
“Faiqa… sebab mommy sayang sangat dekat aunty Damia dan daddy, mommy nak mereka jadi keluarga kita. Supaya kamu semua ada dua orang yang sayang kamu, bukan satu.”
Faiqa berkerut dahi.
“Jadi… Faiqa ada dua mommy ke sekarang? Maksudnya boleh dapat dua kon aiskrim kalau Faiqa nangis?”
Semua orang ketawa, termasuk Haraz yang baru masuk membawa air panas untuk Balqis. Suasana itu walaupun diselubungi awan duka, tetapi gelak tawa anak-anak menjadi cahaya dalam kegelapan.
Damia memeluk anak-anak itu satu per satu, dan ketika dia memeluk Faiqa, anak kecil itu bertanya dengan penuh polos, “Aunty... nanti kalau mommy tidur lama-lama… Aunty ada tak teman Faiqa main masak-masak?”
Damia menggenggam erat tangan kecil itu.
“Aunty janji, sayang. Aunty akan jadi macam mommy untuk kamu semua.”
Balqis menutup mata, senyuman terukir tenang di wajahnya. Hatinya sedikit lega. Perlahan-lahan, dia menghela nafas dalam-dalam. Dia sudah menyiapkan segalanya. Kini, hanya takdir menentukan apa yang tersisa untuknya.
***
Balqis tersenyum manis, matanya tidak lepas dari wajah Haraz yang sedang duduk bersimpuh di hadapannya. Tangan wanita itu perlahan-lahan membetulkan songkok di kepala lelaki itu, menyentuh bahu dan meluruskan perincian baju melayu putih gading yang tampak sangat kemas dan serasi dengan tubuh Haraz.
"Aqis..." suara Haraz bergetar perlahan. "Adakah ini benar-benar keputusan yang ikhlas daripada sayang?"
Balqis berhenti seketika. Wajahnya mengendur dengan senyum kecil, namun matanya sarat dengan sesuatu yang jauh lebih dalam.
“Kalau tak ikhlas, takkanlah Aqis pilih sendiri baju nikah abang. Siap ukur badan lagi,” balasnya berseloroh.
Haraz menunduk. Kesayuan yang menyelubungi dadanya tak mampu dibendung. Tangannya menggenggam tangan Balqis erat.
“Qis nak jumpa Adan... dah,” ujar Balqis perlahan, tapi penuh makna.
“Jadi, senyum sikit ya. Hari ni hari istimewa. Jangan tunjuk muka ketat tu, nanti Damia menangis.”
Haraz tergamam. Balqis mengelipkan mata dengan nakal, mengelap sedikit peluh di dahi lelaki itu sebelum berlalu perlahan, dibantu oleh umi. Langkahnya sedikit perlahan, tapi senyum di wajahnya tetap sama.
Pagi itu, majlis akad nikah berlangsung dengan penuh tenang di halaman rumah keluarga Damia. Tetamu tidak terlalu ramai, hanya sanak saudara terdekat dan teman rapat.
Haraz kelihatan segak dalam persalinan baju melayu putih gading – warna yang dipilih sendiri oleh Balqis. Yang menarik perhatian ramai, bukan hanya Haraz dan Damia sedondon dengan warna yang sama, malah Balqis juga memakai busana serupa — kurung moden putih gading yang pernah dipilihnya sendiri sewaktu mencubanya bersama Damia dahulu.
Ada yang terkeliru. Dari belakang, Balqis dan Damia seperti kembar — dua wanita anggun yang saling menyayangi dalam takdir yang sukar dimengertikan.
Haraz duduk bersimpuh di atas alas nikah baldu, bersedia melafazkan akad. Damia, di sisi umi, menggenggam kuat jemarinya sendiri, menahan gelombang perasaan yang tak mampu diungkapkan. Balqis, duduk di kiri umi, memandang mereka dengan senyum yang damai. Walaupun tubuhnya semakin lemah, wajahnya tetap bercahaya.
“Izinkan abang, ya?” bisik Haraz kepada Balqis sebelum lafaz.
Balqis mengangguk.
“Cepatlah, jangan sampai Damia lari tunggu abang lama sangat!”
Tawa kecil pecah dari beberapa tetamu yang mendengar, namun cepat diredakan.
Dengan sekali lafaz yang lancar, Haraz sah menjadi suami kepada Damia. Tangisan halus mula kedengaran. Umi menunduk menekup mulutnya, menahan sebak. Damia juga tidak mampu menahan air mata yang mengalir laju.
Namun, saat ucapan "sah" bergema, Balqis yang duduk di atas kerusi kayu di sisi umi, perlahan-lahan rebah ke bahu umi. Wajahnya masih tersenyum—senyuman paling tenang yang pernah dilihat oleh sesiapa. Umi cepat-cepat menyambut tubuh itu, memanggil nama Balqis dalam panik.
