~ 41 ~
Malam itu, Luqman tidak ke kedai. Sehingga waktu maghrib Mylia masih lagi belum pulang. Dia telah menelefon Mylia tetapi panggilannya dijawab oleh ibu mentuanya. Mylia sedang mandi katanya.
Puas sudah Luqman fikirkan. Dia langsung tidak jumpa punca-punca yang boleh menyebabkan isterinya tiba-tiba berubah menjadi sebegitu dingin. Yang membezakan hari mereka hanyalah satu. Hanya yang itu satu. Sudah berkali-kali dia meneliti kembali setiap perilakunya terhadap Mylia, cuba mencari di bahagian mana yang mungkin dia tersalah langkah. Seingatnya, sepanjang mereka bersama, tiada ada sekali pun kata-kata atau riak muka negatif dari isterinya. Sebagaimana dia menikmati malam hangat mereka, dia yakin Mylia juga merasai perasaan yang sama hingga ke pengakhiran. Semakin dia memikirkan peristiwa itu, semakin rindu dia pada wajah mesra Mylia.
Setelah jam 10 malam pun bayang Mylia masih lagi belum kelihatan. Luqman sendiri yang tidurkan anak-anaknya malam itu. Dia cuba mengalihkan fikirannya dan cuba berlagak tenang. Apabila anak-anaknya sudah pun nyenyak dibuai mimpi, sekali lagi Luqman mencapai telefonnya dan cuba menghubungi Mylia tetapi niat terhenti di situ. Bunyi deruman enjin kereta Mylia hinggap di telinganya. Dengan pantas dia berlari turun mendapatkan Mylia.
“Belum tidur?” soal Mylia kepada Luqman dengan sungguh bersahaja. Memandang ke arahnya pun tidak. Apabila dia berdiri di hadapan Luqman, dia menghulurkan tangannya untuk disalam. Melihat sikap Mylia sebegitu, hati Luqman mula mendidih.
‘Macam tu saja kau buat kat aku? Kau tau tak betapa aku risau? Kau tau tak betapa aku beria tunggu kau? Itu je kau nak cakap?’ Luqman menyambut tangan Mylia. Perlahan Mylia mencium tangannya dan terus berlalu menaiki anak tangga. Perlahan-lahan Luqman menuruti Mylia dari belakang.
“Mylia…” pangil Luqman dengan perlahan. Dia sebenarnya sudah mula panas hati dengan sikap Mylia. Setelah dia akhirnya berjaya membuka hati menerima kehadiran cinta baru dengan penuh ikhlas, ini balasan yang dia terima daripada Mylia.
“Ya.” ringkas sungguh jawapan Mylia tanpa langsung memandang kepada Luqman. Mylia tidak sanggup lagi memandang wajah suaminya. Dia sudah letih untuk menangis. Cukup-cukup lah dia berkorban.
Dia hanya ingin bertahan untuk tempoh sebulan lebih ini dan kemudian nanti, perjanjian mereka akan tamat tempoh. Buat apa nak paksa orang yang tak suka? Tak ke mana hidup macam tu. Sampai mati dia akan menjeruk perasaan. Di mana-mana saja ada Aisyah walaupun dalam mimpi. Sudah terang lagi bersuluh dia langsung tiada tempat di hati dan di mata Luqman.
Luqman sudah mula hilang sabar dan terus berdiri di hadapan Mylia. Mylia baru selesai melucutkan tudungnya. Dia sempat mencapai sehelai baju kaftan dan ingin melangkah ke bilik air sebelum langkahnya disekat. Dek kerana Luqman berdiri benar-benar rapat di hadapannya, Mylia hanya menundukkan kepala. Dia tidak mahu memandang mata Luqman. Dia tidak mahu Luqman nampak empangan air mata yang sudah hampir-hampir pecah.
Luqman memegang kedua-dua belah bahu Mylia. Melihat Mylia yang kaku menunduk dihadapannya, dia cuba untuk kekal rasional.
“Mylia marahkan abang. Itu abang sedar. Abang benar-benar sedar dan rasa kemarahan Mylia pada abang. Yang abang tak tahu, kenapa Mylia marahkan abang?” soal Luqman dengan nada yang masih lagi lembut. Mylia hanya membatu.
“Mylia… jangan buat abang macam ni. Tolong bagitau abang.” Pujuk Luqman lagi.
“Asyik saya saja yang kena faham orang. Bila pula orang nak faham saya? Asyik saya saja kena fikir perasaan orang, perasaan saya siapa nak fikir? Saya ni pun manusia. Ada hati. Ada perasaan. Ada maruah.” Balas Mylia dengan begitu kasar menentang. Walaupun perlahan, tetapi Luqman rasakan begitu kasar.
“Maruah? Awak marah dengan apa yang berlaku semalam? Bukankah itu yang kita sedang usahakan selama ni? Bukankah itu yang awak minta?” Sekarang Luqman turut sama bersuara senada dengan Mylia. Mendengar ayat yang seperti mencabar, Mylia mengangkat pandangan mata tepat ke mata Luqman. Merah menyala matanya dan basah jeruk pipinya.
“Ya, betul. Memang itu yang saya cuba usahakan dan memang itu yang saya minta dari awak. Tapi saya tak sangka sehina itu awak meletak nilai diri saya, Luqman. Jangan anggap saya ni alatan atau barangan. Saya pun manusia. Sabar saya ada batasnya.” Jawab Mylia. Dia ingin terus berlalu dari situ tapi masih ditahan Luqman.
“Apa yang hinanya, Mylia? Kalau saya anggap awak hina, saya tak akan sentuh awak sekali pun. Sekarang ni, lebih dari itu saya buat. Saya dah…”
“Awak dah hina saya, Luqman. Awak saja yang tak sedar.” Esakkan Mylia semakin kuat dan dia sudah tidak mampu berhadapan dengan Luqman lagi. Sekuat hatinya dia menepis tangan Luqman di bahu dan berlari terus menuju ke tandas. Setelah pintu dikunci, dia menangis tersandar di pintu itu.
Mylia sudah penat berkompromi. Masih tak cukup rupanya apa yang dia tunjukkan selama ini. Sebesar-besar alam wajah Aisyah terpampang di bilik anak-anak. Dia tak kisah. Dia raikan. Malah dia ajak anak-anak berbicara dengan umi mereka sekali-sekala. Wajah Aisyah sebagai penghias skrin telefon, skrin komputer dan segenap dinding di kedai… dia masih mengalah. Dia cuba untuk memahami. Dia cuba meletakkan dirinya di dalam kasut Luqman.
Lain di mata, lain di hati. Tangan Mylia dipegang erat, tetapi mata masih utuh menatap wajah milik Aisyah yang memenuhi ruang meja. Malah igauan-igauan Luqman hampir setiap malam menyeru nama Aisyah… ya… sebelum-sebelum ini dia masih cuba membiasakan hati dan perasaan. Tapi, setelah dia menyerahkan seluruh jiwa dan raganya… seluruh hati dan perasaannya… seluruh sedar dan lenanya pada Luqman, nama itu masih lagi menjadi igauan. Disaat badannya dirangkul erat, nama lain pula yang tersemat.
Dia sedih. Dia pilu. Dia cemburu. Salahkah dia untuk meminta sedikit simpati dari suami sendiri? Luqman bukan sekadar siapa-siapa. Luqman adalah suaminya. Andai dia tidak mampu untuk disayangi atau pun dicintai, sekurang-kurangnya tidak boleh dia sedikit dihormati? Apa tiada langsungkah haknya? Dia juga seorang isteri.
“Saya dah sayang kat awak Mylia. Awak dah buat saya cintakan awak. Kenapa sekarang jadi macam ni?” Luqman meluahkan perasaannya sendirian. Suaranya sudah tidak sampai ke telinga Mylia. Dia terduduk sayu di hujung katil. Luqman terpaku di situ. Tidak tahu apa lagi yang mampu dia buat.
Luqman menoleh kiri dan kanan. Matanya terlihat sebotol air di atas meja. Mungkin air mampu meredakan sedikit perasaan kacau bilaunya. Luqman mencapai botol air itu dan melabuhkan punggungnya ke atas sofa di tepi jendela kamar mereka.
Setelah sekian lama, Mylia masih lagi berdiam diri di dalam bilik air. Luqman risau kalau-kalau terjadi apa-apa pada Mylia. Hampir setengah jam Luqman menunggu Mylia tetapi hampa. Akhirnya Luqman bangun merapati pintu yang memisahkan mereka.
“Mylia, sejujur-jujurnya abang tak faham kenapa Mylia marah sangat-sangat dekat abang kali ini. Hanya satu yang abang dapat fikir sekarang puncanya mesti hal semalam. Abang minta maaf kalau Mylia rasa terpaksa. Abang minta maaf kalau Mylia rasa diperguna. Abang langsung taka da niat macam tu. Boleh tak keluar sekejap?” minta Luqman dengan lembut. Dia sudah letih berbalah.
“Mylia…” Luqman mengetuk pintu beberapa kali. “Mylia okay tak? Kalau Mylia tak reply, abang pecahkan pintu ni.” Dia sudah mula panik kerana Mylia langsung tidak memberi respon.
“Mylia, okay…” pantas Mylia menjawab. “Tapi Mylia tak nak keluar.” Tambahnya lagi. Luqman mengangguk-angguk faham.
“Okay, abang faham.” Luqman terdiam seketika. “Abang takkan ganggu Mylia. Ambil lah masa selama mana pun untuk Mylia bertenang. Abang minta maaf.” Ucap Luqman sebelum mula melangkah pergi.
Luqman membuat keputusan untuk kembali tidur di bilik adiknya di tingkat dua. Dia benar-benar ingin memberi ruang kepada Mylia. Dia tidak mahu memaksa. Dengan berat hati, Luqman melangkah pergi.
Setelah beberapa ketika, Mylia keluar dari persembunyiannya. Setelah menyedari Luqman tidak lagi berada di dalam bilik itu, dia tidak tahu apa yang perlu dia rasakan lagi. Terlalu bercampur-baur sehingga akhirnya dia berasa jiwanya kosong.
Keesokkan paginya, Mylia terjaga sedikit lewat dari kebiasaan. Cepat-cepat dia bangun untuk mengerjakan solat Subuh dan bergegas turun. Sebaik sahaja dia sampai ke tingkat dua, terlihat Luqman telah pun mula menguruskan anak-anak. Jasmin yang terpandang kelibat Mylia terus datang menerpa.
“Ibu…” rengeknya sambil memeluk kaki Mylia. “Semalam ibu pergi mana?” soal Jasmin dengan suara yang masih lagi serak.
“Ibu pergi rumah Wan.” Balas Mylia.
“Ermm… kenapa tak bawa Jasmin? Jasmin nak ikut juga.” Soal Jasmin lagi. Luqman hanya memerhatikan saja mereka berdua dari dalam bilik.
“Okay, lain kali ibu bawa Jasmin sekali yer?” kata Mylia memujuk.
“Ibu janji?” kata Jasmin sambil mengangkat jari kelingking meminta ikatan yang lebih kukuh daripada Mylia.
“Janji.” Mylia menautkan kelingkingnya ke jari halus Jasmin. “Pergi mandi, okay. Nanti turun makan.” Ujar Mylia sambil menggosok belakang badan anak kecil itu. Jasmin hanya menurut.
Setibanya di daput, Ramlah sudah pun siap membancuh air teh.
“Kita goreng kuey tiaw je ya hari ni, boleh mak? Semalam Mylia tengok macam ada sebungkus.” Ujar Mylia kepada Ramlah. Ramlah hanya menyahut dengan ujaran hmm sahaja. Matanya memandang Mylia tak berkelip. Cuba mencari pada radar mana mood menantunya hari itu. Mylia hanya berlagak bersahaja walaupun keruh wajahnya itu tidak dapat disembunyikan semuanya.
“Hari ni pergi klinik lagi, Mylia?” soal Ramlah Ketika mereka sedang makan bersama-sama. Luqman juga ingin bertanyakan hal yang sama tetapi dia bimbang Mylia enggan menjawab nanti.
“Tak payah dah, mak. Minggu depan pulak. Dah kering elok dah ni.” Jawab Mylia sambil menunjukkan parut di lengannya itu. Selain Ramlah, Luqman juga turut mengambil kesempatan untuk melihat kesan parut itu.
“Nanti cuba kamu ke farmasi. Cari krim apa-apa yang mampu pudarkan sikit parut tu.” Cadang Ramlah.
“Ya, mak.” Dan mereka terus makan dengan senyap. Hanya Julia dan Jasmin saja yang kadang-kadang bersuara.
“Mak, Man keluar dulu. Hantar anak-anak pergi sekolah dan terus ke kedai.” Beritahu Luqman kepada Ramlah sambil mencium tangan ibunya. Begitu juga Julia dan Jasmin.
“Ibu, kitorang nak pergi sekolah dah.” Ujar Julia kepada Mylia. Mylia yang masih lagi di meja makan, terus sahaja bangun dan berjalan ke arah mereka. Melihat Mylia, Julia dan Jasmin terus pergi memeluk kakinya dan menarik tangan minta untuk mencium pipi Mylia.
Jika sebelum ini, pandangan itu biasa bagi Luqman. Tetapi pagi itu, dia terkilan. Dia sangat-sangat berharap Mylia akan segera memaafkan apa sahaja kesalahannya kerana dia sudah terlalu rindu.
Luqman menanti Mylia datang menghampirinya tetapi hampa. Selepas selesai mencium Julia dan Jasmin, Mylia seolah ingin melangkah kembali ke dapur.
“Mylia…” panggil Luqman. Dia tetap ingin menagih salam dari Mylia. Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menyentuh tangan isterinya hari itu. Dek kerana Ramlah masih berada di situ dan anak-anaknya juga turut ada, Mylia menyambut salam Luqman. Selepas salam, dengan pantas Luqman menarik lembut kepala Mylia dan diciumnya. Mylia membiarkan sahaja.
“Latiff balik malam ni. Kamu ada nak ke mana-mana ker?” soal Ramlah tiba-tiba. Gemuruh rasa seluruh raga Mylia mendengar ucapan Ramlah.
“Latiff nak balik? Balik semua?” soal Mylia cuba menyembunyikan resah.
“Iya. Balik semua. Kamu ada nak ke mana-mana ke dengan Luqman?” soal Ramlah sekali lagi.
“Tak ada ke mana pun.” Mylia mula menggerutu di dalam hati. Baru satu malam dia tidur berasingan dengan Luqman. Nampaknya, esok tamatlah tempoh.
“Bila cuti sampai bila?” soal Ramlah lagi.
“Sampai hari ni saja. Isnin ni dah kerja.” Balas Mylia lagi. Ramlah mengangguk-angguk perlahan.
“Mak nak minta kamu tolong tengok-tengokkan bilik Latiff tu boleh ker? Tak larat mak nak panjat tangga dah sekarang.” Minta Ramlah kepada Mylia. “Nanti mak beritahu Luqman suruh dia tolong kamu. Jangan buat sorang-sorang. Lembut lagi parut tangan tu.” Tak sempat Mylia menghalang, Ramlah sudah pun mendail nombor Luqman.
“Man, lepas hantar anak-anak, balik ke rumah kejap… balik jer lah kejap. Mak nak minta tolong ni.” Terus sahaja talian dimatikan. Memang tak ada langsung budi bicara. Tersenyum kecil dia melihat gelagat mereka dua beranak.
Tak sampai 10 minit selepas itu, Luqman pun sampai ke rumah.
“Assalamualaikum.” Mendengar salam dari anak sulungnya itu, Ramlah terus sahaja bangun dan menyenaraikan segala tugasan yang perlu diselesaikan oleh Luqman. Dia telah pun menyerahkan satu set cadar patchwork kepada Mylia untuk di pasang. Mylia hanya berjalan menuruti Luqman ke tingkat dua.
Setelah masuk ke dalam bilik Latiff, Luqman terus sahaja membuka tingkap yang ada di sebelah hadapan dan di sisi kanan bilik. Luqman mulakan kerjanya dengan menyapu sawang di siling dan dinding. Setelah itu, Mylia akan menyapu lantai. Sunyi sepi bilik tersebut tanpa bunyi sepatah suara pun. Dari siling, ke dinding, ke tingkap dan lantai. Seterusnya Mylia mengelap semua permukaan perabut yang ada di situ.
Permukaan katil dihampar dengan sehelai cadar lama untuk mengelak habuk melekat di tilam dan bantal. Luqman pula beralih ke bilik air untuk dibersihkan. Setelah selesai semuanya, barulah mereka bersama-sama memasang cadar dan sarung bantal. Luqman membantu Mylia untuk mengangkat tilam tebal yang berat itu supaya dia senang untuk menyelit getah cadar ke dalam. Kemudian, mereka duduk bersama-sama untuk memasang sarung bantal.
Luqman mula berkira-kira untuk memulakan perbualan. Baru sahaja dia membuka mulut, tiba-tiba telefon Mylia berdering. Begitu ceria wajah Mylia Ketika menatap nama yang terpampang di skrin. Betapa jiwa Luqman memberontak cemburu.
“Hello, Risya.” Ceria sungguh suara Mylia. Luqman hanya mampu tumpang dengar keceriaan isterinya walaupun dengan orang lain.
“Wei… kau dah sihat ke Mylia? Rindu giler kat kau. Lama betul kau cuti.” Soal Risya. Suara riuh-rendahnya boleh sampai ke telinga Luqman.
“Alhamdulillah. Dah okay dah sikit. Eleh, konon rindu aku. Padahal seronok duk bercinta kat office tak der orang nak kacau.” Usik Mylia
“Tak sempat, nyah! Kerja kau, kerja Mika semua kami kena cover. Izzi pun blur-blur lagi. Tunggang-langgang aku rasa hidup aku sekarang. Dengan wedding lagi. Aduhai…” berdebar sekejap hati Luqman mendengar nama Mikail disebut.
“Alaa… baru cuti seminggu. Minggu depan aku masuk kerja la.” Balas Mylia. Dia sedikit pun tidak sedar yang Luqman sedang memasang telinga. Hanya melalui cara itu dia boleh mendapatkan update terkini tentang isterinya. Dia sedang dipulaukan.
“Mylia, kau busy tak esok? Teman aku pergi fitting baju. Baju kau pun dah siap dah tu.” Soal Risya.
“Esok adik ipar aku ada kat rumah lah, Sya. Kita pergi petang ni boleh?” soal Mylia lagi.
“Kalau petang ni, kita kena pergi berdua sajalah. Mika esok baru ada.” Balas Risya.
‘Mika lagi? Nak pergi double date kea pa diorang ni? Ini isteri aku kot. Memandai je dia nak ajak keluar dengan lelaki lain.’ Bentak hati Luqman. Tapi dia tak sabar nak dengar jawapan dari Mylia.
“Tak apa lah. Bukannya diorang tak reti pakai baju sendiri. Elok la diorang pergi berdua esok, kita pergi petang ni.” jawab Mylia. Berbunga-bunga hati Luqman. “Kau datang ambik aku yer. Aku kan cedera. Tangan aku sakit ni… kau jemput aku eh?” sambung Mylia lagi. Manjanya suara merayu rakan baiknya itu untuk datang menjemput.
“Tak apa. Abang hantar. Minta location.” Sampuk Luqman cepat-cepat dan kuat-kuat. Sengaja dia mahu suaranya didengari orang dihujung talian.
“Waaaahhhh… kau nak bawa laki kau yang tall and handsome tu ker? Bawa! Bawa! Dah lamaaaa aku tak tengok laki kau tu.” Balas Risya tanpa sedar setiap butir bicaranya dapat didengari dengan jelas oleh Luqman.
“Eeee… menggeletis kau eh. Itu laki aku lah. Kau pergi menggedik dengan Borhan sudah.” Balas Mylia pura-pura marah. Betapa kembang hati si Luqman mendengar Mylia mempertahankan dirinya di hadapan Risya.
Kerja-kerja memasang cadar sudah pun selesai tetapi Mylia masih lagi asyik dengan panggilannya. Luqman terus bangun dari katil dan mengutip cadar hamparan tadi untuk dibasuh. Dia terus menghampiri Mylia dan terus menjatuhkan ciuman di kepala Mylia.
“Love you. Abang ke kedai dulu ye.” Sengaja dia mengambil kesempatan ke atas isterinya ketika itu. Dia tahu Mylia tak mampu membantah kerana dia sedang bercakap dengan kawannya.
“Aawwwww…. So sweeetttttt….” Jawab Risya. Walaupun Luqman bercakap perlahan sahaja tetapi mulutnya begitu hampir dengan telefon. Mata Mylia mula berkaca.
‘Dah pandai berlakon depan orang yer… hakikatnya, entah siapa yang dia love sangat tu.’ Rungut hati Mylia.
Share this novel