BCR BAB 10 : MERAJUK

Romance Series 14436

BALQIS mengeluh panjang sambil menggigit straw minumannya. Dia mengerling sekilas ke arah Haris yang duduk di bangku sebelah, tetapi lelaki itu langsung tidak mengendahkannya. Sejak pagi tadi, Haris diam membatu, seolah-olah Balqis ini bagai angin lalu sahaja.

“Rin rasa abang Adan merajuk dengan Kak Qis,” bisik Hasrina yang duduk di hadapan.

Balqis menjulingkan mata ke atas.

“Habis tu? Bukan akak suruh dia jadi bodyguard akak pun.”

“Tapi akak asyik buat perangai macam nak sabotaj tugas abang. Saja cari pasal,” sambung Hasrina sambil tersengih.

Balqis mengeluh lagi. Sebenarnya, dia pun tahu yang Haris sedang merajuk. Tapi nak buat macam mana? Dia tak selesa dikawal sepanjang masa.

Sejak semalam, dia sengaja mencipta pelbagai helah untuk menguji kesabaran Haris. Dari berjalan terlalu perlahan sampaikan Haris sudah terlambat ke bazar, sengaja berlagak mesra dengan Haiqal untuk melihat reaksi Haris, hinggalah dia berpura-pura mahu menunggang skuternya sendiri meskipun tangannya masih cedera.

Dan malam tadi, kemuncaknya. Balqis dengan selamba meminta Hasrina menghantarnya pulang ke rumah, tanpa memaklumkan kepada Haris. Itu betul-betul buat Haris naik angin.

Kini, Haris duduk dengan wajah kelat, memandang ke arah lain tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.

Balqis menggigit bibir. Sebenarnya, dia sedikit kesal kerana keterlaluan. Dia memang tak suka dikongkong, tapi dia tak mahu Haris betul-betul membencinya.


"Adan..."

Tiada sahutan.

“Haris Izzuddin…”

Masih tiada reaksi. Lelaki itu tetap berpura-pura sibuk melihat telefonnya.

Balqis mendengus.

“Okey, fine. Qis tahu Adan tengah merajuk. Tapi seriuslah, Qis bukan sengaja nak buat Adan marah sampai begini.”

Haris masih diam.

Balqis menjeling ke arah Hasrina, meminta bantuan.

Hasrina angkat tangan.

“Jangan harap Rin nak tolong. Kalau abang dah merajuk, akak kena pujuk sendiri.”

Balqis mengetap bibir. Dia tidak pernah memujuk sesiapa sebelum ini. Lebih-lebih lagi lelaki yang bernama Haris Izzuddin.

Balqis menarik nafas dalam dan mengatur strategi.

“Adan, kalau Adan terus diam macam ni, Qis akan—”

Belum sempat dia habiskan ayat, Haris tiba-tiba bangun dari tempat duduk dan berjalan pergi tanpa menoleh ke belakang.

Balqis ternganga.

“Ya Allah! Dia merajuk betul-betul ke ni?!”

Hasrina ketawa kecil.

“Nampaknya akak dah berjaya buat Haris Izzuddin putus asa.”

Balqis menggigit bibir. Kali ini, dia benar-benar dalam masalah.

Balqis menapak perlahan ke arah gerai ayam percik milik Puan Suraya dengan hati yang berkecamuk. Haris masih dengan muka kelatnya, berdiri di tepi gerai sambil sibuk menyapu sos ayam percik tanpa sedikit pun mengendahkan kehadirannya.

Haris memang betul-betul merajuk!

Balqis menarik nafas dalam.

'Okey, Balqis. Kau boleh buat ni. Kau kena pujuk dia balik!'

Dia cuba cara pertama. Balqis mengambil sepotong Roti John Kambing Cheese Special yang dibungkus khas olehnya sendiri, kemudian berjalan ke arah Haris. Dengan penuh harapan, dia menghulurkan makanan itu ke arah lelaki itu.

“Adan, Qis buat khas untuk Adan. Adan suka, kan?”

Haris menjeling sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada ayam perciknya.

“Tak ada selera.”

Balqis hampir terduduk. Dia menggigit bibir. 'Okey, cubaan pertama aku gagal.' Balqis gumam dalam hati.

Balqis beralih ke cara kedua. Dia masih tidak berputus asa. Dia berjalan ke sebelah Haris, berdiri rapat dan mempamerkan wajah paling comel yang dia mampu buat.