"Balqis? Balqis sayang, jangan tidur dulu..."
Namun, dada Balqis tidak lagi berombak. Nafasnya telah pergi, tepat selepas dia melihat lelaki yang dicintainya menyempurnakan amanah hatinya.
Damia berlari mendapatkan Balqis, memeluk tubuh dingin itu sambil menangis teresak-esak.
“Kak Balqis... jangan tinggalkan kami...”
Namun, hanya angin pagi menjadi jawapan.
Dalam esakan, Damia terdengar bisikan terakhir Balqis yang terngiang-ngiang di benaknya.
"Damia... tahniah. Jangan lupa perjanjian kita. Jaga abang Haraz... jaga anak-anak kak Balqis..."
Janji yang kini menjadi amanah seumur hidupnya.
Damia masih menggenggam erat tubuh Balqis yang telah kaku dalam dakapan umi. Tangisannya pecah tidak berlagu, memenuhi ruang kecil yang tadi bergema dengan lafaz sakral. Haraz terdiam kaku di atas alas, matanya tidak berkelip memandang tubuh Balqis yang kini sudah tidak lagi bernafas. Dunia seakan terhenti. Lafaz akad yang baru sahaja usai diucapkannya seperti menjadi sumpahan titik noktah cinta yang paling menyakitkan.
"Aqis!" Haraz bangkit tiba-tiba, meluru ke arah Balqis. Lututnya terhenyak di sisi tubuh wanita yang pernah menjadi seluruh dunianya. Dia menggoncang perlahan bahu Balqis, seolah memohon satu keajaiban untuk mengembalikan denyut itu semula.
"Bangunlah... kita belum sempat bergambar... belum sempat abang ucap terima kasih..." suaranya pecah, serak dan penuh luka. Umi memegang bahu Haraz, menangis dalam diam sambil menundukkan wajah pada tubuh menantu perempuannya yang pergi dalam senyum tenang.
Damia mengesat air mata dengan hujung selendang putih gading yang serupa dengan milik Balqis. Dia mengangkat wajah, dan memandang Haraz yang sedang terduduk lemah di sisi jenazah Balqis.
"Abang Haraz..." suara Damia perlahan.
Haraz tidak menyahut. Pandangannya kosong, hanya tertumpu pada wajah Balqis yang sudah kaku namun masih dengan senyuman terakhir yang begitu membekas dalam kalbunya.
"Akak dah tinggalkan amanah... untuk Mia. Untuk abang. Untuk anak-anak..."
Haraz memejam mata erat-erat, seperti tidak sanggup menerima kenyataan itu. Dadanya bergelut dengan satu perasaan yang sukar dijelaskan— antara duka, marah, kecewa dan pasrah.
"Abang... tak sangka Aqis akan pergi begini. Di hari abang lafaz akad untuk orang lain..." Haraz meraup wajahnya. "Aqis aturkan segalanya, macam tahu ini pengakhirannya. Tapi abang terlalu berharap Aqis akan terus hidup..."
Damia menggenggam tangan Haraz, perlahan.
“Kita kena kuat. Kita kena teruskan, untuk anak-anak. Untuk apa yang akak mahukan.”
Haraz memandang Damia buat pertama kali sebagai seorang suami, namun dalam pandangan itu ada luka yang terlalu dalam.
“Abang... akan cuba. Tapi abang tak janji abang akan sembuh cepat.”
Damia mengangguk.
“Mia tak minta abang sembuh hari ini. Cukuplah, abang jaga diri... dan kita jaga amanah akak bersama.”
Tangisan kecil terdengar tidak jauh dari mereka. Faiqa, yang masih tidak mengerti sepenuhnya tentang kematian, menarik hujung baju neneknya.
"Tokmi... mommy tidur ke? Kenapa semua orang nangis?"
Umi menyeka air mata, mendakap tubuh kecil Faiqa ke dalam pelukan.
“Mommy tengah rehat sayang... mommy penat sangat. Kita peluk mommy sama-sama, ya?”
Faiqa mengangguk perlahan, matanya turut berkaca.
“Faiqa tak sempat nak nyanyi lagu Selamat Pengantin Baru tadi...”
Tangis Haraz pecah sekali lagi. Kali ini tidak tertahan. Dia menarik Faiqa ke dalam pelukannya bersama Damia. Mereka bertiga berpelukan erat di sisi jenazah Balqis yang masih tersenyum—menyaksikan dari dunia abadi bahawa cinta sejatinya telah memilih jalannya untuk pergi, meninggalkan satu amanah besar buat mereka yang ditinggalkan.
Dan amanah itulah... yang akan mengikat mereka selamanya!
Akhirnya, Balqis pergi jua..meninggalkan amanah buat Damia dan juga Haraz..mampukah mereka berdua menjaganya dengan baik, tggu last chapter ok...Happy reading gaisss...jemput follow dan komen...
Share this novel