MALAM semakin larut, tetapi mata Balqis masih segar. Kata-kata ayahnya tadi masih berlegar dalam benaknya, seolah-olah setiap butir ayat yang keluar dari bibir Lebai Haji Bakhtiar tadi melekat kuat di hatinya.
"Kalau Qis suka Adan, kamu kena pastikan dia tahu. Jangan biarkan keadaan buat kau kehilangan dia."
Balqis memejamkan matanya seketika, namun debaran di dada tidak juga surut. Sungguh, dia buntu. Apa yang harus dia lakukan? Perasaan yang sekian lama terpendam terhadap Haris kini makin jelas, tetapi dalam masa yang sama, dia juga tahu ayahnya benar-benar serius terhadap ibu Haris. Jika mereka benar-benar berkahwin, status antara dia dan Haris bakal berubah.
Adakah itu bermakna dia harus melupakan Haris?
Balqis menggigit bibirnya. Lebih menyesakkan lagi, abang Firdaus pula sudah menyatakan hasratnya terhadap Hasrina. Balqis seolah-olah tersepit di tengah-tengah, tidak tahu bagaimana harus dia menghadapi semua ini.
Dia memandang telefon bimbitnya yang diletakkan di sebelah bantal. Sudah beberapa kali dia ingin menghantar mesej kepada Haris, tetapi hatinya tidak cukup kuat. Dia takut. Takut akan jawapan yang bakal diterima.
Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk perlahan.
"Balqis, kau dah tidur?" Suara abang Firdaus bergema di sebalik pintu.
Balqis menghela nafas dan cepat-cepat menyapu wajahnya yang terasa hangat.
"Belum, bang. Masuklah."
Pintu dikuak, dan Firdaus melangkah masuk dengan senyuman kecil. Dia duduk di birai katil sambil merenung adiknya.
"Qis nampak lain malam ni. Ada apa yang kau fikirkan?" soalnya lembut.
Balqis menunduk, jari-jarinya bermain dengan hujung selimut.
"Tak ada apa-apa."
Firdaus tersenyum kecil.
"Kalau kau rasa aku ni abang yang boleh dipercayai, bagitahulah. Abang nampak kau tak tenang sejak petang tadi."
Balqis menelan liur. Dia memang rapat dengan abangnya, tetapi kali ini, beban yang ditanggung terlalu berat.
"Bang… kalau sesuatu yang kita nak tu mungkin tak akan terjadi, patutkah kita lepaskan sebelum ia jadi lebih menyakitkan?"
Firdaus mengangkat kening.
"Kau cakap pasal Adan?"
Balqis terkedu. Dia tidak menyangka abangnya dapat meneka dengan mudah.
Melihat adiknya diam, Firdaus mengeluh kecil.
"Jadi, memang betul kau ada perasaan pada Adan?"
Perlahan-lahan, Balqis mengangguk. Matanya terasa panas.
"Tapi… abah nak kahwin dengan Acik Su. Kalau jadi, Qis dengan Adan akan jadi macam adik-beradik."
Firdaus termenung seketika, seolah-olah mencerna situasi yang berlaku.
"Itu cuma ikatan keluarga di atas kertas, Balqis. Tapi kalau kau betul sayangkan dia, kau tak boleh biarkan benda ni jadi penghalang."
Balqis mengangkat wajah, matanya berair.
"Tapi abang sendiri kan tahu, kalau benda ni betul terjadi, keadaan akan jadi lebih rumit."
Firdaus menghela nafas panjang sebelum menepuk bahu adiknya perlahan.
"Balqis, perasaan bukan benda yang boleh kita kawal sesuka hati. Kalau kau betul-betul nak dengan Adan, kau kena berjuang. Dan kalau kau rasa kau tak mampu, kau kena lepaskan dia dengan cara yang betul."
Balqis menggigit bibir.
"Lepaskan?"
Firdaus mengangguk.
"Lepaskan bukan bermaksud kau mengalah. Tapi lepaskan dengan hati yang reda. Jangan paksa diri untuk melawan sesuatu yang kau sendiri tak pasti."
Balqis terdiam.
"Dan tentang abang dengan Hasrina…" Firdaus tersenyum kecil.
"Abang tahu kau mungkin rasa semuanya jadi terlalu cepat, tapi abang memang betul suka dia. Abang pun tak nak buat benda ni kalau dia tak rela."
Balqis menatap abangnya. Dia tahu Firdaus seorang lelaki yang bertanggungjawab, dan jika abangnya sudah membuat keputusan, pasti dia benar-benar serius.
Firdaus bangun, bersedia untuk keluar dari bilik. Namun, sebelum dia melangkah pergi, dia menoleh sekali lagi ke arah adiknya.
"Balqis, satu perkara yang abang nak kau ingat. Jangan biarkan orang lain tentukan kebahagiaan kau. Kalau kau nak Adan, pastikan dia tahu. Jangan simpan seorang diri sampai akhirnya kau menyesal."
Balqis menelan liur, hatinya bergelora.
Sebaik sahaja pintu biliknya tertutup kembali, Balqis menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu, dia perlu buat keputusan. Sama ada untuk melawan atau melepaskan.
Tapi satu perkara yang pasti…
Dia tidak boleh terus begini selamanya.
***
Bazar Ramadan petang itu seperti biasa meriah dengan pelanggan yang berpusu-pusu mencari juadah berbuka. Bau ayam percik dari gerai Puan Suraya bersatu dengan aroma Roti John Kambing Cheese Balqis, mencetuskan suasana yang menggoda selera. Namun, bagi Balqis, semuanya terasa hambar.
Dia sudah tekad. Walaupun hatinya mencintai Haris, dia lebih mencintai keluarganya. Kebahagiaan ayahnya lebih penting daripada perasaannya sendiri. Begitu juga dengan abang Firdaus. Jika abangnya bahagia bersama Hasrina, dia tidak mahu menjadi batu penghalang. Dia rela berkorban.
Maka, sejak semalam, Balqis mula menjauhkan diri dari Haris. Jika sebelum ini mereka sering berbalas usikan, kini Balqis hanya memberikan senyuman hambar. Jika dahulu dia mencari peluang untuk berbual, kini dia hanya fokus pada pelanggan yang datang.
Haris yang menyedari perubahan itu semakin bingung. Setiap kali dia cuba menegur, Balqis hanya memberi jawapan sepatah dua sebelum berlalu pergi.
"Dia ni kenapa?" gumam Haris sendirian, mengacau kuah ayam percik dengan geram.
"Kenapa apa?" Hasrina yang sedang mengemas meja menoleh.
"Balqis," jawab Haris pendek.
Hasrina menjungkit kening.
"Kenapa dengan Kak Balqis?"
"Dia macam menjauh dari abang," luah Haris, wajahnya keruh.
Hasrina tersenyum nakal.
"Abang buat salah ke? Atau abang ada bau pelik hari ni?"
Haris menjeling tajam.
"Abang serius, Rin."
Hasrina mengangkat bahu.
"Mungkin dia ada sebab sendiri. Abang tanyalah dia terus."
Haris mendengus perlahan.
"Kalau dia nak bercakap dengan abang, dah lama dia buat. Tapi ni macam abang kena boikot!"
Hasrina ketawa kecil.
"Abang ni macam kena reject proposal kahwin je."
Haris tidak membalas. Hatinya mula dipagut perasaan yang tidak enak.
***
Keesokan harinya…
Balqis tiba lebih awal di bazar. Biasanya, selepas azan Zohor berkumandang, Haris sudah sampai untuk membantu ibunya. Tetapi hari ini, bayang Haris langsung tidak kelihatan.
Pada mulanya, Balqis buat tidak peduli, cuba meyakinkan diri bahawa dia tidak sepatutnya mengambil tahu. Namun, semakin lama Haris tidak muncul, semakin gelisah hatinya.
Malah, apabila pelanggan mula bertanya,
"Chef Haris tak turun padang hari ni?" dia semakin tidak senang duduk.
Akhirnya, setelah berjam-jam menahan diri, Balqis mengumpul keberanian untuk bertanya kepada Puan Suraya yang sedang membakar ayam percik.
"Err… acik Su," sapa Balqis perlahan.
Puan Suraya menoleh dengan senyuman mesra.
"Ya, Balqis?"
Balqis menelan liur.
"Adan… mana Adan hari ni?"
Puan Suraya ketawa kecil.
"Kenapa, rindu?"
Balqis tersentak, mukanya merona merah.
"Eh! Tak… Qis cuma tanya je."
Puan Suraya tersenyum sebelum menjawab,
"Dia demam. Dari pagi tadi tak bangun-bangun lagi."
"Hah?!" Balqis terkejut.
Dalam kekalutan itu, tangan Balqis yang sedang membalikkan roti john tersentuh kuali panas.
Tssss!
"Aduh!" Balqis terlompat kecil, menarik tangannya dengan pantas.
Puan Suraya terkejut.
"Ya Allah, Balqis! Melecur ke?"
Balqis menggelabah, meniup tangannya yang kemerahan.
"Tak apa, tak apa… sikit je!"
Namun, raut wajahnya jelas kelihatan cemas.
Puan Suraya perasan.
"Haa… ni bukan sebab roti john, ni sebab risaukan Adan, kan?"
Balqis tergagap.
"Err… Qis cuma… Qis…"
Puan Suraya menggeleng dengan senyuman penuh makna.
"Kalau risau sangat, pergilah tengok dia."
Balqis terkebil-kebil.
"Hah?"
"Gerai ni acik Su boleh uruskan. Pergilah jenguk Adan kat rumah."
Balqis masih terpinga-pinga. Tapi jauh di sudut hati, memang dia ingin melihat sendiri keadaan Haris.
Dan tanpa dia sedar, hatinya kembali bergetar dengan perasaan yang sudah cuba dia lupakan.
Setelah memastikan gerainya berada dalam jagaan yang baik, Balqis meminta diri. Haiqal, Firdaus, dan Puan Suraya mengambil alih urusan jualan. Namun, Firdaus sempat memerhati adiknya dengan curiga.
"Kau nak ke mana, Balqis?" tanyanya, sambil membalikkan roti john di atas kuali leper.
Balqis tersentak sedikit.
"Err… Qis nak tengok Haris kejap. Dia demam."
Firdaus menjungkit kening.
"Oh, ingatkan nak lari dari tanggungjawab."
Balqis menjeling.
"Abang Fir! Jangan nak mengusik!"
Haiqal ketawa kecil sambil mencuit Firdaus.
"Kak Qis dah tak boleh sorok perasaan dia lagi, bang."
Puan Suraya tersenyum penuh makna.
"Pergilah Balqis, nanti bagi tahu Adan jangan mengada-ngada sangat. Demam sikit pun dah tak boleh turun bazar."
Balqis sekadar mengangguk sebelum melangkah pergi dengan hati yang berdebar.
***
Setibanya di rumah Haris, Balqis mengetuk pintu perlahan. Hasrina yang membuka pintu tergamam seketika melihat Balqis berdiri di hadapannya.
"Balqis? Eh, akak buat apa kat sini?"
Balqis tersenyum kelat.
"Akak dengar Adan demam. Akak datang nak tengok dia… kalau tak menyusahkan."
Hasrina tersengih.
"Sejak bila akak ni rasa diri menyusahkan? Masuklah! Tapi hati-hati, kalau abang Rin moody, silap-silap dia halau akak."
Balqis ketawa kecil.
"Dia tu dah selalu sangat halau akak dalam hati dia, akak dah lali."
Mereka masuk ke dalam rumah, menuju ke bilik Haris. Hasrina menolak daun pintu dengan berhati-hati.
Haris baru sahaja bangun dari tidur, wajahnya masih kusut dengan rambut serabai. Dia menggosok-gosok matanya sebelum menyedari kehadiran Balqis di muka pintu.
Dia terus duduk tegak.
"Kenapa Qis ada kat sini?"
Balqis teragak-agak mahu melangkah masuk.
"Qis… Qis cuma nak tengok keadaan Adan. Adan okey?"
Haris mendengus perlahan sebelum menoleh ke arah Hasrina.
"Rin, suruh Qis balik."
Hasrina terpinga-pinga.
"Hah?"
"Abang cakap suruh Qis balik!" suara Haris tiba-tiba meninggi.
Balqis terkedu. Dadanya terasa sesak. Dia tak mahu aku di sini… dia benci aku…
Air matanya jatuh tanpa mampu ditahan. Dengan perlahan, dia berpaling untuk pergi.
Hasrina yang sudah berang terus bersuara,
"Abang ni dah kenapa?! Orang datang jenguk, abang marah-marah? Dah macam orang merajuk tak dapat jajan!"
Haris menjeling tajam.
"Abang tak suruh dia datang. Dia sendiri yang nak!"
Balqis menggigit bibir.
"Tak apa, Rin. Akak balik dulu."
Namun, sebelum dia sempat melangkah, Hasrina pantas mencengkam pergelangan tangannya.
"Rin takkan biarkan akak pergi dalam keadaan macam ni."
"Tapi Rin—"
Tiba-tiba, Balqis menjerit perlahan.
"Aduh!"
Hasrina tersentak. Dia melihat telapak tangan Balqis yang melecur teruk.
"Ya Allah! Akak ni kenapa? Bila kena ni?!"
Balqis cuba menarik tangannya, tetapi Haris lebih pantas bangkit dari katil.
"Rin, kau buat apa sampai tangan Qis macam ni?"
Hasrina menjeling.
"Rin tak buat apa-apa! Ni mesti kena masa kat bazar tadi."
Haris mencapai tangan Balqis, meneliti luka itu dengan raut wajah yang penuh kebimbangan.
"Kenapa tak cakap? Dah merah macam ni!"
Balqis cuba menarik tangannya, tetapi Haris menggenggam lebih erat.
"Jom pergi klinik," arah Haris tegas.
"Ala, tak payahlah. Luka kecil je ni," Balqis cuba mengelak.
"Kecil apanya? Qis ingat Adan nak biar Qis macam ni?"
Hasrina sudah bersedia dengan kunci kereta.
"Jomlah sebelum abang jadi lebih garang daripada Sarjan Misai."
Balqis masih ragu-ragu.
"Tapi—"
"Tapi apa lagi? Adan dah demam, jangan Qis pulak masuk hospital sebab jari hangus," seloroh Haris dengan nada separuh bimbang, separuh bergurau.
Balqis akhirnya mengangguk perlahan, membiarkan Haris menggenggam tangannya sepanjang perjalanan ke klinik. Hasrina pula, seperti biasa, sibuk menjadi pemandu yang suka mengusik.
"Akak, lepas ni akak kena selalu sakit. Baru abang Rin layan akak macam ni," katanya sambil ketawa.
Haris menjeling.
"Kalau Rin tak pandu elok-elok, abang sumpah Rin demam seminggu."
Balqis hanya tersenyum dalam diam. Luka di tangannya mungkin menyakitkan, tapi luka di hatinya yang mula menjauhkan diri dari Haris? Itu yang paling pedih.
Setibanya mereka di klinik, Haris yang masih menggenggam tangan Balqis tidak melepaskannya walau seinci pun. Suhu badannya yang semakin tinggi membuatkan dia sesekali mengelap peluh di dahi dengan tangan sebelah, sementara tangan satunya lagi masih erat menggenggam tangan Balqis yang luka.
"Adan ni, demam tapi sibuk jaga orang lain," gumam Balqis perlahan, matanya penuh kebimbangan melihat wajah Haris yang pucat.
Haris bersin kuat sehingga hampir terhantuk ke bahu Balqis. Hasrina yang berdiri di sisi mereka sudah menahan ketawa.
Doktor yang memeriksa luka Balqis hanya mengangguk-angguk sambil sesekali menjeling ke arah mereka berdua.
"Encik dan Puan ni pasangan yang sangat sweet," kata doktor itu tiba-tiba.
Balqis tersedak. Hasrina yang sejak tadi terkekek-kekek ketawa menambah lagi kehangatan suasana.
"Hah?! Jadi… kamu bertiga ni… poligami?"
Balqis hampir mahu pengsan.
"Doktor! Tak, kami bukan macam tu!"
Haris pula hanya mengangkat bahu.
"Saya tak kisah, tapi kalau boleh biar Balqis jadi isteri pertama.
Hasrina menjerit.
"Abangggggg!!!"
Doktor dan pembantu klinik tidak dapat menahan tawa, sementara Balqis sudah merah padma.
"Sudah, sudah! Cukup drama di klinik ni. Kita balik sebelum abang aku buat hal lain," bebel Hasrina sambil menarik tangan Balqis.
Namun sebelum mereka keluar, Haris dengan suara serak akibat demamnya bersuara perlahan, "Balqis, esok Qis jangan buat kerja berat sangat, okey?"
Balqis terhenti. Mata mereka bertaut seketika sebelum Balqis mengangguk perlahan.
"Adan pun jaga diri, tau."
Hasrina menjulingkan mata.
"Kalau doktor tadi tengok ni, sah dia kahwinkan korang sekarang jugak."
Haris dan Balqis hanya tersenyum dalam diam. Mungkin doktor itu tak salah langsung tentang mereka!
Aduh tiba-tiba Balqis n Haris nak menjauh, tp masing² risaukn sesama sendiri. Macm ni Balqis nk menjauh dari Adan, rsanya x ke mana pun kan? Happy reading gaiss, jemput follow and comment..
Share this novel