“Adan… Qis minta maaf, ya? Qis tak sengaja buat Adan marah.”

Haris tetap diam.

Balqis makin berani, dia mencuit lengan Haris perlahan.

“Adan merajuk sebab Qis tak ikut cakap Adan ke? Ke sebab Qis tak bagi Adan hantar Qis balik semalam?”

Haris masih buat muka selamba, seolah-olah dia bercakap dengan tiang elektrik.

Balqis menghembus nafas kasar. Cara kedua yang Balqis usahakan pun gagal.
Kini, dia beralih kepada cara ketiga. Balqis meletakkan tangan di dada dan pura-pura mengeluh panjang.

“Aduh… Qis rasa macam nak pitam.”

Dia mula berpura-pura goyah, kakinya sengaja digoyang sedikit seolah-olah mahu rebah. Namun, sebelum dia sempat ‘jatuh pengsan,’ Hasrina tiba-tiba menyampuk dari gerai sebelah.

“Jangan berlakon sangat, akak. Akak bukan pelakon drama pukul tujuh malam.”

Balqis mendengus. Bocor rahsia! Misinya sudah gagal. Tiada apa lagi yang dia boleh lakukan. Haris betul-betul kebal dengan taktiknya!

Dengan perasaan putus asa, Balqis akhirnya berpeluk tubuh dan menoleh ke arah Haris yang masih kaku.

“Okey, Adan. Adan nak marah, marahlah. Adan nak merajuk sampai tahun depan pun, merajuklah. Qis dah penat pujuk.”

Balqis berundur beberapa langkah dan berjalan ke arah gerai roti johnnya dengan wajah kecewa. Baru sahaja dia hendak mengambil tisu tiba-tiba,

“Adan nak roti john Adan.”

Balqis tersentak. Dia menoleh dan melihat Haris sudah berdiri di hadapannya dengan wajah masih kelat, tetapi ada sinar kecil di matanya.

Haris menghulurkan tangan.

“Roti John Kambing Cheese Special tadi… Adan nak.”

Balqis terdiam sebelum sedar dia masih memegang bungkusan itu. Perlahan-lahan, dia menghulurkannya kepada Haris.Haris mengambilnya tanpa sebarang senyuman, tapi sebelum dia beredar, dia sempat berbisik perlahan.

“Tadi Qis kata Qis penat pujuk Adan. Itu bermakna Qis betul-betul kisah, kan?”

Balqis terpempan. Mukanya serta-merta panas.

Sementara itu, Hasrina yang memerhati dari jauh terus tergelak kecil.

“Abang Adan memang macam tu. Akak dah berjaya pujuk abang sebenarnya, cuma abang nak akak tahu sikit yang abang ni bukan senang nak dipujuk.”

Balqis mengetap bibir. Geram pun ada, tapi dalam hati tetap berbunga-bunga.

***

Balqis menyelak tudungnya sedikit di hadapan cermin, memastikan semuanya tampak sempurna. Jantungnya berdegup laju memikirkan tentang rancangan berbuka puasa bersama Haris malam ini. Sejak insiden merajuk Haris, hubungan mereka agak janggal. Jadi, pelawaan Haris untuk keluar berbuka tadi benar-benar melegakan hatinya.

Namun, apabila Haris muncul di hadapan rumahnya dengan kemeja putih bersih yang disingsing hingga ke siku, rambut tersisir kemas dan wangian maskulin yang menyerbu deria hidunya, Balqis terus terkedu.

Ya Allah… kenapa dia nampak segak sangat malam ni?!

Balqis menelan liur. Haris yang selalu berseluar trek dan apron di bazar itu kini nampak seperti model majalah fesyen.

Haris pula tidak kalah terkejut. Balqis dalam balutan jubah moden berwarna biru pastel dengan tudung senada membuatkan dia hampir lupa cara bernafas.

"Err… jom?" Haris menegur perlahan, cuba menstabilkan debaran sendiri.

Sepanjang perjalanan ke restoran, kedua-duanya lebih banyak berdiam diri, mungkin kerana masing-masing sedang bertarung dengan perasaan sendiri.

Sebaik tiba di restoran, Balqis semakin terpinga-pinga.

Sejak bila Haris ni romantik?!

Meja yang ditempahnya di sudut restoran itu dihiasi dengan lilin kecil, bunga segar di tengah, dan susunan meja yang tampak eksklusif. Lebih mengejutkan, pelayan yang menyambut mereka tiba-tiba tersenyum penuh makna.

"Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan, encik dan puan!"

Balqis hampir tersedak. Matanya membulat memandang Haris, yang kelihatan tenang sahaja.


"Kami—"


"Kami belum kahwin," Haris menyampuk, tersenyum sinis. "Tapi kalau dia nak, saya boleh usahakan."

Balqis terkedu. Mukanya terus merah padma. Gurau ke betul ni?!

Pelayan itu tergelak kecil, sebelum beredar meninggalkan mereka berdua dalam suasana canggung.

Haris menarik kerusi untuk Balqis sebelum duduk bertentangan dengannya. Balqis masih terkejut, tetapi dalam hati, dia akui dia suka layanan Haris yang sedikit berlainan malam ini.

Apabila makanan tiba, Balqis tersenyum puas. Nasi Arab, sup kambing, dan pencuci mulut yang kelihatan menyelerakan.

Namun, baru suapan pertama, Haris sudah mula mengerut dahi.

"Kenapa dengan makanan ni?" soalnya, jelas tidak berpuas hati.

"Kenapa?" Balqis membulatkan mata.

"Rasa dia... macam ada yang tak kena. Nasi ni kurang perisa, sup dia cair sangat. Adan rasa chef restoran ni perlu belajar lebih banyak tentang keseimbangan rasa."

Balqis tergelak kecil.

"Adan, awak tu chef, bukan juri MasterChef. Bukan semua orang sehebat Adan memasak."

Haris mendengus.

"Tapi kalau kita bayar mahal, sepatutnya mereka jaga kualiti. Betul tak?"

Balqis hanya menggeleng kepala.

"Apa pun, kita tak boleh mencemuh makanan, Adan.Tak baik."

Haris menjulingkan mata ke atas, tetapi tetap meneruskan makan tanpa mengulas lanjut. Selepas makan, suasana antara mereka semakin santai. Haris bersandar di kerusi, memandang Balqis dengan senyuman yang sukar ditafsirkan.

"Balqis."

"Hmm?"

"Adan rasa... Adan makin sayang dekat Qis."

Balqis tersentak. Jantungnya hampir gugur, tetapi segera dia mengawal ekspresi.

Namun, sebelum sempat hatinya melonjak bahagia, Haris menyambung, "Adan sayang Qis macam 'adik' sendiri."

Balqis terasa seperti ada batu besar jatuh atas kepalanya.

Adik?!

Balqis memandang Haris dengan pandangan kosong. Jadi selama ni… aku syok sendiri?!

Haris tidak menyedari perubahan ekspresi Balqis. Dia terus bercakap dengan nada penuh makna.

"Qis ni macam keluarga Adan sendiri. Adan tak tahu macam mana hidup Adan kalau Qis tak ada."

Balqis cuba tersenyum, walaupun hatinya terasa remuk. Jadi, dia cuma anggap aku macam adik dia? Bukan sebagai seseorang yang lebih daripada itu?

Balqis menghela nafas panjang.

"Terima kasih, Adan. Qis hargai apa yang Adan rasa."

Namun, dalam hatinya, ada sedikit keluhan kecewa.

Aku sayang dia lebih daripada seorang abang. Tapi dia... hanya nampak aku sebagai seorang adik?

Haris mengerutkan dahi. Sejak dia mengungkapkan rasa sayang kepada Balqis tadi, gadis itu tiba-tiba berubah. Senyum ceria yang menghiasi wajahnya tadi hilang entah ke mana. Kini, Balqis lebih banyak berdiam diri, menyuap makanan dengan perlahan, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat.

Haris mengetuk meja dengan jari telunjuknya.

"Balqis."

Balqis tersentak sedikit sebelum mengangkat wajah, cuba memaksa senyuman.


"Hmm?"

"Apa yang tak kena? Adan perasan Qis macam lain je tiba-tiba. Ada yang mengganggu fikiran Qis?"

Balqis tersenyum hambar.

"Tak ada apa-apa, Adan. Qis cuma… penat sikit."

Haris sempat mengerling jam tangannya.

"Penat? Kita baru je makan, belum buat larian marathon lagi."

Balqis ketawa kecil, tetapi tawanya tidak semeriah tadi. Haris semakin pelik.

"Qis ni betul ke tak ada apa-apa? Sebelum ni bukan main ceria lagi. Tapi sekarang ni…" Haris menjongketkan kening. "Atau Qis sebenarnya tengah kecewa dengan Adan?"

Balqis tersentak. Mata mereka bertaut. Macam mana dia boleh teka?

"Kenapa pula Qis nak kecewa dengan Adan?" Balqis cuba mengawal nada suaranya supaya tidak kedengaran terkesan.

Haris memerhati wajahnya dengan renungan tajam. Seolah-olah dia sedang menilai setiap reaksi Balqis.

"Kalau Adan ada cakap benda yang Qis tak suka, Qis boleh bagitahu Adan," ujar Haris dengan nada lembut.

"Adan tak suka tengok Qis macam ni. Adan rindu senyuman Qis yang tadi tu."

Balqis menunduk, menggetap bibir.


"Adan…"


"Hmm?"

"Jangan main-main dengan hati Qis."

Dahi Haris berkerut.

"Maksud Qis?"

Balqis menghela nafas panjang sebelum mengangkat wajah.

"Adan… Adan layan Qis baik sangat. Kadang-kadang buat Qis rasa macam Qis ni seseorang yang istimewa di hati Adan. Tapi dalam masa yang sama, Adan cakap Adan anggap Qis macam adik sendiri."

Haris tersentak. Matanya membesar sedikit.

Balqis menelan liur, cuba menahan perasaan yang bergelora.

"Qis tak nak jadi seorang yang salah faham, Adan. Qis tak nak hati Qis dipermainkan."

Haris diam. Lama. Seakan sedang memproses kata-kata Balqis.

Tiba-tiba, Haris bersandar ke belakang dan mengeluh kecil sebelum tersenyum senget.

"Jadi… Qis nak Adan berhenti layan Qis macam ni?"

Balqis terdiam.

"Kalau Adan berhenti, Qis pasti boleh terima?"

Balqis cuba menjawab, tetapi kata-kata tersekat di kerongkong. Dia sendiri tidak pasti.

Haris menggelengkan kepala perlahan.

"Awak silap, Balqis. Adan tak pernah main-main dengan Qis."

Balqis mendongak, keliru. "Tapi—"

"Kalau Adan kata Adan sayang sebagai 'adik', itu cuma separuh daripada kebenaran." Haris bersuara perlahan tetapi cukup jelas.

"Adan sendiri pun masih cuba memahami apa sebenarnya yang Adan rasa untuk Qis."

Jantung Balqis berdegup laju. Haris… apa maksudnya semua ini?

Haris mengeluh kecil sebelum tersenyum lembut.

"Jadi sebelum Qis buat apa-apa kesimpulan, boleh tak kita beri masa untuk kita sama-sama faham perasaan ni?"

Balqis hanya mampu memandang Haris tanpa kata. Hatinya yang tadi terluka, kini kembali berdebar dengan satu perasaan yang baru.

Haris menarik lembut tangan Balqis, membawanya berjalan di sepanjang pesisiran pantai yang diterangi cahaya bulan. Ombak yang beralun perlahan seakan menjadi saksi kepada debaran yang semakin menggila di dada Balqis.

“Balqis, Adan tahu Qis salah faham dengan Adan,” Haris bersuara perlahan, matanya tajam menatap wajah gadis itu.

“Adan tak pernah anggap Qis sebagai adik. Dan Adan tak pernah main-main dengan hati Qis.”

Balqis menelan liur, jantungnya berdegup kencang.

“Adan…”

“Adan suka awak, Balqis,” sambung Haris, tanpa memberi ruang untuk Balqis bersuara. “Malah, Adan yakin… Adan cintakan awak, Balqis Nadira.”

Balqis terpempan. Wajahnya terasa panas. Jari-jarinya yang berada dalam genggaman Haris sedikit menggigil.

Haris ketawa kecil.

“Qis fikir Adan akan buat kerja gila ni kalau tak serius?”

Balqis menundukkan wajah, cuba menyembunyikan senyuman malu yang mula terukir.

Haris menarik nafas dalam sebelum berbisik, “Kalau Qis rasa benda ni gurauan, Adan sanggup buktikan dengan cara lain.”

Balqis pantas menggeleng.

“Tak payah! Qis percaya!”

Mula-mula merajuk, akhir² luah rasa hati...aduhai, lawak² si chef Adan ni...Happy reading gaisss...jemput follow and komen.....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience