BCR BAB 12 : TIDAK SECERAH PELANGI

Romance Series 14436

RUANG kediaman Lebai Haji Bakhtiar sunyi seketika selepas jenazah Firdaus dibawa masuk untuk tatapan terakhir. Namun, di dalam kesunyian itu, kepiluan menguasai setiap hati yang hadir. Air mata sudah lama tumpah, tetapi kesakitan kehilangan tidak juga berkurang.

Hasrina masih di sudut rumah, tersandar kaku di dinding. Matanya kosong, seakan-akan jiwanya sudah lama terbang pergi bersama Firdaus. Balqis pula, yang tidak mampu menanggung kepedihan, telah beberapa kali rebah dan kini dibawa berehat di dalam bilik.

Puan Suraya yang sejak tadi tidak lepas memerhati anak bongsunya segera mendekati Hasrina. Dia duduk berlutut di hadapan anak gadisnya, menggenggam jemari Hasrina yang terasa dingin. Dingin seperti embun yang menyentuh kulit di waktu pagi.


“Hasrina…” Puan Suraya memanggil lembut, tetapi tiada sahutan.

Tubuh Hasrina kaku.

Dada Puan Suraya mula berombak. Dia menggoncang bahu anaknya sedikit.

“Sayang, bangun… Kita balik rumah ya?”

Namun, Hasrina tidak bergerak. Nafasnya… tiada.

“Astagfirullah…” Puan Suraya menekup mulutnya. Tubuhnya mula menggigil, jari-jemarinya bergetar saat dia menyentuh leher Hasrina, mencari denyutan nadi yang sudah tiada.

“Hasrina!”

Jeritan itu menggoncang seluruh rumah. Haiqal dan Haris berlari mendapatkan ibu mereka yang sedang menggoncang tubuh Hasrina, cuba menyedarkan gadis itu. Tetapi mereka tahu… segalanya sudah terlambat.

“Hasrina…” suara Haiqal hampir berbisik. Dia memandang wajah adiknya yang tenang, seolah-olah sedang lena dalam mimpi yang paling indah. Namun, inilah kenyataan yang paling menyakitkan.

Puan Suraya tidak dapat lagi menahan kesedihannya. Dia menangis sepuas hati sebelum tubuhnya sendiri melemah dan rebah dalam pangkuan Haiqal.

***

Tangisan dari ruang dalam kediaman itu menarik perhatian jiran-jiran yang sudah memenuhi halaman rumah sejak awal pagi. Bisikan mula bertebaran, wajah-wajah yang hadir dipenuhi dengan kejutan dan kesedihan.

“Ya Allah… bukan saja Firdaus, Hasrina juga pergi…”

“Mereka seperti sudah berjanji untuk bersama hingga hujung nyawa.”

“Kuatnya cinta mereka. Cinta yang tidak memisahkan mereka walaupun kematian menjemput.”

Khabar kehilangan dua insan dalam satu masa itu tersebar luas. Tidak ada satu pun wajah di situ tidak dibasahi air mata. Tidak ada satu pun hati yang tidak tersentuh dengan takdir yang tertulis untuk pasangan ini.

***

Matahari sudah hampir tergelincir ketika jenazah Firdaus dan Hasrina dimandikan dan dikafankan.

Firdaus, sebagai seorang tentera, dimandikan dengan penuh penghormatan. Seragam tenteranya diletakkan di sisi, sebagai tanda jasa baktinya kepada negara. Wajahnya yang tenang disentuh buat kali terakhir oleh ahli keluarga sebelum kain kafan menutupi seluruh tubuhnya.

Hasrina pula dimandikan oleh ibu-ibu di kampung, ditemani oleh Puan Suraya yang masih belum mampu menerima kenyataan. Jemari ibu itu mengusap rambut anak gadisnya yang tidak lagi bernyawa, suaranya tersekat-sekat membaca surah Yasin di telinga si bongsu kesayangannya.

Ketika kain kafan membaluti tubuh Hasrina, Puan Suraya hampir rebah lagi.

“Umi sangka umi akan melihat dia bersanding, bukan melihat dia dikafankan…” rintihnya, membuatkan semua yang berada di situ menitiskan air mata.

***

Selepas solat jenazah dilakukan di masjid kampung, kedua-dua jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Perjalanan ke sana ditemani tangisan dan doa yang tidak putus-putus.

Jiran-jiran yang hadir turut membantu mengusung jenazah Firdaus ke liang lahad terlebih dahulu. Sebagai seorang perwira negara, dia dikebumikan dengan penghormatan terakhir oleh rakan-rakan tenteranya. Bendera negara diletakkan di atas pusaranya, tanda penghargaan kepada jasanya.

Setelah itu, jenazah Hasrina pula diturunkan ke liang lahad bersebelahan dengan tunangnya.

Suasana semakin hening.

Puan Suraya, dengan air mata yang tidak berhenti mengalir, melangkah ke tepi kubur.

"Hasrina… Firdaus… pergilah dengan tenang, sayang…"

Dia tahu, anak dan tunangnya itu sudah bersama. Mungkin di alam lain, mereka akhirnya bersatu dalam cara yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa.

Selesai pengebumian, semua yang hadir tidak mampu berkata-kata. Langit yang suram seakan turut meratapi perpisahan ini. Tiada lagi cahaya matahari yang terang.

Kerana hari itu, dua jiwa telah pergi…

Dan mereka pergi bersama, seperti yang telah ditakdirkan.

Tanah perkuburan sudah mulai lengang. Sebahagian yang hadir sudah beransur pulang, meninggalkan dua pusara yang masih merah tanahnya. Namun, Balqis dan Haris masih berteleku di situ.

Balqis menyentuh nisan Firdaus dan Hasrina dengan jari-jarinya yang bergetar. Nafasnya tersekat-sekat menahan esakan yang tidak mahu reda. Dia menaburkan bunga rampai dengan jemari yang kian melemah.

"Abang Fir... Rin..." suaranya serak.

Haris di sebelah hanya mampu memerhati, dadanya terasa berat melihat keadaan gadis kesayangannya itu. Dia sendiri masih belum percaya, dalam sekelip mata, dua insan yang mereka kasihi telah pergi.

"Balqis, jom kita balik..." Haris cuba memujuk.

Namun Balqis menggeleng.

"Qis tak boleh, Adan... Qis tak boleh tinggalkan mereka di sini..."

Air mata terus mengalir membasahi pipi. Haris menarik nafas panjang, cuba menahan kesedihan yang semakin menekan dada. Dia tahu betapa rapatnya Balqis dengan Hasrina, betapa kuatnya ikatan persahabatan mereka.

Lebai Haji Bakhtiar akhirnya menghampiri.

“Balqis… sayang, mari kita pulang. Doa dan ingatan kita akan sentiasa bersama mereka…”

Balqis menggigit bibir, cuba menahan tangisan. Akhirnya, dengan langkah berat, dia mula meninggalkan pusara itu. Namun belum sempat dia melangkah jauh, tubuhnya tiba-tiba melemah, matanya berpinar, dan sebelum dia sedar dunianya bertukar gelap.

Haris sempat menyambar tubuh Balqis sebelum dia jatuh ke tanah. Wajah gadis itu pucat, kelopak matanya tertutup rapat.

“Balqis! Balqis, bangun!”

Panik menjalar di hati Haris. Dia menoleh ke arah Lebai Haji Bakhtiar, meminta keizinan.

“Pakcik, Adan bawa Qis balik dulu…”

Lebai Haji Bakhtiar mengangguk perlahan. Tanpa membuang masa, Haris terus mencempung tubuh Balqis, membawanya pergi dari tanah perkuburan itu.

***

Malam itu, kenduri tahlil diadakan di masjid selepas solat tarawih. Suasana tenang, tetapi kehibaan jelas terasa di setiap wajah yang hadir. Doa-doa dipanjatkan, air mata ditahan-tahan.

Puan Suraya duduk di satu sudut masjid, wajahnya sugul. Sejak pemergian Hasrina, dia seakan kehilangan sebahagian jiwanya. Gadis itu bukan hanya anak bongsunya, tetapi juga teman bicara, pelengkap kehidupannya.

“Hasrina... anak umi..." bisiknya perlahan.

Sejak hari pemergian Hasrina, Puan Suraya belum mampu tidur lena. Setiap kali dia pejamkan mata, wajah anak gadisnya bermain-main di fikiran. Tawanya, rengekannya, suaranya yang ceria... semuanya hilang dalam sekelip mata.

Di satu sudut lain, Lebai Haji Bakhtiar duduk termenung. Air mukanya kelihatan lebih tua daripada sebelumnya. Dia kehilangan satu-satunya anak lelaki. Satu kehilangan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

“Fir… Abah dah hilang anak lelaki abah…” bisiknya dalam hati.

Hati seorang ayah, sekuat mana pun, tetap luluh apabila kehilangan darah daging sendiri.

Selepas majlis selesai, jiran-jiran datang bersalaman, menitipkan kata-kata semangat. Namun, semua itu hanya mampu memberikan ketenangan seketika. Hakikatnya, luka yang ada terlalu dalam untuk sembuh dalam waktu yang singkat.

***

Sejak hari itu, Balqis berubah. Gadis yang dahulunya periang, kini hanya diam dan termenung. Senyumannya hilang entah ke mana.

Di rumah, dia lebih banyak mengurungkan diri. Makan pun tidak berselera.

Haris memerhati dari jauh. Dia bukan orang yang petah berkata-kata, tetapi dia tahu, jika dibiarkan, Balqis akan terus hanyut dalam kesedihan.

Satu petang, Haris mendekati Balqis yang duduk termenung di serambi rumah.

“Qis…”

Balqis tidak menjawab. Pandangannya kosong menatap langit yang semakin gelap.

“Qis nak terus macam ni sampai bila?”

Balqis memejamkan mata, cuba menahan air mata yang mula bergenang.

“Qis tak tahu, Adan. Qis rasa… Qis hilang semua yang Qis sayang dalam sekelip mata.”

Haris menarik nafas dalam.

“Adan faham, Qis. Adan pun kehilangan mereka. Tapi, mereka tak nak tengok kita terus macam ni. Qis tahu, kan?”

Balqis membisu.

“Qis ingat tak, Hasrina selalu cakap, dia nak kita hidup dengan bahagia, walau apa pun jadi?”

Air mata Balqis akhirnya jatuh jua. Dia menggenggam kain tudungnya erat-erat.

Haris menghela nafas panjang.

“Adan tahu kau perlukan masa, Qis. Tapi satu je Adan nak Qis tahu… Adan ada di sini. Adan takkan biarkan Qis jatuh.”

Untuk pertama kali selepas sekian lama, Balqis mengangkat wajahnya dan memandang Haris. Ada sesuatu di matanya. Mungkin harapan yang masih berbaki.

Mungkin, luka ini tidak akan sembuh dalam sehari. Tetapi sekurang-kurangnya, dia tidak keseorangan dalam menanggungnya.

***

Suasana di rumah Puan Suraya masih muram. Kesunyian terasa begitu menyakitkan. Sejak pemergian Hasrina, rumah itu kehilangan seri. Tiada lagi suara ceria anak bongsunya yang selalu menjadi penyeri keluarga.

Di bazar Ramadan, gerai mereka yang sebelum ini selalu meriah dengan gelak tawa Hasrina dan Balqis kini sunyi. Hari-hari pertama selepas berita pemergian Firdaus dan Hasrina tersebar, ramai pelanggan yang datang hanya untuk bertanya khabar. Namun, gerai itu tetap ditutup.

"Kasihan Puan Suraya... Dia kehilangan satu-satunya anak perempuan," bisik seorang pelanggan kepada rakannya.

"Dan Balqis pun... dia mesti sangat sedih. Mereka rapat macam adik-beradik," balas yang lain.

Haris dan Haiqal berdiri di hadapan gerai yang masih berkunci. Mereka tahu, jika Hasrina ada, dia pasti akan mengamuk jika tahu gerai ini terbiar begitu saja. Tetapi dalam keadaan sekarang, mereka sendiri tidak pasti bagaimana mahu meneruskannya.

"Kau rasa kita patut teruskan, Adan?" tanya Haiqal sambil memandang papan tanda gerai yang tertera nama Hasrina.

Haris mendengus perlahan.

"Aku tak tahu, Qal. Umi pun masih tak ada semangat nak berniaga. Kalau kita teruskan tanpa umi, aku takut umi akan lebih rasa kehilangan."

Haiqal mengangguk perlahan. Mereka sama-sama tahu betapa besar erti gerai ini kepada Puan Suraya. Ia bukan sekadar punca rezeki, tetapi juga kenangan bersama Hasrina.

Namun, setelah beberapa hari berlalu, jiran-jiran dan pelanggan tetap mula bertanya.

"Kami rindu ayam percik Puan Suraya," kata seorang mak cik yang biasa membeli juadah berbuka di gerai mereka.

"Kami pun rasa janggal kalau gerai ni tutup. Hasrina suka layan pelanggan, suka buat kami ketawa," tambah seorang lagi.

Puan Suraya mendengar kata-kata itu dengan hati yang berat. Dia duduk termenung di ruang tamu, merenung ke luar jendela.

“Umi,” suara Haris memecah kesunyian. “Gerai kita… macam mana, umi? Kalau umi tak mahu teruskan, kami boleh tutup terus. Tapi kalau umi rasa lebih baik diteruskan, Adan dengan Haiqal boleh uruskan.”

Puan Suraya tidak menjawab segera. Matanya masih sayu. Dia tahu, jika dia berhenti berniaga, kenangan dengan Hasrina juga akan semakin jauh darinya. Tetapi untuk kembali ke bazar tanpa anaknya di sisi, dia tidak pasti sama ada hatinya cukup kuat.

“Apa pun keputusan umi, kami ikut,” sambung Haiqal. “Cuma, kalau gerai ini diteruskan… sekurang-kurangnya, kita masih ada sesuatu yang Hasrina tinggalkan.”

Puan Suraya menarik nafas panjang. Hatinya berperang dengan perasaan sendiri.

“Kamu berdua uruskanlah,” katanya akhirnya dengan suara lemah.

“Umi tak kuat nak ke sana lagi.”

Keputusan itu bukan sesuatu yang mudah. Tetapi dia tahu, jika dia memaksa dirinya, mungkin lebih sukar untuk menerima kenyataan.

Haris dan Haiqal berpandangan. Mereka tahu, mereka perlu teruskan perniagaan ini, bukan hanya untuk meneruskan rezeki keluarga tetapi juga untuk menghormati kenangan Hasrina.

Dan keesokan harinya, mereka kembali ke bazar Ramadan. Tanpa Hasrina dan Balqis, gerai itu terasa kosong. Tetapi mereka tetap meneruskan, dengan harapan, sedikit demi sedikit, kesedihan ini akan beransur hilang.

***

Petang itu, Haris bertandang ke rumah Lebai Haji Bakhtiar. Dia duduk di beranda rumah, memerhati suasana senja yang semakin merangkak pergi. Dari dalam rumah, kedengaran suara perlahan Balqis berbual dengan bapanya. Namun, tiada lagi keceriaan yang biasa menghiasi suara itu.

"Balqis, Adan datang ni bukan saja-saja. Jom berbuka di rumah Adan. Umi pun dah masak lebih," ajak Haris, cuba menceriakan suasana.

Balqis hanya diam, merenung jemarinya sendiri. Sejak pemergian Firdaus dan Hasrina, seleranya pun hilang. Namun, dia tidak mahu terus hanyut dalam kesedihan.

Lebai Haji Bakhtiar menepuk bahu anaknya perlahan.

"Pergi ya, Qis. Tak baik menolak pelawaan orang yang mengajak berbuka."

Dengan anggukan perlahan, Balqis akur. Dia bangun, mencapai tudung yang tersangkut di belakang pintu.

Sewaktu dalam perjalanan ke rumah Haris, lelaki itu mula berbicara dengan nada lebih santai.

"Qis, Qis tahu tak? Di bazar, pelanggan semua dah tanya mana roti john Qis. Dah rindu nak rasa air tangan Qis. Diorang cakap, kalau tak ada roti john Balqis, macam tak lengkap juadah berbuka."

Balqis tersentak.

"Betul ke, Adan?"

"Betul, tak tipu. Adan sendiri pun rindu nak makan. Boleh tahan jugalah rasa dia." Haris sengaja berseloroh.

Balqis menghela nafas. Dia tahu, Haris sedang memujuknya.

"Qis ingat tak abang Firdaus, Qis tu? Dia seorang tentera. Tak pernah dia tunjuk dia lemah, walaupun dalam keadaan paling sukar. Takkan adik dia nak mengalah?"

Balqis tunduk. Kata-kata Haris menyentuh jiwanya.

Lelaki itu tersenyum sinis sebelum menambah, "Lagi satu, Qis bukan ke pernah cakap nak beli baju raya paling mahal dari hasil jualan roti john Qis? Tinggal dua minggu lagi, Qis. Takkan nak batalkan niat?"

Balqis tergelak kecil, walaupun masih bersisa sayu di wajahnya. Mungkin ini permulaan untuk dia kembali bangkit!

Sedih sikit bab ni ya gaiss..by the way, happy reading..jemput follow and comment...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience