BCR BAB 29 : USIKKAN HARIS PADA UMI

Romance Series 14436

SEDANG Puan Suraya sibuk di dapur menyediakan minuman petang, Haris tiba-tiba masuk dengan wajah penuh misteri. Dia menarik kerusi di meja makan dan duduk sambil bersilang kaki, seolah-olah ada sesuatu yang penting mahu dibincangkan.

"Umi, Adan nak tanya sikit ni," katanya sambil memegang cawan yang baru sahaja diisikan teh oleh ibunya.

Puan Suraya mengangkat kening.

"Adan nak tanya apa?"

Haris tersenyum nakal.

"Kalau ada orang nak buat majlis kahwin, umi rasa patut tak umi jadi pengapit?"

Puan Suraya mengerutkan dahi.

"Majlis kahwin siapa?"

Haris menyandarkan badan ke kerusi dengan gaya penuh dramatik.

"Adan dengan Balqis lah, umi! Kami rancang nak buat majlis persandingan!"

Puan Suraya hampir tersedak.

"Apa?! Bukan ke kamu dah kahwin?"

"Memang dah kahwin, umi… Tapi Balqis cakap dia teringin nak merasa naik pelamin, pakai baju pengantin lawa-lawa. Adan pun fikir, alang-alang buat majlis, kita buat sekali dengan umi dan abah Balqis."

Puan Suraya terus membeku.

"Adan… apa maksud kamu dengan ‘umi dan abah Balqis’?"

Haris tersengih.

"Maksud Adan, kita buat majlis menyatukan umi dan abah Balqis juga! Umi dah lama hidup sendiri, kan? Tak teringin ke ada teman?"

Puan Suraya terbatuk-batuk kecil, cuba mengawal ekspresi wajahnya.

"Adan, umi ni dah tua! Apa pula nak kahwin-kahwin lagi!"

Haris ketawa kecil.

"Umi ni bukan tua, umi masih bertenaga! Adan tengok Abah Balqis pun masih ada sinar di matanya bila pandang umi."

Puan Suraya menjeling tajam.

"Adan, jangan nak mengarut!"

Namun, rona merah yang mula menjalar di pipi ibunya membuatkan Haris yakin bahawa ideanya bukanlah sesuatu yang mustahil.

"Umi fikirkanlah, ya. Adan dengan Balqis serius ni. Lagipun, kalau umi bahagia, kami pun lebih gembira," ujar Haris sambil menghabiskan teh di cawannya dengan senyuman nakal.

Puan Suraya hanya mampu menggeleng kepala, namun hatinya tidak dapat menafikan—barangkali, cadangan anaknya itu ada benarnya.

***

Berita bahawa Lebai Haji Bakhtiar berniat untuk memperisterikan Puan Suraya awal bulan depan selepas sebulan berhari raya benar-benar mengejutkan seisi keluarga. Namun, kejutan itu bertukar menjadi kegembiraan yang tidak terkata buat Haris. Hajatnya untuk menyempurnakan impian isterinya, Balqis, yang mahu melihat umi bahagia akhirnya bakal terlaksana.

"Saya dah lama menyimpan rasa terhadap Puan Suraya. Jika diizinkan, saya mahu menghalalkan hubungan ini," ujar Lebai Haji Bakhtiar penuh tenang ketika berbicara dengan Haris dan ahli keluarga yang lain.

Puan Suraya, yang duduk di sisi dengan wajah tersipu malu, hanya mampu mengangguk kecil, tanda menerima pinangan itu dengan hati yang terbuka.

***

Hujung minggu itu, rumah Puan Suraya bertukar menjadi pusat perancangan besar-besaran. Keluarga dari pihak Sofea dan Balqis turut berkumpul untuk membantu. Namun, memandangkan Sofea dan Balqis sedang berbadan dua, mereka semua berpakat untuk mendapatkan khidmat katering sahaja.

"Kalau umi nak masak sendiri, memang tak sempatlah! Lagi-lagi dengan bakal pengantin yang dua orang ni, asyik mengidam macam-macam!" ujar Haiqal sambil menjeling ke arah Sofea yang sedang duduk di sofa, tersenyum sumbing.

Sofea menyilangkan tangan di dada.

"Bukan kami yang mengidam, anak dalam perut ni yang suruh!"

Haris tergelak.

"Habis tu, kenapa suami yang kena layan semua permintaan pelik tu?"

Balqis tersengih.

"Itulah pengorbanan seorang suami, abang!"

Puan Suraya hanya mampu menggeleng kepala melihat gelagat mereka. Sungguhpun begitu, dia bahagia melihat kemeriahan yang bakal berlangsung.

Dekorasi majlis bertemakan rona pastel dengan gabungan warna putih dan krim, melambangkan kesederhanaan tetapi tetap memancarkan keanggunan. Pasukan katering telah ditempah untuk menyediakan hidangan istimewa termasuk kambing golek, nasi minyak, ayam masak merah, serta pencuci mulut tradisional seperti seri muka dan kuih lompang.

Pada pagi akad nikah Puan Suraya bersama Lebai Haji Bakhtiar, suasana menjadi riuh dan meriah di rumah Puan Suraya yang penuh dengan ahli keluarga dan jiran tetangga. Lebai Haji Bakhtiar tiba dengan mengenakan jubah putih berserta serban, kelihatan segak meskipun sudah berusia.

Di ruang tamu, Puan Suraya duduk anggun dalam persalinan baju kurung moden berwarna biru lembut. Tangannya menggenggam erat jari Balqis yang setia menemani di sisi.

"Umi, umi dah sedia?" soal Haris lembut, tersenyum memberi sokongan.

Puan Suraya menarik nafas dalam-dalam.

"Insya-Allah... umi yakin ini keputusan yang terbaik."

Majlis akad nikah dimulakan dengan bacaan doa oleh imam masjid. Kemudian, Lebai Haji Bakhtiar dengan suara lantang dan penuh yakin melafazkan akad, hanya dengan sekali lafaz.

"Aku terima nikahnya Suraya binti Osman dengan mas kahwin sebanyak tiga ratus ringgit tunai."

Sebak menyelubungi ruang, terutama dalam kalangan anak-anak Puan Suraya. Air mata kegembiraan bertakung di tubir mata Balqis dan Sofea, melihat umi mereka akhirnya menemui kebahagiaan baru.

Sebaik sahaja sah bergelar suami isteri, Lebai Haji Bakhtiar menunduk dan mencium dahi isterinya, satu simbolik kasih sayang dan penghormatan. Puan Suraya, dengan air mata syukur, membalas dengan senyuman yang cukup manis.

***

Beberapa minggu kemudian, majlis persandingan tiga pasangan pengantin diadakan dengan penuh meriah di dewan komuniti berhampiran. Tidak hanya meraikan Puan Suraya dan Lebai Haji Bakhtiar, tetapi juga Haris dan Balqis serta Haiqal bersama Sofea yang sebelum ini hanya bernikah secara sederhana di hospital.

Ketiga-tiga pasangan tampil memukau dengan persalinan sedondon. Puan Suraya dan suaminya memilih busana berwarna emas champagne, manakala Haris, Balqis serta Haiqal dan Sofea tampil dalam warna dusty pink.

Para tetamu yang hadir kagum dengan keunikan majlis ini. Jarang sekali tiga pasangan diraikan dalam satu majlis yang sama.

"Saya rasa majlis ni paling unik pernah saya hadiri!" ujar salah seorang jiran kepada Puan Suraya.

Ketika sesi makan beradab, Haiqal sempat mencubit hidangan Sofea sambil tersengih nakal.

"Abang tolong rasa, takut isteri abang termakan benda yang tak elok."

Sofea menjeling.

"Padahal nak makan lebih!"

Haris dan Balqis pula saling menyuap mesra, membuatkan tetamu bersorak riuh. Lebai Haji Bakhtiar, meskipun berusia, turut tidak ketinggalan menyuapkan suapan kecil buat Puan Suraya, menyebabkan suasana menjadi gamat dengan usikan dan sorakan.

Majlis itu bukan sahaja menjadi satu kenangan indah buat ketiga-tiga pasangan, tetapi juga bukti bahawa cinta boleh hadir pada bila-bila masa, tanpa mengira usia.

Majlis persandingan tiga pasang pengantin berlangsung meriah, dipenuhi gelak tawa dan kehangatan kasih sayang. Tetamu yang hadir bukan sahaja terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat, malah beberapa rakan lama turut muncul untuk memeriahkan suasana.

Namun, kemeriahan itu sedikit terganggu apabila seorang lelaki segak dalam persalinan sut hitam melangkah masuk ke dewan dengan wajah serius. Dia tidak terus menuju ke meja tetamu tetapi sebaliknya berdiri sejenak di pintu masuk, matanya meneliti setiap wajah di dalam dewan.

Haiqal, yang sedang berbual dengan Haris dan Balqis di meja utama, terhenti sejenak apabila pandangannya menangkap susuk lelaki itu. Dahinya berkerut.

"Siapa pula tu?" bisiknya kepada Haris.

Haris menoleh ke arah yang sama. Dia terkaku seketika sebelum menghela nafas panjang.

"Itu… Zafran."

Haiqal mengangkat kening.

"Apa?... Zafran?!"

Balqis yang berada di sebelah Haris turut terkejut melihat kedatangan lelaki itu. Dia menelan liur sebelum menjawab dengan nada perlahan, "Apa dia nak?"

Mata Haiqal membulat.

"Hai..tak habis lagi?" Nada suara Haris sedikit meninggi, membuatkan beberapa orang di meja itu menoleh ke arahnya.

Balqis cepat-cepat menenangkan suaminya.

"Jangan buat kecoh, bang. Kita tengok dulu apa tujuan dia datang."

Namun, sebaik sahaja Zafran mula melangkah ke arah meja pengantin, Haiqal segera bangun, bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sofea, yang sedang berbual dengan Puan Suraya, tersentak apabila melihat kehadiran lelaki itu. Matanya membesar, jantungnya berdegup kencang. Dia tidak pernah menyangka akan bertemu Zafran lagi, apatah lagi dalam keadaan begini—di hari persandingannya sendiri!

Zafran menghampiri dengan langkah yakin, wajahnya tenang tetapi matanya sarat dengan emosi yang sukar dibaca. Dia berdiri di hadapan Sofea, kemudian tersenyum nipis.

"Selamat pengantin baru, Sofea."

Sofea menelan liur. Suaranya tersekat di kerongkong.

"Terima kasih…" jawabnya perlahan.

Haiqal yang berdiri di sebelah Sofea tidak senang duduk. Tangannya menggenggam erat sisi meja.

"Apa tujuan kau datang ke sini?" soalnya, nada suaranya tajam dan penuh waspada.

Zafran memandang Haiqal dengan tenang.

"Bertenang, aku bukan datang untuk buat kacau," katanya sebelum mengalihkan pandangan semula kepada Sofea. "Aku cuma nak ucap tahniah… dan maaf."

Sofea terkedu.

"Saya tahu saya pernah buat silap. Saya pernah kecewakan awak, dan saya tak akan minta awak lupakan semua tu. Tapi saya harap awak bahagia dengan pilihan awak sekarang," sambung Zafran lagi, matanya sedikit redup.

Suasana di meja itu menjadi sunyi. Tetamu di sekeliling yang perasan dengan situasi itu hanya berbisik-bisik sesama sendiri, cuba meneka hubungan lelaki misteri itu dengan pengantin perempuan.

Haiqal masih belum yakin. Matanya tidak lepas dari wajah Zafran, cuba membaca niat sebenar lelaki itu.

"Kalau kau dah habis bercakap, kau boleh pergi sekarang," kata Haiqal dengan nada mendatar tetapi jelas bernada tegas.

Zafran memandang Haiqal sekilas sebelum tersenyum kecil.

"Aku faham. Aku pun tak berniat nak lama di sini."

Dia kemudian menghulurkan tangan ke arah Haiqal.

"Jagalah Sofea baik-baik."

Haiqal merenung tangan itu seketika sebelum akhirnya menyambutnya dengan genggaman yang kuat.

"Itu memang niat aku sejak awal."

Zafran mengangguk sedikit sebelum menoleh semula ke arah Sofea, memberikan senyuman terakhir.

"Selamat tinggal, Sofea."

Tanpa menunggu lebih lama, dia berundur dan melangkah keluar dari dewan, meninggalkan kekeliruan di hati semua yang menyaksikan.

Sofea masih duduk terpaku. Dia tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berasa berat melihat lelaki itu pergi. Bukan kerana masih ada rasa, tetapi kerana dia tidak pernah menjangka Zafran akan kembali hanya untuk mengucapkan kata-kata maaf.

Namun, tangan Haiqal yang menggenggam erat jemarinya membuatkan Sofea segera kembali ke realiti. Dia menoleh ke arah suaminya yang masih memandang ke arah pintu keluar.

"Abang?" panggilnya perlahan.

Haiqal menoleh, kemudian tersenyum tipis.

"Tak apa, Sofea. Abang tahu honey dah lupakan dia. Dan abang tak akan benarkan sesiapa pun ganggu rumah tangga kita."

Sofea membalas senyumannya, hatinya terasa hangat dengan rasa syukur.

Hari ini, dia benar-benar pasti. Haiqal adalah satu-satunya lelaki yang dia mahu dalam hidupnya.

Setelah Zafran berlalu pergi, suasana di meja utama kembali seperti biasa, namun hati Sofea masih berdebar. Dia cuba mengalihkan perhatiannya dengan berbual bersama Balqis, tetapi mindanya sesekali melayang kepada pertemuan yang tidak disangka tadi.

Haiqal di sebelahnya tidak berkata apa-apa, tetapi genggaman tangannya masih erat di jemari Sofea. Dia cuba menenangkan perasaannya sendiri, tidak mahu terbawa emosi dengan kehadiran Zafran. Namun, dia tidak dapat menafikan, hatinya sedikit terguris melihat bagaimana Sofea terpaku sebaik sahaja bekas tunangnya muncul.

“Umi dah makan? Nak Qal ambilkan makanan?” suara Haiqal akhirnya memecah kesunyian antara mereka. Dia menoleh ke arah Puan Suraya yang sedang berbual dengan Lebai Haji Bakhtiar.

Puan Suraya tersenyum.

“Tak payah susah-susah, Haiqal. Umi dah makan tadi.”

Balqis pula yang dari tadi memerhati gelagat adik iparnya mula tersenyum nakal.

“Haiqal, kau ni kenapa? Takkan cemburu dengan Zafran kot?”

Sofea segera menoleh ke arah Balqis.

“Kak Balqis!”

Balqis tergelak kecil.

“Eh, yalah… Dari tadi kau senyap je, Haiqal. Mesti kau tengah fikir, kan?”

Haiqal mencebik.

“Tak ada masa aku nak fikir pasal dia.”

Namun, Haris pula menyampuk dengan nada bersahaja.

“Eleh, kau tu jangan berlagak sangat, Haiqal. Masa aku nak kahwin dengan Balqis dulu, aku pun pernah jumpa bekas boyfriend dia.”

Balqis segera menjeling suaminya.

“Abang!”

Haris tergelak kecil sebelum menyambung,

“Masa tu, Balqis pun terkedu juga. Tapi aku tenang je, sebab aku tahu Balqis dah jadi isteri aku. Kau pun patut yakin, Haiqal.”

Puan Suraya yang dari tadi hanya mendengar, akhirnya bersuara.

“Haiqal, Sofea dah pilih kau. Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Tak perlu nak risau pasal masa lalu dia.”

Haiqal menarik nafas panjang sebelum mengangguk perlahan. Dia tahu umi dan abang kembarnya betul. Sofea sudah menjadi isterinya, dan Zafran hanya tinggal sebagai satu sejarah.

Sofea yang sedari tadi berdiam diri akhirnya mengeratkan genggaman tangannya pada suaminya. Dia menoleh ke arah Haiqal, kemudian berkata dengan lembut, “Abang, honey dah lama tinggalkan semua tu. Abang satu-satunya lelaki dalam hidup honey sekarang.”

Kata-kata itu berjaya meredakan hati Haiqal. Dia tersenyum kecil dan mengangguk, membalas genggaman tangan isterinya.

Namun, sebelum perbualan mereka menjadi lebih serius, Balqis tiba-tiba bersuara, “Okey, sekarang cukup tentang Zafran. Kita ada benda penting nak bincang.”

Semua mata tertumpu kepada Balqis. Balqis tersenyum lebar sebelum bersuara,

“Lepas ni, kita nak pergi honeymoon kat mana?”

Tiba-tiba suasana menjadi gamat dengan gelak tawa. Haris tergelak sebelum memeluk bahu isterinya, sementara Sofea dan Haiqal berpandangan sesama sendiri.

“Honeymoon?” Haiqal mengerutkan dahi. “Err… kita baru pindah rumah, kan?”

Sofea pula terdiam sejenak. Dalam hatinya, dia sebenarnya tidak kisah ke mana destinasi bulan madu mereka. Baginya, asalkan dia bersama suaminya!

Alhamdulillah...akhirnya umi dan abah bersatu juga..Amboi Balqis, dh berisi pun nk honeymoon lg.. hihihi..Happy reading gaiss..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience