Aku menarik kolar baju Hadi dengan penuh rasa benci. Aku merenung tajam matanya, tetapi dia hanya membalas renunganku dengan senyuman santai.
Sakit.
Hati aku sakit.
“Jawab soalan aku, Hadi Aaryan.”
“Huh? Soalan apa? Tolong jadi lebih spesifik, Miss Ayla Aqeela.”
Aku mengetap bibir.
Semua ni tak kelakar. Langsung tak. Aku tahu, Hadi yang buat semua ni. Aku tahu yang dia dah lama benci dekat aku. Perasaan benci dia dah lama dipendam, dan sekarang dia mula tunjukkan tahap kebencian dia.
Aku mencengkam kolar bajunya. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja aku mencekik terus lehernya.
Aku tak percaya yang aku pernah sukakan lelaki macam ni. Lelaki yang sabotaj aku, lelaki yang hancurkan impian aku.
“Aku cakap jawab soalan aku, Hadi!”
“Yeah, whatever. Apa soalan kau, Miss Ayla?”
Aku benci dengan kenyataan yang dia masih bermain-main dalam situasi begini. Aku benci. Aku benci Hadi. Aku benci!
“Kau... yang bakar dan koyakkan semua baju tu, kan?”
“Kalau ya, kenapa? Aku boleh je buat sebanyak tu untuk balas dendam dekat kau, kan?”
Hadi tersenyum sinis. Seluruh tubuh aku menggigil. Semua jenis perasaan aku rasakan kini. Rasa amarah, sedih dan kecewa... semuanya bercampur aduk dan bergelodak dalam jiwa.
Aku mahu menangis.
Perit sangat.
“Kau... hancurkan impian aku, Hadi. Kau hancurkan segala-galanya.”
Hadi merenung aku lama. Tanpa sebarang kata, dia menolak tubuh aku menjauh darinya dengan kasar. Kaki aku terasa lemah, dan aku terus jatuh terduduk.
“Impian kau tak penting bagi aku. Yang penting, dendam aku dah selesai. Kau hilang harapan dan semua cita-cita kau. Itu yang aku nak.”
“Kau kejam!”
Hadi ketawa kecil. Dia duduk melutut dengan sebelah kakinya, dan mengukir senyuman kepadaku. Jikalau aku tidak berasa marah macam sekarang, mesti aku akan fikir itu senyuman yang manis dan mesra.
Tapi sekarang, senyuman tu cuma menambahkan luka pada hati aku. Aku mengetap bibir.
“Oh, right. Hidup lah jugak kau dengan hinaan. Siapa suruh kau memalukan diri kau sendiri, Ayla?”
Dia kemudiannya berdiri. Dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sekeping kertas kecil. Kertas itu dicampak tepat ke wajah aku.
Aku hanya mampu mendiamkan diri. Seluruh tenaga dan semangat aku hilang. Lenyap sepenuhnya.
Hidup aku terasa kosong.
“Kau kena tahu, Ayla. Untuk survive dalam society ni... kau kena pandai jaga maruah kau sendiri.”
Usai mengucapkan kata-kata itu, Hadi berlalu pergi. Sempat dia sengaja melagakan lututnya dengan bahu aku, membuatkan bahu aku berasa sakit.
Sengal terasa.
Aku menunduk memandang kertas yang dicampak oleh Hadi sebentar tadi. Dengan tangan yang terketar-ketar tanpa mampu dihentikan, aku mengambil kertas tersebut.
Perlahan-lahan, aku membuka lipatannya.
[The world's much better if you die, Ayla. Acknowledge that fact, dear.]
Aku mengemam bibir, dan memejamkan mata.
Sakit sangat terasa.
Musnah. Semuanya sudah musnah.
Share this novel