BCR BAB 35 : SUNYI & RINDU

Romance Series 14436

PETANG itu langit kelihatan mendung, seperti turut berkongsi rasa hati Puan Suraya. Duduk termenung di serambi rumah, matanya jauh merenung pokok rambutan yang sedang galak berbuah di hujung laman. Tangannya ligat menyulam rotan di pangkuan, tetapi fikirannya entah ke mana.

“Faris dah pandai senyum… Faiha pulak dah pandai mengiring,” bisiknya perlahan. Rindunya menebal sejak anak dan menantunya pulang ke kota. Rumah yang dulunya riuh dengan tangisan bayi, gelak tawa Balqis dan leteran manja Haris kini kembali sepi.

Dari jauh, Lebai Haji Bakhtiar perasan akan kemurungan isterinya itu. Dia meletakkan cangkul yang baru selesai digunakan untuk mencantas semak kecil di hujung laman, lalu melangkah perlahan ke arah isterinya.

“Kenapa termenung jauh ni, Su?” tanyanya lembut sambil duduk di sebelah.

Puan Suraya hanya tersenyum nipis.

“Rindu, bang... Sunyi sangat bila rumah ni takde suara cucu. Dulu ada Haris dengan Balqis, ada Faris dan Faiha. Sekarang, dengar bunyi cengkerik je.”

Lebai Haji Bakhtiar mengangguk perlahan. Dia tahu benar hati isterinya. Puan Suraya bukan hanya seorang ibu yang penyayang, tapi juga seorang nenek yang hatinya sangat mudah tersentuh dengan kehadiran cucu-cucu.

Beberapa minit kemudian, dengan penuh semangat, Lebai Haji Bakhtiar bersuara, “Apa kata kita ke Kuala Lumpur minggu depan? Kita bawa rendang, dodol, kuih akok kegemaran Haris tu… kita ziarah rumah mereka. Dah lama tak tengok Faris dan Faiha depan mata.”

Puan Suraya memandang suaminya dengan mata bersinar-sinar.

“Biar betul, bang? Nak ke KL?”

“Betullah ni. Kita naik bas ekspres macam dulu-dulu. Abang belikan tiket malam ni juga. Abang tak boleh biar kesayangan abang murung lama-lama.”

Puan Suraya terus bangkit, masuk ke dapur dengan senyuman paling lebar. Dia mula merancang apa yang mahu dibawa. Sambal tempe kering kegemaran Balqis, kek butter resepi turun-temurun, dan biskut kacang untuk cucu-cucunya.

Dalam masa yang sama, berita keberangkatan mereka sudah pun sampai ke pengetahuan Haiqal. Dia yang kini menetap di rumah bersebelahan Haris bersama Sofea dan anak-anak kembar mereka, terus mengangkat telefon dan menelefon Haris.

“Adan! Abah dengan umi nak datang KL minggu depan!”

“Serius?!” jerit Haris di hujung talian. Balqis yang sedang menukar lampin Faris di sebelah terus menoleh.

“Kenapa? Siapa datang?” tanya Balqis dengan dahi berkerut.

Haris senyum lebar.

“Umi dengan abah nak datang rumah kita. Prepare mental, sayang. Rumah akan jadi macam kenduri.”

Balqis tergelak kecil.

“Alhamdulillah… rindu juga nak jumpa umi.”

Namun, situasi sedikit berbeza di sebelah Sofea. Sejak berpindah ke rumah Haris, dia sentiasa dalam mod berjaga-jaga. Semua kerana Mona, janda 'gedik geletis' sebelah rumah yang tidak habis-habis mencari ruang untuk ‘terserempak’ dengan Haiqal.

“Adan, minggu depan umi nak datang,” kata Haiqal sambil mengerling Sofea yang sedang menyusu bayi.

Sofea mencebik.

“Baguslah. Suruh umi bawa cermin mata hitam. Jangan sampai ternampak jiran sebelah tu ajak abang berbual sambil jeling manja…”

“Eh, honey! Abang dah cakap banyak kali... abang tak layan dia. Honey je terlebih fikir!”

Sofea menjeling tajam.

“Sebab tu honey minta abang pindah sini. Biar jiran tu tahu, abang honey punya!”

Dan Haiqal hanya mampu telan air liur.

Kedatangan umi dan abah pasti akan menambah lagi warna dalam rumah yang sudah sedia meriah itu… tapi juga mungkin akan menyaksikan pelbagai drama kecil yang tidak terduga.

***

Keesokan harinya, rumah Haris dan Balqis di Kuala Lumpur mula bertukar wajah. Suasana yang sebelum ini tenang dan teratur kini kembali sibuk dan riuh. Balqis sibuk mengemas bilik tetamu dibantu Sofea yang sedang mendukung salah seorang anak kembarnya. Walaupun baru sahaja pulih dari berpantang, Sofea kelihatan cukup bersemangat untuk membantu kerana dia tahu umi dan abah bukan tetamu biasa — mereka adalah segalanya.

“Eh, awak tak penat ke, Sofea?” tanya Balqis, memandang wajah Sofea yang berpeluh.

“Saya okey je. Saja nak gerakkan badan. Lagipun, ni rumah kita juga. Kalau umi datang dan nampak saya goyang kaki, tak ke malu saya nanti?” jawab Sofea sambil tersenyum.

Balqis ketawa kecil.

“Alaa, umi bukan jenis cerewet pun. Tapi, memang seronok kalau rumah ni penuh balik.”

Di ruang tamu, Haris dan Haiqal pula sibuk memasang buaian tambahan dan membetulkan baby cot. Haris mengangkat kening ke arah Haiqal yang sedang memasang skru terbalik.

“Bro, kalau umi nampak kau pasang cot macam ni, sah dia geleng kepala. Kau tu jurutera, bukan tukang kayu!”

Haiqal menjelirkan lidah.

“Ni semua salah anak kau. Menangis tak henti-henti malam tadi sampai aku pun tak cukup tidur. Otak aku belum sambung wayar.”

Ketawa Haris meletus kuat.

“Kau belum rasa anak kembar kena 'colic'. Aku dah hafal lagu 'Zikir Tidur' sampai mengigau dalam mimpi.”

Kehadiran bayi-bayi comel itu memang mengubah segalanya. Namun, dalam keletihan dan kurang tidur itu, terselit nikmat yang tidak terhingga. Rumah mereka kini dipenuhi dengan tangisan, ketawa dan senyuman. Satu suasana yang mereka sendiri tidak sangka akan mereka alami serentak.

Di sebelah petang, telefon bimbit Haris berdering. Panggilan daripada Lebai Haji Bakhtiar.

“Haris, kami dah beli tiket. Insya-Allah lusa sampai KL. Umi kamu dah siap semua barang. Tak cukup beg, suruh abah beli bagasi baru,” suara abahnya kedengaran ceria.

Haris ketawa kecil.

“Alhamdulillah, abah. Tak sabar nak jumpa umi dan abah. Balqis pun teruja nak sambut.”

Namun, perasaan Haris tidak seceria suara abahnya. Dalam diam, dia risau melihat Balqis yang kadang-kadang kelihatan sedikit letih dan murung. Malam-malam tertentu, dia mendapati Balqis termenung lama di sisi buaian Faris dan Nur Faiha.

“Sayang okey?” tanya Haris malam itu ketika mereka bersandar di kepala katil, anak-anak sudah tidur lena.

Balqis senyum tipis.

“Okey… cuma kadang-kadang rasa macam semua ni terlalu cepat. Rasa macam semalam kita kahwin, sekarang dah ada dua anak. Hidup berubah sekelip mata.”

Haris genggam erat tangan isterinya.

“Perubahan tu bukan beban, tapi rahmat. Kita hadapi sama-sama. Kalau rasa penat atau sedih, cakap. Abang sentiasa ada.”

Balqis mengangguk perlahan. Matanya berkaca. Kata-kata Haris sentiasa membuatkan hatinya tenang.

***

Dan di rumah lamanya, Sofea pula sedang sibuk menyiapkan satu ‘surat amaran’ berbentuk nota comel dengan tulisan tangan cantik untuk jiran mereka, Mona. Dia letakkan di dalam bakul buah yang digantung di pagar sebagai tanda ‘salam perkenalan’ — tapi dengan mesej yang cukup jelas.

"Terima kasih kerana suka berjiran. Tapi Haiqal, hanya milik saya. – Sofea."

Haiqal, yang perasan nota itu esok pagi, hanya mampu tepuk dahi.

“Ya Allah, dugaan seorang suami kacak…”

Namun dia tahu, hidupnya kini lebih bermakna. Dan semuanya akan lebih manis bila umi dan abah tiba kelak, menyatukan semula satu keluarga besar dalam suasana penuh kasih sayang, walaupun sedikit riuh dan huru-hara.

***

Pagi yang dinanti-nantikan pun tiba. Deruman enjin teksi yang berhenti di hadapan pagar rumah dua tingkat itu membuatkan Haris dan Haiqal serentak meluru keluar. Balqis dan Sofea yang mendengar jeritan “Umi dah sampai!” dari dalam rumah juga tergesa-gesa keluar sambil masing-masing mendukung anak kembar mereka.

Pintu teksi dibuka perlahan dan terpacaklah figura kesayangan mereka—Puan Suraya yang lengkap berkebaya biru lembut, tersenyum lebar walaupun wajahnya jelas letih akibat perjalanan jauh. Di sebelahnya, Lebai Haji Bakhtiar sibuk mengangkat tiga buah beg besar sambil mengeluh kecil.

“Orang lain bercuti bawa satu beg. Isteri abah bercuti macam nak pindah rumah,” rungutnya sambil tersengih.

“Abah!” jerit Haris dan Haiqal serentak lalu segera membantu mengangkat beg-beg besar itu.

Puan Suraya tidak sempat menjejak kaki ke dalam rumah apabila dua menantunya sudah memeluknya erat.

“Umi… kami rindu umi,” bisik Sofea yang hampir bergenang air mata.

“Ya Allah, anak-anak umi… cucu-cucu umi… comelnya!” suara Puan Suraya bertukar nyaring sebaik sahaja dia dituntun ke ruang tamu dan melihat dua pasang anak kembar yang sedang lena di buaian.

“Eh, ni Faris ke Nur Faiha? Yang ni pula anak Haiqal ke anak Haris?” Puan Suraya sudah terkeliru dan panik sendiri.

Hampir sejam rumah itu dipenuhi dengan suara tawa, jeritan kecil bayi, dan arahan bertindan — “Botol susu mana?”, “Tuala ni siapa punya?”, “Eh, siapa buang pampers tak tutup tong sampah ni?”

Balqis dan Sofea sesekali saling berpandangan dan tersenyum. Rumah yang sebelum ini sunyi walaupun penuh dengan tangisan bayi, kini kembali riuh-rendah. Ada tangan membantu, ada suara menegur lembut, dan ada pelukan hangat setiap kali mereka kelihatan letih. Kehadiran umi dan abah bagaikan menghidupkan semula tenaga dalam diri mereka.

Lebai Haji Bakhtiar pula sibuk menjenguk dapur.

“Nasi impit dengan rendang tak payah buat ke? Katanya, Su nak masak semua juadah raya,” katanya dengan nada selamba.

“Abang! Itu bukan untuk hari ni, itu untuk besok!” jerit Puan Suraya dari ruang tamu sambil menepuk dahi.

Melihat wajah isterinya yang merah padma kerana keletihan tetapi masih ketawa dan penuh semangat, Lebai Haji Bakhtiar menarik nafas lega. Inilah wajah wanita yang disayanginya—penat, tapi tetap kuat. Dan senyuman yang kini bersemi di wajah Puan Suraya adalah bukti bahawa rindu dan sepi yang bersarang selama ini telah lenyap.

Dalam diam, dia memanjatkan syukur. Keluarga kecilnya kini telah berkembang, riuh kembali dan penuh dengan cinta.

***

Sebaik sahaja malam menjelma, rumah dua tingkat milik Haris dan Balqis kembali diserikan dengan kehadiran keluarga yang lengkap. Di ruang tamu, suara ketawa dan riuh rendah semakin menjadi-jadi apabila Puan Suraya mula membuka bungkusan makanan yang dibawanya dari kampung.

“Nah, ni serunding daging umi buat sendiri. Ni sambal hitam Pahang, kawan umi kirim. Ini pula tapai ubi, Haikal suka sangat dulu-dulu,” katanya sambil mengatur juadah di atas meja kopi panjang yang hampir tidak cukup ruang menampung semuanya.

“Umi, kalau macam ni gaya dia… esok tak payah masaklah. Penuh peti sejuk dengan makanan umi bawa,” balas Sofea sambil mengunyah sebiji kuih koci.

Lebai Haji Bakhtiar hanya menggeleng kepala sambil tersenyum.

“Umi kamu ni, kalau boleh dia nak pindah semua dapur kampung ke sini.”

“Abang, kalau Su tak buat macam ni, siapa lagi nak manjakan anak-anak cucu Su?” Puan Suraya menyambut selamba, bangga dengan peranannya sebagai pengikat keluarga.

Dalam kekecohan kecil itu, Faris dan Nur Faiha terjaga dari lena. Tangisan kecil mereka mengejutkan suasana yang gamat menjadi lebih haru-biru.

“Faiha lapar tu!” kata Balqis sambil segera mengambil anak perempuannya.

Haris pula segera mendapatkan Faris yang mula merengek, “Abang Faris, nak susu ke? Atau nak peluk dengan daddy ni?” rayunya dalam nada manja.

“Eh, romantik sangat gaya bercakap dengan anak. Dulu dengan isteri tak semanis ni!” tegur umi sambil ketawa kecil, disambut dengan hilai tawa Sofea dan Haiqal.

Tak lama kemudian, bayi kembar Sofea dan Haiqal turut menunjukkan aksi masing-masing. Tangisan mereka bersahut-sahutan seolah-olah tidak mahu kalah. Sofea yang masih belum pulih sepenuhnya dari kesan bersalin, kelihatan sedikit lelah. Namun, kehadiran umi yang cepat menenangkan keadaan membuatkan Sofea bersandar lega.

“Umi ni macam ada magik. Peluk je cucu, terus diam!” ujar Sofea, kagum.

“Itulah kasih nenek… aura dia lain macam,” sahut Haiqal, mencuri peluang mencium ubun-ubun isterinya yang sedang bersandar di bahunya.

Malam itu tidak seperti malam biasa. Penuh makna. Di meja makan yang dibuka besar itu, semua berkumpul. Menu malam tersebut? Ringkas, tetapi penuh kasih—sup ayam kampung rebus air tangan umi, telur dadar garing, sambal belacan dan ulam-ulaman segar. Puan Suraya tidak membenarkan menantu-menantunya memasak.

“Biar umi masak. Kalian jaga anak-anak umi. Itu pun dah cukup menyenangkan hati umi,” katanya sambil menyuap cucunya sedikit bubur nasi.

Lebai Haji Bakhtiar memerhati dari hujung meja. Hatinya benar-benar tersentuh. Dia tahu isterinya merindukan suasana seperti ini. Kehangatan keluarga, gelak tawa anak menantu, dan tangisan cucu yang menghidupkan rumah.

“Bang,” bisik Puan Suraya perlahan semasa mengangkat pinggan kosong di hadapan suaminya.

“Ya?”

“Terima kasih sebab cadangkan kita ke sini,” ucapnya, penuh syukur.

Lebai Haji Bakhtiar tidak membalas. Dia hanya senyum dan genggam erat tangan isterinya.

Selesai makan, rumah kembali gamat dengan suara bayi, tawa Haris yang sedang bercerita tentang rakannya sesama juri, serta komen-komen lucu Sofea mengenai rancangan MasterChef yang ditonton setiap malam.

“Haiqal, tahu tak… isteri kau ni setiap kali tengok siaran aku, dia ulang komen yang sama. ‘Apasal la abang Haris baik sangat dengan janda mekap tebal tu!’” usik Haris membuatkan semua tertawa berdekah.

Sofea sudah mengejar Haris dengan bantal peluk di tangan. Haiqal cuba menahan tetapi turut tergelak besar. Balqis hanya mampu geleng kepala melihat karenah mereka. Rumah itu akhirnya dipenuhi dengan kehangatan, kenangan dan cinta.

Dan malam itu, sebelum semua lena diulit mimpi, Puan Suraya berdiri di hadapan buaian cucunya dan berbisik, “Syukur ya Allah, atas anugerah yang tidak ternilai ini.”

Nenek dah rindu kat anak² cucu..Happy reading gaiss. Jemput follow and comment.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience