SOFEA semakin resah. Hari-harinya tidak setenang dulu. Sejak Zafran mula mengganggunya semula, hatinya diselubungi ketakutan yang tidak berpenghujung. Setiap mesej dan panggilan daripada Zafran membuatkan jantungnya berdegup kencang. Lelaki itu seakan-akan tidak mahu mengalah.
Sofea sudah menyuarakan keresahannya kepada Haiqal, tetapi dia tidak mahu lelaki itu bertindak terburu-buru. Sofea juga berkongsi masalahnya dengan Haris, kerana Haris mempunyai hubungan kerja dengan Zafran. Dia berharap bakal abang iparnya itu boleh membantu mencari jalan penyelesaian.
Setelah mendengar segalanya, Haris mengambil keputusan untuk berjumpa sendiri dengan Zafran. Lelaki itu bukan sekadar rakan kongsi, tetapi juga sahabatnya dalam dunia perniagaan. Namun, apa yang dilakukan Zafran kali ini benar-benar membuatkan Haris kecewa.
Mereka bertemu di sebuah kafe agak terpencil di Kuala Lumpur. Haris sengaja memilih tempat yang lebih privasi untuk perbualan bakal berlangsung.
Zafran tiba dengan wajah kelihatan sedikit kusut. Haris tidak membuang masa. Dia terus menyoal dengan tenang tetapi tegas.
“Zafran, aku nak kau jujur dengan aku. Apa sebenarnya kau nak daripada Sofea? Kau dah ada isteri, kau ada hidup sendiri. Kenapa kau masih kacau dia?”
Zafran menarik nafas panjang sebelum menjawab.
“Aku tak boleh lupakan dia, Haris. Aku menyesal tinggalkan dia dulu. Aku cuba hidup dengan pilihan keluarga aku, tapi hati aku tetap pada Sofea. Aku fikir aku boleh lupakan dia, tapi aku salah.”
Haris mengetap bibir. Dia cuba mengawal kemarahannya.
“Tapi itu pilihan kau, Zafran. Kau sendiri yang tinggalkan dia. Sekarang, dia dah ada hidup dia sendiri, dan dia dengan adik aku. Kau tahu tak betapa susah dia nak bangkit semula?”
Zafran tunduk. Ada riak kesal di wajahnya.
“Aku tahu, Haris. Tapi... aku sanggup buat apa saja untuk dapatkan dia semula.”
Haris mengerutkan dahi.
“Maksud kau?”
Zafran memandang Haris tepat ke mata.
“Kalau aku tak boleh dapatkan dia dengan cara baik... aku akan gunakan cara lain.”
Darah Haris serta-merta mendidih.
“Kau ugut dia?”
Zafran hanya tersenyum sinis.
“Aku hanya mahu dia tahu betapa aku masih mahukan dia. Kalau dia tak boleh jadi milik aku, dia tak boleh jadi milik sesiapa pun.”
Haris tersentak. Pengakuan itu membuatkan seluruh tubuhnya panas dengan kemarahan. Zafran bukan sekadar seorang lelaki yang merayu cintanya kembali. Dia sudah menjadi ancaman!
"Zafran, kau dengar sini baik-baik." Nada Haris masih terkawal, tetapi dia tidak dapat menyembunyikan ketegangan dalam suaranya.
"Lepaskan Sofea. Kau dah ada kehidupan kau sendiri. Jangan musnahkan hidup dia lagi."
Zafran tersenyum sinis.
"Aku boleh lepaskan Sofea, Haris... tapi kau sendiri tahu harga yang perlu kau bayar."
Haris mengerutkan dahi.
"Apa maksud kau?"
"Dapur Warisan."
Seluruh tubuh Haris terasa kaku. Dapur Warisan adalah restoran yang dia dan Zafran bangunkan bersama bertahun-tahun.
"Kau ugut aku, Zafran?"
"Bukan ugutan, Haris. Ini realiti. Kalau kau cuba pisahkan aku dengan Sofea, aku jamin restoran yang kau banggakan tu akan musnah dalam sekelip mata. Kau tahu aku mampu buat."
Haris menggenggam erat meja, menahan amarah yang kian membuak.
"Kau gila, Zafran."
"Gila atau obses? Aku tak kisah apa kau nak panggil aku, Haris. Tapi aku tahu satu benda—aku takkan biarkan Sofea bersama orang lain, terutama Haiqal!"
***
Dalam perjalanan pulang ke rumah Puan Suraya, Haris termenung panjang. Dia berasa tersepit antara dua perkara yang sangat penting dalam hidupnya—perniagaan yang telah bertahun-tahun diusahakannya, dan kebahagiaan Haiqal, adik kembar yang amat disayanginya.
Setibanya di rumah, Haris terus mengajak Puan Suraya berbincang.
"Umi, Zafran dah hilang akal."
Puan Suraya yang sedang mengupas bawang terus menoleh.
"Apa lagi dia buat? Adan jangan cakap dia ugut nak culik Sofea pulak?"
Haris menghela nafas panjang.
"Lebih teruk dari itu, umi. Dia ugut kalau Adan tak biarkan Sofea dengan dia, dia akan hancurkan Dapur Warisan."
Puan Suraya terdiam seketika sebelum meletakkan pisau dan bawang ke tepi.
"Astaghfirullah. Sampai macam tu sekali dia punya gila?"
Haris mengangguk.
"Tapi, Haris... umi tak nafikan, yang gila ni bukan Zafran seorang."
Haris mengerutkan dahi.
"Maksud umi?"
Puan Suraya menjungkit kening.
"Haiqal pun boleh tahan gila jugak. Adan tak tengok ke cara dia kejar Sofea? Adan ingat umi tak nampak dia merayap dekat rumah Sofea macam 'mat stalker' tu?"
Haris tersenyum kecil walaupun hatinya masih bergolak.
"Umi, ni bukan masa nak bahan Haiqal."
Puan Suraya mengeluh.
"Dah kalau dua-dua lelaki ni dah gila nakkan Sofea, baik kita tanya Sofea sendiri. Dia nak siapa?"
Dan itulah yang mereka lakukan.
***
Sofea yang dipanggil ke ruang tamu kelihatan agak gelisah. Matanya berlari-lari antara Haris dan Puan Suraya.
"Sofea, umi nak tanya satu soalan. Ini penting. Kamu pilih Zafran atau Haiqal?"
Sofea menggigit bibir, jelas malu-malu.
"Saya... saya pilih Haiqal."
Puan Suraya mengangguk penuh makna.
"Bagus. Jadi, Haris..."
Haris meneguk air liurnya perlahan, sudah dapat mengagak apa yang akan dikatakan ibunya.
"...kau serahkan sajalah Dapur Warisan pada Zafran."
Haris hampir tersedak.
"Apa? Umi, restoran tu hasil titik peluh Adan, umi!"
Puan Suraya mengangkat bahu.
"Adan nak adik Adan bahagia atau Adan nak simpan restoran tu sampai reput? Haiqal tu anak umi jugak, Adan. Adan sanggup tengok dia meroyan sebab Sofea?"
Haris memegang kepalanya yang tiba-tiba terasa berat. Dia tersepit. Sangat tersepit.
"Umi, umi tahu tak berapa banyak duit Adan dah labur dalam restoran tu? Kalau Adan bagi pada Zafran, habislah modal Adan, semua usaha Adan selama ni sia-sia!"
Puan Suraya bercekak pinggang.
"Tapi kalau Adan tak bagi, nanti Zafran musnahkan restoran tu juga, kan? Jadi, lebih baik Adan bagi baik-baik."
Haris mengeluh panjang.
"Umi, ini betul-betul tak adil."
Puan Suraya tersenyum kecil.
"Hidup ni memang tak adil, Adan. Adan fikir senang nak jadi abang sulung? Dah, pergi fikir baik-baik. Kalau nak meroyan, pergi balik dulu."
Haris memandang ibunya dengan muka pasrah.
"Umi, kadang-kadang Adan rasa Adan ni anak angkat umi."
Puan Suraya menepuk bahunya sambil tergelak kecil.
"Kalau Adan anak angkat, dah lama umi jual dekat pasar malam."
Dan dengan itu, Haris tahu dia tidak punya pilihan lain.
***
Haris meletakkan dokumen di atas meja dengan wajah tanpa riak. Pen di tangannya terasa lebih berat daripada biasa, seolah-olah simbol kepada keputusan yang bakal mengubah hidupnya.
"Ini dia, Zafran. Semua hitam putih dah tersedia. Aku serahkan seluruh urusan Dapur Warisan kepada kau, dengan syarat kau tinggalkan Sofea buat selama-lamanya."
Zafran bersandar di kerusi dengan senyuman sinis.
"Haris, kau betul-betul sanggup buat semua ni? Demi seorang perempuan yang... entahlah, bagi aku dah tiada harga?"
Haris mengetap gigi tetapi masih cuba mengawal dirinya.
"Jangan hina Sofea, Zafran. Dia lebih bernilai daripada apa yang kau boleh faham. Kalau dia tak berharga bagi kau, dia sangat berharga bagi Haiqal dan keluarga kami."
Zafran tertawa kecil, tetapi matanya tajam menikam ke arah Haris.
"Aku tak sangka kau sebodoh ini, Haris. Kau rela serahkan restoran yang kau bina dengan titik peluh sendiri? Semua ni hanya sebab nak jaga hati seorang perempuan?"
Haris menghembus nafas perlahan.
"Restoran boleh aku bina semula. Tapi maruah dan kebahagiaan keluarga aku tak boleh dibeli. Dan aku tak mahu adik aku hidup dalam bayang-bayang kau yang tak tahu menghargai Sofea dulu."
Zafran merenung kertas di hadapannya. Dia tahu Haris bukan lelaki yang mudah dipermainkan. Jika dia menandatangani perjanjian ini, dia terikat secara sah untuk menjauhi Sofea—jika tidak, dia boleh diheret ke mahkamah dan didenda.
Akhirnya, dengan berat hati, Zafran mengambil pen dan menandatangani perjanjian itu.
"Baiklah, Haris. Aku setuju. Tapi ingat, kau akan menyesal."
Haris hanya tersenyum hambar.
"Aku tak akan menyesal melindungi orang yang aku sayang."
***
Di Rumah Puan Suraya....,
Sofea termenung di ruang tamu, fikirannya bercelaru. Dia baru sahaja mendapat tahu tentang pengorbanan besar Haris.
"Semuanya sebab aku..." Sofea berbisik pada diri sendiri.
Dia teringat bagaimana Haris terpaksa menyerahkan restoran kesayangannya, bagaimana Haiqal juga terpaksa mengorbankan sebahagian wang hasil pekerjaannya untuk menampung kos rawatan ibunya.
"Saya ni... pembawa malang dalam keluarga ni..."
Air matanya bergenang. Dia benar-benar malu. Terlalu banyak kebaikan yang dia terima daripada keluarga Puan Suraya, sedangkan dirinya hanya membawa beban.
Balqis yang kebetulan lalu di situ berhenti apabila melihat wajah Sofea yang sugul.
"Sofea, awak kenapa ni? Macam nampak hantu je."
Sofea tersentak sedikit. Dia menggeleng cepat, cuba menyembunyikan perasaannya.
"Tak ada apa, kak."
Balqis bercekak pinggang.
"Jangan nak tipu. Muka awak tu dah macam roti canai tak berperisa. Ada apa-apa yang awak fikirkan?"
Sofea menggigit bibir, sebelum akhirnya mengaku.
"Saya rasa... saya menyusahkan keluarga ni, kak. Disebabkan saya, abang Haris kehilangan restoran dia. Disebabkan saya juga, Haiqal terpaksa keluar duit untuk rawatan ibu saya. Saya rasa tak layak berada dalam keluarga ni."
Balqis tergelak kecil.
"Sofea, awak ingat keluarga kami ni macam apa? Syarikat korporat yang kira untung rugi? Kami buat semua ni sebab kami sayangkan awak, bukan sebab awak menyusahkan."
Sofea menunduk.
"Tapi saya tetap rasa bersalah..."
Balqis menepuk bahu Sofea lembut.
"Jangan fikir sangat. Kalau awak nak tebus semuanya, awak bahagiakan Haiqal. Itu dah cukup."
Sofea tersentak. Balqis tersenyum penuh makna sebelum berlalu pergi, meninggalkan Sofea yang masih terdiam, cuba mencerna kata-kata itu.
Mampukah dia benar-benar membahagiakan Haiqal? Atau perasaan malunya akan terus menghantui hubungan mereka?
Sofea Ardyla masih duduk kaku di ruang tamu setelah Balqis berlalu pergi. Fikirannya bersimpang-siur, bergelut dengan pelbagai rasa yang bercampur aduk. Antara syukur, sedih, dan ketidakpastian, hatinya seolah-olah dihempap beban yang terlalu berat.
Dia menekup wajah dengan kedua-dua tangan. Sejak dia melangkah masuk ke dalam hidup keluarga Puan Suraya, dia telah menerima lebih banyak kasih sayang dan pengorbanan daripada yang pernah dia bayangkan. Namun, dalam masa yang sama, dia juga telah membawa terlalu banyak masalah kepada mereka.
Haris kehilangan restorannya kerana mahu melindunginya. Haiqal sanggup mengeluarkan wangnya untuk merawat ibunya. Sedangkan dia? Apa yang dia mampu berikan sebagai balasan?
“Aku ni cuma pembawa beban…” bisik Sofea dalam hati.
Rasa bersalah semakin menyesakkan dada. Dia mula mempersoalkan keputusannya menerima Haiqal. Adakah dia benar-benar layak untuk lelaki sebaik Haiqal? Lelaki itu terlalu sempurna, terlalu ikhlas dalam mencintainya. Sedangkan dia sendiri masih terkepung dengan kisah silam yang menghantuinya.
***
Sofea bangun dan berjalan perlahan ke arah tingkap. Angin malam yang bertiup lembut menerpa wajahnya, tetapi tidak sedikit pun menenangkan kekusutan dalam jiwanya. Dia menggigit bibir, cuba menahan air mata yang mula bergenang di tubir mata.
“Kalau aku pergi dari hidup mereka… mungkin itu jalan terbaik.”
Tapi… sanggupkah dia melepaskan Haiqal?
Sofea mengeluh. Fikirannya kembali ke saat kali pertama dia bertemu dengan Haiqal. Lelaki yang tidak pernah jemu mengejarnya, tidak pernah lelah menunjukkan kasih sayang kepadanya. Lelaki itu tidak pernah melihat masa silamnya sebagai satu beban. Bagi Haiqal, dia adalah Sofea Ardyla yang berhak untuk bahagia.
Namun, Zafran pula? Lelaki itu masih tidak putus-putus menghantuinya. Ancaman dan ugutan Zafran benar-benar membuatkan dia takut. Lelaki itu seperti mahu memastikan bahawa dia tidak akan bahagia dengan lelaki lain.
Sofea menggenggam tangannya erat. Dia tidak boleh terus membiarkan dirinya dikawal oleh bayang-bayang masa lalu. Dia tidak boleh terus takut.
Tiba-tiba, bunyi deringan telefon mengejutkan Sofea daripada lamunannya. Tangannya pantas mencapai telefon yang terletak di meja. Nama yang tertera di skrin membuatkan jantungnya berdegup laju.
Haiqal.
Sofea menarik nafas panjang sebelum menjawab.
“Haiqal…”
“Sofea, awak okey?” suara Haiqal kedengaran risau di hujung talian.
Sofea cuba mengawal nada suaranya supaya kedengaran tenang.
“Saya okey…”
“Awak pasti? Saya rasa macam ada sesuatu yang awak sembunyikan daripada saya.”
Sofea menggigit bibir. Betapa mudahnya Haiqal membaca dirinya.
“Haiqal… saya rasa saya tak layak untuk awak.”
Terdiam.
“Kenapa awak cakap macam tu?” suara Haiqal berubah serius.
Sofea memejam mata.
“Sebab saya dah menyusahkan semua orang. Disebabkan saya, abang Haris kehilangan restoran dia. Disebabkan saya, awak terpaksa berkorban duit untuk rawatan ibu saya. Saya rasa saya ni cuma…”
“Cukup, Sofea,” potong Haiqal dengan tegas. “Awak bukan beban. Jangan cakap macam tu lagi.”
Sofea mengetap bibir, cuba menahan air matanya daripada mengalir.
“Saya ikhlas, Sofea. Saya buat semua ni sebab saya sayangkan awak. Saya tak kisah kehilangan apa pun asalkan saya masih ada awak.”
Air mata Sofea akhirnya jatuh juga. Dia menggenggam telefon di tangannya erat.
“Tapi saya takut, Haiqal…” suaranya bergetar. “Saya takut kalau saya tak mampu bahagiakan awak.”
Haiqal menghela nafas panjang.
“Kalau awak takut, biar saya jadi kekuatan awak. Saya tak minta lebih, Sofea. Saya cuma nak awak percaya pada saya.”
Sofea terdiam. Kata-kata Haiqal meresap ke dalam hatinya, membuatkan dia semakin sedar betapa ikhlasnya lelaki itu.
Aduhai, besar betul pengorbanan Haris pada bakal adik iparnya, utk kebahagian Haiqal. Sofea kau x nmpak lagi ke??? Happy reading gaisss. Jemput follow and comment...
Share this novel