BCR BAB 25 : BUATAN ORANG!

Romance Series 14436

BALQIS sudah pun dimasukkan ke dalam wad, tubuhnya terbaring lemah dengan tangan yang bersambung ke drip untuk menggantikan cecair yang hilang dari tubuhnya akibat muntah berterusan. Haris masih tidak senang duduk, berdiri di sebelah katil isterinya sambil menggenggam tangan Balqis dengan erat.

“Balqis…” Haris berbisik perlahan, hatinya remuk melihat keadaan isterinya begitu lemah.

Puan Suraya dan Sofea hanya memerhati dengan wajah risau sebelum seorang jururawat tiba-tiba masuk dan memberitahu bahawa doktor ingin bertemu dengan Haris.

Tanpa berlengah, Haris melangkah keluar dan menuju ke bilik doktor seperti yang diarahkan. Sebaik sahaja masuk, dia melihat seorang wanita pertengahan umur dengan wajah yang tenang tersenyum ke arahnya.

“Encik Haris, duduk dulu.”

Haris segera duduk, namun resah di wajahnya jelas terpancar. Melihat keadaan Haris yang seakan sudah bersiap sedia untuk menerima berita buruk, doktor itu ketawa kecil.

“Sabar, encik. Saya nak cakap pun awak dah nampak serabut macam orang nak masuk mahkamah.”

Haris tersentak dan menggaru kepala.

“Err… Maaf, doktor. Saya memang risaukan isteri saya.”

Doktor itu mengangguk memahami.

“Baiklah, izinkan saya perkenalkan diri dulu. Saya Dr. Najihah, pakar sakit puan yang merawat Puan Balqis.”

Haris mengangguk hormat.

“Doktor, macam mana keadaan Balqis? Dia sakit sebab apa?”

Dr. Najihah meneliti fail perubatan Balqis sebelum memandang Haris.

“Dia kehilangan banyak cecair akibat muntah berterusan, jadi kami terpaksa menahannya di wad untuk pemantauan.”

Haris menelan liur.

“Muntah-muntah tu… sebab makanan ke, doktor?”

Dr. Najihah tersenyum sambil meletakkan fail ke meja.

“Mungkin juga, mungkin tidak. Tapi sebelum itu, saya nak tanya satu perkara. Puan Balqis ada sejarah keguguran, kan?”

Haris terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan.

“Ya, doktor. Beberapa bulan lepas… dia pernah keguguran kerana—”

“Kerana bahan terlarang,” Dr. Najihah mencelah, matanya tepat memandang Haris.

Haris mengangguk.

“Ya… Ada orang letak sesuatu dalam makanan dia. Kami dah reda dan memaafkan si pelaku tu. Dah arwah!”

Dr. Najihah menghela nafas sebelum tersenyum kecil.

“Hmm… nampaknya kali ini pun ‘buatan orang’ juga.”

Haris membulatkan mata.

“Apa maksud doktor?”

Dr. Najihah ketawa kecil melihat wajah Haris yang kebingungan.

“Jangan risau. Kali ini, ‘buatan orang’ tu bukan dari niat jahat. Tapi dari seseorang yang sangat menyayangi Puan Balqis.”

Haris semakin pening.

“Doktor, saya tak faham…”

Dr. Najihah bersandar ke kerusinya sebelum berkata perlahan, “Encik Haris… Puan Balqis mengandung lagi.”

Terdiam.

Haris terasa jantungnya seperti terhenti seketika. Matanya terkebil-kebil memandang doktor itu, seakan otaknya memerlukan beberapa saat untuk memproses berita itu.

Dr. Najihah tertawa kecil melihat reaksi Haris yang terpinga-pinga.

“Ya, encik. ‘Buatan orang’ kali ini bukan sihir atau benda pelik. Tapi ‘buatan orang’ yang paling indah—buatan encik sendiri.”

Haris masih tergamam. Bibirnya sedikit terangkat, membentuk senyuman kecil sebelum matanya tiba-tiba berair.

“Saya… saya bakal jadi ayah lagi?”

Dr. Najihah mengangguk penuh makna.

Haris ketawa kecil dalam sebak. Tangannya menekup wajahnya, menahan rasa terharu yang membuak dalam dadanya. Setelah segala kesusahan yang Balqis lalui, Allah masih memberi mereka peluang lagi.

Dia bangkit dari kerusi, menunduk sedikit tanda terima kasih.

“Terima kasih, doktor. Ini berita paling bermakna untuk saya.”

Dr. Najihah tersenyum puas.

“Pergilah temani isteri encik. Saya pasti dia juga akan gembira mendengar berita ini.”

Haris mengangguk laju sebelum melangkah keluar dengan hati yang berbunga-bunga. Dia tidak sabar untuk memberitahu Balqis—bahawa kali ini, mereka diberikan satu lagi peluang untuk menimang cahaya mata.

Puan Suraya dan Sofea duduk di kerusi panjang di luar wad dengan hati yang tidak tenteram. Sudah hampir lima belas minit Haris masuk berjumpa doktor, dan kini lelaki itu berjalan ke arah mereka dengan senyuman paling cerah yang pernah mereka lihat—tetapi ada sisa air mata yang masih membasahi tubir matanya.

Puan Suraya terus bangkit, wajahnya penuh tanda tanya.

“Adan? Kenapa kamu menangis ni? Apa doktor cakap? Balqis macam mana? Dia okey ke?”

Sofea di sebelah turut memerhati dengan penuh debar. Haris kelihatan seperti mahu ketawa dalam tangisan, membuatkan suasana semakin pelik.

Haris hanya menggeleng sebelum tiba-tiba dia menjatuhkan tubuhnya ke lantai dan melakukan sujud syukur di situ juga.

Puan Suraya dan Sofea saling berpandangan.

“Umi… kenapa abang macam orang baru menang loteri ni?” bisik Sofea.

Puan Suraya mengangkat bahu.

“Mana umi nak tahu…Sofea pergilah tanya dia.”

Sebaik sahaja Haris bangun, tanpa amaran, dia terus mendakap Puan Suraya erat.

Puan Suraya membulatkan mata.

“Ya Allah, budak ni! Kenapa ni?! Apa yang kamu buat ni, Adan?!”

Sofea menutup mulut menahan ketawa melihat wajah umi mereka yang jelas terkejut. Haris pula memeluk erat ibunya itu seperti kanak-kanak kecil yang baru mendapat hadiah idaman.

“Umi, Adan bersyukur sangat-sangat…” suara Haris tersekat-sekat dalam tangisan kegembiraan.

Puan Suraya yang masih keliru menolak bahu Haris sedikit.

“Bersyukur kenapa? Kamu jangan cakap Balqis—”

Puan Suraya tiba-tiba teringat rendang itiknya. Jantungnya berdegup kencang. Dia menepuk dahinya.

“Ya Allah! Semua ni sebab rendang itik umi, kan?! Umi dah kata umi rasa lain macam masa masak tadi! Umi dah racun menantu umi sendiri!”

Sofea yang dari tadi menahan ketawa akhirnya terbahak. Dia pantas menggenggam bahu umi yang semakin panik itu.

“Umi, umi… relaks. Bukan sebab rendang itik umi.”

Puan Suraya menoleh dengan wajah penuh harapan.

“Habis tu? Apa sebabnya?”

Sofea tersenyum senget.

“Sebab akak mengandung lagi.”

Puan Suraya terdiam seketika. Matanya membulat.

“Apa?”

“Balqis… mengandung, umi.”

Puan Suraya menoleh ke arah Haris, meminta kepastian.

Haris mengangguk laju.

“Ya, umi! Balqis mengandung lagi! Adan bakal jadi ayah sekali lagi!”

Serta-merta Puan Suraya menepuk dadanya, hampir pitam kerana terlalu gembira. Sofea cepat-cepat memegang bahunya sebelum dia jatuh betul-betul.

“Ya Allah, ini berita paling gembira tahun ini!” Puan Suraya menekup mulutnya.

Sofea tersenyum.

“Jadi… boleh la umi maafkan rendang itik umi tu?”

Puan Suraya menjeling tajam.

“Kamu ni, Sofea! Umi dah nak gembira, kamu buat lawak pasal rendang pulak!”

Sofea tergelak kecil. Haris juga mengesat air matanya yang masih bersisa sambil tersenyum lebar.

***

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana Puan Suraya terus berubah watak—daripada seorang ibu mertua penyayang kepada seorang pengawal peribadi yang bersiap sedia untuk melindungi Balqis seperti seorang jeneral perang.

“Adan, mulai hari ini, umi tak nak Balqis buat kerja berat. Dia tak boleh memasak, tak boleh angkat barang, tak boleh berdiri lama, tak boleh makan sembarangan—terutama sekali rendang itik umi!”

Haris mengangguk laju, takut membantah.

Puan Suraya semakin bersemangat.

“Umi juga nak aturkan pemeriksaan setiap minggu, beli makanan berkhasiat, dan kalau perlu, umi sanggup jaga Balqis 24 jam sehari!”

Sofea memandang Haris sambil berbisik,

“Habislah akak… Kali ini umi jadi lebih overprotective dari sebelum ni.”

Haris menelan liur sambil tersenyum.

“Tak apa… Asalkan umi tak suruh abang tidur luar rumah sebab takut ganggu Balqis.”

Mereka bertiga tergelak bersama, berkongsi kegembiraan tentang berita bahagia ini. Sementara itu, Balqis yang masih tidak sedarkan diri langsung tidak tahu bahawa kehidupannya bakal dikawal ketat oleh seorang ibu mertua yang super overprotective.

***

Di rumah, suasana yang tadinya sunyi bertukar kecoh dengan tangisan Haiqal yang meraung seperti kanak-kanak kehilangan ibu. Dia terduduk di muka pintu, memeluk perutnya yang kembali berdarah akibat terlalu banyak bergerak.

“Umi… Sofea… sakitnya…” raungnya perlahan sambil menggigit bibir menahan kesakitan. Wajahnya semakin pucat, peluh dingin membasahi dahinya.

Di luar pagar, kebetulan Lebai Haji Bakhtiar yang ingin bertemu dengan Puan Suraya melangkah masuk ke pekarangan rumah. Langkahnya terhenti apabila matanya menangkap satu susuk tubuh yang tersandar lemah di pintu.

“Allahu Akbar! Haiqal?”

Lebai Haji Bakhtiar segera bergegas mendapatkan Haiqal. Melihat perut pemuda itu yang berdarah, wajahnya berubah cemas.

“Subhanallah! Kenapa sampai jadi begini, Haiqal?”

Haiqal hanya mengerang perlahan, tubuhnya semakin melemah. Tanpa berlengah, Lebai Haji Bakhtiar segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi ambulans.


“Ya, saya di rumah Puan Suraya. Ada seorang pemuda cedera, perutnya berdarah kembali. Tolong datang segera!”

Beberapa minit kemudian, ambulans tiba di pekarangan rumah, hampir serentak dengan kepulangan Puan Suraya dan Sofea.

Melihat ambulan dengan lampu siren yang masih berkelip-kelip, Puan Suraya mula panik.

“Ya Allah! Apa yang berlaku ni?”

Sofea yang baru sahaja memberhentikan kereta terus meluru keluar. Matanya membulat melihat tubuh Haiqal yang sedang diusung masuk ke dalam ambulans.

“Haiqal!” Sofea hampir menjerit, lalu berlari mendapatkan pemuda itu.

Puan Suraya pula terus mendapatkan Lebai Haji Bakhtiar.

“Abang! Apa yang berlaku? Kenapa dengan Haiqal?”

Lebai Haji Bakhtiar menghela nafas sebelum menjelaskan segalanya.

“Abang kebetulan lalu di depan rumah dan nampak Haiqal terduduk di muka pintu dalam keadaan pucat. Bila abang periksa, rupanya perut dia berdarah semula. Abang terus panggil ambulans.”

Puan Suraya menekup mulut, rasa bersalah menggunung dalam dadanya.

Seorang pegawai perubatan menghampiri mereka.

“Kami perlu bawa pesakit ke hospital segera. Siapa yang akan menemani dia?”

Tanpa berfikir panjang, Sofea mengangkat tangan.

“Saya!”

Pegawai perubatan mengangguk.

“Baik, puan siapa?”

Sofea menelan liur sebelum berkata, “Saya tunang dia.”

Puan Suraya hampir tersedak. Lebai Haji Bakhtiar pula tersengih sambil mengusap janggutnya. Pegawai perubatan tidak banyak soal dan segera mengarahkan Sofea masuk ke dalam ambulans bersama Haiqal.

Puan Suraya hanya mampu menepuk dahinya sambil menggeleng.

“Budak ni… ada saja alasan dia nak ikut Haiqal!”

Lebai Haji Bakhtiar ketawa kecil.

“Tak apalah, Su. Mungkin memang jodoh mereka ni kuat.”

Puan Suraya mendengus kecil, namun di dalam hatinya, dia tahu Sofea memang satu-satunya yang mampu menangani budak manja itu.

***

Suasana di hospital malam itu bergema dengan suara raungan Haiqal yang kedengaran dari dalam bilik rawatan. Beberapa jururawat yang lalu-lalang di luar sempat saling berpandangan, ada yang menahan ketawa, ada yang menggeleng kepala.

Sofea yang menunggu di luar bilik rawatan menggenggam jari-jemarinya erat, matanya terkebil-kebil mendengar suara Haiqal yang seperti kanak-kanak kena sunat.

“Aduh, mak! Sakitnya! Tolonglah jangan jahit lagi! Saya nak balik! Saya nak Sofea!!”

Salah seorang jururawat keluar dari bilik rawatan dengan wajah yang keletihan dan tersenyum kecil ke arah Sofea.

“Encik Haiqal ni… manja betul, ya? Patutlah tunang dia yang jaga.”

Sofea tersenyum hambar.

“Dia bukan manja, dia lebih dari manja…”

Selepas lebih sejam bergelut dengan Haiqal yang meronta-ronta tidak mahu dijahit semula, akhirnya rawatan selesai juga. Doktor keluar dengan wajah yang sedikit lesu.

“Puan Sofea?”

Sofea segera berdiri.

“Ya, doktor. Macam mana dengan Haiqal?”

Doktor menghela nafas.

“Luka dia terbuka agak dalam. Kami terpaksa jahit semula, dan ada sedikit infeksi di dalam luka. Tapi jangan risau, kami sudah bersihkan dan beri ubat antibiotik. Cuma…”

“Cuma?”

Doktor tersenyum simpul.

“Cuma pesakit ini paling banyak merengek yang pernah saya jumpa sepanjang 15 tahun saya bekerja.”

Sofea menepuk dahinya.

“Ya Allah, doktor… sabar jelah dengan dia.”

Doktor tertawa kecil.

“Jaga dia baik-baik, ya? Dia tak boleh banyak bergerak dan kena selalu pantau suhu badannya.”

Sofea mengangguk dan masuk ke bilik wad Haiqal yang baru selesai menerima rawatan. Dia mendapati lelaki itu sedang berbaring dengan muka yang masam mencuka.

“Buat muka apa tu?” Sofea mendekatkan diri, melipat tangan di dada.

“Sakit…” Haiqal menjuihkan bibir. “Diorang kejam! Jahit macam jahit guni.”

Sofea menahan ketawa.

“Habis tu? Nak Sofea jahitkan ke?”

Haiqal terus menggeleng laju.

“Tak nak! Awak bukan doktor!”

Sofea menggeleng kecil dan membetulkan selimut Haiqal.

“Dahlah, jangan merengek lagi. Makan ubat cepat, lepas tu tidur.”

Haiqal mengangguk patuh, seperti kanak-kanak yang disuruh minum susu sebelum tidur. Dia mengambil ubat yang dihulurkan Sofea dan menelannya tanpa banyak soal.

Beberapa minit selepas itu, mata Haiqal mula kuyu. Dia akhirnya terlena, membolehkan Sofea menghela nafas lega. Dia mengambil kesempatan untuk merehatkan diri seketika, tubuhnya sudah keletihan akibat berjaga sepanjang malam.

***

Seminggu kemudian…

Keadaan di hospital semakin huru-hara. Bukan sebab kecemasan, tetapi kerana seorang pesakit bernama Haiqal yang siang malam meraung menyebut satu nama sahaja.

“Sofea! Mana Sofea? Aku nak Sofea! Aku tak nak orang lain jaga aku!!”

Puan Suraya yang sudah letih dengan rengekan Haiqal akhirnya membuat keputusan drastik.

“Cukup! Umi dah tak sanggup dengar budak ni menangis lagi!”

Haris yang baru sampai ke hospital bersama Balqis yang sudah sihat kembali, memandang umi mereka dengan pelik.

“Umi nak buat apa?”

Puan Suraya menarik nafas panjang sebelum berkata dengan penuh tekad.

“Kita nikahkan saja dia dengan Sofea. Habis cerita.”

Balqis tersedak air mineral yang sedang diminumnya. Haris membulatkan mata.

“Hah? Sekarang?”

“Ya! Sekarang! Umi dah tak sanggup tengok dia merajuk macam budak tiga tahun!”

Balqis menutup mulut menahan ketawa.

“Mujurlah Haiqal ni anak umi. Kalau anak orang lain, memang dah kena halau dari wad.”

Sofea yang baru sampai di pintu wad hampir pengsan mendengar perbualan itu.

“Hah?! Nikah sekarang?!

Alhamdulillah...Balqis mengandung lagi..Mengadanya kau Haiqal...jangan pengsan ya, Sofea..Happy reading gaiss. Jemput follow and comment..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience